adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Sunday, July 31, 2011

Penyanyi Korea, Kim Hyun Joong Datang KL 20 Ogos


Kim Hyun Joong
PETALING JAYA: Penyanyi yang juga anggota kumpulan K-Pop, SS501 iaitu Kim Hyun Joong, 25, bakal berkunjung ke Kuala Lumpur pada 20 Ogos depan bagi mempromosikan album mini pertamanya iaitu Break Down.
Album yang telah berada di pasaran sejak Julai lalu itu mengandungi lagu-lagu sepertiIntro (Let Me Go), Please, Kiss Kiss dan Yes I Will.
Sejak dipasarkan di Korea pada 8 Jun lalu, album tersebut telah mencatat jualan lebih 100 ribu unit di Hanteo Chart dalam masa 2 minggu.
Kim juga telah meraih kemenangan selama dua minggu berturut-turut di program televisyen Music Bank di KBS2 menerusi lagu Break Down.
Ketua kumpulan SS501 ini mula mencuri perhatian peminat di seluruh Asia menerusi lakonannya sebagai Yoon Ji Hoo dalam drama bersiri Boys Over Flowers (2009). - mStarOnline

Shuhardi Nafi Larikan Diri, Bersembunyi


KUALA LUMPURL: Shuhardi Md. Isa, lelaki yang didakwa berlakon sebagai Allahyarham Baharudin Ahmad yang meninggal dunia dalam perhimpunan haram di ibu negara pada 9 Julai lalu, menafikan dirinya bersembunyi, melarikan diri dan enggan bekerjasama dengan polis.
Shuhardi yang ditemui pada satu sidang akhbar di sini, sebaliknya berkata beliau tidak pernah menerima sebarang surat rasmi memintanya menghadirkan diri bagi membantu siasatan dari mana-mana balai polis.
"Bukankah polis lebih profesional dan tahu segala prosuder jika mahu seseorang itu memberi keterangan berhubung apa-apa kes? Saya tidak bersembunyi, datanglah ke rumah saya dengan tertib. Saya akan bekerjasama dengan mereka (polis)," katanya di sini, Sabtu.
Shuhardi yang juga Setiausaha Agung Persatuan Usahawan Konsultan dan Pengarah Islam Malaysia (Uruskop) menjelaskan, beliau terpaksa tampil memberi penjelasan berhubung kekeliruan kematian Allahyarham Baharudin kerana ia jelas menjatuhkan maruah dirinya.
"Saya masih hidup... yang meninggal Allahyarham Baharudin. Saya ingat perkara ini dah selesai dan saya tidak perlu tampil beri keterangan kerana ada blogger-blogger yang mengeluarkan gambar saya dengan mengatakan saya adalah Allahyarham Baharudin, telah meminta maaf kepada saya.
"Tapi semalam bila saya lihat komen Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar yang berkata saya dipercayai menyembunyikan diri, saya terpaksa mendedahkan perkara ini," katanya.
Beliau berkata polis sepatutnya menyiasat mereka yang mengeluarkan kenyataan mengelirukan mengenai dirinya daripada menumpukan siasatan ke atas dirnya sendiri.
"Saya yakin pihak polis mampu membuat siasatan berdasarkan maklumat dalam internet tanpa perlu melibatkan saya. Malah saya rasa polis sepatutnya siasat mereka yang keluarkan kenyataan keliru mengenai mereka. Saya rasa sepatutnya saya yang menyaman mereka (blogger) yang salah dengan mengaitkan nama saya itu," katanya.
"Tetapi kerana kenyataan maaf dan pembetulan fakta yang dibuat seawal 10 Julai, maka saya menganggap perkara ini tidak perlu diperpanjangkan, malangnya kira-kira seminggu selepas peristiwa Bersih itu, pihak polis dan media masih mengaitkan nama saya," katanya.
Beliau berkata kekeliruan tersebut terlebih dahulu telah dijelaskan oleh anaknya menerusi "facebook" dengan menjelaskan bahawa gambar yang disiarkan bukanlah gambar Shuhardi yang pengsan dalam perhimpunan tersebut.
Bapa kepada dua isteri dan 10 anak ini mendakwa tidak berkomplot dengan mana-mana pihak tertentu untuk berlakon dalam apa jua "aksi" kematian serta tidak mengenali Allahyarham Baharudin sendiri.
"Saya juga tidak kenal dengan mana-mana wartawan atau jurugambar yang datang buat liputan. Saya bukanlah "desperate" untuk dapatkan sogokan yang tidak bermaruah kerana Alhamdulillah saya hidup mewah," katanya.
Suhardi berkata beliau bersedia memberikan kerjasama dengan pihak polis dan boleh dihubungi di talian 012-3900740. BERNAMA

Friday, July 29, 2011

Norman, Memey Menangis Bebas Tuduhan Khalwat

Norman Hakim dan Memey Suhaiza tentunya gembira kerana bebas daripada tuduhan khalwat ketika mereka berhasrat mendirikan rumah tangga pada September depan.
KUALA LUMPUR: Pasangan pelakon, Norman Hakim dan Memey Suhaiza 'menerima' hadiah perkahwinan dua bulan lebih awal, apabila mereka dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan berkhalwat, yang dihadapi sejak tiga tahun lalu.
Hakim Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Salehan Yatim membuat keputusan itu pada Jumaat, tanpa mendengar pembelaan mereka, selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan prima facie terhadap pertuduhan.
Norman dan Memey yang hadir bersama di mahkamah pada pukul 9.30 pagi, mengakui bahawa mereka agak emosional semasa mendengar penghakiman tersebut menyebabkan mereka menangis.
Pasangan yang akan diijabkabulkan pada 28 September ini, juga tidak putus-putus melafazkan ucapan syukur manakala Norman segera ke surau berhampiran untuk menunaikan solat sujud syukur sebelum ditemubual oleh wartawan.
"Alhamdulillah, saya tidak mampu untuk berkata-kata. Tiga tahun kami berdepan dengan situasi ini dan hanya Allah sahaja yang mengetahui apa yang kami rasakan," kata Norman.
Memey yang memakai baju kurung dan berselendang ungu yang mengambil masa untuk menenangkan diri pula memberitahu, keputusan tersebut adalah berita yang paling dinanti-nantikannya.
"Ini adalah berita yang sangat gembira buat saya di saat-saat saya mahu mendirikan rumah tangga. Segala dugaan yang saya hadapi telah berakhir," katanya dalam nada yang agak tersekat-sekat menahan sebak.
Terdahulu, Salehan melepas dan membebaskan Norman, 35, dan Memey, 23, daripada tuduhan berkhalwat yang didakwa dilakukan pada antara pukul 1.45 dan 3 pagi, 30 Oktober 2008 di pejabat beralamat 4-A1, Jalan UP1/2, Taman Ukay Perdana, Ampang, di sini.
Bagi kesalahan itu Norman didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) manakala pendakwaan terhadap Memey dibuat di bawah Seksyen 29(2)(b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 2005.
Mereka didakwa di mahkamah untuk kali pertama pada 29 Januari 2009 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada penghakimannya, Salehan berkata, pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan bahawa Norman dan Memey berada bersama dalam premis terbabit.
"Saksi-saksi pendakwaan yang terdiri daripada pegawai penguat kuasa agama konsisten bahawa hanya tertuduh wanita (Memey) berada di dalam premis tersebut manakala tertuduh lelaki (Norman) berada di premis 4-2A, iaitu bersebelahan," katanya.
Walaupun pihak pendakwaan menghujahkan bahawa Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon boleh ke premis 4-2A dengan cara memanjat lubang pintu jeriji, Salehan berpendapat, tiada keterangan yang menunjukkan jeriji itu berada dalam keadaan terbuka atau berkunci.
Selain itu, berdasarkan keterangan abang Norman, Mohamed Saufi saksi pendakwaan keempat (SP4), menyatakan bahawa jeriji itu berkunci dan dakwaan panjat tersebut juga tidak disoal balas dengan selengkapya.
"Sayangnya, pihak pendakwaan tidak pula membuat permohonan untuk mencabar kebolehpercayaan SP4 yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan tertuduh lelaki, malah bekerja dengannya, ujar Salehan.
Selain itu, Salehan juga berpendapat, intipati bahawa tertuduh sedang melakukan perbuatan yang boleh menimbulkan syak juga tidak dapat dibuktikan, apabila Memey atau nama sebenarnya, Suhaiza Suhaimi berpakaian lengkap.
Norman pula berdasarkan keterangan, berbaju putih dan berseluar pendek.
Pada penghakimannya, Salehan juga berkata, pengadu dalam kes itu, Mohd Yusri Abdul Razak (saksi pendakwaan keenam) boleh dipertikaikan apabila bertindak memberi kenyataan kepada rancangan Melodi selepas tangkapan dibuat.
"Tindakan SP6 boleh menimbulkan tohmahan kepada tertuduh dan ia juga bersifat subjudis, kerana kes tersebut terlebih dahulu dibicarakan oleh media," ujar Salehan.
Beliau juga memutuskan bahawa memandangkan beban pembuktian adalah terletak di bahu pihak pendakwaan, maka jika terdapat kelemahan dalam kes itu, ia adalah merit kepada tertuduh.
Pada prosiding itu, Norman dan Memey diwakili oleh peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan manakala Pegawai Pendakwa daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mewakili pihak pendakwaan. - mStarOnline

Nia Ramadhani Rindu Dunia Hiburan


JAKARTA: Pelakon popular Indonesia, Nia Ramadhani mengaku rindu terhadap dunia hiburan yang dahulu menjadi sumber rezeki utamanya.
Sejak mendirikan rumah tangga pada awal April 2010 dengan ahli perniagaan Ardie Bakrie, Nia telah meninggalkan dunia lakonan dan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada keluarga.
"Saya rindu sangat untuk kembali berlakon. Sebenarnya suami saya sudah mengizinkan cuma waktu bersama keluarga pasti akan terjejas kerana waktu yang tidak menentu.
"Masakan saya akan balik lewat malam dan membiarkan keluarga begitu sahaja kerana sekarang saya sudah punya suami," tuturnya seperti dipetik Kompas.com.
Dalam pada itu, Nia turut menyedari setelah berstatus isteri Ardie, hidupnya berubah dan memilih kehidupan keluarga berbanding kerjaya.
"Dulu kalau penggambaran sudah tentu akan balik pagi, jika mahu berjumpa dia (Ardie) akan datang ke lokasi. Jumpa pun kadang-kadang kerana kekangan waktu.
"Sekarang sudah berkahwin hidup saya berubah seratus peratus dan hanya beri perhatian terhadap keluarga sahaja," katanya. - mStarOnline

Penumpang bas terpelanting keluar

KEADAAN bas ekspres remuk selepas dirempuh treler membawa  gula yang terbabas dari arah bertentangan 
di KM 201.5 Lebuh-Raya Utara Selatan berhampiran susur keluar Kamunting, awal pagi semalam.
KEADAAN bas ekspres remuk selepas dirempuh treler membawa gula yang terbabas dari arah bertentangan di KM 201.5 Lebuh-Raya Utara Selatan berhampiran susur keluar Kamunting, awal pagi semalam.
BAGAN SERAI: Konstabel Abdul Shahreer Abu Hasan, 23, dan bayinya, Mohamad Fariz Daniel, lapan bulan yang terbunuh bersama dua lagi dalam kemalangan ngeri di Kilometer 201.5, Lebuh-Raya Utara Selatan dekat sini, awal pagi semalam, terpelanting keluar sebaik bas ekspres dinaiki dirempuh sebuah treler.

Dalam kejadian jam 12.25 pagi berhampiran Plaza Tol Bukit Merah, Abdul Shahreer dari Kampung Teluk Belanga, Batu 19 1/4 Jalan Kuala Nerang, Kedah dan bertugas di Batalion 5, Simpang Renggam, mati di tempat kejadian, manakala Mohamad Fariz Daniel dalam ribaan ibunya, Fauziah Md Mokhtar, 24, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Taiping (HT).

Difahamkan, ketika kejadian pasangan itu baru berkahwin tiga tahun dalam perjalanan pulang dari Perlis ke Johor, untuk menyambut Ramadan bersama selepas Fauziah dan bayi tunggal mereka tinggal di di Kampung Padang Setol, juga di Kuala Nerang, sejak sebulan lalu.

Dua lagi yang terbunuh dalam kemalangan itu ialah pemandu treler, A Yogeswara Rao, 25, dan kelindannya, K Supramaniam, 30. Kedua-duanya berasal dari Kulim, Kedah.

Kemalangan itu turut menyebabkan lima penumpang bas ekspres cedera, termasuk dua parah manakala 25 lagi cedera ringan. Dua yang parah dan dirawat di Unit Rawatan Rapi HT adalah Fauziah dan pemandu bas ekspres, Muhd Azizi Abdul Rahman, 30-an.

Tiga penumpang dimasukkan ke wad hospital sama ialah anggota tentera dari Kem Bukit Kayu Hitam, Jebat Abdul Samarudin, 22, dan dua lagi dikenali sebagai Jasmani, 41, dan Hadiyantu, 46.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan, berkata nahas itu berlaku apabila pemandu treler membawa gula dari Shah Alam ke Butterworth, dipercayai hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan bas ekspres.

“Perlanggaran itu menyebabkan Abdul Shahreer dan bayinya tercampak keluar sejauh 10 meter dan jatuh ke kawasan rumput di tepi lebuh raya. Tubuh Yogeswara Rao pula putus dua, manakala Supramaniam dikatakan sedang tidur di sebelahnya tersepit dan terbunuh,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian di sini, semalam.  - BHarian

Norman KRU Mahu Anak Secepat Mungkin


Norman KRU
KUALA LUMPUR: Abang sulung kumpulan KRU, Norman Abdul Halim, mengakui, dia dan isterinya, Shireen Mardziah, memerlukan cahaya mata untuk lebih menyerikan rumah tangga mereka.
Kata Norman, sejak berkahwin pada 7 Ogos 2009, dia dan isteri sering berdoa agar dapat memperoleh anak secepat mungkin namun, sehingga kini mereka masih lagi belum dikurniakan rezeki itu.
"Saya memang perlukan anak sebenarnya. Dan sehingga kini kami masih lagi berusaha, cuma rezeki saja yang belum tiba.
"Malah kami juga merancang untuk mendapatkan anak sekurang-kurangnya dua hingga empat orang. Kalau boleh saya mahu menjadi bapa secepat yang mungkin," katanya.
Tambah Norman, walaupun dia sering sibuk dengan kerjaya menguruskan syarikat KRU Studios, dia tidak pernah menganggap kanak-kanak sebagai satu bebanan buatnya.
Malah, dia begitu menyukai kanak-kanak dan kadang-kala Norman sempat meluangkan masa bersama tujuh orang anak buahnya.
"Sebenarnya saya sangat sukakan kanak-kanak kerana mereka dapat mengurangkan tekanan kerja saya.
"Kadang-kala mereka juga memberi perangsang dan semangat untuk kita mulakan kehidupan harian kita. Sebab itulah saya tak sabar-sabar nak ada anak agar dapat lebih menyerikan kehidupan saya dan isteri," ujarnya. - mStarOnline

Perogol janji nikah mangsa

KUALA TERENGGANU: Seorang subkontraktor berusia 49 tahun yang dituduh merogol pelajar Tingkatan Tiga merayu Mahkamah Sesyen di sini, semalam membebaskannya daripada pertuduhan itu dengan alasan dia akan mengahwini mangsa selepas remaja berkenaan menamatkan persekolahannya.

Bagaimanapun, rayuan tertuduh, Azman Nor, dari Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun yang sudah berkahwin, tidak diterima Hakim Azman Mustapha, malah dia juga tidak ditawarkan jaminan.

Azman menetapkan 12 September ini untuk sebutan semula kes itu dengan pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Masriwarni Mahmud, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut pertuduhan, Azman yang berbaju kemeja hijau dan berseluar hitam dituduh merogol gadis berusia 15 tahun jam 11.30 pagi pada 2 Jun lalu, ketika keluarga mangsa tiada di rumah.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 376(2) (d) dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh menyelinap masuk ke dalam rumah mangsa ketika ketiadaan ibu bapanya dan memeluk mangsa yang ketika itu sedang membasuh baju dari belakang, sebelum merogol mangsa. 

Berikutan kejadian itu, suspek cuba menebus kesalahannya dengan berjanji kepada keluarga mangsa untuk mengahwininya selepas dia tamat persekolahan, dua tahun lagi.  - BHarian

Thursday, July 28, 2011

Kontroversi Dituduh Curang Jejaskan Nama Fizz Fairuz


Fizz Fairuz
KUALA LUMPUR: Pelakon Fizz Fairuz menjelaskan kontroversi kononnya dia curang Almy Nadia, membuatkan keluarganya turut terkena tempias apabila mempercayai khabar angin tersebut.
Fizz yang turut dikaitkan dengan Liyana Jasmay dan Izreen Azminda itu berkata, keluarganya mula bertanya kesahihan berita itu apabila ia semakin hangat dibicarakan dalam media-media tempatan.
"Ibu saya dah mula tanya adakah gosip yang dikatakan itu benar? Alhamdulillah, saya sudah menjelaskan hal sebenar di mana Liyana hanyalah rakan kerja saya di set penggambaran filem “Papadom 2” dan Izreen pula, kami pernah berlakon untuk sebuah drama pada tahun 2004.
"Saya pun pelik mengapa hubungan percintaan kami sering dikontroversikan sedangkan saya dan Almy masih lagi baik dan kami masih lagi berhubung dan berjumpa jikaada kelapangan,” kata Fizz yang ditemui pada majlis memperkenalkan Koleksi Rantaian Kasih 2011 Habib Jewels, di sini, Rabu.
Fizz bersama lima selebriti lain menggayakan barangan kemas koleksi baru Habib Jewels.
Tambah Fizz, hal tersebut sedikit sebanyak telah merosakkan reputasinya sebagai seorang pelakon dan perhubungannya dengan peminat.
"Saya faham, mungkin bila orang industri hiburan membaca artikel mengenai keretakan hubungan saya dan Almy, mereka menganggap ia hanyalah sebuah gosip tetapi lain pula pandangan daripada pihak keluarga dan masyarakat luar di mana mereka yang tidak tahu apa-apa akan percaya dengan khabar angin itu," ujarnya yang bakal memulakan penggambaran filem “Nirajim”, di bawah produksi Grand Brilliance.
Sebelum ini, Fizz pernah dikaitkan dengan Liyana kerana mereka saling berbalas mesej berbau sayang menerusi akaun Twitter masing-masing.
Selain Liyana Jasmay, Fizz dikatakan turut menjalin hubungan istimewa dengan pelakon Izreen Azminda yang didakwa menjadi penyebab hubungan Almy dan lelaki itu renggang.
Bagaimanapun, Fizz mengakui, kontroversi perhubungan mereka mungkin sering menjadi bualan ramai kerana dia dan Almy belum membuat sebarang ikatan pertunangan mahupun perkahwinan.
Kata pelakon “Nur Kasih” itu, dia bukannya belum bersedia untuk berkahwin, tetapi ingin memberi peluang kepada Almy membina dan mengukuhkan kerjaya lakonan sebelum bergelar suami isteri.
"Saya faham, hubungan kami sudah mencecah enam tahun, tambah pula dia perempuan, pastinya terasa bila kami belum mengikat sebarang pertalian. Tetapi dia faham dan Insya-Allah, jika ada rezeki saya akan berkahwin dengannya.
Antara koleksi baru yang reka khas Habib Jewels sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri
"Cuma sebelum itu, biarlah dia merasa betul-betul erti kepuasan sebagai seorang pelakon, seperti yang saya lalui sekarang ini," katanya.
Sementara itu, Fizz bersama Dynas Mokhtar, Irma Hasmie, Scha Al-Yahya, Julia Ziegler, Aznil Nawawi telah menggayakan koleksi terbaru barang kemas Habib Jewels yang dikenali Koleksi Rantaian Kasih 2011, bersempena dengan kedatangan Hari Raya Aidilfitri nanti.
Lebih 1,000 jenis barangan kemas rekaan baru berkonsepkan tradisional dan kontemporari dikeluarkan khas buat semua golongan, termasuklah kanak-kanak.
Selain mengeluarkan koleksi baru, Habib turut menawarkan perkhidmatan penilaian zakat, membersihkan dan membuat penilaian barangan kemas. - mStarOnline

Ammar Alfian Jelaskan Isu Cekik, Pukul Puteri Sarah


PETALING JAYA: Pelakon Ammar Alfian Aziz (gambar) menjelaskan tidak mencekik dan memukul kekasihnya, Puteri Sarah seperti mana yang didakwa dalam sebuah akhbar harian, Rabu.
Menurut pelakon drama Dia Atilia ini, mereka tidak mengetahui langsung bagaimana isu tersebut boleh timbul sedangkan hubungan mereka masih berjalan dengan baik.
“Saya dan Sarah tidak tahu apa-apa sehinggalah seorang kawan menghubungi saya hari ini (Rabu) dan memberitahu cerita tentang saya mencekik Sarah seperti yang ditulis dalam surat khabar.
“Saya terkejut apabila mendengar berita buruk ini, padahal semalam (Selasa) saya dan Sarah tidak bergaduh sebaliknya kami masing-masing sibuk membuat persediaan ke Melbourne dan Sydney, Australia pada Isnin depan untuk bertemu adik Sarah yang belajar di sana.
“Jadi, cerita tentang saya mencekik dan memukul Sarah itu tidak betul sama sekali,” kata Ammar kepada mStar Online menerusi laman sembang Facebook miliknya berhubung perkara itu di sini, Rabu.
Ammar dan Sarah
Dia diminta mengulas kenyataan sebuah akhbar yang memetik sumber polis kononnya seorang pelakon lelaki telah menumbuk dan mencekik serta mengugut untuk membunuh kekasihnya di sebuah kondominium di Damansara dekat sini.
Laporan itu turut mendedahkan pelakon lelaki berkenaan dikatakan berang apabila kekasihnya yang juga pelakon wanita popular mendapati dia berlaku curang apabila berdua-duaan dengan wanita lain ketika datang untuk membuat kejutan di kondominium terbabit.
Ammar yang pernah membuat kontroversi mahu “membunuh” wartawan sebelum ini mengetahui laporan berkenaan ditujukan kepadanya walaupun tidak menyebut nama artis.
Tambahnya: “Sarah ada memberitahu saya bahawa wartawan ada menghubunginya dan bertanyakan tentang laporan polis berhubung kes saya memukul dan mencekiknya.
“Namun, dia menafikan perkara itu. Tetapi saya pelik juga apabila cerita seperti ini tersebar walaupun tidak betul.
“Apabila difikirkan semula, saya pernah terlibat dengan kontroversi sebelum ini dan harus belajar daripada kesilapan. Kalau dulu saya melawan tetapi tiada gunanya, jadi lebih baik saya diamkan diri sekarang walaupun perkara tersebut tidak betul.”
Selain itu, dia lebih gemar menyibukkan diri dengan latihan untuk mempersiapkan diri berlakon filem berjudul Skandal.
“Saya terpaksa menjaga badan dengan mengurangkan makan nasi kerana mungkin ada aksi melompat dan bertarung.
“Selain itu, banyak lagi perkara yang saya perlu lakukan agar dapat mengurangkan berat badan bagi mendapat badan yang lebih ringan untuk melakukan aksi tersebut,” ceritanya. - mStarOnline

Wednesday, July 27, 2011

Aku sayang kamu

Diam tak diam dah 23 tahun aku hidup bersama dengan seorang lelaki yang bergelar suami.
Bersama menelan pedas, pahit, kelat, masam, masin dan manis kehidupan di bumi ALLAH yang penuh dengan cabaran.
Bersama menghadapi cabaran membesarkan dan mendidik puteri-puteri tesayang.
Bersama mengharungi lautan berkasih sayang yang tak bertepi dengan penuh keredhaan.
CINTA & SAYANG ku padamu masih seperti dulu malah bertambah subur setiap saat.
Doaku kehadrat ILLAHI, agar jodoh kita berkekalan hingga ke syurga Firdausi, rumahtangga diberkati dan dimurahi rezeki dari Allah swt. Anak-anak yang kekal solehah dan beriman.

SELAMAT ULANGTAHUN PERNIKAHAN KITA YANG KE 23
buat suami ku bernama MOHD ADROS SHAARI.

Teruskan usaha mu membimbing kami, tanggunganmu ke jalan yang diredhaiNYA.

Kekasih cekik, tumbuk pelakon


KUALA LUMPUR: Seorang pelakon drama dan filem popular berusia 25 tahun yang sering mencetuskan kontroversi antaranya penyebaran gambar intim dengan teman lelakinya di Internet membuat laporan polis mendakwa dia dicekik, ditampar dan ditumbuk teman lelakinya itu, kelmarin.

Lebih mengerikan apabila teman lelaki mangsa yang juga seorang pelakon drama bersiri Tari Kirana dan Sahara disiarkan di TV3, berusia 22 tahun itu mengugut untuk membunuhnya.

Semuanya bermula apabila pelakon wanita yang bakal muncul menerusi drama Laila Manja (TV3), memulakan kerjayanya dalam bidang model sebelum bergiat aktif dalam lakonan itu dipukul selepas terbabit dalam pertengkaran apabila mangsa menemui teman lelakinya itu sedang berdua-duaan dengan seorang wanita di dalam rumahnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi di rumah teman lelakinya di sebuah kondominium di Damansara, di sini, pelakon lelaki yang turut dilanda kontroversi kerana bergaduh dan mengugut membunuh wartawan tahun lalu, terkejut apabila mangsa tiba-tiba membuka pintu rumahnya.

Difahamkan, pelakon wanita terbabit mempunyai kunci pendua rumah berkenaan dan pergi ke rumah teman lelakinya itu tanpa pengetahuan pelakon lelaki berkenaan kononnya untuk membuat kejutan. - myMetro

Pelajar hilang 4 hari ditemui mati di Pattaya


SYAFIQ...terjatuh dari kondominum
SYAFIQ...terjatuh dari kondominum
KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Malaysia yang menuntut di Jepun dan dilaporkan hilang oleh keluarganya selama empat hari akhirnya terjawab dengan penemuan mayatnya beribu kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang.

Muhammad Syafiq Abu Ani, 25, dari Batu Pahat, Johor ditemui mati akibat terjatuh dari sebuah kondominum di Pattaya, Thailand, 23 Julai lalu.

Menurut laporan akhbar dalam talian, pattayaone.net, siasatan polis Thailand mendapati mangsa jatuh dari tingkat 14, Niran Grand Condominium di Soi Arunothai, berdasarkan penemuan barangan peribadi mangsa termasuk selipar dan tiket penerbangan balik ke Malaysia di sebuah unit di aras berkenaan.

Butiran tiket menunjukkan mangsa sepatutnya kembali ke Malaysia sehari sebelum penemuan mayatnya.Penghuni kondominium itu juga mendakwa tidak mengenali mangsa dan sebab kehadirannya di Thailand masih dalam siasatan polis.

Berdasarkan laporan itu, siasatan awal polis mendapati mangsa dipercayai membunuh diri namun siasatan lanjut akan dilakukan dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di Bangkok.

Sementara itu jurucakap Wisma Putra mengesahkan kematian mangsa. - myMetro

Tuesday, July 26, 2011

Isteri Putera William dapat berlian Puteri Diana


valentine couture 2011 review
Kate memakai anting-anting yang telah diubahsuai - Foto: Getty Images
LONDON - Pewaris kedua takhta diraja Britain, Putera William menghadiahkan sepasang anting-anting berlian kegemaran ibunya, mendiang Puteri Diana kepada isterinya, Kate Middelton, lapor sebuah akhbar semalam.
Sebelum ini, Middleton, 29, yang kini memakai gelaran Duchess of Cambridge menerima sebentuk cincin berlian bertatahkan nilam seberat 19 karat milik ibu William itu sebagai hadiah pertunangan mereka.
Wanita berkenaan turut diberikan kebenaran untuk mengubah suai anting-anting berlian tersebut mengikut cita rasa tersendiri.
"Kini mereka telah berkahwin justeru William mahu isterinya memiliki sebahagian barang kemas kegemaran Puteri Diana," kata seorang petugas istana diraja Britain.
Anting-anting tersebut merupakan batu permata paling berharga milik Diana dan dia sering kali memakainya ketika menghadiri beberapa majlis sekitar tahun 1980-an dan 1990-an. - Agensi

‘Kami pasti rindu telatah anak’

KUCHING: Panggilan ‘abah’ dan ‘emak’ yang baru dituturkan seorang bayi berusia setahun tiga bulan menjadi kenangan terakhir keluarganya apabila beliau ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah teres di Taman Malihah, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, Mohd Shahfizan Salleh, sedang tidur di bilik utama ketika api mula marak menyebabkan kakaknya Norliana, 17, yang berada di rumah gagal menyelamatkan adik bongsunya itu.

Beberapa jiran yang melihat Norliana panik dan menjerit di luar rumah sambil memanggil nama adiknya cuba bertindak memasuki rumah itu namun gagal apabila seluruh bahagian rumah terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya, Terry Robson, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan dari orang ramai pada jam 4.49 petang dengan jentera pertama tiba di lokasi kejadian 11 minit kemudian.

“Kami difahamkan api bermula dari bahagian bilik tidur utama yang terletak di tengah blok rumah teres sebelum api turut merebak ke rumah bersebelahan.

“Seorang bayi berusia setahun tiga bulan gagal diselamatkan kerana terperangkap dalam bilik manakala mangsa lain berjaya menyelamatkan diri sejurus menyedari rumah mereka terbakar,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Seramai 13 anggota dari Balai Petra Jaya dan tujuh dari Batu Lintang berusaha memadamkan kebakaran yang berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 6 petang.

Sementara itu, bapa mangsa, Salleh Hamid, 38, berkata ketika kejadian beliau sedang bekerja manakala isteri, Rapillah Rabaie, 38, sedang berniaga goreng pisang di kawasan berdekatan.

“Selepas ini, kami pasti merindui gelak ketawa serta tangisannya, anak bongsu saya itu baru saja pandai bercakap tetapi pertuturannya belum lancar, ” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Umum Sarawak, semalam.  - BHarian

Suhaila Dedah Rahsia Bersengketa Dengan Jimmy Shanley


Suhaila mendakwa Jimmy pernah memukul dan mengongkongnya. Foto NORAFIFI EHSAN
PETALING JAYA: Setelah sekian lama berdiam diri, isteri kepada pengacara Jimmy Shanley Norjahan Saleh, iaitu Nursuhaila Eliani Suhaimy, mendedahkan faktor utama berlaku keretakan rumah tangga mereka adalah disebabkan suaminya itu pernah memukulnya serta terlalu mengongkong.
"Saya tidak suka Jimmy kerana perangainya pelik yang bukan seperti orang biasa. Semasa majlis pertunangan kami, rombongan pihak lelaki yang hadir hanya lima orang sahaja dan semasa majlis akad nikah, rombongan pihak lelaki tak sampai 10 orang... itu pun di kalangan ahli keluarga sahaja.
"Tidak ada artis atau selebriti yang hadir bagi pihak dia (suami). Untuk pengetahuan umum, itulah perangai Jimmy Shanley yang tidak mempunyai kawan," ujar Nursuhaila dalam satu kenyataan bertulis yang diedarkan kepada para wartawan dalam satu sidang akhbar khas yang diadakan di syarikat milik keluarganya, Perwanza Enterprise (M) Sdn Bhd, di Damansara Damai di sini, Isnin.
Suhaila, 25, berkata, sejak berumah tangga pada 1 Oktober tahun lalu, kehidupannya tidak tenteram kerana mereka sering bertengkar disebabkan Jimmy, 32, enggan membenarkan dia keluar bersama rakan-rakan.
Malah dia menyifatkan Jimmy sebagai seorang yang "pelik" dan enggan bercampur gaul dengan ahli-ahli keluarganya yang lain dalam apa-apa majlis yang diadakan.
"Dia ingat dia tu superstar tak layak untuk bergaul dengan sanak saudara saya. Setiap kali majlis kenduri diadakan oleh bapa saya, Jimmy jarang bertegur sapa dan bersalaman dengan sanak saudara kami.
Suhaila akhirnya "membuka mulut" kenapa dia enggan bersuamikan Jimmy.
“Paling teruk saya pernah dipukul lebih kurang empat hingga lima kali sepanjang sebulan bersamanya. Sebelum akad nikah dan semasa berbulan madu di Koh Samui (Thailand) saya juga mengalami peristiwa yang serupa.
"Selama ini saya berdiam kerana tak nak publisiti murahan...saya orang bisnes dan tak suka publisiti macam ni. Banyak lagi yang saya pendamkan dan tak perlu dihebahkan kepada umum," ujarnya.
Tambah Suhaila, dia tidak faham mengapa Jimmy tidak cuba untuk berkomunikasi dengannya setiap kali mereka menghadapi masalah tetapi pengacara itu lebih senang mengadu kepada ibu Suhaila, Muniroh Kasim.
Dalam pada itu, Suhaila juga mendakwa, Jimmy tidak membuat sebarang pembayaran kos rawatan bersalinnya, bayaran mengurut mahupun wang untuk membeli lampin untuk anak mereka Zahrah Shanley yang lahir pada 24 Jun lalu.
"Dia kata dia seorang yang bertanggungjawab... semestinya dia sudah membuat persiapan tersebut dan bukan cakap kosong di media sahaja.
"Selepas bersalin, saya tidak pernah pun menghalang dia untuk berjumpa anak kerana saya tahu, Zahrah juga memerlukan Jimmy dan saya tidak akan halang kasih ayah terhadap seorang anak," ujarnya.
Jimmy dan Suhaila hanya mengecapi kebahagian selama 10 hari perkahwinan mereka.
Sementara itu Jimmy yang dihubungi mStar Online bagi mendapatkan reaksi ke atas dakwaan-dakwaan yang dibuat isterinya itu tidak menafikan yang dia pernah memukul Suhaila.
Tetapi katanya, dia berbuat demikian kerana isterinya telah mengingkari nasihatnya.
Peristiwa itu kata Jimmy berlaku sebanyak dua kali sahaja iaitu selepas perkahwinan dan semasa berbulan madu.
"Ya, memang benar. Saya pernah memukul Suhaila pada hari ketiga perkahwinan dan hari kedua kami bulan madu. Kejadian itu disebabkan dia mengingkari nasihat saya. Tetapi saya tidaklah memukul sehingga mencederakan dirinya,” ujar Jimmy.
Tambah Jimmy, dia tidak pernah mengongkong kehidupan Suhaila sebaliknya cuba mendidiknya menjadi seorang isteri yang baik selain memintanya mengurangkan aktiviti yang sering dilakukan semasa hidup sebagai seorang bujang.
Paling menyedihkan kata Jimmy sepanjang sebulan selepas perkahwinan, dia hanya sempat bersama Suhaila selama 10 hari sahaja dan selepas itu isterinya cuba mengelak untuk meluangkan masa bersama selain lebih pentingkan rakan-rakan berbanding suami sendiri.
Mengenai tuduhan Suhaila kononnya Jimmy tidak membayar kos bersalin, katanya masalah itu timbul kerana dia sendiri tidak diberitahu mengenai hari kelahiran anaknya.
"Saya hanya diberitahu menerusi SMS pada hari kedua bahawa anak saya sudah dilahirkan tetapi dia tidak beritahu saya bila dia akan keluar (wad) jadi macam mana saya mahu menjelaskan bil perubatannya itu?" soal Jimmy.
Mengenai dakwaan isterinya yang majlis perkahwinan mereka tidak dihadiri oleh rakan-rakan artis yang lain, Jimmy mengakui memang dia tidak ramai kawan rapat.
Jimmy juga bertegas, setiap kenyataan yang diberinya selama ini bukan kerana ingin meraih publisiti murahan sepertimana yang didakwa kerana sepanjang tujuh tahun bergelar selebriti, dia tidak pernah mencetuskan sebarang kontroversi murahan.
Tambah Jimmy, dia juga mengakui, sepanjang masalah rumah tangganya berlaku, dia sering mengadu kepada ibu mertuanya tetapi itu berlaku kerana kesukaran untuk berhubung dengan Suhaila sendiri.
Jimmy dan Nursuhaila diijabkabulkan pada 1 Oktober 2010 dengan hantaran sebanyak RM31,186 yang diambil bersempena tarikh lahir Nursuhaila pada 31 Januari 1986.
Majlis resepsi untuk meraikan pasangan tersebut diadakan sehari selepas itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Kemelut rumah tangga mereka mula diperkatakan pada 11 November lalu. Jimmy memfailkan permohonan kembali taat dan nusyuz terhadap isterinya selepas mereka tinggal berasingan sejak 21 Oktober 2010. - mStarOnline

Mayat ejen pekerja asing ditemui ngeri

GEMAS: Seorang ejen pekerja asing yang hilang sejak Sabtu lalu, ditemui mati dipercayai dibunuh dengan keadaan leher hampir putus, telinga kanan hilang dan pergelangan tangan kanannya putus, dalam lubang yang ditutup daun kering di ladang getah dekat Pasir Besar di sini, awal pagi semalam.

Mayat Mohd Sofian Mustafa, 34, ditemui hampir reput dicampak dalam lubang sedalam satu meter.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang, berkata mayat mangsa yang masih bujang ditemui di Kilometer 10 Jalan Gemas-Pasir Besar, kira-kira jam 1 pagi.

Katanya, mangsa meninggalkan rumahnya di Dangi, Kuala Pilah ke FELDA Palong, Jempol, kerana urusan kerja sebagai pembekal pekerja asing ke ladang dan tanah rancangan FELDA, dipercayai membawa wang tunai RM3,000.

“Mangsa meminjam kereta adiknya yang dijumpai penduduk tempatan dan kemudian melaporkan kepada polis. Ketika itu, mayatnya belum ditemui.

“Apabila adiknya dipanggil ke tempat kejadian, dia terkejut menemui mayat abangnya dalam keadaan mengerikan,” katanya, semalam.

Wooi berkata, siasatan awal mendapati mangsa parah di kepala, leher dan tangan, tetapi tiada senjata ditemui di tempat kejadian, manakala dokumen pengenalan diri dan wang tunai RM3,000 miliknya hilang.

Sementara itu Mohd Yatim, 29, yang menemui mayat abangnya berkata, polis datang ke rumahnya jam 12.20 pagi semalam dan memaklumkan menemui keretanya di ladang getah dekat FELDA Pasir Besar.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin di talian 06-4411221 atau 06-4411222 atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Safari Sidik di talian 019-7582222. - BHarian

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu