adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Thursday, May 26, 2011

‘Ujian buat kami’


AMPANG: Kehilangan kaki kanan dari paras paha ke bawah tidak mematahkan semangat seorang mangsa tragedi tanah runtuh Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat, Sabtu lalu, meneruskan khidmat sebagai tenaga pengajar di rumah itu.

Mangsa, Mohd Irwan Zakaria, 33, yang mengajar Fardu Ain kepada penghuni rumah berkenaan sejak tiga tahun lalu, kehilangan kaki kerana ditimpa runtuhan konkrit dalam kejadian itu.

Katanya, ketika kejadian, dia bersama penghuni lain sedang menyiapkan tempat bagi satu majlis apabila dengan tiba-tiba berlaku runtuhan tanah yang menyebabkan konkrit runtuh serta menimpa dirinya.

“Saya akan tetap mengajar di rumah itu kerana mahu mendidik mereka menjadi insan mulia dan berjaya di dunia serta akhirat.

“Peristiwa ini akan dikenang sampai akhir hayat kerana ia meninggalkan kenangan yang tidak boleh dilupakan kepada kami yang akrab seperti adik-beradik,” katanya yang reda dengan kejadian yang menimpanya ketika ditemui di Hospital Ampang, di sini, semalam.

Beliau yang bekerja di syarikat telekomunikasi terkemuka negara ikhlas mengajar anak di rumah itu pada setiap hujung minggu serta Rabu dan Jumaat.

Menurutnya, tiada kata yang dapat digambarkan kerana peristiwa itu meragut nyawa penghuni dan menganggapnya ketentuan pencipta untuk menguji keimanannya dan mangsa lain.

Bagi Zulkhairi Aminuddin, 13, yang turut kehilangan kaki kiri dari paras lutut ke bawah akibat dihempap batu besar dalam kejadian sama turut reda dengan apa yang menimpa dirinya.

Katanya, ketika kejadian, dia membuat kerja bersama rakan sebelum dikejutkan dengan runtuhan tanah yang menimbuskan badannya dari paras pinggang ke bawah.

“Saya tertimbus selama tiga jam dan ketika itu hanya mampu berdoa supaya diselamatkan tetapi kaki kiri saya terpaksa dipotong bagi menyelamatkan nyawa saya yang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Saya reda kerana ini ketentuan terhadap diri saya dan akan terus tinggal di rumah berkenaan selepas sembuh kelak,” katanya dalam nada sebak.

Beliau yang tinggal selama tiga tahun di rumah itu berkata, sejak berada di rumah itu, dia berjaya khatam al-Quran selepas dibimbing ustaz dan mahu meneruskan usaha mempelajarinya selepas ini.

“Saya mahu menjadi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan berbakti kepada negara walaupun selepas ini terpaksa menggunakan kaki palsu tidak lama lagi,” katanya. - myMetro

No comments:

Post a Comment

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu