adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Sunday, March 27, 2011

Diancam mafia


KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri kini hidup dalam kebimbangan selepas diancam seorang wanita yang mengaku mafia sebuah kondominium mewah di Wangsa Maju, dekat sini.

Wanita itu juga mendakwa mempunyai ramai pengikut dalam satu pertubuhan. Berikutan ancaman berkenaan, pasangan terbabit kini ibarat pelarian di negara sendiri kerana sering berpindah-randah, terutama selepas segala perlakuan yang dilakukan wanita berkenaan seolah-olah tidak dapat dihentikan.

Apa yang menakutkan pasangan itu ialah selepas rumah mereka di Wangsa Maju beberapa kali dipecah masuk yang menyebabkan semua barangan membabitkan pakaian dalam yang baru dipakai lesap selain cebisan najis ditinggalkan dalam perkarangan rumah.

Tidak cukup dengan itu, kenderaan mangsa turut dirosakkan selain petak letak kereta ditabur dengan selut dikhuatiri diambil daripada tanah perkuburan.

Berikutan itu, pasangan berusia lingkungan 30-an dan 40-an itu hanya berserah kepada Allah kerana bimbang mereka disihir, terutama selepas si isteri sering mengalami gangguan sambil berharap pihak berkuasa bertindak terhadap sembilan laporan polis yang dibuat sebelum ini.

Mangsa yang hanya mahu dikenali Misya bimbang dengan keselamatan diri kerana selepas membuat laporan masing-masing pada 15/8/2010; 14/12/2010; 17/1/2011, 19/1/2011; 1/2/2011, 2/2/2011, 3/2/2011 (dua laporan) dan terakhir 2/3/2011 di Balai Polis Wangsa Maju bagai tiada kesudahan.

Difahamkan wanita terbabit adalah orang tengah yang menguruskan sewa rumah didiami mangsa yang dipercayai mengupah pihak tertentu untuk mengusir pasangan berkenaan keluar daripada kediaman mereka.

“Tiada sebab kami harus keluar kerana sewa rumah dijelaskan, namun mungkin kerana ada penyewa lain yang menawarkan harga tinggi, kami dihalau sedangkan mengikut kontrak tempoh sewa sah sehingga setahun, iaitu sehingga Jun tahun ini.

“Semakin banyak laporan dibuat semakin ganas tindakannya dan kami semakin terancam serta tertekan dengan pelbagai ugutan. Tak tahulah di mana silapnya, malah pernah satu ketika wanita berkenaan membawa bersama seorang anggota pihak berkuasa berpakaian seragam menceroboh masuk ke rumah sewa kami itu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya selepas dia menghubungi peguam yang meminta waran masuk rumah ditunjukkan, anggota itu kemudian memohon maaf.

“Tindakan itu (masuk ke rumah bersama suspek) amat mengecewakannya.

“Saya tidak tahu dia benar-benar polis atau siapa yang jelas dia beruniform lengkap, sepatutnya sebagai anggota penguat kuasa dia harus bersikap adil dan bukannya memihak kepada mana-mana pihak,” katanya.

Berikutan itu, pasangan berkenaan kini sudah keluar daripada kediaman berkenaan, namun mendakwa masih diekori pihak tertentu yang menyebabkan mereka tidak tenteram.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad ketika dihubungi, berkata pihaknya akan mendapatkan semula laporan yang dibuat mangsa untuk memudahkan siasatan.

“Ada masanya jika kes membabitkan pertelingkahan soal sewa-beli ia hanyalah kes tuntutan sivil dan kita menyerahkan kepada kedua-dua pihak menyelesaikan kes di mahkamah.

“Bagaimanapun, sekiranya laporan berkenaan mempunyai unsur jenayah, kita akan menjalankan siasatan dan saya akan meneliti laporan yang dibuat mangsa untuk mendapatkan gambaran mengenai dakwaan pasangan itu,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad. - myMetro

No comments:

Post a Comment

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu