adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Thursday, March 31, 2011

Ratnah tipu umur?


RATNAH bersama mentornya, Afdlin Shauki.

SALAH satu syarat untuk menyertai program realiti terbitan TV3, Mentormusim kelima (Mentor 5) ialah peserta haruslah berusia 18 hingga 26 tahun.

Namun, baru-baru ini, Hitsmendapat tahu protege Afdlin Shauki, Ratnah Awal berusia 28 tahun.

Berkesempatan menonton persembahan protege kumpulan A yang diadakan di Auditorium MBSA, Shah Alam, Ahad lalu, Hits terus menerpa Ratnah sejurus tamatnya siaran Mentor 5.

Tatkala persoalan mengenai usianya diajukan, Ratnah kelihatan terkejut dengan soalan tersebut. Pada mulanya Ratnah enggan mengaku dia melepasi had umur yang telah ditetapkan ketika menghadiri sesi uji bakat Mentor 5.

Tetapi apabila terus didesak untuk dia bercakap benar, akhirnya anak jati Ampang, Selangor itu akur.

"Saya memang sedar dan tahu sangat-sangat yang usia saya melebihi had umur yang ditetapkan.

"Bukan niat untuk menipu sesiapa cuma ketika hadir pada sesi uji bakat, saya ingin melihat sejauh mana kemampuan saya untuk menceburi bidang nyanyian. Itulah yang menyebabkan saya 'langgar' syarat itu.

"Apabila terpilih untuk menjadi protege Afdlin, saya terkejut dan dalam masa yang sama beranggapan, mungkin saya diberi peluang kerana pihak penerbit (TV3) dan Afdlin percaya dengan bakat yang ada pada diri saya.

"Tanpa ada niat lain, saya bersyukur kerana diberi platform untuk kembangkan bakat nyanyian dengan menyertai Mentor.

"Sesungguhnya, tidak terdetik sedikit pun di hati saya ini untuk menipu sesiapa," ujarnya dalam nada kesal. - Utusan

Belasah isteri hamil mengidam


KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang hamil empat bulan cedera di kepala dan badan apabila dipukul suaminya selepas dia mengidam buah kelur atau munggai serta lempuk durian dan meminta suaminya mendapatkan dua jenis makanan itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam kelmarin di sebuah rumah di Bandar Baru Sentul, di sini, wanita terbabit yang berusia 28 tahun dipercayai ditumbuk dan ditendang suaminya yang berusia 30-an. 

Sumber berkata, ketika kejadian si suami baru pulang dari kerja sebelum mangsa memintanya keluar dan membeli makanan berkenaan kerana dia mengidamkannya serta memberitahu tidak dapat tidur jika tidak memakannya. 

“Lelaki terbabit yang berkemungkinan tertekan dengan tugas di tempat kerja dan belum sempat berehat tiba-tiba berang sebelum memarahi isterinya itu.

“Tindakan lelaki terbabit menyebabkan berlaku pertengkaran selama lebih 20 minit sebelum si suami gagal mengawal kemarahan dan menendang serta menumbuk isterinya.

“Walaupun isterinya itu berulang kali merayu dikasihani dan mengatakan bimbang kandungannya itu terjejas, ia langsung tidak dipedulikan. 

“Selepas melepaskan geramnya, lelaki terbabit keluar dari rumah dengan meninggalkan isterinya sendirian,” katanya. 

Difahamkan, mangsa mula meminta pelbagai makanan dan buah-buahan yang sukar diperoleh di ibu kota kepada suaminya itu kerana mengidam selepas doktor mengesahkan dia mengandung sejak dua minggu lalu. 

Sebelum kejadian kelmarin, lelaki terbabit cuba memenuhi setiap permintaan isterinya, namun hilang pertimbangan selepas tidak tahan sikap isterinya yang sering meminta makanan yang pelik dan sukar didapati. 

Sumber itu berkata, mangsa yang cedera menghubungi rakannya sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, untuk pemeriksaan. 

Bagaimanapun, mangsa hanya dirawat sebagai pesakit luar dan tidak menjejaskan bayi dalam kandungannya. 

Selepas berbincang dengan ahli keluarga, mangsa yang bimbang perkara sama berulang tampil membuat laporan di balai polis menuntut tindakan diambil terhadap suaminya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan. - myMetro

Wednesday, March 30, 2011

Kematian Ketiga Akibat Adenovirus


PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Rabu mengesahkan seorang lagi pelatih Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak, Kuala Lumpur meninggal dunia akibat jangkitan Adenovirus.
Mangsa itu yang ketiga maut akibat jangkitan itu berasal dari Bagan Datoh, Perak, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur pada pukul 11.30 malam Selasa.
Liow berkata mangsa telah dimasukkan ke hospital itu sejak 3 Mac lalu meninggal akibat kegagalan organ dalamannya berfungsi.
"Mangsa ialah kes yang awal dan bukan kes terbaru. Kes terakhir yang dikesan ialah pada 19 Mac lepas," katanya ketika ditanya pemberita di sini.
Beliau berkata sekiranya dalam tempoh 14 hari dari tarikh kes terakhir dikesan, tiada kes terbaru dilaporkan kementerian boleh mengisytiharkan bebas dari virus itu.
Sementara itu, kenyataan di facebook Polis Diraja Malaysia menjelaskan, jenazah mangsa Pelatih Konstabel, Mohammad Siman, 23, dibawa ke Tebuk Kiyai, Selekoh, Perak pukul 10 pagi tadi, untuk dikebumikan.
Sehingga kini, jumlah mereka yang masih dirawat di wad biasa hospital tersebut ialah dua pelatih inspektor perempuan. Masing-masing berada dalam keadaan stabil serta menunjukkan tanda-tanda memberangsangkan untuk sembuh.
Manakala jumlah pelatih yang menjalani pengasingan adalah 59 orang dan jumlah tersebut menunjukkan penurunan dari sehari ke sehari. - BERNAMA

Elia Suhana kekal menjadi isteri kedua Sultan Ismail


KOTA BHARU 30 Mac – Elia Suhana Ahmad, 32, kekal sebagai isteri kedua bekas Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra selepas Mahkamah Rayuan Syariah di sini hari ini membatalkan permohonan Datin Nik Rorhana Wan Abdul Rahman untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Tinggi Syariah sebelum ini.

Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Disember lalu, menolak permohonan pengesahan lafaz cerai terhadap Elia Suhana yang difailkan oleh Nik Rorhana pada 9 Mac lalu.

Tiga panel hakim Mahkamah Rayuan Syariah yang bersidang hari ini, dipengerusikan oleh Datuk Daud Muhamad bersama-sama Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ariffin Zakaria dan Ketua Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Datuk Dr. Johari Mat, membatalkan permohonan Nik Rorhana, selaku perayu selepas gagal hadir di mahkamah.

Hakim Daud dalam penghakiman ringkasnya berkata, mahkamah juga telah menerima surat daripada peguam perayu yang menyatakan tidak lagi bertanggungjawab terhadap kes tersebut.

Beliau turut memerintahkan supaya perayu membayar kos sebanyak RM5,000 sebagaimana dipohon oleh peguam Elia Suhana, Fakhrul Azman Abu Hassan. - Utusan

Ruhil Amani Lahir Anak Kedua


Raayan Alexander Wilson dilahirkan pada 3 Mac lalu. - Foto RUHIL AMANI
PETALING JAYA: Penyanyi Ruhil Amani Hussein selamat melahirkan bayi keduanya, Raayan Alexander Wilson Jamil Wilson pada 3 Mac lalu.
Bayi lelaki seberat 3.83 kilogram itu dilahirkan di Hospital Pakar Damansara pada pukul 12.59 tengah hari.
Isteri kepada pemain gitar terkenal, Jamil Wilson atau Jamie ini melahirkan bayinya secara pembedahan.
Penyanyi lagu Kawan ini masih aktif menyanyi dan pernah membuat persembahan bersama-sama Ferhad di ibu kota ketika sedang sarat mengandung.
Ruhil Amani.
Kedua-duanya berada dalam keadaan sihat dan kini sedang melalui proses berpantang.
Pasangan ini berkahwin pada tahun 2003. Hasil perkongsian hidup, mereka turut dikurniakan anak perempuan bernama Ruhil Ariana Wilson Jamil Wilson, 7. - mStarOnline

Mati terbakar atas kereta api


ANGKAT...anggota polis mengangkat mayat di atas bumbung kereta api.

RAWANG: “Sebaik terdengar letupan dan diikuti orang menjerit, saya keluar dari rumah untuk melihat apa yang berlaku dan terkejut melihat badan seorang lelaki terbakar dipercayai akibat terkena renjatan elektrik,” kata pemandu kereta api, Zalani Noor, 49.

Berikutan kejadian kira-kira jam 5.45 pagi semalam itu, mangsa yang belum dikenali identitinya melecur hampir 40 peratus badan dan meninggal dunia di tempat kejadian. 

Mangsa bersama dua rakannya dipercayai menceroboh masuk ke kawasan Stesen Komuter Rawang, di sini, semalam, untuk mencuri besi buruk daripada gerabak kereta api yang tidak lagi digunakan di kawasan itu sebelum terkena renjatan elektrik bervoltan tinggi. 

Zalani yang tinggal di kuarters Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berhampiran tempat kejadian berkata, sejurus terdengar letupan dari belakang rumahnya dia menjenguk ke luar rumah melalui tingkap.

“Ketika itu saya melihat kebakaran di sebuah gerabak kereta api lama di kawasan stesen itu.

“Tidak lama kemudian saya terdengar orang menjerit meminta tolong. Saya ke tempat kejadian dan melihat dua lelaki cuba memadam api yang menyambar rakan mereka. 

“Selepas gagal memadam api itu, kedua-dua lelaki terbabit meninggalkan rakannya dalam keadaan tergesa-gesa,” katanya. 

Zalani berkata, gerabak yang terbakar itu sudah dua tahun terbiar dan sering didatangi penagih dadah bagi mencuri besi buruk untuk dijual. “Saya percaya kumpulan lelaki tiga itu turut ingin melakukan melakukan kegiatan sama, namun tidak bernasib baik apabila seorang daripada mereka maut terkena renjatan elektrik,” katanya. 

Zailani memaklumkan kejadian itu kepada pengurus stesen berkenaan sebelum mereka membuat laporan polis.
MAUT...anggota polis mengusung mayat mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit dan siasatan lanjut dijalankan. Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, pihaknya menemui mayat seorang lelaki di atas bumbung satu daripada gerabak kereta api yang terbiar itu. 

“Hasil pemeriksaan mendapati 40 peratus badan mangsa melecur akibat terkena renjatan dari kabel elektrik bervoltan 25 kilovolt (KV). 

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat dan identiti mangsa belum dikenal pasti,” katanya. Difahamkan, polis tidak menemui peralatan untuk memotong kabel di sekitar tempat kejadian dan situasi itu menunjukkan kemungkinan mangsa bersama dua rakannya mahu mencuri besi buruk dan bukan mencuri kabel. 

Sementara itu, Pengurus Kanan Komunikasi Korporat KTMB, Mohd Fazil Ismail berkata, pihaknya difahamkan mayat mangsa ditemui dalam keadaan keseluruhan anggota badan terbakar teruk. 

“Jarak bumbung gerabak tempat mayat mangsa ditemui dengan kabel kira-kira satu meter menyebabkan risiko untuk terkena renjatan elektrik amat tinggi,” katanya ketika dihubungi. Mohd Fazil berkata, jumlah voltan yang terkandung dalam kabel di stesen berkenaan sebanyak 25KV dan sesiapa saja yang terkena renjatan akan terbunuh.

“Gerabak kereta api berkenaan dua tahun tidak digunakan, namun kejadian ini tidak menjejaskan operasi perkhidmatan KTMB,” katanya. - myMetro

Tuesday, March 29, 2011

Cakap Lepas: Ada pihak Kurang Senang Dengan Wardina


Wardina dengan susu Anmum terbaru. - Foto ART CHEN
KUALA LUMPUR: Kelantangan pengacara Wardina Safiyyah, 32, yang sering mengkritik mengenai isu-isu hiburan menyebabkan sesetengah pihak kurang menyenangi dirinya sehingga sanggup mengeluarkan pelbagai tuduhan.
Wardina berkata, dia mengetahui ada yang memanggil dirinya sebagai artis cakap lepas, sukar untuk bekerjasama dan terlalu mementingkan kesempurnaan.
"Saya tahu pelbagai andaian dan persepsi orang ramai berikan tentang diri saya sebelum ini tetapi lebih elok mereka mengenali diri saya terlebih dulu.
"Anda perlu mengenali seseorang itu sebelum menghakiminya. "Saya juga berharap semua pihak memberikan ruang kepada artis untuk mengajak orang ramai ke arah kebaikan.
"Ini kerana saya perhatikan artis yang berimej bersih sukar untuk mendapat perhatian di media," katanya ketika majlis pelancaran susu tepung Anmum Essential Tanpa Gula Tambahan di Hotel Hilton, di sini, Isnin.
Pengacara Malaysia Hari Ini tersebut telah empat tahun dilantik sebagai duta Anmum.
Sebelum ini Wardina mencetuskan kontroversi apabila berkata selebriti di Malaysia tidak layak menjadi ikon. Sementara itu ibu kepada tiga orang anak ini berkata dia lebih selesa untuk tampil dengan imej keibuan.
Bukan itu sahaja, Wardina juga bersedia untuk berkongsi apa-apa perkara melibatkan anak-anak dengan para ibu bapa.
Tumpuan Wardina juga turut diberikan kepada para remaja terutama wanita bagi membantu mereka membendung gejala sosial yang semakin meningkat ketika ini.
"Setiap artis ada kelebihan masing-masing. Daripada orang mengenali saya sebagai artis seksi, lebih baik saya fokuskan kepada perkembangan anak-anak.
"Saya juga berkongsi nasihat dengan pelajar wanita di sebuah kolej di Universiti Teknologi Mara (UiTM) tentang cara membendung isu buang bayi.
"Alhamdulillah, mereka memberikan respons yang baik dan berjanji untuk mendengar nasihat tersebut,” ujar penuntut jurusan psikologi di sebuah universiti ini.
Wardina bakal menamatkan pengajian ijazah bidang berkenaan pada tahun 2013.
Mereka yang berminat untuk berkongsi masalah atau apa-apa perkara tentang anak-anak dialu-alukan menghantar pendapat atau soalan di laman web Facebook Wardina Safiyyah OfficialPage atau emel wardina.dina@gmail.com. - mStarOnline

Dirempuh kereta dalam rumah


BEGINI...Azrin menunjukkan tempat mangsa diseret kereta terbabit, semalam.

HULU BERNAM: Seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) warga Indonesia dikenali sebagai Istiarsyah, 26, parah selepas dirempuh kereta yang terbabas dan memasuki ruang tamu rumah sewanya, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang ketika mangsa bersiap sebelum keluar dari rumahnya di Jalan Bahtera 5A, di sini, untuk ke kuliah sesi petang. 

Mangsa melecur di badan dan kaki serta cedera di muka dan tangan selepas terperosok di bawah Perodua Kancil dipandu seorang pelajar wanita di universiti sama. 

Saksi kejadian yang juga jiran mangsa, Mohd Azrin Mat Rais, 32, berkata dia terkejut apabila mendengar dentuman kuat dari rumah berkenaan.

“Saya bergegas keluar dan melihat sebuah kereta dinaiki lima pelajar wanita berada di dalam rumah selepas merempuh pintu besi dan kaca rumah berkenaan.

“Lebih mengejutkan apabila melihat seorang lelaki tersepit di bawah kereta terbabit sambil meraung kesakitan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Azrin berkata, ketika kejadian Istiarsyah melangkah keluar di depan pintu rumah untuk ke bilik kuliah. Bagaimanapun, rempuhan kereta itu menyebabkan mangsa terseret hingga ke dinding dapur rumah dan cedera akibat terkena serpihan kaca dan melecur akibat ditindih badan dan ekzos kereta. 

Menurutnya, rakan serumah dan jiran membantu mengeluarkan mangsa sebelum mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Tanjung Malim (KKTM) dan kemudian dirujuk ke Hospital Slim River (HSR).

Katanya, rumah mangsa turut didiami tiga pasangan suami isteri warga Indonesia yang masih belajar di universiti sama. 

Sementara itu, pemandu kereta terbabit, Nabilah Izzati Ayub, 20, bersama empat pelajar wanita berkenaan cedera ringan. 

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, ketika kejadian pemandu kereta terbabit membuat pusingan U di laluan berkenaan, namun tertekan pedal minyak lalu meluru masuk ke dalam rumah mangsa. 

“Mangsa dirempuh dan tersepit di bawah kereta. Akibatnya mangsa melecur di perut dan paha. 

“Keadaan mangsa dilaporkan stabil,” katanya. - myMetro

Monday, March 28, 2011

Zul Huzaimy, Isteri Cerai Talak Dua


Zul Huzaimy
PETALING JAYA: Isteri kepada pelakon popular Zul Huzaimy, 33, Nor Dalilah Muhammad, 29 mengesahkan mereka sudah bercerai talak dua dan didaftarkan pada 1 Julai 2010 di Mahkamah Rendah Syariah Kajang.
Menurut Dalilah sebelum itu, mereka pernah mengalami konflik pada hujung tahun 2009 dan masing-masing telah menetapkan syarat untuk berbaik semula selepas kejadian berkenaan.
"Memang selepas itu Zul banyak berubah dan dia tidak seperti dahulu. Malah selepas penceraian tersebut, Zul berhasrat untuk merujuk semula dan merancang ingin melangsungkan perkahwinan secara rasmi.
"Bagaimanapun, mungkin kami tidak ada jodoh, perancangan itu tidak menjadi dan kami berpisah secara baik. Anak kami, Awal Haziq, 5, pun dah faham dengan keadaan yang berlaku," katanya yang dihubungi mStar Online, Ahad.
Tambah Dalilah, walaupun umum tidak tahu tentang hal penceraian mereka, rakan-rakan terdekat serta keluarganya sudah pun mengetahui hal tersebut.
Zul bersama Dalilah dan anaknya, Awal. Foto KOSMO!
Berikutan penceraian itu kata Dalilah mereka tidak berhasrat membuat sebarang tuntutan hak penjagaan anak mahupun harta sepencarian kerana kedua-dua mereka sudah bersetuju menyelesaikan masalah berkenaan bersama.
"Kami tak mahu membawa isu hak penjagaan anak dan pembahagian harta sehingga ke mahkamah kerana ia akan jadi lebih rumit. Tentang nafkah pula, saya tidak kisah jika Zul mahu beri ataupun tidak.
"Rumah yang diduduki kami sebelum ini pula berkemungkinan akan dijual," tuturnya.
Ditanya adakah kemungkinan mereka akan berbaik semula Dalilah memberitahu tidak akan berbuat demikian kerana mereka mahu membawa haluan sendiri.
"Kami dah tidak ada kaitan suami isteri lagi dan hanya akan bercakap tentang hal anak sahaja.
Lagipun saya ada dengar cerita yang dia sudah pun ada seseorang. Apa pun, saya mendoakan kebahagian diri serta kerjayanya," ujar Dalilah.
Sementara itu, Zul gagal dihubungi mStar untuk mendapatkan penjelasan selanjutnya tentang penceraiannya itu.
Gosip keretakan rumah tangga Zul Huzaimy sudah kedengaran sejak tahun lalu tapi pelakon itu enggan mengulas lanjut sebaliknya berkata ia adalah kisah peribadi yang tak perlu dihebohkan. - mStarOnline

Askar ‘ghaib’ tiga minggu ditemui dalam gaung


TAMPIN: Misteri kehilangan seorang anggota tentera yang tidak melaporkan diri di kem selama tiga minggu terjawab apabila mayatnya ditemui dalam sebuah gaung di Kilometer 10, Jalan Gemas-Tampin, berhampiran Felda Sungai Kelamah, di sini, kelmarin.

Lebih memilukan apabila mayat mangsa, Prebet Mohd Zaki Ahmudhi, 27, yang ditemui kira-kira jam 1.35 petang hanya tinggal rangka dalam keadaan terbenam di dalam lopak air di gaung kira-kira tiga meter.

Difahamkan, mangsa dipercayai meninggal akibat kemalangan berikutan motosikal ditungganginya dijumpai tidak jauh dari kawasan berkenaan. Ibu mangsa yang enggan dikenali berkata, dia berasa pelik apabila dimaklumkan anak lelakinya itu tidak melaporkan diri di Kem Syed Syaruddin, Gemas, di sini, sejak 5 Mac lalu.

“Saya diberitahu pihak tentera sudah berusaha mencari dia (Mohd Zaki), namun tidak berhasil kerana masih gagal menghubungi atau menemuinya.

“Berikutan itu, hati saya amat bimbang dan tidak berhenti berdoa kepada Allah supaya dia ditemui dalam keadaan selamat,” katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Tampin (HT), di sini, kelmarin.

Menurutnya yang turut membuat laporan polis mengenai kehilangan itu, dia tersentak apabila menerima panggilan polis dan tentera supaya datang ke HT untuk membuat pengecaman mayat.

“Sejurus tiba di hospital, hati saya luluh apabila mendapati dokumen pengenalan diri termasuk maklumat yang berada dalam sebuah telefon bimbit adalah miliknya,” katanya. Katanya, walaupun pedih, dia reda dan menganggapnya sebagai ketentuan Ilahi.

“Beberapa hari sebelum kejadian, dia menghubungi saya untuk bertanyakan khabar. Saya menasihatkannya supaya berwaspada ketika berada di jalan raya,” katanya yang tidak menyangka melihat rangka mayat anaknya. Jenazah Allahyarham dibawa pulang untuk dikebumikan di kampungnya di Kluang, Johor, semalam. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - myMetro

Pelakon penipu


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mualaf yang pernah berlakon dalam beberapa drama Cina terbitan produksi tempatan, rupa-rupanya turut bijak ‘berlakon’ apabila memperdaya ribuan mangsa menyertai skim perniagaan jualan langsung (MLM) dianjurkannya, menyebabkan mangsa kerugian hampir RM50 juta.

Dia yang dikenali dengan nama K dan berusia awal 40-an, bijak memperdayakan mangsa melabur skim MLM didalanginya apabila menjual nama kerabat diraja sebuah negeri di Pantai Timur dengan mendakwa dia anak angkat keluarga diraja.

Selain itu, K bijak memanipulasi statusnya sebagai saudara baru menyebabkan skim pelaburan dianjurkannya mudah mendapat ahli dengan jumlah keahlian mencecah 30,000 orang termasuk dari Indonesia dan Thailand.

Kebanyakan mangsa adalah kakitangan kerajaan dan warga emas yang terpengaruh apabila K mendakwa mampu memberi pulangan keuntungan sehingga 60 peratus daripada modal permulaan RM3,700 satu lot.

Penipuan K didedahkan tiga mangsanya, Mohd Fahmi Anuar, 32, Adam Lim, 31, dan Adlan Shah Haris, 35, yang membuat aduan kepada Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

Mereka yang mengetuai ahli kumpulan pelaburan terbesar di Johor dan sekitar Lembah Klang berkata, K juga meyakinkan pelabur dengan memaklumkan syarikatnya mempunyai lombong berlian di Kanada dan kilang pemprosesannya di China.

Menurut Mohd Fahmi, pada mulanya dia musykil, tetapi selepas diberi penerangan kononnya pelaburan itu mempunyai lesen sah selain melihat K menggunakan kereta mewah bernombor VIP yang didaftarkan dengan alamat istana, dia tidak teragak-agak mencuba nasib.

“Saya mengajak rakan lain melabur dan gembira apabila menerima pulangan pertama seperti yang dijanjikan selepas sebulan melabur.

“Namun, sejak Oktober tahun lalu sehingga sekarang saya tidak menerima sebarang bayaran dan setiap kali menelefon K tidak pernah berjawab,” katanya yang mendakwa mengalami kerugian RM250,000 melalui dua pakej yang disertai.

Mohd Fahmi berkata, dia bersama rakan lain pergi ke rumah K tetapi mendapati rumah lelaki itu dikawal ketat dengan sistem kamera litar tertutup (CCTV) selain dipasang pagar berduri.

“Saya yakin lelaki itu masih tinggal di rumah berkenaan berdasarkan kereta dan keadaan rumah yang kemas tetapi dia sengaja berbuat demikian kerana enggan bersemuka dengan kami yang ‘mengejarnya’ sejak lapan bulan lalu,” katanya.

Katanya, ramai pelabur mengalami kerugian dan ada antara mereka sanggup menjual kebun, membuat pinjaman bank, menjual barang kemas dan juga meminjam daripada along.

Adlan Shah pula berkata, banyak janji K tidak ditepati malah pelbagai alasan direka bagi melepaskan diri.

“Awalnya kami dimaklumkan proses pembayaran mempunyai sedikit masalah selepas berlaku pertukaran dalam sistem elektronik bagi penambahbaikan dan dia meminta kami menunggu hingga hujung bulan.

“Dia berjanji membayar tunggakan keuntungan kepada ahli melalui pembayaran cek sebaik saja masalah membabitkan sistem itu selesai tapi sehingga sekarang kami tak mendapat apa-apa,” katanya yang mendakwa kerugian hingga RM4 juta, hasil pelaburan bersama beberapa orang bawahannya.

Menurutnya, K juga bijak memerangkap ketua kumpulan sepertinya untuk melepaskan diri daripada dimarahi ahli.

“Selepas cek keuntungan diserahkan kepada ketua kumpulan K akan memaklumkan kepada semua ahli kononnya bayaran dibuat. 

“Namun, belum sempat kami menunaikan cek dia membekukan akuan bank menyebabkan cek tidak boleh ditunaikan, tapi ahli memarahi kami kerana menyangka dia benar-benar memberikan duit,” katanya.

Adlan Shah juga mendakwa, K memeluk agama Islam hanya sebagai usaha untuk meyakinkan mangsanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan mengesahkan laporan itu. - myMetro


Sunday, March 27, 2011

TAHNIAH & SELAMAT BERTUNANG AYU & HARRY PORTER

Foto-foto yang dapat ku ambil di sekitar majlis pertunangan antara ex-officemate yang juga anak rakanku, Masayu dan Amer (Harry Porter).

Tapi sayang foto2 ni kurang jelas ataupun gelap, maklumlah melalui h/phone....jadilah buat kenangan.
hantaran pihak perempuan

Ayu nan ayu....

senyuman bahagia....

hai....teringin juga Mamat...tunggulah hari kamu nanti ya....

ini je le yg mampu ku tolong....

sempat anak bertuah ni snap foto......

wajah ceria pasangan bahagia yg juga rakanku, Ros & Supaat

hai! bln 11 nak langsung...xtidur lah aku jawabnya.....xpa janji anakku selamat.

Shahriansh​ah Apin juara Akademi Al Quran musim kelima


Juara Akademi Al-Quran musim ke-5, Mohd Syahriansyah Apin dari Sabah memperdengarkan bacaan ayat suci Al-Quran pada pertandingan akhir Akademi Al-Quran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini malam tadi. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Peserta Mohd Shahrianshah Apin, 25, muncul juara pertandingan akhir program realiti terbitan TV9, Akademi al-Quran (AQ) musim kelima yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Sabtu.
Kemenangan itu membolehkan beliau memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM30,000, Al-Quran bertinta emas berharga RM35,000 sumbangan Yayasan Restu, pengajian ke Universiti Antarabangsa Al-Madinah, pakej haji oleh Gemilang Travel Sdn Bhd, pakej umrah oleh Al-Fajr Travel & Tours Sdn Bhd dan lawatan VIP ke Syria oleh Hiraq Marketing.
Selain itu, Syahrianshah turut menerima Songket oleh Wan Manang, barangan perabut jati bernilai RM20,000 dari Jatimas dan trofi tajaan TH Global.
Beliau yang ditemui di sidang media menzahirkan rasa gembira dan terkejut atas kemenangan yang tidak diduga itu.
"Saya rasa gementar sehinggakan saya tercicir satu ayat ketika membaca surah An-Nur, ayat 32 hingga 36.
"Biasalah, bila di atas pentas macam-macam perkara boleh berlaku.
"Sebab itu, bila diumumkan sebagai juara, saya terkejut. Bagaimanapun, saya bersyukur atas rezeki kemenangan ini," katanya.
Tambah Shahrianshah, dengan kemenangan yang dimiliki, dia ingin melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dalam ilmu Al-Quran.
Sementara itu, tiga peserta lain, Mohamad Husaini Makmur, 19, Muhamad Nasir Mohamad Salleh, 21, dan Suhailah Zulkifly, 22, masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM2,000, pengajian ke University Al-Madinah dan pakej haji sumbangan Gemilang Travel Sdn Bhd.
Ketiga-tiga peserta tersebut turut menerima hadiah pakej umrah sumbangan Al-Fajr Travel & Tours Sdn Bhd, songket daripada Wan Manang dan trofi tajaan TH Global.
Dalam pada itu, hadiah pengajian di Universiti Al-Madinah akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak pengurusan universiti tersebut.
Tiga juri yang bertanggungjawab memberi markah kepada empat peserta tersebut adalah Ustaz Nazeri Abdullah (qiraat), Ustaz Radhi Kamarul Hailan (tarannum) dan Ustaz Nik Azizan Nik Jaafar yang menjaga tajwid dan fasohah.
Pada malam itu, penyanyi nasyid Indonesia terkenal, Haddad Alwi turut menghiburkan penonton menerusi lagu Rinduku Muhammad.
Sementara itu, para peserta turut diberikan kejutan oleh pihak TV9 dengan melancong ke Banda Aceh baru-baru ini. Mereka diberi tugasan untuk menemubual mangsa-mangsa tsunami yang melanda pada bandar tersebut pada tahun 2004. - mStarOnline

Pelamin kedua Pasha, Kris




PASHA dan Kris Dayanti merupakan dua nama besar dalam perjalanan karier masing-masing sebagai anak seni. Kedua-duanya pernah melalui masa sukar dalam berumahtangga. Lebih sukar lagi apabila perjalanan peribadi itu menjadi tontonan umum.
Ia ditambah pula dengan pelbagai tohmahan serta gosip sehingga dunia luar seperti lebih mengenali mereka berbanding empunya diri. Kini mereka menempuh bahtera kedua.
Kris Dayanti (KD) selamat bergelar isteri Raul Lemos, pada 20 Mac lalu manakala Pasha bersanding bersama Adelia hari ini.
Menempuh bahtera baru untuk sebuah pelayaran segar, Pasha dan Kris seakan bakal melenyapkan kata-kata yang pernah dituding ke arah mereka.
Perkahwinan serta pelaminan kedua datang dengan harapan yang lebih besar. Selamat buat kedua-duanya.
Kris-Raul mahu satu zuriat
"Puji dan syukur, Alhamdulillah. Tidak lepas berpelukan dengan suami. Bahagia kerana semua beban terlepas dan melangkah kehadapan dengan suami tercinta," itu mesej yang disampaikan oleh Kris Dayanti sehari selepas dia sah menjadi Kris Lemos. Kebahagiaan terpancar penuh dalam susun kata-katanya.
Tampak gementar pada hari pernikahan yang dilangsungkan Sabtu lalu di Masjid Sahid Nurul Iman, Jakarta, wajahnya berbunga segar selepas segalanya selesai.
"Kesabaran akhirnya berbuah manis," ucap Kris Dayanti.
Sebuah kesabaran yang dikumpulkan dalam tempoh dia dicerca dan dilebel sebagai pemusnah rumah tangga Raul dan bekas isterinya, Atha.
Lumrahnya, asam di darat ikan di laut, dalam kuali bertemu juga. Dengan hanya sekali lafaz, Raul sah memperisterikan Kris Dayanti yang bakal mengikutnya ke Dili dan membiasakan diri dengan angin dan budaya Timor Leste.
MEMPELAI memohon restu daripada kedua-dua bapa dan ibu mereka. Suasana jadi sayu namun penuh keredaan.

Bermukimlah Kris dan suami di sebuah banglo indah yang dihadiahkan Raul buatnya di tepi pantai Dili dan di situlah dia mempersiapkan diri. Membiasakan status isteri usahawan terkenal di Dili.
Sebagai ayah, Trenggono merelakan pemergian Kris Dayanti ke Dili.
"Lega, sebagai orang tua kita masih bisa menyaksikan pernikahan anaknya. Ini adalah kebanggaan," ucap Trenggono usai ijab kabul anaknya di Hotel Grand Sahid Jaya.
Pesan ayah, agar suami isteri ini selalu rukun berumahtangga hingga ke anak cucu.
Ujar Kris dalam tangis yang ditahan: "Papa, mama izinkan saya mengucapkan terima kasih atas segala perhatian dan kasih sayang. Papa dan mama yang sudah sekian lama anakanda berada dalam pangkuan, anakanda pernah berbuat salah dan khilaf serta berbuat kesal, mohon maaf dari anakanda. Izin dan redakanlah pernikahan anakanda bersama Raul Lemos," usai ucapan Kris, ada yang menyeka air mata termasuk dirinya.
Semalam di Hotel Mulia, Jakarta pasangan pengantin baru terkenal ini usai dengan resepsi perkahwinan mereka. Raul dan Kris keduanya memilih untuk tampil menawan serta anggun dalam persalinan Anna Aventie.
Diusik penyanyi Menghitung Hari ini tentang cahaya mata, dia menjawab tertawa: "Satu sahajalah. Memiliki ramai anak bukanlah keutamaan."
Ini kerana dia sendiri sudah dikurniakan sepasang cahaya mata, Titania Aurelie Hermansyah dan Azriel Akbar Hermansyah hasil pernikahannya dengan penyanyi dan pencipta lagu, Anang Hermansyah. Begitu juga Raul yang sudah memiliki dua orang anak.
Sebagai buah tangan buat perkahwinan mereka yang dilangsungkan dengan meriah dan berkat, Kris Dayanti menghadiahkan sebuah kilp video buat suaminya yang dibuat di Kepulauan Atauru, Timor Leste.
"Klip ini hadiah pernikahan buat Raul," terang Kris Dayanti tentang klip video yang turut mengundang Raul yang tampil dengan adegan bercengkerama dengannya dalam klip video itu.
"Saya merasa sangat dihargai kerana diberi kesempatan bersama Raul untuk menerbitkan klip di Dili. Secara tidak langsung mempromosikan Dili sebagai tempat yang indah," jelasnya.
Visual mata sememangnya tidak menipu hakikat. Jelas pasangan ini sedang menghadap bahagia yang baru berbunga dan bakal berbaja. Nekad pengantin baru ini mereka mahu memulakan hidup baru sebagai pasangan suami isteri yang utuh hingga akhir hayat.
"Saya dan Raul pernah mengalami suatu kegagalan, dan masing-masing trauma. Tidak ingin gagal lagi," kata pelantun Aku Wanita Biasa tersebut.
Pasha terus berkonsert
Kesempatan bertemu Pasha dan rakan-rakan grupnya, Ungu di Rumah Jepang, Cibubur, Jakarta tidak dilepaskan. Pasha nampak sedikit berisi ketika ini beraksi sebagai aktor dalam filem Purple Love. Filem yang mengambil masa rakaman 15 masa hari bakal dilancarkan Mei ini.

Ujar pengurus kumpulan, Rudi, kelima-lima anggota Ungu, iaitu Pasha, Makki, Onci, Enda dan Rowman akan hadir penggambaran filem bergenre romantik komedi ini pada hari biasa dan akan berkonsert pada hujung minggu.
Membiasakan diri dengan watak-watak dengan nama sendiri dalam filem ini, Ungu terlebih dahulu menghadiri kelas membaca skrip dan latihan sebelum melangkah masuk ke set.
"Filem ini membuka pengalaman baru dalam kehidupan bermuzik kami. Ternyata, pengalaman ini bagus sekali dan semuanya berjalan dengan lancar," ujar Makki, pemain bass.
Walaupun menganggap proses berlakon filem agak meletihkan namun pengalaman serba baru ini menaikkan semangat untuk mereka bergelar aktor.
"Susah susah senang," celah Rowman tentang pengalaman ini.
Pasha yang dijadualkan melangsungkan pernikahan di Bandung pada hari ini dengan gadis pilihan Adelia Wilhelmina, 22 tahun.
"Lebih penat tetapi semuanya sudah diatur. Persiapan perkahwinan saya dengan Adelia banyak dibantu keluarga. Malah selepas dua hari bernikah, saya akan terus sibuk dengan konsert dan jadual kerja saya," ujar Pasha yang memakai busana rekaan Ferry Sunarto di resepsi yang diadakan di Gedung Batununggal, Bandung, Jawa Barat.
Pasha juga bakal menyerahkan mas kahwin dalam bentuk mata wang Euro bernilai 99 Euro, sesuai dengan Asmaul Husna.
Bagi membuatkan 3,000 tetamu yang dijemput ke resepsinya berasa istimewa, Pasha dan Adelia Wilhelmina merakamkan sebuah single yang bertajuk Penghujung Cintaku.
"Lagu itu sebenarnya untuk saya tetapi setelah dicuba duet bersama Adelia, ia sepadan dan kami hadiahkan istimewa buat tetamu yang datang," senyum Pasha.
Bakal sama-sama menjaga anaknya hasil perkahwinan pertama dengan Okie Augustina, ujar Pasha, dia dan bekas isterinya sama-sama menjalankan tugasan mereka.
Saat ditanya tentang restu anak-anak tentang perkahwinan keduanya ini, Pasha senyum seraya menjawab tenang: "Keputusan saya untuk berkahwin lagi bukan kapasiti mereka, malah bukan mereka juga pemberi keputusan."
PASHA bakal menyerahkan mas kahwin berbentuk mata wang Euro yang bernilai 99 Euro buat Adelia.

Sementelah, Adelia juga sanggup melepaskan tanggungjawabnya sebagai pramugari dan berstatus suri rumah tangga sepenuh masa.
"Saya ingin mengurus keluarga di rumah dan menjadi isteri yang penurut," ujar Adelia dalam satu petikan temuramah bersama wartawan Indonesia. - Kosmo

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu