adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Thursday, May 12, 2011

Saya tetap cari Sakinah


SEREMBAN – “Saya dan keluarga akan tetap terus mencari anak bongsu ini walaupun operasi mencarinya sudah ditamatkan,” kata Wan Azlela Wan Abdullah ketika dihubungi. 

Dia masih berada di Taman Rekreasi Ulu Bendul demi mencari Norsyaza Shakinah Said Ahmad, 2, yang belum dijumpai sehingga kini. 

Jelas Wan Azlela, satu mesyuarat bersama tenaga kerja operasi mencari mangsa sudah dibuat dan menemui keputusan untuk menamatkan pencarian. 

“Saya difahamkan keputusan telah dibuat untuk menamatkan operasi mencari. Namun jika pihak kami (keluarga) ingin meneruskan pencarian, mereka akan membekalkan alat kelengkapan mencari. 

“Dalam pada itu, orang ramai yang masih ingin membantu kami amat dialu-alukan,” katanya. 

Difahamkan, pihak keluarga mangsa akan mengadakan majlis tahlil untuk keselamatan mangsa di kediaman sepupu Wan Azlela pada 13 Mei ini. 

“Pada 12 Mei ini pun solat hajat akan diadakan di surau di sini (Ulu Bendul) oleh pihak berkuasa,” katanya. 

Dalam nada yang sayu, Wan Azlela nekad dengan keputusannya menunggu dan mencari anak bongsunya itu di sekitar kawasan sungai berkenaan. 

“Saya reda dengan takdir tapi biarlah saya nampak jasadnya itu dulu,” katanya. 

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, Selasa lepas, Norsyaza Alisa, 5; Norsyaza Azira, 4; dan Shakinah mandi bersama bapa mereka, Said Ahmad Ibrahim, 28, dan seorang rakan wanitanya yang dikenali sebagai Alwani Abu Hasan, 20-an. 

Tiga beradik itu dipercayai dihanyutkan oleh fenomena ‘kepala air’ dari kawasan Gunung Angsi. 

Bagaimanapun, dua daripada tiga beradik itu iaitu Nursyaza Alisa dan Nursyaza Azira sudah ditemui oleh ahli keluarga mangsa dan SAR. 

Sementara itu, Bapa saudara, Wan Azri Wan Abdullah, 45, berkata, pihak keluarga akan tetap meneruskan usaha mencari dan menyelamat adik Shakinah walaupun operasi mencari telah ditamatkan. 

“Pihak keluarga, saudara mara dan rakan-rakan akan bersama-sama mencari adik Shakinah sehingga pihak keluarga memutuskan jawapan untuk menamatkan operasi mencari. 

“Bukan sahaja pihak keluarga, malah orang kampung turut akan memberi kerjasama kepada kami sepanjang usaha mencari dilakukan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam. 

Menurutnya, pihak keluarga mengucapkan terima kasih kepada pihak keselamatan dan kerajaan negeri atas usaha membantu mencari selama ini. 

“Kami sekeluarga hormati keputusan mereka (pihak penyelamat dan kerajaan negeri) untuk menamatkan operasi mencari semalam. Namun, pihak keluarga tetap dengan pendirian akan meneruskan usaha mencari,” katanya. - sinarharian

No comments:

Post a Comment

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu