adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Tuesday, November 29, 2011

Penyanyi rap kena keroyok


KUALA LUMPUR: Seorang penyanyi rap cedera di kepala dan badan selepas diserang 10 lelaki dipercayai samseng jalanan di Jalan Selangor, di sini, kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa yang berusia 35 tahun dalam perjalanan ke sebuah kedai bagi membeli barangan keperluan harian.

Menurut sumber, ketika tiba di jalan berkenaan, mangsa didatangi sekumpulan lelaki seramai 10 orang menaiki dua kereta dan tiga motosikal.

Sumber berkata, mangsa menyedari dikepung kumpulan samseng terbabit sebaik pintu keretanya ditendang dari luar.

Katanya, mangsa yang sibuk menyiapkan persiapan majlis resepsi perkahwinannya yang bakal berlangsung dua hari lagi keluar dari kereta dan bertanyakan punca tindakan mereka menendang pintu keretanya.

“Akibatnya, seorang daripada mereka merampas kunci kereta mangsa sebelum menyerang dan memukul mangsa bertubi-tubi menggunakan batu, kayu dan batang besi.

“Mangsa yang tidak tahu punca diserang cuba mempertahankan dirinya, tetapi gagal kerana bersendirian ketika kejadian,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan terbabit turut memecahkan cermin depan dan merosakkan pintu serta bumbung kereta Proton Iswara mangsa.

“Serangan itu menyebabkan mangsa cedera di kepala, muka dan badan, malah mangsa memberitahu kumpulan lelaki itu berhenti menyerang selepas dia merayu beberapa kali,” katanya. Susulan itu, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian berkenaan.

Katanya, mangsa yang juga seorang artis tempatan itu diserang individu tidak dikenali dan tindakan pantas anggota polis berdasarkan maklumat yang diterima, semua lelaki berusia 30-an ditahan di sekitar ibu kota. - myMetro


Culik tak sengaja


LEGA...ibu bapa kanak-kanak lima tahun lega selepas anak mereka ditemui semula.
LEGA...ibu bapa kanak-kanak lima tahun lega selepas anak mereka ditemui semula.

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun terpaksa menempuh detik hitam hampir lima jam apabila ‘diculik’ secara tidak sengaja oleh seorang lelaki yang melarikan kenderaan mewah jenis BMW milik bapanya, semalam.

Dalam kejadian di Jalan KIP 1, Desajaya, di sini kira-kira jam 9.30 pagi itu, kanak-kanak malang terbabit ditinggalkan bapanya berusia 37 tahun dalam kenderaan di bahu jalan seketika kerana mahu membeli makanan di sebuah restoran di kawasan berhampiran.

Difahamkan, seorang lelaki tidak dikenali tiba-tiba meluru masuk ke dalam kenderaan yang tidak dimatikan enjinnya itu ketika bapa mangsa baru meninggalkan kenderaan itu.

Menyedari kenderaan dan anak lelakinya dilarikan, bapa mangsa bergegas membuat laporan di Balai Polis Kepong, sebelum kes dirujuk ke Balai Polis Desajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Menurut sumber, suspek yang melarikan kenderaan mewah itu dikatakan hanya menyedari ada seorang kanak-kanak lelaki di tempat duduk belakang selepas mangsa menangis ketakutan lima minit kemudian.

“Suspek bagaimanapun masih meneruskan niatnya melarikan kenderaan berkenaan tanpa menghiraukan tangisan kanak-kanak itu,” katanya.

Sumber berkata, sebaik laporan mengenai insiden itu diterima pihak berkuasa, usaha mengesan kanak-kanak terbabit giat dijalankan.

“Selain menghebahkan kejadian itu kepada semua unit peronda, beberapa sekatan jalan raya dilakukan bagi mengesan suspek di sekitar ibu negara,” katanya.

Usaha hampir lima jam itu membuahkan hasil apabila pihak berkuasa menerima maklumat mengatakan mangsa sedang di disembunyikan di sebuah hotel di Sri Damansara.
TAHAN...anggota polis (kiri) membawa dua daripada empat suspek yang   ditahan, semalam.
TAHAN...anggota polis (kiri) membawa dua daripada empat suspek yang ditahan, semalam.
Sumber berkata, sepasukan polis dari Balai Polis Sri Damansara yang dimaklumkan bergegas ke lokasi kejadian sebelum menahan empat individu termasuk seorang wanita masing-masing berusia antara 20 hingga 34 tahun, kira-kira jam 2 petang. 

“Ketika ditahan, pihak berkuasa turut merampas sebuah kereta jenis Nissan Latio dipercayai milik kumpulan terbabit,” katanya.

Katanya, sebaik ditahan, seorang daripada suspek mengaku hanya berniat melarikan kenderaan mewah milik bapa mangsa tanpa menyedari terdapat kanak-kanak dalam kereta berkenaan.

“Semua yang ditahan kemudian dibawa ke balai polis berhampiran kawasan itu untuk soal siasat,” katanya yang turut memberitahu, pihak berkuasa sudah mengenal pasti lokasi kereta BMW milik mangsa disembunyikan.

Difahamkan, selepas merakamkan percakapan bapa mangsa, kanak-kanak malang itu kemudian diserahkan kembali kepada keluarganya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Gombak, Superintendan Rosly Hassan ketika dihubungi, mengesahkan penahanan keempat-empat suspek.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 363 dan 379A kerana menculik daripada penjaga yang sah. - myMetro

Monday, November 28, 2011

‘Mayat jatuh sebelah saya’


KUALA LUMPUR: Sekumpulan anak anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, bermain bola sepak di tempat letak kereta berhampiran surau IPD berkenaan tergamam apabila sekujur tubuh jatuh secara tiba-tiba dari pusat beli belah Campbell yang terletak bersebelahan tempat mereka bermain.

Dalam kejadian jam 7 malam tadi, kanak-kanak terbabit bermain bola dalam hujan renyai dan ketika seronok bermain mereka dikejutkan dengan jeritan kuat sebelum seorang lelaki jatuh tertiarap di tempat mereka bermain.

Seorang daripada kanak-kanak terbabit, Syed Mohd Shazwan Syed Mohd Nazri, 14, berkata, lelaki berusia lingkungan 40-an itu jatuh betul-betul di sebelahnya.

“Kami dengar jeritan daripada tingkat atas kawasan tempat letak kereta Campbell dan sejurus selepas itu satu dentuman kuat kedengaran di sebelah saya dan saya dapati satu tubuh manusia yang agak besar tertiarap di tempat kami bermain.

“Mulanya saya ingin menolong atau melihat keadaan lelaki berkenaan, tetapi rakan lain sudah melarikan diri ketakutan dan saya turut lari untuk memaklumkan kejadian itu kepada anggota di pos pengawal,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, dia tidak nampak kesan darah di kawasan lelaki berkenaan jatuh, namun tubuh mangsa langsung tidak bergerak sebaik tertiarap di atas tar kawasan letak kereta surau yang juga berhampiran tempat mengambil wuduk.

Sementara itu, jurucakap polis yang ditemui di lokasi kejadian berkata, lelaki itu dipercayai jatuh dari kawasan tempat letak kereta Campbell, namun belum dikenal pasti dari tingkat berapa. - myMetro

Remaja ‘samseng’ dera seksual

MARANG: Hasrat seorang remaja perempuan berusia 14 tahun berhijrah dan merubah diri menjadi insan lebih baik dengan memasuki sekolah pemulihan akhlak di sini bertukar tragedi, selepas dia menjadi mangsa penderaan seksual dan buli lima pelajar senior di sekolah berkenaan, petang Khamis lalu. 

Kejadian malang itu menimpa mangsa yang hanya dikenali sebagai, Mira, 14, dari Klang, Selangor, dan mendakwa diperlakukan sedemikian oleh lima rakan sebiliknya.

Dalam pertemuan dengan Berita Harian semalam, Mira mendakwa dia didera secara seksual kira-kira setengah jam di dalam asrama sekolah itu, selepas berlaku pertengkaran dengan pelajar senior berusia 14 hingga 17 tahun di dalam bilik mandi kira-kira jam 3 petang.

Katanya, dia yang masuk ke sekolah pemulihan akhlak wanita atas inisiatif sendiri pada September lalu, dipanggil oleh kumpulan pelajar berkenaan ke bilik mandi untuk membantunya mencuci rambut, tetapi ketika itu dia membantah tindakan mereka yang meraba-raba belakangnya. 

Namun, dia sekali lagi diganggu pelajar berusia 17 tahun ketika bersiap di bilik untuk menyertai satu program sekolah, tetapi cubaannya melawan ketika itu dibalas dengan tindakan agresif apabila ditolak ke dinding dan kemudian direbahkan di katil. 

“Saya menempuh azab kira-kira setengah jam apabila mereka memperlakukan saya seperti binatang,” katanya yang mendakwa perlakuan tidak bermoral itu terhenti selepas seorang pelajar mengetuk pintu bilik memintanya segera ke program berkenaan. 

Dalam keadaan kesakitan, lemah serta menangis, Mira berkata, dia pergi ke tingkat bawah sebelum terserempak dengan seorang pelajar senior berusia 19 tahun yang juga rakan baiknya, sebelum menceritakan kejadian itu selepas didesak. 

“Selepas memberitahu warden mengenai kejadian itu, saya disuruh berehat sementara menunggu warden menyoal siasat lima pelajar terbabit. Mereka akhirnya mengaku selepas didesak. Saya dihantar pihak sekolah mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu kira-kira jam 10 malam,” katanya. 

Sementara itu, ibu mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nur, 34, berkata dia terkilan kerana pihak sekolah cuba menyembunyikan kejadian yang menimpa anaknya Mira, sebaliknya hanya mengetahui kejadian sebenar daripada Mira. 

“Saya terima panggilan polis kira-kira jam 2.15 pagi semalam (Jumaat) memaklumkan Mira dimasukkan ke HSNZ, selepas menjadi mangsa buli,” katanya yang datang dari Klang. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan siasatan sedang dijalankan, justeru, tidak dapat mengulas lanjut.  - BHarian

Sunday, November 27, 2011

Ancaman perogol bersiri berakhir


SUSPEK (gambar kiri) ditangkap ketika cuba merogol mangsa ke-20 dalam asrama pekerja yang terletak di dalam bangunan ini di Kota Bharu kelmarin.

KOTA BHARU – Pemburuan polis Kelantan terhadap seorang lelaki yang dilabelkan sebagai penjenayah seks paling dikehendaki berakhir apabila dia ditangkap oleh orang awam ketika cuba merogol mangsa dalam sebuah asrama di sini kelmarin.
Gadis berusia dalam lingkungan 20-an itu yang bekerja sebagai jurujual sepatutnya menjadi mangsa ke-20 lelaki tersebut.
Namun kegiatan licik suspek yang juga penganggur berusia 29 tahun itu memerangkap diri sendiri apabila suaranya dalam rumah perempuan itu menarik perhatian jiran mangsa yang menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada seorang wanita yang bertugas sebagai penjaga asrama tersebut pada pukul 11.10 pagi kelmarin.
Penjaga asrama itu bersama dua lelaki yang juga pekerja di sebuah kedai datang menyiasat atas kepercayaan ada penghuni membawa masuk teman lelaki tetapi kemudian terkejut mendapati suspek cuba merogol mangsa yang diikat dengan wayar seterika.
“Dua pekerja itu kemudian menangkap lelaki tersebut sebelum diserahkan kepada polis.
“Saya nampak ada kesan luka pada pipi mangsa dan tangannya diikat dengan wayar seterika,” kata wanita berusia 30 tahun itu yang enggan identitinya didedahkan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek tetapi enggan mengulas lanjut. - KOSMO

Masak kurma mayat suami


ISLAMABAD: Polis Pakistan menangkap seorang wanita kerana disyaki membunuh suaminya sebelum mencincang dan kemudian memasaknya dalam usaha untuk menghapuskan bukti.

Zainab Bibi, 42, dilapor memberitahu pihak berkuasa bahawa dia membunuh suaminya, Ahmad Abbas selepas lelaki itu cuba memperkosa anaknya berusia 17 tahun dari perkahwinan pertamanya.

Zainab memberitahu polis, dia mencampurkan pil tidur dalam minuman Ahmad dan kemudian menjerut lelaki itu hingga mati dengan tali sebelum mencincang mayat mangsa.

Polis berkata, mereka mula menyiasat kes itu selepas jiran mengadu bau busuk yang datang dari rumah keluarga itu.

Anak saudara Zainab berusia 22 tahun, Zaheer Ahmed, juga ditangkap kerana didakwa terbabit mencincang mayat Ahmad. 

Ketika diwawancara oleh wartawan televisyen ARY di bilik kurungannya, Zainab berkata: “Saya bunuh suami saya sebelum dia menyentuh anak saya.” 

Kejadian mula terbongkar apabila tuan rumah Zainab, Behzad yang tinggal di tingkat bawah rumah dua tingkat itu, kecewa dengan bau busuk masakan dari tingkat atas. Dia naik untuk menegur wanita itu.

Polis mendakwa Behzad mendapati Zainab di dapur, memasak korma dari daging lengan dan kaki suaminya kerana percaya ia satu-satunya cara untuk menghapuskan mayat suaminya.

Akhbar tempatan, The Express Tribune melaporkan, Zainab tinggal di rumah itu bersama-sama anaknya, Sonia dan Ahmad yang dikahwininya lima tahun lalu dan pernah menjadi guru Sonia ketika dia mengajar di sekolah gadis itu.

Zainab dipetik sebagai berkata: “Sebaik dia mati, saya merasa ketakutan buat kali pertama. Saya tidak mempunyai keberanian untuk menghampiri mayatnya selama sejam. 

“Terlintas di fikiran saya untuk memasak mayatnya sebagai cara untuk menghindar bau busuk.” 

Bagaimanapun, menurut wanita itu, dia tidak berniat untuk memakan masakan itu, sebaliknya mahu membuangnya. “Saya akan memberitahu jiran, korma itu tak sedap,” katanya. - Agensi

Sepasang kekasih maut


RAGUT NYAWA... Keadaan kereta kancil yang remuk setelah bertembung dengan dengan sebuah lori di Jalan Ipoh-Lumut dekat Lahat yang mengorbankan dua nyawa, di sini semalam.
RAGUT NYAWA... Keadaan kereta kancil yang remuk setelah bertembung dengan dengan sebuah lori di Jalan Ipoh-Lumut dekat Lahat yang mengorbankan dua nyawa, di sini semalam.
IPOH: “Kedua-duanya sudah lama mengenali antara satu sama lain dan keluarga juga merestui hubungan mereka. Kami sedih hubungan mereka berakhir sebegini,” kata ahli keluarga Ain Nadia Baharuddin, 21, yang meninggal dunia dalam kemalangan ngeri di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi, Ain Nadia dan rakan sekuliahnya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Muhammad Hilmi Md Yusoff, 21, terbunuh selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan di Kilometer 7, Jalan Ipoh-Lumut, di sini.

Ahli keluarga Ain yang enggan dikenali berkata, arwah berasal dari Kampung Dato Ahmad Said Tambahan, Manjoi di sini, adalah anak bongsu daripada lima beradik manakala Muhammad Hilmi berasal dari Hulu Kinta.

Dia berkata, kedua-duanya sudah berkenalan lama sebelum sama-sama mendapat peluang melanjutkan pengajian dalam bidang sama.

“Kami sekeluarga masih terkejut dengan kejadian ini. Kami terkilan kerana hasrat arwah untuk menukar kursus diploma diikutinya kepada ijazah sarjana muda tidak kesampaian,” katanya sedih.

Muhammad Hilmi adalah penuntut program Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan di UiTM Seri Iskandar manakala Ain Nadia penuntut program diploma kursus sama. Difahamkan, Ain Nadia ketika ini mengikuti program penerapan untuk menukar program diplomanya kepada sarjana muda.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ipoh, Deputi Superintendan Wan Shahruddin Wan Omar berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Kancil dipandu Muhammad Hilmi dalam perjalanan dari Jelapang menghala ke Lumut, gagal memotong sebuah kenderaan di depannya sebelum bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.

“Akibat perlanggaran itu, kereta Kancil terbabit tercampak kembali ke laluan menghala ke Lumut dan dilanggar sebuah kereta Honda CRV manakala lori pula terbabas ke kiri jalan,” katanya di sini, semalam.

Wan Shahruddin berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat yang mengambil masa lebih 30 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa tersepit pada mulanya menyangka hanya seorang mangsa di tempat duduk pemandu berikutan seorang lagi mangsa terperosok di bawah kereta yang remuk teruk itu.

Kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan menuju ke kampus UiTM Seri Iskandar.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga masing-masing, petang semalam. - myMetro

Mayat berulat atas siling


Mayat berulat atas siling
SEBERANG JAYA: “Daripada mula lagi saya berdebar, memang sejak awal seperti dapat dirasakan ada orang di bumbung rumah.

“Telahan saya terbukti benar, tetapi mengejutkan apabila terjumpa sekujur tubuh seorang lelaki dalam keadaan tertiarap,” kata seorang pekerja syarikat pendawaian elektrik.

Pekerja syarikat pendawaian elektrik yang tidak mahu dikenali itu menemui mayat berkenaan berhampiran kotak penyambung utama bekalan elektrik di bumbung sebuah rumah di Kampung Jalan Baru, dekat sini, jam 12 tengah hari semalam.

Dia kemudian menghubungi polis bagi memaklumkan penemuan mayat tidak dikenali itu.Menurutnya, dia ke rumah yang baru siap pembinaan itu selepas dimaklumkan oleh kontraktor mengenai ketiadaan bekalan elektrik di kediaman terbabit, jam 11 pagi.

Katanya, dia memeriksa bekalan elektrik dari tiang bekalan Tenaga Nasional Berhad (TNB) tetapi didapati ada arus elektrik disalurkan ke rumah berkenaan.

“Saya mula mengesyaki ada masalah pada kotak sambungan bekalan di bumbung rumah dan ketika itu juga saya mula merasakan sesuatu perkara buruk berlaku.

“Bagi memastikan masalah yang berlaku, saya naik ke bumbung sebelum menemui mayat itu,” katanya.

Difahamkan, lelaki berkenaan yang berusia 20 hingga 30-an adalah penduduk berhampiran dan ditemui dalam keadaan berulat, berbau dan kehitaman, dipercayai terkena renjatan elektrik.

Polis mendapatkan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi membawa turun mayat lelaki terbabit.
POTONG... anggota bomba memotong besi penghadang bumbung bagi membolehkan mayat dibawa keluar.
POTONG... anggota bomba memotong besi penghadang bumbung bagi membolehkan mayat dibawa keluar.
Difahamkan juga, turut ditemui berhampiran mayat lelaki berkenaan adalah beberapa gulungan wayar yang dipercayai baru dipotong dari rumah dalam proses akhir pembinaan itu.

Mayat mangsa akan dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya. - myMetro

Saturday, November 26, 2011

Hasil niaga RM118,000 Fauzi Nawawi lesap


KUALA LUMPUR: “Saya tawarkan RM5,000 kepada sesiapa yang memberi maklumat hingga tertangkapnya pencuri itu,” kata pelakon popular yang juga pengarah, Fauzi Nawawi.

Beliau berkata selepas geram dengan tindakan seorang pekerjanya warga Bangladesh berusia 20-an yang melarikan RM118,000 wang hasil perniagaan dan peruntukan perbelanjaan restoran berasaskan makanan Iran miliknya di Jalan Liew Weng Chee Off Jalan Yap Kwan Seng, di sini, yang diusahakan bersama seorang rakan berasal dari Iran.

Kehilangan wang dan suspek disedari kakitangan restoran berkenaan jam 5 pagi kelmarin sebelum mereka membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini.

Menceritakan semula kejadian itu, Fauzi berkata, dia dan rakannya itu mengambil alih restoran berkenaan hampir dua bulan lalu daripada pemilik asal yang menghadapi masalah kewangan.

“Sebelum memulakan perniagaan, saya membayar tunggakan gaji tiga bulan kepada semua pekerja dan mengambil semula mereka bekerja dengan saya.

“Ini bertujuan melancarkan urusan perniagaan kerana semua pekerja sudah terlatih,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, suspek yang mencuri wang berkenaan ditugaskan menjadi juruwang dengan gaji RM2,000 sebulan dan disebabkan itu dia tahu tempat wang perniagaan disimpan.

“Pekerja lain menyedari kehilangan wang dalam peti simpanan itu jam 5 pagi selepas membuat kiraan sebelum menutup restoran. Manakala, suspek sudah menghilangkan diri sejak jam 3 pagi.

“Mereka (pekerja) memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati suspek sudah meninggalkan kawasan restoran,” katanya.

Fauzi berkata, beberapa pekerjanya bergegas ke kediaman suspek di Keramat, di sini sebelum hampa apabila dia sudah keluar dari rumah itu.

“Saya yakin wang yang dicurinya itu masih berada dalam simpanannya. Malah, perasaan saya kuat mengatakan dia masih berada di ibu kota,” katanya. 

Fauzi berkata, sesiapa yang mengenali lelaki terbabit atau terserempak dengannya boleh menghubungi balai polis terdekat atau pekerjanya, Ong Bak di talian 013-2244386. - myMetro

Kotai hangus


MARAK...rumah kongsi yang terbakar di tapak projek pembangunan di Kampung Kerinchi, semalam.
MARAK...rumah kongsi yang terbakar di tapak projek pembangunan di Kampung Kerinchi, semalam.

KUALA LUMPUR: Puluhan rumah kongsi (kotai) tapak projek pembangunan di Kampung Kerinchi, di sini, hangus terbakar dalam kejadian jam 12 tengah hari semalam dan api yang marak dengan cepat hampir merebak ke Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai hanya beberapa meter dari lokasi kebakaran.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pantai, Zakaria Syed Yusof, berkata bomba lambat menerima maklumat kebakaran itu dan setibanya di tempat kejadian hampir 70 peratus kawasan rumah kongsi berkenaan sudah terbakar.

Menurutnya, tidak kurang 25 rumah kongsi didirikan di kawasan itu namun tiada sebarang kecederaan ataupun kehilangan nyawa kerana kawasan itu dikosongkan ekoran kerja pembinaan selesai sebulan lalu.

“Kami menerima panggilan kecemasan jam 12.16 tengah hari dan tiba di lokasi kurang 10 minit kemudian. Ketika jentera pertama tiba, kebakaran merebak hampir di keseluruhan kawasan rumah kongsi berkenaan dan kami percaya kebakaran itu terjadi lebih awal sebelum dimaklumkan kepada bomba.

“Api dikawal daripada merebak ke kawasan berhampiran 15 minit selepas itu, bagaimanapun semua rumah kongsi itu musnah,” katanya yang ditemui di tempat kejadian.

Katanya, punca kejadian belum dikenal pasti dan pihaknya menjalankan siasatan bagi mengetahui bagaimana api tercetus di kawasan itu sedangkan ia sudah lama tidak didiami. - myMetro

Penulis, aktres bagai hidup dalam penjara diburu tabloid


LONDON: Penulis JK Rowling dan aktres Sienna Miller, semalam menerangkan di mahkamah mengenai kemarahan, kecemasan dan kebimbangan apabila hidup mereka menjadi buruan tabloid Britain sambil menjelaskan gangguan media membuatkan mereka berasa seperti banduan di kediaman sendiri.

Penulis Harry Potter itu memberitahu, tindakan wartawan yang berkhemah di luar pintu rumahnya menjadikan dia seperti ‘orang tahanan atau tawanan’. 

Sienna pula berkata, insiden dikejar wartawan dan pendedahan kisah intim media selama beberapa tahun menyebabkan dia hidup dalam keresahan dan ketakutan.

JK Rowling atau nama sebenarnya Joanne Jo Rowling berkata, populariti bukunya mendorong kepada hakikat menakutkan itu.

“Ia memang mengundang padah. Anda menjadi terkenal dan seolah-olah meminta semua itu berlaku,” katanya.

Kedua-dua wanita itu antara individu yang memberi keterangan bagaimana menjadi tumpuan media di Britain mencetuskan huru-hara dalam kehidupan mereka.

Perdana Menteri Britain, David Cameron sebelum ini membentuk pasukan siasatan bagi menyiasat peranan media ekoran terbongkarnya skandal penggodaman telefon dilakukan tabloid News of the World Julai lalu. - AP

Tiga cedera rebut BlackBerry diskaun


SEORANG lelaki pengsan selepas beratur untuk membeli telefon bimbit BlackBerry pada harga diskaun di pusat beli-belah Pacific Place, Jakarta semalam.

JAKARTA – Promosi harga diskaun untuk telefon pintar BlackBerry semalam bertukar kecoh apabila beribu-ribu warga Indonesia menyerbu premis perniagaan di sini dengan menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang cedera manakala beberapa yang lain pengsan.
Promosi harga murah itu bertempat di sebuah premis perniagaan di pusat beli-belah Pacific Place di sini.
Sekitar 300 anggota polis dan anggota separa tentera dikerahkan ke lokasi berkenaan selepas sesi promosi itu bertukar kecoh.
Pengeluar telefon BlackBerry, Research in Motion (RIM) mengumumkan seminggu lalu bahawa model baharu BlackBerry Bold 9790 akan dilancarkan di sini semalam pada separuh harga untuk 1,000 pelanggan pertama.
Namun, sekitar 5,000 peminat BlackBerry berkumpul dalam cuaca panas di luar pusat beli-belah berkenaan untuk mendapat peluang membeli model terbaharu itu pada harga AS$260 (RM831) selepas diskaun.
Sebahagian mereka sudah beratur sehari sebelum promosi berkenaan berlangsung, kata polis.
“Promosi itu menjadi huru-hara menjelang tengah hari apabila beribu-ribu orang saling menolak untuk mendekati pusat beli-belah tersebut. Kami terpaksa mengarahkan penganjur supaya menghentikan sesi promosi itu,” kata jurucakap polis Jakarta, Baharudin Djafar.
Seorang wanita berusia 32 tahun dikenali sebagai Sherly yang menunggu sejak awal pagi semalam adalah antara yang pengsan dalam kekecohan tersebut.
“Orang ramai seperti gila dan mula menolak antara satu sama lain, saya dihimpit sehingga tidak sedarkan diri,” dia dipetik sebagai berkata oleh laman berita Jakarta Globe.
Indonesia adalah pasaran telefon BlacBerry terbesar di luar rantau Amerika Utara. – AFP

Jurunikah berdebar nikahkan Ibas, Aliya di hadapan Presiden Indonesia


MERIAH... Susilo (dua dari kiri) dan isterinya Ani (kiri) memerhatikan upacara pernikahan mengikut adat istiadat Sumatera di antara anaknya Ibas dan pasangannya, Aliya.
MERIAH... Susilo (dua dari kiri) dan isterinya Ani (kiri) memerhatikan upacara pernikahan mengikut adat istiadat Sumatera di antara anaknya Ibas dan pasangannya, Aliya.

JAKARTA: Bukan setakat pasangan Edhie Baskoro Yudhoyono dan Siti Ruby Aliya Rajasa yang berasa berdebar-debar menjelang perkahwinan mereka, malah, jurunikah turut merasa cemas kerana acara itu dihadiri oleh ramai menteri negara dan disiarkan secara langsung oleh beberapa stesen televisyen.

“Syukur, saya mampu melaksanakan tugas dengan baik dan lancar. Saya sangat takut dan pasti gementar ketika melaksanakannya kerana membawa imej Indonesia,” kata Muhtar, dari Pejabat Urusan Agama Cianjur, semalam. 

“Saya berlatih dari pagi hinggalah hampir bermulanya akad nikah rasmi itu,” katanya.

Ada tiga jurunikah yang disediakan Pejabat Urusan Agama Cianjur untuk pernikahan Ibas dan Aliya. Mereka turut bersama-sama dalam latihan.

"Saya bangga kerana dapat berjumpa dengan menteri Indonesia. Ini adalah pengalaman pertama saya menjadi jurunikah untuk keluarga Presiden Indonesia,” katanya.

Sebelum pernikahan Ibas dan Aliya, Muhtar berkata, dia diberi tempat penginapan di sebuah hotel mewah. - DH

Friday, November 25, 2011

Bunuh, perkosa


PERIKSA...kereta mangsa ditemui di persimpangan Jalan Undan 12, Taman Perling, semalam.
PERIKSA...kereta mangsa ditemui di persimpangan Jalan Undan 12, Taman Perling, semalam.

JOHOR BAHRU: Kehilangan seorang guru piano yang tidak pulang ke rumah seperti kebiasaannya terjawab apabila mayatnya ditemui dalam Perodua Myvi miliknya dengan kesan jerutan di leher serta tangan diikat di belakang badan di persimpangan Jalan Undan 12, Taman Perling di sini, semalam.

Ketika ditemui, mangsa masih memakai baju-T putih, jaket perang serta skirt paras lutut dengan seluar dalamnya terlondeh dipercayai dirogol sebelum dibunuh di tempat lain. Mayatnya kemudian diletakkan dalam kereta berkenaan.

Mayat mangsa, Chiu Kong Min, 31, ditemui kira-kira tujuh jam selepas bapanya membuat laporan polis berhubung kehilangannya.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi itu, mangsa mulanya disangkakan tidur dalam kereta berkenaan dan cuba dikejutkan seorang individu yang kebetulan melalui kawasan berkenaan. Bagaimanapun, selepas mangsa yang duduk di tempat duduk pemandu didapati sudah tidak bernyawa, individu terbabit segera melaporkan kejadian itu kepada polis. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Mohd Akhir Ishak berkata, sebaik menerima panggilan orang ramai, pihaknya bergegas ke lokasi bagi melakukan siasatan.

Menurutnya, polis kemudian menemui wanita itu tertunduk kaku dalam kereta miliknya dan siasatan mendapati mangsa dikatakan keluar dari rumahnya kira-kira jam 2.30 petang kelmarin untuk mengajar di Jalan Simbang, Taman Perling, menaiki Perodua Myvi hijau berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati mangsa keluar untuk mengajar piano seperti biasa, namun sehingga jam 12.30 tengah malam kelmarin, masih tidak pulang ke rumah menyebabkan keluarganya yang bimbangkan keselamatannya membuat laporan polis.

“Pemeriksaan dan siasatan awal mendapati mangsa cedera ringan di kening kiri, kesan calar pada jari kedua-dua tangan selain luka di tangan dipercayai akibat bergelut dengan penyerangnya.

“Selain itu, ketika ditemui, kedua-dua tangannya diikat menggunakan kabel pengikat dan ada kesan jerutan di leher, namun barangan peribadi mangsa seperti telefon bimbit tidak diambil suspek,” katanya.

Beliau berkata, motif kejadian itu masih dalam siasatan dan hingga kini, polis masih tidak menemui sebarang bukti di kawasan sekitar lokasi penemuan mangsa serta dalam keretanya.

“Kami tidak menolak kemungkinan mangsa dirogol sebelum dibunuh dan mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini untuk dibedah siasat.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Kami belum menahan mana-mana individu bagi membantu siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan, Tan Yang Siong di talian 012-7076928,” katanya. - myMetro

Isu Lagu Terbaik AIM18: Anuar Zain Harap Kejadian Tak Berulang Lagi


Anuar Zain
KUALA LUMPUR: Penyanyi lagu Sedetik Lebih, Anuar Zain berharap pengumuman kemenangannya melalui lagu Sedetik Lebih ciptaan Edry Abdul Halim tidak menimbulkan sebarang pertikaian selepas anugerah Lagu Terbaik pada Anugerah Industri Muzik 18 (AIM18) pada awalnya diserahkan kepada lagu Penakut ciptaan Yunalis Zarai atau Yuna.
Kata Anuar, dia tidak mahu dengan pembetulan ini akan menimbulkan fikiran negatif terhadapnya atas kemenangan Yuna pada malam AIM 18 pada 12 November lalu.
"Ini merupakan satu kesilapan yang menjadi sejarah dalam industri hiburan tanah air, secara jujurnya ketika menerima berita ini, saya agak terkejut.
"Saya tidak mahu orang luar menganggap kami telah mempertikaikan kemenangan Yuna untuk kategori tersebut, sedangkan saya sendiri menerima keputusan lagu 'Penakut' sebagai Lagu Terbaik pada malam itu dengan hati yang terbuka," katanya pada sidang media pembetulan bagi anugerah Lagu Terbaik AIM 18, di sini, Khamis.
AIM 18 yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil dianjurkan oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).
Pada malam tersebut, lagu Sedetik Lebih telah memenangi kategori Lagu Pop Terbaik dan Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Lelaki).
Kata Anuar, dia menganggap perkara tersebut sebagai kesilapan besar yang sememangnya boleh menjejaskan kredibiliti seseorang artis yang tidak bersalah.
"Jika diikutkan saya, berat untuk terima anugerah ini dan tidak mahu datang untuk berdepan dengan Yuna menerima trofi kemenangan tersebut.
"Kadang kala saya rasa anugerah tersebut tidak perlu untuk dipulangkan dan perkara ini lebih baik dibiarkan diam sahaja," katanya lagi.
TUKAR TANGAN...(dari kiri)  Edry, Yuna dan Anuar Zain  pada sidang media rasmi AIM di sebuah hotel, semalam.
TUKAR TANGAN...(dari kiri) Edry, Yuna dan Anuar Zain pada sidang media rasmi AIM di sebuah hotel, semalam. -foto:HMetro
Bagaimanapun, katanya dia menerima penghargaan tersebut dengan berfikiran positif agar dapat membantu industri seni pada masa akan datang.
"Saya hormat Yuna lebih kerana dia sanggup datang untuk majlis pemulangan anugerah ini dengan hati yang terbuka dan positif.
"Saya juga berharap tidak berlaku lagi kejadian sebegini yang boleh mengakibatkan kredibiliti AIM dan RIM dipertikaikan," katanya. - mStarOnline

Thursday, November 24, 2011

Nafi tinggalkan anak sendirian


TERTUDUH...Hii dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
TERTUDUH...Hii dibawa keluar dari mahkamah, semalam.

MELAKA: Seorang bapa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas tuduhan dengan sengaja menganiaya anak perempuannya sendiri dengan meninggalkan mangsa sendirian di tandas pusat beli-belah Mahkota Parade, dekat sini, pada 5 November lalu.

Tertuduh, Hii King Kit, 23, yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran dan beralamat di Lorong 3, Jalan Pisang Barat, Kuching, Sarawak, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu dan meminta dibicarakan di depan Hakim Harmi Thamri Mohamad@ Shaharuddin.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Haslinda Abu Bakar, sementara tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mengikut kertas pertuduhan, Hii sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan iaitu bapa kepada Anna yang berusia setahun dan 11 bulan didapati sengaja menganiaya iaitu dengan meninggalkan dia seorang diri di tempat awam.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pada 5 November lalu, kira-kira jam 8.48 malam di dalam tandas lelaki Tingkat 1, Mahkota Parade, Jalan Merdeka, dekat sini.

Dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Haslinda mencadangkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Hakim yang menimbangkan rayuan tertuduh menetapkan jaminan RM5,000 dan syarat melapor diri di balai polis.

Kes itu akan disebut semula pada 14 Disember depan untuk lantikan peguam bela.

Sementara itu, suasana sedikit kecoh sebelum prosiding bermula apabila bapa tertuduh melarang jurugambar dan media merakam gambar Hii dan menulis namanya di dalam akhbar.

Lelaki terbabit juga sanggup merayu dan menyembah wartawan dan jurugambar daripada pelbagai agensi termasuk meminta nombor telefon untuk berhubung dengan editor akhbar.

Isteri tertuduh yang ditemui di luar pula menyatakan dia belum menemui Anna yang kini masih ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di rumah Taman Sinar Harapan Tunku Ampuan Najihah, Seremban, Negeri Sembilan.

Sejurus selepas membayar denda, tertuduh kemudiannya ditahan anggota polis sebelum dibawa menaiki van ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kontinjen negeri memberkas seorang lelaki yang juga bapa kandung kanak-kanak perempuan berusia setahun yang disifatkan tidak berhati perut dan kejam apabila meninggalkan mangsa di tepi tandas pusat beli-belah Mahkota Parade, dekat sini, pada 5 November lalu. - myMetro

Yuna terkilan


YUNA...kewibawaan AIM terjejas
YUNA...kewibawaan AIM terjejas

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer muda, Yuna yang ditarik kemenangannya dalam kategori utama Lagu Terbaik Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM18) menganggap ada hikmah di sebalik apa yang berlaku dan tidak bercadang mengambil sebarang tindakan undang-undang.

Dia yang bakal memasarkan album Inggeris untuk pasaran Amerika Syarikat berkata, penjelasan sepatutnya bukan daripada pihaknya sebaliknya Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) selaku penganjur perlu mengadakan sidang akhbar dan menjelaskan dengan terperinci bagaimana masalah itu berlaku.

“Pada saya perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana ia membabitkan majlis anugerah berprestij. Apatah lagi AIM itu sendiri mempunyai tanggungjawab besar untuk mengangkat industri muzik tempatan.

“Saya membesar dengan mengagumi penganjuran AIM sebelum ini. Apabila memenangi anugerah yang amat saya hargai dan ditarik balik atas kesilapan yang dikatakan sudah tentu rasa terkilan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Harian Metro difahamkan RIM dijadualkan mengadakan sidang media bagi menjelaskan mengenai kesilapan teknikal yang berlaku itu pada petang ini. 

“Saya diberitahu mengenai kesilapan itu dua hari lalu,” kata Yuna.

Pada AIM18 yang berlangsung 12 November lalu Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Zarai diumumkan pemenang Lagu Terbaik menerusi singlenya, Penakut.

Selain Lagu Terbaik, pada majlis anugerah berprestij yang mengiktiraf karya terbaik karyawan muzik tempatan itu, Yuna turut memenangi anugerah Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) dan Anugerah Kembara.

Yuna berkata, kesilapan yang berlaku akan menyebabkan ramai pihak akan hilang keyakinan terhadap RIM dan penganjuran AIM itu sendiri.

Menurutnya, lebih membimbangkan kemenangan bagi kategori lain dimenangi penggiat muzik tempatan turut dipertikaikan kerana mungkin kesilapan berlaku. 

Katanya, sejak awal lagi dia mengikuti segala syarat diberikan RIM untuk mempertandingkan karya dihasilkan dalam AIM, terutama membabitkan pencalonan karya dihasilkan harus 100 peratus anak tempatan.

Syarat ditetapkan juga menyebabkan albumnya tidak dipertandingkan kerana tiga daripada lagu dihasilkan dikatakan tidak layak kerana ia untuk pasaran luar.

“Saya akur dengan setiap syarat diberikan, tetapi apabila kemenangan ditarik balik sudah tentu timbul kekeliruan. Bukan saja kepada saya, tetapi seluruh penggiat industri muzik tempatan.

"Tidak keterlaluan jika dikatakan ada pihak melihat apa yang berlaku sinis dan kelakar. Apatah lagi penganjuran AIM membabitkan dua entiti besar iaitu RIM sendiri dan jabatan audit diiktiraf,” katanya.

Kata Yuna lagi, sebenarnya sewaktu diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Lagu Terbaik, dia sudah berasakan ada sesuatu yang tidak kena berlaku, kerana syarat untuk memenangi anugerah utama itu, lagu dihasilkan dan didendangkan haruslah menjuarai kategori dipertandingkan.

“Ketika majlis sidang akhbar perkara sama turut ditanya wakil media, bagaimanapun pihak penganjur mengatakan untuk kategori Lagu Pop Terbaik dan Lagu Terbaik dinilai juri berbeza. Perkara itu sudah dimaklumkan dan semua pihak faham.

“Saya sendiri akur dengan penjelasan itu memandangkan untuk tahun ini ada beberapa perubahan dari sudut syarat dibuat RIM mahupun Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (Akademi),” katanya. - myMetro

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu