adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Monday, May 2, 2011

Suami merempit bawa isteri, anak ditahan


SEBAHAGIAN 'mat rempit' dan motosikal yang ditahan untuk pemeriksaan selepas operasi di Dataran Nilai, Seremban, malam kelmarin.

SEREMBAN 1 Mei - Selain menjadi ketua dalam rumah tangga, seorang suami berperanan membimbing isteri selain mendidik anak supaya menjadi insan yang berguna.

Namun apa yang berlaku di Nilai dekat sini pagi tadi cukup mendukacitakan apabila seorang insan bergelar suami sanggup menjadi 'mat rempit tegar' bersama isterinya dengan membawa anak yang berusia kurang setahun.

Tabiat buruk itu akhirnya memakan diri apabila lelaki berusia 22 tahun itu ditahan bersama 150 rakan 'seperjuangannya' oleh pihak polis dalam Ops Mat Rempit di Dataran Nilai di sini malam tadi.

Operasi yang dilancarkan oleh Bahagian Trafik Bukit Aman itu menyaksikan 203 mat rempit ditahan dengan 105 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan meliputi pengubahsuaian enjin selain tidak mempunyai lesen memandu.

Ketua Operasinya, Asisten Supritendan Khuzir Abd. Majit memberitahu, operasi berkenaan melibatkan lebih 130 orang yang terdiri dari anggota dan pegawai melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.

Jelasnya, operasi berkenaan dilakukan hasil intipan pihaknya selama dua minggu selepas mendapati kegiatan merempit masih lagi berlaku di kawasan berkenaan melibatkan golongan remaja.

"Kesemua mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 14 hingga 25 tahun rata-ratanya tidak mempunyai lesen memandu selain mengubah suai kenderaan mereka.

"Malah ada juga sebilangan mereka yang didapati menunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol dan menghidu gam ketika pihak kami melakukan pemeriksaan," katanya.

Jelas beliau, sepanjang operasi berkenaan, pihak berkuasa juga telah bertindak menyita 76 motosikal kerana didapati tidak menepati piawaian dalam pengubahsuaian kenderaan terbabit.

Justeru kata beliau, pihaknya akan terus bekerjasama dengan semua pihak penguatkuasaan dalam melaksanakan pemantauan secara berterusan bagi membanteras kegiatan haram ini yang dilihat tiada kesudahannya.

"Walaupun sudah berkali-kali amaran telah dikeluarkan namun masih ada lagi yang berdegil dan pada malam ini kita telah mengajar mereka dengan pendidikan berbentuk penguatkuasaan.

"Kita juga menasihatkan kepada keluarga supaya terus memantau kegiatan anak-anak mereka supaya tidak terus terjerumus dalam hal seperti ini," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu