adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Friday, February 24, 2012

Dirempuh ketika berjemaah

Dirempuh ketika berjemaah


SEREMBAN – Seorang bapa dan anaknya, nyaris maut apabila rumah mereka di Taman Tiroi, Labu, di sini, dirempuh sebuah kereta, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu, Ahmad Yusof, 48, dan anak perempuannya, Khairul Baiyinah, 11, baru sahaja selesai solat Isyak berjemaah.

Menceritakan detik kejadian, Ahmad berkata, jantungnya bagaikan mahu berhenti tatkala mendengar dentuman kuat sehingga menyebabkan rumahnya bergegar.

“Saya terus memeluk anak sejurus mendengar dentuman kuat. Saya hanya bimbangkan keselamatan Khairul Baiyinah.

“Bagaimanapun, alhamdulillah kami berdua selamat,” katanya, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian, hanya dia dan anak bongsunya sahaja berada di rumah, sementara empat lagi anaknya tinggal di asrama universiti.

“Sejurus keluar bilik, saya melihat rumah rosak teruk. Dinding dan tiang tiada, sebaliknya sebuah kereta jenis Toyota Camry berwarna putih berada dalam rumah dengan keadaan empat tayar ke atas.

“Beberapa penduduk taman ini segera memberikan pertolongan untuk mengeluarkan pemandu lelaki berusia 40-an yang terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.

Menurutnya, dia segera menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk membawa mangsa ke Hospital Tuanku Ja’afar bagi menerima rawatan lanjut.

Ahmad berkata, beberapa penduduk melihat kejadian itu mendakwa, kereta tersebut dipandu laju dari arah Seremban dan terus meluncur masuk ke dalam rumah.

“Meskipun saya kerugian hampir RM50,000 apabila sebahagian besar peralatan rumah, dua buah motosikal dan empat basikal rosak teruk, saya tetap bersyukur kerana masih dipanjangkan umur dan anak saya selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Yusoff Awang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan terhadap punca kejadian itu. - SinarHarian

No comments:

Post a Comment

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu