adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Monday, January 31, 2011

Aidil kata damai, Rita kata dusta


KUALA LUMPUR: Krisis rumah tangga pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, 24, dan pelakon Rita Rudaini Mokhtar, 35, memasuki episod baru apabila satu pihak mengeluarkan kenyataan sudah menemui jalan damai manakala satu pihak lagi menafikannya dengan tegas, semalam.

Aidil yang dihubungi Harian Metro untuk mengesahkan laporan satu portal Internet mengenai Rita dikatakan sudah memohon maaf dengan mentuanya, mengakui perkembangan positif itu berlaku ketika isteri dan ibunya berjumpa selepas anak mereka, Airil Rayyan Rizkin, 2, dimasukkan ke Pusat Perubatan Prince Court, Khamis lalu.

“Ibu saya menziarahi anak saya yang mengalami demam panas dan dia berbual panjang dengan Rita. Mereka sudah bermaafan antara satu sama lain. Bagaimanapun lebih baik persoalan mengenai perkara ini ditanya kepada Rita kerana dia yang mempunyai masalah dan bukannya saya,” katanya.

Malah, Aidil berkata dia juga menarik balik tindakan proses sulh yang difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah berhubung soal penjagaan anak yang dibuat sebelum ini. “Saya akan menarik balik tindakan memfailkan proses sulh yang dibuat sebelum ini dalam masa terdekat dan bersyukur sekiranya apa yang berlaku sebelum ini tidak berpanjangan dan berakhir dengan baik dan selamat,” katanya.

Bagaimanapun Rita yang dihubungi pula, menafikan segala yang diperkatakan suaminya dan tidak mahu kenyataan diputar belit sehingga menimbulkan masalah kepadanya seperti yang pernah berlaku sebelum ini. “Mengapa saya memohon maaf sedangkan tiada satu kesalahan pun datang dari pihak saya. Mereka sekali lagi sudah mengubah cerita sebenar agar kesalahan nampak di pihak saya.

“Dalam hal ini saya perlu berhati-hati dan perlu membetulkan kembali kenyataan kerana bimbang ia bakal digunakan di mahkamah kelak. Saya ada saksi apa sebenarnya berlaku kerana ketika itu seorang wartawan kebetulan ada bersama dan dia boleh menjadi saksi,” katanya.

Rita yang kini hamil enam bulan juga hairan mengapa Aidil tidak menceritakan perkara sebenar bahawa dia datang melawat Rayyan hanya selepas dipaksa.“Saya sedih apabila terpaksa berdepan dengan masalah anak seorang diri. Sudahlah saya berbadan dua dan sekarang tidak cukup rehat kerana menjaga Rayyan di hospital. Selama tiga hari di hospital Aidil langsung tidak datang menjengah anak.

“Apabila dia melawat bersama mentua saya sudah tidak dapat bersabar dan menceritakan apa yang berlaku sebenarnya. Selama ini pun saya banyak bersabar dan telan segala perbuatan mereka terhadap saya,” katanya.

Rita berkata, Adil dan kelurganya memohon maaf ke atas kesalahan mereka, namun itu hanya berlaku selepas dipujuk oleh wartawan yang kebetulan berada di hospital berkenaan.

“Saya maafkan mereka tetapi ingin saya tegaskan ia membabitkan kedua-dua mentua saja. Ini kerana saya menghormati mereka sebagai orang yang lebih tua tetapi yang lain saya tidak akan maafkan,” katanya.

Rita juga menegaskan, kenyataan Aidil yang dia menarik balik permohonan hak penjagaan anak mereka sesuatu sukar diterimanya kerana pihak Mahkamah Syariah Seremban baru menghubunginya dan memaklumkan bawa Aidil mahu perbicaraan kes itu diteruskan.

“Sekarang saya tidak mahu fikir panjang mengenai perkara itu kerana perlu beri perhatian kepada kesihatan Rayyan dan kandungan saya. Terpulanglah kepada suami saya apa juga tindakan dilakukan sama ada mahu menarik kembali aduan atau tidak. Tolong jangan kacau dan menambah tekanan kepada saya lagi. “Sebelum ini dia (Aidil) pernah kata mahu menarik kembali aduan tetapi sampai sekarang ia tetap diteruskan. Dengan saya dia kata sudah tarik tetapi mahkamah menghubungi saya dan memaklumkan dia mahu perbicaraan diteruskan. Saya malas mendengar penjelasan bercanggah daripadanya,” kata Rita. - myMetro
retetan dari http://ayahbob.blogspot.com/2011/01/rita-rudaini-tamatkan-sengketa-dengan.html 

Sunday, January 30, 2011

Rita Rudaini Tamatkan Sengketa Dengan Mertua


Rita dan Adil bersama anak mereka Airit Rayyan.
PETALING JAYA: Hubungan yang keruh melibatkan pelakon Rita Rudaini Mokhtar,35, dengan keluarga mertuanya kembali jernih apabila kedua-dua pihak sudah menamatkan perselisihan faham yang tercetus hampir tiga tahun lalu.
Peristiwa air mata itu berlaku di Pusat Perubatan Prince Court, Jalan Tun Razak di sini pada malam Khamis lalu apabila suami Rita, Aidil Zafuan,24, membawa ibu dan bapanya Azizah Arshad,58, dan Abdul Radzak Salleh,61, untuk menziarahi cucu mereka, Airit Rayyan Rizqin yang berusia dua tahun di pusat perubatan itu akibat demam panas.
Ketika tiba di pusat perubatan berkenaan, Rita telah meluahkan segala isi hati yang terbuku selama ini sehinggalah kedua-dua pihak bermaaf-maafan bagi menjernihkan segala kekusutan yang terjadi.
“Emak sayangkan Rita. Mak restu perkahwinan Rita dengan Aidil,” kata Azizah sambil memeluk menantunya dengan linangan air mata.
Rita juga turut mencium tangan Abdul Radzak sambil kedua-dua mereka meminta maaf di atas segala masalah yang telah berlaku selama ini.
Aidil Zafuan (kanan) bersama ibu dan bapanya, Azizah Arshad dan Abd. Radzak Salleh sewaktu ditemui wartawan di rumah mereka di Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Detik-detik itu turut disaksikan oleh ahli keluarga kedua-dua belah pihak.
Bukan sahaja bermaaf-maafan malah Rita yang kini mengandung lima bulan anak kedua turut menjemput ibu bapa mertuanya itu melawat cucu mereka di rumahnya di Manjalara, Kuala Lumpur pada masa akan datang.
“Kalau mak dengan ayah rindu dekat Rayyan, boleh datang melawat,” kata Rita yang tentunya berasa lega dengan peristiwa bersejarah itu.
Kedua-dua pihak memanjatkan rasa syukur kerana kekeruhan yang berlaku dapat dijernihkan apabila mereka berjaya menamatkan sengketa yang telah berlaku.
Rita dan Aidil bernikah secara rahsia di Songkhla, Thailand pada bulan Februari 2008 sehingga menimbulkan kekecohan apabila perkahwinan berkenaan tidak mendapat restu keluarga.
Akibat kejadian itu, kedua-dua pihak gagal mencapai persefahaman untuk berdamai sehinggalah ia berpanjangan.
Selain Aidil Zafuan, kembar bintang bola sepak kebangsaan dan Negeri Sembilan tersebut iaitu Zaquan Adha turut memilih artis sebagai isteri apabila bernikah dengan Ayu Raudhah pada 21 Januari lalu.-mStarOnline

Siti Nurhaliza terima Anugerah Wanita Inspirasi


BANDUNG 29 Jan. - Penyanyi terkenal yang juga usahawan kosmetik dari Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin menerima Anugerah Wanita Inspirasi pada majlis Malam Anugerah Kasih anjuran Ikatan Setia Kawan Malaysia-Indonesia (Iswami) yang berlangsung di sebuah hotel di sini malam tadi.

Anugerah itu diberikan kepada penyanyi tersohor tersebut sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam bidang ekonomi membabitkan usahawan-usahawan Indonesia.

Ia disampaikan oleh Menteri Negara Pemerkasaan Wanita dan Perlindungan Anak Republik Indonesia, Linda Amalia Sari Gumelar sempena Maybank Semi '10 Seminar Ekonomi Malaysia-Indonesia 2010 anjuran Iswami.Turut menerima anugerah ialah Institut Teknologi Bandung dan Universiti Padjajaran, Bandung bagi Anugerah Jasa Pendidikan.

Anugerah Khas pula diberikan kepada Allahyarham Des Alwi yang secara konsisten memperjuangkan hubungan yang lebih akrab antara Malaysia dan Indonesia.Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Pengerusi Iswami Malaysia, Datuk Chamil Wariya dan Pengerusi Iswami Indonesia, M. Saiful Hadi.

Para hadirin turut dihiburkan dengan persembahan tarian tradisional dari Indonesia dan nyanyian Siti Nurhaliza yang menggamatkan dewan kerana kesyahduan dan kelunakan suaranya.

Linda Amalia ketika berucap pada majlis itu mahukan ikatan dan persahabatan yang sedia terjalin antara Malaysia dan Indonesia sebagai bangsa serumpun terus dipergiatkan dengan sokongan padu di kalangan usahawan wanita kedua-dua negara.

"Kita mahukan hubungan ini macam 'angin sejuk' dan saling menerokai bidang-bidang baru bagi menguatkan kemesraan dan jalinan keharmonian agar memberi motivasi untuk terus maju," katanya.

Sebelum itu, Siti Nurhaliza dalam ucapan ringkas sebelum mengadakan persembahan menyatakan persetujuan untuk menjadi Duta Budaya Dunia Melayu yang dicadangkan oleh M. Saiful dalam usaha mengeratkan hubungan di kalangan masyarakat Melayu di rantau ini.- Utusan

SAYA TAK TERAGAK-AGAK


SETINGGI mana dia terbang memperdagangkan bakat, sebesar itu juga kontroversi yang mengulit. Bukan kehendaknya, namun rencah anak seni yang bernafas di bawah limpahan populariti, Fasha Sandha akur meskipun setiap inci peribadinya dibogelkan.

Peluh dan kerut dahinya yang sukar disembunyi kerana berlari ke lokasi penggambaran drama siri terbaru lakonannya, Samson Delaila dan kembali menguruskan salun miliknya, Salon Chinta yang bakal beroperasi tidak lama lagi, Fasha terus diasak dengan berita mengejut perpisahannya dengan kekasih, Rizal Ashram Ramli atau Jejai.

Tidak terhenti di situ, sehari kemudian aktres kelahiran Johor Bahru ini berdepan pula kemelut berbalas kenyataan dengan bekas isteri kepada Jejai yang juga dramatis, Nora Danish.

Sejak awal pagi Khamis lalu sejurus segala pengumuman dan perang kenyataan di dada akhbar, aktres terkenal ini tidak henti-henti mendedahkan status ‘berani’ yang cenderung menyerang pihak lawannya di ruangan sosial peribadi Twitter miliknya,@FashaSandha1.

Persoalannya, sampai bila Fasha akan terus mengharungi cerita panas sebegini? Adakah mungkin ia berterusan hingga mencipta satu stigma dan persepsi? Kepada wartawan SELEBRITI, Murshid Eunos, Fasha berkongsi rasa.

“MUSTAHIL saya merancang atau sengaja mencurah pasir ke dalam periuk nasi sendiri. Tidak mungkin saya bertindak bodoh seperti itu jika tiada alasan kukuh. Ternyata, saya terpaksa berbuat demikian bagi menegakkan kebenaran dan keadilan diri sendiri. Saya tidak mahu ada pihak lain sewenang-wenangnya menindas saya dengan bergayut sekali dalam permasalahan yang saya hadapi. Jujurnya, memang ia sedikit mengganggu perjalanan rutin harian, lebih-lebih saya sibuk di lokasi penggambaran dan terpaksa berlari-lari memantau salun yang hampir siap. Namun itulah harga yang terpaksa saya bayar atas segala kegemilangan dikecapi. Saya akur dan terpaksa menelan semua itu meskipun rasanya sangat pahit.

Selepas pengumuman pihak Jejai dan saya berhubung perpisahan kami, tidak sepatutnya ada pihak lain yang sibuk ingin merasa tempias publisiti dengan memberi kenyataan atau komen. Cerita itu merungkai segala spekulasi ramai pihak. Namun ada pula yang sengaja ingin memanjangkan isu itu hingga mencabar tahap kesabaran saya sebagai wanita.

Berita di muka depan mengenai perpisahan kami itu sudah cukup dan tidak perlu pula ada orang yang tidak tahu-menahu untuk menambah fakta dan bercakap lebih, sedangkan dia tidak tahu kisah di sebaliknya. Bagai menjolok sarang tebuan, usah bising jika sengatnya membunuh secara perlahan.

Saya terpaksa mendedahkan semua bukti yang saya ada seperti senarai panggilan, mesej dalam telefon bimbit dan beberapa keping gambar bagi membuka dimensi mata peminat atau sesiapa yang tekun mengikuti sorotan kisah ini supaya persepsi kononnya saya hanya bersembunyi di sebalik helah adalah salah. Saya tidak mahu berbuat demikian kerana bimbang ia akan mengaibkan sesiapa, namun jika keadaan mendesak seperti mana pernah dicanangkan sebelum ini, saya tidak akan teragak-agak.

Bukan saya ingin membuktikan siapa menang atau dalang mana yang cuba membelit fakta, sebaliknya saya perlu memikirkan soal reputasi yang seolah-olah sengaja dicalarkan berhubung perkara ini. Saya tidak peduli soal perasaan sesiapa kerana keutamaan adalah diri sendiri. Saya perlu berdiri untuk menegakkan apa yang benar dan mana yang sepatutnya dibicarakan. Peminat saya arif dan bijak. Mustahil mereka leka dan berbuai dengan segala macam cerita yang timbul. Alhamdulillah, mereka tidak sesekali lari atau merasa benci, sebaliknya semakin kerap pula peminat menghantar kata-kata semangat dan dorongan kepada saya melalui Twitter.

Twitter adalah ruangan peribadi untuk saya berkongsi rasa atau apa saja yang ingin disembangkan. Ia adalah komunikasi bersama peminat dan mereka yang ingin mengikut perkembangan saya. Justeru, saya tidak melihat perkara itu sebagai satu peperangan atau mencerminkan sifat peribadi seseorang. Usah terlalu dalam memikirkan soal itu. Saya hanya ingin berkongsi perasaan bersama peminat dan begitu juga dengan sesiapa yang lain. Masing-masing punya hak untuk menaikkan status di Twitter bagi meluahkan perasaan. Senario itu bukan satu peperangan, sebaliknya hanya medium berkongsi rasa.” - myMetro

Saturday, January 29, 2011

'Hero Malaya' Kutip RM60 Ribu Bantu Bob (Kuman)


KUALA LUMPUR: Misi Hero Malaya yang disertai kira-kira 20 artis lelaki tanah air tercapai apabila berjaya menerima sumbangan sebanyak RM60,000 dari pasar raya Carrefour selepas melakukan aktiviti amal di pasar raya tersebut.
Kutipan tersebut bakal diserahkan kepada pelakon Bob (Kuman) atau nama sebenar Husni Rawi, 39, untuk membeli mesin oksigen dan melakukan pembedahan pintasan perut (gastric bypass).
Bob memerlukan peralatan itu akibat berat badan yang berlebihan iairu 219 kilogram sehingga menyukarkan pernafasan selain mengakibatkan komplikasi buah pinggang.
Menurut pengacara Aznil Nawawi, sumbangan yang dilakukan kumpulan yang digelar Hero Malaya itu sedikit sebanyak membantu rakan artis yang memerlukan sumbangan.
“Idea untuk mengumpul sumbangan ini pada awalnya selepas terbaca rangkaian sosial Twitter Bob yang meluahkan rintihan terhadap sakit yang dihadapinya.
“Kami yang berhubung melalui laman sembang maya Blackberry Massenger (BBM) ini akhirnya mengambil keputusan untuk membantunya sedaya yang termampu,” ujarnya.
Dalam pada itu, aktiviti yang berlangsung pukul 3 petang sehingga 6 petang Jumaat itu mendapat sambutan lebih 500 pengunjung.
Seramai 20 Hero Malaya yang terdiri dari pelakon, penyanyi dan pengacara melakukan pelbagai aktiviti amal yang menggantikan tugas pekerja pasar raya tersebut.
Antara selebriti yang terlibat ialah Fazley Yaakob, Zahid AF2, Iqram Dinzly, Erry Putra, Farish Aziz, Adi Fashla, Alif Satar, Altimet, DJ NasT, Fizo Omar, Imran Ajmain, Cat Farish, Maulana, Riz Ainuddin, Zizan Raja Lawak, Shaheizy Sam, Kamal Adli, Zahiril Adzim, Zoey Rahman dan Syafie Naswip.
Sementara itu, Bob (Kuman) yang ditemui menzahirkan rasa terharunya apabila mendapat kejutan daripada kumpulan Hero Malaya tersebut.
Katanya, luahan hati yang dianggap sekadar gurauan itu mendapat perhatian dari rakan artis yang lain.
“Saya tidak menyangka luahan hati saya di Twitter itu mendapat perhatian mereka. Memang saya ada berseloroh dengan meminta agar diberikan wang sejumlah itu kerana ingin membeli beberapa mesin oksigen dan melakukan pembedahan pintasan perut.
“Saya pada mulanya dijemput untuk membuat persembahan untuk hari ini (Jumaat), tak tahu menahu tentang kejutan ini,” katanya dengan nada terharu.
sumber : mStarOnline

Artis mangsa minyak dagu


KUALA LUMPUR: Akibat disihir dengan minyak dagu mayat, seorang pelakon wanita drama bersiri popular membuat pengakuan pernah meninggalkan suami dan tiga anaknya semata-mata untuk bersekedudukan dengan seorang lelaki warga Kemboja yang baru dikenali walaupun ketika itu dia hamil tiga bulan.


Mangsa mendakwa ilmu hitam itu menyebabkan dia seolah-olah menjadi hamba seks lelaki terbabit selama lebih dua tahun sekitar 2007 hingga 2009. Sepanjang tempoh itu juga, semua pendapatan bulanannya turut diserahkan kepada lelaki berkenaan.


Lebih tragis lagi, pelakon itu yang berusia 27 tahun dan hanya mahu dikenali sebagai D berkata, dia juga terlantar selama sebulan di wad psikiatrik, Hospital Selayang dekat sini, selepas doktor mengesahkan dia mengalami gangguan mental.


“Segala-galanya bermula selepas saya berkenalan dengan seorang penghantar surat yang kerap datang ke pejabat saya di Damansara atas urusan kerja. Entah mengapa saya tiba-tiba seperti hilang pertimbangan diri kerana sentiasa dihantui wajah lelaki berusia 24 tahun itu seolah-olah ada satu daya tarikan istimewa pada dirinya. Saya gagal mengawal diri sehingga tidak mampu menolak setiap arahan yang diberikan, malah tidak teragak-agak meninggalkan suami dan anak untuk tinggal serumah dengan lelaki itu di Gombak,” katanya.


D berkata, sepanjang tinggal dengan lelaki itu, dia dilayan seperti pembantu rumah apabila diarah melakukan semua kerja rumah selain terpaksa menyerahkan semua wang pendapatannya.


“Biarpun dimaki-hamun dan dipukul saban hari, saya tidak pernah terfikir untuk meninggalkannya, malah hati saya tetap menyayanginya. Setiap kali saya berhasrat pulang ke pangkuan anak-anak, seolah-olah ada satu kuasa mematikan niat saya itu,” katanya.


Menurut D, hampir tiga tahun bersama lelaki durjana itu, dia langsung tidak pernah menjenguk orang tuanya di kampung dan suaminya juga gagal menjejaki tempat tinggalnya. “Saya juga seperti dirasuk kerana setiap kali ada pihak melarang hubungan kami, saya tidak teragak-agak memarahi serta memaki-hamun mereka,” katanya.


Kemuncaknya, keadaan diri D menjadi tidak keruan apabila lelaki itu menghilangkan diri. Dia mula meracau siang dan malam memanggil nama lelaki itu hingga akhirnya terpaksa dimasukkan ke hospital.


Selepas terlantar di hospital, barulah keluarganya dapat bertemu dengan D selepas dihubungi pihak hospital dan sokongan mereka membuka laluan untuk D kembali pulih seperti sedia kala.


“Saya hanya menangis sepanjang tempoh ditahan di hospital. Ketika itu, bapa menasihati saya supaya kuat semangat dan memohon pertolongan daripada Allah. Bimbang melihat keadaan saya semakin parah, bapa membawa saya berjumpa pengamal perubatan tradisional kerana mengesyaki saya terkena ilmu hitam,” kata D.


Menurutnya, selepas berubat dengan dua pakar perubatan tradisional, dia diberitahu lelaki itu menggunakan ilmu hitam dengan mencalitkan minyak dagu pada badannya. “Saya turut diberitahu lelaki terbabit menggunakan sihir itu untuk mengikis harta ramai gadis sebelum menghilangkan diri,” katanya.


D bersyukur kepada Allah kerana hasil rawatan tradisional dia semakin pulih dan kini sudah mampu melupakan lelaki berkenaan. Bagaimanapun, perbuatan kejam lelaki itu menyebabkan rumah tangga D berakhir apabila dia diceraikan suaminya pada penghujung tahun lalu.


“Tentunya dia marah dan kecewa dengan apa yang berlaku, tapi dia tak tahu saya menjadi mangsa ilmu hitam. Kini saya sudah mampu menjalani kehidupan seperti biasa dan melupakan episod perit yang meragut kebahagiaan rumah tangga saya. Saya sanggup berkongsi pengalaman hidup saya kerana mahu ia menjadi pengajaran kepada semua wanita. Berhati-hatilah dan jangan mudah percaya dengan lelaki,” katanya.-myMetro

Friday, January 28, 2011

Kahwin Bukan Nak Tutup Status Seksual - Awal


Awal tidak kisah dengan apa yang diperkatakan mengenai dirinya. Foto THE STAR Oleh UU BAN
KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara Awal Ashaari,30, menjelaskan kekasihnya Scha Al-Yahya lebih tahu siapa dirinya yang sebenar serta hubungan yang mereka jalinkan.
Awal berkata, Scha juga bukan jenis individu yang mudah memeprcayai kata-kata dan juga tuduhan yang dilemparkan terhadapnya selama ini.
"Scha lebih tahu siapa diri saya yang sebenar. Itu adalah kepercayaan yang amat paling penting.
"Kami telah berkawan selama satu tahun setengah dan saya pasti dia bukan bodoh untuk menilai tentang diri saya," ulas Awal mengenai gosip dalam sebuah portal yang mengatakan dia hanya berpura-pura bercinta dengan Scha untuk menutup dirinya seorang gay.
Scha
Kata Awal, penampilannya sebagai seorang lelaki yang bergaya ataupun lebih bercirikan metroseksual mungkin menyebabkan sesetengah pihak tersalah anggap dengan statusnya itu.
"Sebelum ini ramai lagi artis lelaki yang dilemparkan tuduhan kononnya mereka adalah gay kerana gaya dan penampilan mereka tetapi terbukti tuduhan itu tidak benar.
"Kebanyakan mereka semua sudah berkahwin dan mempunyai ramai anak. Hanya kerana mengamalkan gaya hidup metroseksual tidak bererti gay," katanya selepas ditemui pada majlis pandu uji kereta model Honda CR-V di sebuah restoran di sini, Khamis.
Dalam pada itu, ketika ditanya adakah dia dan Scha ada berbincang mengenai tuduhan yang dilemparkan terhadap dirinya itu, Awal mengakui pernah berbicara mengenainya.
"Kalau ada pihak yang termakan dengan apa yang orang cakap mungkin sekarang Scha telah meninggalkan saya tetapi percintaan kami masih kekal," katanya yang baru selesai menjalani penggambaran program Rentak Bolly di India.
Pernah berangan-angan untuk mengakhiri zaman bujang sebelum mencecah usia 30 tahun, Awal berkata apabila saat itu tiba, keputusan untuk berkahwin bukan untuk menutup cakap-cakap masyarakat mengenai status seksualnya tetapi kerana kehendak diri sendiri.
"Saya tidak akan berkahwin hanya kerana ingin memberitahu kepada masyarakat bahawa saya lelaki tulen tetapi kerana kehendak diri saya sendiri.
"Saya tidak perlu buktikan bahawa saya bukan gay," katanya yang bakal mengacarakan program Fuhhh! musim terbaru di TV3.
Mengharapkan jodohnya dengan Scha panjang, Awal memberitahu apa yang diperkatakan oleh masyarakat mengenai status seksualnya adalah tidak penting kerana dia lebih mengetahui mengenai perkara itu.
"Saya tidak boleh menutup mulut orang lain untuk berhenti bercakap mengenai diri saya.
"Cukup keluarga,teman rapat dan Scha mengetahui siapa diri saya. Itu sudah memadai," katanya mengakhiri perbualan. - mStarOnline

Dua wanita dituduh perdagang bayi perempuan


KUALA LUMPUR – Dua wanita, seorang daripadanya warga tempatan dan seorang lagi dari Indonesia, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini terhadap tuduhan memperdagangkan seorang bayi perempuan berusia tujuh hari bagi tujuan eksploitasi, dua minggu lepas.
Yoong Thim Thai, 53, warga tempatan, dan Aling Athu, 36, seorang pendatang tanpa izin dari Indonesia, didakwa dengan niat bersama telah memperdagangkan bayi perempuan itu di tempat letak kereta, Pasar Raya Tesco Ampang, Ampang Jaya di sini pada 2.30 petang 14 Januari lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan boleh dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan denda.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Zuraini Abdul Hamid menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap Thim Thai beserta syarat tambahan iaitu pasportnya perlu diserahkan kepada mahkamah, selain melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan.
Bagi Aling, pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan memandangkan dia merupakan pendatang tanpa izin. - Bernama

BANGKAI ANJING DALAM BONGKAH AIS


DAWSON CREEK - Pihak berkuasa Kanada melakukan siasatan berhubung bangkai seekor anjing yang dibekukan di dalam sebuah bongkah ais, lapor sebuah akhbar semalam.
Bangkai anjing itu ditemui oleh seorang lelaki apabila ia diletakkan di halaman rumahnya pada 15 Januari lalu.
Lelaki berkenaan yang tidak membela sebarang haiwan peliharaan itu memberitahu pihak berkuasa bahawa dia tidak mengetahui bagaimana bongkah ais itu berada di hadapan rumahnya di sini.
Jurucakap Persatuan Perlindungan Haiwan British Columbia, Marcie Moriarty memberitahu: "Ia sebuah kes yang ganjil dan menyedihkan. Dalam blok ais itu terdapat bangkai seekor anjing hitam."
Moriarty menjelaskan kepada akhbar Vancouver Sun bahawa siasatan awal menunjukkan bahawa haiwan itu telah mati sebelum bangkainya dibekukan. - Agensi

Thursday, January 27, 2011

Robert Phang Akhirnya Letak Jawatan Anggota Panel SPRM


PETALING JAYA: Tokoh kontroversi, Tan Sri Robert Phang melepaskan jawatannya sebagai anggota Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkuat kuasa serta merta.
Keputusannya itu muncul tidak sampai 24 jam selepas SPRM membenarkan Phang terus menjadi anggota panel berkenaan sehingga tamat tempoh keanggotaan penggal pertamanya pada 24 Februari depan.
Menurut Phang, beliau mengambil keputusan itu demi integriti dirinya dan juga SPRM.
Pada Rabu, SPRM telah mengeluarkan kenyataan bagi menyatakan keputusan untuk mengekalkan Phang dicapai secara sebulat suara oleh seluruh anggota jawatankuasa yang dianggotai oleh Phang dalam satu mesyuarat yang diadakan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Jalan Duta.
Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Tan Sri Dr Ramon Navaratnam.
Phang sebelum ini memohon pelepasan selaku anggota panel berkenaan bagi membolehkan SPRM menyiasat secara bebas dakwaan rasuah yang membabitkannya sebagaimana yang hangat diperkatakan oleh beberapa blog akhir-akhir ini.
Sebuah blog mendakwa Phang telah cuba memberi rasuah kepada seorang ketua setiausaha sebuah kementerian tahun lepas. - mStarOnline

4 beradik dihalau ke hutan


SETIU: Gara-gara kakak sulung gagal memberikan wang gaji hasil kerja sambilan di kedai makan kepada bapanya, empat beradik iaitu tiga perempuan berusia lapan, 10 dan 14 tahun serta seorang lelaki berusia tujuh tahun terpaksa bermalam dalam hutan ketika hujan lebat berhampiran Kampung Guntung dekat sini, selepas dihalau bapa mereka yang panas baran, awal pagi semalam.

Selain itu, kakak sulung berusia 14 tahun yang sudah tidak bersekolah mendakwa turut diterajang lelaki berusia 59 tahun itu sebelum tiga lagi adiknya dihalau keluar dari rumah mereka di Kampung Saujana di sini, kira-kira jam 1 pagi.
DI SINI...bangsal yang dijadikan tempat tidur empat beradik selepas dihalau bapa mereka.

Lebih memeranjatkan, penderitaan empat beradik yang terpaksa berlapar sepanjang malam dalam kesejukan itu membongkar kejadian lebih tragis kerana mereka sebenarnya sering didera lelaki terbabit apabila disepak, diterajang, ditumbuk, dihentak dengan hulu parang serta dicucuh puntung rokok.

Kesan kecederaan semua mangsa terbongkar selepas mereka dibawa ke Hospital Setiu (HS) di sini, untuk rawatan lanjut.

Sejarah hitam empat beradik itu berakhir apabila diselamatkan orang ramai yang menemui mereka di sebuah wakaf di Kampung Guntung, selepas dihalau lelaki berkenaan yang ‘naik hantu’ gara-gara kakak sulung gagal memberikan wang diminta.

Lelaki terbabit juga dikatakan berang dengan tindakan seorang daripada anaknya menghantar SMS kepada ibu mereka yang melarikan diri dari rumah sejak September tahun lalu.

Harian Metro difahamkan, walaupun ibu kanak-kanak berkenaan meninggalkan mereka, dia masih berhubung melalui telefon dan sejak ketiadaannya, kehidupan empat beradik itu tidak terurus.

Semua kanak-kanak berkenaan ditemui seorang penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan hutan itu untuk menghantar anaknya ke sekolah yang kemudian memaklumkannya kepada penduduk kampung.

Mereka kemudian menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Setiu yang kemudian memaklumkan jabatan itu tidak mempunyai kuasa sebelum mereka menghubungi Balai Polis Permaisuri.

Berikutan itu, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian dan menyelamatkan kanak-kanak berkenaan yang kelihatan amat letih dan lesu sebelum menghantar mereka ke HS untuk pemeriksaan kesihatan dan kini dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Ketika dirawat, detik hitam empat beradik terbabit terungkai apabila mereka didapati mempunyai kesan lebam dan luka lama dipercayai akibat didera.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu dan berkata, semua kanak-kanak itu kini ditempatkan di HSNZ selepas dirujuk dari HS.

“Laporan polis itu dibuat orang ramai yang terserempak dengan kumpulan kanak-kanak terbabit dalam keadaan tidak bermaya dan letih sebelum menghubungi polis meminta bantuan.

“Sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi dimaklumkan dan membawa semua mangsa ke hospital untuk rawatan sebelum didapati mengalami kecederaan disyaki akibat didera,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Susulan aduan itu, beliau berkata, kira-kira jam 7.15 malam semalam, polis menahan bapa kanak-kanak terbabit dan perintah reman terhadapnya akan dipohon bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31, Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya. - myMetro

Wednesday, January 26, 2011

Tiga Beradik Nyaris Maut Dalam Kebakaran


BANDAR BAHARU: Tiga orang kanak-kanak yang ditinggalkan sendirian oleh ibu bapa mereka di rumah nyaris maut dalam kebakaran di Kampung Bagan Samak dekat sini petang Rabu.
Kanak-kanak tersebut Nurul Syamini binti Rusaini, 9, adik-adiknya Nurulsalimi, 7, dan Mohd Nor Hasyimi, 4, sempat diselamatkan oleh jiran-jiran mereka yang menyedari kebakaran itu.
Bagaimanapun rumah papan mereka hangus terbakar dalam kejadian pukul 2.30 petang tersebut.
Ketika kejadian, bapa mereka Rusaini Osman, 37, dan ibu mereka Norzita Idris, 35, sedang berada di Pekan Parit Buntar, Perak untuk mengambil dua lagi abang mereka iaitu Mohd Nor Hilmi, 13, dan Mohd Nor Syalini, 11, yang bersekolah di pekan itu yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumah mereka.
Adik bongsu mereka Nurfahimi, 1 tahun dibawa bersama oleh ibu bapa mereka.
"Saya sebelum ini sering meninggalkan mereka untuk mengambil abang-abang mereka di sekolah tanpa berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini. Tetapi hari ini berlaku kebakaran yang tidak pernah saya jangka.
"Apabila saya sampai di rumah, api telah marak hingga membakar seluruh rumah saya. Namun saya tetap bersyukur kerana anak-anak saya selamat," kata Norzita.
Ketua Pegawai Bomba dan Penyelamat Pekan Serdang, Yuhanna Faizal Othman berkata lima pasukan bomba dan penyelamat termasuk tiga pasukan sukarela yang keseluruhan melibatkan 34 anggota telah berkejar ke tempat kejadian namun tidak sempat menyelamatkan rumah itu.
Punca kebakaran belum dikenal pasti, katanya.
Kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Bandar Baharu telah menyampaikan bantuan ringan kepada keluarga berkenaan termasuk barang-barang keperluan dapur, tilam dan selimut.
Keluarga berkenaan kini menetap di rumah jiran mereka.
Pegawai JKM Daerah Bandar Baharu, Adnan Rashid berkata pihaknya akan menyampai bantuan segera sebanyak RM300 kepada mangsa.Wakil Penyelaras kawasan Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Helmi Abdul Khan berkata pihaknya pula telah menghubungi Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) Datuk Arfan Shari untuk menimbangkan bantuan rumah kepada keluarga tersebut.
Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu, Mustafa Kamal Shaikh Ismail pula bersetuju untuk membiayai pakaian seragam dan keperluan persekolahan anak keluarga terbabit yang turut terbakar. - BERNAMA

Pembunuh upahan terima RM10,288 bunuh juruhebah Filipina


Polis mengawal kawasan kejadian (AFP/File)
MANILA 25 Jan. - Polis Filipina hari ini berkata, penjenayah bersenjata yang membunuh seorang juruhebah Filipina mengaku melakukan pembunuhan itu bagi mendapatkan ganjaran sebanyak 150,000 peso (RM10,288) yang dikongsi bersama seorang lagi rakannya.

Menurut polis, selepas ditahan pembunuh itu memberitahu bahawa dia dan seorang rakannya yang masih bebas telah diarahkan membunuh juruhebah radio, Gerardo Ortega semalam untuk menghentikan kritikannya terhadap seorang individu berpengaruh.

"Dua lelaki yang mengupah mereka menyatakan 'bos' mereka mahu supaya Ortega dibunuh.

"Pada mulanya mereka diberi sebanyak 10,000 peso (RM685) setiap seorang dan sedikit pembiayaan operasi, manakala jumlah selebihnya dibayar setelah perbuatan jahat itu selesai," kata ketua polis tempatan, Supritendan Roland Amurao memberitahu AFP dan menambah kata, mereka mungkin bekerja bagi pihak syarikat perlombongan.

Katanya, jumlah keseluruhan yang dikongsi kedua-dua lelaki itu sebanyak 150,00 peso (RM10,288) disifatkan sebagai satu nilai yang banyak bagi kebanyakan rakyat Filipina di mana satu pertiga penduduknya hidup dengan kurang daripada 45 peso (RM3) sehari.

Ortega ditembak di bahagian kepala ketika membeli-belah di sebuah gedung pakaian di Puerto Princesa, ibu negeri Pulau Palawan pagi semalam sejurus selepas tamat bertugas.

Penjenayah itu, Marlon de Camata ditahan ketika cuba melarikan diri dari tempat kejadian, kata polis.

Identiti lelaki yang mengarahkan Camata serta individu yang dikatakan 'bos' mereka, sedang disiasat dan tidak boleh didedahkan kepada orang ramai kerana sensitiviti siasatan itu," kata Amurao.

Katanya, senjata yang digunakan dalam tembakan itu dikesan milik seorang peguam yang dikenali mewakili syarikat perlombongan pada masa lalu. - AFP

Lelaki Nepal tampar pengerusi parti komunis


Devi Prasad Regmi
KATHMANDU 25 Jan. - Seorang lelaki Nepal yang menampar ahli politik ekoran berang dengan kelembapan proses pembangunan di negara bermasalah itu, mencetuskan kempen sokongan yang popular di Internet setelah tindakannya itu menyentuh perasaan penduduk.

Devi Prasad Regmi, 55, yang menampar muka pengerusi Parti Komunis UML di sebuah acara pengambilan anggota baru Khamis lalu, menuduh ahli politik Nepal 'memusnahkan negara', satu tuduhan yang menyebabkan dia mendapat sokongan meluas di Internet.

Sebuah laman web yang ditubuhkan menggunakan namanya memperoleh mesej-mesej sokongan daripada beratus-ratus penduduk Nepal.

"Devi Prasad Regmi merupakan seorang anak Nepal yang berani. Tamparan itu bukan hanya kepada pengerusi parti itu, tetapi juga kepada semua pemimpin parti yang lain," kata satu kenyataan yang disiarkan dalam laman web www.deviprasadregmi.info.

Seorang individu dalam laman Facebook yang diwujudkan sebagai penghormatan kepada Regmi berkata, lelaki itu 'bertindak untuk 30 juta penduduk Nepal' ketika dia menampar muka pengerusi Parti Komunis UML, Jhalanath Khanal yang bertanding dalam pilihan raya sebagai Perdana Menteri pada tahun lalu.

Nepal berada dalam situasi tanpa sebuah kerajaan selama lebih enam bulan disebabkan percanggahan di antara parti-parti politiknya.

Pengundian sebanyak 16 pusingan di Parlimen gagal untuk menghasilkan seorang pemimpin baru dan kepimpinan yang lemah membantutkan pembangunan di sebuah daripada negara paling miskin di dunia ini.

Regmi ditahan tetapi kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin dan akan didakwa menganggu keamanan. - AFP

MINUMAN "TENAGA BATIN" BERACUN

KUALA LUMPUR: Tidak ubah seperti menjual racun apabila Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membongkar sejenis produk minuman ‘tenaga batin’ edaran sebuah syarikat kosmetik terkenal yang dikesan dicampurkan dua jenis kimia berbahaya sekali gus.


Racun kimia analog berkenaan yang dipercayai diseludup dari Taiwan dianggap berbahaya berikutan boleh merosakkan sel saraf tubuh selain meragut nyawa pengguna dalam tempoh singkat.


Tindakan sebuah syarikat memasarkan produk minuman kesihatan berbahaya itu terbongkar selepas pihak penguat kuasa farmasi merampas kira-kira 2,000 botol produk itu bernilai lebih RM100,000.


Dalam operasi kira-kira jam 11 pagi semalam, sepasukan 30 pegawai penguat kuasa farmasi diketuai Ketua Penolong Pengarah Kanan Penguat Kuasa Farmasi KKM, Dali Ismail bertindak menyerbu lima premis yang menjual produk itu di Chow Kit, di sini.


Operasi itu dilakukan bertujuan merampas dua jenis produk kesihatan berbahaya yang diedarkan sebuah syarikat kosmetik terkenal beribu pejabat di kawasan berkenaan.


Jurucakap Bahagian Farmasi berkata, pihaknya sebelum ini melakukan siasatan terhadap produk minuman kesihatan lelaki milik syarikat itu yang didakwa boleh meningkatkan daya rangsangan seksual.


Menurutnya, pengedar produk minuman berharga RM50 sebotol itu bagaimanapun cuba mengaburi pengguna dengan mendakwa cecair berkenaan dihasilkan 100 peratus herba dan rempah terpilih.


“Namun rahsia ramuan istimewa berkenaan adalah palsu selepas produk itu dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis. Hasil ujian makmal, pihak KKM mendapati minuman itu mengandungi kimia Hydroxythiohomosildenafil dan Thiosildenafil.


“Kimia sintetik itu jauh berbahaya berbanding kimia sildenafil di dalam produk Viagra berikutan ia mampu merosakkan sistem tubuh dengan lebih cepat termasuk mengakibatkan kematian mengejut,” katanya.


Katanya, syarikat sama turut dikesan mengedarkan sejenis minuman kesihatan yang didakwa mampu membakar lemak serta menguruskan tubuh dalam tempoh pantas.


“Pemeriksaan Jabatan Kimia dilakukan di Pulau Pinang mendapati produk minuman kesihatan itu dicampurkan kimia berbahaya analog Sibutramine yang dikategorikan sebagai racun berjadual,” katanya.- myMetro

Tuesday, January 25, 2011

NORA BUKAN DALANG


KUALA LUMPUR: Selepas sekian lama mengambil sikap tunggu dan lihat, Rizal Ashram Ramli, 34, atau Jejai semalam mengesahkan hubungannya dengan pelakon Fasha Sandha sudah berakhir dan pada masa sama menegaskan bekas isterinya, Nora Danish sama sekali tiada kaitan dengan perpisahan itu.


“Dia (Nora Danish) tidak pernah masuk campur urusan peribadi saya. Apa yang berlaku antara saya dan Fasha sehingga menyebabkan kami berpisah tiada kena mengena dengan orang lain,” katanya menerusi e-mel yang dihantar kepada wartawan Harian Metro, semalam.


Kenyataan Jejai itu sekali gus menamatkan teka-teki yang sebelum ini dicetuskan Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 27, apabila berkata hanya dia dan Jejai yang tahu mengenai status terkini perhubungan cinta mereka.


Kiriman e-mel Jejai itu juga secara tidak langsung membersihkan nama Nora atau nama sebenarnya Nora Danish Mohd Hanif, 29, yang sebelum ini didakwa menggunakan keluarga bekas mentuanya untuk memutuskan hubungan Jejai dan Fasha.


Jejai berkata, dia terpaksa membuat kenyataan dan penjelasan mengenai status perhubungannya dengan Fasha berikutan terlalu banyak fakta tidak betul mengenai mereka diperkatakan media dan di Internet, biarpun dalam bentuk gosip.


“Walaupun dalam penulisan (gosip di akhbar) tidak menamakan artis berkenaan, tapi sesiapa yang membaca pasti akan mengetahui siapa artis yang dimaksudkan. Sebenarnya ia tidak pernah berlaku seperti ditulis. Dakwaan dia (Nora Danish) menggunakan keluarga saya untuk memisahkan (saya dan Fasha) tidak pernah berlaku. Apa yang berlaku dalam keluarga saya, saya tahu semuanya,” kata Jejai menerusi e-melnya.


Jejai turut menegaskan dakwaan mengatakan Nora gila talak amat keterlaluan.


“Saya pasti dia (Nora Danish) tidak pernah gila talak. Dia sedang mengenali seseorang, malahan saya mengenali lelaki itu. Dia seorang yang baik dan dihormati. Fasha juga tidak pernah mengugut saya. Itu adalah pasti. Dia bukan seorang yang berkelakuan begitu,” katanya.


Jejai turut menegaskan kenyataan diberikan mengenai isu perhubungan cintanya itu yang terakhir dan berharap ia tidak lagi diperkatakan atau ada pihak cuba menjadikan ia sebagai satu isu. - myMetro

Monday, January 24, 2011

Pelajar histeria cuba terjun bangunan


TEMERLOH – Para pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar di sini, cemas seketika apabila seorang pelajar perempuan yang mengalami histeria cuba terjun dari tingkat dua bangunan sekolah itu hari ini.
Detik cemas itu berlarutan lebih sejam sebelum anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam berjaya menyelamatkan pelajar tingkatan tiga berkenaan.
Suasana kecoh dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu turut menarik perhatian petugas Pejabat Pelajaran Daerah Temerloh yang terletak bersebelahan dengan sekolah berkenaan.
Pegawai Pelajaran Daerah Temerloh, Mohd Nadzri Ab Wahab yang bergegas ke sekolah itu berkata, kejadian histeria telah beberapa kali berlaku di sekolah terbabit, namun kejadian pagi tadi disifatkan paling mencemaskan.
Pelajar itu kemudian dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh untuk rawatan lanjut. – Bernama

Jiran cuba sabotaj kita: Kuan Yew


SINGAPURA: Bekas Perdana Menteri Singapura menuduh negara jiran, Malaysia dan Indonesia berusaha cuba menjatuhkan republik itu.


Menurut Lee Kuan Yew, kedua-dua negara jiran itu tidak senang dengan kemajuan pelabuhan Singapura dan berusaha untuk menggagalkannya.


Beliau turut menggesa masyarakat Islam tempatan bersikap ‘lebih longgar dalam mengamalkan suruhan agama mereka,’ bagi membantu proses integrasi dan pembangunan negara.


Majoriti penduduk Singapura keturunan China dengan golongan Melayu yang beragama Islam dan kaum India menjadi penduduk minoriti.


“Saya boleh berkata hari ini, kita boleh integrasi semua agama dan kaum kecuali Islam,” katanya dalam buku barunya: ‘Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going.


“Saya berpendapat kami mencapai kemajuan dengan baik sehingga muncul kebangkitan Islam dan jika anda bertanya pendapat saya, masyarakat lain dapat berintegrasi dengan mudah - persahabatan, kahwin campur dan sebagainya,” katanya yang kini menjadi penasihat anaknya yang juga Perdana Menteri republik itu, Lee Hsien Loong.


“Saya berpendapat, masyarakat Islam secara sosialnya tidak mencetuskan masalah. Tetapi mereka berbeza dan terpisah,” kata Kuan Yew sambil menggesa penganut agama itu bersikap lebih longgar dalam melaksanakan ajaran Islam. 


Ketika melancarkan buku berkenaan Jumaat lalu Lee memberi amaran kepada rakyat Singapura agar tidak bersikap ambil mudah kerana republik itu masih menjalani proses pembangunan. Dengan menyifatkan Singapura dalam buku itu sebagai ‘bangunan 80 tingkat di atas tanah paya,’ Lee berkata, negara itu mesti berjuang untuk mengatasi sikap bermusuhan dengan negara jiran yang majoriti penduduknya beragama Islam.


“Kita mempunyai jiran yang baik? Sedarlah. Terdapat usaha untuk menjatuhkan kita kerana kita adalah pengacau.” katanya dengan mendakwa Malaysia dan Indonesia berusaha untuk menggagalkan bisnes pelabuhan yang amat penting bagi republik itu. - AFP

Sunday, January 23, 2011

Isu Salam Bukan Muhrim: Bukan Islam Faham - Normala


LABIS: Calon PAS, Normala Sudirman menegaskan isu dia tidak menyambut huluran tangan pengundi Cina lelaki tidak harus dijadikan isu pada kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.
“Perkara ini tidak sepatunya menjadi isu. Selepas 53 tahun kita merdeka saya lihat Barisan Nasional (BN) dan parti komponennya gagal memahami isu bagaimana adab bersalaman seorang wanita Muslim dengan orang lain.
"Sebagai seorang wanita Islam kami memang tidak bersalaman dengan seorang lelaki. Kalau dengan masyarakat Cina wanita memang tidak ada masalah,” katanya pada sidang media harian PAS di markas parti itu di sini pada Sabtu.
Perkara tersebut didakwa menjadi isu di kalangan pengundi Cina di Tenang kerana mereka mendakwa calon PAS itu tidak mesra dengan penduduk di kawasan tersebut.
Normala yang lebih dikenali sebagai Cikgu Mala menegaskan bahawa jika lelaki tersebut bukan mahramnya maka tidak dibenarkan dalam Islam.
“Walau sesiapa pun hata kami saudara seIslam sekali pun saya tidak boleh bersalaman dengan lelaki Islam. Saya kira sepatutnya rakan-rakan komponen BN faham dengan budaya ini supaya ia difahami oleh masyarakat. Ia sepatutnya tidak lagi menjadi isu," katanya.
Jelasnya, beliau juga telah bersalam dengan pengundi Cina di pasar tani Labis pagi tadi tidak ada seorang pun golongan lelaki masyarakat Tionghwa menghulurkan tangan untuk bersalam dengannya.
“Tidak ada seorang pun kaum Tionghwa lelaki bersalaman dengan saya. Saya kira mereka sudah mula memahami kerana komponen Pakatan Rakyat (PR) seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP telah memberi penjelasan mengenainya dalam sesi santai.
“Kami memang fleksibel tapi prinsip asas sebagai seorang Islam itu saya cukup jaga untuk mencari redha Allah. Insya-Allah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Dr Zulkefly Ahmad menggesa media tidak menggunakan isu salam itu sebagai modal kempen pada pilihan raya kecil kali ini.
“Tolong jangan jadikan isu salam sebagai perkara pokok pada kempen pilihan raya kecil ini.
“Saya minta sungguh-sungguh kerana kita punya isu yang lebih besar seperti kepentingan rakyat. Jangan sampai media hanya memainkan isu ini dan menutup isu lain,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Pengarah jentera pilihan raya PAS , Salahuddin Ayub mendakwa parti itu akan mendedahkan kepincangan terhadap calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azhar Ibrahim dalam tempoh terdekat.
“Kita jangka dalam sehari dua lagi kita akan mendedahkan beberapa isu berkaitan calon BN sekaligus akan mengubah suasana dan suhu kempen Umno dalam pilihan raya kecil kali ini,” katanya.
Ketika ditanya adakah isu peribadi calon akan didedahkan oleh PAS nanti, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen berkata: “Tak ada , kita tidak akan serang peribadi calon itu bukan prinsip kita. Apa isunya kita tunggu sehari dua lagi.” - mStar

Saturday, January 22, 2011

Ferrari bekas Presiden Tunisia dicuri


GAMBAR fail menunjukkan Zine El Abidine Ben Ali dan isterinya dalam satu kempen pilihan raya presiden di Tunis pada 11 Oktober 2009.


TUNIS - Sebuah kereta mewah Ferrari 599 GBB Fiorano bernilai AS$199,189 (RM610,514) milik bekas Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali dicuri dengan menggunakan sebuah forklift, lapor sebuah akhbar semalam.
Seorang pencuri yang mengendalikan forklift itu sempat tersenyum ketika membawa kereta curi tersebut di lebuh raya pada waktu tengah hari.
Imej kereta sport itu dicuri boleh dilihat di laman YouTube.
Isteri bekas presiden itu, Leila Trabelsi yang berusia 53 tahun dikenali kerana sangat menyukai kereta-kereta mewah.
Keluarganya dikatakan memiliki lebih 50 buah kereta yang disifatkan sebagai simbol penting perbuatan rasuah.
Digelar sebagai Imelda Marcos dunia Arab, bekas pendandan rambut itu juga memiliki banyak rumah mewah dan sering membeli-belah di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dengan menghabiskan ratusan ribu dolar.
Sejak Zine El Abidine melarikan diri dan tinggal dalam buangan di Arab Saudi, keadaan di bandar Tunis, Tunisia masih belum aman sepenuhnya.
Para penunjuk perasaan dilihat mencium anggota tentera dan meletakkan bunga di atas kereta-kereta kebal selepas Zine El Abidine melarikan diri pada minggu lalu.
Pentadbiran baru yang dipimpin oleh presiden sementara, Fouad Mbazaa menjauhkan dirinya daripada rejim Zine El Abidine dan mula membebaskan 1,800 banduan.
Selepas Zine El Abidine meletakkan jawatan dan melarikan diri itu, Tunisia mengumumkan aset-aset yang dimiliki oleh bekas presiden tersebut akan disiasat.

IMEJ di YouTube menunjukkan sebuah forklift mengangkut kereta Ferrari milik bekas presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali.


Sebelum ini isteri Zine dilaporkan membawa jongkong-jongkong emas bernilai AS$55.7 juta (RM171 juta) yang diperolehi dari Bank Negara Tunisia semasa melarikan diri.
Selain itu, para pegawai-pegawai pemerintah turut dikatakan telah menyimpan hampir AS$618 juta (RM1.89 bilion) di dalam akaun-akaun rahsia di bank Switzerland.
Walaupun Zine El Abidine yang berkuasa selama 23 tahun itu telah tumbang, penunjuk perasaan menuntut rakan-rakan presiden tersebut supaya melepaskan jawatan.
Zine meletakkan jawatan dan melarikan diri selepas sejumlah penunjuk perasaan mendesaknya berbuat demikian ekoran masalah pengangguran, rasuah dan sekatan kebebasan bersuara di negaranya. - Agensi


Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu