adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Thursday, June 30, 2011

Anak ular sawa berkepala dua

STEFAN BROGHAMMER memegang seekor anak ular sawa berkepala dua.


BERLIN - Seekor anak ular sawa berkepala dua dilahirkan di Villingen-Schwenningen, selatan Jerman, lapor sebuah akhbar semalam.
Ular itu milik Stefan Broghammer yang kini sepanjang 50.8 sentimeter dan berumur setahun.
Menurut Broghammer, haiwan itu merupakan ular yang kedua diketahuinya mempunyai dua kepala.
Ia tidak mempunyai bisa selain dikenali sebagai ular sawa diraja dan popular sebagai haiwan peliharaan. - Agensi

‘Nak tunggu raya lambat lagi’


USUNG...anggota polis dan keluarga mengangkat mayat Mohd Zamzuri Irwan (gambar kecil).
USUNG...anggota polis dan keluarga mengangkat mayat Mohd Zamzuri Irwan (gambar kecil).
KUALA TERENGGANU: Naluri seorang ibu yang tidak sedap hati apabila anaknya memohon maaf ketika keluar rumah sedangkan sebelum ini tidak pernah berbuat demikian, bagaikan petanda anak lelakinya itu pergi menyahut seruan Ilahi selepas terbabit dalam kemalangan malam kelmarin.

Suri rumah, Ramlah Ramli, 55, berkata, dia tidak menyangka kata yang disangka gurauan itu sebenarnya ‘permohonan terakhir’ daripada anaknya Mohd Zamzuri Irwan Mamat, 27, supaya dimaafkan segala kesalahannya sebelum ini.

“Petang semalam (kelmarin), selepas membasuh motosikalnya yang baru dibeli sebulan lalu, arwah meminta maaf dan terkejut dengan kelakuan peliknya itu saya bertanya semula kenapa cakap begitu.

“Kemudian arwah beritahu kalau nak tunggu raya lambat lagi, jadi baik minta maaf sekarang sambil saya memberitahu sentiasa memaafkannya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), malam kelmarin.

Mohd Zamzuri Irwan yang menunggang motosikal Yamaha LC 135 maut di tempat kejadian manakala rakannya, Mohd Arif Muhammad, 25, yang membonceng bersamanya parah apabila kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan kereta Proton Wira di simpang tiga lampu isyarat Jalan Kampung Pasir Panjang, kira-kira jam 9 malam kelmarin.

Difahamkan, mangsa yang dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Belukar Jambu, Chendering menuju ke pasar raya gagal mengawal kenderaan apabila kereta Proton Wira dipandu buruh, Yusof Rani, 53, bersama isteri dan tiga anak dalam perjalanan dari pusat bandar dikatakan membelok ke kanan memasuki simpang secara mengejut.

Akibat pelanggaran itu, Mohd Zamzuri Irwan yang bekerja sebagai buruh melambung sejauh lima meter dan topi keledar dipakainya turut tercabut serta cedera parah di badan, muka dan kepala.

Manakala, Mohd Arif pula terseret sejauh 10 meter parah di badan dan sehingga kini masih koma serta mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi HSNZ.

Sementara itu, Mohd Zulkarnain Imran, 24, adik kepada Mohd Zamzuri Irwan berkata, dia pelik apabila abangnya tergesa-gesa keluar rumah selepas Maghrib tanpa bercakap sepatah pun.

“Biasanya dia bergurau dan beritahu hendak ke mana, tetapi semalam (kelmarin) dia senyap dan hanya melihat adik-beradik lain di rumah, sedangkan dia jenis yang banyak bercakap.

“Malah apa yang menghairankan dia juga tidak menggunakan motosikal Yamaha RXZ yang baru dibasuhnya seolah-olah sayang hendak keluar kerana baru sebulan dibeli, tetapi menggunakan motosikal Yamaha LC135 milik saya,” katanya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kemalangan menyebabkan kematian manakala pemandu kereta Proton Wira terbabit diambil keterangan selama dua jam sebelum dibebaskan dengan jaminan polis. - myMetro

‘Saya Tidak Tahu Karnival Itu Anjuran PKR'


Wardina
AMPANG: Pengacara Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot, 32, atau Wardina menjelaskan tidak mengetahui Program Karnival Mesra Rakyat yang diadakan di Desa Mentari, Petaling Jaya dekat sini 26 Jun lalu adalah anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Wardina berkata, kehadirannya pada majlis tersebut atas jemputan seorang individu yang memintanya memberi ceramah berkaitan keibubapaan.
“Saya sepatutnya hadir pada sebelah siang tetapi disebabkan sibuk dengan aktiviti lain, saya dijemput menghadiri pada sebelah malamnya kerana diberitahu ramai orang sedang menunggu.
“Dalam jemputan itu saya diminta memberi ceramah mengenai institusi kekeluargaan tanpa dimaklumkan majlis berkenaan adalah anjuran pertubuhan politik termasuklah kehadiran wakil rakyat pembangkang,” katanya di Kelab Darul Ehsan di sini, Rabu.
Wardina berkata demikian bagi menjelaskan tuduhan kononnya dikatakan terlibat dengan pertubuhan politik pembangkang termasuklah menyokong perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).
Turut hadir peguamnya Muhammad Hanif Harun dan Iylia Iqbal Ibrahim.
Wardina (tengah) berbincang dengan peguamnya, Muhammad Hanif Harun (kiri) dan Iylia Iqbal Ibrahim.
Jelas Wardina, sewaktu dia tiba di majlis itu kelihatan Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali dan dia telah diminta duduk sebelah wakil rakyat tersebut.
“Pada majlis itu saya hanya sempat memberi ceramah selama kira-kira sepuluh minit dan sebelum acara tamat, saya terus meninggalkan majlis selepas mendapat sedikit bayaran daripada pihak penganjur,” ujarnya.
Menurut Wardina, dia terkejut apabila kehadirannya telah dimanipulasikan sehinggalah ada pihak menuduh kononnya dia cenderung kepada PKR selain menyokong perhimpunan haram, Bersih.
Tambahnya, lebih memalukan gambar-gambar silamnya yang tidak bertudung telah disiarkan di beberapa blog dengan lemparan kata-kata yang kurang enak selepas insiden berkenaan.
“Saya ingin menjelaskan yang saya tidak terlibat dengan mana-mana pertubuhan politik apatah lagi menyokong demonstrasi jalanan.
“Malah saya lebih sedih apabila gambar-gambar lama saya tidak bertudung disiarkan menerusi bloq yang mana ia boleh memalukan saya dan keluarga sedangkan saya sudah berubah,” ujarnya.
Gambar yang menimbulkan kontroversi apabila Wardina (kanan) bersama ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad (dari kiri) dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.
Ditanya adakah dia mempunyai hubungan baik dengan mana-mana pemimpin politik pembangkang, kata Wardina sebagai seorang selebriti dia berhak berbaik dengan sesiapa sahaja.
Wardina turut menjelaskan, tekanan yang berlaku disebabkan insiden berkenaan membuatkan dia terpaksa mengambil keputusan berehat daripada menjadi pengacara Malaysia Hari Ini di TV3 selama dua bulan.
Kata Wardina, tindakan itu bukanlah hukuman yang dikenakan stesen televisyen berkenaan sebaliknya ia adalah keputusan dia sendiri untuk membolehkan isu itu kembali reda selain mahu menceriakan semula kehidupannya.
“Saya tidak akan menjadi ceria jika saya dibebani dengan masalah. Jadi, adalah lebih baik saya berehat seketika dan perkara itu telah dipersetujui oleh pihak TV3,” katanya.
Sementara itu peguamnya Iylia Iqbal Ibrahim meminta pemilik bloq yang menyiarkan gambar-gambar Wardina tidak bertudung agar mengeluarkannya segera dalam tempoh dua minggu sebelum tindakan ke atas mereka diambil.
Katanya, tindakan itu perlu untuk menjaga reputasi Wardina yang terjejas dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan gara-gara salah faham tersebut. - mStarOnline

Wednesday, June 29, 2011

Harga ayam dan ikan naik

Aduh....bukan sakit kepalo lai tapi sakit poket tambah dongan sakit hati den..... apo nak dibuek lai....
NAIK...peniaga di Pasar Chow Kit menjual ayam RM8 sekilogram.
NAIK...peniaga di Pasar Chow Kit menjual ayam RM8 sekilogram.

Pergi pasar, bawa RM50.00, dapat bawa balik cuma 1/2 ekor ayam, ikan kembung 4 ekor dgn sayur kobis 1/4 biji, lada merah campur hijau sikit dan santan 1 biji. Selesai RM45 (ini stok utk 2hari. Berbanding 6 bln sudah, kalau RM50.00, akak boleh beli stok utk 1 minggu, makan 3 org.)

Barangan basah & kering naik sedikit demi sedikit tanpa disedari....tau2 periiiitnya......

Berita dalam Harian Metro hari ini memaparkan cerita sama, kalau tak puas hati boleh klik kat sini untuk penerangan lanjut dari peniaga. 

Macamana nak berniaga di bulan Ramadhan ni???? Poning kepalo akak memikirkannyo.....

Victoria Beckham Selesa Tidur Dengan Anjing


PENYANYI dan ikon fesyen Hollywood, Victoria Beckham dikhabarkan tidak lagi tidur sebilik bersama suaminya, David Beckham dan telah berpindah ke bilik anjing peliharaan mereka, Scarlet.
Victoria yang kini sedang sarat hamil anak keempat itu berasa kurang selesa apabila bersama dengan David yang juga merupakan pemain bola sepak England itu.
"Dia sudah tidak tidur sebilik dengan David dan kini selesa bermalam bersama anak anjing barunya itu.
"Victoria merasakan dirinya seperti seekor ikan paus yang terdampar di atas katil," kata sumber kepada Daily Star
Bagaimanapun, David menganggap kelakuan isterinya itu agak lucu dan tidak pernah dibuat orang.
Malah, sejak David membawa pulang Scarlet, Victoria melayan anjing tersebut seperti anaknya sendiri.
"Nasib baiklah David seorang lelaki yang memahami lebih-lebih lagi sejak kebelakangan ini Victoria mudah tersinggung," kata sumber itu lagi. - mStarOnline

19 Pelakon Popular Terajui 'Tahajjud Cinta'


Selain mengarah, Erma turut berlakon sebagai watak isteri pertama dalam dramaTahajjud Cinta. - Foto RICKY LAI
PETALING JAYA: Pengarah dan pelakon Erma Fatima, 43, mengambil langkah membariskan 19 pelakon popular dalam drama arahannya iaitu, Tahajjud Cinta (TC) untuk mendapatkan impak yang luar biasa.
Menurut Erma yang turut berlakon dalam drama itu, berdasarkan kekangan bajet produksi tempatan menjadi faktor penghalang untuk mereka mendapatkan barisan pelakon yang popular dan berkualiti.
"Jika kita memiliki bajet yang berpatutan untuk memanggil barisan pelakon yang popular dan berkaliber, mengapa tidak saya mencuba formula tersebut.
"Saya sengaja ambil nama-nama besar dalam dunia lakonan bagi memberikan impak dan keseimbangan pada setiap watak tidak kira besar atau kecil dalam drama ini.
"Sehingga tiadanya istilah pelakon pembantu atau ekstra kerana setiap watak itu sama menonjol, penting dan saling berkait antara satu sama lain," katanya yang tidak berdepan masalah menghimpunkan pelakon-pelakon popular drama tersebut di lokasi penggambaran.
Erma ditemui pada sesi ramah mesra pelakon drama bersiri itu yang berlangsung di Sri Pentas, Bandar Utama, di sini, Selasa.
Ditanya adakah keputusannya menghimpunkan pelakon-pelakon popular itu bertujuan untuk menandingi fenomena drama bersiri popular Nur Kasih pada satu ketika dulu, katanya, sebagai pengkarya saingan utama adalah terhadap dirinya sendiri dan bukan dengan pihak lain.
Antara barisan pelakon drama Tahajjud Cinta.
"Saya langsung tiada niat untuk menandingi mana-mana drama atau pengkarya lain dengan membariskan nama-nama popular dalam drama terbaru ini.
"Sebagai pengkarya, saingan utama saya adalah diri sendiri iaitu untuk menghasilkan naskhah yang lebih baik dari semasa ke semasa kerana matlamat dan misi di sebalik karya itu lebih penting daripada soal persaingan," katanya.
TC berkisar pada isu pengorbanan dan perjuangan wanita dalam menegakkan kebenaran, hak dan reputasi mereka.
Ia memaparkan kisah dua wanita iaitu Citra Maisara lakonan Nur Fazura dan Seri (Fouziah Gous) yang berasal daripada dua latar belakang berbeza. Perjalanan hidup mereka dihujani pelbagai dugaan dan cabaran dalam memperjuangkan hak-hak tersebut.
Drama sebanyak 13 episod ini turut membariskan Fazura, Fouziah Gous, Eman Manan, Remy Ishak, Shahz Jaszle, Tiz Zaqyah, Aaron Aziz, Tan Sri Datuk Dr. Jins Shamsudin dan Neelofa.
Turut berlakon Norish Karman, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Dira Abu Zahar, Ziela Jalil, Azizah Mahzan, Fazreen, Heryanto, Fadhilah Mansor dan Melissa Saila.
Drama terbitan syarikat produksi Rumah Karya Citra ini akan mula ditayangkan pada 8 Julai depan pada setiap Jumaat pukul 9 malam dalam slot Zehra di TV3. - mStarOnline

JAHEAIK buka fail siasat Kajol


ALBUM...Kajol menunjukkan dua album irama dikir baratnya.
ALBUM...Kajol menunjukkan dua album irama dikir baratnya.
KOTA BHARU: Kontroversi membabitkan penyanyi mak nyah tersohor Kelantan, Kajol, 25, kini memasuki episod baru apabila dia disiasat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) akibat keceluparannya mengaku bukan Islam ketika dihadapkan di Mahkamah Rendah Syariah Tanah Merah, 21 Jun lalu.

Pegawai JAHEAIK Jajahan Tanah Merah, Nik Ahmad Zuhdi Nik Yaacob berkata, tindakan itu diambil selepas mendapati penyanyi yang terkenal dengan lagu berentak Bollywood itu melakukan kesalahan serius apabila mengaku bukan Islam.

“Segala bukti mengenai pengakuan penyanyi itu sudah diperoleh dan fail siasatan mengenainya sudah dibuka dan dihantar ke ibu pejabat JAHEAIK.

“Kami mengambil tindakan segera membuka fail siasatan kerana Kajol secara sedar mengaku bukan Islam walaupun pada pengenalan dirinya menunjukkan agamanya Islam,” katanya.

Sebelum ini, muka depan Harian Metro melaporkan, Kajol atau nama sebenarnya, Mohd Hafiz Jeffri dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000 atau lima bulan penjara jika gagal membayar denda selepas mengaku salah terhadap pertuduhan berperwatakan seperti wanita dan berpakaian tidak senonoh di khalayak ramai ketika mengadakan persembahan di sebuah tapak ekspo di Tanah Merah, 15 April lalu.

Bagaimanapun, hukuman itu ditangguhkan selepas Kajol merayu semua hukuman dijatuhkan ke atasnya dikemukakan semula kepada Mahkamah Tinggi Syariah untuk dibicarakan semula pada prosiding akan datang.

Kajol yang berseluar jeans biru dan berbaju panjang berwarna hitam mengaku salah atas pertuduhan serta fakta kes dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Syarie, Aris Fadhilah.

Ketika nasihat diberikan, Kajol dilihat menyampuk dengan berkata: “Saya bukan orang Islam, tetapi Orang Asli”, menyebabkan hakim bertegas kerana dokumen dikemukakan di hadapannya mengesahkan Kajol beragama Islam.

Menurut Nik Ahmad Zuhdi, beliau tidak dapat mengulas lanjut kerana kes berkaitan Kajol sedang disiasat.

“Apa yang penting, kami sudah buka fail siasatan dan penyanyi itu akan disiasat atas perbuatannya,” katanya.

Sebelum dijatuhi hukuman itu, Kajol pernah mencetuskan kontroversi apabila mengaku lebih rela mati daripada berubah menjadi lelaki sejati.

Muka depan Harian Metro pada 20 April lalu melaporkan, Kajol memberi alasan bukan sengaja mahu menjadi wanita, tapi naluri wanita memang wujud dalam dirinya sejak zaman kanak-kanak lagi.

Kajol turut mengakui dia ‘lemas’ dengan pelbagai dugaan menimpanya, termasuk ditahan penguat kuasa jabatan agama menyebabkan dia mengambil keputusan nekad untuk tidak lagi membuat persembahan di Kelantan.

“Saya manusia biasa dan tidak mahu terus terseksa. Saya sedar, saya seperti diharamkan di Kelantan. Daripada terus ditahan, lebih baik saya berhenti daripada membuat persembahan di Kelantan.

“Justeru, kepada semua peminat yang memberi sokongan setiap kali saya membuat persembahan di Kelantan, saya ucapkan ribuan terima kasih. Kita tidak akan berjumpa lagi di Kelantan,” katanya yang mendakwa mempunyai 25 album. - myMetro

Tuesday, June 28, 2011

Wardina Perjelas Tuduhan Sokong Perhimpunan Bersih


PETALING JAYA: Pengacara Wardina Safiyyah,32, amat kecewa apabila dikaitkan terlibat dengan pertubuhan politik termasuklah menyokong perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).
Wardina berkata, imejnya tercemar apabila terdapat blog-blog tertentu yang mendakwa dia menyokong gerakan berkenaan sehingga menjejaskan reputasinya apabila banyak pihak yang mempersoalkan perbuatannya itu.
“Saya amat kecewa. Saya tidak terlibat dengan mana-mana pertubuhan haram. Ini semua salah faham pihak-pihak tertentu,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Selasa.
Sehubungan itu jelas Wardina dia akan mengadakan sidang media tergempar, Rabu (esok) di Kelab Darul Ehsan, Ampang dekat sini pukul 9 pagi bagi menjelaskan pendiriannya berhubung tuduhan itu.
“Esok saya akan terangkan kepada pihak media mengenai dakwaan yang diperkatakan kepada saya,” ujarnya.
Jelas Wardina, selama ini dia banyak keluar masuk institusi pengajian tinggi tempatan untuk memberi motivasi dan inspirasi kepada para pelajar agar menjadi individu yang berguna sebaliknya tindakannya itu cuba dimanipulasikan.
“Apabila orang memberi reaksi yang buruk kepada saya, saya perlu menjelaskannya. Kerana perkara ini benar-benar mencemarkan nama baik saya,” katanya. - mStarOnline

Rizal AF5 dibelasah


DI SINI...Hamaria menunjukkan kecederaan dialami Rizal.
DI SINI...Hamaria menunjukkan kecederaan dialami Rizal.
KUALA LUMPUR: “Hanya mati terlintas di fikiran apabila lelaki berbadan tegap itu mencekik dan mengangkat badan saya sebelum menghempas ke kereta,” kata penyanyi dilahirkan melalui program realiti Akademi Fantasia musim kelima (AF5), Rizal ketika menceritakan pengalamannya diserang dua lelaki, tengah malam kelmarin.

Rizal atau nama sebenarnya Hasfarizal Ayub berkata, kejadian berlaku di persimpangan Jalan Cecawi, Seksyen 6, Kota Damansara jam 12 tengah malam.

Menurut artis berasal dari Sarawak itu, sebelum kejadian dia menyedari keretanya diekori Proton Iswara dinaiki dua lelaki sebaik keluar dari pusat beli-belah Sunway Giza, Kota Damansara, namun tidak mengesyaki apa-apa.

Ketika itu, dia baru keluar dari kompleks beli-belah berkenaan dan menghantar rakan wanitanya pulang ke rumah di Kota Damansara, jam 12 tengah malam.

“Namun ketika tiba di persimpangan di tempat kejadian, Proton Iswara itu memintas kereta saya menyebabkan saya menekan brek secara mengejut bagi mengelak merempuh kereta itu.

“Sebaik saya memberhentikan kereta, dua lelaki keluar dan menyerang tanpa saya sempat berbuat apa-apa,” katanya.

Rizal berkata, seorang daripada lelaki terbabit memulas lengan kanannya ke belakang dan mencekik lehernya. “Lelaki itu memarahi saya sambil mengugut mencederakan saya dan rakan jika berani datang ke kawasan itu lagi.

“Saya berasa tidak berdaya apabila lelaki yang mencekik saya mengangkat dan menghempas saya ke kereta,” katanya. Menurut Rizal, rakan wanitanya, Hamaria Mohd Harun, 23, yang pada mulanya berada di dalam kereta keluar meleraikan pergaduhan itu, namun dia pula diserang kedua-dua lelaki terbabit.

“Saya cuba membantu, namun tidak berjaya apabila sekali lagi dicekik. Mujur Hamaria sempat menjerit meminta pertolongan orang ramai menyebabkan dua lelaki itu masuk ke dalam kereta dan terus beredar,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Rizal lebam di lengan kanan. Hamaria yang bekerja sebagai pegawai operasi di sebuah syarikat penerbangan swasta berkata, dia tidak tahu apa motif kedua-dua lelaki terbabit menyerang dia dan Rizal.

“Saya sendiri bertanya Rizal sama ada dia mempunyai musuh, namun dia menafikannya, tambahan pula kami berdua merantau ke sini mencari rezeki.

“Saya sendiri tidak bermusuh dengan sesiapa dan tidak tahu kenapa mereka menyerang kami, namun saya takut ada agenda lain ingin mengenakan kami,” katanya yang juga berasal dari Sarawak.

Rizal kemudian membuat laporan di Balai Polis Kota Damansara kerana bimbang kejadian sama berulang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohammed mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan. - myMetro

Remaja 17 Tahun Dari Alor Gajah Menang Cipta Logo Filem Transformer


ALOR GAJAH: Seorang pelajar Malaysia muncul sebagai pemenang utama dalam peraduan "Iridescent Artwork" iaitu mencipta logo bagi edisi kelima siri filem blockbuster Hollywood - "Transformer".
Wan Muhammad Hazzim Wan Muhammad Zulkifli, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Dol Said di sini berjaya menewaskan peserta dari seluruh dunia menerusi pertandingan tersebut.
"Saya tidak menyangka kerana ia kemenangan pertama saya lebih-lebih lagi di peringkat antarabangsa bagi mencipta logo bersempena jelajah konsert Linkin Park di Moscow bermula Jumaat lepas," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Saujana Heights, di sini, petang Isnin.
Beliau berkata, logo tersebut adalah sebagai latarbelakang 'soundtrack' filem "Transformers: Dark Of The Moon" yang dinyanyikan oleh kumpulan antarabangsa itu.
Katanya, proses menyiapkan logo tersebut hanya memakan masa selama setengah hari dan kemenangan itu merupakan satu kebanggaan bagi diri dan keluarganya.
Wan Muhammad Hazzim yang bercita-cita untuk menjadi seorang pereka animasi sememangnya meminati siri Transformers dan menjadikan minat beliau sebagai inspirasi mereka logo itu, katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak mengetahui hadiah yang bakal dimenanginya kerana belum dihubungi oleh penganjur bagi ganjaran itu.
"Saya mengetahui kemenangan saya menerusi e-mel dan facebook," katanya remaja bongsu dari dua adik-beradik itu yang bagaimanapun kurang mengemari muzik kumpulan Linkin Park.
Bagi ibunya, Zaharah Ramli 48, pensyarah dalam bidang seni reka grafik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Alor Gajah, sememangnya menyokong minat dan cita-cita anaknya dalam bidang yang diminati.
"Saya sekeluarga rasa bangga di atas pencapaian Hazzim," katanya.
Filem Transformers arahan Michael Bay itu bakal menemui penonton tidak lama lagi dan ianya sekaligus meletakkan nama anak Malaysia sebagai salah seorang individu yang terlibat.
Hasil logo tersebut akan dibawa bersama sepanjang siri konsert jelajah Linkin Park di Moscow sebagai latar kepada 'soundtrack' konsert tersebut. - BERNAMA

Kamal Adli Berat Hati Berlakon 'Gerimis Mengundang'


KUALA LUMPUR: Pelakon kacak Kamal Adli mengakui rasa berat hati nuntuk berlakon filem arahan Ahmad Idham Nadzri berjudul Gerimis Mengudang.
Kata Kamal, perasaan tersebut timbul kerana merasakan dia bakal memikul tanggungjawab untuk membawa filem tersebut ke negara jiran Indonesia.
"Entah kenapa hati saya sangat berat untuk berlakon filem itu. Mungkin perasaan terlalu takut kerana ini merupakan filem pertama saya yang akan ditayangkan di Indonesia.
"Saya dapat rasakan tekanan untuk buat yang terbaik dan juga bergandingan dengan pelakon popular Indonesia Olivia Jensen Lubis," katanya ketika ditemui pada sidang media Gerimis Mengundang.
Filem tersebut merupakan gabungan dua syarikat produksi tempatan, Excellent Pictures dan Erama.tv dengan kerjasama syarikat produksi prolifik dari Indonesia, Wana B Pictures.
Tambah Kamal, antara cabaran utama adalah dari segi bahasa pertuturan Olivia yang agak sukar untuk difahami.
"Saya sukar untuk memahami bahasa Indonesia yang dituturkan oleh Olivia kerana terlalu pekat, saya perlu dengar betul-betul untuk memahaminya.
"Namun dia seorang yang sangat mesra, kali pertama berjumpa dia seperti sudah lama kenal. Jadi mungkin tiada masalah untuk mencari keserasian," katanya.
Sementara itu, ketika ditanya tentang watak yang bakal dilakonkan, Kamal berkata dia memang watak Zamani yang merupakan seorang juruterbang helikopter.
Zamani akan bertemu Mikha lakonan Olivia gadis dari Jakarta. Dari seorang pemuda yang mempunyai ego yang tinggi, dia akhirnya jatuh cinta dengan Mikha.
Sementara itu, penerbit merangkap pengarah, Ahmad Idham berkata, filem ini merupakan percubaan untuk memasuki pasaran negara Indonesia.
"Ini adalah permulaan dan percubaan kami melakukan kolaborasi dengan syarikat dari negara Indonesia di mana kami mendapat khidmat mereka untuk menyediakan pelakon dan pemasaran.
"Oleh itu, dari segi pemilihan tajuk juga kita memilih tajuk lagu yang sememangnya popular di sana iaitu Gerimis Mengundang yang pernah menjadi fenomena di sana.
"Kita juga akan menggunakan khidmat komposer Yovies & Nuno untuk mengubah kembali lagu tersebut dan mengubah lagu tema untuk filem ini," katanya.
Filem tersebut menjalani penggambaran di Sabah, Kuala Lumpur dan Jakarta bermula 28 Jun ini dan telah mendapat kerjasama dengan Lembaga Pelancongan Sabah.
Filem yang memaparkan naluri cinta insan ini akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia dan Indonesia pada 2012. - mStarOnline

Monday, June 27, 2011

Jimmy Shanley Mahu Zahrah Membesar Depan Mata



PETALING JAYA: Pengacara Jimmy Shanley yang baru sahaja menerima kelahiran cahaya mata sulungnya, Zahrah Shanley pada 24 Jun lalu, mahu anak perempuannya itu membesar di depan mata.
Bayi seberat 2.2 kilogram itu selamat dilahirkan oleh isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy secara pembedahan di Pusat Perubatan Putra (PMC), Sungai Buloh pada pukul 6 petang, Jumaat lalu.
“Setelah isteri saya selesai berpantang di rumah mak mertua saya, saya akan membawa anak kami tinggal bersama-sama saya dan membesarkan dia secara sederhana. Jadi, isteri saya perlu mengikut serta jika dia mahu tinggal bersama-sama anak.
“Saya rasa, itu sahaja cara yang saya perlu lakukan untuk membawa isteri saya pulang kerana saya tidak akan menceraikan isteri saya seperti yang diinginkan olehnya,” kata Jimmy ketika dihubungi mStar Online, Ahad.
Jimmy yang telah melawat anak dan isterinya di hospital memberitahu makna Zahrah adalah sesuatu zahir yang cantik. Nama itu juga dipilih sempena gabungan hujung nama ibunya, Azizah (Zah) dan ibu mertuanya, Muniroh (rah).
“Saya sempat menjaga Zahrah sehingga pukul 2 pagi semalam. Bagaimanapun saya tidak boleh berlama-lama dengan dia sebab mempunyai komitmen lain yang perlu dilakukan.
“Bagaimanapun, saya akan meminta izin daripada mertua saya untuk tinggal sementara di rumahnya untuk sentiasa dekat dengan Zahrah. Kalau boleh saya nak Zahrah membesar depan mata saya,” ujarnya lagi.
Tambah Jimmy lagi: “Saya sudah membuat keputusan untuk menjadi bapa sepenuh masa untuk anak saya dan bekerja dari rumah. Cuma pada hari Ahad saya akan keluar untuk mengendalikan program Gala TV Plus di Astro Awani.
“Sudah sembilan bulan saya hidup sendirian dan tidak akan memikirkan untuk berkahwin lain atau mencari pembantu rumah untuk menjaga anak saya.”
Selepas isterinya selesai berpantang, Jimmy juga merancang untuk meraikan anaknya dalam majlis cukur jambul di rumah keluarga ibu mertuanya di Tanjung Dawai, Sungai Petani.
Sebelum menutup bicara, Jimmy turut sempat meluahkan: “Sudah 31 tahun saya menunggu untuk memangku bayi sendiri dan alhamdulillah, saya sangat bersyukur dengan kurniaan Allah ini. Saya berharap Zahrah menjadi anak yang solehah dan berbakti kepada kedua ibu bapanya.”
Pasangan Jimmy dan Suhaila bernikah pada 1 Oktober 2010.
Pada 8 Mac lalu, Jimmy memfailkan permohonan nusyuz agar isterinya kembali taat kepadanya kerana anak. - mStarOnline

Ratapan sisi jenazah


SEDIH...Shafuan Haqim ditenteramkan rakannya.
SEDIH...Shafuan Haqim ditenteramkan rakannya
KOTA BHARU: “Maafkan aku Aliff! Maafkan aku!” kata Shafuan Haqim Othman, 18, sambil memegang erat tangan Mohammad Aliff Mohd Suhaimi, 19, ketika jenazah rakannya itu dibawa masuk ke dalam van jenazah di bilik mayat Jabatan Perubatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu berlaku ketika pelajar Kolej Islam Sains & Teknologi (KIST), Kampus Utama Ibnu Sina, Kandis, Bachok, dekat sini, datang ke perkarangan bilik mayat HRP II untuk melihat jenazah tiga rakannya yang maut dalam kemalangan di Kilometer 15, Lebuhraya Kota Bharu-Pasir Mas, di sini, malam kelmarin.

Tanpa menghiraukan kehadiran orang ramai di situ, pelajar terbabit tidak mampu menahan sebak sebelum meraung berdekatan jenazah rakannya itu kerana menganggap dia sebagai punca kemalangan terbabit selepas menghantar arwah Mohammad Aliff pulang ke rumahnya di Kampung Galok, Pasir Mas, pada malam kejadian. 

Dia sekali lagi meraung di luar kawasan bilik mayat itu menyebabkan beberapa rakannya menenangkannya sebelum dibawa ke bilik solat hospital itu bagi meredakan keadaan.

Shafuan yang juga pelajar diploma pembantu farmasi semester tiga meminta maaf kepada setiap ahli keluarga rakannya itu sambil meraung dengan menyalahkan dirinya sebagai punca kemalangan.

Bagaimanapun, ibu Allahyarham Shaiful Jawahir Razali, 20, Hasmah Bakar, 61, dengan tenang cuba mententeramkan Shafuan dengan memintanya tabah kerana nahas itu berlaku bukan atas kehendaknya, sebaliknya sudah ketentuan Tuhan.

Dalam pada itu, ibu Allahyarham Mohammad Aliff, Azmah Yusof, 43, turut sebak sebaik melihat jenazah anaknya diusung ke van jenazah sambil berkata: “Sayang ummi (ibu), bawa perlahan-lahan!” bagaikan mahu memberi nasihat kepada anaknya supaya lebih berhati-hati meskipun sedar zuriatnya itu sudah meninggal dunia.

Dalam kejadian malam kelmarin, niat murni empat sahabat menghantar rakan mereka pulang menziarahi ayahnya yang sakit bertukar tragedi memilukan apabila tiga daripada mereka maut, manakala tiga yang lain parah selepas kereta mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori air batu.

Kemalangan kira-kira jam 11 malam itu mengakibatkan tiga pelajar KIST, Kampus Utama Ibnu Sina, Kandis, Bachok, dekat sini, Shaiful Jawahir Razali yang juga pemandu kereta, Sheikh Muhammad Farhan Shikh Md Saud, 19, dan Mohammad Aliff meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang rakan mereka, Muhammad Aznil Mohd Suhaimi bersama pemandu lori air batu dikenali Zamri, 29, dan rakannya berusia 20-an, parah dan dikejarkan ke Hospital Pasir Mas dan HRPZ II untuk mendapatkan rawatan.

Difahamkan, sebelum kejadian Shafuan meminta bantuan Aliff menghantarnya pulang ke rumah di Kampung Galok, Pasir Mas, dengan menaiki Proton Iswara berikutan keadaan kesihatan ayahnya kurang memuaskan selepas menghidap gastrik serta sesak nafas.

Allahyarham Mohammad Aliff bersama tiga rakannya menghantar Shafuan dan mereka menikmati hidangan mi goreng serta rambutan disediakan keluarga Shafuan sebelum pulang ke asrama kira-kira jam 10.30 malam.

Tidak sampai setengah jam bertolak pulang, kenderaan dipandu Shaiful Jawahir yang cuba memotong sebuah kenderaan terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah lori air batu.

Menceritakan detik pertemuan terakhir bersama rakan-rakannya itu, Shafuan berkata, dia tergerak untuk pulang ke rumah pada malam kejadian selepas dihubungi kakaknya yang memaklumkan ayah mereka, Othman Deraman, 60, sakit di rumah.

“Tidak sedap hati, saya minta bantuan Aliff kerana dia mempunyai kereta. Tanpa saya sedari, tiga rakan lain mahu mengikut sama dan kami bergerak menaiki Proton Iswara dari asrama di Taman Dahlia, kira-kira jam 8.15 malam.

“Sebaik tiba di rumah, semua rakan dijamu hidangan ringkas disediakan kakak dan menjenguk keadaan ayah selepas dibawa mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta akibat sakit dada dan gastrik pada petang kejadian,” katanya. 

Menurutnya, semua rakannya meminta diri untuk pulang ke asrama kira-kira jam 10.30 malam.

“Pagi tadi (semalam) saya dimaklumkan seorang rakan bahawa tiga kawan kami maut nahas. Berderau darah saya, tetapi menyangka itu gurauan. 

“Saya lihat perwatakan mereka (rakan-rakan) agak berbeza kerana ketika menghantar saya, mereka tak banyak bercakap, cuma ada sesekali perbualan kami diselangi gelak ketawa,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman, berkata kemalangan berlaku ketika kereta dipandu mangsa dari Kampung Galok, Pasir Mas ke Kota Bharu cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya sebelum terbabas dan bertembung sebuah lori dari arah bertentangan. 

Katanya, kemalangan itu mengakibatkan tiga maut dan tiga yang lain parah sebelum dikejarkan ke hospital dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - myMetro

Sunday, June 26, 2011

Kurang ajar ketika solat


KUALA LUMPUR: Kecetekan ilmu dalam bidang agama menyebabkan ramai di kalangan umat Islam bersikap kurang ajar ketika melakukan solat berjemaah dan tidak lagi tahu menghormati kesucian masjid.

Penceramah bebas dan perunding motivasi, Che Nordin Che Ibrahim berkata, ini disebabkan mereka tidak menggunakan rumah ibadat itu untuk beribadah sepenuhnya, sebaliknya untuk bersembang dan mengganggu jemaah lain.

Antara tabiat buruk sesetengah jemaah ialah bersembang dengan kuat ketika imam membacakan khutbah, meninggikan suara ketika dalam solat, lalu di depan orang yang sedang bersolat, selain tidak menghabiskan solat dengan doa.

“Kita melihat perkara ini sebagai isu yang kebanyakannya tidak disedari masyarakat masa kini sedangkan jika diteliti, ia membuktikan ramai antara kita sebenarnya cetek didikan agama dan kurang ajar.

“Paling nyata, kita boleh lihat ada kalangan jemaah ini kurang ajar dengan meninggikan suara ketika solat berjemaah selain berbual sewaktu imam sedang berkhutbah, sekali gus mencerminkan betapa teruknya sikap masyarakat pada hari ini,” katanya ketika ditemui selepas Bengkel Pengukuhan solat yang diadakan di Masjid Al-Ghufran, di sini, semalam.

Program itu anjuran Human Capital Development Services (HCDS) Menurut Che Nordin, walaupun isu terbabit nampak kecil, namun satu perkara yang perlu diberi perhatian oleh umat Islam.

“Memang jika dilihat ia macam isu kecil, tetapi apa yang saya hendak tekankan di sini adalah, apabila perbuatan itu dilakukan maka ia mensia-siakan saja solat yang dilakukan dan boleh mengganggu solat orang lain,” katanya.

Bengkel Pengukuhan Solat anjuran HCDS itu bertujuan memperkasa dan memantapkan lagi ibadat solat sekali gus mendidik peserta mengenai adab untuk melakukan solat, termasuk solat jemaah di masjid. - my Metro

Pelatih dibotakkan satu kesilapan


ALOR SETAR: “Saya bagi pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat meminta maaf kepada keluarga Hizyaty Othman. Saya percaya apa yang berlaku adalah kesilapan yang tidak disengajakan,” kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung mengenai kes Hizyaty Othman, 28, dan beberapa pelatih wanita lain yang dibotakkan ketika mendaftar diri untuk menjalani latihan di Akademi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai di Marang, Terengganu, bulan lalu.

Chor yang juga Ahli Parlimen Alor Setar, berkata beliau juga sudah mengarahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat menjalankan siasatan dalaman berhubung kejadian itu dan jika perlu, ambil tindakan terhadap pegawai yang bertanggungjawab.

Akhbar semalam melaporkan Hizyaty, bekas pelatih bomba wanita kecewa dengan tindakan Akademi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai yang membotakkan kepalanya serta 18 pelatih wanita lain ketika mereka mendaftar diri untuk menjalani latihan di kem itu pada 2 Mei lalu.

Hizyaty dari Taman Berjaya, di sini, berkata dia amat terkejut dengan tindakan membotakkan kepala pelatih perempuan, tidak seperti apa yang dinyatakan dalam peraturan kursus yang diterima mereka sebelum melaporkan diri di akademi itu.

Chor berkata, tindakan menggunting rambut adalah berkait dengan peraturan yang bukan hanya dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat tetapi turut dilaksanakan pada anggota beruniform yang lain.

Beliau berkata, bagi pelatih wanita Jabatan Bomba dan Penyelamat, rambut mereka akan digunting sehingga enam milimeter panjang kerana sebagai anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, wanita yang berambut panjang mungkin sukar untuk menjalankan tugas yang membabitkan aktiviti fizikal. 

"Ini kes pertama saya terima aduan seperti ini. Ini jelas tunjukkan perkara itu bukan sentiasa berlaku dan ia mungkin tidak disengajakan," katanya kepada pemberita dalam sidang media, di sini, semalam. - myMetro

Saturday, June 25, 2011

Jakarta didesak henti khatan bayi perempuan


JAKARTA: Kumpulan hak asasi manusia termasuk Amnesty International mendesak pihak berkuasa Indonesia membatalkan dikri yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan yang membenarkan anggota profesional perubatan mengkhatan bayi perempuan.

“Kami sungguh kecewa dengan keputusan Menteri berkenaan.

“Perkhatanan adalah satu bentuk pencabulan terhadap wanita,” kata Aditiana Dewi Eridani dari Pusat Penerangan Hak Asasi Islam dan Wanita.

“Ia adalah langkah ke belakang bagi perlindungan hak asasi wanita di negara ini,” katanya.

Amnesty berkata, dikri itu melanggar beberapa undang-undang terhadap hak asasi manusia, perlindungan kanak-kanak dan penindasan terhadap wanita. - Reuters

Doktor dajal


GEORGETOWN (Delaware): Seorang doktor kanak-kanak didapati bersalah atas semua tuduhan dikenakan terhadapnya semalam, merogol pesakit kebanyakannya baru berusia tiga tahun.

Hakim William Carpenter mendapati Dr Earl Bradley dari Lewes, Delaware, dibuktikan bersalah atas 24 tuduhan merogol, melakukan serangan seksual dan eksploitasi seksual dalam perbicaraan di Sussex.

Bradley dituduh mengeksploitasi berpuluh-puluh pesakitnya di antara 1998 dan 2009. Kecuali seorang, semua mangsa Bradley terdiri daripada budak perempuan.

Penyiasat berkata, Bradley, 58, merakamkan eksploitasi itu dalam 86 pita video melalui penggunaan kamera tersembunyi.

Bradley tidak memberikan sebarang reaksi emosi ketika Carpenter membacakan penghakimannya.

Ruang mahkamah pula dipenuhi wartawan dan orang awam, sesetengahnya kelihatan teresak-esak menangis mendengar keputusan hakim.

Mahkamah juga dikawal ketat oleh lebih 20 anggota keselamatan bersenjata.

Polis yang menjadi saksi berkata, Bradley lebih gemar memilih mangsa yang tidak boleh bercakap lancar dan usia purata mereka hanya tiga tahun.

Bradley juga sering menghadiahkan mangsa ais krim berwarna-warni untuk dihisap bagi melindungi kesan lebam serta darah akibat paksaan dilakukannya pada mulut mangsa.

Dalam perbicaraan sehari pada 7 Jun lalu, pendakwa mengemukakan dua polis sebagai saksi, sementara peguam bela tidak mencabarnya. - Reuters

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu