adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Sunday, May 15, 2011

Cekup 2 bersaudara


SEREMBAN: Kerjasama orang awam menyalurkan maklumat berjaya membantu polis menangkap dua penjenayah bersaudara disyaki terbabit dalam kes pembunuhan kejam seorang bakal pengantin perempuan di Simpang Durian, Jelebu, dekat sini, Khamis lalu.

Lebih membanggakan apabila kedua-dua suspek berusia 16 dan 23 tahun itu ditahan kurang 24 jam selepas kejadian di sekitar Temerloh, Pahang, petang kelmarin, sekali gus menyelesaikan kes berkenaan.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, dua lelaki masing-masing penganggur dan buruh itu ditahan polis antara jam 4.30 hingga 5 petang.

“Siasatan kes yang diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu dijalankan secara menyeluruh, terutama untuk mengenal pasti motif sebenar kejadian.

“Bagi tujuan itu, kita akan mendapatkan tempoh reman terhadap suspek daripada mahkamah untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui pada Karnival Pencegahan Jenayah Kontinjen Negeri Sembilan di Dataran Senawang, di sini, semalam.

Program sehari itu dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan turut dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Saleh.

Dalam kejadian dipercayai antara jam 1 tengah hari dan 2 petang, Christy Erny, 20, yang bakal melangsungkan perkahwinan bulan depan, dibelasah hingga mati oleh penjenayah di rumah kedai terbabit.

Ibu si mati dikenali sebagai Sumirnah, 39, yang berada di tempat kejadian turut cedera parah dan dikejarkan ke di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk menerima rawatan lanjut.

Menurut Hamdan, hasil laporan bedah siasat yang dijalankan, HTAN mendapati Christy mati akibat cedera di leher.

“Ibu mangsa bagaimanapun dilaporkan stabil dan masih dirawat di hospital dan kita belum mengambil keterangan daripadanya bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengucapkan penghargaan kepada orang awam yang membantu menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya suspek dan berjaya menyelesaikan kes terbabit.

Sementara itu, Ismail berkata, pihaknya akan sentiasa meneruskan usaha membanteras jenayah yang turut memerlukan kerjasama kerajaan dan masyarakat. - myMetro

No comments:

Post a Comment

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu