adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Tuesday, February 28, 2012

Dato' Siti Nurhaliza Beli kediaman Mewah RM1 Juta Di Australia

Siti Nurhaliza


Penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin menandatangani perjanjian membeli sebuah pangsapuri satu bilik di The Istana dalam majlis pelancaran projek kediaman itu, baru-baru ini.

Pemaju hartanah tempatan, Magna Prima Bhd. yang menjadi peneraju utama dalam pembinaan kediaman itu di Melbourne, Autralia menampilkan Siti Nurhaliza sebagai pembeli dan pelabur pertama unit kediaman mewah itu.

The Istana merupakan pangsapuri kediaman menara tunggal setinggi 25 tingkat terletak di A’Beckett Street iaitu di tengah-tengah kawasan pusat perniagaan Melbourne.

Sebelum ini, projek itu dikenali sebagai Dynasty Living yang dibangunkan di atas kawasan berkeluasan 10,800 meter persegi yang memuatkan 320 unit kediaman.

Pertukaran nama kepada The Istana merupakan satu langkah strategik untuk mencerminkan ciri hartanah dan sentuhan arkitek Malaysia. - Media Hiburan

'Permintaan' Azean Irdawaty

azean


Hari ini genaplah usia 62 tahun seniwati Azean Irdawaty. Namun, sambutannya tidak semeriah seperti orang lain.


Tidak meminta sebarang hadiah sempena ulang tahun kelahirannya, Azean atau lebih mesra disapa Kak Yan hanya mengharapkan bantuan dan belas ehsan rakan-rakan seperjuangan.


'Permintaan' Kak Yan disampaikan oleh rakan artis Lydiawaty menerusi khidmat pesanan ringkas yang berbunyi;


"AsSalamuaalaikum, Hr ni I 62thn. Syukur Alhamdulillah... Nak mintak "present":)... Boleh x nak mintak tlg.. Boleh x u tlg kumpulkan kwn2,pggil org2 masjid,buat solat hajat mntak I sembuh? Sakit d 2lang blakang semakin btambah.. Kaki2 kebas balik. Panas membara mcm api dlm daging. Azab rasanye .. Tlg lah ye.. Kkyan." - Media Hiburan

Ana Raffali sah bergelar isteri


Ana Raffali sah bergelar isteri
KUALA LUMPUR - Hanya dengan sekali lafaz, penyanyi popular  Ana Nur Hidayah Mohd Raffali atau Ana Raffali sah bergelar sebagai isteri Ahmad Aznaim Abdullah, 30, tepat pada jam 11.55 pagi 25.02.2012, pada majlis yang berlangsung di  Masjid Al Hidayah, Taman Melawati di sini.
Pasangan Ana-Ahmad Aznaim dinikahkan oleh bapa Ana sendiri, Mohd Raffali Mohd Nor dengan mas kahwin RM11,412.
Pada majlis itu, Ana, 26, turut menerima tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki.
Pihak perempuan pula membalas dengan sembilan dulang.
Penyanyi Tolong Ingatkan Aku ini mengumumkan tarikh nikah mereka akhir bulan lalu. Ana mengenali Ahmad Aznaim sejak 2005.
ana-cincin
Pada sidang media akhir bulan lalu, Ana berkata: "Naim ialah seorang jurugambar dan kami berkenalan melalui sepupu saya. Secara kebetulan, saya memang minat bidang fotografi."
“Disebabkan minat yang sama, kami semakin serasi. Namun, ketika itu Naim tidak mengetahui bahawa saya mempunyai bakat dalam bidang nyanyian dan penciptaan lagu,” katanya.
Katanya, sikap Naim yang penyabar membuatkan dia tertarik dengan jejaka pilihannya itu dan secara tidak langsung membuka hatinya untuk lebih serius dalam hubungan tersebut pada 2008. - SinarHarian

Friday, February 24, 2012

Saya tetap cinta walau dia jahat

remaja



Dungun – “Biarpun dia jadi buruan polis dan seorang pe­nge­dar dadah, saya tetap menyintainya malah sanggup jadi isteri jika dia sudi terima saya.”

Demikian luah seorang penuntut di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA), di sini ketika ditemui Sinar Harian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun.

Lebih mengejutkan apabila penuntut tahun pertama jurusan teknologi maklumat itu sanggup kahwin lari sekiranya ibu bapanya menghalang.

“Buat masa ini ibu bapa saya tidak mengetahui mengenai hubungan kami, namun saya akan maklumkan kepada mereka apabila tiba masanya kelak,” katanya.

Kata penuntut yang hanya mahu dikenal sebagai Dila ini, dia tidak kesal menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki terbabit biarpun tahu jenayah yang dilakukan.

Gadis berasal dari Temerloh, Pahang itu juga mengakui, sebelum ini dia tidak tahu bahawa teman lelakinya seorang kaki dadah sehinggalah dihubungi polis kerana komputer riba miliknya berada dalam simpanan lelaki berkenaan.

Dila memberitahu, dia dihubungi polis setelah teman lelakinya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu ditahan di sebuah rumah dekat Jalan Bunga Raya.

“Saya kenal dia dua bulan lalu, kami berkenalan di sebuah kedai makan dan mula bertukar nombor telefon.

“Sejak itu kami makin rapat dan sering bertemu,” katanya yang hadir di balai polis untuk menuntut komputer riba miliknya,

Dila berkata, biarpun tahu teman lelaki itu bakal dihadapkan ke mahkamah, cintanya tetap tidak berubah.

“Biarpun baru tahu jenayah yang dilakukan tetapi saya tetap tidak dapat melupakannya,” katanya.

Demi cinta, dia sanggup menunggup teman lelakinya itu menjalani hukuman asalkan dapat menjadi suri dalam hidup suspek.

Buat masa ini, kata Dila, dia merahsiakan hubungan mereka kerana dia masih belum habis belajar manakala teman lelakinya tidak mempunyai pekerjaan tetap.
bf-remaja
Suspek, 21, ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik setelah mendapati remaja yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu disyaki menjadi dalang utama membekalkan dadah jenis pil kuda kepada penagih tempatan.

Penemuan 10 biji pil kemerahan disyaki dadah jenis methamphethamine dalam poket seluar suspek menguatkan dakwaan dia terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.

Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan tangkapan tersebut selain turut menasihati golongan remaja agar lebih berhati-hati jika ada hubungan cinta dengan lelaki tidak dikenali untuk mengelakkan diri terbabit dengan perkara menyalahi undang-undang. - SinarHarian

Dirempuh ketika berjemaah

Dirempuh ketika berjemaah


SEREMBAN – Seorang bapa dan anaknya, nyaris maut apabila rumah mereka di Taman Tiroi, Labu, di sini, dirempuh sebuah kereta, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu, Ahmad Yusof, 48, dan anak perempuannya, Khairul Baiyinah, 11, baru sahaja selesai solat Isyak berjemaah.

Menceritakan detik kejadian, Ahmad berkata, jantungnya bagaikan mahu berhenti tatkala mendengar dentuman kuat sehingga menyebabkan rumahnya bergegar.

“Saya terus memeluk anak sejurus mendengar dentuman kuat. Saya hanya bimbangkan keselamatan Khairul Baiyinah.

“Bagaimanapun, alhamdulillah kami berdua selamat,” katanya, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian, hanya dia dan anak bongsunya sahaja berada di rumah, sementara empat lagi anaknya tinggal di asrama universiti.

“Sejurus keluar bilik, saya melihat rumah rosak teruk. Dinding dan tiang tiada, sebaliknya sebuah kereta jenis Toyota Camry berwarna putih berada dalam rumah dengan keadaan empat tayar ke atas.

“Beberapa penduduk taman ini segera memberikan pertolongan untuk mengeluarkan pemandu lelaki berusia 40-an yang terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.

Menurutnya, dia segera menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk membawa mangsa ke Hospital Tuanku Ja’afar bagi menerima rawatan lanjut.

Ahmad berkata, beberapa penduduk melihat kejadian itu mendakwa, kereta tersebut dipandu laju dari arah Seremban dan terus meluncur masuk ke dalam rumah.

“Meskipun saya kerugian hampir RM50,000 apabila sebahagian besar peralatan rumah, dua buah motosikal dan empat basikal rosak teruk, saya tetap bersyukur kerana masih dipanjangkan umur dan anak saya selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Yusoff Awang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan terhadap punca kejadian itu. - SinarHarian

Hanya Sekali Lafaz, Yusry & Lisa Surihani Sah Suami Isteri


Yusry menyarungkan cincin nikah ke jari manis isterinya pada majlis membatalkan air sembahyang.
PUTRAJAYA: Dengan sekali lafaz, pengarah dan penyanyi, Yusry Abdul Halim, 39, sah bergelar suami kepada pelakon popular, Lisa Surihani Mohamed, 26.
Majlis pernikahan mereka diadakan di Hotel Marriot, di sini, selepas solat Isyak kira-kira pukul 9 malam, Khamis.
Acara dimulakan dengan upacara berbalas pantun mengikut adat tradisi orang Melayu lama oleh kedua-dua belah pihak.
Pasangan tersebut diijabkabulkan sendiri oleh abang sulung Lisa iaitu Mohamed Azan Mohamed dengan disaksikan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah Sepang, Halim Mat Isa.
Majlis pernikahan kedua-dua mempelai dihadiri kira-kira 250 orang jemputan yang terdiri daripada kaum keluarga rapat pengantin dan wakil media.
Pengantin perempuan menerima seutas rantai platinum sebagai mas kahwin sementara wang hantaran dirahsiakan jumlahnya daripada pengetahuan umum.
Tersenyum gembira, wajah pengantin dua jiwa, hati yang sama.
Dalam pada itu, pihak perempuan menerima tujuh dulang hantaran dan dibalas sembilan dulang.
Selain seutas rantai, antara barang hantaran lain yang diberikan Yusry kepada Lisa termasuklah sirih junjung, bunga rampai, cincin, kelengkapan solat dan kek.
Manakala Lisa membalas sirih junjung, bunga rampai, sebentuk cincin, koleksi cakera padat kumpulan The Beatles, sebuah peralatan muzik keyboard, kelengkapan solat, kelengkapan pakaian lelaki, manisan dan kek.
Kesemua hantaran itu direka dan digubah oleh Butik Cosry dengan kerjasama Eliza Elies Wedding.
Lisa mencium tangan suaminya menandakan mulalah kehidupan mereka sebagai suami isteri.
Lisa tampak anggun dengan mengenakan busana baju kurung moden rekaan Cosry dengan rona putih manakala Yusry pula segak mengenakan baju Melayu moden rekaan Taufik Tailor lengkap bersamping daripada Nuratikah Songket.
Majlis akad nikah tersebut dikendalikan oleh DZMS Events itu kelihatan meriah dengan dekorasi menawan sentuhan KS Entourage bertemakan 'Winter Garden'.
Sementara itu, majlis resepsi perkahwinan mereka akan diadakan pada Ahad ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Sebelum ini, Lisa telah selamat melakukan upacara mandi bunga, majlis berinai, majlis khatam Al-Quran untuk bergelar raja sehari.
Ini merupakan perkahwinan pertama buat Lisa dan kedua untuk Yusry yang pernah berkahwin dengan pelakon Erra Fazira.
Astro Awani turut menyiarkan secara langsung perkahwinan Lisa dan Yusry itu.
Pihak mStar Online akan menyiarkan gambar perkahwinan mereka kemudian. - mStarOnline

Thursday, February 23, 2012

Dicekup khalwat kali kedua

Saiful_Ariffin_(dua,kanan)_mengambil_keterangan_pasangan_berkenaan_buat_kali_yang_kedua



BATU PAHAT – Sepasang kekasih yang pernah dicekup berkhalwat di daerah ini Januari lalu, dicekup buat kali kedua di sebuah hotel murah di sini, petang semalam.


Pasangan masing-masing berusia 40-an itu dicekup sepasukan penguat kuasa Agama Daerah Batu Pahat yang melakukan serbuan di hotel berkenaan kira-kira jam 2 pagi.

Timbalan Ketua Penguat Kuasa Agama Daerah Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, ketika serbuan, pasangan terbabit sedang tidur dan terdapat seorang bayi tidur bersebelahan mereka.

“Ketika disoal penguat kuasa, mereka mengaku tidak mempunyai sebarang ikatan suami isteri atau hubungan mahram.

“Hasil siasatan mendapati bayi tersebut yang berusia dua minggu itu dipercayai adalah bayi hasil hubungan terlarang pasangan terbabit yang dibawa untuk mengaburi mata pihak berkuasa yang akan menyangka mereka ini adalah suami isteri,” katanya.

Menurutnya, wanita terbabit yang sebelum ini sarat mengandung langsung tidak dapat dihidu keluarganya yang hanya mengetahui perkara tersebut selepas mereka diberkas.

“Berdasarkan rekod, ini adalah tangkapan kedua mem­­babitkan pasangan itu di mana serbuan menyasarkan hotel bajet di sini.

“Ketika ditahan pertama kali, wanita terbabit sedang sarat mengandung dipercayai hasil hubungan terlarang mereka,” katanya.

Saiful Ariffin berkata, difahamkan lelaki terbabit sudah berkahwin dan mempunyai seorang isteri, namun kini dalam proses penceraian berikutan ingin mengahwini kekasih hatinya itu.

“Pasangan terbabit yang merupakan warga tempatan itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat bagi proses dokumentasi sebelum ditahan bagi siasatan lanjut.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 27 (1) Enakmen Kesalahan Syariah Johor 1997 dan jika disabitkan kesalahan kedua mereka bakal berdepan hukuman denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya. - SinarHarian

Yahya Sulong Masuk ICU

Yahya


Pelakon veteran, Datuk Yahya Sulong,84, telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Ampang selepas terjatuh di bilik air, Isnin lalu.


Menurut isterinya Datin Alisah Ali,65, kejadian tersebut berlaku ketika Yahya hendak buang air besar di bilik air rumah mereka di Bandar Baru Sentul dekat sini tetapi atas sebab-sebab keuzuran, Yahya dipercayai telah tergelincir.


“Kira-kira 10 minit saya dapati dia senyap saja dalam bilik air, saya pun buka pintu. Saya lihat dia terjatuh dalam keadaan berlumuran najis. Saya pun minta bantuan anak saya untuk panggil ambulan,” katanya kepada sebuah akhbar online.


Sebelum ini, Yahya sudah sering kali keluar masuk hospital untuk mendapatkan rawatan penyakit asma dan paru-paru yang dijangkiti kuman tetapi dalam kejadian yang berlaku dua hari lalu itu, keadaannya agak serius.


MH Online mendoakan agar kesihatan Datuk Yahya Sulong bertambah baik dan terus mewarnai industri seni tanah air. - MediaHiburan

Anak Amir Ukay’s meninggal dunia

Anak Amir Ukay’s meninggal dunia



Penyanyi, Amir Ukay’s kehilangan anak lelakinya, Muhammad Imran,15,  berikutan masalah kompilasi jantung yang dihidapi sejak kecil.

Menurut Amir, anaknya menghembuskan nafas terakhir waktu solat Maghrib semalam, ketika dalam perjalanan ke Hospital Gleneagles, Ampang.

“Saya tidak sangka dengan apa yang berlaku. Bagaimanapun saya redha dengan pemergiannya," katanya.

Jelas Amir, Imran menetap bersama ibu mertuanya sejak dia bercerai dengan isterinya pada 2006.

“Kali terakhir saya berhubung dengan arwah, empat hari lalu.

"Ketika itu Imran ingin memberi tahu nombor telefon bimbitnya yang baru,” katanya.

Amir berkata, sepanjang hayat, arwah pernah menjalani tiga kali pembedahan kerana masalah jantung.

Tambah Amir, semasa arwah kecil, doktor pernah memberitahu penyakit Imran agak kompleks dan tidak ada penawarnya, malah bergantung pada ubat-ubatan yang diberikan.

Malah dia sering berdepan masalah kesihatan tidak menentu.

“Setiap tiga bulan sekali dia akan menjalani pemeriksaan doktor. Saya dan bekas isteri sentiasa berusaha memberikan yang terbaik buatnya tetapi apakan daya, semuanya bergantung pada kuasa Tuhan,” ujarnya yang turut memberitahu bekas isterinya berada di London di saat putera kesayangan mereka meninggal.

Jenazah anaknya dikebumikan malam tadi di Masjid Attaqwa Taman Tun Dr Ismail.

Sementara itu, vokalis kumpulan Ukay’s yang terkenal dengan lagu Di Sana Menanti Di Sini Menunggu, ini turut mempunyai seorang lagi anak yang merupakan saudara kembar Imran. - SinarHarian

Terdesak, suami ajak isteri hamil meragut

penyamun ditangkap



SUNGAI SIPUT (U) – Gara-gara terdesak, seorang lelaki sanggup mengajak isterinya yang sedang mengandung meragut di pasar pagi, Pekan Sungai Siput di sini, kelmarin.


Bagaimanapun, tindakan pasangan muda yang baru sahaja berkahwin lima bulan itu cuba meragut bekas duit seorang peniaga buah, tidak berjaya apabila mereka ditangkap orang ramai.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, pasangan suami isteri berkenaan menunggang motosikal dan meragut bekas duit milik seorang peniaga.

Menurutnya, tindakan isteri yang membonceng motosikal meragut bekas duit digantung di gerai berkenaan disedari peniaga itu, lalu menjerit meminta pertolongan.

“Selepas meragut, suspek terus memecut motosikal, tetapi mereka berjaya ditangkap orang ramai.

“Si isteri berusia 22 tahun, dipercayai orang tempatan, manakala suaminya berusia 32 tahun dari Kedah,” katanya.

Beliau berkata, dengan tangkapan itu, polis dapat menyelesaikan beberapa kes ragut di sekitar Sungai Siput. - SinarHarian

Wednesday, February 22, 2012

Denda berlengan pendek


Denda
KOTA BHARU - “Saya tak tahu kalau pakai baju pendek dan tidak menutupi lengan salah di sisi undang-undang di Kelantan.”
Demikian kata seorang remaja perempuan selepas dikompaun RM500 dalam operasi Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), semalam.
 
Gadis itu adalah antara lima individu yang dikompaun kerana tidak menutup aurat, membuang puntung rokok di kawasan terbuka di samping tidak mempunyai lesen berniaga di kaki lima dan tidak menjaga kebersihan premis.
 
Operasi pembersihan yang diketuai Inspektor Bahagian Penguatkuasaan MPKB-BRI, Mohamad Ali bersama empat pegawai itu bermula pada jam 10 pagi dan tamat pada jam 1 petang.
 
Kompaun yang dikenakan termasuk kesalahan tidak tutup aurat dan berniaga di kali lima tanpa lesen dikenakan denda RM 500 maksimum di bawah undang-undang kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian 27 (A) dan buang puntung rokok di tempat awam di bawah seksyen 10 (d) 1983 pindaan 1987.
 
Yang Dipertua MPKB-BRI, Fauzi Mat berkata, sepanjang tahun lalu, MPKB-BRI berjaya mengumpul RM 70,000 daripada 460 kompaun yang dikeluarkan iaitu 330 kes merupakan kesalahan membuang sampah di merata tempat yang dilakukan premis perniagaan dan 130 merupakan kesalahan individu. - SinarHarian

Mandi Bunga, Khatam Al-Quran Petua Lisa Surihani Sebelum Naik Pelamin


Lisa dan Yusry akan bernikah pada 23 Februari ini.
PETALING JAYA: Walaupun dibesarkan dalam dunia moden, pelakon jelita, Lisa Surihani, masih lagi melakukan amalan tradisi Melayu sebelum bergelar isteri kepada Yusry Abdul Halim pada 23 Februari ini.
Lisa berkata, dia telah memenuhi kehendak ibunya, Siti Amira Ahmad yang mahu melakukan upacara mandi bunga, majlis berinai dan khatam Al-Quran sempena perkahwinan tersebut.
"Ibu saya berpesan, walaupun mahu mengadakan sebuah perkahwinan yang sederhana, amalan dalam adat Melayu mesti dilakukan.
"Justeru itu pada 17 Februari lalu, saya telah melakukan majlis berinai dan mandi bunga di rumah kawan saya bernama Huda.
"Kemudian, dua hari selepas itu pula majlis khatam Al-Quran diadakan bersama saudara-mara wanita sahaja. Malah seminggu sebelum itu, saya meminta penyanyi Datuk Julie Sudiro mengajar saya mengaji agar dapat melancarkan lagi ketika membaca ayat-ayat suci Al-Quran," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.
Tambah Lisa, dia berasa seronok dengan amalan yang diadakan bersama teman rapat dan keluarga kerana merasakan seperti kembali mempraktikkan budaya nenek moyang yang semakin dilupakan.
Lisa dan Yusry sedang giat mengadakan persiapan terakhir perkahwinan mereka.
"Selepas mengadakan majlis khatam Al-Quran, berinai dan mandi bunga, terasa sejuk sangat hati dan pada masa sama ia dapat menenangkan jiwa tau," katanya yang turut mendapat bantuan dua lagi teman karibnya, Jihan dan Ili, dalam hal persiapan perkahwinannya itu.
Yusry dan Lisa akan diijabkabulkan di Hotel Marriot, Putrajaya pada 23 Februari manakala majlis resepsi pula akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, tiga hari selepas itu.
Kedua-dua mereka akan memakai busana rekaan Butik Cosry untuk kedua-dua acara iaitu hari pernikahan dan persandingan.
Pada majlis resepsi nanti, ruang dewan akan dihias dengan konsep ala 'French Vintage', yang diinspirasikan daripada Marie Antoinette (Ratu Perancis) oleh KS Entourage.
Bagi makanan untuk kedua-dua majlis nanti pasangan tersebut menggunakan khidmat “Kuzie Catering”.
Sementara itu, Lisa memberitahu, ibunya telah memberi pelbagai nasihat sebagai persediaannya melalui fasa hidup berumah tangga.
"Ibu saya berkata, bila dah bergelar isteri, maka perlulah bertolak ansur, tidak melatah dan tidak boleh membantah kata suami.
"Macam-macam lagi dia nasihat, dan yang paling penting, saya perlu tahu bahawa alam rumah tangga tidak selalunya indah dan ada masanya, ia boleh mengganggu diri jika tidak pandai mengawal emosi.
"Insya-Allah, semoga saya mengikuti setiap kata-katanya. Saya juga berharap agar mereka di luar sana mendoakan kebahagiaan kami," tuturnya yang akan berbulan madu di Eropah selepas majlis perkahwinan itu nanti. - mStarOnline

20 tahun pemergianmu



Diam tak diam sudah 20 tahun kembalinya beliau kepangkuan ILLAHI. 

Dialah satu-satunya penyanyi maupun selebriti yang aku minat untuk ku jadikan idola. Lagipun aku berjiran dengan keluarga kakaknys semasa aku baru mula memasuki alam pekerjaan di Lucky Garden, Bangsar.

Waktu tu aku baru menghabiskan pengajian dan bekerja di Bangsar Park. Kami kalau bertemu pun secara kebetulan di hadapan rumah  sekiranya arwah menziarahi kakaknya.

Arwah merupakan seorang yang peramah, kelakar, tak lokek ilmu dan sering menasihatiku agar menjalani zaman remaja secara sihat....maklumlah jauh dari keluarga.

Aku suka mengusiknya kerana dia bertubuh kecil macam adik-adik aku pula waktu itu walaupun tak rapat, hanya kenalan sejiran...hah..kenangan manis yang tak mungkin kulupakan.......

Al-fatihah ku hadiahkan buat mu abang Sudirman Hj Arshad agar kau damai di sisi Allah....ditempatkan di syurga firdausi....kelincahan dan gurau sendamu menjadi kenangan yang sentiasa segar dalam ingatanku. 

Untuk membaca kenangan beliau bersama seleberiti lain, klik link:

Monday, February 20, 2012

Ketiadaan Dewan, Katering Punca Scha & Awal Tangguh Kahwin


Scha Al-Yahya
PETALING JAYA: Masalah ketiadaan dewan dan juga katering yang kebanyakan sudah habis ditempah menyebabkan pelakon Scha Al-Yahya dan Awal Ashaari terpaksa menangguhkan perkahwinan mereka yang sepatutnya berlangsung hujung bulan ini.
Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya, 28, berkata, selain faktor itu, mereka juga terpaksa memberi laluan kepada perkahwinan pasangan Yusry dan Lisa Surihani yang akan berlangsung pada Khamis ini.
“Keadaan kami sekarang boleh diibaratkan seperti bertarung dengan masa untuk persiapan majlis perkahwinan ini. Selain sibuk dengan komitmen kerja, ada beberapa kesulitan iaitu isu dewan dan katering yang sudah habis ditempah kerana bercanggah dengan majlis perkahwinan orang lain.
“Agaknya makin ramai orang yang berkahwin pada tahun ini. Sehingga hari ini kami belum berani untuk mengumumkan tarikh tertentu bagi majlis perkahwinan ini,” katanya ketika dihubungi mStar Onlinedi sini, Isnin.
Ketika ditanya mengenai tarikh perkahwinan baru yang dikatakan akan berlangsung pada sekitar Mei depan, Scha memberitahu biar apa pun masalah yang melanda mereka sudah memutuskan untuk bernikah pada pertengahan tahun ini juga.
“Walau apa pun keadaan dan kesulitannya, saya yakin ia akan dapat diatasi mengikut perancangan. Harapan kami agar apa juga masalah berkaitan persiapan majlis ini akan dipermudahkan oleh Tuhan.
“Sebolehnya, kami tetap akan bernikah selewat-lewatnya pada pertengahan tahun ini juga,” katanya.
Menjawab pertanyaan lain kononnya dia terpaksa berhenti berlakon demi menjaga ibunya yang sakit, Scha berkata dia sudah kembali ke lokasi penggambaran memandangkan keadaan orang tuanya itu sudah beransur baik.
“Memang betul sebelum ini saya berehat sekejap untuk menumpukan perhatian dan menjaga ibu yang jatuh sakit. Ibu saya menderitai beberapa komplikasi penyakit yang melibatkan buah pinggang, tisu cakera teranjak (slipped disc) dan serangan jantung.
“Dia memang tidak boleh bangun dan berjalan sebelum ini, sekali gus saya berasa terpanggil untuk menjaga dia sampai sembuh,” katanya. - mStarOnline

Saturday, February 18, 2012

Ibu tanggung rindu terpisah 12 tahun

KUALA TERENGGANU: “Sudah 12 tahun kami terpisah dan sejak itu saya tidak pernah bertemu dengan anak yang mengikut bekas suami ke Kuala Lumpur.

“Saya berharap dapat berjumpa anak, Haziq Fadzly Rahman, 16, kerana semua ahli keluarga di sini amat merinduinya,’’ kata Zaitun Sulong, 47, yang terpisah dengan anak sulungnya itu sejak April 2000.    

Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Pak Maseh, di sini, Zaitun berkata, anak sulungnya itu hasil perkahwinannya dengan bekas suami, Rahman Abdullah, 57, tidak pulang ke rumah selepas mengikut bapanya ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, dia tidak tahu sama ada bekas suaminya berniat memisahkan Haziq yang ketika itu berusia empat tahun daripadanya.

“Ketika itu, kami belum berpisah dan saya tidak menyimpan sebarang prasangka buruk terhadap bekas suami yang memberi alasan membawa Haziq bersiar-siar di Kuala Lumpur.

“Sebelum itu, dia pernah membawa Haziq ke Kuala Lumpur, tetapi pulang semula beberapa hari kemudian menyebabkan saya memberikan kepercayaan kepadanya untuk membawa anak sekali lagi ke sana,” katanya.

Zaitun berkata, dia runsing apabila mereka tidak pulang seperti biasa sebelum dikejutkan dengan panggilan telefon daripada bekas suaminya memaklumkan dia sudah berkahwin lain 39 hari kemudian.    

Katanya, menyedari dirinya ditinggalkan, dia kemudian mengambil keputusan bercerai secara fasakh di mahkamah selain berharap bekas suaminya memulangkan semula Haziq.
Katanya, kali terakhir dia mendengar suara Haziq tahun lalu dan anaknya itu memberitahu merinduinya serta keluarga di sini.
 
“Saya tidak dapat menahan sebak apabila mendengar suara Haziq memberitahu dia sekarang menuntut di tingkatan empat di sebuah sekolah berasrama penuh di Butterworth, Pulau Pinang,” katanya. - myMetro

Mustahil Bagi Amir Sertai Kumpulan Ukay's

Amir Ukay's
KUALA LUMPUR: Penyanyi Amir (Ukay's) memberitahu enggan menyertai semula kumpulan tersebut kerana merasakan tidak lagi sesuai selepas sepuluh tahun tidak bersama mereka.

Amir berkata, penglibatannya bersama kumpulan itu dianggap sebagai sejarah lampau dan dia tidak mahu lagi menoleh ke belakang dengan kembali menganggotai kumpulan tersebut.

"Saya tidak akan kembali kepada Ukay's kerana merasakan tidak lagi sesuai bersama mereka dan ingin bergerak secara solo," ujarnya kepada mStar Online.

Tambahnya, dia bukan bergaduh dengan rakan-rakannya dan memberitahu sehingga kini hubungan itu masih lagi baik.

Amir yang popular dengan lagu Di sana Menanti Di Sini Menunggu berkata, dia tawar hati untuk menyertai Ukay's kerana hampir kesemua ahli asal telah membawa haluan masing-masing dan kumpulan tersebut telah pun diganti dengan muka baru.

"Itu adalah salah satu faktor mengapa saya tidak mahu bersama Ukay's lagi kerana semua anggota asal telah tiada dan rasanya lebih baik bergerak secara solo.

"Kalau nak kata kami semua bergaduh itu memang tidak benar kerana hubungan kami masih baik sehingga kini," ujarnya.

Bagaimanapun Amir memberitahu kumpulan itu masih wujud dan salah seorang ahli lama Ukay's iaitu Amy telah pun mencari bakat-bakat baru untuk memperkenalkan kembali mereka kepada pendengar.

"Mungkin mereka ingin mencuba perkara baru sejajar dengan perubahan muzik semasa dan saya sebagai bekas anggota menyokong usaha itu," katanya.

Dalam pada itu, Amir memberitahu, dia masih lagi sibuk dengan pelbagai undangan nyanyian walaupun sepi tanpa sebarang publisiti di dalam media massa.

Amir berkata, rezekinya dalam nyanyian tidak pernah putus dan sentiasa menerima undangan terutamanya dalam majlis-majlis korporat.

"Alhamdulillahlah rezeki masih ada walaupun jarang muncul dalam media tetapi itu tidak pernah mematahkan semangat saya untuk terus menghiburkan peminat," ujarnya.

Tambahnya, dia juga sedang merancang untuk menghasilkan sebuah album baru pada tahun ini dan masih mencari syarikat rakaman yang berminat untuk menerbitkannya. - mStarOnline

Friday, February 17, 2012

Malek Noor Nikah Doktor Pakar 12 Mac 2012

Datuk Abdul Malek Noor
PETALING JAYA: Bekas juara bina badan Asia, Datuk Malek Noor akan menamatkan zaman bujangnya dengan seorang doktor pakar.

Malek berkata, majlis pernikahannya dengan ibu kepada lima orang anak itu akan diadakan secara sederhana di rumah keluarga perempuan di Kota Baharu, Kelantan pada 12 Mac depan.

Majlis resepsi perkahwinan pula akan diadakan sehari selepas itu di Hotel Renaissance, Kota Baharu.

Menurut Malek, dia amat bersyukur ketika berusia 56 tahun, Allah menemukan jodohnya dengan seorang wanita yang benar-benar mengambil berat terhadapnya selain bersifat penyayang.

“Saya amat bersyukur kepada Tuhan kerana membuka pintu hati saya untuk berkahwin dan menemukan saya dengan wanita yang benar-benar baik untuk dijadikan seorang isteri,” katanya kepada mStar Online di sini, Khamis.

Malek yang masih mahu merahsiakan identiti wanita tersebut berkata, dia mengenali doktor berkenaan yang bekerja di sebuah hospital swasta dekat sini sejak empat bulan lalu ketika membincangkan urusan perniagaan.

Katanya, selepas pertemuan itu mereka sering berhubung sehinggalah wanita tersebut bertanyakan sama ada selesa atau tidak untuk berkawan.

Kata Malek, secara jujurnya dia membalas pertanyaan wanita yang berusia 52 tahun itu dengan baik sehinggalah timbullah perasaan sayang dalam diri masing-masing.

“Sejak hari itu kami sering memanggil diri kami dengan perkataan “sayang” sehinggalah saya membuat keputusan untuk menjadikannya sebagai isteri,” katanya.

Menurut Malek lagi, dia bertambah gembira kerana kelima-lima bakal anak tirinya yang ada di antaranya sudah bekerja dan berumah tangga boleh menerimanya dalam keluarga mereka.

Sementara itu menurut Malek, dia memilih tarikh 12 Mac 2012 sebagai detik terindah untuk bergelar suami kerana mahu mengimbas perjalanannya ke Tanah Suci, Mekah pada tarikh sama tahun lalu untuk mengerjakan umrah.

Katanya, semasa di Mekah, dia memohon doa kepada Allah agar memberi hidayah kepadanya serta petunjuk termasuklah mengenai calon isteri.

Selepas pulang daripada mengerjakan ibadah tersebut kata Malek, perjalanan hidupnya menjadi semakin mudah sehinggalah dia bertemu dengan wanita berkenaan.

Wanita itu berjaya mengubah hati saya untuk bergelar suami. Segala-galanya selepas Allah mempermudah doa-doa saya. Syukur sekali,” katanya.

Selain aktif dalam sukan bina badan, Malek pernah berlakon beberapa buah filem termasuklah Ujang (1989), Juara (1991), Rimba Malam (1992) dan Sahabat (1992).

Beliau sebelum ini mengaku tidak pernah melakukan ibadat selama 34 tahun tetapi akhirnya mendapat hidayah selepas mendengar azan Maghrib dari masjid KLCC yang terletak berdekatan rumahnya di sebuah kondominium mewah di kawasan terbabit. - mStarOnline

Wednesday, February 15, 2012

Pasangan Kekasih Ditahan Ketika Samun Pegawai Bank

BUTTERWORTH: Seorang lelaki warga Colombia dan pasangannya wanita tempatan ditahan polis ketika sedang menyamun seorang pegawai bank di tepi jalan di Kampung Gajah di sini, Rabu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata pasangan kekasih itu ditahan kira-kira 12 tengah hari oleh anggota polis yang menjalankan rondaan di kawasan itu ketika lelaki berusia 46 tahun berkenaan sedang bergelut dengan mangsa.

"Kejadian samun itu berlaku selepas mangsa iaitu seorang wanita berusia 37 tahun mengeluarkan wang sebanyak RM40,000 di sebuah bank di Taman Selat.

"Mangsa memandu keretanya ke arah Kampung Gajah untuk menyimpan wang berkenaan di bank lain dan dalam masa yang sama pasangan itu mengekorinya dengan sebuah kereta," katanya pada sidang akhbar di sini Rabu.

Katanya, sebaik sampai berhampiran bank di Kampung Gajah, mangsa telah memberhentikan kenderaannya di tepi jalan kerana tayar keretanya pancit dan ketika itu lelaki Colombia berkenaan menghampirinya dan mengacukan pisau sambil mengarahkan wanita itu menyerahkan wang.

Katanya, anggota polis yang menjalankan rondaan di kawasan itu melihat kejadian berkenaan terus memberi bantuan dan dalam masa yang sama memaklumkan kepada bilik gerakan.

Katanya, pasangan itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan samun di sekitar Pulau Pinang dan dengan penahanan mereka polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya lima kes samun di negeri ini.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas kereta yang dinaiki pasangan itu, polis menemui pelbagai barangan yang digunakan untuk kegiatan jenayah antaranya topeng muka, topi dan pisau.

"Kita turut merampas sejumlah wang pelbagai mata wang dan empat buah telefon bimbit, pemeriksaan juga mendapati pasport lelaki warga Colombia berkenaan telah tamat tempoh sejak setahun lepas," katanya. 

Katanya, pasangan itu menggunakan kereta sewa syarikat pelancongan untuk menjalankan kegiatan samun dan modus operandi mereka ialah mengekori mangsa yang mengeluarkan wang dari bank dan menyamun mangsa.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati wanita tempatan berusia 43 tahun itumempunyai rekod jenayah mencuri. - BERNAMA

Sharnaaz Selesa Ditemani Keluarga Shila Untuk Berdating

Sharnaaz Ahmad mengakui tidak pernah keluar berdua dengan Shila. Foto THE STAR Oleh BRIAN MOH.

KUALA LUMPUR: Pelakon Sharnaaz Ahmad mengakui tidak pernah keluar secara berdua-duaan dengan kekasihnya, penyanyi Shila Amzah sejak menjalinkan hubungan cinta kira-kira dua bulan lalu.

Sharnaaz sebaliknya berkata, sejak awal perkenalan lagi mereka sering ditemani oleh ahli keluarga Shila jika hendak ke mana-mana.

"Sebelum mengenali Shila pun dia memang ditemani oleh ibunya ke mana sahaja dia pergi dan perkara itu tidak akan berubah hanya semata-mata dia bercinta dengan saya sekarang.

"Kalau kami nak berjumpa dia pasti akan ditemani oleh ibu atau adiknya dan saya tidak mempunyai masalah mengenai perkara itu," ujarnya.

Sharnaaz ditemui ketika majlis sidang media telefilem Patah Seribu arahan Michael Ang di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Sharnaaz berkata, dia tidak pernah berasa terkongkong dengan situasi tersebut sebaliknya merasakan ia adalah peluang kepadanya untuk mengenali ahli keluarga Shila.

Sharnaaz memberitahu, dia senang dengan situasi berkenaan selain dapat merapatkan hubungan mereka.

"Setakat ini tidak pernah timbul isu kami rasa tidak selesa dengan kehadiran ahli keluarga jika kami hendak ke mana-mana malah saya berasa selesa keluar 'dating' bersama-sama ibu dan ahli keluarganya yang lain kerana ia dapat mendekatkan hubungan kami," ujarnya.

Malah katanya, ibu Shila yang mesra dikenali sebagai Kak Zie itu banyak menasihati mereka jika mempunyai sebarang masalah.

Ditanya penerimaan bapa Shila iaitu penyanyi, ND Lala mengenai hubungan cinta tersebut, Sharnaaz berkata, penyanyi itu menerimanya dengan baik namun meletakkan batas dalam pergaulan mereka.

"Alhamdulillahlah bapa Shila menerima saya dengan baik tetapi sebagai seorang ketua keluarga saya faham bahawa dia (ND Lala) perlu meletakkan sedikit jurang dan tegas dalam melindungi anak gadisnya.

"Saya hormati prinsipnya dan menyedari batas-batas pergaulan yang perlu dijaga supaya tidak menimbulkan masalah di kemudian hari," ujarnya.

Sementara itu, Sharnaaz berkata, dia senang dengan Shila kerana wanita berusia 22 tahun tersebut banyak mengajarnya mengenai erti bersabar ekoran sikapnya yang panas baran.

Katanya, belum pernah ada individu yang berjaya meredakan sikap buruknya itu melainkan Shila dan situasi itu menambahkan keyakinan bahawa wanita tersebut sesuai dengannya.

"Dia seorang yang sangat penyabar dalam semua perkara dan saya pula berbeza dengannya. Namun dia berjaya mengubah saya menjadi seorang yang lebih tenang dalam semua perkara," katanya.

Dalam perkembangan lain, pasangan bercinta itu bakal muncul dalam sebuah telefilem berjudul Patah Seribu pada 23 Februari ini. Ia akan disiarkan pada pukul 9 malam di saluran Astro Ria.

Selain Sharnaaz dan Shila, drama tersebut turut dijayakan oleh Sharifah Shahora, Amar Baharin, Jihan dan Reza Mohd. - mStarOnline

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu