adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Monday, October 31, 2011

Golongan wanita profesional diseru sertai ATM bantu pertahan negara


MELAKA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Askar Wataniah mengalu-alukan penglibatan golongan belia dan wanita profesional dalam misi mempertahankan negara.

Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin berkata ATM menyediakan platform bagi golongan itu bergiat aktif termasuk menawarkan bidang kerjaya baru yang mencabar. 

"Jika wanita di luar sana merasakan mereka masih mencari-cari sesuatu yang 'extra' dalam angkatan tentera amnya dan juga tentera darat khasnya, terdapat pelbagai bentuk latihan dan juga aktiviti yang boleh meletakkan mereka di satu tahap yang tinggi. 

"Ini kerana ATM menyediakan fasiliti terbaik dan berpengalaman dalam melatih dan melahirkan golongan wanita yang mampu mempertahankan negara," katanya kepada pemberita di Markas Tiga Divisyen, Kem Terendak, di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas Majlis Penganugerahan Beret Maroon Kehormat dan Sayap Penerjunan Kanan Kehormat kepada Komander Rejimen 513 Askar Wataniah, Brig Jen Datuk Seri Tunku Puteri Intan Syafinaz Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Sementara itu, Tunku Puteri Intan Syafinaz berkata penganugerahan tersebut merupakan satu pengiktirafan penglibatan kaum wanita dalam ATM. 

"Saya berasa amat bangga dan berbesar hati dengan penghormatan yang diberikan oleh ATM dan ia akan manjadi pembakar semangat supaya terus berkhidmat dalam rejimen 513 Askar Wataniah dan juga kepada ATM. 

"Saya berharap penglibatan saya dalam ATM akan menjadi contoh atau dorongan kepada kaum wanita yang ingin berkecimpung dalam perjuangan untuk mempertahan dan membela negara selain dapat menjadikan ia sebagai satu karier yang membina," katanya. - BERNAMA

Nadia bayar ganti rugi kepada Lisdawati


KUALA LUMPUR – Pelakon Lisdawati hari ini diberi ganti rugi RM50,000 selepas beliau menang dalam kes saman fitnahnya terhadap pelakon Nadia Mustafa.
Hakim Mahkamah Sesyen Yong Zarida Sazali membenarkan saman fitnah yang difailkan Lisdawati terhadap Nadia, berhubung artikel yang disiarkan di majalah Media Hiburan enam tahun lepas.
Beliau membuat keputusan itu selepas meneliti keterangan saksi termasuk Lisdawati dan Nadia dan juga hujahan peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Lisdawati dan Siti Julaini Mohd Shahar dan Mohamed Lusfi Yaakob yang mewakili Nadia.
Dalam keputusannya, Yong Zarida memerintahkan Nadia membayar ganti rugi sebanyak RM50,000, faedah empat peratus bermula dari tarikh penghakiman iaitu hari ini sehingga penyelesaian penuh kes dan juga kos skala.
Mahkamah dalam keputusan itu turut memerintahkan Nadia atau nama sebenarnya Siti Naziyah Sheikh Mustafa, 35, membayar kadar faedah empat peratus bermula dari tarikh penghakiman hingga penyelesaian kes dan kos mengikut skala.
Bagaimanapun Lisdawati atau nama sebenarnya Nisdawati Nazaruddin, 33, dan Nadia tidak hadir ke mahkamah.
Mengikut pernyataan tuntutan Lisdawati yang difailkan pada 21 April tahun lalu, mendakwa Nadia dengan niat jahat memberikan wawancara mengandungi perkataan memfitnah kepada wartawan majalah Media Hiburan, Hanif Abdul Ghani. – Bernama

'Banjir kali ini lebih besar'

KUALA LUMPUR: Penduduk di Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah, timur Sarawak dan Sabah dinasihatkan supaya bersiap sedia untuk menghadapi gelombang banjir yang dijangka lebih besar berikutan peralihan musim Monsun Timur Laut, bulan depan.

Pengarah Institut Kajian Bencana Asia Tenggara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Ibrahim Komoo, berkata musim tengkujuh kali ini dijangka membawa 40 peratus atau 880 milimeter lebihan hujan berbanding tahun lalu.

“Banjir yang dijangka melanda enam negeri berkenaan mungkin tidak seteruk di Thailand, namun impaknya tetap buruk berdasarkan taburan dan curahan hujan yang meningkat secara drastik akibat pelepasan gas karbon dioksida tidak terkawal yang menyebabkan perubahan iklim, sekali gus mengakibatkan bencana termasuk risiko tanah runtuh. 

“Persiapan terbaik bagi penduduk yang tinggal di kawasan berisiko ialah memahami situasi banjir di lokasi mereka dan menggunakan pengalaman lalu untuk mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan harta benda,” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Ibrahim berkata, punca utama banjir kilat di kawasan bandar pula disebabkan longkang selalu tersumbat, parit kurang lebar, manakala banjir sungai berlaku akibat curahan hujan lebih banyak berbanding keupayaan sungai mengalirkan air ke laut dalam jangka masa tertentu. 

“Banjir kilat tetap akan berlaku walaupun pokok ditanam bagi mewujudkan zon penampan banjir, terutama di kawasan perumahan yang hampir dengan alur sungai. Saya sarankan pemaju hartanah membangunkan kawasan perumahan baru di kawasan tinggi sedikit,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai tidak seharusnya terlalu bimbang dengan banjir kerana pihak berkuasa sentiasa menyediakan lokasi pemindahan sementara yang baik serta selamat termasuk koordinasi tersusun pelbagai agensi berkaitan. 

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi melaporkan siri hujan lebat diramal di sebelah timur Kelantan dan Terengganu pada November, diikuti timur Pahang serta Johor bermula Januari dan berlanjutan sehingga peralihan monsun Timur Laut berakhir Mac tahun depan.  - BHarian

Pasangan OKU dicekup khalwat

PASANGAN OKU disoal siasat  pegawai penguat kuasa JAIK   selepas ditangkap berkhalwat di sebuah rumah di Jalan Langgar, Alor Setar, semalam.
PASANGAN OKU disoal siasat pegawai penguat kuasa JAIK selepas ditangkap berkhalwat di sebuah rumah di Jalan Langgar, Alor Setar, semalam.
ALOR SETAR: Sepasang pasangan kekasih yang juga orang kelainan upaya (OKU) dicekup berkhalwat oleh sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) ketika sedang berdua-duaan di sebuah bilik sewa di tingkat atas sebuah bengkel di Jalan Langgar, di sini, pagi semalam.

Pasangan itu dikatakan melarikan diri dari rumah ibu saudara masing-masing di Kuala Lumpur, sebelum datang ke negeri ini dengan menumpang di sebuah bilik sewa sebelum merancang untuk bernikah di Thailand.

Difahamkan, pasangan berkenaan dikatakan bertindak untuk bernikah di Thailand selepas hubungan cinta mereka dilarang oleh ibu lelaki berkenaan kerana bimbang anaknya gagal menguruskan rumahtangga disebabkan tidak mampu bekerja kerana mempunyai masalah lembam, manakala wanita itu mengalami kecacatan fizikal serta berkerusi roda. 

Malah, pasangan berkenaan yang berasal dari Johor itu dikatakan berkenalan di sebuah Pusat Latihan dan Kemahiran OKU di Sentul, Kuala Lumpur itu sebelum menjalinkan hubungan cinta. 

Lelaki berusia 26 tahun dan pasangannya berusia 18 tahun itu dikatakan menumpang di sebuah bilik sewa ibu saudara wanita terbabit sejak 17 Oktober lalu, sebelum dicekup berkhalwat pagi semalam. 

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa JAIK, Syeikh Muhammad Suhaimi Salleh, berkata berdasarkan aduan orang awam, sepasukan anggota diketuai Md Nasir Md Dali memeriksa sebuah dari empat bilik sewa di tingkat atas sebuah bengkel di Jalan Langgar, pada jam 9.15 pagi. 

Katanya, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang lelaki yang memakai seluar pendek paras lutut dan berkemeja T kemudian membuka pintu lalu membenarkan pemeriksaan dijalankan. 

“Pemeriksaan lanjut kemudian menemui seorang wanita sedang berbaring di atas toto dengan memakai kemeja T dan berseluar pendek paras paha. 

"Hasil siasatan mendapati wanita itu cacat fizikal apabila tidak dapat berjalan kerana masalah kaki dan tangannya mengerekot, manakala pasangannya pula kelihatan normal tetapi mengalami masalah lembam. 

“Wanita itu terpaksa dibawa turun bersama kerusi roda miliknya untuk memudahkan dia bergerak,” katanya di sini, semalam. 

Muhammad Suhaimi berkata, pasangan itu mengaku lari dari rumah dan datang ke negeri ini sebelum mengambil keputusan untuk bernikah di Thailand. 

Katanya, pasangan itu kemudian ditahan untuk siasatan lanjut kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan mahram atau suami isteri. 

“Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Star untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat agama untuk siasatan lanjut dan dijamin dengan jaminan keluarga masing-masing,” katanya.  - BHarian

Filipina sambut bayi ke-7 bilion di dunia


CAMILLE Dalura meriba bayi perempuannya, Danica Camacho yang lahir menjelang tengah malam tadi diraikan sebagai bayi ketujuh bilion di dunia. - Foto AFP

MANILA: Filipina hari ini meraikan kelahiran bayi ketujuh bilion di dunia secara simboliknya selepas ibunya selamat bayi perempuan di bilik bersalin di sebuah hospital kerajaan di sini.

Bayi seberat 2.5 kilogram bernama Danica May Camacho itu lahir menjelang tengah malam tadi sehingga mendapat liputan meluas media di bilik bersalin di
Jose Fabella Memorial Hospital. "Bayi amat comel dan sihat," kata ibunya, Camille Dalura sambil meriba bayi perempuannya itu.“Saya tidak percaya bahawa dia adalah bayi ketujuh bilion di dunia," katanya.

Bayi berkenaan adalah anak kedua Dalura bersama pasangannya, Florante Camacho.

Pasangan suami isteri itu bersama bayi berkenaan kemudian menemui pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang meraikan bayi mereka itu dengan cek kecil.

Pasangan itu turut menerima hadiah daripada penderma tempatan termasuk geran biasiswa dan pakej ekonomi bagi membolehkan pesangan itu memulakan perniagaan runcit.

Turut menyaksikan peristiwa bersejarah itu ialah budak perempuan berusia 12 tahun, Lorrize Mae Guevarra yang diisytiharkan bagi keenam bilion di dunia pada 1999.

“Saya amat gembira melihat bayi yang comel ini. Saya harap dia sukakan saya dan membesar menjadi anak yang sihat dan disayangi semua orang," katanya.

Bayi berkenaan adalah antara beberapa negara di dunia yang secara simboliknya menyambut kemunculan manusia ketujuh bilion di dunia hari ini. - AFP

Cubaan lari dari sekatan gagal

SEORANG penunggang motosikal yang ditahan ketika cuba melarikan diri.


KUALA LUMPUR – Cubaan seorang penunggang motosikal untuk melarikan diri dari sekatan jalan raya gagal apabila dia ditahan dalam satu operasi bersepadu di sekitar Dataran Merdeka di sini semalam.
Lelaki berusia 20 tahun itu sempat mengangkat sebelah tangannya kepada pihak berkuasa yang bertugas sebelum bertindak memecut sejauh 500 meter dari lokasi operasi dijalankan.
Bagaimanapun, dua anggota polis yang menyedari kejadian itu bertindak mengejar lelaki berkenaan sebelum menahannya kira-kira 10 minit selepas itu.
Dalam operasi yang diadakan selama empat jam bermula pada pukul 11.30 malam itu juga menyaksikan pelbagai aksi berbahaya beberapa penunggang motosikal dan pemandu kereta yang memecut bagi melarikan diri daripada pemeriksaan pihak berkuasa.
Pegawai Turus dan Operasi Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Ng Fook Long berkata, dalam operasi itu, sebanyak 130 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal dan pemandu yang didapati melakukan pelbagai kesalahan. - KOSMO

Saturday, October 29, 2011

Fara Fauzana Dan Neelofa Sah Pengacara Baru Nona


Pengacara baru program Nona, Fara Fauzana. - Foto THE STAR oleh ELLIS KHAN
KUALA LUMPUR: Penyampai Hot FM, Fara Fauzana dan pelakon baru Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa sah akan mengalas tugas sebagai pengacara program popular Nona.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar, dua pengacara baru itu bakal menggantikan Vanidah Imran bermula Januari tahun depan.
Ahmad Izham berkata, pemilihan Fara dan Neelofa adalah bagi memantapkan persembahan program itu yang turut akan mengalami perubahan daripada segi isi kandungannya.
"Seperti tahun-tahun sebelumnya kita akan menukar pengacara Nona setiap tahun dan tidak terkecuali Vanidah.
"Pemilihan Fara dan Neelofa adalah berdasarkan kepada karakter dan personaliti mereka yang berbeza daripada pengacara sebelum ini.
"Kami yakin dengan pemilihan mereka berdua akan memberikan nafas baru kepada program Nona," ujarnya pada sidang media selepas sesi pra tonton program rangkaian Media Prima 2012 di sini, Jumaat.
Sementara itu, Fara ketika ditemui berkata, dia berasa teruja dipilih sebagai pengacara baru Nona bersama-sama Neelofa dan bersetuju untuk mengendalikan program itu sejajar dengan perubahan usianya.
"Tahun hadapan saya akan berusia 32 tahun dan Nona dilihat sebagai program sesuai untuk dikendalikan sejajar dengan usia saya yang meningkat.
Neelofa.
"Disamping itu juga, saya teruja kerana ia adalah sesuatu pengalaman baru buat saya kerana sebelum ini lebih banyak mengacarakan program berbentuk hiburan atau santai," ujarnya.
Fara bagaimanapun memberitahu dia tidak akan mengikut cara penyampaian pengacara terdahulu tetapi akan menggunakan gaya tersendiri dalam memberi pembaharuan pada Nona.
"Saya diambil oleh kerana pihak pengurusan percaya kepada kebolehan saya dan menjadi tanggungjawab saya untuk membawa program itu ke satu peringkat lain untuk memastikan ia terus mendapat perhatian penonton," katanya.
Fara bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai gandingannya bersama Neelofa dan kelainan bakal dipaparkan oleh pihak produksi untuk program itu dan berharap peminat akan terus menyokongnya. - mStarOnline

Pensyarah minta tubuh


KUALA LUMPUR: Pensyarah miang. Itulah gelaran buat seorang lelaki yang juga pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Lembah Klang berusia 50-an apabila mencabul seorang pelajar perempuan dalam biliknya di universiti berkenaan, kelmarin.

Lebih keji, pensyarah itu didakwa cuba memaksa pelajar berusia 23 tahun berkenaan melakukan aksi ringan-ringan dengan mengumpan untuk meluluskan pelajar itu dalam peperiksaan selepas mangsa enggan melayani kehendak seksualnya.

Bagaimanapun, keengganan mangsa memenuhi permintaannya menyebabkan pensyarah itu mula bertindak kasar dengan meraba serta mencium gadis terbabit menyebabkan berlaku pergelutan dalam bilik berkenaan.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa bernasib baik apabila berjaya keluar dari bilik pensyarah berkenaan sebelum membuat aduan kepada pensyarah lain dan kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini.

Sumber berkata, kejadian bermula ketika mangsa mahu ke bilik pensyarah berkenaan bagi menghantar tugasan yang diberikan.

“Namun, dia terserempak lelaki itu di luar bilik sebelum mangsa diberikan kunci dan diarah menunggu di dalam bilik itu.

“Pensyarah itu muncul kira-kira 10 minit kemudian. Sebaik masuk ke biliknya, pensyarah berkenaan terus memegang pipi mangsa sebelum duduk di kerusinya,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang bingung dengan tindakan itu memberitahu mahu menghantar tugasan.

“Bagaimanapun, pensyarah itu mendakwa tidak mahukan tugasan berkenaan sebaliknya memberitahu mahukan benda lain,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang tidak faham kemudian bertanya apa yang dimahukan pensyarahnya itu.

“Dengan bersahaja, pensyarah itu bangun dan mengunci pintu bilik sebelum menarik tangan mangsa serta memeluknya. Lelaki terbabit kemudian memberitahu mahu mencium mangsa.

“Mangsa cuba menolak dengan baik, namun lelaki itu terus meraba badannya walaupun dia merayu tidak diperlakukan demikian,” katanya.

Katanya, mangsa yang bengang dengan tindakan itu memarahi pensyarah terbabit.

“Difahamkan, lelaki itu dengan bersahaja mengumpan untuk meluluskan mangsa jika memenuhi kehendak seksualnya,” katanya.

Biarpun diumpan dengan keputusan cemerlang, mangsa masih berkeras menolak pelawaan lelaki itu menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka. Pelajar terbabit bernasib baik kerana berjaya keluar dari bilik sebelum membuat aduan kepada pensyarah dan kakitangan universiti berkenaan. 

Mangsa yang trauma dengan insiden itu kemudian tampil membuat laporan di IPK Kuala Lumpur, selepas dinasihatkan rakan, pensyarah lain dan keluarganya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan. Katanya, siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK). - myMetro

Ajal ziarah pusara ibu

PILU...ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan.
PILU...ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan.


PRAI: Ketika kubur isterinya masih merah, seorang lelaki terpaksa menanggung kesedihan berganda apabila anak keduanya pula maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan merempuh pokok berhampiran Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang (JPP) di sini, semalam.

Kejadian berlaku jam 8 pagi ketika mangsa, Batrisyia, 7, bersama tiga adik-beradiknya menaiki Toyota Avanza dipandu bapa mereka, Osman Kerya, 42, dalam perjalanan dari Batu Uban, di sini, ke Grik, Perak, untuk menziarahi kubur isterinya, Norzita Mustafa, 37, yang meninggal dunia 12 hari lalu akibat kanser tulang.

USUNG...polis mengangkat mayat mangsa di tempat kejadian, semalam.
Usung...polis mengangkat mayat mangsa di tempat kejadian, semalam.
Ketika tiba di tempat kejadian, kereta Osman dipercayai bergesel lori sebaik melepasi Plaza Tol JPP sebelum terbabas dan merempuh pokok di kiri jalan. Berikutan itu, mangsa tercampak keluar sebelum meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera teruk di kepala dan anggota badan.

Selain Osman yang cedera di kedua-dua tangan, tiga lagi anaknya, Balqis, 10, Baizatul Akmah, 6, dan Baizatul Husnah, 4, cedera dan menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini. 


Nenek mangsa, Fatimah Wan Chik, 70, yang juga ibu Osman berkata, pada awalnya anaknya merancang ke Grik hari ini, tetapi mengubah rancangan dengan bertolak pagi semalam. - myMetro


Kerani Wanita Didapati Hilang Selepas Menuju Ke Bank


SUNGAI PETANI: Seorang kerani wanita sebuah syarikat di Sungai Lalang hilang sejak 17 hari lalu selepas dia menuju ke sebuah bank untuk mengeluarkan wang atas arahan majikannya, menyebabkan keluarganya kini dalam kebimbangan.
Nor Fazilah Rohani, 24, anak ketiga daripada empat beradik, dipercayai hilang pada 11 Oktober lalu selepas diberi kepercayaan oleh majikannya untuk mengeluarkan wang berjumlah RM3,000 bagi membayar bil elektrik.
Bapanya, Rohani Abdullah, 56, berkata beliau mengetahui kehilangan itu pada petang hari kejadian setelah dimaklumkan majikan Nor Fazilah kerana anaknya tidak pulang semula ke pejabat.
"Fazilah baru tiga bulan bekerja di syarikat itu, dan pada hari kejadian, dia diberi kepercayaan menggunakan kenderaan syarikat bagi mengeluarkan wang berkenaan untuk melunaskan bil elektrik, sementara baki wang perlu dibawa pulang.
"Bagaimanapun, sehingga lewat petang, Fazilah masih tidak pulang ke pejabat menyebabkan majikannya terus datang ke rumah kami untuk memberitahu tentang kejadian tersebut," katanya kepada pemberita di rumahnya di sini pada Jumaat.
Anggota keluarga serta rakan mereka turut mencarinya di merata tempat, namun hanya menjumpai kereta syarikat yang digunakan Nor Fazilah di sebuah pasar raya berdekatan bank pada 3 pagi keesokannya.
Rohani berkata, laporan polis mengenai kehilangan Nor Fazilah dibuat selain melakukan gerakan mencari dengan inisiatif sendiri.
"Kami turut mengedarkan gambar Fazilah di merata-rata tempat di seluruh Sungai Petani dan Bedong, sehingga pencariannya juga sudah sampai ke Pulau Pinang serta Bukit Kayu Hitam," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) anaknya itu dikatakan keluar dari bank berkenaan pada 3.35 petang selepas mengeluarkan wang dan membayar bil elektik pada 4.06 petang.
"Pada hari kejadian, Fazilah juga dikatakan telah menghubungi seorang abangnya pada 3.55 petang bagi memaklumkan tentang masalah kenderaan peribadi yang sedang dibaiki di Ipoh akibat terlibat dalam kemalangan September lalu," katanya.
Sementara itu, ibu mangsa, Rahmah Nayan, 50, berkata hubungannya dengan Nor Fazilah sangat rapat memandangkan dia merupakan anak tunggal perempuan dalam keluarga.
Beliau berkata, sebelum kejadian, Nor Fazilah tidak pernah menunjukkan kelakuan pelik malah sentiasa ceria seperti biasa, dan hubungan dengan adik-beradik lain juga berjalan lancar.
"Andaian pihak tertentu yang kata kehilangan tersebut dirancang Fazilah sendiri adalah sesuatu yang tidak berasas, sebab dia tidak membawa wang simpanannya selain barang berharga miliknya juga tidak diusik," katanya.
Dia merayu kepada sesiapa yang mempunyai maklumat tentang anaknya itu, atau mengambilnya, supaya menghantar Nor Fazilah pulang dengan segera ke Kampung Kongsi Enam, Sungai Lalang, 08100, Bedong atau menghubungi talian 012-5541142 atau polis. - mStarOnline

MTUC Sah Lancar Piket Seluruh Negara 3 Nov Ini


PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sah akan menganjurkan piket di 16 lokasi seluruh negara pada 3 November ini bagi membantah pindaan terhadap Akta Kerja 1955.
Setiausaha Agung MTUC, Abdul Halim Mansor berkata, piket itu akan diadakan di enam lokasi di Selangor serta setiap satu di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pahang, Kelantan, Johor, Kedah dan Sabah.
"MTUC sendiri ada 800,000 ahli dan ada 5.7 juta pekerja seluruh Malaysia, kita harap pekerja seluruh Malaysia sertai kita dan dapat 'good crowd' hari itu," katanya pada sidang media di Wisma MTUC di sini.
Sidang media itu turut dihadiri Presiden MTUC Mohd Khalid Atan.
Pada 6 Oktober lepas, Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2011 diluluskan Dewan Rakyat selepas melalui sesi perbahasan lebih lima jam.
Rang undang-undang itu dibacakan untuk kali kedua oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam.
Pindaan akta itu akan membolehkan pemantauan dan pengawalan agensi pembekal tenaga buruh yang lebih sistematik, terutama di kawasan terpencil.
Abdul Halim berkata, piket itu akan berlangsung antara pukul 5 petang dan 6.30 petang dan sebanyak 100,000 risalah akan diedarkan serta 41 buah kain rentang akan dibawa sepanjang piket itu berlangsung di seluruh negara.
Katanya, MTUC akan menyerahkan surat kepada Ketua Polis Negara bagi memaklumkan tujuan dan lokasi piket itu diadakan sambil menegaskan piket itu akan berlangsung secara aman.
"Kita sudah serah surat kepada Perdana Menteri minggu lepas supaya akta itu dapat ditarik balik dan dibincangkan semula dengan pekerja," katanya.
Beliau berkata isu terbesar mengenai pindaan akta itu ialah wujudnya kontraktor tenaga kerja di mana ini membolehkan majikan 'mengupah' kontraktor itu memberikan tenaga kerja kepada majikan itu.
Katanya, sistem itu membuatkan pekerja itu bekerja untuk kontraktor bukan majikan dan ini akan menyebabkan majikan tidak mempunyai tanggungjawab secara terus menjaga kebajikan pekerja terutamanya melibatkan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Bila seorang pekerja ditimpa kemalangan ketika bekerja bagaimana dengan pampasannya, ini amat merumitkan kerana pekerja tidak bekerja dengan majikan tetapi buat kerja untuk majikan itu," katanya.
Abdul Halim berkata selain itu, pindaan terhadap pekerja separuh masa, cara menetapkan masa kerja pekerja wanita, masa pembayaran berbeza antara gaji dan elaun serta prosedur pengurusan kes gangguan seksual turut "merisaukan" MTUC.
"Jika dilihat pindaan ini boleh memudahkan pekerja ditindas dan dianiaya terutamanya oleh kontraktor tenaga kerja, kita mahu menyelesaikan isu ini secara domestik terlebih dahulu, kita tidak mahu bawa ini ke peringkat antarabangsa buat masa ini," katanya. - mStarOnline

Friday, October 28, 2011

Anang-Ashanty Rakam Gambar Pra-Perkahwinan Di Eropah?


PENYANYI Anang Hermansyah dan Ashanty yang sedang merancang perkahwinan mereka dikhabarkan akan merakamkan gambar dan penggambaran klip video pra-perkahwinan mereka di Eropah dalam masa terdekat ini.
Bagaimanapun pasangan ini enggan mengiyakan mahupun menidakkan perkara tersebut.
"Gambar pra-perkahwinan di sana (Eropah)? Cuaca di sanakan minus 9 darjah celcius, jadi sukar untuk senyum gambar pra-perkahwinan.
"Sebenarnya kami belum terfikir foto-foto seperti itu dan tidak mahu terlalu memikirkan tentang kostum," ujar Ashanty kepada detikhot, Khamis.
Yang pasti, dalam perancangan mereka memang ingin membawa jurukamera peribadi.
"Kami belum tahu juga sama ada ingin merakamkan gambar pra-perkahwinan atau tidak. Tapi tujuan ke sana memang mahu bikin klip video," ujarnya lagi. - mStarOnline

Album Baru Dicetak Rompak, Jamal Abdillah Ambil Tindakan


Pengarah Urusan Atmosphere 360, Datuk Mohd Sabri Mohd Nadzir (kiri) dan pengurus Jamal Abdillah, Ali Razak Mastor (kanan) semasa sidang media A Night with Jamal Abdillah on 11.11.11 di Menara Kuala Lumpur di sini, Selasa. - Foto THE STAR Oleh AHMAD IZZRAFIQ ALIAS.
KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal, Jamal Abdillah kecewa apabila album terbarunya, Raja Pop II telah dicetak rompak walaupun ia belum dilancarkan secara rasmi.
Pengurus penyanyi itu, Ali Razak Mastor berkata, Jamal sendiri telah pergi ke beberapa lokasi pasar malam di sekitar Petaling Jaya dan menemui album terbarunya dijual dengan harga RM10.
"Jamal sangat kecewa apabila album terbarunya itu telah dicetak rompak kerana ia masih belum dilancarkan," ujarnya selepas majlis pelancaran A Night With Jamal Abdillah on 11.11.11 di Menara Kuala Lumpur, Selasa.
Menurut Ali, Jamal telah pun membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung perkara itu.
"Jamal berharap akan ada tindakan susulan dibuat berhubung perkara itu," katanya.
Jamal Abdillah.
Sementara itu, mengulas mengenai persembahan istimewa Jamal di Atmosphere 360 pada 11 November depan, Pengarah Urusan restoran tersebut, Datuk Mohd Sabri Mohd Nadzir berkata, pihaknya berbesar hati dapat mengundang penyanyi popular itu dan yakin ia akan mendapat sambutan daripada peminat.
Ujarnya, penglibatan Jamal dalam bidang seni suara hampir 30 tahun dan mempunyai peminat tersendiri menjadikan penyanyi itu menjadi pilihan utama.
Mohd Sabri berkata, Jamal akan menyanyikan enam buah lagu untuk para peminatnya dan persembahan itu nanti akan menjurus kepada ramah-mesra bersama tetamu yang hadir.
"Persembahan Jamal nanti akan lebih tertumpu kepada ramah mesra dengan tetamu dan tidak hanya menyanyi di pentas.
"Atmosphere 360 akan menyediakan dua meja VIP yang boleh memuatkan 10 orang yang akan dijual pada harga RM15,000.
"Manakala untuk meja biasa bayaran sebanyak RM1,000 akan dikenakan untuk setiap individu," katanya.
Menariknya kata Mohd Sabri, pada malam itu nanti tetamu bukan sahaja akan dihiburkan oleh Jamal malah akan dihidangkan dengan makanan istimewa selain beberapa kejutan lain.
"Harga yang dikenakan adalah berpatutan dengan apa yang bakal tetamu nikmati pada malam itu nanti," ujarnya.
Sebarang pertanyaan lanjut dan tempahan tiket A Night With Jamal Abdillah on 11.11.11, boleh menghubungi 03-2020 2121. - mStarOnline

3 wanita Nepal maut, 5 parah

JALAN sesak setelah berlaku kemalangan melibatkan dua buah van, sebuah kereta MyVi dan sebuah treler mengakibatkan tiga mati di Kilometer 4.4 Lebuh Raya Baru Lembah Klang menghala ke Klang, semalam.


SHAH ALAM 27 Okt. - Hasrat tiga wanita warga Nepal untuk mencari rezeki di negara ini tidak kesampaian apabila mereka maut dalam satu kemalangan, tidak sampai dua jam selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang hari ini.

Kejadian di Kilometer 4.4 Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala ke Klang itu berlaku pukul 3 petang ketika mereka bersama 16 pekerja warga Nepal dalam perjalanan ke sebuah kilang di Meru, Klang untuk melapor diri dengan menaiki dua buah van.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Deputi Supritendan Ruslan Abdullah berkata, selain dua buah van tersebut, kemalangan itu turut melibatkan sebuah kereta Perodua MyVi dan lori treler.

Nahas itu mengakibatkan lima yang lain termasuk seorang pemandu warga tempatan cedera parah.

"Ketiga-tiga wanita yang mati di tempat kejadian ialah Dil Kumari Shrestha, Kamaladevi Gurigai dan Dil Maya Gurung berusia antara 25 hingga 30 tahun.

"Kesemua mangsa yang maut dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. Lima mangsa yang parah turut dibawa ke hospital yang sama untuk menerima rawatan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Ruslan berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 3.10 petang dan tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.

"Punca kemalangan masih disiasat dan pihak polis perlu mengambil masa menyiasat kemalangan tersebut dengan lebih terperinci," jelasnya. - UMalaysia

Wednesday, October 26, 2011

Bayi hidup dikeluarkan dari celah runtuhan


SEORANG anggota penyelamat memangku bayi berusia dua minggu yang dikeluarkan dari celah runtuhan sebuah apartmen di Ercis, Turki semalam.
ERCIS, Turki - Bayi perempuan berusia dua minggu dikeluarkan dari celah-celah runtuhan sebuah bangunan apartmen 72 jam setelah gempa bumi berukuran 7.2 pada skala Richter melanda timur Turki.
Imej-imej di televisyen semalam menunjukkan beberapa anggota penyelamat yang memakai pakaian berwarna oren bertepuk tangan semasa bayi berkenaan dikeluarkan dari celah-celah runtuhan.
Seorang anggota penyelamat mengendong bayi dalam keadaan bogel itu yang bernama Azra Karaduman.
Bayi itu kemudian dibalut dengan selimut dan diserahkan kepada anggota-anggota paramedik.
Ibu bayi itu mendakap bayi tersebut di dada semasa para anggota penyelamat menemui mereka.
Mereka turut melakukan usaha untuk mengeluarkan ibu bayi itu termasuk neneknya yang masih hidup.
"Saya amat teruja. Apa lagi yang perlu saya perkatakan. Biarkan Tuhan membantu mereka," kata seorang lagi nenek bayi itu, Sevim Yigit kepada Reuters.
Menurutnya, bayi itu dilahirkan dua minggu lalu.
WAJAH bayi berusia dua minggu yang dikeluarkan dari celah 
runtuhan apartmen di Ercis, Turki semalam.
Gempa bumi itu yang berlaku pada Ahad lalu telah meruntuhkan lebih 2,000 bangunan dan menyebabkan 366 orang terbunuh.- Agensi

Kamera rakam gambar bogel penyanyi Lebanon

HAIFA WAHBI


BEIRUT - Penyanyi Lebanon, Haifa Wahbi merancang untuk menyaman sebuah kedai pakaian tempatan kerana meletakkan beberapa kamera tersembunyi di bilik persalinan dan merakam gambarnya dalam keadaan tidak berpakaian seterusnya menyebarkan gambar-gambar itu di Internet, lapor akhbar Al-Bawaba semalam.
Walaupun penyanyi yang popular dengan lagu Agoul Ahwak itu cuma membeli-belah di beberapa gedung pakaian terpilih, dia telah terpedaya satu komplot jahat yang dilakukan di kedai pakaian yang kerap dikunjunginya itu.
Haifa yang berang melihat gambar-gambar bogelnya tersebar di Internet segera menelefon pemilik kedai pakaian tersebut untuk memarahinya selain memberi amaran bahawa dia akan mengambil tindakan mahkamah berhubung isu tersebut.
Ekoran insiden tersebut, Haifa yang mendapat tempat kedua dalam pertandingan Ratu Cantik Lebanon, mengarahkan seorang peguamnya mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak pengurusan kedai pakaian berkenaan sebagai pengajaran.
Sementara itu, penyanyi itu sedang melakukan persiapan untuk album terbaharunya yang turut menampilkan lagu duet bersama bintang rap Amerika Syarikat, Snoop Dog.
Haifa juga akan membintangi sebuah drama televisyen yang dijadual disiarkan dalam bulan Ramadan tahun depan. - Agensi

Remy Ishak Mengaku Bercinta Dengan Tiz Zaqyah


Remy Ishak
KUALA LUMPUR: Pelakon drama rantaian popular Nur Kasih, Remy Ishak, 29, mengaku bercinta dengan gandingannya, Tiz Zaqyah, 22.
Remy berkata, dia bukan ingin menyembunyikan hubungan tersebut kepada umum seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak sebaliknya tidak mahu menggembar-gemburkan kepada umum tentang hubungan yang belum tentu menjadi jodohnya.
"Sekarang, saya sedang berpacaran dengan Tiz. Saya tak mahu kecoh kerana kami masih lagi di tahap berkenalan dengan lebih rapat.
"Lagipun, kami tidak mahu orang luar mengharapkan sesuatu dan di penghujungnya jodoh kami tidak panjang.
"Lainlah kalau dah nak kahwin, semestinya saya akan beritahu kepada semua. Bagaimanapun, bagi yang tahu tentang hubungan kami, tahulah, saya tak kisah," katanya yang ditemui di lokasi penggambaran filem muzikal 29 Februari, di Stadium Merdeka.
Kisah hubungan cinta Remy dan Tiz mula menjadi bualan hangat sejak mereka dilihat berpegangan tangan ketika menyaksikan acara MotoGP di Sepang pada tahun lalu dan sering dilihat bersama.
Terbaru, Tiz berjumpa Remy di sebuah lokasi penggambaran dan mereka saling suap-menyuap ketika makan bersama.
Sementara itu, bercerita mengenai filem yang diterbitkan oleh KRU Studios itu, Remy memegang watak sebagai Budi yang lahir pada tarikh 29 Februari dimana dia akan lebih matang setiap empat tahun.
Kata Remy filem ini agak mencabar buatnya kerana dia perlu melakonkan watak yang hidup sejak tahun 1890-an hingga 2012 dimana dia perlu melalui perubahan zaman yang agak ketara.
"Bukan mudah untuk membawakan watak ini dan ia sangat mencabar kerana perjalanan hidup Budi memerlukan perubahan imej sebanyak lima kali. Macam-macam gaya rambut yang digayakan.
"Selain itu saya juga perlu menyanyi. Ini tidak sama seperti nyanyian saya dalam teater Natrah sebaliknya saya perlu menyanyi mengikut emosi watak bagi setiap babak," ujarnya.
Selain Remy, filem 29 Februari arahan Edry Abdul Halim turut dibintangi Jojo Goh, Izzue Islam, Dian P.Ramlee, Ramli Hassan, Johan Abdullah, Naim Daniel, Riz Amin serta Achong bakal ditayangkan pada pertengahan tahun depan. - mStarOnline

Tuesday, October 25, 2011

Elton John Bakal Gegarkan Arena of Stars


Elton John.
PETALING JAYA: Penyanyi lagenda, Elton John bakal mengadakan konsert solonya di Malaysia pada 22 November depan.
Pemenang lima trofi Anugerah Grammy itu bakal beraksi di Arena of Stars Genting Highlands dalam jelajah 'Greatest Hits Tour'.
Pada konsert itu nanti, Elton bakal beraksi bersama-sama kumpulan kugiran yang telah lama bersamanya selain diiringi empat penyanyi latar termasuk Rose Stone (Sly And The Family Stone) selain Lisa Stone, Tata Vega dan Jean Witherspoon.
Dibawakan oleh Tune Live, konsert tersebut dijangka menyaksikan Elton mempersembahkan semua lagu-lagu terbaiknya khusus buat peminat di Malaysia.
Antara lagu popular Elton John adalah Saturday Night's Allright (for Fighting), Rocket Man, Levon, Candle In The Wind dan Your Song.
Sepanjang 40 tahun penglibatannya dalam arena muzik, lebih 250 juta unit albumnya terjual di seluruh dunia selain yayasan AIDS, Elton berjaya mengumpul lebih USD220 juta sejak tahun 1992 dan membiayai program di lebih 55 buah negara di seluruh dunia.
Lagu ikoniknya, Candle In The Wind yang dipersembahkan sewaktu memorial memperingati mendiang Puteri Diana berjaya meraih lebih USD40 juta untuk tujuan amal.
Tiket berharga RM380, RM480, RM780, RM880, RM1180 dan RM1380 boleh dibeli secara online di www.airasiaredtix.com. - mStarOnline

Sorok dadah dalam buai


KENINGAU: Kelicikan seorang lelaki menyembunyikan pelbagai jenis dadah termasuk syabu, ketamin dan pil khayal di dalam buaian bayinya terbongkar apabila polis menemui bahan terlarang itu dalam serbuan di sebuah rumah kongsi di Kampung Nambayan, Tambunan di sini, kelmarin.

Sebelum serbuan, sepasukan anggota Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau melakukan intipan di rumah kongsi dua tingkat itu yang dipercayai menjadi markas pengedaran dadah. 

Sebaik mendapat lampu hijau, polis yang menyerbu tingkat bawah rumah terbabit mendapati ruang itu kosong, sebelum memasuki beberapa bilik di tingkat atas dan menemui seorang lelaki berusia 30 tahun di dalam sebuah bilik, kira-kira jam 10.30 malam.

Pemeriksaan polis di bilik itu kemudian menemui satu bungkusan mencurigakan yang disembunyikan di dalam buaian bayi. Difahamkan, ketika serbuan, isteri dan anak lelaki terbabit tiada di rumah.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Zahari Mohamed berkata, sebaik bungkusan itu dibuka, polis menemui enam peket plastik lutsinar dipercayai syabu seberat 5.2 gram, satu penyedut minuman mengandungi ketamin seberat 2.05 gram, 10 pil Eramin 5 dan dua biji pil Ecstacy.

Menurutnya, polis kemudian memeriksa bilik bersebelahan yang dihuni seorang lagi lelaki sebelum menemui satu bungkusan plastik lutsinar dipercayai syabu seberat 0.1 gram yang disembunyikan di bilik itu.

“Siasatan polis mendapati suspek pertama bekerja sendiri, rakannya berusia 33 tahun buruh binaan dan mereka ditahan reman untuk siasatan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Mengulas lanjut, Zahari berkata, sepanjang Oktober saja, sebanyak 29 kes membabitkan dadah dibongkar termasuk satu kes mengikut Seksyen 39A (1), Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, manakala masing-masing enam dan 22 kes mengikut Seksyen 12(2), ADB 1952 dan Seksyen 15 (1) (a), ADB 1952.

Beliau berkata, kewujudan kes itu menunjukkan gejala penyalahgunaan dadah di kalangan masyarakat semakin serius terutama membabitkan golongan berusia 20 hingga 45 tahun.

“Polis mengesyaki bekalan dadah itu dibawa ke daerah ini oleh pengedar tempatan sebelum diedarkan kepada pelanggan di pusat hiburan di sekitar bandar ini,” katanya. - myMetro

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu