adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Tuesday, May 29, 2012

Nassier Wahab Masih Laris Pada Usia 50 Tahun


Nassier Wahab
PETALING JAYA: Penyanyi Nassier Wahab meluahkan rasa syukur kerana masih lagi mendapat undangan menyanyi setiap minggu walaupun tanpa sebarang publisiti ketika berusia 50 tahun.
Nassier, 50, berkata, dia mengakui, faktor usia juga adalah salah satu punca dirinya kurang meraih perhatian pihak media yang lebih tertarik kepada bakat baru namun dia percaya masih diminati berdasarkan kepada sambutan dalam setiap persembahan yang diadakan.
"Alhamdulillah, sehingga kini tak menang tangan saya untuk memenuhi undangan persembahan, ada yang terpaksa ditolak.
"Dan saya menghargai setiap jemputan yang diterima sehinggakan walaupun kurang sihat, saya sanggup memenuhi undangan agar dapat menghiburkan peminat yang tidak pernah putus menyokong saya.
"Apa-apa pun, saya bersyukur, walaupun tiada publisiti, saya masih lagi diterima ramai," katanya.
Tambah Nassier, dia bukan sekadar sibuk mengadakan persembahan di Malaysia, tetapi juga di negara jiran seperti Singapura dan Brunei.
Dan terbaru, Nassier bakal mengadakan sebuah konsert mini di Singapura pada Julai ini.
"Saya dimaklumkan memiliki ramai peminat di negara itu dan terdapat sebuah syarikat menawarkan untuk menganjur konsert mini buat saya. Rasa bersemangat pula untuk membuat persiapan persembahan konsert," ujarnya.
Dalam pada itu, Nassier baru sahaja muncul dengan sebuah lagu single terbaru berjudulPuisi Lara dan ia sudah pun dimainkan di beberapa stesen radio di Singapura.
"Puisi Lara merupakan sebuah lagu yang sangat istimewa ciptaan Adnan Abu Hassan terbitan BME Entertainment. Walaupun ia mengisahkan tentang lara cinta, namun melodinya sangat menarik untuk didengar.
"Sekarang ini saya sedang merangka beberapa promosi khas buat lagu itu sebelum meneruskan perancangan bagi menghasilkan sebuah album tidak lama lagi.
"Harap-harap lagu ini dapat mengembalikan semula nostalgia lagu Memori Terluka yang pernah popular dahulu," tuturnya. - mStarOnline

Mavi Marmara: Turki dakwa 4 pegawai Israel

kapal
Kapal misi kemanusiaan Mavi Marmara diserang oleh tentera Israel dua tahun lalu.  
ISTANBUL - Mahkamah Turki hari ini mengenakan tuduhan secara rasmi ke atas empat pegawai kanan tentera Israel berhubung insiden rejim itu menyerang kapal misi kemanusiaan Mavi Marmara dua tahun lalu menyebabkan sembilan aktivis negara itu terbunuh.


Misi kemanusiaan itu dalam perjalanan ke Gaza untuk membantu rakyat Palestin.


Bekas ketua staf tentera, Gabi Ashkenazi dan bekas ketua risikan tentera, Mejar Jeneral Amos Yadlin, Panglima Tentera Laut, Laksamana Muda Eliezer Marimm dan ketua risikan tentera udara, Brig Jeneral Avishai Levi akan dibicarakan tanpa kehadiran mereka.


Sembilan aktivis pro-Palestin terbunuh apabila diserang oleh angggota tentera yang menyerbu Mavi Marmara.


Mahkamah Tinggi Jenayah Ketujuh Istanbul hari ini secara sebulat suara menerima pertuduhan yang dikemukakan minggu lalu oleh pendakwa raya Turki, demikian menurut akhbar bahasa Inggeris Turki, Today's Zaman.


Ketika itu misi tersebut turut disertai oleh beberapa rakyat Malaysia. Pendakwa raya mahu keempat-empat pegawai itu berhadapan dengan hukuman penjara sepanjang hayat, demikian menurut agensi berita Turki, Anatolia.


Israel enggan bekerjasama dengan Turki dalam mengenakan tindakan pendakwaan berhubung kejadian itu.


Jika mereka disabitkan kesalahan, mahkamah Turki boleh mengeluarkan waran tangkap ke atas mereka.


Kapal itu dihalang oleh tentera laut Israel di perairan antarabangsa ketika dalam perlawanan ke arah Gaza pada 31 Mei 2010.


Insiden itu telah menjejaskan hubungan diplomatik antara Turki dan Israel.


Laporan dua tahun lalu menyebut bahawa 12 orang rakyat Malaysia berada di atas kapal Mavi Marmara ketika diserang tentera Israel. Mavi Marmara, sebuah kapal Turki ialah satu daripada konvoi kapal yang membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza.


Pada September lalu, Turki mengancam untuk membawa Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hague berhubung tindakannya ke atas kapal itu. - sinarharian

Guna derma awam, Kelantan bina Lebuh Raya KB-KK

Guna derma awam, Kelantan bina Lebuh Raya KB-KK
Nik Abdul Aziz menerima sumbangan orang ramai bagi menjayakan pembinaan
Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai.

MACHANG - Pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai sepanjang 73 kilometer, yang akan menelan kos RM1.8 bilion, yang tertangguh sejak 26 tahun, dimulakan di Kampung Berangan Mek Nab di sini, hari ini, antara lain menggunakan sumbangan orang ramai.


Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, setelah lebih dua dekad pembinaannya ditangguhkan oleh Kerajaan Pusat, pihaknya mengambil keputusan membina sendiri jalan baru itu demi kemudahan rakyat.


Katanya,  Projek jalan baru itu diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Kelima (RMK-5)  dan ditangguhkan  dari tahun ke tahun.


"Malangnya pada RMK-10 ia tidak lagi disenaraikan dan kami (Kerajaan Negeri) mengambil keputusan membinanya sendiri.


"Jalan baru ini memainkan peranan penting dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas pada musim perayaan seterusnya  membantu menurunkan indeks kemalangan jalan raya," katanya.


Beliau berkata demikian pada  Majlis Pecah Tanah Pakej 1 ( Machang-Kuaala Krai) di Kampung Berangan Mek Nab di sini.


Projek keseluruhan yang dijangka bernilai RM1.8 bilion itu bakal disiapkan dalam masa tiga tahun.


Pada majlis itu, orang perseorangan dan korporat turut menyumbang bagi sama-sama menjayakan lebuh raya rakyat itu.


Nik Abdul Aziz berkata,  lebuh raya yang berkonsepkan tanpa tol itu turut dilaksanakan secara wakaf di mana kos pembinaannya serta penyelenggarannya dibiayai sebahagiannya oleh dana hasil sumbangan derma dan wakaf rakyat serta yarikat swasta.


Katanya, projek itu adalah demi kepentingan rakyat dan bukannya permainan politik sebagaimana yang didakwa beberapa pihak. - sinarharian


Thursday, May 24, 2012

Isteri nekad bongkar rahsia suami

Isteri nekad bongkar rahsia suami
Ab Rashid (kiri) bersama dua senapang buatan sendiri yang dirampas, kelmarin
KAJANG – Tidak tahan dipukul,seorang wanita membuat laporan polis dan membuka pekung suaminya yang mempunyai dua laras senapang tanpa lesen sah.

Wanita berumur 30-an itu, nekad membongkar rahsia suaminya selepas sering dipukul walaupun hanya melakukan kesalahan kecil.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, bertindak daripada laporan itu, polis menahan suaminya, seorang pengusaha minyak, berusia 43 tahun, di sebuah rumah di Sungai Ramal Dalam, kelmarin.

Katanya, dalam serbuan jam 2.25 petang itu, polis merampas dua laras senapang buatan sendiri, empat biji logam yang ditajamkan di bahagian depan dan 50 biji bebola besi.

Ab Rashid berkata, polis kemudiannya menahan dua rakan suspek, berumur 33 dan 44 tahun, serta merampas 16 biji logam lagi yang ditajamkan di bahagian depan.

“Senapang dirampas dipercayai dibuat salah seorang suspek yang bekerja sebagai juru kimpal di Beranang dan Rembau. Suspek boleh dikatakan pakar kerana senapang ini dibuat dengan teliti.

“Semasa soal siasat, suspek memberitahu senapang ini digunakan untuk memburu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, semalam.

Beliau berkata, siasatan mendapati senjata ini disimpan suspek sejak setahun lalu.

“Jika disalah guna, senjata ini boleh mendatangkan kecederaan parah dan boleh membunuh,” katanya.

Dalam perkembangan lain, polis menemui sepucuk pistol bersama sebutir peluru di sebuah restoran makanan laut di Jalan Reko, 17 Mei lalu. Ab Rashid berkata, sebelum itu, dua kumpulan bergaduh di restoran berkenaan.

“Pistol ini terjatuh di atas lantai ketika dua kumpulan sedang bergaduh,” katanya. - sinarharian

Tangan gadis bertukar hitam

Tangan gadis bertukar hitam
Penduduk melihat keadaan Norzahidah sambil diperhatikan Mohd Roslan (kanan).
BANDAR BENTONG – Seorang peneroka di Felda Kemasul, dekat sini, mahu penjelasan lanjut berhubung keadaan tangan kanan anak sulungnya yang bertukar menjadi hitam dan kini hidup ibarat orang kurang upaya (OKU) selepas hampir sebulan mendapat rawatan di hospital.

Mohd Roslan Dollah, 49, berkata, anak sulungnya, Norzahidah, 22, mengalami demam panas hingga tidak sedarkan diri pada 8 April lalu dan mereka sekeluarga membawanya ke Klinik Kesihatan Chemomoi, dekat sini.

Menurutnya, Norzahidah kemudiannya dibawa menaiki ambulans ke sebuah hospital di negeri ini untuk mendapat rawatan lanjut.

“Anak saya dimasukkan ke ICU (unit rawatan rapi) dan pada hari kelima dia dimasukkan ke situ, saya mendapati tangan kanan anak saya sudah bertukar warna menjadi biru kehitaman.

“Saya cuba bertanyakan punca mengapa ia terjadi, namun tidak diberikan penjelasan sewajarnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Roslan berkata, kira-kira 10 hari menerima rawatan di unit rawatan rapi, anaknya dipindahkan ke wad biasa sebelum dibenarkan pulang pada 9 Mei lalu.

Bagaimanapun katanya, apa yang menyedihkan tangan anaknya bukan sahaja hitam hingga ke paras siku, namun keupayaannya juga semakin terhad.

“Dahulu anak saya normal dan bekerja sebagai pembantu kedai di Bera, tetapi selepas keluar hospital, dia tidak berdaya hingga terpaksa diletakkan atas kerusi roda dan memakai lampin pakai buang.

“Setiap hari kami terpaksa menghantar Norzahidah ke Klinik Kesihatan Chemomoi untuk mencuci bahagian tangannya yang hitam, manakala kaki sebelah kirinya juga semakin lemah dari hari ke hari,” katanya.

Mohd Roslan berkata, mereka sekeluarga sedih melihat keadaan Norzahidah kerana tidak seperti dahulu dan memerlukan bantuan ahli keluarga untuk menguruskan diri.

Menurutnya, keadaan yang berlaku memberi kesan kepada kehidupan mereka sekeluarga memandangkan Norzahidah merupakan anak sulung daripada lima beradik.

“Kami cuma mahukan pembelaan sewajarnya atas apa yang berlaku kerana ia melibatkan masa depan Norzahidah walaupun semasa menerima rawatan, doktor ada menyarankan supaya tangan anak saya dipotong.

“Namun apa yang kami kesalkan ialah sehingga kini kami masih tidak mengetahui dengan jelas penyakit dialami Norzahidah kerana penerangan diberikan semasa menerima rawatan di hospital berbeza-beza,” katanya. - sinarharian

Lapan nyaris maut lori rempuh kedai makan

Lapan nyaris maut lori rempuh kedai makan
Beberapa pelanggan melihat keadaan lori jenis Fuso yang merempuh masuk ke dalam sebuah kedai makan, pagi semalam.

BANDAR TEMERLOH – Keasyikan lapan pelanggan menikmati sarapan pagi di sebuah kedai makan, di sini, pagi semalam tergendala apabila sebuah lori tanpa muatan merempuh masuk ke dalam kedai terbabit akibat terbabas selepas terlanggar seekor babi hutan melintas jalan.

Kejadian berlaku jam 10 pagi di Jalan Kuantan Kuala Lumpur dekat Kampung Batu 4, di sini, ketika terdapat lapan pelanggan bersama dua pembantu kedai yang sedang asyik melayan pelanggan dalam kedai berkenaan.

“Saya dengar bunyi bising macam helikopter nak jatuh, tiba-tiba meluru masuk sebuah lori ke dalam kedai dan merempuh sedikit pagar serta meja makan sebelum berhenti betul-betul depan pelanggan.

“Nasib baik pelanggan cepat mengelak. Beberapa pelanggan lagi cuba membantu mengeluarkan pemandu lori yang terperangkap di dalam kenderaannya,” kata pembantu kedai makan nasi kerabu, Sukaramai, semalam.

Rashidah Rashid 38, berkata, mujur semasa kejadian ramai pelanggan sudah beredar dan hanya tinggal lapan pelanggan di dalam kedai terbabit.

“Biasanya pelanggan sarapan pagi di sini antara jam 8 hingga 9 pagi setiap hari, nasib baik semasa kejadian tidak ada ramai orang,” katanya.

Sementara itu, pemandu lori berkenaan yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku begitu pantas dan ketika itu dia dalam perjalanan menghantar lori terbabit kepada penjual di Kuala Lumpur.

Menurutnya, sebaik tiba di hadapan kedai berkenaan, seekor babi hutan meluru dari semak berhampiran untuk melintas jalan.

“Saya tak sempat elak dan melanggarnya, kemudian saya cuba kawal semula lori tetapi gagal dan terus masuk ke dalam kedai. 

“Sejak bekerja lebih setahun lalu dengan sebuah syarikat automotif di Pekan, ini kejadian paling teruk saya alami. Saya memang kerap menggunakan jalan ini dua hingga tiga kali sebulan menghantar lori ke penjual di Kuala Lumpur,” katanya yang tidak mengalami sebarang kecederaan. - sinarharian

Wednesday, May 23, 2012

Azrinaz Muncul Selepas Bercerai Sebagai Isteri Sultan


Inilah wajah terbaharu Azrinaz.
PETALING JAYA: Personaliti Azrinaz Mazhar Hakim Mazhar,32, membuat kemunculan kepada umum secara eksklusif buat pertama kalinya dalam program On Air selepas berpisah sebagai isteri Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.
Penerbit rancangan realiti tersebut Muhammad Azlan Zanudin berkata, Azrinaz ditugaskan untuk muncul sebagai peneraju bersama (Co-Anchor) bagi episod dua dan empat (diari) serta lima (penilaian) menerusi program itu.
"Ia merupakan satu penghormatan buat produksi kami apabila dia (Azrinaz) sudi menerima tawaran kami untuk membimbing 20 perantis peserta On Air berkongsi pengalaman sebagai wartawan penyiaran.
"Pada program itu, Azrinaz ditugaskan untuk mengajar beberapa teknik mengenai tugasan ‘stand upper'," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.
Azrinaz berkongsi pengalamannya sebagai wartawan penyiaran bersama peserta 'On Air'.
Tambah Azlan, bekas wartawan penyiaran TV3 itu juga turut tampil pada episod penyingkiran bersama peneraju utama On Air, Aznil Nawawi bersama Datin Seri Normala Samsudin.
"Setakat ini Azrinaz memberi komitmen yang sangat baik dalam On Air dan kami berharap dapat bekerjasama dengannya lagi selepas ini.
"Dia juga amat gembira dengan program berkenaan kerana dapat mengasah bakat golongan muda yang meminati bidang penyiaran. Saya percaya pasti ramai yang tidak sabar untuk melihat kemunculannya setelah sekian lama menyepi," ujarnya.
Pada 20 Ogos 2005, Azrinaz mengejutkan dunia penyiaran apabila beliau mendirikan rumah tangga dengan menjadi isteri kedua Sultan Brunei pada satu majlis tertutup di lokasi yang dirahsiakan. Azrinaz ketika itu berusia 26 tahun.
Hasil perkahwinan tersebut, pasangan diraja berkenaan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putera Abdul Wakeel,6, dan Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah,4.
Bagaimanapun, perkahwinan itu tidak kekal lama apabila Sultan Hassanal Bolkiah menceraikan Azrinaz dengan talak satu pada 16 Jun 2010 manakala semua gelaran termasuklah 'Yang Teramat Mulia Pengiran' ditarik balik.
Dari kiri; Aznil, Datin Seri Normala Samsudin dan Azrinaz.
Sementara itu On Air, yang diterbitkan bagi mencari pelapis pengacara baru itu akan memulakan siaran pada setiap Rabu (bermula malam ini) hingga Ahad, pukul 10 malam di Astro Ria.
Seramai 20 peserta yang digelar sebagai perantis akan berentap bagi merebut gelaran juara sebelum dipilih bagi mengikat kontrak sebagai Artis Residen Astro.
Pengacara Suhaimi Sulaiman, Aznil Nawawi dan Dang Suria Zainordin akan terlibat dalam program itu manakala Karl Shafik sebagai hos untuk segmen Diari On Air. - mStarOnline

‘Saya tak akan buka pekung’


KUALA LUMPUR: Pelakon kacak, Adi Putra yang menarik balik permohonan cerai kelmarin, tidak sesekali akan membuka pekung atau sebab utama dia mengambil keputusan untuk memfailkan permohonan itu dengan isterinya, Zuhaida Yusof, 37 (Aida) pada 11 Mei lalu, demi menjaga aib kedua-dua pihak.

Malah Adi atau nama sebenarnya, Mohamed Hadi Putera Halim, 31, meminta supaya masyarakat atau pihak media menghormati keputusannya untuk tidak memberitahu punca sebenar tindakan awalnya bertemu Penolong Pendaftar Mahkamah Syariah, Nur Ifzan Ibrahim itu. 

“Biarlah ia menjadi rahsia kami berdua dan apa boleh saya katakan, permohonan cerai dilakukan pada 11 Mei 2012 adalah kerana tiada persefahaman. Bagaimanapun kalau ditanya lagi, saya tidak boleh memberitahu kenapa kerana ia membabitkan aib kami sekeluarga. Harap semua pihak memahami dan menghormati permintaan saya ini,” kata Adi.

Adi Putra berkata demikian dalam sidang media khas malam tadi di sebuah hotel di sini yang diadakan untuk menjelaskan kedudukan sebenar penarikan balik permohonan cerai dibuat mengikut Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 (Subseksyen 95 (1)) itu. - myMetro

Isteri minta fasakh dibelasah


KANGAR: Seorang lelaki yang tercabar kerana isterinya mahu meminta fasakh, menerajang serta menghentak kepala isterinya menggunakan topi keledar sehingga wanita itu cedera dalam kejadian di pekarangan Kompleks Jabatan Agama Islam negeri di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa yang berusia 41 tahun dan bekerja sebagai tukang cuci, cedera di kepala serta tangannya akibat tindakan ganas suaminya yang berusia 43 tahun.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, wanita itu yang bekerja di Taman Kemajuan di sini, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Jawi Endul, dekat sini, apabila terserempak dengan suaminya di perkarangan Kompleks Jabatan Agama Islam negeri.

Menurutnya, lelaki itu serta wanita berkenaan yang dalam proses perceraian, berselisih faham berkenaan isu rumah tangga mereka sebelum suspek yang berang, mula menyoal isterinya.

“Suspek yang tidak berpuas hati isterinya enggan bersamanya lagi, memukul mangsa menggunakan botol air."

Wanita itu diterajang di bahagian kepala sebelum dihentak dengan topi keledar lelaki itu.

"Berikutan kejadian itu, wanita berkenaan cedera di kepala dan tangan," katanya di sini, semalam.

Abdul Rahman berkata, mangsa yang cedera membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar dan polis menahan lelaki berkenaan.

"Suspek direman sehingga esok," katanya. - myMetro

Friday, May 18, 2012

Tahniah!!!!!

Sekalung tahniah buat puteri sulungku sempena majlis konvokesyennya yang berlangsung pada hari Rabu, 16.05.2012 di UITM Shah Alam.

Tapi sayang, adik-adiknya tidak dapat bersama pada hari tersebut kerana masing-masing ada urusan yang tidak dapat dielakkan.

Tak apalah, insyaAllah ada lagi konvo yang akan datang...nanti kita berkumpul ya.

Wajah-wajah ceria anak-anak yang berjaya menyelesaikan diploma masing-masing tergambar dalam foto-foto di bawah.
Ciuman tahniah dr mama & ayah

Tahniah buat semua
Areen & Miss Boonga

Suasana dlm dewan konvo - perarakan masuk para graduan

Areen & Afieqaah

Hadiah hari jadi buat ayah

Di sini juga akak ingin mengucapkan SELAMAT HARI GURU buat insan-insan yang bergelar pendidik kerana tanpa mereka kami semua tidak akan berada ditahap ini....terima kasih atas didikan kalian.

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu