adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Wednesday, November 17, 2010

Bersangka baik niat orang berkorban

semangat korban dibuktikan dengan ikatan ukhuwah menerusi gotong-rorong. - Gambar hiasan

ORANG yang berkorban akan dikurniakan kebajikan sebanyak bulu binatang yang dikorban. Titisan darah korban yang pertama adalah pengampunan bagi dosa-dosa yang telah lalu dan darah korban yang tumpah ke bumi akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah SWT.

Mungkin kesedaran dan pemahaman daripada beberapa janji Allah SWT buat hamba-hamba-Nya yang melaksanakan ibadat korban, antaranya seperti di atas, telah menimbulkan keinsafan sekali gus menyumbang kepada peningkatan kesedaran umat Islam dalam penganjuran majlis korban di negara ini setiap tahun.

Tetapi yang menjadi persoalan ialah niat di sebalik melaksanakan ibadat tersebut. Adakah kerana mengikut aliran atau trend semata-mata atau ia dilakukan kerana keinsafan dan mahu mendapat keredaan Allah.

Pengerusi Eksekutif Darul Fuqaha, Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, amalan agama di kalangan masyarakat meningkat kerana kefahaman yang semakin bertambah.

Apabila masyarakat makin memahami Islam, secara automatik amalan-amalan Islam memperlihatkan peningkatan.
Katanya, begitu juga dengan amalan korban. Peningkatan amalan itu di kalangan masyarakat adalah tanda positif bahawa usaha dakwah dan penyebaran ilmu Islam semakin meningkat di negara kita ini.

"Hari ini, kita melihat di Lembah Klang sendiri usaha-usaha dakwah berkembang pesat. Surau-surau dan masjid dihidupkan dengan kuliah-kuliah ilmu.

"Sudah tentu ia memberi kesan kepada peningkatan amalan Islam termasuk ibadah korban. Kepentingan melakukan ibadah korban pula bukan hanya dibicarakan di institusi masjid mahupun surau, malah pihak media massa, mahupun media elektronik semakin berperanan memberikan kesedaran. Semua itu bagi saya menyumbang kepada kesedaran ini.

"Begitu juga dengan jawatankuasa masjid, penggantungan kain-kain rentang dan sepanduk yang mempromosi ibadah korban. "Ringkasnya amalan Islam mesti dipromosikan. Apabila promosi dibuat peningkatan amalan di kalangan umat akan berlaku. Kerana itulah Allah berfirman dalam surah al-Hajj ayat 27: Dan isytiharkanlah kepada orang ramai melakukan ibadah haji… Ertinya Allah mengarahkan baginda Ibrahim untuk membuat 'perisytiharan'. Itu adalah satu promosi ibadat," kata Dr. Mohd. Khairuddin.

Menjawab segelintir pihak yang mengatakan peningkatan ini disebabkan ada peserta nampak seperti mahu menunjuk-nunjuk, Dr. Mohd. Khairuddin berkata, Allah berfirman dalam surah al-Haj ayat 34 bermaksud: Tidak akan mencapai Allah daging-daging (ternakan yang disembelih) dan darah-darahnya tetapi yang mencapai Allah ialah ketaqwaan daripada kamu.

Ayat ini jelasnya, memperingatkan tentang kepentingan membetulkan niat ketika berkorban iaitu demi mendapat keredaan Allah. Namun perlu difahami bahawa niat adalah sesuatu yang tersembunyi di dada manusia tidak diketahui oleh manusia lain.

Justeru itu ulama Islam menegaskan: "Kita menghukum berdasarkan zahir dan Allah yang menguruskan apa yang tersembunyi."

"Ertinya kita hanya berhak melihat kepada luaran amalan korban tadi. Apa pun niatnya berkorban diserahkan kepada Allah, bukan kerja kita untuk menghukum dan menilainya," tegas beliau.

Apabila masyarakat Islam semakin ramai berkorban menyembelih ternakan kita perlu menafsirkannya sebagai satu amalan positif petanda peningkatan amalan Islam.

Menurut Dr. Mohd. Khairuddin, apa yang penting syiar ibadah seperti korban mesti dilaksanakan tanpa kita mempertikaikan niat di sebaliknya.

Malah perlu difahami, meninggalkan satu amalan kerana takut riak, itu merupakan satu riak seperti ditegaskan oleh para alim ulama dalam karya-karya berkaitan kesucian jiwa.

"Kesimpulannya, kita mengajak masyarakat berkorban dengan melakukan seperti mana tuntutan hukum fiqh. Pada masa sama, kita mengajak mereka membetulkan niat berkorban kerana Allah.

"Ibadah korban mesti dilaksanakan bagi memenuhi tuntutan sunnah muakkadah dan dalam masa yang sama berusaha perbetulkan niat kamu," ujarnya.

Menurut Dr. Mohd. Khairuddin, kisah korban bermula dengan sejarah Ibrahim yang diuji oleh Allah dengan perintah menyembelih anaknya. Apabila perintah itu hampir dilaksanakan, Allah menebusnya dengan seekor binatang sembelihan sebagai gantinya. Seterusnya ia menjadi sunnah bagi umat terkemudian. Ia diceritakan dalam surah Saffat ayat 102-108.

"Cerita ini menggambarkan ketaatan tidak berbelah-bagi Nabi Ibrahim dan Ismail kepada Allah. Ini cerita akidah dan keyakinan. Ibrahim dan Ismail meyakini bahawa Allah yang mencipta dirinya, memberinya nyawa, mengurniakan rezeki dan menghidup serta mematikan manusia.

"Apabila berhadapan dengan perintah Allah, manusia tidak ada pilihan selagi dia makan dan minum rezeki yang diberikan oleh Allah. Maka inilah pengajaran cerita pengorbanan Ibrahim - ketaatan mutlak kepada Allah tanpa bantahan."

Dr. Mohd. Khairuddin turut memberi amaran kepada sebahagian umat Islam yang lemah keimanannya yang mana selalu mempertikaikan perintah Allah yang kononnya, dilihat tidak logik.

"Amalan Islam tidak diukur dengan logik ilmu tapi dinilai dengan keimanan. Keimanan bermaksud keyakinan dalam hati bahawa ia perintah daripada Allah yang mencipta dirinya dan berkuasa ke atas dirinya.

"Apabila dia meyakini bahawa itu merupakan perintah Allah yang lebih bijak dan pandai daripada dirinya maka dia akan meletakkan sepenuh keyakinan untuk melaksanakan perintah tersebut tanpa bahasa.

"Malangnya sebahagian manusia suka menilai terlebih dahulu perintah Allah dengan menggunakan ilmunya yang terhad. Adakah ilmu manusia meliputi apa yang lalu dan menjangkau apa yang kehadapan? Logik akal dijadikan ukuran sedangkan logik merupakan persoalan ilmu. Sesuatu yang tidak logik pada satu zaman, menjadi logik pada hari ini kerana perkembangan ilmu manusia.

"Seorang Mukmin akan menerima semua perintah Allah tanpa bahas. Tetapi seorang yang fasiq akan sentiasa membantah dan mempertikaikan perintah Allah. Tunggulah nanti di hari Akhirat, mampukah dia berhujah di hadapan Allah," tanyanya. - Oleh ZUARIDA MOHYIN (Utusan Malaysia)


1 comment:

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu