adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Monday, November 15, 2010

Ketepi spekulasi tumpu keluarga, karier

SIMBOLIK...upacara menyarungkan cincin ke jari pengantin perempuan

BIARPUN berdepan pelbagai spekulasi dan kontroversi, majlis pernikahan pelakon, Raja Farah Raja Aziz, 22, dengan pasangannya, Megat Bashirun Qhuyum Zakaria, 25, tetap berlangsung dengan jayanya.


Raja Farah sebelum ini menarik perhatian ramai apabila dikatakan mula 'besar kepala', menyingkirkan pengurus atau ibunya yang bertanggungjawab menguruskan aktiviti sepanjang terbabit dalam dunia seni.


Paling mengejutkan, mengenai pengakuan sudah bertunang pada 9 Oktober lalu secara senyap diikuti perancangan pernikahan pada waktu terdekat hingga timbul spekulasi mengenai pernikahan mereka.

Bagi Raja Farah biar apa pun tanggapan orang luar mengenai spekulasi atau kata-kata nakal ditujukan kepadanya, dia tetap tidak ambil pusing. Apa yang lebih penting bagi dirinya, dia lega apabila majlis pernikahan yang penuh makna berjalan lancar.




Mungkin ramai yang bertanya apakah sebabnya majlis perkahwinan berlangsung dalam masa yang begitu singkat? Raja Farah mahupun keluarganya, mahu ketepikan sebarang spekulasi atau kontroversi yang membabitkan mereka seterusnya memberi tumpuan kepada keluarga dan karier.


"Pada saya, usia muda dan waktu bukan persoalannya. Kami berkahwin mengikut sunnah rasul. Tidak ada apa yang perlu dipertikaikan. Saya sedar walaupun usia perkenalan kami cukup singkat, tidak sampai setahun, saya tidak menganggap ia sebagai halangan untuk kami berkahwin.

"Mungkin ini jodoh dan ketentuan saya ditakdirkan daripada Yang Maha Esa. Apa yang penting, kami saling menyayangi dan mencintai antara satu sama lain.

"Saya tidak mahu komen mengenai gosip atau fitnah lagi. Sesiapa saja yang membuat dakwaan itu, saya cabar mereka tampil ke hadapan dan buktikan. Saya sendiri boleh membuktikan apa saja dakwaan negatif yang cuba menimbulkan keaiban kepada saya dan keluarga terutama jika ia membabitkan perkara yang tidak benar.

"Saya ucapkan tahniah kepada orang yang cuba menabur fitnah itu kerana hampir berjaya memecahbelahkan keluarga saya dan mentua.

"Saya akui lemah dan hampir putus asa untuk terus aktif dalam bidang seni. Jika berhenti, bermakna saya mengaku kalah. Apatah lagi memikirkan masa yang terbuang dan pengorbanan dilalui selepas sekian lama terbabit dalam bidang ini," katanya ketika ditemui sebaik selamat dinikahkan, Jumaat lalu.




Bagi suami, Megat Bashirun Qhuyum dia sentiasa memberi galakan kepada isteri untuk aktif dalam bidang seni. Malah mengakui gosip dan spekulasi yang menimpa Raja Farah turut membuatkan dia berasa tempiasnya, namun sudah bersedia menghadapinya.

"Memang saya akui tertekan apabila mendapat tahu mengenai gosip yang menimpa Raja Farah. Apa lagi apabila membabitkan benda negatif, tempias terkena pada saya juga. Saya harap dengan ketabahan Raja Farah dapat membantu saya berdepan segala gosip yang bakal dilalui kelak," kata Megat yang juga seorang ahli perniagaan.

Mengenai perancangan mempunyai cahaya mata pula, Raja Farah memaklumkan mereka tidak merancang dan berserah kepada takdir. Begitu juga perancangan bulan madu di Pulau Sipadan dan Raja Empat di Indonesia, memandangkan masing-masing berkongsi minat sama, menyelam di dasar laut.

Raja Farah hanya bercuti beberapa hari untuk majlis itu sebelum kembali sibuk di lokasi penggambaran, tetapi merancang bercuti panjang selepas selesai majlis persandingan yang dijadualkan awal Januari tahun depan. 


Pasangan pengantin yang anggun mengenakan busana berwarna putih tajaan dan rekaan Syahmir Nur Din memilih konsep pernikahan taman air yang direka khas perundingan pengantin, Reka Teemor.

Rumah yang disewakan khas untuk tujuan majlis, dihias indah dengan permukaan air dan hiasan taman bagaikan mengambil mood di dasar laut sesuai dengan minat pasangan mempelai terhadap aktiviti menyelam. Warna putih dan bersih sebagai pelengkap tema majlis pernikahan serba ringkas dan penuh simbolik itu.

Bagi ibu Raja Farah, Farizah Abu Samah dia melihat semangat dan kesabaran yang tinggi ditunjukkan anaknya itu dalam berdepan pelbagai rintangan yang dilalui sebelum mendirikan rumah tangga.

"Dia nampak cekal menerima segala tohmahan yang dilemparkan kepadanya. Mungkin pengalaman terbabit dalam dunia seni sejak sekian lama mematangkan dirinya.

"Memang kalau difikirkan ada tuduhan yang dilemparkan kepadanya benar-benar tidak berasas. Saya sering menasihatkannya supaya sabar dan kuatkan semangat kerana anggap apa yang berlaku adalah ujian daripada Allah.

"Saya dapat rasakan Megat adalah jodohnya. Saya nampak ada keserasian di antara mereka. Dia (Megat) seorang pemuda yang bertanggungjawab, penyabar dan sentiasa mengambil berat mengenai Raja Farah. Kami sekeluarga sentiasa mendoakan kebahagiaan mereka," katanya.

Farizah tidak berasakan keputusan anaknya untuk bernikah pada masa yang singkat sesuatu yang aneh memandangkan dirinya dan suami juga melalui situasi yang sama. Begitupun, dia juga tidak menyangka jodoh anaknya itu begitu cepat pada usia yang muda. Sebagai ibu, dia sentiasa menyokong apa saja tindakan yang boleh mendatang kebaikan kepada masa depan anaknya itu.

Pihak pengantin lelaki menyerahkan tujuh dulang hantaran berupa mas kahwin (RM888) dan cincin, telefon bimbit iPhone 4, minyak wangi (Gucci) dan barang solekan (Dior), set persalinan kain termasuk telekung, sejadah, pulut kuning, sirih junjung, set lengkap al-Quran, tasbih dan rehal.

Ia dibalas sembilan oleh pihak perempuan - sejadah dan kain pelekat, telefon bimbit iPhone 4, jam tangan (Tissot), Cincin (Habib), kek, dompet dan tali pinggang (Dunhill), minyak wangi (Issey Miyake), sirih junjung, al-Quran dan tasbih.

Saudara-mara dan keluarga terdekat kedua-dua pasangan pengantin hadir pada majlis yang ringkas penuh makna itu. Rakan artis turut hadir antaranya Anita Baharom, Anith Aqilah dan Faezah Elai.



Majlis akad nikah berlangsung pada sebelah pagi sementara majlis doa selamat di kediaman pengantin wanita berlangsung pada waktu malam, Jumaat lalu itu. - myMetro

Tahniah!!!...pedulikan apa yg orang nak cakap, yg penting kita telah ikut sunnah Rasullullah....
Aku doakan mereka bahagia dan kekal hingga ke akhir hayat.....


3 comments:

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu