adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Wednesday, January 26, 2011

Tiga Beradik Nyaris Maut Dalam Kebakaran


BANDAR BAHARU: Tiga orang kanak-kanak yang ditinggalkan sendirian oleh ibu bapa mereka di rumah nyaris maut dalam kebakaran di Kampung Bagan Samak dekat sini petang Rabu.
Kanak-kanak tersebut Nurul Syamini binti Rusaini, 9, adik-adiknya Nurulsalimi, 7, dan Mohd Nor Hasyimi, 4, sempat diselamatkan oleh jiran-jiran mereka yang menyedari kebakaran itu.
Bagaimanapun rumah papan mereka hangus terbakar dalam kejadian pukul 2.30 petang tersebut.
Ketika kejadian, bapa mereka Rusaini Osman, 37, dan ibu mereka Norzita Idris, 35, sedang berada di Pekan Parit Buntar, Perak untuk mengambil dua lagi abang mereka iaitu Mohd Nor Hilmi, 13, dan Mohd Nor Syalini, 11, yang bersekolah di pekan itu yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumah mereka.
Adik bongsu mereka Nurfahimi, 1 tahun dibawa bersama oleh ibu bapa mereka.
"Saya sebelum ini sering meninggalkan mereka untuk mengambil abang-abang mereka di sekolah tanpa berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini. Tetapi hari ini berlaku kebakaran yang tidak pernah saya jangka.
"Apabila saya sampai di rumah, api telah marak hingga membakar seluruh rumah saya. Namun saya tetap bersyukur kerana anak-anak saya selamat," kata Norzita.
Ketua Pegawai Bomba dan Penyelamat Pekan Serdang, Yuhanna Faizal Othman berkata lima pasukan bomba dan penyelamat termasuk tiga pasukan sukarela yang keseluruhan melibatkan 34 anggota telah berkejar ke tempat kejadian namun tidak sempat menyelamatkan rumah itu.
Punca kebakaran belum dikenal pasti, katanya.
Kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Bandar Baharu telah menyampaikan bantuan ringan kepada keluarga berkenaan termasuk barang-barang keperluan dapur, tilam dan selimut.
Keluarga berkenaan kini menetap di rumah jiran mereka.
Pegawai JKM Daerah Bandar Baharu, Adnan Rashid berkata pihaknya akan menyampai bantuan segera sebanyak RM300 kepada mangsa.Wakil Penyelaras kawasan Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Helmi Abdul Khan berkata pihaknya pula telah menghubungi Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) Datuk Arfan Shari untuk menimbangkan bantuan rumah kepada keluarga tersebut.
Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu, Mustafa Kamal Shaikh Ismail pula bersetuju untuk membiayai pakaian seragam dan keperluan persekolahan anak keluarga terbabit yang turut terbakar. - BERNAMA

1 comment:

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu