adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Friday, October 8, 2010

Sabar Menghadapi Ujian Hidup

Dalam melayari bahtera kehidupan yang penuh berombak ini, setiap manusia sentiasa berhadapan dengan pelbagai dugaan dan cabaran hidup. Tidak kira suka, duka, pahit mahupun manis. ALLAH S.W.T sentiasa menegaskan di dalam al-Quran bahawa manusia tidak akan terlepas daripada ujian dan dugaan. Firman ALLAH S.W.T bermaksud: Dan Kami akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu dan agar Kami mengetahui (baik buruk) hal ehwalnya. – Surah Muhamad: 31

Jadi, untuk menghadapi keadaan dan situasi yang bersilih ganti ini, maka Islam dari awal-awal lagi telah menganjurkan kita agar menghiaskan diri kita dengan sifat sabar. Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara kebajikan) dan kuatkan kesabaran kamu (lebih dari kesabaran musuh di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada ALLAH supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan). – Surah Ali ‘Imran: 200.

Sabar adalah salah satu sifat mulia lagi terpuji yang sewajarnya dimiliki oleh setiap Muslim untuk mencapai keimanan dan ketakwaan yang tinggi. Sabda Rasulullah S.A.W bermaksud: Sabar itu sebahagian dari iman. – Riwayat al-Tabarani dan al-Baihaqi. Sifat sabar amat perlu disemai dan dibajai dalam diri setiap Muslim kerana kehidupan ini pada hakikatnya merupakan satu medan perjuangan dan arena pertarungan sengit yang menuntut pengorbanan dan kesabaran yang bukan sedikit. Malahan hidup ini sentiasa menuntut kerahan buah fikiran, tenaga, harta dan bahkan nyawa sekali pun. Maka dengan kesabaran, keyakinan diri dan keimanan akan mantap dalam menghadapi apa juga cabaran yang mendatang.

Sehubungan itu, Imam al-Ghazali dalam kitab tersohornya ‘Ihya Ulumuddin’ pernah berkata dalam kehidupan di dunia terdapat dua hal yang selalu mengiringi hidup manusia. Pertama, sesuatu yang sesuai dan selari dengan kemahuan dan kehendak hati seperti memiliki harta kekayaan, pangkat, penghormatan dan kenikmatan. Kedua, sesuatu yang tidak sesuai dan berlawanan dengan keinginan hati, bahkan amat dibencinya seperti segala bala bencana dan penderitaan termasuk kemiskinan, kesakitan, kehinaan dan sebagainya.

Oleh itu, setiap manusia wajib menyimpul kemas tali kesabaran untuk menghadapi dua kemungkinan yang bakal menghiasi hidup. Menurut perspektif agama, sabar itu ialah keteguhan hati dalam menghadapi apa juga kesulitan dan bahaya yang menimpa. Jika ditinjau dalam al-Quran, ALLAH S.W.T telah mengklasifikasikan sifat sabar itu kepada beberapa tingkat berlainan. Antaranya sabar terhadap segala dugaan dan ujian dihamparkan dalam setiap detik dan perjalanan hidup manusia.

Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud: Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian) menyakit hati mereka; dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan kalau kamu bersabar dan bertakwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikit pun. Sesungguhnya ALLAH S.W.T meliputi pengetahuan-Nya akan apa juga yang mereka lakukan. – Surah Ali ‘Imran: 120

Selain itu, sabar dalam menyampaikan kebenaran Islam kepada umat manusia. Firman ALLAH S.W.T bermaksud: Dan jika ada segolongan dari kamu yang beriman kepada wahyu (perintah-perintah ALLAH S.W.T) yang aku telah diutuskan untuk menyampaikannya dan segolongan lagi tidak beriman, maka bersabarlah sehingga ALLAH S.W.T menjalankan hukum-Nya di antara kita semua, dan DIA juga sebaik-baik penghakiman. – Surah al-A’raf: 87.

Berdasarkan kepada hakikat di atas, dapat disimpulkan bahawa sabar itu secara umumnya mempunyai tiga kategori iaitu sabar dalam menghadapi musibah dan bencana, sabar dalam menjauhi maksiat dan larangan ALLAH S.W.T dan sabar dalam melaksanakan ketaatan kepada ALLAH S.W.T.

Kata2 motivasi ini aku ambil dari majalah Pa & Ma sebagai panduan utk aku kerana sejak akhir2 ini kesabaran aku bagaikan teruji. Dengan menghayati artikel ini sedikit sebanyak mampu memberi ketenangan.

No comments:

Post a Comment

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu