adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Friday, December 30, 2011

Zain Saidin Temani Rozita & Anak-Anak Bercuti


PETALING JAYA: Pelakon jelita, Rozita Che Wan, 38, mengakui keluar bersama pelakon yang digosipkan mempunyai hubungan cinta dengannya iaitu Zain Saidin di Genting Highlands, Pahang Isnin lalu.
Rozita berkata, percutian sehari itu turut disertai oleh dua orang anaknya iaitu Ammar Effendy,15, dan Aniq Ezzra,12, yang sekarang ini sedang bercuti penggal persekolahan.
"Memang saya pergi ke Genting Highlands bersama Zain tetapi jangan salah anggap pula sebab anak-anak saya pun ikut sama. Kebetulan pula sekarang ini tengah cuti sekolah," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Khamis.
Rozita diminta mengulas mengenai hubungannya dengan Zain selepas pihak mStar Online mendapat panggilan telefon daripada beberapa orang peminat dan juga pekerja di pusat peranginan itu yang melihat mereka.
Tambah pelakon Kiah Pekasam ini, dia tidak mempunyai apa-apa hubungan cinta dengan Zain tetapi disebabkan anak-anaknya begitu rapat dengan pelakon tersebut maka adalah lebih baik dia mengajaknya bersama.
Sebagai bukti mereka rapat kata Rozita, pada malam ini (Khamis) anak-anaknya turut keluar bersama Zain untuk bermain futsal.
Sementara itu Zain yang dihubungi enggan memberi sebarang komen berhubung cerita itu sebaliknya dia mengambil pendekatan untuk menghubungi Rozita terlebih dahulu.
“Saya tengah nak main futsal ni. Saya komen yang sama la (seperti Rozita).
Dalam perkembangan lain, Rozita memberitahu jadual kerjayanya agak padat sehingga Ogos tahun hadapan dengan pelbagai tawaran berlakon telefilem dan drama bersiri.
Zain Saidin.
Rozita berkata, dia juga bakal sibuk dengan perniagaan tudungnya, Padusi yang ingin diusahakan secara lebih serius.
"Alhamdulillahlah rezeki mencurah-curah sehingga jadual kerjaya saya telah pun penuh sehingga Ogos depan selain perniagaan tudung yang bakal saya usahakan secara lebih serius," ujarnya.
Tambahnya, ketika ini dia sedang sibuk di lokasi penggambaran drama Mr. Labuci arahan Murali Abdullah selain sedang giat dengan drama bersiri Mencari Athirah sebanyak 13 episod. - mStarOnline

Pengarah Drama, Murali Dikejarkan Ke Hospital


Murali Abdullah
PETALING JAYA: Pengarah drama terkenal, Murali Abdullah dikejarkan ke Hospital Selayang, dekat sini kira-kira pukul empat petang Khamis selepas mengalami muntah-muntah dan sakit kepala di lokasi penggambaran drama Mr. Labuci.
Menurut Penerbit Ekskutif Zeel Production, Muhamad Norazhar Baharuddin atau Bobby, pihaknya belum mengetahui keadaan Murali kerana masih menunggu laporan daripada pihak hospital.
"Ketika ini Murali masih ditahan di wad kecemasan dan sedang tidur selepas mengalami muntah-muntah yang agak teruk. Doktor juga telah melakukan x-ray ke atasnya bagi mencari punca penyakit tersebut," ujarnya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.
Muhamad Norazhar berkata, mengikut pemeriksaan awal, doktor memberitahu pengarah tersebut mengalami sedikit pendarahan pada otak tetapi keadaannya terkawal.
Katanya, doktor juga masih tidak dapat mengesahkan sama ada Murali diserang penyakit angin ahmar kerana simptom yang ditunjukkan tidak ke arah itu.
"Semasa dibawa ke hospital dia dalam keadaan sedar dan tiada tanda-tanda dia mengalami angin ahmar," ujarnya.
Ditanya adakah Murali pernah mengadu mengalami sebarang kesakitan sebelum ini, Muhamad Nurazhar berkata, pengarah drama itu tidak pernah mengadu apa-apa kepadanya.
"Dia juga tidak pernah sakit sebelum ini dan hanya mengadu mengalami pening kepala pada tengah hari ini," ujarnya.
Sementara itu, pelakon Rozita Che Wan yang turut berlakon dalam drama berkenaan ketika dihubungi pada malam Khamis berkata, dia terkejut dengan kejadian yang menimpa Murali dan memberitahu sedang dalam perjalanan ke hospital berkenaan.
Rozita berkata, Murali tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa dia sakit pada penggambaran yang baru masuk hari kedua di sebuah kawasan di Selayang itu. - mStarOnline

Peniaga pengotor buat kecoh cuba alih perhatian


PERIKSA...pegawai LPKPM menyoal pembantu dapur sebuah kedai makan di Medan Selera Farlim.
PERIKSA...pegawai LPKPM menyoal pembantu dapur sebuah kedai makan di Medan Selera Farlim.

PETALING JAYA: Seorang peniaga makanan di Medan Selera Farlim Jalan PJS 8/9, Bandar Sunway, di sini, mengejutkan ramai pelanggan dengan membuat kecoh apabila enggan memberikan kerjasama ketika pegawai Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) melakukan pemeriksaan terhadap kedainya.

Bagaimanapun, kekecohannya itu bersebab apabila siasatan mendapati dia memperoleh bekalan ayam mentah daripada peniaga bukan Islam yang diragui halalnya.

Malah, ketika resit ayam diminta, dia cuba mengalih perbualan dengan menyuruh LPKPM memeriksa premis lain yang bermasalah.

Hasil siasatan mendapati, peniaga terbabit memang mengambil bekalan ayam mentah daripada peniaga bukan Islam, namun dia enggan bekerjasama.

Malah, keadaan dapur peniaga terbabit kotor dan sampah dipenuhi lalat.

Operasi kali pertama yang dilakukan LPKPM dengan kerjasama penguat kuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu bertujuan memastikan peniaga Islam mempamerkan logo halal di samping menjaga kebersihan premis masing-masing.

Ketua Pegawai LPKPM, Sharifah Mat Nor Rashid, ketika ditemui berkata, pihaknya perlu tegas dengan masalah itu dan akan merujuk perkara berkenaan kepada pihak terbabit seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). - myMetro

Kepala nyaris digilis treler


ALOR GAJAH: “Saya terpandang sepasang kaki terjulur dari bawah treler dipandu sebaik turun melakukan pemeriksaan,” kata Zamri Mohd Nor, 32, pemandu treler membawa muatan batu bata yang terbabit kemalangan di Kampung Londang, Masjid Tanah, dekat sini, semalam.

Zamri berkata, dia yang terdengar sesuatu di belakang treler dipandunya segera berhenti mengundur dan turun.

“Saya dan rakan, Yatim Mustafa, 39, bagaimanapun terkejut mendapati seorang penunggang motosikal berada di bawah treler. 

“Motosikal itu tersangkut antara tangki gas dan tayar bahagian tengah manakala kepala penunggangnya betul-betul berada dekat tayar depan sebelah kiri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini semalam. 

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa Mokhtar Kassim, 50, dari Kampung Tanjung Bidara, dekat sini, yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda dikatakan gagal mengawal motosikalnya lalu merempuh belakang treler itu yang mengundur.

Akibat rempuhan itu, mangsa terperosok ke bawah treler menyebabkan tangan kiri dan kaki kanan patah lalu dikejarkan ke hospital.

Menceritakan kejadian itu, Zamri berkata, Yatim bersedia mengawal lalu lintas bagi membolehkannya mengundurkan treler itu untuk keluar ke jalan besar. 

“Saya yakin keadaan jalan pada pagi itu selamat kerana kenderaan kurang ketika itu. Saya mengundurkan treler perlahan-lahan tanpa menyedari ada sebuah motosikal di laluan kiri.

“Ketika sedang mengundurkan treler, tiba-tiba saya terdengar bunyi seperti ranting kayu patah.

“Saya dan rakan terus mendapatkan mangsa yang terbaring sambil meraung kesakitan di bawah treler.

“Lelaki itu dapat dikeluarkan dalam masa beberapa minit dengan bantuan pengguna jalan raya lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifu ddin Shaharuddin mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kemalangan itu. - myMetro

Ibu memang terjun tasik


KUALA LUMPUR: Impian empat anak untuk menemui ibu mereka yang hilang selepas keluar dari rumah di Kelana Jaya, dekat sini, seminggu lalu berkecai apabila hanya jasad wanita itu yang ditemui.

Lebih malang lagi, baru sehari berita kehilangannya dilaporkan semalam, keluarga itu menerima panggilan ‘sayu’ daripada pihak polis yang meminta pengecaman mayat mangsa dilakukan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Mohamad Khalid Johari, 28, berkata, dia mengambil keputusan melaporkan kehilangan ibu, Wan Jaliah Wan Harun, 56, dalam akhbar selepas ibunya hilang 22 Disember lalu dan gagal ditemui walaupun pelbagai usaha dibuat.

“Saya mengharapkan ada pihak akan hubungi sekiranya terjumpa ibu di mana-mana, tapi lain pula yang jadi apabila polis yang mohon kami datang membuat pengecaman mayat.

“Memang tersangat sedih dan tak boleh digambarkan perasaan ini. Polis daripada Balai Polis HS Lee memberitahu mayat ibu ditemui di Taman Tasik Perdana pada 22 Disember iaitu hari kehilangannya, sekitar jam 8 pagi, namun mereka sukar mencari waris ibu.

“Ini kerana tiada pengenalan diri bersamanya, cuma sekeping resit pembelian Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) Kelana Jaya yang menjadi petunjuk,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Apapun katanya, mereka sekeluarga bersyukur kerana akhirnya menemui ibu walaupun dia sudah kembali menyahut seruan Illahi. 

“Kami redha dengan pemergiannya walaupun dengan cara yang menyedihkan,” katanya.

Mohamad Khalid berkata, arwah menghidap penyakit gangguan mental sejak dua tahun lalu dan kini masih meneruskan rawatan di Hospital Serdang.

Katanya, kebiasaannya mereka adik-beradik akan bergilir-gilir menghantar ibu untuk rawatan di hospital, malah sepatutnya Wan Jaliah mempunyai temu janji pada 23 Disember, jam 9.30 pagi.

“Kami sekeluarga terima seadanya. Cuma selepas ini saya akan sentiasa ingat pesannya supaya sentiasa dekatkan diri dengan Allah dan jangan tinggalkan solat,” katanya.

Jenazah Wan Jaliah akan dikebumikan hari ini di Tanah Perkuburan Cheras selepas di mandikan dan dikafankan di HKL.

Harian Metro dalam laporan semalam memetik Mohamad Khalid sebagai berkata ibunya pernah memberitahu ada suara menyuruhnya terjun ke dalam tasik. - myMetro

Lelaki maut kena hempap motor lif

SELERAK...kesan darah di lokasi kejadian. Gambar kecil, Mohd Abdillah.
SELERAK...kesan darah di lokasi kejadian. Gambar kecil, Mohd Abdillah. Imej: HMetro
KUALA KANGSAR: Seorang pemuda yang baru bekerja tidak sampai sebulan di sebuah kedai perabot maut selepas motor bagi menggerakkan lif yang putus dipercayai akibat muatan berlebihan, menimpa kepalanya di premis majikannya setinggi tiga tingkat di Jalan Raja Chulan, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.40 pagi itu, Mohd Abdillah Mohd Khairuddin, 27, dikatakan berada di tingkat satu sedang mengendalikan kelengkapan perabot untuk dibawa turun dari tingkat dua menggunakan lif barang.

Namun, lif berkenaan tiba-tiba tersangkut sebelum rantainya terputus menyebabkan motor penarik lif itu tercabut dan menghempap kepala mangsa.

Kejadian turut menyebabkan badan mangsa tersangkut pada lif sebelum lif berkenaan terjunam ke bawah premis bersama mangsa. 

Mangsa yang berasal dari Kampung Banjir, di sini dan baru mengikat tali pertunangan dengan gadis pilihannya bulan lalu, meninggal dunia di tempat kejadian dalam keadaan mengerikan dengan percikan darah kepala mangsa kelihatan di sekitar tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Gaffar Muhammad, berkata siasatan awal mendapati chain host lif berkenaan terputus disebabkan tidak mampu menampung bebanan dan mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar sebelum jenazahnya dituntut ahli keluarga pada jam 3.30 petang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Jasa,” katanya. 

Rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, arwah bekerja di kedai perabot itu sejak 6 Disember lalu sebelum bercuti beberapa hari pada minggu lalu berikutan kematian neneknya.

Katanya, mangsa baru kembali bekerja semalam dan memasuki pejabat pada jam 9.13 pagi sebelum ditugaskan membawa perabot turun dari tingkat dua ke tingkat satu menggunakan lif di bahagian stor di belakang premis.  - BHarian

Pegawai PTD dituduh pukul suami

SEPANG: Akibat memukul suaminya dengan menggunakan fail pejabat dalam satu perselisihan faham, seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) sebuah kementerian di Putrajaya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang di sini, semalam. 

Tertuduh, Kamaliah Basir, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zuhrina Mohamed Nor yang bertindak sebagai Majistret.

Kamaliah dituduh mencederakan suaminya, Zaihan Md Lani, 49, ketika menaiki sebuah kereta di Simpang 3, Persiaran Semarak Api dan Persiaran Apec, Cyberjaya pada 3 Mac lalu.

Kamaliah yang memakai baju kurung kelabu dan bertudung gelap serta tidak diwakili peguam membuat pengakuan tidak bersalah selepas jurubahasa membaca pertuduhan terhadapnya. 

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya. Zuhrina menetapkan tertuduh diikat jamin RM1,800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes serta membolehkan tertuduh melantik peguam. 

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya, Aqeeb Lizalman Zamery. - BHarian

Layan dua anak macam haiwan

KEJAM...dua beradik dirantai di dalam tandas rumah mereka.
KEJAM...dua beradik dirantai di dalam tandas rumah mereka. Imej: HMetro
BUTTERWORTH: Dua beradik diperlakukan seperti haiwan oleh bapa sendiri yang mengikat kaki mereka dengan rantai besi dan dikunci dengan mangga selain dikurung dalam tandas kotor selama lebih lima jam dalam kelaparan. 

Dalam kejadian di rumah mereka di Taman Mawar, Raja Uda, di sini, kelmarin, lelaki berusia 40-an itu mengikat kaki kiri anak perempuannya berusia enam tahun serta anak lelakinya berusia dua tahun ketika hendak keluar bekerja kira-kira jam 3 petang.

Suspek yang bekerja di sebuah syarikat penghantaran mendakwa bertindak demikian kerana anaknya nakal dan tiada orang menjaga mereka ketika dia keluar bekerja. Lelaki itu dikatakan sudah berpisah dengan isterinya dipercayai warga Thailand yang meninggalkan rumah sebulan lalu.

Ketika diselamatkan kira-kira jam 8.40 malam, dua beradik itu yang hanya berbaju dan berseluar dalam, berada dalam keadaan yang amat menyedihkan. Bapa mereka yang pulang ketika dua kanak-kanak itu diselamatkan, ditahan polis bagi membantu siasatan. 
DIREMAN...bapa dua beradik terbabit yang direman empat hari.
DIREMAN...bapa dua beradik terbabit yang direman empat hari. Imej: HMetro
Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara (SPU), Asisten Komisioner Zulkifli Alias, berkata kejadian menimpa dua beradik itu disedari jirannya apabila terdengar jeritan mereka meminta tolong. 

Jiran mereka menghubungi polis kira-kira jam 8 malam dan sepasukan polis ke tempat kejadian bersama-sama pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menyelamatkan dua beradik itu. 

Kanak-kanak itu kini dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ), manakala bapa mereka ditahan reman empat hari mulai semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2011. 

Sementara itu, seorang saksi yang enggan dikenali, berkata dua kanak-kanak itu kelihatan kelaparan ketika ditemui dan dalam keadaan yang amat menyedihkan. 

“Apabila kami berikan roti, mereka memakannya dengan lahap, keadaan mereka amat menyedihkan kerana ditempatkan dalam tandas yang kotor,” katanya sambil menambah kanak-kanak lelaki itu tidak memakai seluar. 

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang negeri, Phee Boon Poh, berkata JKM sudah memulakan siasatan berhubung kejadian itu. 

"Sementara menunggu siasatan selesai, mereka akan ditempatkan di pusat jagaan JKM mengikut Seksyen 15 Akta Perlindungan Kanak-Kanak. Kami akan mencadangkan supaya ibu bapa kanak-kanak itu mengikuti sesi kaunseling bagi mengelakkan insiden sama berulang," katanya.  - BHarian

Thursday, December 29, 2011

Akui Terkejut, Faizal Tahir Tidak Bersedia Sertai 'Mentor'


Faizal Tahir
PETALING JAYA: Penyanyi Faizal Tahir terkejut apabila namanya diumumkan sebagai salah seorang daripada enam mentor terpilih bagi program Mentor musim keenam yang bakal diadakan pada tahun hadapan.
Pengumuman tersebut dilakukan pada sidang media khas pelantikan enam mentor bagi musim tersebut termasuklah Ramlah Ram, Fauziah Ahmad Daud (Ogy), Ella, Adam dan Ferhad di Sri Pentas TV3, di sini, Rabu.
Faizal berkata, dia sebenarnya masih lagi berfikir dengan tawaran untuk menggalas tanggungjawab sebagai mentor kepada bakat-bakat baru dan tidak memberi apa-apa kata putus kepada pihak TV3 tetapi tidak sangka namanya terus dipanggil pada pengumuman tersebut.
"Sebenarnya saya berada di Sri Pentas pada hari ini (Rabu) untuk membincangkan mengenai Anugerah Juara Lagu (AJL) dan tidak sangka pula selepas itu saya menyertai sidang media ini kerana saya belum membuat apa-apa lagi keputusan (mengenai Mentor).
"Bagaimanapun, saya terima pemilihan ini. Memang pada mulanya saya enggan sertai Mentor 6, tetapi penerimaan tawaran ini juga bukan kerana terpaksa. Saya akan buat sedaya yang mungkin," katanya.
Beritahu penyanyi yang popular dengan lagu “Karma” ini, keengganannya melibatkan diri dalam program popular tersebut adalah kerana tahap keyakinan diri untuk mengajar protege baru agak kurang.
Barisan mentor yang bakal beraksi bersama protege masing-masing pada tahun depan. Foto AHMAD IZZRAFIQ ALIAS
Malah, Faizal tahu, mengasah bakat seseorang bukannya mudah, malah memerlukan strategi dan kesabaran yang sangat tinggi.
"Bukan mudah untuk mendapatkan seseorang protege seperti yang diinginkan. Malah, tahap keyakinan saya untuk mendidik seseorang juga agak kurang kerana saya sendiri masih lagi bertatih dalam bidang muzik ini.
"Saya selalu meletakkan satu tahap yang tinggi untuk diri sendiri setiap kali beraksi, inikan pula seorang bakat baru yang akan berada di bawah saya. Lebih menakutkan ialah, saya risau jika tidak dapat mencari protege seperti yang diinginkan. Saya mahu cari seseorang yang lebih daripada seorang juara," tegasnya.
Uji bakat Mentor 6 akan berlangsung bermula di negeri Sabah dan Sarawak iaitu pada tarikh 13 Januari depan di Hotel Promenade, Tawau, dan 15 Januari (Hotel Promenade, Kota Kinabalu), 20 Januari (Hotel Imperial, Miri) serta 22 Januari di Hotel merdeka Palace , Kuching.
Pada bulan Februari pula, uji bakat bersama setiap mentor akan diadakan di Sri Pentas TV3 melibatkan Fauziah Ahmad Daud atau Ogy (4 Februari), Faizal Tahir (5 Februari), Ramlah Ram (11 Februari), Ferhad (12 Februari), Ella (18 Februari) dan Adam AF (19 Februari).
Sementara itu, Ogy pula sudah bersedia untuk menerima segala kritikan pedas yang mampu membakar semangatnya untuk terus mendidik protege yang bakal dipilihnya nanti.
"Memang ketika bekerja saya seorang yang sangat tegas dan protege yang dipilih perlu mengikut kriteria-kriteria seperti yang diinginkan seperti boleh bermain alatan muzik dan paling penting, membaca nota muzik.
"Apabila mereka tahu dua perkara ini, ia lebih memudahkan saya mengasah bakat mereka menjadi yang terbaik. Dan ya, kritikan pedas yang diberi oleh juri juga saya sudah bersedia untuk menerimanya," seloroh Ogy. - mStarOnline

Elly Suriati Menangis Kerana Keguguran


Elly Suriati.
PETALING JAYA: Pelakon, Azri Iskandar memberitahu isterinya, Elly Suriati sering menangis kerana tertekan selepas mengalami keguguran ketika mengarahkan filem Penanggal di Kampung Sayong, Kuala Kangsar, Perak pada Rabu.
Azri berkata, isterinya seolah-olah tidak boleh menerima kenyataan kerana kehilangan bayi ketika usia kandungan itu telah mencecah empat bulan.
"Saya bimbang Elly tertekan dengan apa yang berlaku dan saya sering menyatakan kepadanya bahawa ia bukan salah sesiapa kerana itu adalah ketentuan Allah SWT. Walaupun sedih saya berusaha untuk menenangkan dia," ujarnya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, Elly dikatakan menyedari mengalami keguguran apabila hendak membuang air kecil dan secara tiba-tiba berlaku pendarahan yang memaksanya di bawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
Azri berkata, selepas membuat pemeriksaan, doktor mengesahkan Elly mengalami keguguran dan terpaksa ditahan di Hospital Kuala Kangsar.
Elly ketika kejadian Elly baru sahaja selesai merakamkan adegan pada waktu malam filem itu yang berakhir sehingga lewat pagi.
"Penggambaran filem habis lewat sehingga pukul enam pagi. Keguguran itu berlaku mungkin disebabkan dia terlalu aktif dan lasak ketika di lokasi namun itu adalah suratan daripada-Nya," kata Azri.
Terdahulu sebelum ini, Elly dan Azri berkongsi khabar gembira apabila memberitahu mereka bakal menimang cahaya mata keempat dan pengumuman itu dibuat semasa pelancaran filem Penanggal baru-baru ini.
Elly yang ditemui nyata gembira dengan kehadiran orang baru dalam keluarga mereka dan memberitahu yakin dapat melakukan kerja-kerja pengarahan walaupun sedang berbadan dua.
Azri Iskandar.
Hasil perkongsian hidup pasangan itu dikurniakan tiga orang anak namun anak keduanya telah meninggal dunia.
Dalam perkembangan lain, Azri berkata, penggambaran filem Penanggal yang turut menampilkannya sebagai pelakon akan dihentikan buat beberapa hari sementara menunggu keadaan kesihatan Elly kembali pulih.
Penanggal adalah filem arahan pertama Elly dan dibarisi oleh pelakon seperti Zul Ariffin, Umi Shazera, Fasha Sandha dan Datuk Sharifah Aini. - mStarOnline

Arwah anak menonong pergi kerja


RAGUT NYAWA...mesin pengisar tandan kelapa sawit yang meragut nyawa Suhaimi.
RAGUT NYAWA...mesin pengisar tandan kelapa sawit yang meragut nyawa Suhaimi.

TAIPING: “Saya terkilan kerana arwah tidak datang bersalam dengan saya seperti kebiasaan dilakukannya sebelum pergi bekerja pagi tadi (semalam),” kata Mohammad Ariffin Ibrahim, bapa kepada seorang pekerja kilang kelapa sawit yang maut selepas terjatuh ke dalam mesin pengisar tandan kelapa sawit di sini, semalam.

Mohammad Ariffin, 74, berkata arwah anaknya, Suhaimi, 36, biasanya akan datang mendekatinya sebelum bersalam dan meminta diri untuk pergi bekerja di kilang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumah mereka.

“Bagaimanapun, dia langsung tidak bercakap sepatah pun sebelum keluar dari rumah menunggang motosikal,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tersusun Padang Gajah, di sini, semalam.

Dalam nada sebak Mohammad Ariffin memberitahu, Suhaimi turut menunjukkan sikap aneh malam kelmarin apabila sengaja membuka televisyen walaupun hujan lebat dan disertai petir.

“Dia sengaja menguatkan bunyi televisyen dan duduk menonton tanpa rasa janggal antara jam 7 hingga 11 malam.

“Ini amat menghairankan saya kerana dia tidak pernah menonton televisyen ketika hujan lebat kerana bimbang keselamatan rumah dan perkakas elektrik,” katanya. 

Mangsa yang juga anak ke enam daripada tujuh beradik disifatkan sebagai baik dan mengambil berat terhadap keluarga.

Sementara itu, ibu mangsa, Habsah Ali, 62, gagal ditemubual berikutan masih terkejut dengan kejadian berkenaan.

Jenazah mangsa yang dituntut dari Hospital Taiping dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Air Terjun, di sini, jam 6 petang semalam. - myMetro

berita berkaitan: Berkecai dikisar mesin

Graduan Indonesia digantung


Maggie Taissya Olivia dibawa keluar dari Mahkamah Alor Setar, semalam setelah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati atas kesalahan mengedar dadah.

ALOR SETAR 28 Dis. - Seorang graduan dalam jurusan perbankan dari Jakarta, Indonesia dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar 841.63 gram dadah.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd. Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu ke atas Maggie Taissya Olivia, 27, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

"Mahkamah tiada pilihan melainkan menjatuhkan hukuman mati kepada tertuduh memandangkan keterangan pihak pembelaan tidak dapat menyangkal anggapan bahawa kamu membawa dadah di dalam beg yang dibawa.

"Malahan tertuduh sendiri mengetahui ada dadah di dalam begnya," kata Mohd. Zaki.

Wanita itu yang sebelum ini merupakan seorang pegawai pemasaran di sebuah syarikat di Jakarta didakwa mengedar 656.15 gram heroin dan 185.48 gram monoacetylmorphines pada 20 September tahun lalu kira-kira pukul 12.15 tengah hari di Kompleks CIQ Bukit Kayu Hitam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik dilihat menangis teresak-esak setelah hukuman dijatuhkan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shuhada Md. Yatim, manakala tertuduh diwakili peguam A.J. Surinarayanan. - Utusan

Polis kesan teman lelaki Rozana


Tun Hisan Tun Hamzah (kiri) menunjukan sebahagian barangan yang dirampas dipercayai digunakan dalam kejadian samun pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 28 Dis. - Polis sedang mengesan teman lelaki kepada mangsa pembunuhan kejam, Rozana Mohd. Yusak yang ditikam sebanyak 15 kali di sebuah rumah kedai di Kepong dekat sini Rabu lalu, bagi membantu menyelesaikan siasatan kes tersebut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, pihaknya mengenal pasti identiti lelaki terbabit dan kini mengesannya.

"Kita memang mendapat petunjuk dan kini mengesan lelaki yang mampu membantu kita menyelesaikan kes itu," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, hari ini.

Menurut beliau, polis juga mengambil keterangan kira-kira empat saksi termasuk rakan dan keluarga mangsa bagi membantu siasatan setakat ini.

Ditanya mengenai motif sebenar pembunuhan Rozana, 35, Tun Hisan berkata, pihaknya masih belum dapat memastikannya selagi suspek sebenar kes pembunuhan itu belum diberkas.

Bagaimanapun, kata beliau, siasatan kini dijalankan secara menyeluruh termasuk kemungkinan pembunuhan itu dilakukan akibat cemburu.

"Kita juga dapat laporan bedah siasatan dan mendapati terdapat 36 kesan kecederaan di tubuh mangsa yang dipercayai akibat pergelutan," katanya.

Rozana, seorang kerani insurans mati akibat ditikam sebanyak 15 kali dipercayai oleh individu dikenalinya dipercayai angkara cemburu di sebuah rumah kedai di Jalan Puncak Jaya, Kepong awal pagi 21 Disember lalu. - Utusan

Wednesday, December 28, 2011

Terkejut rumah pindah tangan


REMBAU: “Saya bercadang mahu membuat pengubahsuaian rumah awal tahun depan tetapi terkejut diberitahu rumah dibeli secara tunai lebih 10 tahun lalu sudah dilelong dan kini mempunyai pemilik lain,” kata kakitangan kerajaan, Normala Hashim, 48, yang terkejut apabila rumah teres setingkat dibelinya di Taman Rembau Utama, di sini, dilelong tanpa pengetahuannya.

Menurutnya, tiga minggu lalu, dia didatangi pembida yang mengatakan sudah membeli rumahnya dengan bayaran RM6,300 sebagai deposit melalui Kontrak Lelongan Awam di Mahkamah Tinggi Seremban.

Normala berkata, masalah itu bukan saja menghimpit dirinya tetapi lapan lagi pemilik rumah yang sudah membeli rumah secara tunai juga dimaklumkan kediaman mereka turut tersenarai dalam lelongan itu.

“Perkara ini sudah tentu memeranjatkan kerana sudah 11 tahun kami mendiami rumah itu namun awal bulan lalu didatangi broker mengatakan rumah ini akan dilelong,” katanya ketika ditemui di Taman Rembau Utama, di sini, semalam.

Katanya, ketiadaan geran tanah juga menyebabkannya berdepan dengan situasi sukar apabila timbul masalah seperti itu.

“Sebelum ini kami cuba mendapatkan geran tanah rumah untuk menuntut hak milik kekal namun pelbagai alasan diberikan pihak berkaitan sehinggalah tiba waktu rumah kami dilelong.

“Kami berasa tidak puas hati dan tertipu apabila tidak menerima sebarang notis mengatakan rumah dilelong sedangkan bayaran pembelian rumah sudah lama langsai,” katanya. 

Seorang lagi pemilik rumah yang baru kematian suami, Aminah Jahan, 39, berkata, dia terkejut dimaklumkan rumah diduduki lebih 10 tahun lalu sudah dilelong.

“Lebih menyedihkan, rumah ini dihadiahkan oleh ayah kepada saya dan kakak, malah rumah ini sudah habis dibayar cuma sehingga kini kami tidak memperoleh geran rumah,” katanya.

Kedua-dua pemilik rumah berkenaan kemudian membuat laporan di Balai Polis Rembau bagi menuntut keadilan berhubung dengan masalah itu. - myMetro

Saturday, December 24, 2011

Kejutan besar Mufti Perlis


KUALA LUMPUR: Kerenah birokrasi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak ternyata memberi kejutan besar kepada Mufti Perlis apabila beliau dimaklumkan anaknya tidak layak memohon kad pengenalan berikutan tidak berstatus warganegara.

Malah, kejadian itu turut menimbulkan beberapa persoalan kepada Dr Juanda Jaya yang hadir bersama anaknya perempuannya, Sumaiyah Syahidah, 12, di kaunter jabatan berkenaan di Wisma Persekutuan Sarawak, Kuching, awal pagi semalam.

Menurut Dr Juanda, beliau tampil ke kaunter sama untuk memohon kad pengenalan anaknya dua hari berturut-turut, namun gagal.

“Semalam (kelmarin) saya sudah ke JPN Sarawak, tapi kecewa kerana mendapat angka giliran terlalu jauh dan hanya dua kaunter dibuka berikutan waktu makan tengah hari.

“Justeru, saya datang sekali lagi pagi ini (semalam) sebelum dimaklumkan permohonan kad pengenalan anak tidak dapat diteruskan kerana tidak menepati Prosedur Operasi Standard (SOP),” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, alasan itu sukar diterima memandangkan anak keduanya itu mempunyai pasport dan surat beranak berstatus warga Malaysia.

“Keenam-enam anak saya lahir di Hospital Umum Sarawak, didaftarkan di JPN sama, bersebelahan kaunter permohonan kad pengenalan.

“Mereka mempunyai pasport dan surat beranak sah berstatus warga negara dengan jenis bangsa tertera sebagai Melanau.

“Jadi kenapa dinyatakan status sebagai bukan warga negara dalam data JPN sedangkan mereka lahir di Malaysia dan mempunyai surat beranak sah,” katanya.

Dr Juanda berkata, dia kesal apabila JPN meminta beliau menyerahkan sijil nikahnya dengan isteri yang juga warga Indonesia untuk melengkapkan permohonan terbabit.

“Prosedur permohonan kad pengenalan yang tertera di papan kenyataan meminta supaya pemohon mengisi borang, menyertakan kad pengenalan bapa dan surat beranak...tiada pula syarat tambahan seperti diminta pegawai JPN berkenaan.

“Ini yang berlaku kepada saya, tapi jika perkara sama menimpa orang kampung yang duduk di kawasan pedalaman dan sukar mendapat peluang ke bandar, bukankah ia menyusahkan?,” katanya.

Selain masalah berkaitan prosedur baru JPN, Dr Juanda berkata, beliau juga kesal dengan tahap perkhidmatan jabatan berkenaan yang tidak mesra pengguna.

“Saya meminta JPN melakukan semakan terhadap permohonan surat beranak untuk rujukan, namun dimaklumkan masih tidak mempunyai surat nikah sebagai rekod.

“Sekarang, saya bimbang mengenangkan nasib empat lagi anak yang belum memohon kad pengenalan.

“Urusan mendaftar dan memohon ini sepatutnya dipermudahkan...kita bukan mendaftar kali pertama, tapi mereka (anak-anak) sudah mempunyai surat beranak dan pasport,” katanya.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Mahmood Adam ketika dihubungi turut terkejut apabila dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Saya belum menerima laporan berkaitan masalah ini...tapi kalau permohonan kad pengenalan bagi anak pertama beliau berjalan lancar, mengapa pula yang ini (permohonan kad pengenalan Sumaiyah) menjadi masalah pada JPN?,” katanya.

Mengulas alasan pegawai JPN Sarawak bahawa permohonan kad pengenalan Sumaiyah tidak dapat diteruskan kerana tidak menepati SOP, Mahmood berkata, siasatan lanjut dibuat dalam tempoh terdekat.

“Nanti saya semak...SOP, kalau menyusahkan orang, nak buat apa...” katanya. - myMetro

Friday, December 23, 2011

Misteri bola metalik jatuh dari langit


SEBIJI bola gergasi metalik yang jatuh dari langit di wilayah Omusati, utara Namibia pada bulan lalu.

WINDHOEK, Namibia – Sebiji bola metalik gergasi yang berdiameter 1.1 meter dan berat enam kilogram jatuh dari langit di sebuah kampung di utara Namibia, 750 kilometer dari sini pada November lalu.
Pihak berkuasa Namibia kini menghubungi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan dan Agensi Angkasa Eropah bagi mendapatkan maklumat mengenai bola tersebut.
Institut Sains Forensik Kebangsaan Namibia bingung tentang bola tersebut dan tidak mengetahui dari mana asalnya.
Bola metalik itu ditemui oleh seorang petani di wilayah Omusati.
Menurut beberapa saksi, bunyi kuat kedengaran sebelum ia ditemui seorang petani yang kemudian menberitahu polis.
Bola itu kini dalam simpanan pihak polis. – Agensi

Mayat terjelir di tepi padang


Anggota forensik memeriksa mayat lelaki dipercayai warga tempatan yang dijumpai mati di padang bola berhampiran kawasan perindustrian Sungai Dua, Rawang.
Anggota forensik memeriksa mayat lelaki dipercayai warga tempatan yang dijumpai mati di padang bola berhampiran kawasan perindustrian Sungai Dua, Rawang.

GOMBAK: Seorang lelaki dipercayai warga tempatan ditemui dalam keadaan lidah terjelir dan mayat sudah mula membengkak di tepi padang bola sepak berhampiran kawasan perindustrian Sungai Dua, Rawang, malam kelmarin.

Mayat lelaki berusia 40-an itu lengkap berpakaian dipercayai sudah dua hari berada di tempat kejadian sebelum disedari orang awam kira-kira jam 7.30 malam.Menurut sumber, mangsa dipercayai mengalami masalah sakit mental dan pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di kawasan perindustrian terbabit. 

"Orang awam yang menemui mayat berkenaan bertindak menghubungi Balai Polis Rawang.

"Mangsa ditemui dalam keadaan terlentang dengan lidah terjelir namun polis tidak menemui sebarang kecederaan di badan mangsa," katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan mengesahkan penemuan mayat terbabit dan kes diklasifikasikan mati mengejut (SDR).

Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat. - myMetro

Yusry & Lisa Umum Tarikh Nikah Sabtu Ini


PETALING JAYA: Selepas sekian lama berteka-teki mengenai tarikh perkahwinan mereka, pasangan artis Lisa Surihani dan Yusry Abdul Halim akan membuat pengumuman istimewa mengenai perkara itu pada Sabtu ini.
Jemputan mengenai pengumuman berkenaan telah dihantar oleh pihak KRU Studios kepada pihak media pada petang Khamis.
Majlis berkenaan akan diadakan pada pukul 10.30 pagi di Hotel Marriott, Putrajaya.
Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan KRU Studios, Norman Abdul Halim yang juga abang kepada Yusry ketika dihubungi bagi mengesahkan perkara itu hanya ketawa dan memberitahu akan menjelaskan perkara sebenar kepada pihak media pada hari berkenaan.
"Ia merupakan satu pengumuman istimewa dan pastinya ia akan diberitahu pada majlis nanti. Kalau saya beritahu sekarang tak ada kejutanlah," katanya berseloroh.
Pada pengumuman itu nanti, ibu bapa Yusry iaitu Abdul Halim dan Zarina Fenner serta ibu Lisa, Siti Amira Ahmad juga akan turut serta.
Difahamkan Yusry dan Lisa akan bernikah pada awal tahun depan yang mana majlis berkenaan akan mendapat liputan secara langsung menerusi saluran Astro.
Pasangan tersebut sudah mula rapat sejak Mac lalu dan sering berhubungan menerusi telefon bimbit masing-masing sejak setahun yang lepas.
Kemudian kedua-dua mereka membuat pengakuan pertama pada bulan Jun bahawa mereka sedang menjalinkan hubungan lebih daripada seorang kawan dan menganggap ia sebuah perhubungan yang matang. - mStarOnline

Thursday, December 22, 2011

'Teater Semerah Padi': Jue Aziz Hadapi Masalah Disiplin


Jue Aziz
PETALING JAYA: Pelakon Jue Aziz yang dipilih memegang watak Dara dalam teaterSemerah Padi yang bakal dipentaskan pada 24 Disember ini menghadapi masalah disiplin yang boleh menyebabkan dia digugurkan dari produksi tersebut.
Penerbit, Megat Mohd Noor Salleh Ghani atau Keno kesal dengan sikap Jue yang secara keseluruhannya menyebabkan produksi tersebut terjejas.
“Kami terpaksa menggunakan khidmat pelakon lain bagi menggantikan Jue. Nasib baiklah kami telah bersedia dengan pelakon gantian kerana bimbang berlaku masalah pada saat-saat akhir. Rupa-rupanya memang benar berlaku.
“Jue tidak datang latihan sejak Jumaat lalu dan pihak kami gagal menghubunginya, namun dia ada menghantar pesanan bahawa dia ada masalah kesihatan,” katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.
Keno diminta menjelaskan dakwaan pihak produksi teater Semerah Padi bakal menggugurkan Jue Aziz kerana masalah disiplin dan dikatakan bakal diganti dengan pelakon Arbaiah Ahmad Nadzri atau Abby Nadzri.
Jue juga dikatakan kurang memberi komitmen dan perhatian sepenuhnya ketika sesi latihan yang dilakukan sejak 13 November lalu.
“Pementasan teater bukan seperti penggambaran filem atau drama yang boleh ditangguhkan atau menunggu pelakon.
“Teater perlu ada komitmen, usaha dan disiplin yang tinggi. Latihan adalah paling penting dan tidak boleh dipandang remeh atau sambil lewa,” katanya kesal.
Megat Mohd Noor Salleh Ghani atau Keno
Dalam pada itu ditanya tentang tindakan disiplin yang boleh dikenakan terhadap pelakon itu, Keno berkata pihaknya belum membuat sebarang perbincangan tentang hal tersebut.
“Kami mempunyai kontrak dan boleh ambil tindakan terhadapnya kerana melanggar perjanjian.
“Bagi saya dia sendiri telah menjatuhkan reputasi dia dalam industri ini dan secara jujur ini mungkin yang pertama dan terakhir untuk bekerjasama dengan Jue,” katanya.
Sementara itu, Keno turut menjelaskan tentang pembatalan dua hari pementasan teater berkenaan iaitu pada 22 dan 23 Disember ini bukan kerana masalah disiplin Jue, sebaliknya persediaan lengkap keseluruhan produksi dari segi teknikal.
“Kami menjangkakan pementasan sepatutnya pada 22 hingga 31 Disember ini tetapi atas perbincangan dengan semua pihak dan bahagian teknikal, keputusan membatalkannya pada dua hari tarikh pementasan terpaksa dibuat.
Teater Semerah Padi ini turut dibintangi Khir Rahman, Fauzi Nawawi , Datuk Baharuddin Omar, Azizah Mahzan, Fazlina Datuk Ahmad Daud dan Baby Erin.
Teater arahan Rosdeen Suboh ini akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 24 hingga 31 Disember depan.
Tiket untuk teater di bawah naungan Sultan Pahang ini boleh didapati di www.ticket2u.biz. - MStarOnline

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu