adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Wednesday, May 11, 2011

‘Ayah, jangan tinggal Hakim’


NGERI...keadaan lori dipandu Zuraimi (gambar kecil) terbalik ketika mendaki bukit di Kampung Batu 13, Hulu Besut, kelmarin.

JERTIH: “Ayah jangan tinggal Hakim, Ya Allah selamatkan ayahku,” begitu kata Mohd Ikmal Hakim, 7, ketika menyaksikan saat kematian bapa tersayang akibat dihempap lori yang dipandunya, malam kelmarin.

Bapanya, Zuraimi Jusoh, 34, meninggal dunia akibat parah di dada selepas kepala lori dipandunya yang membawa muatan kayu terbalik sebelum menghempapnya.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam ketika mangsa memandu lori terbabit sambil ditemani dua anak, Mohd Ikmal Hakim dan Amirul Hamdi, 5, yang duduk di bahagian depan sebelah pemandu.

Zuraimi dalam perjalanan menghantar kayu ke sebuah kilang papan di Kampung Batu 13, Hulu Besut.

Mohd Ikmal Hakim berkata, ketika mendaki bukit kira-kira 100 meter saja lagi untuk tiba di kilang berkenaan, lori itu tiba-tiba menggelungsur ke belakang dan cubaan ayahnya mengawal kenderaan gagal.

Menurutnya, lori itu menggelungsur sejauh 50 meter sebelum terlanggar bonggol kecil lalu terbalik.

“Dalam keadaan cemas itu, ayah cuba menyelamatkan kami berdua daripada tercampak keluar tetapi ayah yang terpelanting dari tempat duduk pemandu.

“Kami turut tercampak keluar daripada lori itu tetapi bersyukur kerana tidak cedera. Namun, kami sedih melihat ayah berlumuran darah dan tidak sedarkan diri akibat dihempap kepala lori dipandunya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lapan Kotak, semalam.

Mohd Ikmal Hakim berkata, dia tidak mampu berbuat apa-apa untuk membantu bapanya kecuali menangis sebelum ditenangkan orang ramai yang datang memberikan bantuan.

Sementara itu, saksi kejadian, Azmi Shaari, 34, berkata, dia sedang menonton televisyen di rumahnya tidak jauh dari lokasi kemalangan sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan kuat.

“Saya bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku dan sebaik tiba di tempat kejadian, ternampak dua kanak-kanak menangis sambil meminta tolong menyelamatkan bapa mereka yang tersepit di bawah kepala lori yang terbalik,” katanya.

Menurutnya, dia dan beberapa penduduk kampung membantu mengeluarkan mangsa sebelum menghantarnya ke Hospital Besut, namun mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Jenazah mangsa yang juga bapa kepada lima anak berusia tiga hingga 11 tahun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lapan Kotak, kira-kira jam 11 pagi semalam. - myMetro

1 comment:

  1. trauma anak ini kerana kejadian berlaku di depan mata....alfatihah dan takziah.

    ReplyDelete

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu