adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Thursday, September 29, 2011

Nabil Tak Kisah Populariti Merudum Lepas Kahwin


Nabil
PETALING JAYA: Pelawak dan pelakon, Ahmad Nabil Ahmad, 28, memberitahu tidak kisah jika popularitinya merudum selepas mendirikan rumah tangga dengan pasangannya Nazirah Ayub.
Nabil yang baru memenangi tempat kedua dalam pertandingan Maharaja Lawak baru-baru ini berkata, dia percaya Tuhan akan menentukan rezekinya dalam dunia hiburan sama ada berkaitan hal kahwin ataupun sebaliknya.
"Perkahwinan adalah sesuatu yang dituntut oleh agama jadi kenapa saya perlu risau tentang populariti kerana saya percaya dengan perkahwinan, ia adalah satu keberkatan untuk saya dan bakal isteri.
"Jika ingin memikirkan mengenai rezeki, kalau tidak berkahwin pun kalau Allah nak tutup rezeki kita dia akan tutup. Sekiranya itu terjadi maka saya kena ambil ia sebagai ujian daripada-Nya," ujarnya ketika dihubungi mStar Online di sini, Rabu.
Dalam pada itu, Nabil memberitahu keputusan untuk berkahwin dengan Nazirah adalah tepat kerana wanita itu adalah pelengkap dirinya.
Menurutnya, bakal isterinya itu membuatkan dia berasa istimewa dan berjaya mengisi kekosongan hati selepas kecewa dalam percintaan terdahulu.
"Susah untuk menggambarkan istimewanya dia tetapi saya berasa selesa bersama dia dan dia sangat memahami kehidupan saya sebagai artis. Saya berasa sangat bertuah kerana memiliki Nazirah," ujarnya.
Nabil dan Nazirah bakal diijabkabulkan selepas solat Jumaat di Masjid Sultan Mizan, Putrajaya pada Jumaat ini sementara majlis resepsi mereka akan diadakan serentak pada 2 Oktober di I-City Shah alam berkonsepkan “fairy tale” dan persandingan dalam taman.
Jemput Irma Hasmie
Sementara itu, Nabil memberitahu turut menjemput bekas kekasihnya, pelakon Irma Hasmie tetapi belum menghantar kad jemputan kepada pelakon yang sudah bertudung itu.
"Sudah tentu saya menjemput dia sebagai seorang kawan tetapi seperti yang dinyatakan baru-baru ini dia tidak akan menghadiri perkahwinan saya kerana menghormati saya dan bakal isteri. Saya menghormati keputusannya itu," katanya.
Bercerita lanjut mengenai persiapan perkahwinannya, Nabil berkata, dia dan pasangan memilih I-City sebagai lokasi persandingan kerana ia bersesuaian dengan konsep dipilih selain belum pernah ada pasangan mengadakan perkahwinan di situ.
Hampir 80 peratus persiapan telah dibuat, Nabil dan pasangan bakal mengayakan busana moden iaitu “tuxedo” dan gaun moden untuk majlis itu nanti.
Bakal mengerjakan umrah hujung tahun ini bersama bakal isterinya, Nabil memberitahu dia memilih lokasi itu kerana telah lama teringin untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
Mengenali Nazirah sejak enam tahun lalu, dia mengharapkan perkahwinannya itu nanti akan berkekalan sehingga ke akhir hayat selain mengubahnya ke jalan kebaikan. - mStarOnline

'Mahu cium bumi Malaysia'


HO CHI MINH: “Saya akan sujud dan cium bumi Malaysia sebaik tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) Kuala Lumpur kerana sudah bebas daripada hidup di negara orang selama tujuh tahun. Selama itu jugalah saya kehilangan keluarga dan kehidupan seperti insan lain.

“Rasa perit ketika berada dalam tahanan dan menjadi banduan tidak akan saya lupakan sepanjang hayat. Jika boleh, saya tak mahu lagi menjejakkan kaki ke Vietnam,” kata Normazawati Wong Abdullah, 49, apabila disahkan akan dibawa pulang ke tanah air selepas dibebaskan pihak berkuasa Vietnam.

Normazawati dijadual tiba di Kuala Lumpur hari ini selepas semua proses berkaitan seperti penyediaan dokumen diuruskan Setiausaha Agung Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Abdul Khalid Chairul di bandar raya Ho Chi Minh, semalam.

Turut sama menyertai proses membawa pulang itu, Exco Wanita Umno, Datuk Norhayati Onn.

Normazawati berkata, enam tahun 11 bulan berasa ‘azab’ menjadi banduan di Penjara Ham Tan K4 di Ho Chi Minh selain ditahan 17 bulan sementara menunggu perbicaraan adalah tempoh terlalu lama sehingga dia langsung tidak mahu mengingati detik itu.

Sengsara kisah hidupnya sebagai tahanan di Vietnam bermula selepas menerima pelawaan seorang rakan sepejabat menyertai misi lawatan ke negara itu dan pada masa sama membeli barangan untuk perniagaan diusahakan pada penghujung 2004.

Katanya, menerusi ‘lawatan’ itu dia dipaksa membeli pelbagai barangan menggunakan kad kredit orang lain sehinggalah ditahan pihak berkuasa Vietnam dan dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun atas dakwaan menggunakan kad kredit palsu menyebabkan dia terasa seolah-olah hilang masa depan.

“Pada waktu itu, ingatan saya hanya tertumpu kepada anak-anak dan keluarga. Saya sendiri mungkin boleh menghadapinya, tapi bagaimana pula nasib mereka? Saya mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan, malangnya ia tidak dilayan dan keputusan dikekalkan,” katanya.

Ketika dalam tahanan, Normazawati berkata, dia diberikan kerjasama yang baik oleh kakitangan dan rakan banduan lain yang membuatkannya dapat melepaskan rindu kepada keluarga di Malaysia.

Dia yang sepatutnya dibebaskan Februari lalu, terpaksa menanti lebih lama berikutan belum mendapat kebenaran pihak berkuasa Vietnam selepas gagal menyediakan wang denda sebanyak VND373,965,810 (RM60,208.50) yang dikenakan bagi membolehkannya pulang ke tanah air.

Bagaimanapun, dengan bantuan Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), wang terbabit berjaya dikumpulkan dan diserahkan kepada Timbalan Konsul Malaysia di Vietnam, Nor Azme Salleh, Jumaat lalu. - myMetro

Gambar mayat Michael Jackson ditayang sebelum bicara

GAMBAR mayat Michael Jackson ditayangkan sebelum perbicaraan bermula.
GAMBAR mayat Michael Jackson ditayangkan sebelum perbicaraan bermula.
LOS ANGELES: Perbicaraan paling dinanti-nantikan berhubung kematian penyanyi pop terkenal, Michael Jackson, dimulakan dengan pendakwa memulakan ucapan pembukaan dan menayangkan gambar mayat bintang kulit hitam itu. 

Ketika Dr Conrad Murray, yang didakwa membunuh penyanyi itu tanpa niat lebih dua tahun lalu muncul di depan juri, timbalan peguam daerah, David Walgren menayangkan gambar yang menampakkan wajah penyanyi itu.

Sesi perbicaraan itu kelihatan seperti sarkas, apabila peminat Jackson dan penyokong Dr Murray berkumpul di luar kamar mahkamah di Los Angeles menjulang sepanduk dan kain rentang ketika seluruh keluarga penyanyi itu memasuki mahkamah untuk mengikuti apa yang disifatkan sebagai perbicaraan abad ini.

Pendakwa kemudian menyiarkan rakaman menunjukkan Jackson yang sihat membuat persembahan terakhirnya, latihan lagu popular, Earth Song, yang dirakamkan sehari sebelum dia meninggal dunia.

Lampu dalam kamar mahkamah ditutup dan penyanyi itu ditunjuk di skrin sedang mempersembahkan lagu Earth Song pada sesi latihan di Pusat Staples di Los Angeles, beberapa jam sebelum meninggal dunia. 

Ibu Jackson, Katherine, kelihatan menangis menonton klip itu. 

“Kematian Michael Jackson adalah pembunuhan. Bukti menunjukkan dia meletakkan nyawanya di tangan Conrad Murray. Michael Jackson mempertaruhkan nyawa mempercayai skil perubatan Conrad Murray. 

“Bukti menunjukkan kepercayaan yang tidak kena pada tempatnya adalah terlalu tinggi nilainya, iaitu nyawa Michael Jackson,” kata Walgren kepada juri dalam hujah pembukaan. 

Bagaimanapun, peguam Dr Murray, Ed Chernoff, memberitahu juri, kematian Jackson disebabkan dirinya sendiri. Dr Murray kelihatan mengelap air mata ketika Chernoff berkata bukti akan menunjukkan penyanyi berkenaan menelan lapan butir pil Lorazepam dan menyuntik diri dengan satu dos propofol. 

“Jumlah itu sudah lebih daripada cukup untuk membunuhnya dengan cepat,” kata Chernoff. 

Beliau berkata, Jackson yang kecewa kerana tidak dapat tidur dan kerana doktornya enggan memberikan dia ubat yang dikehendaki, melakukan tindakan yang menyebabkan kematiannya. 

Ketika Chernoff mempersembahkan hujah pembukaannya, dia menaikkan poster dengan nama Michael Jackson tersilap ejaan. 

“Dia meninggal dunia begitu cepat sehingga tidak ada masa menutup matanya,” kata Chernoff. 

Ibu bapa Jackson dan adik beradiknya, Janet, La Toya, Tito, Randy dan Jermaine berada di kamar mahkamah untuk mendengar hujah pembukaan dalam perbicaraan doktor peribadi penyanyi itu, yang juga orang terakhir melihat bintang pop itu masih hidup. – Agensi 

Wednesday, September 28, 2011

Tragedi cuci revolver

SUGUL...isteri Syaiful Nizam cuba ditenteramkan saudara-maranya di Hospital Kajang, malam tadi. Gambar kecil, Syaiful Nizam Zamaluddin. FOTO: Ghazali Bujang
SUGUL...isteri Syaiful Nizam cuba ditenteramkan saudara-maranya di Hospital Kajang, malam tadi. Gambar kecil, Syaiful Nizam Zamaluddin. FOTO: Ghazali Bujang.


KUALA LUMPUR: Malang tidak berbau bagi seorang anggota polis berpangkat konstabel yang bertugas di bahagian rondaan tugas am apabila peluru terakhir dalam revolver .38 miliknya terledak menyebabkan dia parah di kepala.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 7.50 malam itu, mangsa, Syaiful Nizam Zamaluddin, 24, sedang mengosongkan revolver selepas tamat bertugas. 

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata ketika mangsa sedang membersihkan revolver, lapan anggota lain sedang memerhatikannya menghala revolver ke arah bawah di hadapan setor senjata. 

"Dengan tiba-tiba mereka terdengar bunyi tembakan dan nampak keadaan mangsa dalam keadaan parah.

"Mangsa tertembak di bahagian kanan kepala sebelum peluru tembus keluar dari atas kepalanya," katanya ketika ditemui di Hospital Kajang, di sini. 

Beliau berkata, peluru berkenaan adalah yang terakhir dalam revolver mangsa dan kejadian berkenaan dipercayai adalah kemalangan. 

Katanya, anggota berkenaan sudah berkhidmat lebih daripada dua tahun di IPD Kajang dan tidak mempunyai sebarang masalah. 

Menurutnya, mangsa yang berasal dari Kampung Baru Air Panas, Kuala Lumpur, baru saja berkahwin dan isterinya kini hamil tujuh bulan. 

Sehingga ini, katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian. - myMetro

Ibu dapat ganti rugi RM600,000

KUANTAN: Mahkamah Tinggi di sini, semalam mengarahkan Penguasa Penjara Penor dan kerajaan Malaysia membayar ganti rugi RM600,000 kepada seorang ibu yang kehilangan anak akibat dibelasah 10 warden di Penjara Penor tujuh tahun lalu. 

Hakim Datuk Mariana Yahya membuat keputusan itu dalam kamarnya selepas meneliti rumusan hujahan dikemukakan peguam plaintif, G Visvanathan Nair yang mewakili Rohani Mohamed, 53, dan suaminya, Mohamed Mat Diah, 64.

Dalam penghakimannya, Mariana berkata perbuatan dilakukan defendan adalah kejam dan tidak berperikemanusiaan sehingga menyebabkan kematian Mohd Shukri Mohamed Yusof.

Beliau berkata perbuatan itu tidak adil serta tidak boleh dikompromi.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan 10 warden terbabit, Penguasa Penjara Penor dan Kerajaan Malaysia membayar sejumlah RM500,000 sebagai ganti rugi teruk; ganti rugi kehilangan tanggungan (RM86,400); kos urusan pengebumian (RM3,000) dan kos mengeluarkan surat kuasa mentadbir (RM1,500) kepada kedua-dua plaintif. 

Selain Visvanathan, plaintif turut diwakili G Subramanian Nair dan Ebrina Zubir, manakala defendan diwakili RS Pani dan Peguam Kanan Persekutuan, Kamal Azira Hassan mewakili Penjara Penor dan Kerajaan Malaysia. 

Sepuluh defendan terbabit ialah Azhar Che Wil, Teyun Thian Em, Suhaimi Nordin, Mohamad Hamdan Mohd Yaakob, Ahmad Rizal Ab Halim, Ismail@Mat Daud Ideris (diwakili Amanah Raya Berhad sebagai pentadbir harta pusaka), Hamdan Mohamad, Mohd Rozi Abdul Hamid, Baharin Ab Ghani dan Zamarul Hafiz Shahbudin. 

Plaintif turut menamakan Penguasa Penjara Penor, Kuantan dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan. 

Dalam kejadian pada 1 Mac 2004, Mohd Shukri yang ditahan reman di Penjara Penor kerana disyaki terbabit dengan kes berkaitan dadah, dikatakan cuba melarikan diri dari penjara tetapi berjaya ditangkap semula pihak defendan pada jam 4.45 petang. 

Berikutan itu, Mohd Shukri dipukul pihak defendan ketika dibawa ke Zon Nenas berdekatan kuaters penjara, padang bola, pintu besar penjara dan lokap di bilik Unit Keselamatan Penjara (UKP). 

Mangsa disahkan meninggal dunia selepas dimasukkan ke wad rawatan rapi Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada 10 Mac 2004, jam 7.44 pagi. 

Hasil laporan perubatan menunjukkan Mohd Shukri mengalami 25 kesan kecederaan pada seluruh anggota tubuhnya dan pendarahan dalaman termasuk otak, keretakan tulang muka dan abdomen. 

Sementara itu, Rohani yang ditemui di luar pekarangan mahkamah bersyukur dengan keputusan itu walaupun terpaksa menunggu lebih tujuh tahun. 

"Saya bukan inginkan ganti rugi ini kerana nyawa anak saya tidak dapat diganti dengan wang ringgit tetapi apa yang lebih penting ialah keadilan berjaya ditegakkan. 

"Apa yang berlaku seharusnya menjadi teladan kepada pihak penjara bahawa mereka tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya sehingga menyebabkan kehilangan nyawa. Saya reda dengan apa yang berlaku tetapi kejadian itu sepatutnya dapat dielakkan jika semua pihak menjalankan tanggungjawab dengan baik, katanya. 

Rohani yang juga seorang suri rumah berkata, dia sanggup mengambil risiko menyaman kerajaan kerana percaya kepada sistem perundangan negara yang memberi keadilan kepada yang teraniaya. - BHarian

Golongan muda bantah umur bersara 60 tahun

pix_gal0


KUALA LUMPUR: Kebanyakan golongan muda, termasuk dari sektor swasta dan awam membantah cadangan melanjutkan umur persaraan pekerja swasta kepada sekurang-kurangnya 60 tahun daripada 55 tahun sekarang. 

Mereka menyifatkan usaha itu sebagai mengarut, menyekat peluang kenaikan pangkat, meningkat kadar pengangguran, masalah sosial dan jenayah serta memperlihat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), badan yang diamanah untuk menjaga simpanan lebih lapan juta pencarum, tidak mempunyai wang dan mempunyai agenda sendiri.

Menaikkan kadar umur persaraan juga bagi mereka dilihat memberi lebih banyak kesan negatif kepada ekonomi negara berikutan produktiviti tenaga pekerja lanjut usia semakin menurun dengan kerajaan dan pembayar cukai terpaksa menanggung kos perubatan yang tinggi.

Sehubungan itu, mereka menggesa golongan berkenaan meluangkan sisa masa yang ada bersama keluarga dan ibadat harian.

Pembaca Berita Harian yang memberi maklum balas berkenaan melalui laman sosial Facebook juga memberi mesej sekiranya cadangan untuk menggubal undang-undang baru itu yang dikenali Akta Umur Persaraan Sektor Swasta tidak diteliti semula, ia pasti memberi kesan pada Pilihan Raya Umum Ke-13. 

Seorang pembaca, Ghazali Hussin menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak melayan kehendak golongan berkepentingan termasuk KWSP, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang menyokong usul berkenaan yang jelas menjejas peluang golongan muda mendapat peluang kerja atau kenaikan pangkat. 

Kesian anak-anak muda, ada ijazah tapi tidak dapat peluang kerja. Datuk Seri Najib jangan ikut sangat sambung umur persaraan, ia ada kesan pada pengundi muda pada PRU-13 nanti, katanya sebagai mengulas laporan KWSP berharap kerajaan akan melanjutkan umur persaraan pekerja sektor swasta kepada sekurang-kurangnya 60 tahun daripada 55 tahun sekarang. 

Kelmarin, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tan Sri Azlan Zainol dilaporkan berkata perlanjutan umur persaraan itu diharap diumumkan pada pembentangan Bajet 2012 pada 7 Oktober depan. 

Berikutan kenyataan itu, ramai memberi reaksi dengan menuduh KWSP mempunyai kepentingan tertentu serta mempersoal kewibawaan badan itu yang tidak mengurus dana pencarum secara berhemah dengan menawarkan pulangan dividen yang tinggi berbanding institusi lain meskipun mencatat keuntungan besar. 

Azhar Rosli berkata, walaupun alasan diberikan KWSP agak munasabah, namun ia akan menambah masalah pengangguran sedia ada. Lanjut umur bersara 58 tahun atau 60 tahun adalah sesuatu yang mengarut, pada saya jika hendak dinaikkan kadar umur persaraan, mulakan dengan umur 56 tahun dulu serta selesaikan masalah pengangguran dengan lebih terperinci, katanya.- BHarian

Sunday, September 25, 2011

Memey-Norman Sah Bergelar Suami Isteri


Memey dan Norman kini sah bergelar suami isteri.
PETALING JAYA: Pelakon Norman Hakim, 35, telah selamat dinikahkan dengan pasangannya, pelakon Memey Suhaiza, 23, pada Sabtu di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor.
Pasangan ini dinikahkan oleh jurunikah mukim Kambau, Kota Tinggi, Zulkifli Tarmizi berwalikan bapa Memey, Suhaimi Sawarni, 49.
Pada majlis tersebut, Memey turut menerima mas kahwin berjumlah RM22.50 dan lima dulang hantaran termasuk wang hantaran RM24,000, sistem pengesanan global (GPS), rantai, cincin berlian, kek buah berbentuk beg tangan Gucci, sirih junjung dan al-Quran.
Sementara Norman menerima tujuh dulang hantaran daripada Memey iaitu iPad 2, cincin, coklat, buah-buahan, sirih junjung, kek lapis Sarawak dan al-Quran.
Keseluruhan hantaran kedua-dua belah pihak dianggarkan berjumlah RM40,000 yang digubah oleh Iezla Bridal merangkap perunding perkahwinan.
Memey dan Norman kelihatan sama cantik sama padan mengenakan baju pengantin berwarna mengikut kulit rekaan Ezuwan Ismail.
Memey menerima hadiah hantaran daripada Norman. - Foto RAHMAN EMBONG
Selain keluarga kedua-dua belah pihak, majlis ini turut dihadiri dan disaksikan oleh 1,000 tetamu.
Menurut Norman, dia akan membawa Memey berbulan madu di Paris dalam masa yang akan ditetapkan kemudian dan seterusnya dijangka ke Mekah untuk mengerjakan umrah pada tahun depan.
Pada malam Sabtu, pasangan ini melangsungkan majlis malam berinai di rumah pihak perempuan di mana Memey mengenakan baju busana berkonsepkan kontemporari berwarna peach manakala Norman dengan baju tradisional berwarna hitam yang disediakan oleh Iezla Bridal.
Majlis resepsi sebelah pengantin perempuan dilangsungkan di rumah pihak perempuan pada Ahad dengan berkonsepkan perkahwinan dalam taman. Pakaian persandingan direka oleh Hatta Dolmat manakala untuk upacara memotong kek direka oleh Rizman Ruzaini.
Pada 28 September depan pula, majlis perkahwinan yang bernilai RM12 juta, akan diadakan di Hotel Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur, ditaja sepenuhnya oleh jenama barangan kemas, Rafflesia.
Tema majlis perkahwinan itu berkonsepkan Kosmopolitan dan hanya 200 orang tetamu sahaja di undang iaitu pihak media dan selebriti.
Menariknya Memey akan menyarungkan gaun pengantin pereka tersohor dunia, Vera Wang pada majlis perkahwinannya pada 28 September itu.
Menurut perancang perkahwinan mereka, Billbora, gaun yang menjadi pilihan selebriti Hollywood seperti Kim Kardashian, Mariah Carey dan Invanka Trump itu telah dibeli oleh Rafflesia, menerusi sebuah agen di Hong Kong.
Memey akan mengenakan dua gaun pengantin pada majlis tersebut dan salah satunya daripada rekaan Vera Wang yang berkonsepkan Bohemian. Bagaimanapun ia bukanlah ditempah khas sebaliknya dibeli oleh pihak Rafflesia yang inginkan kelainan pada majlis tersebut.
Sepasang lagi gaun yang akan dikenakan pula direka khas oleh tiga pereka tempatan daripada Rafflesia dengan bertatahkan mutiara gred A yang bernilai RM500,000.
Bagi pakaian pengantin lelaki pula, Norman akan mengenakan dua pasang sut tradisional Inggeris rekaan Lord's Taylor bernilai RM10,000 setiap satu.
Menarik lagi, keempat-empat gaun dan sut pengantin tersebut akan dipamerkan untuk satu acara istimewa di Muzium Negara pada 26 November hingga 31 Disember depan.
Selain Rafflesia, Lord's Taylor dan Vera Wang, Profesor Datuk Jimmy Choo juga akan menghasilkan dua pasang kasut khas buat Memey yang bernilai RM300,000.
Ini merupakan perkahwinan pertama buat Memey manakala yang kedua bagi Norman.
Norman pernah berkahwin dengan pelakon Abby Abadi pada 8 Januari 2002 dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim,8, Marissa Dania Hakim,6, dan Maria Danisha Hakim,3. Mereka bercerai pada 18 Disember 2008. - mStarOnline

Friday, September 23, 2011

‘Kail’ duit masjid

CURI
...Koperal Abd Kassim Aboo (tiga dari kiri) bersama  Mohamad Syafiq (dua dari kanan) menunjukkan tabung yang duitnya dicuri.
CURI ...Koperal Abd Kassim Aboo (tiga dari kiri) bersama Mohamad Syafiq (dua dari kanan) menunjukkan tabung yang duitnya dicuri.


SEGAMAT: Seorang penganggur membuat helah mahu melakukan Qiamullail bagi membolehkannya bermalam di Masjid Jamek Chaah di sini, tetapi misi sebenarnya ialah mencuri wang daripada dua tabung rumah ibadat berkenaan. 

Sebelum kejadian 15 September lalu, jemaah di masjid berkenaan merungut kerana jumlah kutipan tabung masjid berkurangan sedangkan setiap bulan, ia mampu mengumpul sumbangan mencecah RM3,000.

Bagaimanapun, misteri itu terbongkar selepas suspek berusia 19 tahun ditahan pada jam 12.15 tengah hari ketika sibuk mencuri wang di satu daripada tabung berkenaan.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Abd Majid Mohd Ali berkata, sehari sebelum kejadian, ada jemaah memaklumkan suspek dilihat tidur di dalam masjid dan memaklumkan mahu melakukan ibadat itu.

“Jemaah masjid berkenaan meminta remaja terbabit bermalam di lokasi lain, tetapi dia enggan.

“Keesokan harinya, beberapa jemaah masjid datang ke sana bersama seorang anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat untuk meninjau persiapan akhir tahlil yang akan diadakan pada malam itu dan mendapati sebuah Proton Satria berwarna merah diletak di pekarangan masjid,” katanya, semalam.

Menurut Mohamad, anggotanya itu yang tidak sedap hati melakukan pemeriksaan di sekitar masjid, tetapi gagal menemui pemandu serta penumpang Satria terbabit.

Mohamad berkata, anggotanya kemudian membuka pintu tepi masjid perlahan-lahan dan terlihat seorang lelaki berada ditepi tabung itu.

“Anggota polis berkenaan mengawasi perlakuan remaja terbabit selama lima minit dan mendapati suspek sedang ‘memancing’ wang. Dia turut merampas dawai serta lampu suluh daripada suspek itu.

“Pemeriksaan terhadap suspek turut menemui wang kertas yang dilipat kecil berjumlah RM64 di dalam dompetnya dipercayai hasil curi daripada tabung masjid,” katanya. 

Menurut Mohamad, suspek berasal dari Kampung Jawa, Chaah ditahan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, imam masjid itu, Mohamad Syafiq, 27, berkata, pihaknya tidak pernah mengunci pintu rumah ibadat berkenaan bagi memudahkan pengunjung beribadat pada bila-bila masa.

“Terdapat dua tabung dan pengiraan jumlah kutipan dibuat setiap Jumaat sebelum ia disimpan di bank oleh bendahari masjid.

“Kebiasaannya, pungutan bulanan mencecah RM3,000 namun ia berkurangan sejak kebelakangan ini, kami akhirnya mengetahui puncanya selepas lelaki terbabit ditahan,” katanya. - myMetro

Diana Amir Pakai Tudung Selepas Mimpi Kiamat


Wajah terbaru Diana Amir
PETALING JAYA: Pelakon filem Aku Masih Dara, Diana Amir melakukan tindakan mengejut dengan memakai tudung dan menutup aurat selepas beberapa kali mengalami mimpi hari kiamat.
Kata Diana, dia bertekad dengan keputusan tersebut biarpun mengakui dirinya masih terlalu cetek dengan ilmu agama.
"Saya ambil keputusan ini kerana saya sudah beberapa kali sejak tiga bulan yang lalu diberi petanda dan mimpi buruk tentang hari kiamat.
"Dan mimpi-mimpi tersebut juga mengingatkan saya tentang kematian yang semakin hampir dan perkara itu sering membelenggu hidup saya beberapa bulan kebelakangan ini," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.
Tambahnya, dia menceritakan perkara tersebut kepada seorang rakan baik sehingga menyebabkan temannya itu turut mengambil keputusan yang sama untuk berhijrah dan mendalami ilmu agama.
Diana Amir, sebelum bertudung
"Saya tak tahu kenapa perkara itu berlaku kepada saya, mungkin Allah ingin memberi petunjuk dan saya menceritakan semuanya kepada seorang rakan.
"Namun selepas itu rakan saya yang berhijrah lebih awal daripada saya," katanya yang mula mengenakan tudung pada Isnin lalu.
Jelas Diana lagi, selepas berniat untuk berhijrah, dia beberapa kali bertemu dengan pelakon Irma Hasmie untuk mendapatkan pandangan dan sokongan.
"Saya tahu saya masih lemah terutamanya mengenai hal-hal agama, disebabkan itu saya ambil peluang untuk bertemu dengan Irma Hasmie untuk mendapatkan nasihat dia.
"Irma juga membawa saya berjumpa dengan Wardina Saffiyah untuk mendapatkan tunjuk ajar dan sokongan mereka," tuturnya.
Katanya, biarpun masih terlalu cetek mengenai pegangan agama, dia berharap selepas menutup aurat dia dapat belajar lebih mendalam tentang agama Islam.
Ditanya tentang lakonan, Diana berkata dia masih akan terus berlakon jika mendapat watak yang sesuai dengan imejnya sekarang.
"Ketika buat keputusan tersebut saya terus berjumpa David Teo untuk meminta pendapat dia tentang lakonan dan kerjaya saya selepas ini,
"Biarpun dia tidak menjanjikan apa-apa, namun saya yakin rezeki adalah ketentuan Allah," katanya lagi. - mStarOnline

Thursday, September 22, 2011

Siswi dirasuk nak terjun asrama


RAWAT...mangsa   ketika menerima rawatan dan perubatan Islam 
di kolej berkenaan.
RAWAT...mangsa ketika menerima rawatan dan perubatan Islam di kolej berkenaan.
ALOR GAJAH: Gempar apabila seorang penuntut wanita sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini, yang dikatakan dirasuk cuba terjun dari tingkat dua kolej kediamannya, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 petang, penuntut berusia 21 tahun itu memanjat tingkap dan duduk di balkoni dengan kedua-dua kakinya terjuntai ke bawah.

Perbuatan gadis dari sebuah negeri di utara tanah air itu, bagaimanapun disedari rakan sebiliknya yang cuba memujuknya turun.

Pujukan itu bagaimanapun gagal lalu mereka memanggil pengurusan kolej dan sekali lagi cuba memujuk penuntut itu supaya tidak terjun.

Usaha itu juga menemui kegagalan sebelum pasukan bomba dan penyelamat dipanggil bagi melakukan usaha menyelamat gadis yang dirasuk itu.

Menurut rakan sebilik mangsa yang enggan dikenali, dia terdengar suara seperti orang meracau di luar tingkap bilik lalu pergi memeriksanya.

“Saya terkejut selepas mendapati rakan sebilik berada di atas balkoni luar dan dia seolah-olah sudah bersedia untuk terjun. Bimbang perkara buruk berlaku, saya cuba memujuknya supaya turun, namun tidak diendahkan.

“Saya menghubungi kakitangan kolej memaklumkan perkara itu dan kami sekali lagi berusaha memujuknya, namun gagal,” katanya.

Menurutnya, selepas gagal memujuk penuntut itu, mereka menghubungi pasukan bomba dan penyelamat yang datang tidak lama kemudian.

Katanya, rakan sebiliknya yang menuntut di tahun satu jurusan insurans itu dipercayai mengalami gangguan makhluk halus sejak beberapa hari lalu.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan II Chee Hong Chuan berkata, pihaknya yang menerima maklumat mengenai kejadian itu bergegas ke lokasi untuk menyelamatkan mangsa.

“Ketika tiba, gadis itu masih berada di balkoni tingkat dua kolej kediamannya dengan kedua-dua kakinya terjuntai sambil berdiam diri.

“Tanpa membuang masa, kami menariknya masuk ke bilik penginapan,” katanya.

Menurutnya, gadis yang pengsan sejurus selepas itu diserahkan kepada pihak pengurusan kolej untuk tindakan selanjutnya. -  myMetro

Hanya tinggal nama besar

TERBIAR...rumah Datuk  Maharaja Lela menunggu masa untuk roboh. Gambar kecil menunjukkan keadaan perabot yang rosak serta tilam dipercayai digunakan untuk tujuan maksiat.
TERBIAR...rumah Datuk Maharaja Lela menunggu masa untuk roboh. Gambar kecil menunjukkan keadaan perabot yang rosak serta tilam dipercayai digunakan untuk tujuan maksiat.


PASIR SALAK: Rumah pejuang tersohor, Datuk Maharaja Lela Pandak Lam, di sini, bukan saja dijadikan sarang maksiat, malah menjadi ‘port’ penagih dadah di kawasan ini.

Kediaman warisan yang terletak bertentangan dengan Kompleks Sejarah Pasir Salak itu berada dalam keadaan terbiar dan menunggu masa roboh. 

Penduduk, Ramli Abas, 43, berkata, dia sedih apabila menyaksikan rumah peninggalan pahlawan negeri itu terbiar begitu saja tanpa sebarang tindakan membaikinya diambil kerajaan negeri. 

“Saya kecewa kerana perjuangan Datuk Maharaja Lela dipandang sebelah mata sesetengah pihak apabila kediamannya dibiarkan tanpa mendapat pembelaan sewajarnya.

“Jasa dan pengorbanannya diiktiraf dengan beberapa jalan, sekolah serta kawasan dinamakan bersempena namanya tetapi menyedihkan apabila keadaan kediaman dan kawasan sekitar yang pernah menjadi kubu pertahanan masyarakat daerah ini satu ketika dulu, menunggu masa untuk menyembah bumi,” katanya.

Tinjauan wartawan Harian Metro mendapati, rumah Maharaja Lela yang pernah dibaik pulih, kini dipenuhi belukar serta sukar dimasuki.

Tambah mengejutkan, selain barangan hiasan di dalam rumah berkenaan hilang dan rosak, ia dijadikan lokasi ‘selamat’ oleh penagih dadah dan remaja melakukan maksiat.

Ia berdasarkan penemuan beberapa barangan untuk menghisap dadah dan tilam buruk di bahagian dapur kediaman berkenaan yang didakwa Ramli angkara golongan muda tempatan.

Mengikut sejarah, selepas mendapat persetujuan dan sokongan penduduk sekitar Pasir Salak, Kampung Gajah dan pemimpin tempatan, Datuk Maharaja Lela mengepalai perjuangan menentang penjajahan British di Perak yang membawa kepada pembunuhan James Wheller Woodfird Birch (JWW Birch) iaitu Residen British pertama Perak.

Malangnya, daripada sanjungan sebagai pejuang, beberapa individu kalangan bangsa sendiri yang dipercayai sebelum itu, berpaling tadah dengan menuduh beliau serta beberapa lagi rakan seperjuangannya, selaku pemberontak sebelum beliau dijatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap mereka.

Lebih tragik, difahamkan sebagai pengajaran kepada 'pemberontak-pemberontak' lain supaya tidak mengikut jejak Maharaja Lela dan teman seperjuangannya, pihak penjajah British difahamkan mengarahkan supaya mayat Maharaja Lela dikerat tiga dan ditanam secara berasingan di tepi tebing Sungai Perak. 

Biarpun tiada fakta sahih mengenainya, perkara ini masih menjadi persoalan sehingga kini kerana bukti juga tiada untuk mengatakan 'Makam Maharaja Lela' yang terletak di Taiping, benar-benar milik perwira sejati ini.

“Saya meminta pihak bertanggungjawab memandang serius perkara ini kerana selain kediaman Maharaja Lela, keadaan Kompleks Sejarah Pasir Salak juga dalam keadaan menyedihkan. Keadaan sekarang cukup menyedihkan berbanding beberapa tahun lalu kerana ini adalah kawasan bersejarah yang mempunyai nilai begitu penting dalam sejarah Malaysia," katanya. - myMetro

Hanya tinggal nama besar

TERBIAR...rumah Datuk  Maharaja Lela menunggu masa untuk roboh. Gambar kecil menunjukkan keadaan perabot yang rosak serta tilam dipercayai digunakan untuk tujuan maksiat.
TERBIAR...rumah Datuk Maharaja Lela menunggu masa untuk roboh. Gambar kecil menunjukkan keadaan perabot yang rosak serta tilam dipercayai digunakan untuk tujuan maksiat.


PASIR SALAK: Rumah pejuang tersohor, Datuk Maharaja Lela Pandak Lam, di sini, bukan saja dijadikan sarang maksiat, malah menjadi ‘port’ penagih dadah di kawasan ini.

Kediaman warisan yang terletak bertentangan dengan Kompleks Sejarah Pasir Salak itu berada dalam keadaan terbiar dan menunggu masa roboh. 

Penduduk, Ramli Abas, 43, berkata, dia sedih apabila menyaksikan rumah peninggalan pahlawan negeri itu terbiar begitu saja tanpa sebarang tindakan membaikinya diambil kerajaan negeri. 

“Saya kecewa kerana perjuangan Datuk Maharaja Lela dipandang sebelah mata sesetengah pihak apabila kediamannya dibiarkan tanpa mendapat pembelaan sewajarnya.

“Jasa dan pengorbanannya diiktiraf dengan beberapa jalan, sekolah serta kawasan dinamakan bersempena namanya tetapi menyedihkan apabila keadaan kediaman dan kawasan sekitar yang pernah menjadi kubu pertahanan masyarakat daerah ini satu ketika dulu, menunggu masa untuk menyembah bumi,” katanya.

Tinjauan wartawan Harian Metro mendapati, rumah Maharaja Lela yang pernah dibaik pulih, kini dipenuhi belukar serta sukar dimasuki.

Tambah mengejutkan, selain barangan hiasan di dalam rumah berkenaan hilang dan rosak, ia dijadikan lokasi ‘selamat’ oleh penagih dadah dan remaja melakukan maksiat.

Ia berdasarkan penemuan beberapa barangan untuk menghisap dadah dan tilam buruk di bahagian dapur kediaman berkenaan yang didakwa Ramli angkara golongan muda tempatan.

Mengikut sejarah, selepas mendapat persetujuan dan sokongan penduduk sekitar Pasir Salak, Kampung Gajah dan pemimpin tempatan, Datuk Maharaja Lela mengepalai perjuangan menentang penjajahan British di Perak yang membawa kepada pembunuhan James Wheller Woodfird Birch (JWW Birch) iaitu Residen British pertama Perak.

Malangnya, daripada sanjungan sebagai pejuang, beberapa individu kalangan bangsa sendiri yang dipercayai sebelum itu, berpaling tadah dengan menuduh beliau serta beberapa lagi rakan seperjuangannya, selaku pemberontak sebelum beliau dijatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap mereka.

Lebih tragik, difahamkan sebagai pengajaran kepada 'pemberontak-pemberontak' lain supaya tidak mengikut jejak Maharaja Lela dan teman seperjuangannya, pihak penjajah British difahamkan mengarahkan supaya mayat Maharaja Lela dikerat tiga dan ditanam secara berasingan di tepi tebing Sungai Perak. 

Biarpun tiada fakta sahih mengenainya, perkara ini masih menjadi persoalan sehingga kini kerana bukti juga tiada untuk mengatakan 'Makam Maharaja Lela' yang terletak di Taiping, benar-benar milik perwira sejati ini.

“Saya meminta pihak bertanggungjawab memandang serius perkara ini kerana selain kediaman Maharaja Lela, keadaan Kompleks Sejarah Pasir Salak juga dalam keadaan menyedihkan. Keadaan sekarang cukup menyedihkan berbanding beberapa tahun lalu kerana ini adalah kawasan bersejarah yang mempunyai nilai begitu penting dalam sejarah Malaysia," katanya. - myMetro

Wednesday, September 21, 2011

Mamat (Sepah) Mengaku Salah 'Dedah' Rambut Fida


Mamat dan Fida kini sedang hangat bercinta.
PETALING JAYA: Bekas anggota kumpulan Sepah, Mohd Noor Murad atau Mamat telah melakukan kesilapan apabila secara tidak sengaja memuat naik gambar kekasihnya, pelakon Fida Ibrahim yang menampakkan sebahagian rambut ke akaun Facebook miliknya.
Mamat berkata, dia kesal dengan kesilapannya itu kerana perbuatan tersebut telah menyebabkan nama baik Fida yang tidak pernah mendedahkan rambutnya di khalayak tercalar.
"Saya mengakui itu adalah salah saya tetapi sejujurnya saya tidak berniat untuk mengaibkan nama baik Fida pada mata masyarakat. Dia adalah seorang gadis yang baik," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Selasa.
Mamat diminta mengulas mengenai penyebaran gambar kekasih tanpa tudung sebaliknya tetapi menampakkan sebahagian rambutnya dengan memakai topi di laman-laman blog hiburan tempatan.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai kejadian itu, Mamat berkata gambar tersebut diambil ketika dia dan keluarganya sedang bercuti di sebuah destinasi yang turut disertai oleh Fida dan beberapa rakan lain.
Gambar Fida menampakkan sebahagian rambutnya yang tersebar luas di laman-laman blog hiburan di Internet.
Menurutnya, semasa gambar tersebut diambil, dia tidak perasan sebahagian rambut kekasihnya itu terdedah kerana tidak memakai cermin mata ketika itu.
"Semasa kejadian Fida di dalam kereta dan secara spontan saya mengambil gambar tersebut tanpa menyedari sebahagian rambutnya terdedah tambahan pula saya tidak memakai cermin mata.
"Tanpa berfikir panjang saya terus memuat naik gambar tersebut di laman Facebook milik saya," jelasnya.
Rasa bersalah mengenai kejadian tersebut, Mamat berkata dia berharap masyarakat tidak membuat tohmahan buruk kepada Fida kerana gadis itu tidak bersalah dalam hal tersebut.
"Saya sangat berharap perkara ini tidak melarat kerana takut orang akan mengatakan saya telah mengubah Fida melakukan perkara tidak baik sejak berkawan dengan saya.
Ditanya adakah dia ada berbincang dengan Fida mengenai perkara berkenaan, Mamat memberitahu Fida tidak mengetahui dia memuat naik gambar tersebut.
"Sebab itu saya kata Fida tidak bersalah dalam hal ini kerana semasa anda menemu bual saya ini, dia sendiri masih tidak mengetahui mengenai apa yang sedang terjadi. Saya belum bercakap dengannya tentang hal itu," katanya. - mStarOnline

Tuesday, September 20, 2011

Kereta putus lekat di tiang

REMUK...keadaan kereta selepas kemalangan.
REMUK...keadaan kereta selepas kemalangan.


PUTRAJAYA: “Ketika sampai di tempat kejadian, saya melihat kereta mangsa putus dua, kaki mangsa terperosok di bahagian pedal minyak manakala beberapa cebisan dipercayai otak mangsa melekat di tempat duduk belakang,” kata seorang saksi kemalangan maut di sini, semalam.

Menurut saksi yang enggan dikenali itu, dia adalah antara yang terawal melihat kejadian terbabit di Kilometer 7.2, Persiaran Selatan berhampiran susur keluar Pusat Konvensyen Antarangsa Putrajaya (PICC).

“Saya bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan rakan mengenai kemalangan berkenaan, namun sebaik tiba saya melihat anggota bomba sedang berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduknya.

“Ketika itu saya ingat mangsa masih hidup, tetapi rupanya dia sudah meninggal dunia. Keadaan kereta mangsa terputus dua, enjin serta dua tayar depan tercampak tidak jauh dari tiang lampu yang dilanggarnya,” katanya, ketika ditemui di tempat kejadian.

Dalam kemalangan pada jam 5.25 petang itu, mangsa Mohammad Rasydan Rasid, 20, yang dikatakan dalam perjalanan dari Dengkil, Sepang ke Putrajaya maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Polis, Abdul Razak Abdul Majid ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai memandu laju mengakibatkan kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu merempuh tiang lampu.

Katanya, akibat rempuhan itu, kereta Proton Wira Aeroback yang dipandu mangsa terputus dua.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan ketika mengambil selekoh lalu merempuh tiang lampu di tempat kejadian.

“Mangsa meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Pihak Bomba mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan mangsa, sebelum dihantar ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat,” katanya. - myMetro

Perjalanan akhir ibu berpantang, bayi

AZALINA bersama suaminya Mohd Hanizan,  ketika majlis perkahwinan mereka, gambar kecil anak sulung mereka yang  terkorban dalam kemalangan dekat Parit Yaani, Batu Pahat, Johor, awal pagi semalam.
AZALINA bersama suaminya Mohd Hanizan, ketika majlis perkahwinan mereka, gambar kecil anak sulung mereka yang terkorban dalam kemalangan dekat Parit Yaani, Batu Pahat, Johor, awal pagi semalam.
BATU PAHAT: Perjalanan seorang pensyarah membawa isterinya untuk menghabiskan tempoh berpantang di rumah mereka dekat sini, bertukar tragedi apabila guru wanita itu bersama bayi sulungnya yang baru berusia 23 hari, antara tiga yang maut selepas dua kereta bertembung dalam kemalangan ngeri dekat Parit Yaani di sini, awal pagi semalam.

Kemalangan yang mengorbankan Azalina Mat Yasin, 27, dan bayinya, Nor Afiqah Sumai'ah, pada jam 1.05 pagi di Kilometer 51, Jalan Muar-Yong Peng dekat Parit Yaani, 10 kilometer dari kuarters Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Sri Gading yang didiami suaminya, Mohd Hanizan Bahari, 28.

Turut terbunuh pegawai tentera yang bertugas di Taiping, Kapten Khairul Azam Buhari, 26, yang sedang memandu sendirian kereta Perodua Kancil dari arah Parit Sulong ke Yong Peng. 

Ketika kemalangan berlaku, tiga beranak terbabit dalam perjalanan pulang dari Kelantan ke kuarters berkenaan sambil ditemani ibu Hanizan, Habsah Ab Latiff, 58, dan ibu saudaranya, Khadijah Omar, 60, selepas Azalina yang juga guru J-QAF di Sabah bersalin sehari sebelum sambutan Aidilfitri lalu di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu. 

Berikutan pertembungan antara Proton Waja yang dinaiki keluarga terbabit dengan Perodua Kancil itu, Azalina yang memangku Nor Afiqah, mati di tempat kejadian dalam keadaan memeluk erat bayinya. 

Meskipun dipeluk erat oleh ibunya hingga akhir hayat wanita terbabit, Nor Afiqah Sumai'ah meninggal dunia ketika dikejarkan untuk rawatan di Hospital Batu Pahat (HBP). 

Mohd Hanizan pula cedera parah dengan patah kaki kanan, manakala Habsah dan Khadijah yang turut cedera parah kini dirawat di HBP. 

Sementara itu, hasrat Khairul Azam melangsungkan perkahwinan dengan tunangnya, Nurasreen Khalil, 26, pada Disember ini tidak kesampaian apabila beliau maut dalam kemalangan itu. 

Nurasreen yang bergegas dari Kelana Jaya, Selangor ke rumah bakal mentuanya di Parit Sulong berkata, beliau tidak menyangka harapan mereka berdua untuk mengikat kasih dengan sebuah perkahwinan tidak kesampaian. 

“Menggeletar badan ini selepas dimaklumkan oleh ayah Khairul Azam yang beliau terbabit dalam kemalangan sehingga mengorbankan nyawanya, saya terkilan, kelu dan tergamam kerana jodoh kami tidak kesampaian sedangkan persediaan perkahwinan sedang rancak disediakan. 

“Namun begitu saya reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya ketika ditemui petang semalam. 

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad, berkata siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila sebuah daripada kereta terbabit terbabas memasuki laluan bertentangan menyebabkan kedua-duanya bertembung. - BHarian

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu