adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Friday, February 18, 2011

Mati terjerut lepas diugut


PETALING JAYA: “Adik saya pernah mengadu dipaksa seorang wanita supaya mengahwininya, namun saya tidak sangka dia ditemui mati dalam keadaan mengerikan selepas menceritakan ugutan wanita berkenaan,” kata Easah Amat, 55, kakak Pawera Amat, 42, yang ditemui mati dalam keadaan kaki dan tangan terikat selain leher dijerut wayar lewat malam kelmarin di Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama.

Dia berkata, adiknya yang bimbang dengan ugutan itu membuat laporan polis pada 24 Januari lalu. Katanya, seminggu sebelum kejadian, adiknya turut berperangai pelik apabila menunjukkan gambar yang disimpan dalam komputer ribanya kepada adik-beradik lain ketika mengadakan kenduri tahlil untuk arwah ibu mereka.

“Arwah menyuruh kami menatap gambarnya puas-puas kerana mungkin selepas ini tidak berpeluang lagi. Saya pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa dan menganggap kata-kata itu sebagai gurauan semata-mata,” katanya.

Adik bongsu mangsa, Salmah Amat, 36, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu melalui rakan serumah abangnya yang menghubungi memaklumkan abangnya sakit. “Bagaimanapun, sebaik tiba di rumah itu, saya terkejut apabila mendapati keadaan abang yang terlentang berlumuran darah di kepala dengan tangan dan kaki terikat.

“Saya tidak menyangka ada orang sanggup memperlakukan abang saya sedemikian rupa dan berharap penjenayah terbabit ditangkap segera,” katanya. Menurutnya, arwah seorang yang pendiam, namun sangat mengambil berat hal mereka adik-beradik, malah suka menyanyi jika ada masa terluang.

“Saya pada mulanya tidak mengesyaki apa-apa ketika arwah menyuruh kami melihat gambarnya, malah wang bagi menyediakan kenduri tahlil itu juga dibiayainya seorang dan memberitahu ingin bersedekah. Saya tidak menyangka ia petanda arwah akan pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Rakan serumah mangsa, Hamzah Humaidi, 46, pula berkata, pada malam kejadian dia ada menghubungi mangsa untuk bertanya sama ada rakannya berada di rumah atau tidak kira-kira jam 10.30 malam, namun tidak berjawab. 

“Selepas habis kerja di Petaling Jaya, saya terus pulang ke rumah namun masih tidak mengetahui kejadian menimpa Pawera. Ketika membuka pintu rumah, saya lihat televisyen terpasang, namun dia tiada di ruang tamu. Saya masuk ke dalam biliknya dan ketika itulah saya terlihat mangsa mati dalam keadaan mengerikan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, mangsa yang bekerja sebagai jurujual ditemui rakan serumah yang baru pulang dari tempat kerja kira-kira jam 12 malam di rumah kedai tingkat dua di Jalan 2B/133 Taman Seri Sentosa, Jalan Klang Lama.

Menurutnya, ketika itu, pintu jeriji tidak berkunci dan ketika rakan mangsa masuk dia mendapati televisyen terpasang namun tidak melihat kelibat mangsa. “Rakannya kemudian masuk ke dalam bilik dan mendapati mangsa terbaring berseluar pendek dengan leher dijerut manakala tangan dan kaki turut diikat menggunakan wayar elektrik.

“Setakat ini, saksi kejadian kes terbabit hanya rakan serumahnya dan siasatan masih dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. -myMetro

No comments:

Post a Comment

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu