adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Monday, December 20, 2010

Kemaman dilanda banjir, 700 mangsa dipindah

BALAI Polis Kerteh, Kemaman turut dinaiki air banjir semalam

KEMAMAN - Hampir 700 orang dari Kampung Baru dan Kampung Chabang Kerteh di sini dipindahkan setakat ini setelah kawasan mereka dinaiki air sedalam hampir satu meter ekoran hujan lebat sejak dua hari lalu.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdullah Sani Salat berkata, jumlah penduduk yang dipindahkan adalah setakat pukul 10 malam tadi ke lima pusat pemindahan.
Katanya, antara pusat pemindahan yang dibuka adalah di Dewan Orang Ramai Pekan Kerteh dan balai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Chabang.
"Kesemua mangsa dipindahkan sejak pukul 1 petang tadi (semalam) ekoran rumah mereka ditenggelami air setinggi antara 0.5 meter dan satu meter," katanya ketika dihubungi semalam.
Menurutnya, turut dinaiki air adalah Balai Polis Kerteh dan enam buah perumahan polis di situ sedalam hampir satu meter sejak pukul 2 petang semalam.
"Bagaimanapun operasi di balai tetap berjalan seperti biasa dan semua anggota sudah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan air banjir semakin naik," katanya.
Abdullah berkata, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di Kilometer 116 berhampiran Pekan Kerteh juga ditutup kepada kenderaan ringan setelah ditenggelami air hampir satu meter sejauh 500 meter.
"Paras air Sungai Kerteh juga dilaporkan sedang naik dan kemungkinan terdapat beberapa batang jalan lagi akan turut terjejas dan ditutup kepada kenderaan ringan seperti Jalan Kerteh ke Batu Putih dan jalan ke Lapangan Terbang Kerteh," katanya.
Menurut Abdullah, ekoran air sungai yang semakin naik, kemungkinan lebih ramai penduduk akan dipindahkan khususnya membabitkan kawasan perumahan rendah dan berhampiran sungai seperti Kampung Chabang dan Labohan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kemasek, Ir. Rosli Othman yang membuat tinjauan ke kawasan terlibat banjir berkata, Pejabat Khidmat Masyarakat Kemasek membuka sebuah bilik gerakan banjir di Dewan Sivik Pekan Kemasek bagi memberi bantuan kepada mangsa banjir.
"Kita menjangkakan kemungkinan air semakin naik ekoran akan berlaku air laut pasang besar bermula petang tadi (semalam) selama dua hari dan kami telah membuat persiapan rapi untuk menghadapi sebarang kemungkinan banjir lebih besar dan pemindahan lebih ramai penduduk," katanya.
Rosli berkata, segala persiapan seperti bot, bekalan makanan dan segala keperluan berkaitan telah disediakan dan meminta penduduk yang tinggal di kawasan rendah bersiap sedia untuk dipindahkan dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa.
"Semua agensi yang berkaitan termasuk pihak berkuasa berada dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan," katanya. -  Kosmo

1 comment:

  1. Alamak....banjir ke.... planning week-end ni nak ke Kelantan....merangkap T'ganu.... aduh.... hancur plan aku kali ni.....

    ReplyDelete

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu