adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Tuesday, May 3, 2011

Guru ditangkap basah dakwa dianiaya suami


ALOR SETAR: “Saya akui saya ada membuat salah hingga ditangkap khalwat. Tetapi apa yang dimaklumkan oleh sumber itu tidak benar sama sekali,” kata seorang guru wanita yang ditangkap khalwat malam Khamis lalu.

Harian Metro Jumaat lalu menyiarkan laporan mengenai guru wanita berusia 34 tahun itu yang ditangkap khalwat bersama teman lelakinya berusia 30-an yang juga seorang guru di sebuah rumah sewa di Kampung Telok Malek, Jitra, Khamis lalu.

Sumber memaklumkan guru itu keluar rumah kerana merajuk dengan suaminya dan meninggalkan anak perempuan tunggalnya yang kini berusia 13 tahun bersama suami untuk memudahkannya berjumpa dengan kekasihnya itu.

“Saya meninggalkan rumah kerana tidak tahan sikap suami yang panas baran dan sering memukul saya. Bukannya merajuk kerana pertengkaran kecil,” katanya ketika berkunjung ke pejabat Harian Metro, di sini, kelmarin.

Katanya, sejak berkahwin pada 1996, dia beberapa kali dipukul suami jika mereka bergaduh sehinggalah kemuncaknya pada 27 September 2007 apabila suaminya itu menumbuknya di kepala dan menendang kakinya sehingga bengkak.

Katanya, sehari selepas kejadian dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, Jitra dan meninggalkan rumah mereka dengan turut membawa anak perempuan tunggal mereka itu.

“Saya juga tidak pernah meninggalkan anak perempuan kami dengannya. Saya yang menjaga anak kami dan tidak pernah meninggalkannya kepada sesiapa terutama kepada dia (suami). Mahkamah Tinggi Syariah Alor Setar sudah menyerahkan hak penjagaan anak kepada saya pada 22 Februari 2009. Jadi, mana mungkin anak boleh berada dengan dia,” katanya. 

Katanya, kira-kira setahun kemudian, dia membuat permohonan fasakh di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, dan kini kes itu sudah empat tahun tertangguh gara-gara sikap suaminya yang kerap gagal hadir ke mahkamah dan enggan melepaskannya.

“Saya minta dia lepaskan saya. Jangan aniaya saya begini,” katanya. Dia turut mendakwa suaminya itu pernah berkata dia sengaja berbuat demikian kerana mahu membalas perbuatannya meninggalkan rumah bersama anak sekali gus menganiayanya.

“Dia juga kerap mengganggu saya, malah sanggup mencabut fius elektrik di rumah menyebabkan saya dan anak bergelap dan kepanasan di dalam rumah,” katanya.

Katanya, suaminya itu turut meninggalkan hutang bank berjumlah RM20,000 yang kini terpaksa ditanggungnya apabila lelaki itu enggan membayarnya.

Guru itu berkata, suaminya hanya membayar sebanyak RM900 dan memberi dua keping cek bernilai RM10,000 dan RM9,100 namun tidak dapat ditunaikan kerana ia cek tendang.

“Kini saya terpaksa menanggung hutang itu dan perlu menjelaskan ansuran kepada bank setiap bulan. Kerana kesempitan wang, saya terpaksa mencari kerja sampingan dengan mengasuh anak orang dan mengadakan kelas tuisyen,” katanya. - myMetro

No comments:

Post a Comment

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu