adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Friday, July 22, 2011

Terkilan lif rosak punca suami sesak nafas maut

AMUTHAVALLI (kiri) bersama anaknya, Vincent (dua dari kiri) dan Philip menatap mayat mendiang Ramasamy di rumah mereka di pangsapuri Saujana Height, Teluk Kumbar, semalam.
BALIK PULAU: Seorang isteri hanya mampu meraung apabila suaminya yang diserang sesak nafas meninggal dunia kerana tidak larat menuruni tangga untuk ke hospital apabila lif di pangsapuri kos rendah Saujana Height, Teluk Kumbar di sini, rosak, kelmarin.

S Ramasamy, 56, meninggal dunia di rumah sewanya di tingkat tujuh pangsapuri kos rendah itu jam 9.10 malam selepas mengadu sesak nafas kepada isterinya, A Amuthavalli, 49.

“Saya amat terkilan kerana disebabkan tidak dapat membawa suami yang sakit tenat ke hospital. Dia tidak dapat dibawa ke hospital dan meninggal dunia di rumah,” kata Amuthavalli ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Menceritakan kejadian itu, Amuthavalli yang menyewa unit pangsapuri berkenaan sejak empat tahun lalu, berkata ketika berehat di rumah bersama anaknya, Vincent, 17, tiba-tiba Ramasamy mengadu sakit dada.

Katanya, mereka mahu membawa mendiang ke hospital tetapi tidak mampu memapahnya untuk menuruni tangga.

“Kami kemudian memberikan sebiji bantal dan menyuruhnya berehat, sementara menunggu kedatangan saudara mara untuk memberi bantuan, tetapi dia meninggal dunia tidak lama selepas itu.

“Kami dan saudara mara terpaksa membawa turun mayat yang diletakkan dalam keranda dengan menuruni tangga,” katanya yang mengakui amat terkilan dengan kejadian lif rosak yang didakwa berpunca daripada masalah dalaman pengurusan pangsapuri.

“Kami bayar wang penyelenggaraan RM70 sebulan. Semua blok pangsapuri di sini mengalami kerosakan lif. Kalau elok pun hanya boleh digunakan dua tiga hari,” katanya.

Amuthavalli berharap kejadian yang menimpa keluarganya akan membuka mata dan menjadi pengajaran kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Tahun lalu, Berita Harian pernah melaporkan penghuni pangsapuri itu hidup dalam tertekan kerana terpaksa naik turun tangga berikutan lif bangunan setinggi 21 tingkat itu tidak beroperasi.

Akhbar ini juga pernah melaporkan seorang wanita diusung dari tingkat 21 dengan menuruni anak tangga selepas melahirkan anak di rumahnya akibat lif di pangsapuri di kawasan itu tidak berfungsi. - BHarian

No comments:

Post a Comment

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu