adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Wednesday, March 28, 2012

Ezani dakwa individu guna namanya tujuan jenayah

Ezani
Ezani menunjukkan laporan polis dibuatnya.

KOTA BHARU - Pelakon Mohd Zani @ Mohd Zohiri Mohd Nizariff, 38, atau Ezani membuat laporan polis semalam, berhubung tindakan dua lelaki tidak dikenali dikhuatiri mempergunakan namanya untuk tujuan jenayah di Balai Polis Badang, di sini, semalam.


Ia berikutan insiden pada jam 8.45 malam kelmarin, apabila dua wanita dalam produksi drama didatangi dua lelaki tersebut menggunakan nama Ezani untuk memperdaya wanita-wanita itu supaya ikut masuk ke dalam sebuah kereta.

Ezani berkata, ketika itu dia dan beberapa produksi drama sudah berada di tempat penggambaran di Pantai Mek Mas, Badang, di sini, namun dua wanita iaitu seorang pengurus produksi berusia 41 tahun dan juru mekap berusia 28 tahun masih di rumah tumpangan menunggu giliran untuk diambil ke tempat penggambaran.

“Semasa mereka sedang duduk menunggu di perhentian bas di depan kawasan itu, mereka dihampiri kereta Produa Viva dinaiki dua lelaki mengajak mereka masuk ke dalam kereta dengan memberitahu Ezani sedang tunggu di KB Mall.

“Dua wanita itu menolak pelawaan tersebut selepas menghubungi saya dan saya memberitahu saya berada di lokasi menyebabkan kedua-dua lelaki itu lalu marah dan memaki hamun, sebelum meninggalkan mereka,” katanya selepas membut laporan polis.

Ezani berkata, laporan polis dibuat kerana bimbang perkara sama berulang dan berlaku kejadian tidak diingini kepada dia dan rakan-rakan produksi sepanjang penggambaran di negeri ini.

“Saya tidak tahu mengapa nama saya pula dikaitkan, sedangkan saya datang ke sini hanya semata-mata untuk bekerja.

“Lagipun saya sedar semasa berada di sini, ada orang memerhati dan khuatir ada pihak cuba mempergunakan nama saya untuk memperdaya orang lain,” katanya lagi.

Ezani berada di Kelantan sejak awal bulan ini bagi menjalani penggambaran drama 13 episod bertajuk Sesuci Syahadah terbitan Zamriez Golden Production untuk tayangan RTM bulan Julai ini. - SinarHarian

'Jangan ganggu kami', rayu ibu remaja ditemui di Thailand


Rayu
SHAH ALAM - Kertas siasatan berhubung kes remaja perempuan yang merancang penculikan sendiri ke Thailand sudah dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya semalam untuk tindakan lanjut sementara ibu kanak-kanak itu minta agar mereka tidak "diganggu."


Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Supt Mazlan Othman berkata, proses siasatan telah selesai selepas kesemua lima remaja Myanmar, yang ditemui bersama remaja perempuan tempatan itu,  diserahkan kepada wakil dari Suruhanjaya Tinggi

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

"Kesemua remaja Myanmar itu disahkan berdaftar dengan UNHCR dan memegang kad perakuan yang sah. Mereka diserahkan kepada wakil suruhanjaya itu," katanya ketika  dihubungi Bernama.

Beliau turut mengesahkan remaja perempuan berusia 14 tahun itu telah diserahkan kepada keluarganya di Seksyen 8 di sini kelmarin sebaik keluar dari Pusat  Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Remaja perempuan itu dan lima remaja Myanmar berusia antara 14 dan 17 tahun itu diselamatkan polis Thailand di Bangkok pada 19 Mac lepas, setelah mendakwa diculik ke negara jiran itu.

Sementara itu, ibu remaja perempuan itu  Norazura Roski, 37, berkata anaknya kini ditempatkan di sebuah lokasi lain selepas diserahkan polis.

"Saya tidak mahu komen, anak saya selamat dan tolong jangan besar-besarkan cerita ini dan saya tidak mahu media datang rumah saya dan ganggu kami," katanya ketika dihubungi di sini.

Kelmarin, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Zahedi Ayob berkata, remaja perempuan terbabit bukannya diculik sebaliknya merupakan perancang utama kejadian itu.   

Remaja perempuan itu dilaporkan hilang pada 30 Jan lepas tetapi menghubungi ibunya pada 12 Mac lepas untuk memaklumkan dia berada di Thailand selepas diculik sekumpulan lelaki di stesen bas di Seksyen 9 di sini. - Bernama

Awal Tidak Benarkan Scha Peluk Lelaki Lepas Kahwin


Awal Ashaari dan Scha Alyahya. Foto ONG SOON HIN
KUALA LUMPUR: Pelakon Scha Al Yahya, 29, tidak dibenarkan memeluk lelaki dalam apa jua adegan selepas bergelar isteri kepada Awal Ashaari, 31.
Ia adalah syarat yang dikenakan oleh Awal untuk memastikan rumah tangga yang bakal mereka bina pada 4 Mei depan berjalan dalam keadaan harmoni.
"Apabila bergelar isteri, semestinya dia (Scha) perlu menjaga nama baik suami dan keluarga kedua-dua belah pihak.
"Jadi, terdapat beberapa syarat yang perlu diikuti iaitu biarlah tawaran watak yang diterima sesuai dengan status isteri yang dibawanya.
"Kalau boleh saya tak mahu dia berpelukan dengan lelaki lain, nampak kurang manis," katanya selepas sidang media pengumuman tarikh perkahwinan mereka di Ampwalk, Jalan Ampang di sini, Selasa.
Awal dan Scha gembira hubungan mereka direstua keluarga kedua-dua belah pihak.
Selain itu tambah Awal, dia mengikut nasihat ibunya bahawa suami isteri perlu tidur bersama dalam apa sahaja keadaan.
Kerana itu Scha juga perlu pulang ke rumah sebelum pukul 12 tengah malam.
"Berdasarkan pesanan-pesanan daripada rakan-rakan yang sudah berumah tangga dan orang tua-tua, mereka memberitahu, jika suami isteri tidur bersama akan menguatkan lagi mahligai perkahwinan.
"Sibuk dan gaduh besar macam mana sekalipun, ibu berpesan, tidur mestilah sekali. Ia merupakan salah satu tip kebahagiaan dalam rumah tangga," ujar Awal.
Scha yang baru sahaja mengetahui syarat itu agak terkejut selepas ditanya oleh pihak media.
Bagaimanapun, pelakon Aku Bukan Tomboy ini tidak kisah dengan syarat itu memandangkan sudah menjadi tanggungjawabnya untuk mematuhi kata suami.
"Hahaha! Saya pun tak tahu yang dia mahu saya lebih memilih watak selepas berkahwin nanti. Bagaimanapun itu bukannya satu masalah pun.
"Sebagai isteri, saya perlu mengikut kata-katanya nanti. Cuma saya harap, Awal dapat menjaga saya seperti mana dia menjaga keluarganya," tutur Scha sambil memberikan senyuman kepada bakal suaminya itu.
Pasangan tersebut akan melangsungkan pernikahan mereka pada 4 Mei depan di Hotel Pullman, Putrajaya.
Majlis resepsi kedua-dua mempelai pula akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 6 Mei 2012. - mStarOnline

Abby Abadi Bertudung Selepas Balik Umrah


Abby Abadi ketika mengerjakan umrah pada 15 hingga 26 Mac lalu.
PETALING JAYA: Kunjungan pelakon Abby Abadi ke Mekah untuk menunaikan umrah pada 15 hingga 26 Mac lalu telah melancarkan niat sucinya untuk bertudung.
Menurut laporan akhbar Berita Harian pada Rabu, pelakon berusia 34 tahun itu telah lama dipendam kerana enggan penghijrahannya itu dianggap sebagai mempersendakan agama sebelum ini.
“Takut juga kalau terjadi senario sekejap pakai dan sekejap buka tudung. Alhamdulillah, dua hari sebelum kembali ke Kuala Lumpur, di depan Kaabah saya nekad untuk bertudung sekaligus berdoa semoga Tuhan tetapkan iman saya untuk kekal begini.
“Saya juga berharap perubahan ini tidak akan menjadi masalah atau beban buat orang sekeliling. Apatah lagi hal bertudung ini sering diperkotak-katikkan, terutama apabila ia membabitkan individu yang memilih kerjaya seni untuk mencari rezeki,” katanya sambil menjelaskan karier seni tetap berjalan seperti biasa.
Bercakap mengenai pengalamannya menunaikan ibadat umrah buat kali pertama, Abby berkata dia bersyukur kerana segala urusan sepanjang berada di sana berjalan dengan lancar. Bahkan, Abby memberitahu dia ke sana kerana membawa hatinya yang lara.
“Namun, syukurlah, kali pertama menjadi tetamu Allah kesihatan saya di sana sentiasa baik. Saya juga sempat menunaikan umrah sebanyak tiga kali, mencium batu Hajarul Aswad dua kali, dapat menyentuh Kaabah, memasuki Raudhah dan banyak lagi.
“Saya juga tidak terkilan sekalipun sebelum ke sana, tawaran berlakon datang mencanak. Hampir lima ke enam tawaran berlakon saya terima, tetapi terpaksa ditolak secara baik kerana pihak produksi tidak dapat menunggu tetapi saya tidak ralat kerana percaya rezeki tetapi ada,” katanya.
Abby juga berkata perpisahannya dengan pelakon Zul Ariffin juga barangkali menjadi faktor yang mempercepatkan agendanya ke sana.
“Saya ke sana pula bukan atas alasan membawa hati yang kecewa. Sebaliknya, sebagai umat Islam mengerjakan umrah menjadi tuntutan buat kita,” katanya. - mStarOnline

Friday, March 23, 2012

Mengamuk kerana mi segera

Amizah



HULU TERENGGANU – Gara-gara mi goreng segera dipesan lambat dihantar, seorang peniaga dan remaja nyaris ditetak dengan parang di Kampung Teris, Selasa lalu.


Kejadian itu berlaku pada jam 8.30 malam ketika Amizah Mamat, 29, sedang menghidangkan mi segera yang dipesan pelanggan.

Menurut Amizah, lelaki itu berulang-alik ke dapur untuk melihat pesanannya dan menengkingnya kerana memasukkan bawang dan sayur, sedangkan dia mahu telur dan daging ayam sahaja.

Amizah berkata, dia cuba tenangkan pelanggan itu.

“Saya perasan dia mabuk. Sebelum ini dia tidak berkelakuan seperti itu,” katanya.

Amizah berkata, adiknya, Mohd Sobri, 18, menyedari lelaki itu mahu memukul Azimah dan menjerit.

“Adik saya tarik dia ke luar kedai dan berlaku pertengkaran­. Lelaki itu terjatuh lalu ambil seketul bata dan membalingnya,” katanya.

Katanya, lelaki itu keluar dan beberapa minit kemudian datang semula dengan parang dan bertanya Amizah di mana Sobri berada.

Sobri dan enam pelanggan melarikan diri selepas melihat suspek mengamuk. Lelaki itu mengejar Sobri, sambil melibas parang.

Suspek, yang dipercayai penagih dadah, pulang ke rumah dan keluar semula ke kedai berkenaan sebelum ditahan polis jam 11 malam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir berkata, polis merampas parang itu dari lelaki tersebut. - SinarHarian

Ibu tikam bayi baru lahir, buang dalam semak


bayi ditikam
JAKARTA - Seorang ibu tidak berhati perut di Jawa Barat ditahan, kelmarin kerana cuba membunuh anaknya, yang lahir minggu lalu, dengan menikam dan meninggalkan bayi itu dalam semak. Siti Sundari, 18, dipercayai melahirkan bayi lelaki di bilik sewa di Cikeas Udik, Bogor, Jumaat lalu.

"Gara-gara malu melahirkan anak tidak sah taraf, suspek telah bertindak di luar kawalan dan berniat untuk membunuhnya," kata ketua detektif balai polis Gunung Putri, Donggor Panjaitan.

Menurutnya lagi, tangisan kuat bayi berumur tiga hari itu menyebabkan penduduk sekitar kawasan tersebut menemuinya dalam keadaan menyedihkan dengan kesan luka sepanjang 11.5 sentimeter di belakang tubuhnya pada malam Isnin lalu.

Semasa soal siasat oleh polis, Siti mengaku dia melakukan tindakan kejam tersebut kerana tidak mampu untuk membesarkan anaknya.

Dalam perkembangan terbaru, jururawat di Hospital Besar Cibinong menyatakan bayi seberat 2.17 kilogram itu kini semakin sembuh walaupun luka tersebut nyaris meragut nyawanya.

Sementara itu, ibunya telah dihantar ke Hospital Kramat Jati di Jakarta Timur untuk menjalani ujian psikiatri. - sinarharian

Tuesday, March 20, 2012

Si Manja seperti makhluk asing

WAJAH menakutkan kucing Don Sphynx dengan empat taring dan telinga runcing seperti tanduk.
WAJAH menakutkan kucing Don Sphynx dengan empat taring dan telinga runcing seperti tanduk. 

BISHKEK (Kyrgyzstan): Dengan wajah seperti ini anda mungkin ingin bersembunyi di dalam rumah saja.


Rupa kucing Don Sphynx yang kelihatan seperti makhluk asing ET ataupun Gremlin menarik perhatian ratusan pengunjung dalam pameran kucing. Kucing dengan wajah menakutkan dalam foto ini yang seolah-olah mengalami hari malang dipamerkan di Bishkek, Kyrgyzstan hujung minggu lalu. Kira-kira 100 haiwan dari Kazakhstan dan Kyrgyzstan mengambil bahagian dalam acara itu, memberikan peluang kepada pamiliknya untuk mempamerkan haiwan peliharaan mereka yang cantik mahupun pelik.


Anak kucing ini menarik perhatian dengan giginya yang berbentuk seperti empat taring dan lidah merah menyala. Dengan berkulit hitam berkedut ia menunjukkan matanya yang hijau kehitaman serta telinga runcing seperti tanduk. Kucing kacukan ini disifatkan sebagai manja, suka berkawan dan bermain, selain cerdik.


Kucing Don Sphynx tanpa bulu berasal dari Russia. Pembiakan pertama bermula pada 1987 di bandar raya Rostov-on-Don di Russia.


Profesor di Institut Pedagogi Negeri, Elena Kovaleva menemui beberapa kanak-kanak lelaki bermain bola sepak dengan sebuah beg. Di dalam beg itu ada seekor kucing yang ketakutan dibawanya pulang dan dipelihara, tetapi ia membesar kehilangan banyak bulu dan kemudian melahirkan anak kucing tanpa bulu. - DM


Saturday, March 10, 2012

Dicabul doktor pelatih

Ketua-Polis-Daerah,-azham-Othman
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman

KOTA BHARU - Seorang pelajar perempuan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mendakwa dicabul seorang doktor pelatih di sebuah hospital di sini pada 4 Mac lalu.

Pelajar terbabit dikatakan dicabul ketika berada di unit kecemasan hospital terbabit kira-kira jam 10.20 pagi ketika mendapatkan rawatan.

Menurut sumber, mangsa pada mulanya dirawat seorang doktor perempuan, namun terpaksa meninggalkan mangsa kerana perlu merawat kes kecemasan.

“Seorang doktor lelaki masuk ke bilik rawatan dan tanpa sebarang soalan, doktor tersebut meraba buah dada mangsa.

“Selepas meraba mangsa, doktor tersebut juga meminta seorang jururawat untuk memeriksa pelajar itu dan kemudian meraba alat sulit mangsa,” katanya.

Pelajar itu juga diarahkan doktor tersebut untuk melakukan senaman secara berhadapan dan dia memegang pinggang mangsa serta diarah melentikkan diri menyebabkan mangsa dicabul sekali lagi.

Apabila mangsa menyedari dirinya dicabul, dan tindakan tersebut bukannya rawatan, mangsa kemudiannya melarikan diri dari bilik itu serta membuat aduan kepada doktor wanita yang mula-mula merawatnya.

“Bagaimanapun, surat yang ditulis oleh mangsa kepada hospital tersebut tidak dilayan sehingga kini. Mangsa dikatakan lambat membuat laporan kerana terpaksa menduduki ujian peperiksaan,”katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut.

Azham berkata, kes tersebut akan disiasat mengikut seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

“Usaha mengesan suspek kini sedang giat dijalankan,” katanya. - SinarHarian

Kosmetik beracun ‘Babyface’ dirampas

babyface



IPOH - Bahagian Penguat kuasa Farmasi negeri menyerbu sebuah premis yang didapati menyimpan kosmetik beracun ‘Babyface’ di Medan Bercham pagi semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 10 pagi itu, mereka berjaya menemui beratus kotak produk pelbagai jenis yang dipercayai menunggu masa untuk diserahkan kepada pembekal tempatan.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Farmasi), Ruhaiyem Yahya berkata, produk yang dipercayai dibawa masuk daripada Filipina itu dikatakan mengandungi kimia beracun Hydroquinone.

Katanya, banyak pengguna mendakwa wajah mereka bertukar menjadi hitam dan terkoyak selepas menggunakan produk tersebut.

“Kebanyakan produk ini mudah didapati di pasar malam atau premis yang menjual barangan kecantikan.

“Pada serbuan itu kami turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 40-an dipercayai pemilik premis berkenaan dan akan didakwa mengikut Jadual (1) Akta Racun 1952,” katanya ketika ditemui, semalam.

Ruhaiyem berkata, produk itu diharamkan diimport dan dijual oleh pihak penguat kuasa farmasi Kementerian Kesihatan sejak sekian lama selepas ia terbukti berbahaya kepada kesihatan.

“Kandungan hydroquinone dan tretinoin dalam produk itu amat tinggi hingga boleh mencacatkan wajah pengguna.

“Produk ini dahulunya amat terkenal di kalangan wanita warga Filipina yang bekerja di negara ini selain turut mendapat sambutan wanita tempatan berikutan harganya murah selain mampu bertindak balas pantas,” katanya. - SinarHarian

Danny (X-Factor) Buat Resepsi Pernikahan Kali Ketiga


Danny dan isterinya, Leen akan mengadakan majlis resepsi kali ketiga pada 25 Mac depan. Foto Ihsan Utusan Malaysia.
PETALING JAYA: Bekas anggota kumpulan X-Factor, Danny atau nama sebenarnya Mohd Khardanie Anwa memberitahu bakal mengadakan majlis resepsi perkahwinannya buat kali ketiga di Zebra Square, Jalan Ampang dekan sini pada 25 Mac depan.
Danny ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat berkata, majlis itu diadakan bagi memperkenalkan isterinya iaitu Saidatul Fazlin Zakaria atau Leen kepada pihak media dan kenalan rapat yang tidak sempat menghadiri resepsi perkahwinannya di Kelantan pada Oktober lepas.
"Ada sesetengah pihak yang masih keliru sama ada saya sudah berkahwin atau pun tidak? Sebab itu saya mengambil kesempatan mengadakan majlis ini sebagai cara untuk menghebahkan kepada rakan-rakan dan pihak media.
"Rasanya tidak terlambat kerana saya dan isteri baru sahaja berkahwin dalam enam bulan," ujarnya.
Danny dan Leen yang juga seorang pramugari bernikah pada 16 September tahun lalu selepas beberapa tahun menyulam cinta.
Dalam pada itu, Danny berkata, majlis berkenaan bakal bertemakan perkahwinan ala-Inggeris berikutan dewan yang ditempah memang berkonsepkan demikian dan telah menghantar sebanyak 400 jemputan.
Sementara itu, ditanya mengenai kehidupan sebagai suami isteri, Danny memberitahu perkahwinan adalah perkara paling terbaik yang pernah berlaku dalam hidupnya.
Danny memebritahu, kenikmatan berumah tangga sukar diucap dengan kata-kata dan mengakui bahagia berada di samping isterinya.
"Alhamdulillahlah perkahwinan saya dengan Leen bahagia dan saya bertuah dapat menjadikan dirinya sebagai isteri," ujar Danny.
Ditanya mengenai anak, Danny berkata, buat masa ini dia dan isterinya masih dalam fasa bulan madu dan merancang untuk menimang cahaya mata pada tahun hadapan.
"Sekarang tengah “honeymoon” lagi, Insya-Allah tahun depan kami merancang nak dapatkan anak," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Danny memberitahu dia terpaksa mengurangkan aktiviti lakonan kerana sibuk menguruskan acara-acara yang dipertanggungjawabkan kepadanya.
Bagaimanapun dia akan terus berlakon kerana itu adalah minatnya sejak dahulu lagi.
"Saya sekarang sudah berkahwin dan tak boleh mengharap kepada berlakon sahaja jadi kena buat pelbagai kerja untuk memastikan ekonomi keluarga bertambah kukuh," katanya. - mStarOnline

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu