adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Wednesday, January 18, 2012

Penganggur didakwa bunuh teman wanita


S. MANOHARAN dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ipoh, semalam.

IPOH 17 Jan. - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh teman wanitanya yang mayatnya kemudian ditemui dengan kesan hentakan objek tumpul di kepala dan badan serta dibungkus dalam tilam awal tahun ini.

S. Manoharan, 50, yang memakai baju lokap ungu dilihat bersahaja ketika masuk ke kandang pesalah kira-kira pukul 10 pagi ketika kesnya disebut di hadapan Majistret Mohamad Nasruddin Mohamed.

Bagaimanapun, sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Tamil, secara tiba-tiba Manoharan mengangkat tangannya sehingga menyebabkan semua yang berada di dalam mahkamah memandang ke arahnya.

"Jika pertuduhan ditukar kepada Seksyen 304 Kanun Keseksaan (menyebabkan kematian), saya mahu mengaku bersalah sekarang juga. Tapi kalau Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh), saya tidak mahu cakap apa-apa," kata Manoharan dalam bahasa Tamil.

Seksyen 304 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya manakala Seksyen 302 Kanun Keseksaan pula memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Mohamad Nasruddin kemudiannya meminta Manoharan duduk dan menjelaskan pertuduhan tersebut hanya boleh dipinda oleh pihak pendakwa.

Prosiding kemudiannya diteruskan dan tiada pengakuan direkodkan daripada Manoharan yang tidak diwakili peguam bela.

Mengikut pertuduhan, Manoharan didakwa membunuh Indeer Kaur a/p Jeswant Singh, 23, di sebuah rumah bernombor 22, Lapangan Perdana 26, Panorama Lapangan Perdana di sini.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu antara pukul 7 dan 10 pagi, 31 Disember tahun lalu dan membuang mayat wanita berkenaan dalam belukar berhampiran Perkampungan Orang Asli, Juang, Simpang Pulai.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Al-Hirzan Mohamad Akhir mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mohamad Nasruddin kemudian menetapkan 16 April ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dari Jabatan Kimia Malaysia.

Mengikut laporan akhbar, penduduk Kampung Juang Simpang Pulai gempar dengan penemuan mayat seorang wanita dengan keadaan kepalanya sudah berulat di tepi jalan berhampiran perkampungan Orang Asli itu pada 3 Januari lalu.

Mayat wanita muda itu ditemui dengan kesan hentakan objek tumpul di kepala dan badan dibungkus dalam tilam pada pukul 2.30 petang. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu