adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Monday, August 1, 2011

Minta tolong sebelum dibunuh

ANGGOTA polis mengangkat mayat wanita warga Indonesia yang mati dibunuh  di Kampung 10 Plentong, Johor Bahru.
ANGGOTA polis mengangkat mayat wanita warga Indonesia yang mati dibunuh di Kampung 10 Plentong, Johor Bahru.
JOHOR BAHRU: Seorang wanita warga Indonesia sempat menjerit meminta pertolongan sebelum ditemui mati di depan rumahnya dipercayai dibunuh kekasihnya selepas berlaku pergaduhan kecil di rumah sewa mereka di Kampung Rumah 10, Plentong, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Ana, 28, dikatakan bergaduh dengan kekasihnya yang dikenali sebagai Eddy, 28, sebelum suspek dipercayai memukul mangsa menggunakan beg galas.

Difahamkan, suspek yang bekerja sebagai juru kimpal itu memukul mangsa berkali-kali sebelum mangsa rebah dan terkena bucu televisyen lalu meninggal dunia.

Seorang jiran pasangan kekasih itu, Abd Kadir Saman, 57, berkata ketika kejadian beliau terdengar bunyi mangsa dan suspek bergaduh, namun menganggap ia hanya pergaduhan biasa.

“Ketika itu, saya baru selesai mandi dan terdengar mereka bergaduh. Malah, mangsa turut menjerit meminta tolong menyebabkan saya terus bergegas ke rumah mereka.

“Sejurus tiba, orang ramai sudah berkerumun di rumah terbabit, tetapi saya terkejut apabila melihat mangsa sudah terbaring berlumuran darah di situ serta tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, suspek yang juga warga Indonesia hanya duduk di sebelah mayat mangsa sebelum ditahan polis yang tiba di tempat kejadian kira-kira 20 minit selepas kejadian.

“Suspek dan mangsa baru sebulan menetap di rumah itu dan sebelum ini saya tidak pernah melihat atau terdengar mereka bergaduh. Saya tidak menyangka perkara ini boleh berlaku,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintendan Saifi Abd Hamid, mengesahkan kejadian dan memberitahu siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Katanya, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Saifi turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BHarian

No comments:

Post a Comment

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu