adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Monday, September 12, 2011

Negara jiran tawar gaji lumayan


KUCHING: Tawaran gaji lumayan berbanding di negeri sendiri, terus menjadi penghalang kepada pengembangan industri perkapalan Sarawak yang didapati terus kehilangan tenaga kerja mahir yang cenderung bekerja di negara jiran, Singapura. 

Walaupun menjadi antara lokasi pengeluar kapal terkemuka di rantau ini, industri perkapalan tempatan sukar mendapat tenaga kerja mahir selepas golongan itu menjadi sasaran syarikat pembinaan kapal luar negara yang mengiktiraf kemampuan mereka.
Tawaran gaji antara RM2,000 hingga RM3,000 kepada jurutera muda oleh syarikat tempatan berbanding gaji kira-kira S$3,000 (RM7,300) di Singapura menyebabkan ramai memilih berhijrah ke republik itu selepas menamatkan pengajian.
Perkara ini diakui juruteknik sebuah syarikat perkapalan tempatan, Ahmad Khadri Ariff, 47, yang melihat kekurangan tenaga mahir dalam industri perkapalan tempatan akan bertambah serius dalam tempoh 10 tahun berikutan persaraan beramai-ramai. 

Katanya, kebanyakan syarikat perkapalan tempatan bergantung kepada jurutera dan juruteknik berusia yang diketahui tidak bersedia berhijrah ke luar negara berikutan faktor keluarga dan aset yang sudah lama dibeli di negeri ini. 

Bukan kita tidak mempunyai pekerja mahir muda di kalangan lepasan universiti atau institut kemahiran tetapi mereka hanya bekerja di sini bagi tempoh pendek sebelum mencari tawaran gaji lebih lumayan di luar negara. 

Akibatnya, industri perkapalan tempatan terus bergantung kepada tenaga mahir seperti kami yang diketahui memang tidak akan ke mana lagi kerana mempunyai komitmen di sini, katanya ketika ditemui Berita Harian. 
Ahmad Khadri yang bertugas di kawasan limbungan sekitar Senari dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam industri pembinaan kapal mengakui, dia sendiri akan mencari peluang bekerja di luar negara jika masih muda. 

Industri ini mampu menjadi lebih besar tetapi kita kekurangan jurutera muda dengan idea baru, selain pereka yang menghasilkan rekaan kapal atau bot terkini. 

Sekarang, industri masih bergantung kepada kaedah pembinaan serta rekaan konvensional, menyebabkan tempoh diperlukan bagi menyiapkan sesebuah kapal atau bot terlalu lama, katanya. 

Selain di Senari, industri perkapalan Sarawak tertumpu di kawasan limbungan sekitar Sungai Bidut, Sibu, serta Kuala Baram, Miri. 

Sementara itu, Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur, Datuk Daud Abdul Rahman berkata, tawaran gaji lumayan oleh syarikat antarabangsa terus 'menggoda' graduan bidang kejuruteraan tempatan untuk bekerja di negara seperti Singapura. 

Singapura mempunyai teknologi pembinaan kapal yang baik dengan banyak syarikat perkapalan beroperasi di negara itu, sekali gus mereka mampu menawarkan gaji lebih lumayan berbanding syarikat industri tempatan. 

Kita mempunyai ramai jurutera dan juruteknik berkebolehan tetapi bekerja di Singapura kerana tawaran gaji tinggi, katanya ketika dihubungi. - BHarian

No comments:

Post a Comment

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu