adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Saturday, April 30, 2011

Tiga kereta polis remuk


KUALA LUMPUR - Tiga kereta peronda polis rosak dirempuh sebuah kereta yang dipandu oleh seorang suspek pecah rumah yang bertindak nekad untuk meloloskan diri daripada ditahan di Taman Mutiara, Cheras, dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohan Singh berkata, dalam kejadian 7.30 pagi itu, ketiga-tiga kereta peronda polis cuba menghalang kereta suspek di kawasan perumahan itu selepas lelaki itu dilaporkan cuba memasuki sebuah rumah dua tingkat di taman itu.
Bagaimanapun, polis berjaya menahan suspek berusia 52 tahun itu selepas dikejar selama 30 minit di sekitar kawasan perumahan itu, katanya pada sidang media di di sini.
Mohan berkata polis turut menemui pelbagai jenis peralatan dalam kereta suspek antaranya pemutar skru dan tukul yang dipercayai digunakan untuk memecah rumah.
Katanya kejadian itu bermula apabila sebuah kereta peronda polis dihantar ke Taman Mutiara setelah polis menerima panggilan daripada seorang wanita bahawa terdapat seorang lelaki yang tidak dikenali dan mencurigakan berada di perkarangan rumahnya.
Katanya suspek yang terkejut dengan kehadiran polis segera melarikan diri dari perkarangan rumah itu dengan menaiki sebuah kereta sebelum anggota polis mengekori kereta tersebut.
Menurutnya anggota polis dalam kereta peronda itu kemudian meminta bantuan dua kereta peronda lain apabila suspek enggan memberhentikan kereta dan cuba melarikan diri dari kawasan taman perumahan itu.
Mohan berkata suspek kemudian melanggar kereta peronda ketika cuba disekat tetapi anggota polis berjaya memberkasnya.
Beliau berkata suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menceroboh. - Bernama

Rita Rudaini & Aidil Zafuan Dapat Anak Kedua


Bayi kedua pasangan ini diberi nama Airit Rafqa Arjuna
PETALING JAYA: Pelakon Rita Rudaini Mokhtar,35, mendapat anak kedua selepas dia melahirkan bayi seberat 2.75 kilogram di Pusat Pakar Perubatan Prince Court dekat sini, Jumaat.
Bayi yang diberi nama Airit Rafqa Arjuna itu lahir kira-kira pukul 2.75 petang. Menurut Rita, dia dan bayi itu berada dalam keadaan sihat dan bersyukur kerana semuanya selamat.
“Syukurlah… Rita dapat melahirkan anak kedua ini tanpa sebarang masalah. Kami berdua juga sihat,” katanya.
Selain bayi tersebut, Rita yang juga isteri kepada pemain bola sepak Kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak,24, itu turut mempunyai seorang lagi anak lelaki bernama Airit Rayyan Rizqin yang kini berusia dua tahun.
Kata Rita, nama Arjuna untuk anak keduanya itu dipilih kerana menganggap bayi berkenaan sebagai wira yang menjadi kekuatan ketika dia berhadapan dengan konflik rumah tangga sewaktu mengandungkannya.
Kali terakhir orang ramai melihat keadaan Rita yang sarat mengandung ketika dia muncul sebagai penyampai trofi untuk Anugerah Bintang Popular (ABP) pada 3 April lalu di Genting Highlands, Pahang. - mStarOnline

Usah keliru kod E makanan


KUALA LUMPUR: Pengguna dinasihatkan tidak percaya dengan khabar angin yang mendakwa semua produk makanan yang menggunakan bahan bermula dengan kod E adalah tidak halal. Ini kerana setiap kod bahan makanan yang bermula dengan E mewakili bahan tertentu dan sudah diklasifikasikan kepada kategori masing-masing iaitu pewarna, perasa dan pengemulsi.

Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha (gambar) berkata, kod yang sering menimbulkan keraguan kepada pengguna adalah E471 dan E110 kerana didakwa mengandungi bahan meragukan serta tidak halal.

Katanya, bahan yang terbabit dalam kod berkenaan ada dua sumber iaitu lelemak haiwan dan tumbuhan, yang menimbulkan keraguan kepada pengguna.

“Sebagai contoh, bahan makanan yang bermula dengan kod E471 daripada kategori pengemulsi sering menjadi kontroversi kerana di luar negara sumber E471 datang daripada lelemak haiwan dan berkemungkinan lemak babi. Tetapi, di negara ini, lelemak tumbuhan digunakan untuk bahan E471 iaitu daripada kelapa sawit,” katanya.

Katanya, penggunaan lelemak tumbuhan tidak perlu diragui kerana ia pasti halal dan kebanyakan produk menerima pengesahan daripada Jakim dan agensi halal yang diiktiraf. Bagi produk yang tidak mempunyai logo halal, boleh merujuk kepada sumber bahan itu sama ada berasaskan tumbuhan atau haiwan kerana ia tertera di setiap label produk. Selain itu, bagi bahan kod E100 hingga E173, Jakim telah mengklasifikasikan sebagai bahan pewarna, sama ada sumber semula jadi atau tiruan yang tiada kena mengena dengan penggunaan lemak atau minyak.

Othman berkata, pengguna perlu bijak menilai setiap maklumat dan merujuk kepada Jakim atau pihak yang berkenaan supaya tidak timbul salah faham di kalangan pengguna terhadap kandungan sesuatu produk makanan.

Katanya, pengguna boleh merujuk kepada laman sesawang Halal Jakim, www.halaljakim.gov.my dan Halal Malaysia www.halal.gov.my untuk mendapatkan keterangan lanjut atau mempunyai keraguan mengenai status halal sesuatu produk. - myMetro

Umpama kisah Cinderella


RAI...Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Tuanku Nur Zahirah turut memeriahkan perkahwinan William-Kate.

Perkahwinan umpama dalam kisah pari-pari antara Putera William dan Kate Middleton semalam memukau dunia dengan kira-kira dua bilion orang di seluruh dunia turut menonton dan meraikan majlis berkenaan.

Di sebuah pub terkenal di Sunset Boulevard, Hollywood yang dihiasi Union Jack dengan model Kate dan William diletakkan di depan pintu masuk, 300 pengunjung terpaku di depan televisyen bagi menyaksikan majlis itu.

“Di Hollywood memang ramai pelakon terkenal, tetapi tidak menarik perhatian kami,” kata Paula Haifley, 30, seorang pengunjung pub.

Rakannya, Katie Christiansen, 24, berkata, kehadirannya ke pub itu bagi meraikan majlis perkahwinan yang dinanti-nantikan.

“Kami mahu meraikannya. Ia memberi kami peluang untuk berpakaian cantik dan meraikan kemeriahan yang jarang disambut di sini,” katanya.

Berhampiran Hollywood Boulevard, muzium patung lilin, Madame Tussauds turut menyediakan skrin gergasi bagi menyediakan siaran langsung perkahwinan itu.
Putera William dan isterinya, Kate yang juga Duchess of Cambridge berdiri di luar Westminster Abbey selepas Majlis Perkahwinan Diraja yang disiarkan secara langsung ke seluruh dunia di London pada Jumaat

Seorang pembaca dari London, Andrew Rule memberi komen di akhbar Sydney’s Daily Telegraph bahawa majlis perkahwinan itu umpama kisah Cinderella yang menenggelamkan Hollywood.

“Hari ini dunia menyaksikan perkahwinan itu membuktikan kisah pari-pari boleh menjadi kenyataan,” katanya dalam akhbar berkenaan yang menyediakan lima muka surat pertama untuk menyiarkan laporan perkahwinan itu.

Stesen penyiaran Australia, ABC termasuk dua rangkaian komersial terbesar negara itu menyediakan siaran langsung majlis perkahwinan yang ditayangkan pada waktu malam di Sydney.

Akhbar New Zealand Herald turut menyifatkan hari perkahwinan itu sebagai 'hari paling menggembirakan' di muka depan dengan memaparkan gambar pasangan pengantin muda berkenaan.

Seorang penduduk Wellington, Kip Marshall berkata, dia menyaksikan siaran langsung perkahwinan itu bersama dua cucu perempuannya di rumah.

“Kami memakai pakaian cantik, mahkota plastik dan menghias rumah. Ia satu keraian kerana tiada siapa tahu adakah kita akan menyaksikan perkahwinan diraja lagi. Mungkin mereka akan menyaksikan perceraian diraja sebelum perkahwinan diraja lain,” katanya.

Di Asia pula, puluhan juta penduduk menyaksikan perkahwinan itu di siaran perdana termasuk menyediakan slot perbincangan, komen dan paparan kehidupan kerabat diraja Britain.

Kedutaan Britain di rantau Asia pula menganjurkan parti dengan menyediakan skrin besar untuk tatapan jemputan VIP. Di Hong Kong, sambutan disambut di kelab malam dan pub manakala hotel mewah di Karachi, Pakistan menyediakan skrin gergasi kepada penonton golongan atasan.

Seorang eksekutif perniagaan, Ahmed Naveed, 34, berkata, majlis perkahwinan itu menyebabkan dia melupakan tragedi pengeboman yang berlaku hampir setiap hari di negaranya yang dikaitkan dengan militan Taliban.

“Ia sesuatu yang berbaloi untuk dirai. Saya seronok kerana sekurang-kurangnya ada sesuatu yang menggembirakan disiarkan di televisyen selain darah dan bom,” katanya.

Di Malaysia, sekolah swasta yang menggunapakai kurikulum British, Alice Smith School dihiasi dengan bendera Britain dan kain rentang berwarna-warni manakala murid meraikannya dengan membuat kad perkahwinan dan kek cawan.

“Ia peluang terbaik kepada kami untuk mengucapkan selamat kepada pasangan pengantin itu,” kata Pengetua sekolah, Steve Caulfied.

Di Kenya, tempat William melamar Kate, Oktober lalu perhimpunan umpama meraikan perkahwinan berlansung di kafe dan restoran sekitar Nairobi.

“Ia perkahwinan diraja, seorang putera dengan puteri. Ia sangat unik,” kata seorang pemandu, Michael Chege, 20, yang berharap dapat menyaksikan siaran langsung walaupun sibuk bekerja.

Sementara itu, di Paris, ramai pihak mengunjung tugu berhampiran Pont d’Alma yang menjadi lokasi tidak rasmi bagi mengingati ibu William, Puteri Diana yang maut dalam kemalangan jalan raya di situ.

Bunga ros merah jambu diletakkan di kaki tugu, Flame of Freedom berdekatan terowong yang menjadi lokasi kemalangan pada 1997 dengan mesej ringkas; “Kepada Diana, mengingati kamu pada hari istimewa ini.” - AFP

Friday, April 29, 2011

Shazryl Eskay Bersumpah Bahawa Pelaku Video Adalah Anwar


SUMPAH LAKNAT... Ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah (tengah) melafaz sumpah laknat sambil memegang senaskhah Al-Quran di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul Jumaat, bagi membuktikan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam sebuah video seks yang didedahkannya bulan lepas. Turut hadir bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Shuib Lazim (kanan). Mereka adalah Datuk T yang mendedahkan video itu pada 21 Mac lepas. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang merupakan salah seorang trio 'Datuk T' bersumpah laknat bahawa pelaku dalam video seks melibatkan pemimpin pembangkang adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau melafazkan sumpah laknat berkenaan di hadapan media bersaksikan pembantu imam Masjid Amru Al-Asr Bandar Baru Sentul kira-kira pukul 4.15 petang Jumaat.
Shazryl Eskay memulakan upacara dengan mengucap dua kalimah syahadah sambil memegang senaskah Al-Quran.
"Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang berikrar dan bersumpah seperti berikut:
"Wallahi wabillahi watallahi, aku bersumpah bahawa aku dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam paparan video yang telah dirakamkan pada 21 Februari 2011.
"Dan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam video tersebut. Sekiranya aku melakukan fitnah dalam kenyataan bersumpah ini, maka Allah akan melaknat akan diriku" katanya.
Hadir sama ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim.
Ketiga-tiga trio 'Datuk T' berkenaan adalah individu yang bertanggungjawab terhadap pendedahan video seks yang didakwa mirip Anwar yang juga Ketua Pembangkang.
Sebelum itu, ketiga-tiga trio berkenaan hadir di ruang solat utama kira-kira pukul 4.05 petang dengan memakai baju kalis peluru di dalam kemeja masing-masing.
Mereka kemudiannya menunaikan solat sunat sebelum menyempurnakan niat mengangkat sumpah.
Terdahulu seorang ustaz dipercayai seorang penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi nasihat kepada Shazryl Eskay agar tidak meneruskan sumpah laknat berkenaan kerana menurutnya tidak mengikut hukum Islam.
Selepas Shazryl Eskay menyempurnakan upacara sumpah berkenaan, sekumpulan ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang turut berada dalam ruang solat utama berkenaan bertindak menimbulkan kekecohan sambil melaungkan "tolak, tolak, tolak fitnah".
Bagaimanapun ketiga-tiga trio berkenaan terus dibawa keluar dari masjid berkenaan bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku. - mStarOnline

Siaran Langsung Perkahwinan Putera William Di ntv7 Hari Ini


Putera William dan Kate Middleton
PETALING JAYA: Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan perkahwinan pewaris takhta Diraja Britain, Putera William dengan Kate Middleton apabila stesen televisyen ntv7 menyiarkan secara langsung acara itu, Jumaat (hari ini).
Upacara perkahwinan besar-besaran itu akan disiarkan selama lima jam bermula 3 petang sehingga 8.30 malam dengan laporan eksklusif oleh krew stesen televisyen itu yang berada di London.
ntv7 dalam satu kenyataannya berkata, pihaknya telah membuat persiapan terbaik bagi memastikan seluruh rakyat negara ini dapat menyaksikan upacara perkahwinan yang dinanti-nantikan itu.
“Krew ntv7 yang berada di British Academy akan mendapatkan gambaran jelas mengenai perkahwinan tersebut serta laporan daripada wartawan bertugas yang akan mengupas keadaan sekitar istana.
“Ia termasuk juga laporan mengenai keterujaan orang ramai khususnya mereka yang tinggal di kampung halaman Kate di Bucklebury,” kata kenyataan itu.
Lebih menarik lagi apabila ntv7 mendapat kerjasama daripada penyampai berita ternama BBC News iaitu Huw Edwards yang akan memberi ulasan menarik mengenai perkahwinan tersebut serta temu ramah eksklusif dengan temat rapat pasangan keluarga Diraja itu.
ntv7 itu akan menyiarkan perarakan perkahwinan dari mula sehinggalah berakhirnya acara berkenaan di Buckingham Palace.
Perkahwinan tersebut dikatakan mengulangi saat kemasyhuran pernikahan Putera Charles dan Puteri Diana pada 21 Jun 1981 dan ia tentunya dinanti-nantikan oleh seluruh masyarakat dunia.
Kematian Diana pada 31 Ogos 1997 selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya dengan Dodi Al-Fayed meninggalkan kesan kepada keluarga Diraja itu dan seluruh rakyat Britain.
Maka, perkahwinan pewaris takhta Diraja itu pada Jumaat dilihat mampu memulihkan semula kerinduan rakyat Britain yang selama ini bersedih dengan kematian Diana.
Jika Puteri Diana dikatakan berjiwa rakyat, penduduk Britain tentunya mengharapkan Kate akan menggantikan tempat wanita itu yang dilihat mempunyai ciri-ciri sedemikian.
William dan Kate berkenalan kira-kira lapan tahun lalu ketika mereka sama-sama menuntut di University of St Andrews, Scotland.
Mereka kemudiannya bertunang pada 16 November tahun lalu selepas William melamar Kate sewaktu bercuti di Kenya. - mStarOnline

Dua kali terkejut


MARAN: Seorang peneroka yang terlelap di ruang tamu rumahnya ketika menunggu siaran langsung perlawanan bola sepak Liga Juara-Juara Eropah antara Real Madrid menentang Barcelona, awal pagi semalam, tergamam apabila dikejutkan tiga penyamun yang mengacukan parang di lehernya dalam kejadian samun di Felda Jengka 18, dekat sini.

Kira-kira lima jam selepas kejadian pada jam 2.30 pagi itu, mangsa Ramli Saad, 58, sekali lagi terkejut apabila diberitahu tiga penjenayah terbabit ditembak mati dalam ladang kelapa sawit berdekatan rumahnya.

“Saya lihat ramai orang berkumpul di situ dan apabila sampai di sana, seorang rakan memberitahu ada penyamun kena tembak dan mereka adalah kumpulan yang menyamun saya,” katanya Ramli berkata, dia terjaga daripada tidur apabila badannya ditepuk seorang daripada tiga penyamun terbabit yang turut mengacu parang di lehernya sebelum tangannya diikat menggunakan dawai ampaian, manakala mukanya ditekup dengan tuala.

Selepas diikat dan diarahkan diam, penjenayah bertopeng dipercayai warga asing itu menggeledah rumahnya dan melarikan empat telefon bimbit serta wang tunai RM300.

Ramli yang juga pembekal baja berkata, ketika kejadian dia berseorangan di ruang tamu rumahnya, manakala isterinya, Normah Khalid, 53, dan tiga anaknya serta dua cucunya nyenyak tidur dalam bilik.

“Saya memang ‘kaki bola’ dan menyokong pasukan Barcelona terlelap seketika sementara menunggu perlawanan itu bermula.

“Saya sama sekali tidak menyangka apabila dikejutkan tiga lelaki bertopeng yang mengacu parang ke leher saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Menurutnya, dia tidak mampu berbuat apa-apa kerana khuatir dicederakan.

“Selepas menggeledah kira-kira lima minit, mereka melarikan diri apabila gagal membuka tiga pintu bilik tidur di rumah saya.

“Mereka hanya melarikan empat telefon bimbit dan dompet saya mengandungi wang tunai RM300,” katanya memaklumkan penyamun terbabit masuk melalui bahagian belakang rumahnya yang sedang diubahsuai.

Ramli berkata, selepas tiga penyamun terbabit melarikan diri, dalam keadaan tangan masih terikat, dia menjerit memanggil anak sulungnya yang juga seorang orang kurang upaya (OKU).

“Saya bertempik meminta pertolongannya yang kemudian membuka ikatan pada tangan saya dan mengejutkan ahli keluarga yang lain.

“Mereka semua terkejut kerana langsung tidak menyedari rumah kami dimasuki penyamun,” katanya yang menghubungi polis selepas itu.

Menurutnya, dia hanya mengetahui penjenayah terbabit ditembak mati dalam ladang kelapa sawit berdekatan rumahnya apabila keluar ke kedai di simpang masuk Felda berkenaan kira-kira jam 7 pagi.

“Ketika saya sampai mayat penjenayah itu sudah dibawa polis. Yang tinggal hanyalah Perodua Viva berwarna merah dinaiki mereka tersadai selepas melanggar pokok sawit dan beberapa anggota polis melakukan siasatan,” katanya.

Tiga penjenayah terbabit ditembak mati sepasukan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang yang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan Felda berkenaan, kira-kira tiga kilometer dari rumah mangsa dan sejam selepas melakukan rompakan. - myMetro

Thursday, April 28, 2011

Datuk, nenek dicekup khalwat


KANGAR: Memalukan apabila sepasang warga emas mengaku bersekedudukan ketika dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam atas kesalahan berkhalwat pada awal tahun ini.

Tertuduh, Salleh Nyan, 66, duda dan pasangannya yang juga janda, Azizah Saad, 60, membuat pengakuan berkenaan apabila dihadapkan di depan Hakim Syarie Azeman Omar.

Pendakwaan dilakukan Pendakwa Raya Syarie, Fakhrurrazi Mahdzir.

Mengikut pertuduhan, warga emas terbabit berkurung di dalam rumah di No 254, Kampung Permatang Pauh, Simpang Empat, dekat sini, kira-kira jam 2.25 pagi pada 17 Januari lalu.

Berdasarkan fakta kes, ketika serbuan dilakukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs), kedua-dua tertuduh enggan membuka pintu biarpun diketuk beberapa kali.

Tertuduh lelaki didakwa mengikut Seksyen 9(1) Enakmen Jenayah dalam Syarak Negeri Perlis 1991 manakala Azizah dituduh mengikut Seksyen 9(1)(2) enakmen sama yang boleh didenda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

Fakhrurrazi dalam prosiding berkata, kedua-dua tertuduh orang berusia dan kelakuan berdua-duaan sehingga lewat pagi boleh menimbulkan syak dan mendorong kepada zina.

Katanya, mereka perlu dikenakan hukuman yang boleh memberi pengajaran termasuk sebagai ingatan kepada orang lain.

“Justeru, saya mohon mahkamah mengenakan denda maksimum terhadap tertuduh,” katanya.

Salleh dalam rayuannya memohon mahkamah mengurangkan denda dengan alasan tidak mampu untuk bekerja, menghidap kencing manis, darah tinggi dan sudah bertaubat dengan tidak mengulangi perbuatan itu.

Azeman menjatuhkan hukuman denda kepada Salleh sebanyak RM2,200 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda, manakala Azizah didenda RM2,000 atau penjara dua bulan jika gagal menjelaskan denda. - myMetro

Penuntut kolej swasta mengaku berkelakuan tidak sopan


TUMPAT 27 April - Seorang penuntut kolej swasta mengaku bersalah di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini atas tuduhan berkelakuan tidak sopan bersama pasangan sejenisnya di atas hamparan cadar di tepi Pantai Pulau Tengkorak, di sini bulan lalu.

Tertuduh Meerza Shah Abdul Hakim, 19, hadir seorang diri ke mahkamah, mengaku melakukan perbuatan tersebut dengan pasangan lelakinya, Zuhaili Ahmad @ Ghazali, 26.

Pertuduhan terhadap Zuhaili tidak dapat dibacakan kerana tertuduh itu gagal hadir ke mahkamah dan Hakim Syarie Mazlan Abdullah mengeluarkan waran tangkap.

Sementara menunggu hukuman dijatuhkan pada 25 Mei ini, Mazlan membenarkan Meerza Shah akan diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin ataupun ditahan di penjara sehingga tarikh jatuh hukuman jika gagal membayar jaminan.

Mengikut fakta kes, pasangan terbabit sedang asyik memadu kasih pada pukul 4.35 petang, 11 Februari lalu di kawasan tersorok di pantai tersebut tanpa menyedari perbuatan mereka diperhatikan oleh tiga penguat kuasa agama.

Mereka ditahan ketika sedang berbaring dalam keadaan bertentangan hukum syarak iaitu muka tertuduh berada di atas dada pasangan yang pada mulanya pegawai penguat kuasa menyangka dia seorang perempuan berdasarkan pakaian.

Selepas ditahan dan disoal siasat, penguat kuasa agama mendapati pasangan Meerza Shah yang menyerupai wanita itu sebenarnya lelaki berdasarkan kad pengenalan.

Tertuduh itu didakwa mengikut Seksyen 5 (1) Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan, No. 2, 1985 yang memperuntukkan denda RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Meerza Shah merayu supaya hukuman denda dikurangkan kerana masih menuntut di sebuah kolej swasta tetapi Penolong Pendakwa Syarie negeri, Wan Salina Wan Hussin memohon hukuman yang dapat mencegah masyarakat daripada melakukan perbuatan sama. - Utusan

Wednesday, April 27, 2011

Jari Ditemui Pekerja KTMB Milik Bekas Banduan


PETALING JAYA: Sepuluh jari yang ditemui dalam sebuah beg plastik berhampiran Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTMB) di Kuang semalam adalah milik seorang bekas banduan yang baru dibebaskan baru-baru ini.
Bekas banduan yang berumur 29 tahun itu kini dirawat di Hospital Sungai Buloh ekoran kejadian itu dan keadaannya dilapor stabil.
Adik lelaki berkenaan yang enggan dikenali ketika ditemui di hospital itu pada Selasa percaya jari yang ditemui itu milik abangnya setelah abangnya ditetak dua hari lepas.
"Kami tidak tahu apa motif kejadian ini dan dia (mangsa) tidak mahu bercerita mengenai kejadian tetak itu," katanya.
Beliau berkata abangnya baru keluar penjara selepas sebulan dipenjarakan dan pada masa ini tidak mempunyai pekerjaan.
Pada Isnin, seorang pekerja KTMB yang memeriksa trek kereta api terkejut apabila menemui 10 jari manusia dalam sebuah beg plastik.
Turut ditemui dalam beg plastik itu ialah pita pelekat berwarna hijau, manakala sehelai baju berwarna hitam berbelang putih serta seluar panjang hitam ditemui berhampiran beg plastik itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Rahim Abdullah ketika dihubungi Bernama memberitahu pihaknya menahan seorang individu yang dipercayai dapat membantu siasatan kes itu. "Kami kini sedang mengesan individu-individu lain untuk membantu siasatan," katanya yang meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran.
Rahim berkata suspek, seorang pemandu teksi, kini ditahan reman sehingga 2 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata suspek ditahan selepas polis melihat teksi yang dipandu lelaki itu dalam keadaan mencurigakan di satu kawasan yang enggan didedahkan.
Pemeriksaan terhadap kenderaan itu mendapati ada kesan darah di pintu belakang sebelah kiri, katanya.
Turut ditemui pita pelekat berwarna hijau di but kereta itu yang dipercayai digunakan untuk menutup mata mangsa.
Rahim berkata polis sedang memburu dua lagi rakan suspek yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian itu. -BERNAMA

Video Seks: Shazryl Eskay Serah Sampel DNA


KUALA LUMPUR: Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang merupakan salah seorang trio Datuk T yang bertanggungjawab mempertontonkan video seks kontroversi kepada sekumpulan wartawan baru-baru ini, menyerahkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) kepada polis bagi membantu siasatan kes berkenaan pada Rabu.
Shazryl Eskay ketika ditemui pemberita di Bukit Aman berkata, polis telah memintanya menyerahkan sampel DNA dan bertanyakan beberapa soalan.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan akan mengadakan sidang akhbar esok.
Rakaman video yang dikaitkan dengan pemimpin utama parti pembangkang itu dirakamkan pada 21 Februari sebelum dipertontonkan kepada sekumpulan wartawan pada 21 Mac.
Selain Shazryl Eskay, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik dan Bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim adalah ahli trio berkenaan. - mStarOnline

Empat Wanita Menyamar Kastam Sukarela Dihukum


SHAH ALAM: Empat wanita yang mengaku diri mereka adalah sukarelawan Kastam DiRaja Malaysia (KDRM) dihukum penjara sehari dan denda RM10,000 kerana menipu seorang pemilik kilang, lima tahun lalu.
Mereka yang dhukum ialah Masitah Nasir, 30, yang sedang hamil enam bulan; ibu tunggal dengan empat orang anak, Norfarisha Samsudin, 32; Noor Asmarzillah, 32, dan Pa'aiza Baki, 42 tahun.
Hakim Mahkamah Sesyen, Mat Ghani Abdullah yang menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah semua tertuduh turut memerintahkan supaya mereka dipenjarakan selama empat bulan, jika gagal menjelaskan denda tersebut.
Norfarisha, Masitah dan Noor Asmarzillah mengaku bersalah memperdayakan Wong Ying Lin, 30, dengan menyamar sebagai pegawai Kastam agar pemilik kilang Stainless Steel Engineering tersebut menyerahkan RM1,300 kepada mereka.
Kesalahan itu dilakukan pada pukul 11 pagi, 8 September 2006 dan wang tersebut kononnya sebagai sumbangan iklan penerbitan Buletin Kesatuan Pegawai Maritim.
Pengakuan salah Pa'aiza pula direkodkan bagi pertuduhan bersubahat dengan ketiga-tiga rakannya untuk melakukan kesalahan yang serupa pada masa dan di tempat yang sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ng Siew Wee.
Pada prosiding itu, Masitah mengalirkan air mata sewaktu memberitahu bahawa dia mengalami komplikasi kehamilan manakala suaminya mengalami masalah kewangan.
Peguam Dir Kheidzwan Kamaruddin yang mewakili Pa'aiza merayu mahkamah untuk menjatuhkan hukuman yang ringan ke atas tertuduh yang sedang mengalami saat-saat getir ekoran suaminya telah diisytiharkan sebagai muflis.
"Tertuduh juga menghidap ketumbuhan pada rahim dan perlu menjalani rawatan setiap bulan. Tertuduh juga telah memberikan kerjasama yang penuh sepanjang kes ini disiasat," katanya. - mStarOnline

Farah (AF) Menetap Di Pulau Pinang Selepas Kahwin


Farah bakal bernikah dengan jejaka dari Pulau Pinang pada September tahun ini.
PETALING JAYA: Penyanyi dan pengacara Farah Diana Anuar, 26, memilih untuk menetap di Pulau Pinang selepas berkahwin.
Farah yang bertunang pada Disember lalu dengan ahli perniagaan berasal dari negeri itu dijangka akan menamatkan zaman bujang pada September depan.
“Memandangkan bakal suami saya bekerja di Pulau Pinang, saya akan mengikutnya berpindah ke sana dan akan berulang-alik jika mempunyai urusan kerja serta melawat keluarga di Kuala Lumpur.
“Saya rasa tiada masalah untuk berulang kerana setakat ini saya hanya terikat untuk mengacara program Nasi Lemak Kopi ‘O’ pada setiap Jumaat di TV9.
“Selain itu, saya masih bergelar hos program Rasa Halal yang sedang memaparkan tentang negara Vietnam di Astro Oasis (saluran 106). Selepas ini, mungkin saya akan ke Korea atau Laos untuk mengikuti penggambaran program tersebut.
Farah (tiga dari kiri) bersama-sama pengacara dan warga TV9 semasa ulang tahun kelima stesen televisyen tersebut. - Foto SS KANESEN
“Saya juga ditawarkan mengacara program Sekolah Saya Hebat untuk TV AlHijrah,” kata Farah.
Farah yang baru setahun mengacarakan program bual bicara pada waktu pagi itu akui rezekinya semakin menyerlah dalam bidang pengacaraan.
Malah dia seronok kerana banyak menimba ilmu tentang bagaimana untuk mengendalikan program secara langsung menerusi pengacara senior Aziz Desa.
“Apabila bergelar pengacara, banyak perkara yang saya perlu tahu kerana tugas saya bukan hanya berkomunikasi di depan kamera, tetapi saya perlu banyak membaca dan mengetahui tentang isu semasa bagi mengelakkan daripada berbual kosong.
“Dengan bimbingan Aziz Desa yang sangat berpengalaman bukan sahaja dalam bidang pengacaraan, tetapi juga pernah menjadi pembaca berita televisyen, ia juga sedikit sebanyak membantu saya,” ujarnya yang pernah menyertai program realiti Akademi Fantasia musim kedua.
Aziz juga berpendapat Farah merupakan seorang yang bijak berkomunikasi, berbakat, santai dan mudah serasi untuk bergandingan dengannya. - mStarOnline

Anang & Ashanty Mengaku Bercinta Dalam Program TV


Anang dan kekasihnya, Ashanty. Foto petikan inilah.com
JAKARTA: Bekas suami Krisdayanti (KD) iaitu Anang Hermansyah secara rasmi membuat pengakuan mencintai Ashanty dalam sebuah rancangan televisyen di sini, Selasa.
Portal inilah.com melaporkan, Anang menjelaskan perkara itu ketika ditemu bual dalam rancangan Dahsyat dan disiarkan untuk tontonan berjuta-juta penonton di Indonesia.
Dalam rancangan itu Anang dilihat seperti tidak sengaja untuk membicarakan kisah cinta mereka sambil menanti jawapan daripada kekasihnya mengenai pengakuan tersebut.
Bagaimanapun Ashanty dilaporkan memberi jawapan berbelit-belit sehinggalah menimbulkan rasa tidak puas hati Anang.
"Ya... saya kan baru kenal dengan Anang. Jadi biar saja saya berkawan dengannya dahulu," kata Ashanty
Akibat jawapan itu, Anang telah meminta Ashanty berterus terang di hadapan penonton mengenai perasaannya sehinggalah wanita tersebut mengaku mencintai Anang.
Jawapan itu membuatkan Anang terus memegang erat tangan Ashanty. - mStarOnline

Keputusan Kemasukan Program Matrikulasi KPM Khamis Ini


KUALA LUMPUR: Keputusan kemasukan ke Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) boleh disemak mulai Khamis ini.
Kementerian berkenaan dalam kenyataan hari ini berkata semua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang membuat permohonan pada 10 Julai hingga 10 Oktober tahun lepas boleh membuat semakan itu menerusi laman web KPM di alamat www.moe.gov.my dengan memasukkan nombor angka giliran SPM dan nombor kad pengenalan.
Mereka juga boleh menyemak keputusan menerusi khidmat SMS dengan menaip perkataan MOE MAT (jarak) nombor kad pengenalan dan dihantar ke 15888.
Selain itu, keputusan kemasukan ke matrikulasi itu juga boleh disemak dengan menghubungi talian bantuan bahagian matrikulasi di nombor 03-8884 4083 mulai pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang.
Pendaftaran pelajar ke matrikulasi akan diadakan pada 23 Mei ini dan pelajar yang berjaya memohon dikehendaki mencetak sendiri surat tawaran, dokumen pendaftaran dan borang pendaftaran di laman web KPM yang sama.
Bagi pelajar yang tidak berjaya, rayuan boleh dibuat di laman web KPM yang sama mulai hari semakan Khamis ini sehingga 13 Mei ini. -BERNAMA

Remaja mangsa 'kenduri seks'


KUALA LUMPUR 26 April - Perkenalan seorang remaja dengan seorang lelaki menerusi laman sosial Facebook menjadi mimpi ngeri apabila dia menjadi mangsa 'kenduri seks' sembilan lelaki di sebuah rumah teres di Mahkota Cheras, dekat sini Sabtu lalu.

Sebelum kejadian itu, mangsa berusia 14 tahun dikatakan keluar menaiki teksi dari rumahnya di Kondominium Rakyat, Pantai Dalam, kira-kira pukul 7 pagi untuk menemui rakan lelaki yang baru dikenali menerusi laman sosial tersebut.

Bagaimanapun, sebaik sahaja bertemu di lokasi dijanjikan, suspek membawa seorang rakannya menaiki sebuah kereta Proton Saga ke rumah mereka.

Sebaik sahaja sampai, terdapat tiga lagi lelaki yang merupakan rakan suspek. Salah seorang suspek telah mendekati mangsa untuk mengadakan seks namun remaja itu yang enggan menurut kemahuannya telah dipukul lalu dirogol.

Suspek dikatakan memanggil empat lagi rakan lelakinya datang ke rumah tersebut sebelum menjadikan mangsa sebagai 'kenduri seks' beramai-ramai.

Kejadian malang itu berakhir kira-kira pukul 9 malam selepas mangsa berjaya melarikan diri ketika dibawa salah seorang suspek ke restoran makanan tom yam.

Mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian sebelum dibawa ke hospital berdekatan bagi pemeriksaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kajang, Supritendan Azman Ayob ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini mengesahkan kejadian tersebut.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. Kesemua suspek terbabit dipercayai berusia 20-an," katanya. - Utusan

Elly Mazlein tunang duda



KUALA LUMPUR: Selepas digosip kononnya mempunyai hubungan dengan suami orang, akhirnya pelakon dan penyanyi, Elly Mazlein mengumumkan akan bertunang dengan pengarah filem dan drama, Azmi Mohd Hata.

Majlis pertunangan akan diadakan 29 Mei depan di Kelab Ekuestrian Bukit Kiara itu menjawab teka-teki dan pelbagai tuduhan termasuk dia sudah menjadi isteri kedua.

Mengenali Azmi yang juga pengarah filem Duhai Si Pari-Pari dan beberapa drama tempatan sejak tiga tahun lalu sebelum serius sekitar pertengahan 2009, Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlin Syed Hanafi menyifatkan hubungannya dengan pengarah berusia 36 tahun itu sebagai sesuatu yang istimewa.

“Saya yakin Azmi adalah lelaki yang boleh memimpin saya ke gerbang kebahagiaan dan membina keluarga sejahtera. Malah saya percaya dia seorang yang bertanggungjawab, menghormati orang tua dan seorang yang penyayang hingga membuatkan saya mengambil keputusan menerima lamarannya.

“Saya tidak berbohong atau sengaja merahsiakan hubungan ini kerana daripada awal lagi saya sudah memberitahu yang hanya akan bersuara jika perkara itu benar-benar sah.

“Justeru, saya mengharapkan pengumuman pertunangan ini akan memberhentikan apa saja tuduhan lama yang pernah memberikan tekanan buat saya. Malah, saya sendiri melihat majlis pertunangan ini sebagai satu simbolik penghargaan buat keluarga dan teman media yang tidak henti menyokong kerana sejak dulu, saya sering berjanji akan menjemput semuanya jika saya sah mempunyai hubungan,” katanya ketika ditemui Harian Metro semalam.

Elly juga mengesahkan bakal melangkah ke jenjang pelamin selewat-lewatnya Februari depan.

“Kami sepakat untuk tidak mengikat pertunangan terlalu lama. Sebenarnya kami merancang ingin melangsungkan perkahwinan November ini, namun melihat pada jadual kerja yang begitu padat, kami terpaksa menangguhkannya hingga ke Januari atau Februari depan.

Elly yang sebelum ini popular menerusi drama bersiri termasuk Na-O-Mei dan membintangi beberapa filem seperti Tangkai Jering dan Janji Diana turut mengakui bakal tunangnya duda dan mempunyai dua anak. 

Enggan mengulas persoalan berkaitan perkahwinan terdahulu dan anak Azmi, Elly yang juga anak kelahiran Slim River, Perak mengharapkan semua pihak menghormati pendiriannya.

“Biarlah apa yang berlalu dijadikan sejarah dan tidak perlu lagi ditoleh. Apa yang penting soal masa depan dan perancangan hari esok saya. Apa yang boleh saya simpulkan, Azmi benar-benar memberikan saya kebahagiaan dan sinar baru dalam hidup.

“Alhamdulillah, apa yang pernah kami rancangkan bersama akhirnya dapat direalisasikan,” katanya. - myMetro

Tuesday, April 26, 2011

Lindsay Lohan Bersedia Masuk Penjara


Lindsay Lohan hadir pada keputusan perbicaraan kesnya di Airport Branch Courthouse, Los Angeles pada 22 April lalu.
LONDON: Penyanyi dan pelakon bermasalah, Lindsay Lohan yang berasa marah dengan hukuman penjara selama 120 hari ke atasnya, bagaimanapun akur dan bersedia untuk menjalani hukuman tersebut, kata rakannya, produser Nathan Folks.
Lohan diarahkan untuk masuk semula ke penjara untuk kali keempat kerana melanggar tempoh pemerhatian yang ditetapkan oleh hakim di Los Angeles atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk pada 2007.
"Dia (Lohan) berada dalam keadaan yang baik. Sudah tentu dia sedih dengan hukuman penjara selama empat bulan itu.
"Dia marah kerana telah cuba untuk berubah dan tidak melakukan perkara yang didakwa iaitu mencuri rantai leher," katanya seperti yang dipetik people.com.
Hukuman ke atas Lohan termasuk 400 jam khidmat masyarakat itu dijatuhkan selepas aktres itu mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan mencuri rantai leher daripada sebuah kedai emas di California pada Januari lalu.
"Dia bersedia untuk menjalani hukuman itu. Dia mahu... melakukan lebih daripada 400 jam khidmat masyarakat. Hakikatnya, dia telah melakukan banyak kerja amal pun," katanya lagi.
Lohan kini reda untuk menerima apa juga keputusan daripada mahkamah apabila perbicaraannya bermula 3 Jun depan. - mStarOnline

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu