adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Monday, March 14, 2011

Bot pelancong terbakar sebelum karam


BESUT 13 Mac – Keseronokan yang dibayangkan oleh sekumpulan 37 pelancong untuk bercuti di Pulau Perhentian bertukar menjadi pengalaman menakutkan hari ini apabila bot yang dinaiki terbakar sebelum karam.

Pelancong tersebut termasuk tiga rakyat asing dan 17 kanak-kanak terpaksa terjun ke dalam laut dan berpegang kepada tali. Bot itu dalam perjalanan menuju ke Pulau Perhentian.

Kejadian pukul 10.45 pagi itu berlaku kira-kira empat batu nautika dari Timur Laut Kuala Besut iaitu selepas 20 minit bot berkenaan meninggalkan jeti. Selain tiga pelancong asing bersama seorang rakan warga tempatan, turut berada dalam bot malang itu ialah 33 anggota rombongan dari Melaka, seorang pemandu dan tiga pekerja bot.

Kejadian itu menyebabkan seorang ahli rombongan dari Melaka, Nurizam Hasan, 38, melecur di kedua-dua belah tapak tangan dan muka sementara sepasang suami isteri berusia 30-an mengalami sesak nafas.

Ketiga-tiga mangsa kini dirawat di Hospital Besut, di sini manakala beberapa orang mangsa lain menerima rawatan sebagai pesakit luar. Seorang mangsa, Arman Arshad, 34, berkata, rombongan dari Melaka itu disertai seramai 17 murid berusia antara lapan hingga 12 tahun.

Turut serta dalam rombongan dari Melaka itu ialah 16 orang dewasa iaitu sembilan wanita dan tujuh lelaki, manakala tiga pelancong asing itu berasal dari United Kingdom.

Menurutnya, rombongan itu tiba di Besut tengah malam semalam dan dijadualkan menaiki bot menuju ke Pulau Perhentian pada pukul 8 pagi.

“Kami pelik kerana jadual asal adalah pukul 8 pagi, tetapi ditunda kepada 9 pagi dan sekali lagi ditunda kepada pukul 10 pagi,” katanya ketika ditemui di sini.

Tambahnya, kira-kira setengah jam selepas berlepas dari jeti Kuala Besut, bot itu berasap menyebabkan pemandu bot menghubungi pihak bomba dan rakan-rakan lain untuk datang membantu mereka.

“Apabila api semakin marak, kami yang semuanya memakai jaket keselamatan terjun ke laut seorang demi seorang dengan didahului oleh kanak-kanak dan berpegang kepada tali sebelum tiga buah bot datang untuk menyelamatkan kami dalam tempoh lima minit,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Noor Zainy Mohd. Nor ketika mengesahkan kejadian itu berkata, bot berkenaan baru sahaja meninggalkan jeti Kuala Besut untuk menuju ke Pulau Perhentian apabila ia terbakar.

“Siasatan awal mendapati berlaku masalah teknikal sehingga menyebabkan ia terbakar,” katanya. - Utusan

1 comment:

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu