adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Wednesday, September 28, 2011

Ibu dapat ganti rugi RM600,000

KUANTAN: Mahkamah Tinggi di sini, semalam mengarahkan Penguasa Penjara Penor dan kerajaan Malaysia membayar ganti rugi RM600,000 kepada seorang ibu yang kehilangan anak akibat dibelasah 10 warden di Penjara Penor tujuh tahun lalu. 

Hakim Datuk Mariana Yahya membuat keputusan itu dalam kamarnya selepas meneliti rumusan hujahan dikemukakan peguam plaintif, G Visvanathan Nair yang mewakili Rohani Mohamed, 53, dan suaminya, Mohamed Mat Diah, 64.

Dalam penghakimannya, Mariana berkata perbuatan dilakukan defendan adalah kejam dan tidak berperikemanusiaan sehingga menyebabkan kematian Mohd Shukri Mohamed Yusof.

Beliau berkata perbuatan itu tidak adil serta tidak boleh dikompromi.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan 10 warden terbabit, Penguasa Penjara Penor dan Kerajaan Malaysia membayar sejumlah RM500,000 sebagai ganti rugi teruk; ganti rugi kehilangan tanggungan (RM86,400); kos urusan pengebumian (RM3,000) dan kos mengeluarkan surat kuasa mentadbir (RM1,500) kepada kedua-dua plaintif. 

Selain Visvanathan, plaintif turut diwakili G Subramanian Nair dan Ebrina Zubir, manakala defendan diwakili RS Pani dan Peguam Kanan Persekutuan, Kamal Azira Hassan mewakili Penjara Penor dan Kerajaan Malaysia. 

Sepuluh defendan terbabit ialah Azhar Che Wil, Teyun Thian Em, Suhaimi Nordin, Mohamad Hamdan Mohd Yaakob, Ahmad Rizal Ab Halim, Ismail@Mat Daud Ideris (diwakili Amanah Raya Berhad sebagai pentadbir harta pusaka), Hamdan Mohamad, Mohd Rozi Abdul Hamid, Baharin Ab Ghani dan Zamarul Hafiz Shahbudin. 

Plaintif turut menamakan Penguasa Penjara Penor, Kuantan dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan. 

Dalam kejadian pada 1 Mac 2004, Mohd Shukri yang ditahan reman di Penjara Penor kerana disyaki terbabit dengan kes berkaitan dadah, dikatakan cuba melarikan diri dari penjara tetapi berjaya ditangkap semula pihak defendan pada jam 4.45 petang. 

Berikutan itu, Mohd Shukri dipukul pihak defendan ketika dibawa ke Zon Nenas berdekatan kuaters penjara, padang bola, pintu besar penjara dan lokap di bilik Unit Keselamatan Penjara (UKP). 

Mangsa disahkan meninggal dunia selepas dimasukkan ke wad rawatan rapi Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada 10 Mac 2004, jam 7.44 pagi. 

Hasil laporan perubatan menunjukkan Mohd Shukri mengalami 25 kesan kecederaan pada seluruh anggota tubuhnya dan pendarahan dalaman termasuk otak, keretakan tulang muka dan abdomen. 

Sementara itu, Rohani yang ditemui di luar pekarangan mahkamah bersyukur dengan keputusan itu walaupun terpaksa menunggu lebih tujuh tahun. 

"Saya bukan inginkan ganti rugi ini kerana nyawa anak saya tidak dapat diganti dengan wang ringgit tetapi apa yang lebih penting ialah keadilan berjaya ditegakkan. 

"Apa yang berlaku seharusnya menjadi teladan kepada pihak penjara bahawa mereka tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya sehingga menyebabkan kehilangan nyawa. Saya reda dengan apa yang berlaku tetapi kejadian itu sepatutnya dapat dielakkan jika semua pihak menjalankan tanggungjawab dengan baik, katanya. 

Rohani yang juga seorang suri rumah berkata, dia sanggup mengambil risiko menyaman kerajaan kerana percaya kepada sistem perundangan negara yang memberi keadilan kepada yang teraniaya. - BHarian

No comments:

Post a Comment

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu