adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Monday, August 1, 2011

‘Al-Quran beri saya kekuatan’


KOTA BHARU: "Sumber kekuatan hanyalah al-Quran yang sentiasa saya bawa. Ayat al-Quran penawar jiwa, memberi kekuatan kepada saya," kata selebriti, Wardina Saffiyah Fadlullah Wilmot, 32.

Wardina berkata demikian menjawab soalan penonton bagaimana beliau istiqamah (teguh pendirian, melaksanakan kebaikan secara berterusan dan iltizam membabitkan amalan hati, tingkah laku dan gerak geri khususnya keimanan) ketika program Bicara Selebriti bertajuk Indahnya Hidayah-Mu sempena Hari Hiburan Islam anjuran Kerajaan Kelantan, di Balai Islam, malam kelmarin.

Program berkenaan turut menampilkan pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) yang juga bekas mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, pemuzik, Sham Kamikaze dan pendakwah, Hasrizal Abdul Jamil.

Pengacara rancangan TV Al-Hijrah, Amin Idris bertindak sebagai moderator. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi negeri, Ahmad Baihaki Atiqullah.

Menurut Wardina, perubahan paling ketara pada dirinya bermula setahun lalu selepas dia sentiasa membaca al-Quran, memahami dan menghadiri majlis ilmu.

"Apabila saya kembali kepada al-Quran, saya berasakan perubahan ketara daripada segi pemikiran, perlakuan dan percakapan. Buka saja al-Quran, ada saja setiap ayat yang boleh membantu.

"Justeru, kepada semua, sempena Ramadan ini, gunakan Ramadan untuk membaca dan memahami al-Quran. Ia kekuatan untuk mengharungi cabaran," katanya.

Wardina yang turut ditanya pendapatnya mengenai artis wanita bertudung ketika berlakon, tetapi tidak bertudung di luar, berkata, dia tiada hak untuk menilai.

"Itu keputusan mereka (artis yang hanya bertudung ketika berlakon). Kita tak ada hak menilai kerana yang berhak menilai itu Allah SWT.

"Kita tidak ada 'termometer' untuk ukur takwa atau iman seseorang," katanya. 

Dalam pada itu, menjawab satu soalan mengenai kariernya sebagai pengacara program Malaysia Hari Ini di TV3 selepas sekian lama tidak muncul dalam program itu, Wardina menjelaskan, dia akan kembali menjadi pengacara MHI pada Ramadan.

Sementara itu, Sham Kamikaze atau nama sebenarnya Shamril Mohd Salleh, 36, berkata, doa menjadi kekuatan buat dirinya istiqamah.

"Sesungguhnya senjata orang mukmin adalah doa. Setiap kali lepas solat saya minta kekuatan.

"Ramai yang suka melihat penghijrahan saya dan tak kurang juga yang kata sekejap saya pakai kopiah, selepas itu kembali seperti dahulu. Tidak mengapalah, saya tak kisah dengan andaian seperti itu," katanya.

Menurut Sham, penghijrahannya juga adalah berkat doa ibunya yang tidak pernah berhenti mendoakan dia berubah satu hari nanti.

"Dulu (saya) solat setahun sekali. Solat kadang-kadang, 'jamak takyah' dan 'jamak takdan'.

"Doa pula asyik minta murah rezeki, panjang umur. Asyik berdoa nak untung di dunia saja. Bagaimanapun kini selepas berubah, saya bersyukur dapatlah lihat dan rasa sedikit kemanisan iman," katanya. - myMetro

No comments:

Post a Comment

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu