adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Friday, February 11, 2011

“Kirim Siti Nurhaliza selesai masalah”


MENTERI Negara Pemberdayaan Wanita dan Perindungan Anak Indonesia, Linda Amalia Sari Gumelar menyampaikan plak Anugerah Inspirasi kepada Siti Nurhaliza di Bandung, Indonesia baru-baru ini.

SAYANGNYA Indonesia kepada penyanyi Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin bukan kepalang. Dia dilihat sebagai jurucakap bangsa Melayu yang wajar dijaga sebaik yang mungkin. Sehinggakan pernah dikeluarkan kenyataan andai Malaysia tidak mahu Siti Nurhaliza, berikan kepada Indonesia.

Kerana personaliti serta kejayaan menembusi pasaran muzik Melayu serantau Siti Nurhaliza juga dicadangkan sebagai Duta Kebudayaan Masyarakat Melayu pada Seminar Ekonomi Malaysia Indonesia anjuran Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (Iswami) di Bandung baru-baru ini.

Siti Nurhaliza barangkali bukan seorang pegawai diplomat lulusan luar negara yang membantu kerajaan menjual nama negara. Namun, menyedari tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia, dia terus menjaja nama negara menerusi seni.

“Kalau ada yang merasakan saya boleh memikul tanggungjawab mengakrabkan hubungan, saya bersedia menerimanya,” reaksi Siti Nurhaliza kepada Hits ketika mengulas cadangan Ketua Iswami Indonesia, Saiful Hadi Chalid melantik beliau sebagai Duta Kebudayaan Masyarakat Melayu baru-baru ini.

Penyanyi itu memberitahu, apa saja yang baik untuk hubungan serantau, beliau bersedia untuk membantunya.

Persetujuan itu dibuat Siti Nurhaliza memandangkan beliau mahu masyarakat serantau khususnya bangsa Melayu menjadi bangsa yang kuat dan berpengaruh seperti bangsa lain. Bagaimanapun, pada masa yang sama, penyanyi itu berkata, beliau memerlukan sokongan daripada semua pihak bagi merealisasikan idea pelaksanaan tugas itu.

Katanya, beliau tidak mampu memikul tanggungjawab itu sendirian kerana rumpun Melayu mempunyai skop yang luas dan mencakupi banyak isu termasuk ekonomi, sosial dan pembangunan modal insan.

“Semenjak terlibat dalam lapangan seni saya dapat melihat perubahan landskap sosial masyarakat Melayu. Justeru, seni seharusnya dijadikan sebagai instrumen penting oleh seluruh masyarakat serumpun untuk terus memperkasakan bangsa Melayu sehingga menjadi kuasa baru dunia,” kata Siti Nurhaliza lagi.

Nama Siti Nurhaliza dicadangkan oleh Saiful berdasarkan penerimaan besar masyarakat terhadap personaliti penyanyi Malaysia itu. Apa lagi dalam keadaan di sebalik hubungan Malaysia dan Indonesia yang kadangkala ‘panas’, artis popular itu boleh mengakrabkan hubungan serumpun itu.

“Lebih baik gelar itu datang daripada masyarakat, kerana gelar itu akan abadi,” kata Saiful yang juga Ketua Pengarang Agensi Berita Indonesia, Antara. Ketika menjelaskan lebih lanjut cadangan beliau itu, Saiful Hadi berkata, beliau yakin Siti Nurhaliza boleh memainkan peranan amat berkesan untuk ‘menyejukkan suasana’ ketika berlaku krisis dalam hubungan Malaysia dan Indonesia, misalnya.

“Ketika ada isu-isu hangat, tak perlu bersusah-payah kita mengirim delegasi Malaysia atau Indonesia untuk menenangkan keadaan, cukup dengan mengirim Siti Nurhaliza menyanyi dan mengatakan buat apa kita bermusuhan,” katanya.

Ketika di Bandung, Siti Nurhaliza yang juga usahawan kosmetik menerima Anugerah Wanita Inspirasi yang disampaikan oleh Menteri Negara Pemberdayaan Wanita dan Perlindungan Anak Republik Indonesia, Linda Amalia Sari Gumelar.

Anugerah itu diberikan kepadanya sebagai pengiktirafan dan penghargaan sumbangan beliau dalam bidang ekonomi dengan usahawan-usahawan Indonesia. - Utusan

1 comment:

  1. role model for achieving in career, luck with her in career but not in conceive child

    ReplyDelete

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu