adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Monday, January 30, 2012

Arrora Salwa Perjelas Tuduhan Bersekedudukan


Arrora Salwa
PETALING JAYA: Selepas dilemparkan dengan tuduhan enggan membayar hutang baru-baru ini, penyanyi Arrora Salwa sekali lagi dikaitkan dengan kontroversi terbaru yang mendakwa dia bersekedudukan dengan kekasihnya pula.
Arrora atau nama sebenarnya Salwa Md. Razak, 27, berkata tuduhan yang mendakwa dia tinggal serumah dengan kekasihnya yang juga bekas anggota kumpulan Max:247 iaitu Mohd Fairuz Shaari (Alloi) adalah satu lagi fitnah yang cuba disebarkan oleh bekas pembantu peribadinya untuk mencalar reputasinya.
“Dakwaan ini (bersekududukan) adalah satu lagi fitnah yang melampau. Selepas nama saya diburukkan dengan cerita kononnya enggan membayar hutang, kali ini bekas pembantu peribadi saya menuduh saya tinggal serumah dengan kekasih pula?
“Saya dan kekasih ada berbincang tentang cerita ini tetapi kami lebih senang mengambil pendekatan untuk bersikap tenang kerana ia tidak berasas sama sekali,” katanya.
Arrora berkata, dia mengakui kerap berkunjung ke rumah kekasihnya namun mereka tidak pernah berdua-duaan kerana lelaki itu tinggal bersama keluarganya.
“Tuduhan itu tidak ada berasas kerana kami tidak tinggal serumah seperti ynag didakwa. Kalau hendak tahu, Alloi tinggal bersama orang tuanya dan hubungan saya dan ibu bapanya memang akrab.
“Malah, saya akui kerap berkunjung ke rumahnya atau tidur di sana atas pelawaan ibu Alloi,” katanya yang enggan ambil peduli dengan dakwaan liar tersebut.
Terdahulu, penyanyi yang popular dengan lagu Ahmad itu menolak dakwaan yang mengatakan dia enggan membayar hutang sejumlah RM1,400 yang dipinjamnya sehingga diburu oleh seseorang.
Sebaliknya, Arrora berkata wang tersebut telah dipinjam oleh bekas pembantu peribadi yang  tidak lagi bekerja dengannya. - mStarOnline

"Pembantu Peribadi Punca Hubungan Retak" - Shahrizal Jaszle


Shahrizal Jaszle.
SHAH ALAM: Pelakon kontroversi, Shahrizal Jaszle mendedahkan keretakan hubungannya dengan Miera Leyana adalah disebabkan oleh fitnah yang dilemparkan oleh bekas pembantu peribadinya kepada kekasihnya itu.
Shahrizal atau sebelum ini dikenali sebagai Shah Jaszle berkata, cakap-cakap kurang enak mengenai hubungannya dengan Miera timbul apabila dia mengambil keputusan memecat pembantunya itu baru-baru ini.
"Hubungan saya dan Miera sebelum ini dalam keadaan baik malah kami merancang untuk berkahwin tetapi masalah timbul apabila saya memecat bekas pembantu peribadi kerana tidak tahan dengan sikapnya yang malas bekerja.
"Kerana tidak berpuas hati dengan tindakan saya itu, dia telah menfitnah saya dengan pelbagai dakwaan sehingga menyebabkan Miera termakan dengan kata-katanya," ujarnya kepada mStar Online.
Tambahnya, ketika kejadian dia tidak berada di tanah air kerana sedang menjalani penggambaran di Australia dan hanya mengetahui mengenai kekecohan itu sekembalinya dia ke sini.
"Saya terkejut apabila mendengar pelbagai cerita buruk mengenai diri saya sehingga tidak tahu sebab sebenar Miera marahkan saya.
"Namun setelah berjumpa dan bercakap dengannya barulah saya mendapat tahu punca sebenar," katanya.
Dalam pada itu, Shahrizal berkata, dia telah bersemuka dengan bekas pembantunya itu dan individu tersebut mengakui telah menfitnah dirinya kerana marah dipecat.
Shahrizal memberitahu, dia kecewa apabila seseorang yang pernah dia percaya dan bantu ketika dalam kesusahan telah melakukan perkara sedemikian kepadanya.
"Dia adalah seorang bekas banduan dan tiada siapa yang ingin mengambilnya bekerja. Saya telah memberinya peluang untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa dia boleh berdikari selepas keluar daripada penjara.
Mira Liyana.
"Tetapi peluang yang diberikan disia-siakan begitu sahaja apabila gagal melaksanakan tugas diberikan kepadanya sehingga memaksa saya memecatnya.
"Saya langsung tidak sangka tindakan saya itu telah menyebabkan dia menikam saya dengan cara yang paling dashyat," ujarnnya.
Sementara itu, Shahrizal berkata, ekoran pelbagai dakwaan termasuk mengatakan dirinya seorang kaki perempuan telah menyebabkan kekasihnya itu merajuk dengannya gara-gara termakan kata-kata bekas pembantu peribadinya itu.
Ujarnya, sikap Miera yang mudah terguris dan merajuk ditambah dengan hasutan daripada rakan-rakan yang menyuruh dia meninggalkan dirinya telah menyebabkan kes berkenaan bertambah parah.
"Sehingga kini dia masih merajuk dengan saya dan mahu dipujuk. Saya juga telah menjelaskan tentang kedudukan sebenar tetapi dia belum menerima sepenuhnya.
"Apa yang boleh saya katakan walaupun kami tidak putus tetapi hubungan kami berada di tahap yang agak sukar dan kami masing-masing sedang memperbaikinya," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Shahrizal memberitahu dia tidak berhasrat untuk mencari pembantu peribadi baru kerana lebih selesa menguruskan kerjaya seninya sendiri.
"Masa ada pembantu dulu pun semua perkara saya lakukan sendiri tanpa mengharapkannya jadi rasanya ia akan kekal begitu," katanya. - mStarOnline

Saturday, January 28, 2012

Fahrin Dedah Rahsia Elak Wanita Diperdaya Lelaki


Fahrin Ahmad
PETALING JAYA: Pelakon Fahrin Ahmad ingin “membocorkan” rahsia mengenai lelaki untuk menyelamatkan para wanita agar tidak diperdaya oleh golongan itu.
Fahrin berkata, dia terdorong untuk melakukan perkara tersebut kerana mendapati sejak kebelakangan ini ramai wanita yang sering teraniaya dek kata-kata manis lelaki selain melihat gejala sosial yang semakin merebak.
“Saya merasakan perlu untuk berkongsi rahsia bagaimana seseorang lelaki itu menggunakan kata-kata manisnya untuk memperdayakan wanita. Dengan cara itu golongan berkenaan dapat mengelak daripada termasuk dalam perangkap lelaki yang ingin mengambil kesempatan kepada mereka,” katanya kepada mStar Online.
Jelas Fahrin, maklumat itu akan dikongsi dengan orang ramai menerusi kursus motivasi yang akan dianjurkan bersama rakannya.
Dalam kursus itu nanti selain Fahrin, beberapa pakar motivasi akan di undang untuk mengajar selok-belok 'permainan' lelaki yang cuba memikat dan merosakkan kehidupan seseorang wanita.
"Selepas membuat kajian mengenai pengisian dalam sesebuah kursus motivasi, didapati wanita kurang didedahkan mengenai taktik lelaki yang mempunyai niat jahat terutamanya yang mahu cuba memikat.
"Justeru itu, saya dan rakan kongsi menghasilkan modul berkenaan dan ternyata ia menerima respons positif selepas menganjurkan kursus di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Disember tahun lalu," katanya yang masih merancang untuk mengendalikan aktiviti itu pada tahun ini.
Dalam pada itu, Fahrin turut mengakui bahawa dia kini sedang berjinak-jinak dalam bidang motivasi, sebagai ganti cita-citanya yang mahu menjadi seorang guru sejak kecil lagi.
"Selain berlakon dan mengacara, saya mahu memberikan sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat.
"Dan pada tahun lalu, saya memulakan langkah demi langkah dengan mengambil ilmu daripada beberapa pakar motivasi yang antaranya seperti Datuk Dr. Fadzillah Kamsah dan Dr. Tengku Ismadi.
"Kebetulan pula, saya juga mengacarakan program realiti terbitan Astro Ria berjudul Misi 12, di mana ia sebuah program yang mahu membimbing dan menyelamatkan golongan remaja bermasalah ," ujarnya.
Misi 12 akan disiarkan pada setiap Selasa, pukul 9 malam bermula 7 Februari menerusi saluran Astro Ria (104). - mStarOnline

Zed Zaidi Sedih Tiada Anak Kembar


Zed Zaidi.
PETALING JAYA: Pelakon filem Niyang Rapik, Zed Zaidi berasa sedih selepas mengetahui isterinya, Nelly Natalia tidak hamil anak kembar seperti mana yang dimaklumkan sebelum ini.
Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, 31, berkata, isterinya yang mengandung tiga bulan telah melakukan pemeriksaan kali kedua di sebuah klinik dan diberitahu oleh doktor tentang perkara itu.
"Sebelum ini masa buat pemeriksaan awal, doktor kata mungkin isteri saya mengandung anak kembar tetapi selepas melakukan pemeriksaan semalam, hanya ada seorang bayi sahaja.
"Walaupun sedikit hampa tetapi saya tetap bersyukur dengan rezeki yang telah diberikan kepada saya dan isteri," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Jumaat.
Tambah Zed, seperti kebanyakan ibu mengandung lain, isterinya, turut mengalami alahan teruk pada peringkat awal kandungan.
Pada satu tahap katanya, keadaan Nelly agak teruk apabila asyik mengalami muntah-muntah dan tidak berselera untuk menikmati makanan.
"Masa mula-mula mengandung saya agak risau juga kerana alahannya sangat teruk tetapi alhamdulillah, sekarang ia telah berkurangan dan berada di dalam keadaan baik.
"Nelly juga sudah mula mengidam untuk makan buah naga dan nasib baik dia tidak minta benda yang pelik-pelik," ujarnya.
Ditanya mengenai perasaannya bakal bergelar bapa pada Ogos nanti, Zed berkata dia teruja untuk menunggu saat tersebut kerana bayi yang bakal lahir itu nanti akan menjadi cucu pertama keluarga mertuanya.
Zed memberitahu, walaupun tidak kisah dengan jantina anak tetapi dia berharap akan kelahiran bayi lelaki.
"Saya mahukan anak lelaki sebagai anak pertama bukan apa kerana dia nanti boleh memimpin keluarga apabila saya tiada lagi di dunia.
"Bagaimanapun, saya menerima apa juga rezeki yang diberikan oleh Allah kerana anak adalah amanah buat saya dan isteri," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Zed berkata, filem sulung terbitan syarikatnya Dzed Resources Sdn Bhd berjudul Taiko sedang dalam proses latihan dan bakal memulakan penggambaran dalam masa terdekat.
Zed memberitahu, dia juga telah membuka profil khas filem itu di Facebook dan terkejut apabila ia sudah pun menerima 1,000 pengikut walaupun belum ditayangkan.
"Ia adalah maklum balas positif apabila lebih daripada 1,000 orang telah mengikut profil berkenaan dan pihak kami sentiasa memuat turun aktiviti terbaru filem tersebut," ujarnya.
Tambahnya, dia juga sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri 13 episod berjudul “Apa Celup” arahan Ahmad Idham untuk siaran TV3 yang turut menggandingkannya dengan Kamal Adli, Wan Sharmila dan Amanda Misbun. - mStarOnline

Saturday, January 21, 2012

Pesanan Terakhir Izwan Pilus Minta Aril Jaga Ibu Bapa


Izwan Pilus dan Aril sering berkongsi masalah bersama. Foto UTUSAN
PETALING JAYA: Penyanyi Khairil Azam Pilus atau Aril memberitahu tidak dapat melupakan pesanan abangnya, Allahyarham Khairil Izwan Pilus, 33, supaya menjaga ibu dan ayah mereka.
Selain amanat itu, Izwan pernah memarahi Aril yang masih tidak tahu melipat baju kira-kira tiga minggu lalu itu.
"Semua ini berlaku dengan begitu pantas. Saya tak sangka abang (Izwan) pergi secepat ini. Masih terngiang-ngiang di telinga saya apabila dia memberi kata-kata akhir yang dia sayangkan saya dan meminta saya untuk menjaga mak dan ayah.
"Malah tiga minggu sebelum meninggal, dia ada memarahi saya kerana tidak tahu melipat baju. Katanya; ‘Kau ni bila nak pandai lipat baju’? Nak tunggu aku mati ke baru nak belajar?'," katanya sebak.
Izwan meninggal dunia di Hospital Ampang, dekat sini kira-kira pukul 6.15 petang Jumaat, akibat terkena jangkitan kuman dalam darah dan virus kencing tikus yang serius.
Orang ramai hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Izwan Pilus. Foto ihsan Maya (Matahari)
Mengimbas tentang karakter Izwan, kata Aril yang merupakan bintang Akademi Fantasia ke Tujuh (AF7), penyanyi itu seorang yang bersifat pelindung dan selalu membantu keluarga ketika dalam kesusahan. Malah Izwan begitu bijak dalam menguruskan hal keluarga.
Dalam pada itu, Aril dan abangnya itu turut merancang untuk menghasilkan sebuah single duet bersama, namun impian itu tidak kesampaian.
"Nampaknya impian kami untuk menyanyi berduet tidak tercapai dan saya pun tak pasti apa yang perlu dirancang selepas ini memandangkan abang dah tak ada," ujarnya ringkas.
Ketika di hospital, lebih daripada 100 orang termasuklah keluarga, rakan-rakan artis dan pihak media memenuhi kawasan bilik mayat untuk melihat Allahyarham buat kali terakhir.
Penyanyi Farhan (AF) yang datang bersama tunangnya berkata, dia terkejut dengan berita kematian teman akrabnya itu.
"Walaupun sedih dengan pemergiannya, saya reda dengan ketentuan Ilahi. Sekurang-kurangnya saya adalah orang yang terawal datang ke hospital untuk melihatnya buat kali terakhir.
"Memang perasaan saya sangat sedih kerana kami telah mengharungi pelbagai kenangan pahit dan manis bersama sejak berkenalan pada pertandingan nyanyian Bintang RTM pada tahun 2004.
"Dia seorang yang begitu baik dan suka menyakat rakan-rakannya. Semoga rohnya dicucuri rahmat," kata Farhan.
Pelakon dan penyampai radio Suria FM, Kencana Devi pula berkata, sehingga kini dia masih lagi tidak dapat menerima kehilangan Izwan kerana usia yang terlalu muda.
"Susah untuk saya terima tentang pemergiannya. Berdasarkan apa yang saya tahu, Izwan seboleh-bolehnya tidak mahu menyakiti hati sesiapa dan kerana itu dia dikelilingi ramai teman hari ini," ujarnya.
Selain Farhan dan Kencana, antara selebriti yang melawat Allahyarham di hospital ialah Farawahida, Zed Zaidi, Akim dan Hafiz (AF), Azza (Elite) dan Roslan Shah.
Izwan merupakan finalis Bintang RTM 2004 telah menghasilkan album “Erti Kasih” yang memuatkan lagu “Kembali Senyum”, sebuah lagu saduran yang dipetik daripada drama “Full House” dari Korea Selatan.
Dia juga aktif menjadi pengacara untuk beberapa program terbitan RTM.
Terdahulu jenazah Allahyarham yang di bawa pulang ke kampungnya pada Jumaat selamat dikebumikan kira-kira pukul 10.30 pagi Sabtu, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Palembang Gubah, Jasin, Melaka. - mStarOnline

Thursday, January 19, 2012

Kereta melambung


Keadaan kereta Perodua Kancil yang remuk selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Sultan Mizan, Kuala Terengganu semalam - imej:KOSMO.

KUALA TERENGGANU: Empat lelaki maut manakala seorang wanita terselamat dalam kemalangan ngeri membabitkan tiga kereta di Jalan Sultan Mizan berhampiran Taman Semarak, di sini, kira-kira jam 6.25 petang semalam.

Mangsa terbunuh dikenali sebagai Mohd Rizal Ibrahim, 30, dari Sungai Limau, Baling, Kedah dan rakannya, Mohd Faris Mohd Shaimi, 26, kakitangan Institut Latihan Perindustrian Kuala Terengganu yang menaiki kereta jenis Honda.

Dua mangsa lagi yang maut menaiki kereta Perodua Kancil dikenali sebagai Nor Azmi Mat Jusoh, 21, dari Felda Mengkawang, Kuala Berang, Hulu Terengganu dan Mohd Zaini Abdul Razak, 43, yang berasal dari Taman Ayer Keroh Height 1, Ayer Keroh, Melaka.

Semua mangsa cedera parah di kepala dan badan. Manakala mangsa terselamat ialah Noriani Mohamad, 36, dari Kampung Mengabang Telung, di sini, yang memandu kereta Proton Persona.

Menurut saksi, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Honda dari arah Stadium Sultan Mizan, di sini, terbabas dan melambung sebelum menghempap kereta Perodua Kancil yang dalam perjalanan dari arah bertentangan.

“Kejadian itu menyebabkan pemandu Proton Persona yang berada di belakang Perodua Kancil itu terkejut sebelum membrek secara mengejut menyebabkan bahagian hadapan kereta berkenaan remuk,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Abdullah Zawawi Mamat yang mengetuai operasi berkenaan berkata, pihaknya tiba di tempat kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang ramai kira-kira jam 6.30 petang.

“Kami mendapati empat daripada lima mangsa yang terbabit dalam kemalangan terbabit sudah meninggal dunia dan mengambil masa kira-kira setengah jam bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya.

Ketua Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam/Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Superintendan Che Khazahari Amat ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian itu. - myMetro

Wednesday, January 18, 2012

Dituduh 'Berlakon' Dalam Kes Samun, Wardina Panggil Penulis Blog


Wardina Safiyyah.
PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara, Wardina Safiyyah menjemput penulis blogruangbicarafaisal.blogspot.com iaitu Tun Faisal Ismail Aziz menemuinya jika ingin mengetahui sama ada kejadian samun yang berlaku terhadapnya baru-baru ini adakah lakonan atau pun kisah benar.
Wardina berkata, dia tidak mempunyai sebarang keperluan untuk menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh Exco Pergerakan Pemuda Umno itu seperti yang diminta.
"Jika dia mahu jawapan kepada semua persoalan yang bermain di dalam mindanya sila datang berjumpa saya. Tidak ada sebab mengapa saya perlu membalas dengan menulis kenyataan saya untuk dia meletakkan jawapan saya itu di dalam blognya.
"Biarlah orang ramai sendiri yang membuat penilaian terhadap semua perkara yang ditimbulkan kerana saya sudah penat untuk bercakap mengenai hal tersebut," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Rabu.
Antara petikan menerusi ruangbicarafaisal.blogspot.com mempersoalkan kejadian samun Wardina.
Wardina diminta mengulas mengenai tulisan menerusi ruangbicarafaisal.blogspot.comyang mempersoalkan kononnya dia memperbesar-besarkan kejadian rompakan yang berlaku di rumahnya semata-mata untuk menagih simpati orang ramai bagi mendapatkan publisiti.
Penulis blog itu juga mempertikaikan tindakan Wardina yang mendakwa berada dalam keadaan trauma tetapi sempat meminjam komputer milik jiran untuk menulis kejadian yang berlaku menerusi Twitter miliknya.
Dalam pada itu, Wardina berkata, dia tidak berasa terkesan dengan tulisan tersebut sebaliknya menganggap penulis blog itu terlalu mempunyai banyak masa untuk menulis pelbagai cerita mengenai orang lain.
Wardina berkata, dia juga tidak risau dengan pandangan masyarakat yang membaca entri tersebut kerana percaya mentaliti masyarakat di negara ini sudah cukup bijak untuk menilai sama ada kejadian tersebut benar atau tidak.
"Mungkin ada segelintir pihak akan terpengaruh dengan entri tersebut dan memikirkan perkara negatif mengenai diri saya, tetapi saya percaya itu hanya mewakili segelintir pihak sahaja.
Wardina Safiyah bersama suaminuya, Ikhwan Johari menunjukkan barang yang diselongkar oleh perompak dalam kejadian pecah masuk di rumah mereka pada 12 Januari lalu. foto: BERNAMA
"Rakan-rakan dan keluarga tahu apa yang sebenarnya yang berlaku dan pada tahap ini itu sudah memadai," ujarnya.
Sementara itu, Wardina berkata, penulis blog tersebut sepatutnya menulis sesuatu yang lebih bermanfaat dan berfaedah sebagai bahan bacaan supaya dapat mengembangkan minda masyarakat.
Katanya, walaupun kejadian samun yang berlaku terhadapnya mendapat liputan luas tetapi ia telah membuka mata banyak pihak supaya menjadi lebih berhati-hati dalam menjaga keselamatan keluarga.
"Ada perkara yang lebih penting untuk saya fikirkan daripada melayan karenah orang sebegini yang nyata hanya membuang masa," ujarnya.
Pada 12 Januari lalu, Wardina mengalami kerugian kira-kira RM20,000 apabila rumahnya dimasuki tiga lelaki bersenjata di Taman Bukit Utama, Bukit Antarabangsa, dekat sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, tiga penjenayah terbabit memasuki rumah Wardina setelah mengumpil pintu belakang rumah teres tepi dua tingkat milik beliau sebelum mengarahkan semua anggota keluarga Wardina berkumpul. - mStarOnline

Umie Aida Mahu Beri Fokus Pada Keluarga


Umi bersama suaminya, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan pada majlis sambutan hari jadinya yang ke 39 pada malam Selasa. Foto Ihsan UTUSAN MALAYSIA.
PETALING JAYA: Pelakon Datin Umie Aida, 39, tidak merancang untuk memiliki anak sendiri sebaliknya cukup dengan hanya memberi fokus terhadap suami, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan dan dua orang anak angkatnya, Mohd Daniel Firdaus, 19, dan Mohd Dzulhelmy, 18.
Malah, Umie berkata, meluangkan lebih banyak masa dengan keluarga dan mengurangkan aktiviti seni lakonan merupakan sebahagian daripada azamnya untuk tahun ini.
"Sebenarnya saya tidak mahu memikirkan tentang kehadiran 'orang baru' dalam keluarga ini. Dua orang anak angkat bersama seorang suami di sisi sudah cukup membahagiakan saya.
"Bagaimanapun, andai kata Tuhan menambah rezeki kami dengan dikurniakan seorang anak, kami sekeluarga tetap menerimanya dengan hati yang gembira," katanya selepas majlis ulang tahun hari jadinya yang ke-39 di Bukit Kiara Golf & Country Club (KLGCC) Bukit Kiara, di sini, Selasa.
Sebelum majlis sambutan hari jadinya itu, Umie telah diberikan kejutan daripada suami dan adiknya, Betty.
Betty memperdaya Umie kononnya ingin makan malam bersama sebelum ke pusat karaoke memandangkan Khairuddin berada di Ipoh, Perak untuk bermain golf.
Umi bergambar bersama-sama artis yang hadir.
"Biasanya, saya boleh mengagak kejutan hari jadi yang mereka buat. Tetapi tidak untuk kali ini kerana saya ingatkan suami berada di Ipoh.
"Tambah pula kejutan dibuat sehari sebelum tarikh lahir saya (18 Januari). Akhirnya mereka berjaya mengenakan saya juga," seloroh Umie.
Bercerita tentang hadiah hari lahir pemberian suami, Umie berkata dia tidak menerima dan meminta apa-apa hadiah daripada suaminya.
“Saya tidak mengharapkan apa-apa hadiah. Yang penting suami memberikan kasih-sayang dan menghargai diri saya.
“Sempena ulang tahun ini, saya mendoakan agar dapat menjadi isteri dan ibu yang baik untuk keluarga,” ujarnya yang akan terlibat dengan penggambaran drama, Waris pada 25 Januari ini.
Pada sambutan hari lahir Umie, seramai 60 orang tetamu memeriahkan acara itu termasuklah para selebriti seperti Rashidi Ishak, Vanidah Imran, Noniswara, Datin Sofea Jane, Iqram Dinzley dan Rabecca Nur Al-Islam. - mStarOnline

Azwan Ali Berdamai & Mohon Maaf Terhadap Umie Hafilda


Azwan Ali membuat aku janji dan memohon maaf secara terbuka kepada adiknya Ummi Hafilda Ali. Foto BERNAMA
PETALING JAYA: Bekas pengacara televisyen, Azwan Ali, membuat aku janji dan memohon maaf secara terbuka kepada adiknya, Ummi Hafilda Ali termasuk para pemimpin politik dan artis yang selama ini tersinggung dengan mesejnya menerusi laman sosial Twitter.
Azwan turut berjanji tidak akan menghantar sebarang Twitter mengenai politik dan isu-isu semasa pada masa akan datang.
Azwan juga mengaku terpengaruh dengan hasutan daripada pelbagai sudut dan mereka yang berkepentingan politik ketika menghantar entri menerusi Twitter kepada para pemimpin Barisan Nasional (BN).
Beliau turut mengaku pernah mencanangkan abangnya, Azmin Ali yang merupakan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Ahli Parlimen Gombak bakal menjadi Menteri Besar Selangor.
Perkara tersebut dilakukan atas keghairahannya dengan rasa bangga apabila mendapat maklumat itu yang didakwanya diberitahu sendiri oleh ‘seseorang dalam Kerajaan Negeri Selangor’.
Ummi Hafilda dan Azwan, kedua-duanya tampil mengadakan sidang akhbar di Kuala Lumpur pada Rabu.
Azwan Ali
Azwan melakukan akuan bersumpah itu kerana mengakui dirinya dalam kekhilafan.
“Saya melakukan akuan bersumpah ini kerana saya akui yang saya terkhilaf dan kerana bersandarkan hasil hasutan-hasutan... Sidang media ini adalah untuk jernihkan keadaan.
“Dia (Ummi Hafilda) bukan wanita keji. Saya mohon maaf kepada Ummi juga kerana tuntutan ibu yang tabah menghadapi dugaan kerana pergolakan anak-anak,” katanya lagi.
Sementara itu Ummi Hafilda akan menarik balik laporan polis yang dibuat Azwan.
Tindakan itu diambil selepas Azwan memberi jaminan akan melakukan akuan bersumpah di hadapan media dan memastikan keselamatannya terjamin.
“Berkat doa ibu. Kami yang hampir tujuh tahun tidak bertegur sapa dan daripada musibah ini, kami berdamai. Saya bersyukur, Allah makbulkan doa ibu,” katanya.
Polis pada Jumaat lalu menahan Azwan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan ugutan jenayah yang dipercayai dilakukan terhadap adiknya, Ummi Hafilda.
Ummi Hafilda membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail pada hari yang sama yang antara lain mendakwa Azwan membuat ugutan untuk membunuh dan membakarnya melalui Twitter.
Namun, kes itu dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya kerana kejadian tersebut berlaku di kediaman Ummi Hafilda di Kota Damansara di sini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan mengenai kejadian itu.
Menurutnya, susulan laporan itu, polis memanggil dan menahan Azwan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah terhadap Ummi.
Difahamkan, berdasarkan keterangan yang diambil daripada Azwan pada hari berkenaan, beliau mendakwa ugutan itu dibuat atas arahan abangnya, Azmin Ali dan polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kandungan Twitter berkenaan. -  mStarOnline

Azwan Ali didakwa ugut Ummi Hafilda


Hilang sabar kerenah Azwan
Imej: Harian Metro

KUALA LUMPUR 17 Jan. - Polis menahan bekas pengacara televisyen, Azwan Ali bagi membantu siasatan berhubung dakwaan ugutan jenayah yang dipercayai dilakukan terhadap adiknya, Ummi Hafilda Ali pada Jumaat lalu.

Azwan yang pernah mengacarakan program Jangan Tidur Lagi dikatakan ditahan pihak polis pada hari yang sama.

Ummi Hafilda yang membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) mendakwa Azwan membuat ugutan untuk membunuh dan membakarnya melalui laman sembang Twitter, bulan lalu.

Namun, kes itu dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya kerana kejadian tersebut berlaku di kediaman Ummi Hafilda di Kota Damansara.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu.

Menurutnya, susulan laporan itu, polis memanggil dan menahan Azwan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah terhadap Ummi.

Difahamkan, berdasarkan keterangan yang diambil daripada Azwan pada hari sama, beliau mendakwa ugutan itu dibuat atas arahan abangnya, Azmin Ali dan polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kandungan Twitter berkenaan.

Turut difahamkan, pihak polis juga telah memanggil beberapa individu lain antaranya Azmin, isteri beliau, Shamsidar Tahrin dan ibu mereka bagi membantu siasatan.

"Beliau (Azwan) dibebaskan dengan jaminan polis pada hari sama selepas kita berpuas hati dengan keterangan yang diberikan.

"Polis turut merampas dua buah telefon bimbit miliknya bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini malam ini.

Dalam pada itu, Ummi Hafilda dijangka mengadakan sidang akhbar esok bagi memberi penjelasan lanjut mengenai perkara ini. - UTUSAN

Kelindan lori rogol gadis bawah umur dipenjara tiga tahun


WAN Roslan Kadir (kiri) diiringi anggota polis atas tuduhan merogol di Mahkamah Sesyen, Melaka, semalam. - UTUSAN/AZLI AHAD

MELAKA 17 Jan. - Seorang kelindan lori dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah merogol seorang gadis bawah umur dan menceroboh rumah abang mangsa bagi melakukan jenayah seksual tersebut antara Julai dan Ogos 2010.

Hakim Ahmad Sazali Omar menjatuhkan hukuman itu terhadap Wan Roslan Kadir, 20, yang melakukan kedua-dua kesalahan itu di sebuah rumah di Batu 18/12, Kampung Lendu, Alor Gajah, dekat sini.

Mengikut pertuduhan pertama, pemuda itu didakwa merogol remaja berusia 14 tahun di dalam sebuah bilik di rumah tersebut kira-kira pukul 12 tengah malam, 20 Julai 2010.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Wan Roslan turut didakwa menceroboh rumah abang mangsa di alamat yang sama bagi melakukan cubaan rogol kira-kira pukul 1 pagi, 11 Ogos 2010.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 451 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat yang mengendalikan pendakwaan, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh.

Peguam, Andrew Lourdes yang mewakili Wan Roslan pula memohon agar mahkamah meringankan hukuman terhadap tertuduh atas alasan anak guamnya telah insaf.

Ahmad Sazali kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi kesalahan rogol dan penjara dua tahun bagi kesalahan menceroboh.

Kedua-dua hukuman diperintahkan berjalan serentak. - UTUSAN

Pelajar dituduh cuba bunuh teman wanita


KUALA LUMPUR 17 Jan. - Seorang pelajar kolej swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini hari ini atas tuduhan cuba membunuh teman wanitanya dengan menikam perut mangsa menggunakan sebilah pisau, minggu lalu.

Osleh Osman, 20, yang berketurunan suku kaum Kagayan dari Sabah didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap Nor Azlin Yusuf, 20, dengan menikam di bahagian kiri perut mangsa.

Kejadian didakwa berlaku di Bilik Mesyuarat Kolej Integrasi Kejururawatan dan Kesihatan Bersekutu (ICAN), Tingkat 10, Menara Maxisegar, Jalan Pandan Indah 4/2, Pandan Indah, Ampang Jaya dekat sini pada pukul 10.30 pagi, 11 Januari lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Sekiranya perbuatan itu menyebabkan kecederaan kepada mangsa, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hafizah Rajuni tidak menawarkan sebarang jaminan dengan alasan seksyen tersebut tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menyifatkan kes tersebut sebagai kes yang serius iaitu cubaan membunuh.

Bagaimanapun, menurutnya, jika mahkamah cenderung membenarkan tertuduh dijamin, pihak pendakwaan mencadangkan wang jaminan RM15,000 selain syarat jaminan iaitu melarang tertuduh mendekati mangsa serta keluarganya.

Pihak pendakwa juga memohon tertuduh dikehendaki melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Peguam bela yang mewakili tertuduh, M.K. Thas merayu agar tertuduh dibenarkan diikat jamin kerana penjamin-penjamin yang hadir merupakan keluarga tertuduh sendiri.

"Kakak tertuduh merupakan seorang kakitangan Jabatan Penjara dan bapa saudaranya merupakan seorang bekas anggota tentera laut. Saya yakin mereka boleh memastikan tertuduh hadir ke mahkamah pada masa akan datang," katanya.

Hakim Manira Mohd. Nor membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin selain mengenakan syarat-syarat tambahan seperti yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 21 Februari depan untuk sebutan semula kes. - UTUSAN

Penganggur didakwa bunuh teman wanita


S. MANOHARAN dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ipoh, semalam.

IPOH 17 Jan. - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh teman wanitanya yang mayatnya kemudian ditemui dengan kesan hentakan objek tumpul di kepala dan badan serta dibungkus dalam tilam awal tahun ini.

S. Manoharan, 50, yang memakai baju lokap ungu dilihat bersahaja ketika masuk ke kandang pesalah kira-kira pukul 10 pagi ketika kesnya disebut di hadapan Majistret Mohamad Nasruddin Mohamed.

Bagaimanapun, sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Tamil, secara tiba-tiba Manoharan mengangkat tangannya sehingga menyebabkan semua yang berada di dalam mahkamah memandang ke arahnya.

"Jika pertuduhan ditukar kepada Seksyen 304 Kanun Keseksaan (menyebabkan kematian), saya mahu mengaku bersalah sekarang juga. Tapi kalau Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh), saya tidak mahu cakap apa-apa," kata Manoharan dalam bahasa Tamil.

Seksyen 304 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya manakala Seksyen 302 Kanun Keseksaan pula memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Mohamad Nasruddin kemudiannya meminta Manoharan duduk dan menjelaskan pertuduhan tersebut hanya boleh dipinda oleh pihak pendakwa.

Prosiding kemudiannya diteruskan dan tiada pengakuan direkodkan daripada Manoharan yang tidak diwakili peguam bela.

Mengikut pertuduhan, Manoharan didakwa membunuh Indeer Kaur a/p Jeswant Singh, 23, di sebuah rumah bernombor 22, Lapangan Perdana 26, Panorama Lapangan Perdana di sini.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu antara pukul 7 dan 10 pagi, 31 Disember tahun lalu dan membuang mayat wanita berkenaan dalam belukar berhampiran Perkampungan Orang Asli, Juang, Simpang Pulai.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Al-Hirzan Mohamad Akhir mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mohamad Nasruddin kemudian menetapkan 16 April ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dari Jabatan Kimia Malaysia.

Mengikut laporan akhbar, penduduk Kampung Juang Simpang Pulai gempar dengan penemuan mayat seorang wanita dengan keadaan kepalanya sudah berulat di tepi jalan berhampiran perkampungan Orang Asli itu pada 3 Januari lalu.

Mayat wanita muda itu ditemui dengan kesan hentakan objek tumpul di kepala dan badan dibungkus dalam tilam pada pukul 2.30 petang. - UTUSAN

Hattan Mahu Tenangkan Diri Selepas Bercerai


PETALING JAYA: Selepas disahkan bercerai pada 19 Januari lalu, penyanyi Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabudin, 48, ingin menenangkan fikiran dan tidak mahu memberi sebarang komen tentang isu itu.
Hattan berkata selepas melalui detik sukar tersebut, dia akan meneruskan kehidupan serta menguruskan perniagaannya seperti biasa.
"Tiada lagi kenyataan akan dibuat berhubung dengan isu ini (cerai) lagi. Saya cuma nak relaks sahaja dan menjalani kehidupan seperti biasa," katanya ringkas kepada mStar Online, ketika dihubungi di sini, Selasa.
Hattan melafazkan cerai talak satu terhadap bekas isterinya, Farah Asyikin Othman di hadapan Hakim Abdul Rashid Ramli sekitar pukul 11.30 pagi di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Pilah, pada 19 Januari lalu selepas kira-kira dua bulan mendirikan rumah tangga.
Terdahulu, mereka telah berkahwin pada 11 November tahun lalu secara tertutup dengan kehadiran tetamu seramai 100 orang di kediaman penyanyi tersebut di Seri Menanti, Negeri Sembilan.
Selepas bercerai, persoalan punca kedua-dua mereka bercerai menemui jawapannya apabila foto Farah yang menunjukkan dia sedang berpelukan dengan seorang lelaki di atas katil tersebar.
Bagaimanapun, Hattan enggan mengulas lanjut tentang isu foto berkenaan.
Ditanya adakah Hattan serik untuk melalui kehidupan berumah tangga, katanya dia tidak kisah seandainya Tuhan menemukan jodoh buat dia pada masa akan datang.
"Serik atau tidak, semua itu kerja Tuhan dan Dia yang tentukannya. Saya tiada hak untuk berkata demikian (serik).
"Perancangan saya seterusnya, saya mahu main golf'," seloroh penyanyi yang popular dengan lagu Biso Bonar itu.
Hattan sebelum ini pernah berkahwin tetapi jodohnya tidak panjang selepas dikurniakan seorang anak lelaki, Adam Eiman, 13. Beliau menduda selama enam tahun sebelum berkahwin dengan Farah Asyikin. - mStarOnline

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu