adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Friday, December 28, 2012

Khairul Fahmi & Leuniey Sah Suami Isteri Dengan Sekali Lafaz


Apek dan leuniey kini sah menjadi suami isteri. Foto SAZUKI EMBONG
TUMPAT: Dengan sekali lafaz, penjaga gol pasukan bola sepak kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat, 23, atau Apek sah bergelar suami kepada wanita pilihannya, Nur Eilunie Natasha Jaafar, 21.
Pasangan ini telah dinikahkan oleh Imam Mukim Pasir Pekan, Ustaz Ab Ghani Ab Talib di kediaman keluarga Leuniey di Pasir Pekan, di sini, kira-kira pukul 10 pagi Jumaat.
Apek yang mengenakan persalinan baju Melayu berona putih krim itu berkata, dia bersyukur apabila segala perancangan majlis mereka berjalan dengan lancar dan menganggap perkahwinan itu sebagai tanda berakhirnya kontroversi yang membabitkannya dengan Leuniey.
"Alhamdulillah syukur apabila majlis ini berjalan dengan lancar.
"Perkahwinan ini juga menandakan pelbagai isu kontroversi yang membabitkan saya dan Leuniey sudah tamat, " katanya kepada mStar Online selepas majlis pernikahan berlangsung.
Tambah Apek, sebelum ini, pergerakan dia dan Leuniey untuk bertemu agak terbatas lebih-lebih lagi ketika kontroversi panas membabitkan Leuniey kononnya telah menjadi orang ketiga dalam hubungan cinta Apek yang terdahulu.
Pasangan ini belum merancang untuk berbulan madu lagi.
"Oleh kerana itu, kami hanya dating di rumah sahaja dan rumah keluarga kami merupakan tempat rahsia kami untuk bertemu," ujarnya.
Leuniey telah menerima wang hantaran yang juga dijadikan sebagai mas kahwin sebanyak RM19,000 berserta tujuh dulang hantaran berbalas tujuh dulang daripada pengantin lelaki.
Sebelum majlis pernikahan itu, rombongan pihak lelaki tiba dengan diiringi sepasukan polis trafik sepanjang perjalanan mereka ke kediaman keluarga Leuniey.
Sementara itu, Apek memberitahu, dia dan isterinya itu belum merancang untuk berbulan madu dalam masa terdekat ini, namun masih lagi menganggap perkara itu amat penting sebagai permulaan baru melalui alam berumah tangga.
Rombongan pihak lelaki yang hadir pada majlis tersebut ialah ibu bapa Apek iaitu Che Mat Hussein 58, dan Bidah Ibrahim, 57, serta lima adik-beradiknya.
Turut hadir ibu bapa Leuniey iaitu Nazri Adnan, 44, dan Norlaila Abu Bakar,45, serta empat adik-beradiknya yang lain.
Majlis pernikahan itu turut dihadiri Timbalan Mufti negeri Kelantan, Datuk Nik Abd Kadir. - mStarOnline

Sunday, December 23, 2012

Gadis cari bapa jadi wali nikah

Gadis cari bapa jadi wali nikah
Norfarahniza menunjukkan gambar bapanya sewaktu muda yang ada dalam simpanannya. Gambar kecil: Mohamad Shukor

SINTOK – Seorang gadis yang bakal melangsungkan perkahwinan berusaha mencari bapa kandungnya yang telah terpisah sejak 14 tahun lalu.

Norfarahniza Mohamad Shukor, 22, yang berasal dari Kampung Cherok Mokkan, Changlun itu akan melangsungkan perkahwinannya Julai tahun depan.

Menurutnya, dia sebolehnya mahu bapa kandungnya, Mohamad Shukor, berusia lingkungan 40-an yang berasal dari Alor Setar menjadi wali untuk majlis akad nikahnya nanti.

“Ayah dulunya adalah pesara tentera dan selepas berhenti saya tidak tahu pekerjaannya memandangkan waktu itu saya masih kecil.

“Kali terakhir saya melihat wajah ayah ketika berusia lapan tahun dan selepas itu dia pergi tiada sebarang khabar berita sehingga kini,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, sehingga kini dia masih tidak mengenali wajah sebenar ayahnya itu dan hanya dapat melihat menerusi gambar lama yang tersimpan.

“Kemungkinan sudah berlaku perubahan terhadap wajah ayah dan sekiranya dia melihat anaknya ini sedang berusaha mencarinya, saya berharap dia dapat pulang untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ayah,” katanya ketika ditemui.

Sekiranya orang ramai mengenali maklumat berhubung bapanya seperti yang disiarkan atau termasuklah ayahnya sendiri, boleh menghubunginya di talian 013-2531204. - SinarHarian

Saturday, December 22, 2012

Acong (Sweet Child) Nikah Peminat Selepas 14 Tahun Terpisah


Acong dan isterinya Marya selepas majlis pernikahan mereka pada Sabtu lalu di Masjid Sultan Abdul Halim Sungai Petani, Kedah.

PETALING JAYA: Isteri kepada Acong (Sweet Child) iaitu Marya Zuraida tidak menyangka akan bertemu jodoh dengan penyanyi dan pelakon itu apabila mereka selamat diijabkabulkan pada Sabtu lalu selepas hampir 14 tahun terpisah.
Marya atau nama sebenarnya Siti Zuraida Zahari, 31, berkata, dia yang mengenali Acong kira-kira 14 tahun lalu ketika penyanyi itu terlibat dalam sesi promosi album kumpulan Sweet Child di Kuantan, Pahang kembali rapat menerusi laman sosial Facebook pada 2010.
Marya berkata, pintu hatinya terbuka untuk berumah tangga semula selepas lima tahun bergelar ibu tunggal kerana dia terpikat dengan sikap Acong yang kuat bekerja dan menerima anak perempuannya Qistina Yasmin yang berusia enam tahun.
“Kami kenal ketika saya berusia 17 tahun pada 1998 di Kuantan, Pahang. Pada waktu itu, saya dan rakan-rakan membantu Acong dan kumpulan Sweet Child menjual album ketika mereka mengadakan promosi di sana.
“Bagaimanapun, kami hanya kawan biasa ketika itu dan tidak lagi berjumpa. Kami bertemu semula pada dua tahun lalu menerusi Facebook.
“Pada peringkat awal perkenalan kami, saya tidak terfikir ia akan jadi serius sehinggalah Acong meluahkan hasrat untuk memperisterikan saya pada Disember tahun lalu,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, pada Isnin.
Pasangan itu diijabkabulkan di rumah pengantin perempuan pada Sabtu lalu, kira-kira pukul 11 pagi di Masjid Sultan Abdul Halim Sungai Petani, Kedah dengan sekali lafaz.
Acong menghantar tujuh dulang hantaran berbalas sembilan dulang oleh pengantin perempuan sementara mas kahwin pula sebanyak RM2,000.
Bagaimanapun, kedua-dua mempelai enggan mendedahkan jumlah wang hantaran.
Majlis pernikahan di kampung halaman Marya yang juga seorang pelakon tambahan dan krew produksi itu mendapat tajaan Azie De’ Touch dan dihadiri lebih 400 tetamu.
Acong atau nama sebenarnya Ahmad Fauzi Manan, 39, pula berkata, hatinya terbuka untuk berumah tangga selepas 10 tahun menduda selepas melihat ramai kenalan rapatnya memiliki keluarga sendiri.
Ujarnya, selepas mengenali hati budi Marya kira-kira dua tahun lalu, dia mengambil keputusan tersebut kerana keserasian dan sikap memahami di antara satu sama lain.
“Saya ambil keputusan untuk berkahwin kerana keinginan untuk berumah tangga semakin memuncak apabila melihat rakan-rakan saya sedang bahagia dengan anak-anak dan keluarga mereka sedangkan saya masih hidup seorang selepas 10 tahun menduda.
“Sejak mengenali Marya, saya berasa selesa dengannya kerana kami berkongsi banyak persamaan dan dia memahami serta menyokong kerjaya saya,” katanya yang teruja kerana mendapat ‘anak ekspres’ daripada perkahwinan itu.
Pasangan ini bakal mengadakan majlis resepsi kedua di sebelah pihak lelaki pada 24 Disember ini di Pusat Komuniti Bukit Damansara dekat sini.
Majlis resepsi ketiga bagi meraikan rakan-rakan industri dan media akan diadakan pada 3 Januari 2013 di Shah Alam.
Mereka dijangka terbang berbulan madu ke Beijing, China pada 1 hingga 6 Februari 2013. - mStarOnline
* Foto-foto dalam artikel ini adalah ihsan Kamarul Bahrin Ismail. Tel:            012-2388256      .

Anak-Anak Trauma Kerana Watak Jahat Norish Karman


Norish Karman
PETALING JAYA: Pelakon Norish tidak mahu lagi melakonkan watak antagonis kerana ia meninggalkan kesan trauma kepada anak-anaknya.
Norish atau nama sebenarnya Nor’asikin Karman, 36, berkata, hasrat itu bagi memenuhi permintaan ketiga-tiga anaknya iaitu Muhammad Haqiem Armany, 13, Muhammad Hardy Amieran, 9, dan Putri Hany Amanda, 8, yang tidak menyukai ibu mereka kerap menggalas watak jahat.
“Anak-anak saya tidak suka ibu mereka membawa watak jahat dalam drama televisyen (TV) atau filem yang mereka tonton.
“Mereka kata saya bukan orang yang jahat kerana saya bertenaga, ceria dan kelakar terhadap orang keliling.
“Susah hendak saya jelaskan kepada mereka sehingga terpaksa berbohong kerana mereka sangat trauma,” katanya kepada mStar Online.
Justeru, pelakon filem Kahwin 5 itu berkata, dia berharap pihak penerbit dan pengarah dapat menawarkan watak yang variasi dan berbeza kerana dia berkemampuan untuk menterjemahkan pelbagai karakter.
“Kalau boleh, saya tidak mahu lagi bawa watak antagonis. Masalahnya dengan industri kita, bila seseorang pelakon itu berkesan bawa sesuatu watak, dia akan terus diberikan karakter yang sama berulang-kali.
“Kalau kita tidak ambil, nanti kena gam pula. Peluang untuk melakonkan watak yang variasi sangat terhad,” katanya yang melakonkan watak komedi sebagai Monalisa dalam filem Kahwin 5 itu.
Norish berkata, senario itu terjadi kerana sikap penggiat industri yang tidak terbuka dalam menawarkan peluang lakonan kepada artis tanah air.
“Orang (penggiat industri) tidak terbuka dan mereka letakkan saya di tahap tertentu kononnya pelakon yang ada kelas tersendiri sehingga tidak mahu menawarkan watak-watak berbeza.
“Walhal, saya boleh melakukan apa sahaja watak dan sanggup belajar serta bereksperimen dengan pelbagai watak, cuma peluang itu tiada,” katanya. - mStarOnline

Mayat kanak-kanak perempuan ditemui dengan kesan terbakar


JOHOR BAHRU - Polis hari ini menemui mayat seorang kanak-kanak perempuan dengan kesan terbakar hampir 80 peratus pada badannya di tepi Jalan Salleh, Taman Ungku Aziz di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan Supt Abdul Samad Salleh berkata mayat kanak-kanak yang dianggar berusia setahun itu ditemui pada pukul 4.30 petang oleh orang awam yang kemudian menghubungi polis.

Polis yang bergegas ke tempat kejadian mendapati mayat itu dibungkus dalam beg plastik sebelum dibakar, katanya ketika dihubungi, di sini.

Menurutnya pemeriksaan awal juga mendapati ada kesan lebam pada dahi mangsa.

Polis juga menemui tong berisi minyak petrol dipercayai diguna untuk membakar mayat kanak-kanak malang itu, katanya menambah kawasan kejadian merupakan jalan mati dan jauh daripada pandangan orang awam.

"Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat bayi itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah, di sini, untuk bedah siasat," katanya. - Bernama

Friday, December 21, 2012

Kutip sayur dalam tong sampah

Kutip sayur dalam tong sampah
Seorang wanita warga Myanmar berulang alik beberapa kali ke pasar mengangkut  sayur yang dibuang  pemborong.

KUALA LUMPUR - Penjaja warga Myanmar umpama mendapat untung atas angin apabila tidak perlu mengeluarkan modal untuk berniaga selepas mereka bertindak mengutip sayur yang dibuang pemborong untuk dijual.

Tinjauan Sinar Harian selama dua jam bermula jam 8 pagi sehingga 10 pagi baru-baru ini mendapati sekumpulan warga Myanmar di antara lima hingga enam orang sedang khusyuk mengutip dan memilih sayur yang dibuang pemborong pada tong sampah besar terletak di luar Pasar Borong Kuala Lumpur.

Tinjauan juga mendapati seorang wanita berulang alik sebanyak tiga hingga empat kali mengangkut beberapa bakul sayur tersebut ke luar kawasan pasar.

Sayur-sayur tersebut dipercayai dijual kepada orang awam di luar pasar borong bermula jam 6 petang.

Meskipun masalah tersebut telah banyak kali dibangkitkan namun penyelesaian masih menemui jalan buntu apabila penjaja Myanmar dilihat masih berniaga seperti biasa.

Pengunjung pasar, Latifah Ayob, 46, berkata, perkara itu menjadi rutin masyarakat Myanmar yang tinggal di pasar borong untuk menyara kehidupan.

“Mereka akan memilih sayur dibuang pemborong, kemudian akan dijual kepada orang awam yang rata-ratanya peniaga kedai makanan kerana harganya murah.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) beberapa kali membuat operasi penjaja namun permasalahan itu berlarutan dan kini dilihat semakin kritikal,” katanya.

Seorang lagi orang awam yang ditemui, Mohd Fauzi Ishak, 32, meminta badan pemantau dilantik menyelesaikan masalah lambakan warga asing.

“Warga asing kini mengatasi warga tempatan, penjaja warganegara dikenakan tindakan kompaun tetapi penjaja asing dibiarkan berleluasa sehingga menjadikan pasar borong umpama perkampungan Myanmar.

“Kita bimbang sekiranya perkara ini berlarutan dan tidak terkawal akan memudaratkan generasi akan datang kerana anggaran jumlahnya yang semakin meningkat dari tahun ke tahun,” katanya.

Fauzi mengakui bimbang akan keselamatan diri dan sentiasa berhati-hati setiap kali bersama keluarga ke pasar borong untuk membeli barang keperluan niaganya.

Dia berharap, permasalahan itu dapat ditangani secara bijak dan dalam masa sama tidak menjejaskan periuk nasi warga tempatan. - SinarHarian

Mayat wanita dalam kereta

Mayat wanita dalam kereta
Anggota polis mengangkat keluar mayat dari kereta untuk dibawa ke hospital bagi proses bedah siasat.

KULAIJAYA – Misteri kereta mencurigakan di kawasan kebun rambutan berhampiran Kampung Desa Idaman, Sedenak, di sini, akhirnya terjawab apabila polis menemui mayat wanita yang dibungkus dengan plastik hitam, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Asisten Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, mayat itu ditemui pada bahagian tempat duduk pemandu dan terdapat kesan bakar pada tempat duduk berkenaan.
Mayat wanita dalam kereta
Mayat wanita ditemui dibungkus dalam plastik hitam dalam kereta.
“Mayat ditemui selepas pihak polis menerima panggilan dari orang awam sekitar jam 7.20 pagi.

“Berdasarkan siasatan awal, mayat berkenaan dipercayai cuba dibakar berikutan terdapat kesan kebakaran di tempat duduk pemandu.

“Bagaimanapun, tindakan itu mungkin tidak berjaya disebabkan kekurangan oksigen di dalam kenderaan jenis Perodua Viva berwarna putih itu,” katanya kepada Sinar Harian mengesahkan kejadian, di sini, semalam.

Mohd Kamil berkata, hasil pemeriksaan, polis mendapati barang peribadi seperti kad pengenalan atau telefon bimbit milik mangsa tidak dapat ditemui.

"Tetapi kami percaya mangsa baru sahaja meninggal dunia beberapa jam sebelum dia ditemui orang awam dan kita masih menyiasat punca kejadian,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut juga turut mendapati kenderaan terbabit menggunakan nombor pendaftaran dan cukai jalan palsu milik kenderaan sebenar yang berada di Kelantan.

“Punca sebenar kematian atau kesan kecederaan dialami mangsa juga masih belum dapat dikenal pasti dan mayat telah dibawa ke hospital untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, salah seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Wak Jalil, 50, berkata, dia menyedari kereta itu diparkir dalam kebun sejak tengah malam kelmarin, namun menyangka kenderaan itu milik pekebun di lokasi berkenaan.

“Sejak dari malam tadi (kelmarin), saya perasan ada kereta di kebun itu, tetapi tidak berani untuk tinjau lebih dekat sebab keadaan terlalu gelap dan saya fikir kenderaan itu mungkin milik tuan kebun.

“Bagaimanapun, pagi ini kawasan kebun mula dipenuhi orang ramai selepas mendapati terdapat mayat berada di dalamnya.

“Kenderaan itu mungkin milik penduduk luar kerana saya tidak pernah melihatnya di sekitar kampung ini sebelum ini,” katanya. - SinarHarian

Dua pekerja kilang maut dalam kemalangan bas kilang

Keadaan sebuah bas kilang yang remuk menyebabkan dua maut di KM 150.3 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Bukit Tambun, Pulau Pinang kira-kira pukul 6.30 pagi tadi. Mangsa Nurul Nadirah Sudin, 18, dan Samsiah Hasan, 22, masing-masing berasal dari Taiping dan Batu Kurau, Perak meninggal dunia di tempat kejadian. - Foto Bernama
NIBONG TEBAL - Dua pekerja kilang maut apabila bas yang dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 150.3 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berhampiran susur keluar Bukit Tambun, di sini pagi ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supt Shafien Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, Nurul Nadirah Sudin, 18, dan Samsiah Hasan, 22, masing-masing berasal dari Taiping dan Batu Kurau, Perak, meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila bas yang membawa 17 pekerja kilang dalam perjalanan dari Tanjung Piandang, Perak ke kawasan perindustrian di Perai, cuba memasuki lorong kiri lebuh raya sebelum hilang kawalan lalu merempuh kereta yang bergerak seiring di lorong kiri.

"Kedua-dua kenderaan itu terbabas dengan bas terbalik ke kawasan semak di kiri lebuh raya," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata, pemandu bas dan sembilan pekerja kilang yang cedera kini dirawat di Hospital Seberang Jaya manakala enam lagi pekerja yang cedera ringan telah dibenarkan pulang.

Katanya, pemandu kereta berusia 21 tahun itu hanya mengalami cedera ringan.

Shafien berkata, jenazah kedua-dua pekerja itu telah dituntut oleh keluarga masing-masing.

Sementara itu, bapa Nurul Nadirah, Sudin Ismail, 45, ketika ditemui berkata, beliau mendapat panggilan daripada abang iparnya kira-kira pukul 6.45 pagi memberitahu kemalangan itu, bagaimanapun beliau tidak diberitahu yang anaknya telah meninggal dunia.

Beliau berkata, beliau amat terkejut dengan berita kematian anaknya itu yang kali terakhir mereka berjumpa ialah minggu lepas.

Ibu saudara Nurul Nadirah, Hamisah Samsudin, 37, berkata bas terhuyung-hayang secara tiba-tiba hingga menyebabkannya memegang kerusi dengan kuat.

"Sedar-sedar bas dah terbalik. Saya merangkak keluar mengikut cermin hadapan bas," kata ibu kepada tiga orang anak itu yang cedera di bahu.

Seorang lagi mangsa, Fazilawati Md Rasdi, 30, dari Batu Kurau berkata ketika kejadian beliau sedang tidur dan hanya menyedari kejadian itu selepas terdengar jeritan rakan sekerjanya sebelum bas itu terbalik.- Bernama

Thursday, December 6, 2012

Papan iklan Royalti dibakar

Papan iklan Royalti dibakar
Nazri (enam,kiri) bersama ahli-ahli Royalti berkumpul di hadapan papan iklan yang dibakar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab

KOTA BHARU - Gabungan Profesional Menuntut Royalti Minyak dan Gas Ke Kelantan (Royalti) berasa kecewa apabila papan iklan mereka yang memaparkan gambar Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dibakar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.


Presiden Royalti, Nazri Deraman berkata, walaupun kebakaran tersebut tidak serius tetapi ia menyentuh tentang sensitiviti kemasyarakatan dan jika tidak dibendung boleh mencetuskan huru-hara.

“Kejadian ini disedari oleh salah seorang ahli jawatankuasa Royalti, Khairul Nizam Abd Ghani, 31, yang kebetulan dihubungi oleh rakannya memberitahu tentang perkara tersebut pada jam 9 pagi semalam (kelmarin).

“Apabila kami melakukan pemeriksaan terhadap papan iklan yang terletak di hadapan Kompleks Darul Naim mendapati terdapat kesan kebakaran pada bahagian gambar Sultan Kelantan dan ia cukup menyedihkan,” katanya kepada pemberita, semalam.

Menurutnya, bagi memastikan perkara tersebut  tidak berterusan berlaku pihaknya sudah membuat laporan polis di Balai Polis Pengkalan Chepa.

Beliau mendakwa perkara tersebut dipercayai dilakukan oleh pihak yang tidak senang dengan perjuangan menuntut royalti dan mendaratkan gas ke bumi Kelantan.

Nazri berkata, apa yang mereka lakukan langsung tidak melibatkan fahaman politik mahupun agama kerana ia adalah satu perjuangan untuk menuntut hak rakyat.

“Jika apa yang kami perjuangkan ini berjaya bukan orang Pas sahaja yang akan menikmati keistimewaan ini tetapi semua rakyat Kelantan tidak kira usia atau bangsa. Kami berharap pihak berkuasa dapat memandang serius berhubung perkara tersebut dan tindakan seharusnya diambil,” katanya. - SinarHarian

Neves (Pretty Ugly) Keliru Kehendak Stesen Radio


Neves kecewa apabila lagu baru ciptaan Pretty Ugly tidak dimainkan di kebanyakan stesen radio utama negara ini. Foto ROHAIZAT MD DARUS
KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Pretty Ugly, Neves keliru dengan kehendak stesen radio tempatan tentang kriteria yang diinginkan supaya sesebuah lagu itu dapat diputarkan.
Neves atau nama sebenarnya Raizan Zainal Abidin berkata, dia kecewa apabila lagu baru ciptaan mereka tidak dimainkan dikebanyakan stesen radio utama di negara ini sehingga menyebabkan dia tertanya-tanya apakah punca sebenar perkara itu berlaku.
"Ramai orang bertanya dengan saya kenapa Pretty Ugly tidak menghasilkan lagu atau album terbaru walaupun hakikatnya kami ada mengeluarkan sebuah album pada tahun lalu dan single baru berjudul Dia Milikmu namun ia tidak dimainkan di stesen radio.
"Jadi saya tertanya-tanya apakah yang dimahukan oleh stesen radio baru boleh lagu kami diputarkan? Malah bukan saya sahaja mengalami masalah ini tetapi ramai juga artis lain yang turut menerima tempias sama," ujarnya kepada mStar Online.
Neves ditemui selepas majlis pelancaran Karnival Cinta Muzik Selangor dekat sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Neves berkata, walaupun terkilan dengan perkara tersebut namun meraka tidak pernah berputus asa kerana sangat menyayangi bidang muzik yang telah diceburi selama 11 tahun.
Kata Neves, mereka terpaksa menggunakan cara lain seperti menerusi Youtube, Facebook, Twitter dan medium sosial lain untuk mendapatkan perhatian peminat dan menghebahkan info terbaru kumpulan itu.
"Ada juga rasa nak ubah muzik mengikut aliran semasa tetapi bimbang pula dikatakan meniru artis lain tetapi jika mengekalkan genre yang menjadi identiti kita sejak sekian lama dituduh sudah lapuk pula.
"Tetapi itu tidak mematahkan semangat kami kerana percaya akan ada ruang untuk kami bertapak selagi ada permintaan peminat," jelasnya.
Sementara itu, Neves berkata, Pretty Ugly bakal muncul dengan sebuah single terbaru berjudul No.1 duet bersama kumpulan Altimet selewat-lewatnya awal tahun 2013.
Neves berkata, dia berharap kolaborasi itu nanti akan mendapat perhatian peminat dan stesen radio untuk memutarkan lagu mereka. - mStarOnline

Monday, November 12, 2012

Ada Sebab Wilma Muhammad Rahsiakan Perkahwinan Baru


Wilma tidak menghebohkan perkahwinannya demi menghormati privasi suami baru dan ahli keluarga. Foto IZZRAFIQ ALIAS
KUALA LUMPUR: Pelakon Wilma Muhammad yang berkahwin buat kali kedua pada Jun lalu berkata dia mempunyai sebab untuk merahsiakan perkara itu daripada khalayak umum.
Wilma yang kematian suami Mahir Effendi pada awal 2011 berkata, keputusan untuk tidak menghebohkan perkahwinan itu dilakukan demi menghormati privasi suami baru dan ahli keluarganya.
"Bukan saya berniat untuk merahsiakan perkahwinan buat kali kedua yang berlangsung pada 16 Jun lalu.
"Keputusan itu dilakukan demi menghormati prinsip dan privasi suami baru dan keluarga. Majlis (perkahwinan) pun diadakan secara kecil-kecilan sahaja," katanya.
Wilma berkata demikian ketika ditemui mStar Online pada majlis pelancaran Koleksi Ratu by Ezuwan Ismail di Hotel Royale Chulan di sini, malam Sabtu lalu.
Wilma bersama pereka Ezuwan Ismail.
Bekas suami aktres filem Ghazal Untuk Rabiah itu meninggal dunia di kediaman mereka di Kampung Tunku, Petaling Jaya dekat sini pada 27 Januari 2011 akibat serangan jantung.
Hasil perkahwinan itu, pasangan tersebut dikurniakan lima anak iaitu Raida Thaqifa, 10, Athira Inara, 8, Mahira Aqila, 6, Muhammad Yusuf, 4, dan Umar Al Faruq, 3.
Bercerita mengenai perkahwinan itu, Wilma berkata, dia mengenali ahli perniagaan yang dikenali sebagai 'M', 47, itu pada tahun lalu.
"Saya mengenali dia menerusi kawan ketika bekerja sebagai setiausaha di syarikat perlombongan emas pada tahun lalu.
"Kebetulan pula bekas ibu mertua juga pernah mengenali suami baru ini kira-kira empat atau lima tahun lalu atas urusan perniagaan.
"Dia seorang lelaki yang terbuka dan lebih selesa untuk tidak menonjolkan identiti dirinya," akuinya.
Katanya, keputusan untuk berkahwin semula timbul apabila dia memikirkan masa depan anak-anaknya yang bakal membesar tanpa bapa.
"Sebenarnya, saya tidak mahu (berkahwin) tetapi selepas memikirkan keadaan masa depan lima anak saya yang akan membesar tanpa seorang ayah, saya terbuka hati untuk berkahwin semula.
"Lagi pun, bekas ibu mertua juga selalu pesan agar saya tidak menutup pintu hati jika ada lelaki yang mahu mengahwini saya," luahnya yang tidak menolak jika dikurniakan zuriat dengan suami baru itu. - mStarOnline

Bertunang, Anne Ngasri Harap Tidak Ada Yang Buruk Sangka


Anne Ngasri. Foto Beautifulnara
KUALA LUMPUR: Pelakon Anne Ngasri berharap pertunangannya dengan seorang ahli politik yang berstatus duda anak satu itu tidak akan menimbulkan fitnah kononnya dia seorang wanita yang cepat berubah hati selepas putus cinta dengan penyanyi Aliff Aziz.
Anne atau nama sebenarnya Ngasriah Ngasri, 28, berkata, kehadiran lelaki berusia 40 tahun itu dianggap sebagai satu anugerah daripada Tuhan apabila dia memulakan langkah bertemu keluarga Anne untuk meminangnya.
"Sebenarnya dia merupakan kawan saya dan Darling (kakak Anne) sejak setahun lalu tetapi ia tidak lebih daripada sahabat sahaja.
"Entah kenapa, selepas putus (dengan Aliff), kami lebih rapat sejak sebulan yang lalu dan apabila dia melamar, saya terima dia lebih-lebih lagi melihat kesungguhan dan keikhlasannya. Mungkin kami saling menepati antara satu sama lain.
"Saya pun tidak pernah menolak jodoh dan menganggap Aliff mungkin bukan jodoh saya. Diharap, tiada yang memberi persepsi negatif dengan perhubungan baru ini walaupun kehadirannya dalam hidup saya datang terlalu cepat," katanya.
Anne ditemui pada petang Ahad selepas majlis pertunangannya yang telahpun berlangsung di sebelah pagi di kediaman keluarganya, Jalan Ipoh dekat sini.
Majlis pertunangannya itu dihadiri seramai 200 orang tetamu yang terdiri daripada kedua-dua belah pihak keluarga dan pasangan itu bakal bernikah pada Disember ini.
Bagaimanapun identiti lelaki itu kelahiran negeri Johor itu dirahsiakan buat sementara waktu sehinggalah pada hari perkahwinannya nanti.
Tambah ibu kepada Abdul Warits, 4, Abdul Wafri, 3 dan Nazharah Afrozah, 2, itu, dia juga ingin meminta maaf kepada semua pihak merahsiakan identiti bakal suaminya itu kerana tidak mahu dianggap menunjuk-nunjuk.
"Selama ini orang sering menghentam saya macam-macam dan kali ini saya mahu lebih berhati-hati dan biarlah identiti tunang saya diketahui pada hari perkahwinan nanti.
"Perjalanan hidup ini adalah takdir buat diri sendiri dan diharap saya mendapat doa yang baik-baik daripada semua," ujarnya.
Anne sebelum ini pernah berkahwin dengan Abdul Wafi Hassan pada 26 Mei 2006 sebelum bercerai pada tahun 2010 dan mereka dikurniakan tiga cahayamata.
Dalam perkembangan lain, Anne berkata, dia kini sedang sibuk di lokasi penggambaran program bual bicara berkonsepkan remaja berjudul SIS untuk siaran TV9 selain beberapa projek drama dan filem. - mStarOnline

Wednesday, November 7, 2012

Kelewatan Jadi Penyelamat Nyawa Iqram Dinzly


Iqram Dinzley
PETALING JAYA: Pelakon Iqram Dinzley bernasib baik apabila terselamat daripada terlibat dalam kemalangan yang membabitkan van krew program Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM) pada Selasa.
Iqram berkata, dia sepatutnya menaiki van terbabit untuk ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, di sini sebelum berlepas ke Pulau Langkawi bagi menjalani penggambaran episod akhir program tersebut, namun terpaksa menaiki van lain kerana tiba lewat di tempat menunggu di Sri Pentas TV3, Bandar Utama di sini.
"Rasa tak sangka pula kelewatan saya tidak mengikut 'call time' seperti yang ditetapkan ada hikmah di sebaliknya.
"Saya tiba di Sri Pentas beberapa minit saja selepas van pertama beredar dan menaiki van yang kedua bersama krew lain. Ketika dalam perjalanan, kami terkejut apabila melihat van yang pertama terlibat dalam kemalangan sehingga terbalik.
"Pemandu kami terus berhenti di tepi jalan dan membantu krew yang masih berada dalam van pertama untuk membawa keluar," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.
Akhbar pada Selasa melaporkan seramai tujuh kakitangan TV3 cedera apabila van dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan akibat dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Persiaran Bandar Utama, dekat sini.
Mangsa yang juga merupakan krew JJCM dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dari Sri Pentas masing-masing mengalami cedera parah, patah kaki, pinggang dan hidung.
Mereka kini sedang dirawat di Pusat Perubatan KPJ Damansara dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Tambah Iqram, walaupun dia tidak terlibat dengan kemalangan tersebut, dia tetap berasa trauma mengenangkan kejadian yang berlaku di mana dia juga mungkin cedera parah seperti krew-krew yang terbabit jika berada dalam van pertama.
"Jujur saya katakan, perasaan trauma turut wujud dalam diri saya walaupun saya tidak terbabit dengan kemalangan itu.
"Saya bersyukur kerana Allah melindungi saya daripada malapetaka itu. Tetapi nak buat macam mana, benda dah terjadi. Jika difikirkan secara logiknya, memang agak pelik bagai manakah kemalangan itu boleh berlaku sehingga menyebabkan van terbalik dan kebanyakan krew cedera parah," ujarnya. - mStarOnline

Tuesday, November 6, 2012

Dituduh sebabkan kematian

Dituduh sebabkan kematian
Dua remaja lelaki yang dihadap ke Mahkamah Juvana, semalam.
ALOR GAJAH - Dua remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Juvana di sini semalam atas pertuduhan menyebabkan kematian pelajar tingkatan dua selepas satu insiden gaduh di Tingkat Satu, Perhentian Bas & Teksi, Pulau Sebang kira-kira jam 2.30 petang pada 24 Oktober 2012.

Kedua-dua tertuduh berusia 14 tahun itu didakwa menyebabkan kematian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Sebang, K Saravannan, 14.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun mereka mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret, Mohd Firdaus Saleh di dalam prosiding yang dijalankan secara tertutup.

Mohd Firdaus kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 setiap seorang dan mengarahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shazwani Ishak meminta mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM10,000 setiap seorang berserta syarat tambahan.

Bagaimanapun, Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu wang jaminan dikurangkan kerana tertuduh dari keluarga kurang berkemampuan.

“Ibu tertuduh pertama yang bekerja di kilang berpendapatan kurang RM1,500 sebulan dan mempunyai anak lain yang masih bersekolah. Sementara bapa tertuduh kedua adalah pekerja buruh dan perlu menyara lima anak,” katanya.

Beliau turut menetapkan 28 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendengar laporan perubatan mangsa.

Pada 25 Oktober lalu, akhbar ini melaporkan seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di sini maut selepas dipercayai terbabit dalam satu pergaduhan di Perhentian Bas Pulau Sebang, dekat sini.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa, R Saravannan, 14, dipukul bertubi-tubi dan dipijak pelajar lain sebelum ditinggalkan terbaring tidak sedarkan diri di tingkat atas perhentian bas berkenaan.

Mangsa dipercayai dipukul dalam keadaan dikerumuni pelajar lain yang bersorak setiap kali mangsa rebah dan pelajar berkenaan terus melarikan diri selepas melihat mangsa tidak sedarkan diri. - SinarHarian

Ana Dahlia Dapat Sokongan Chef Wan, Kesal Kahwin Terburu-Buru


Ana enggan mengulas mengenai laporan kononnya dia dan Riz hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kajang untuk mengambil borang permohonan cerai baru-baru ini.
PETALING JAYA: Pelakon Ana Dahlia tidak berasa bimbang dengan konflik rumah tangganya dengan Chef Riz kerana masalah itu mendapat sokongan daripada keluarga mertuanya iaitu Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan.
Mengambil pendekatan untuk mendiamkan diri daripada memberi sebarang kenyataan, Ana atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar, 29, menjelaskan suaminya lebih mengetahui apa sebenarnya berlaku dalam rumah tangga mereka.
"Saya bersyukur kerana dalam keadaan sekarang saya mendapat sokongan penuh daripada keluarga saya dan mertua terutama Papa (Chef Wan) yang sentiasa berada di belakang saya.
"Malah hubungan saya dengan Papa masih rapat dan sentiasa mendapatkan nasihat daripadanya.
"Dalam hal ini, Riz lebih mengetahui apa sebenarnya yang berlaku dalam rumah tangga kami," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui semasa majlis pelancaran drama slot Akasia berjudul Cinta Itu Milikku di sini pada petang Isnin.
Gosip terbaru mengenai perkahwinan Ana dengan anak lelaki chef tersohor, Chef Wan itu kembali diperkatakan apabila Ana didakwa kerap keluar bersama bekas teman lelakinya.
Bagaimanapun pelakon itu menafikan tuduhan tersebut termasuklah kononnya dia berlaku curang.
Ana sah bergelar isteri kepada Chef Riz atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Redzuawan, 31, pada 11 Disember 2011.
Dalam pada itu, Ana enggan mengulas mengenai laporan kononnya dia dan Riz hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kajang untuk mengambil borang permohonan cerai.
Menurut Ana, dia percaya cerita sebenar di sebalik gosip rumah tangga mereka akan dapat dihidu sendiri oleh pihak media suatu hari nanti.
"Saya tidak mahu mengulas mengenai perkara itu dan rasanya pihak media sendiri akan tahu sama ada perkara itu benar atau pun tidak," jelasnya.
Bagaimanapun kata Ana, dia mengakui kesal apabila mengambil keputusan terburu-buru berkahwin dengan Riz selepas tiga bulan berkenalan tanpa berfikir panjang.
"Saya akui tempoh perkenalan kami singkat dan terlalu terburu-buru mengambil keputusan untuk berkahwin tetapi apa yang membuatkan saya bersetuju adalah kerana keluarganya cukup baik dengan saya," jelasnya.
Ana sah bergelar isteri kepada Chef Riz atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Redzuawan, 31, pada 11 Disember 2011.
Sementara itu, Ana berkata, dia sudah bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan terhadap rumah tangganya yang dibina tidak sampai setahun itu.
Dia juga yakin telah melakukan yang terbaik sebagai isteri namun masih menyimpan hasrat agar ia akan berakhir dengan baik.
"Saya mohon jangan menilai diri saya hanya dengan penyebaran cerita yang tidak benar kerana itu tidak akan membantu menyelesaikan masalah.
"Bagaimanapun saya sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan namun saya berharap ia akan dapat diselesaikan dengan baik.
Berikut adalah beberapa soalan yang diutarakan oleh pihak media kepada Ana mengenai kemelut rumah tangga yang sedang dihadapinya:
1. Sejauh mana kebenaran kononnya rumah tangga Ana dan Riz dikatakan sedang bermasalah?
Saya mengakui rumah tangga kami mempunyai masalah tetapi rasanya saya tidak perlu memberikan butiran mengenainya kerana ingin menjaga aib diri saya dan suami.
2. Sejauh mana kebenaran Ana dikatakan curang?
Saya tidak pernah mendekati mana-mana lelaki atau pun curang terhadap suami saya. Riz lebih mengetahui apa yang berlaku dalam rumah tangga kami.
3. Benarkah Ana dan Riz ada ke mahkamah untuk mengambil borang permohonan cerai?
Saya tiada komen mengenai perkara itu dan rasanya pihak media akan mengetahui sendiri sama ada cerita itu benar atau pun tidak.
4. Apa kata bapa mertua Ana iaitu Chef Wan mengenai pergolakan rumah tangga anda berdua?
Papa (Chef Wan) adalah seorang yang cukup bijak dan pemikirannya sangat tajam walaupun dia kadang-kadang agak lantang bersuara.Mengenai masalah kami berdua, saya boleh katakan Papa berada di belakang saya dalam menghadapi kemelut ini dan saya sangat bersyukur keluarga berada di sisi saya.
5. Apakah status Ana dengan Riz buat masa ini? Masih suami isteri?
Saya tiada komen mengenai perkara itu. Ia adalah peribadi.
6. Ana sudah bersedia sekiranya masalah ini akan terbongkar kelak?
Ya saya sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan namun saya berharap ia akan dapat diselesaikan dengan baik.
- mStarOnline

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu