adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Saturday, March 12, 2011

300 terkorban

TOKYO: Gempa paling kuat melanda Jepun semalam membentuk tsunami setinggi 10 meter dan menghanyutkan rumah serta menolak kapal ke darat.

Bencana terburuk dalam tempoh 300 tahun di Jepun itu turut mencetuskan kebakaran, termasuk di sebuah loji nuklear. Sehingga malam tadi, sekurang-kurangnya 300 orang disenaraikan sebagai maut atau hilang akibat gempa bumi sekuat 8.9 magnitud itu.

Pakar seismologi Amerika Syarikat (AS) dan Jepun berkata, kejadian semalam adalah gegaran kelima paling dahsyat di seluruh dunia sejak 1900 atau yang ketujuh dalam sejarah.

Laporan menyatakan, ombak besar tercipta di Lautan Pasifik menghanyutkan sebuah kapal Jepun membawa 100 orang. Lebih 300 rumah di bandar Ofunato turut musnah sama sekali.

Ombak besar juga memusnahkan apa saja yang ada di laluannya, termasuk kapal kontena, kenderaan dan ladang.

Kerajaan berkata, gempa yang dapat dirasakan sehingga ke Beijing itu menyebabkan kerosakan besar-besaran.

Di Sendai, imej televisyen menunjukkan ombak berlumpur bergerak ke darat pada kelajuan tinggi dan memusnahkan kawasan kediaman berhampiran Sungai Natori.

Pegawai kerajaan tempatan di Miyagi, Ken Hoshi berkata, dia tidak pernah melihat bencana seburuk itu.
MUSNAH...ada antara kenderaan awam rosak apabila terhumban ke dalam jurang akibat laluan di situ runtuh.

Di Tokyo, sejumlah kecederaan dilaporkan apabila bumbung bangunan dewan runtuh ketika majlis penganugerahan ijazah berlangsung. Di ibu negara Jepun itu juga, asap dilihat berkepul-kepul di sekurang-kurangnya 10 lokasi ketika penduduknya mengalami gangguan elektrik.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik mengeluarkan amaran tsunami menyeluruh sehingga ke Amerika Selatan, New Zealand dan Hawaii, menyebabkan pihak berkuasa mengarahkan orang ramai menjauhi pantai.
TAK DAPAT DISELAMATKAN...runtuhan rumah dan kereta dihanyutkan ke laut selepas ombak besar melanda bandar Kesennuma.

Pertubuhan Palang Merah pula mengingatkan, tsunami di antara empat dan 10 meter boleh menenggelamkan sebahagian daripada pulau yang ada di laluan ombak itu.

Sementara itu, kerajaan berkata, tiada sebarang kebocoran radiasi dikesan di loji nuklear di Onagawa walaupun ia terbakar.
DUA KALI BENCANA...sebahagian daripada rumah di Natori terbakar selepas dilanda tsunami.

Gempa pertama berlaku hanya kurang dari 400 meter ke timur laut Tokyo, diikuti lebih 40 gegaran susulan. Satu daripadanya sekuat 7.1 magnitud.

Seorang pegawai kerajaan tempatan di Kurihara, Miyagi, berkata gegaran itu sangat kuat sehingga pekerja di situ terpaksa berpaut untuk mengelak daripada jatuh.

“Kami tak boleh keluar dari bangunan dengan segera kerana gegaran itu berterusan,” katanya. Perdana Menteri, Naoto Kan, mengadakan mesyuarat tergempar sejurus selepas bencana itu berlaku dan kerajaan menghantar kapal tentera ke Miyagi untuk memberikan bantuan.

Gempa bumi itu berlaku pada jam 2.46 petang (1.46 petang waktu Malaysia) selama dua minit. Bencana itu turut menyebabkan indeks pasaran saham Nikkei merudum, manakala nilai mata wang yen berbanding dolar AS terjejas teruk. - AFP

1 comment:

  1. Mangsa tragedi dianggarkan melebihi 1000 orang setakat ini. Kasihan dan terharu sangat melihat segalanya musnah dalam sekelip mata, kuasa Allah itu melebihi segala-galanya.

    ReplyDelete

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu