adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Sunday, March 27, 2011

70 Negara Tayang Hikayat Merong Mahawangsa


CYBERJAYA: Filem Hikayat Merong Mahawangsa yang setakat ini telah mencecah kutipan RM5.5 juta bakal ditayangkan di lebih 70 negara pada Ogos depan.
Filem yang diubah judul kepada The Malay Chronicles: Bloodlines itu bakal ditayangkan di Amerika Syarikat, Perancis, United Kingdom dan Jerman.
Sementara negara lain termasuk Kanada, Australia, New Zealand, China, Turki, Switzerland, Austria, Rusia, CIS & Baltic, Timur Tengah dan Scandinavian. Tajuk filem berkenaan untuk negara tersebut masih belum ditentukan.
Filem arahan Yusry Abdul Halim ini turut diterbitkan oleh produksi Epic Pictures yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan KRU Studios untuk filem Deadline lakonan Brittany Murphy. Filem itu telah ditayangkan di lebih 40 negara.
Bagi menarik pasaran antarabangsa, Hikayat Merong Mahawangsa telah dipertontonkan kepada pengedar filem di pasaran filem Amerika pada November tahun lalu dan dialih bahasa menggunakan 60 peratus bahasa Inggeris melibatkan suara pencerita manakala 40 peratus lagi bahasa Melayu.
Filem ini dilakonkan oleh Stephen Rahman-Hughes, Gavin Stenhouse, Ummi Nazeera, Khir Rahman, Datuk Rahim Razali dan Jing Lusi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Epic Pictures, Patrick Ewald, pengedar-pengedar filem tertarik dengan kualiti produksi termasuk trailer yang ditampilkan.
"Walaupun para pengedar antarabangsa tidak pernah mendengar mitos Merong Mahawangsa, mereka sangat berminat dengan babak aksi dan jalan cerita yang melibatkan orang Rom, China dan Malaysia pada kurun ke-2.
"Kami berbangga untuk menjadi agensi jualan filem cereka ini, memandangkan nilai produksinya setaraf dengan piawaian antarabangsa di mana para pengedar menganggap kos produksi filem ini dianggarkan antara RM30.3 juta hingga RM60.6 juta.
"Kami teruja dengan kemampuan KRU Studios menghasilkan filem berkualiti dan sedang dalam perancangan untuk berkolaborasi menghasilkan filem terbaru berbentuk pengembaraan 3D stereoscopic berjudul Vikingdom," katanya.
Bercerita lanjut tentang Vikingdom yang akan diarahkan oleh Yusry, filem tersebut menjadi satu penanda aras baru untuk menguji elemen imej janaan komputer (CGI) dan pelakon asing selepas menjadikan Hikayat Merong Mahawangsa sebagai eksperimen.
"Kami akan menghasilkan filem Vikingdom ke tahap yang lebih bagus daripada filem sebelum ini. Ini kerana Epic Pictures turut mempunyai rangkaian yang baik dengan penulis skrip James Coine.
"Nama Vikingdom diambil sempena gabungan viking dan kingdom yang menghasilkan nama yang unik.
"Filem ini akan menjalani penggambaran pada Oktober atau November tahun ini dengan menggunakan kemudahan studio di sini dan Finas. Kami memilih lokasi di studio serta di Genting Highlands dan Bukit Fraser.
"Kami bakal menggunakan khidmat pelakon Hollywood kerana mahu filem ini dibikin seperti filem Hollywood.
"Kami menjangkakan pelakon yang agak dikenali di pasaran televisyen Hollywood tetapi tidaklah seperti Brad Pitt kerana ia memerlukan belanja yang lebih besar," jelas Pengerusi Eksekutif KRU Studios, Norman dalam satu sidang media, di sini, Jumaat.
Walaupun Norman menjangkakan filem tersebut sehebat filem Avatar, namun mereka masih menggunakan kepakaran kru tempatan.
Mereka hanya mencari kepakaran beberapa pihak dari luar negara untuk melatih kru tempatan melakukan kerja seperti yang diharapkan. Begitu juga dengan pelakon aksi lagak ngeri yang dijangka mendapat pendedahan dari orang tempatan.- mStarOnline

No comments:

Post a Comment

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu