adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Friday, June 29, 2012

Osman Kering meninggal dunia

Osman Kering



KUALA LUMPUR - Pelawak terkenal tanah air Osman Kassim atau lebih dikenali dengan nama Osman Kering meninggal dunia hari ini akibat batuk kering.

Osman, 58, meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di sini pada kira-kira pukul 3.45 petang.

Osman yang berasal dari Pauh Lima, Kelantan, meninggalkan seorang balu Che Norhayati Che Omar, 48, dan tujuh orang anak serta tiga cucu.

Anak keempatnya Norhidayah Osman berkata bapanya itu telah lama menghidap penyakit batuk kering dan dimasukkan ke HUKM sejak 11 Jun lepas bagi menerima  rawatan.

Jenazah allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Al Najihin, Bandar Sri Pemaisuri di sini sebelum dikebumikan di Tanah Pekuburan Islam Bukit Tandang, Petaling Jaya selepas Maghrib.

Osman telah berkecimpung dalam dunia seni lebih 30 tahun dan antara filem yang dibintanginya ialah "Kantoi", "Senario The Movie Episod 1", "Tentang Bulan" dan "Man laksa".

Norhidayah berkata sebelum menghembuskan nafas terakhir arwah bapanya ada berpesan agar menjaga ibu mereka dengan baik selain sering memberitahu bermimpikan rakan artisnya yang telah meninggal dunia.

"Ayah ada memberitahu dia kata dia pernah bermimpi (berjumpa allahyarham) M.Rajoli dan Zami Ismail dan mereka berbual sekali. Sebelum meninggal dunia ayah sering bermanja dengan kami dan berbual-bual," katanya.

Beliau tidak menduga gurauan bapanya sebelum ini merupakan kali yang terakhir sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Sementara itu, penyanyi Siti Nordiana Alias atau dikenali dengan nama Nana berkata, beliau mengenali Osman sebagai seorang pelawak yang sangat sporting.

"Sepanjang Nana kenal dia, dia banyak beri tunjuk ajar pada Nana, dan Nana pun rapat dengan keluarganya, Nana rasa arwah seorang yang sukar dicari ganti," katanya yang ditemui ketika menziarah di kediaman allahyarham di Bandar Sri Permaisuri. - Bernama

Ella Sahkan Bakal Nikah 7 Julai


Ella sahkan bakal bernikah dengan Azhar pada 7 Julai depan.
PETALING JAYA: Penyanyi terkenal, Norzila Aminuddin atau Ella mengesahkan desas-desus yang mengatakan dia bakal berkahwin dengan seorang juruterbang pada 7 Julai depan.
Menurut laporan Harian Metro pada Jumaat, Ella, 46, memberitahu majlis pernikahannya bersama Azhar Ghazali bakal diadakan secara tertutup di rumah keluarganya di Klang, Selangor.
"Alhamdulilah akhirnya apa yang diperkatakan sebelum ini, persoalan bertahun-tahun yang diajukan kepada saya sudah ada jawapannya.
"Doakan yang terbaik dan semuanya berjalan lancar," ujarnya.
Dalam pada itu, Ella berkata, majlis pernikahan itu nanti akan diadakan secara sederhana dan hanya keluarga terdekat kedua belah pihak dan kenalan rapat sahaja diundang.
Ella menjelaskan, pihaknya bukan tidak mahu menjemput ramai orang tetapi menghormati permintaan keluarga yang inginkan kesederhanaan untuk majlis pernikahan tersebut.
"Insya Allah majlis resepsi nanti pada 1 Disember depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya saya akan jemput lebih ramai tetamu," katanya.
Ella bersama Azhar iaitu seorang juruterbang syarikat penerbangan Firefly yang berusia awal 30-an mula mengenali antara satu sama lain sejak sembilan tahun lalu, namun hubungan itu menjadi lebih serius tiga tahun kebelakangan ini.
Menyifatkan Azhar sebagai seorang yang sangat memahami dan menerima dirinya seadanya, Ella yakin jodohnya sudah tiba.
"Sembilan tahun kenal tetapi kerana kesibukan tugas masing-masing membuatkan kami berhubung secara jarak jauh sahaja.
"Hinggalah akhir-akhir ini hubungan itu semakin serius dan kami memutuskan untuk melangkah ke peringkat lebih baik. Lantas pihaknya datang merisik pada 17 Jun lalu di rumah keluarga saya di Klang," katanya. - mStarOnline

Irma Hasmie Sah Jadi Isteri Ahli Perniagaan


Irma Hasmie di sisi suaminya.
PUTRAJAYA: Pelakon dan pengacara, Irma Hasmie, 30, sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Reza Syah Azmeer Mohd Redzuan, 31, dengan sekali lafaz.
Majlis pernikahan mereka diadakan di Dewan Persidangan, Kompleks Perbadanan Putrajaya di sini kira-kira pukul 3.50 petang, Jumaat.
Pasangan tersebut dinikahkan sendiri oleh bapa Irma iaitu Ibrahim Othman di hadapan Penolong Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Putrajaya, Mohd Redza Ahmad.
Majlis pernikahan kedua-dua mempelai dihadiri kira-kira 300 orang jemputan yang terdiri daripada kaum keluarga pengantin kedua-dua belah pihak dan wakil media.
Pengantin perempuan menerima tiga dinar emas (RM2,220) sebagai mas kahwin sementara wang hantaran dirahsiakan jumlahnya daripada pengetahuan umum.
Dalam pada itu, pihak perempuan menerima 11 dulang hantaran daripada pihak lelaki dan dibalas 13 dulang. Selain sebentuk cincin, antara barang hantaran lain yang diberikan Redza kepada Irma termasuklah sirih junjung, manisan, jam tangan, tas tangan, coklat dan set mandian.
Manakala Irma membalas sirih junjung, sebentuk cincin, Al-Quran, sejadah, kurma dan komputer riba.
Majlis resepsi kedua-dua mempelai akan diadakan pada 1 Julai ini di Dewan D2, Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) pukul 8 malam. -mStarOnline

Thursday, June 28, 2012

Faizal Hussein Mohon Maaf, Tidak Niat Menyindir Dalam Buku


Faizal Hussein
KUALA LUMPUR: Pelakon Faizal Hussein menjelaskan buku pertama tulisannya berjudulLimelight bukan bertujuan untuk menyindir atau mengaibkan mana-mana pihak di dalam industri perfileman tanah air.
Faizal berkata, buku itu sebaliknya memaparkan realiti sebenar dunia perfileman tempatan berdasarkan pengalamannya selama 40 tahun bergelar pelakon.
"Mungkin beberapa kandungan dalam buku ini akan menyinggung pihak tertentu tetapi semua itu adalah fakta dan cerita yang saya dengar dan lalui dalam industri perfileman sepanjang 40 tahun.
"Terlebih dahulu saya mohon maaf kepada semua jika ada yang kurang senang atau terasa. Namun ia dihasilkan untuk tatapan dan panduan kepada warga seni khususnya yang baru mengenai selok-belok industri," ujarnya kepada mStar Online.
Limelight memaparkan corat-coret dunia perfileman daripada kaca mata aktor itu.Ia juga adalah perkongsian kisah peribadi Faizal yang dilahirkan daripada keluarga seni aktor dan pengarah veteran Allahyarham Hussein Abu Hassan dan aktres Allahyarham Mahyon Ismail.
Buku setebal 200 halaman itu diterbitkan Merpati Jingga dan bakal dipasarkan tidak lama lagi.
Bercerita lanjut, Faizal menyifatkan buku tersebut sebagai medan terbaik untuk dia memberikan panduan dan bimbingan kepada karyawan muda berhubung matlamat sebenar dalam dunia seni.
"Majoriti artis baru hanya melihat bidang ini untuk popular dan hidup mewah sedangkan anak seni mempunyai tanggungjawab yang besar kepada masyarakat.
"Saya mahu berkongsi dengan anak seni dan pekerja-pekerja filem dan membetulkan matlamat sebenar dan tanggungjawab mereka berdasarkan pengalaman saya selama ini," luahnya.
Ditanya mengenai keberaniannya mendedahkan realiti sebenar industri filem dalam buku itu, Faizal berkata dia bersedia menerima pelbagai reaksi ekoran tindakan itu.
"Saya sedar apabila kita bercerita dengan ikhlas mengenai sesuatu kebenaran, pasti ada pihak yang tersinggung dengan pendedahan itu.
"Ada banyak kisah sebenar berkaitan pengalaman dan luahan arwah bapa saya mengenai industri, selain cerita peribadi saya dan keluarga. Tapi saya berasa ia perlu dikongsi kepada khalayak," akuinya.
Dalam perkembangan lain, Faizal berkata dia bakal memulakan penggambaran filem terbaru arahan Bade Hj Azmi berjudul Hitam Putih tidak lama lagi.
Dua filem lakonannya, Pencinta dan Gila-Gila Remaja masih menantikan slot tayangan di pawagam. - mStarOnline

Cerai : Raja Azmi Terima ‘Hadiah’ Allah Kerana Cuai


Raja Azmi bersama Jalani (belakang) dan anak perempuan mereka, Puteri Suaida selepas prosiding perceriaan selesai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Kuala Lumpur, pada Rabu.

KUALA LUMPUR: Produser filem Raja Azmi Raja Sulaiman menganggap perceraiannya dengan bekas jaguh badminton negara, Jalani Sidek di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini pada Rabu adalah satu hukuman kerana cuai dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri.
Penerbit filem ...Dalam Botol itu turut reda dengan “hadiah” yang diberikan Allah sempena ulang tahun kelahirannya ke-53 yang jatuh pada hari sama talak dilafazkan.
"Saya percaya perceraian ini adalah hadiah daripada Allah bersempena sambutan hari lahir saya pada hari ini (Rabu). Saya terima hukuman Allah di dunia ini kerana kesilapan saya.
“Semoga saya tidak dihukum di akhirat nanti," luahnya kepada mStar Online ketika ditemui di luar mahkamah di sini, Rabu
Jalani atau nama sebenarnya Mohamed Jalani Mohamad Sidek,49, melafazkan talak satu terhadap Raja Azmi di hadapan Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin.
Pasangan terbabit mengambil keputusan tersebut atas alasan tidak lagi wujud kasih sayang dan persefahaman selain berhadapan dengan konflik rumah tangga yang berpanjangan selama ini.
Raja Azmi berkata, dia atau bekas suami tidak menetapkan tarikh tertentu bagi permohonan perceraian berkenaan sebaliknya tarikh itu adalah secara kebetulan kerana ia ditentukan oleh pihak mahkamah.
Raja Azmi melambaikan tangan kepada pihak media.
Penulis novel itu turut berkata, perceraian yang berlaku dibuat atas persefahaman bersama bagi membolehkan hubungan dia dan bekas suami terus akrab dan baik seperti sebelum ini.
"Kami bercerai dengan persetujuan bersama dan anak-anak memahami serta menerimanya. Hubungan saya dan Jalani akan terus baik seperti biasa selepas ini.
"Malah, kami sekeluarga baru berkumpul pada malam semalam (Selasa) bagi meraikan hari jadi saya. Selepas pulang dari mahkamah, kami akan berbincang mengenai hal anak-anak dan beberapa urusan keluarga," katanya.
Hasil perkahwinan selama 28 tahun, kedua-dua pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Puteri Suraya, 27, Puteri Suaida, 23, dan Megat Deli, 18.
Mereka juga memiliki seorang cucu berusia setahun iaitu Muhammad Akid Mohd Shadan, anak kepada Puteri Suraya.
Raja Azmi sebelum pernah didakwa berkhalwat dengan bekas jaguh badminton negara, Roslin Hashim pada Ogos 2010 di Hotel Corus, Jalan Ampang, di sini.
Bagaimanapun, mereka dibebaskan pada 19 Ogos tahun lalu oleh pihak mahkamah selepas setahun proses siasatan berlangsung.
Jailani juga pernah dihimpit kontroversi kononnya dikatakan mempunyai hubungan dengan seorang ahli perniagaan berstatus janda. - mStarOnline

Sunday, June 24, 2012

Terbabas elak lembaga misteri


Terbabas elak lembaga misteri
Mangsa (tengah) diselamatkan oleh orang ramai yang berada di tempat kejadian.

KOTA DAMANSARA – Kegembiraan seorang penarik kereta yang mahu bersantai bersama rakannya untuk menonton perlawanan suku akhir Kejohanan Euro 2012 antara Jerman dan Greece tidak kesampaian apabila kereta Honda City dipandunya terbabas serta berpusing beberapa kali sebelum terbalik di bahu jalan bertentangan.
Dalam kejadian pada jam 2 pagi semalam di Persiaran Kenangan Seksyen 6 itu, mangsa dikatakan cuba mengelak lembaga misteri yang secara tiba-tiba melintas jalan tersebut.

Penarik kereta berusia 30 tahun itu bagaimanapun bernasib baik dan hanya mengalami kecederaan pada bahagian kepala serta luka pada bahagian badan.

Dia diselamatkan oleh orang ramai yang kebetulan melalui kawasan tersebut.

Menceritakan detik cemas itu, mangsa yang hannya mahu dikenali sebagai Lim berkata, dia cuba mengelak dari melanggar satu lembaga berwarna hitam yang melintas jalan.

“Saya terkejut dan memusing stereng ke bahagian kanan. Apa yang saya ingat, kereta ini langgar pokok di atas pembahagi jalan, berpusing beberapa kali dan terbalik,” katanya yang dalam perjalanan ke Uptown D’Kota, Jalan Teknologi dekat sini. Sementara itu, seorang saksi, Ayob Osman, 43, berkata, kejadian tersebut berlaku terlalu pantas.

“Nasib baik tiada pemandu lain di arah bertentangan, jika tidak keadaan mungkin bertambah buruk,” katanya yang tinggal di kawasan itu.

Difahamkan kemalangan misteri sememangnya kerap berlaku di jalan itu dan pernah meragut nyawa seorang wanita mengandung yang dirempuh sebuah kereta ketika melintas pada 2008.

Mangsa yang cedera kemudiannya membuat laporan di Balai Kota Damansara. - SinarHarian


Friday, June 22, 2012

Iqram Yakin Berat Tidak Bertambah Kerana JJCM


Iqram pengacara baru program Jalan-Jalan Cari Makan terbitan TV3.
PETALING JAYA: Pelakon Iqram Dinzly yakin berat badannya tidak akan naik secara mendadak berbanding sesetengah pengacara sebelum ini apabila memikul tanggungjawab mengendalikan musim terbaru program Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM).
Iqram berkata, sebagai pengacara baru program itu, dia sentiasa memastikan pemakanannya seimbang dengan mengambil banyak air suam, buah-buahan dan makanan tambahan bagi memudahkan lawas.
"Saya memang seorang yang suka makan dan hampir setiap satu jam saya akan mengambil makanan dan sejak dulu saya akan memastikan mengambil banyak air suam, buah-buahan dan makanan tambahan.
"Malah jika ada penggambaran JJCM saya akan memastikan hanya memakan makanan yang disediakan semasa penggambaran," ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Khamis.
Iqram menggantikan dua pengacara terdahulu iaitu Iqbal Mazlan dan Shiha (Mentor). JJCM terbaru bakal menemui peminat bermula 1 Julai depan pukul 12 tengah hari, setiap hari Ahad.
Dalam pada itu, Iqram berkata, dia mengakui agak gusar dengan penerimaan penonton terhadap cara penyampaiannya dan berharap peminat akan memberi sokongan.
Iqram berkata, tanggungjawab sebagai pengacara JJCM bukan mudah tambahan pula ia telah menjadi program yang diminati oleh penonton.
"Bagi saya jika bukan saya pun yang menggalas tugas ini orang akan tetap membandingkan cara penyampaian saya dengan pengacara terdahulu terutamanya Maria Tunku Sabri.
"Saya rasa tiada siapa dapat menyainginya (Maria) dan apa yang penting sebagai pengacara baru kita perlu buat yang terbaik," ujarnya.
Tambah Iqram, dia juga ada bertemu sendiri dengan Maria untuk mendapatkan nasihat dan tip bagi menjayakan program itu.
"Maria banyak memberi panduan dan paling penting dia mahu saya menjadi diri sendiri dan bukannya meniru gayanya atau orang lain," katanya.
Sementara itu, Iqram memberitahu dia telah merakamkan tiga episod JJCM dan berpuas hati dengan persembahannya selepas menjalani uji bakat bersama TV3 pada Mei lalu.
Iqram berkata, walaupun untuk episod pertama dia agak kaku tetapi dia semakin selesa mengacarakan program itu dan berharap penonton akan menyukainya.
"Mula-mula memang gelabah sebab masih belum dapat momentum sebagai pengacara sebuah program makanan tetapi semakin selesa kerana telah mula mesra dengan krew dan konsep program," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Iqram baru sahaja selesai menjalani penggambaran filemLegenda Budak Setan 2 (LBS2) selain beberapa drama iaitu Menantu VS Menantu dan telefilem berjudul Ayah gandingannya bersama pelakon Jalil Hamid. - mStarOnline

Wednesday, June 20, 2012

Pemuda maut jatuh dari tingkat 16


Pemuda maut jatuh dari tingkat 16
Nor Firdaus dikatakan terhempas di atas bumbung kedai tingkat satu sebelum terjatuh, semalam.

JOHOR BAHRU - "Tolong bang, kereta aku kena curi." Itulah ayat terakhir yang sempat diucapkan Nor Firdaus Abdul Ghani, 21, sebelum maut akibat terjatuh dari tingkat 16, Flat Larkin Perdana, di sini kira-kira jam 3 pagi semalam.


Sebelum kejadian, mangsa yang berada di kediaman seorang rakan, dikatakan cuba mengambil telefon bimbit yang terjatuh ke bawah beranda semasa meninjau kereta jenis Honda EK miliknya yang disyaki dicuri.

Abang sulung mangsa, Nor Hisham Abdul Ghani, 37, berkata, Nor Firdaus sempat meminta pertolongannya dan memaklumkan mengenai kejadian curi kereta itu sebelum terjatuh dari flat tersebut.


“Kira-kira jam 3.12 pagi, dia hubungi saya dan maklumkan keretanya dicuri orang tidak dikenali dari tempat letak kereta tingkat bawah flat itu.

“Katanya, dia tiba-tiba terdengar bunyi enjin keretanya dihidupkan lalu meninjau ke bawah tingkap dan nampak keretanya dipandu seseorang,” katanya.

Nor Hisham yang menetap di Kuala Lumpur berkata, ketika kejadian dia berada di sekitar Permas Jaya atas urusan kerja dan tiba di lokasi berkenaan kira-kira 15 minit kemudian, namun mendapati adiknya sudah meninggal  dunia.
“Dalam perjalanan ke lokasi kejadian, saya cuba hubungi adik (Nor Firdaus) tetapi tidak berjawab, saya tidak menyangka rupanya kejadian buruk berlaku.
“Adik memang kerap datang ke sini untuk melawat rakannya dan dimaklumkan berada di flat itu sejak jam 10 malam (kelmarin).
“Kali terakhir dia menghubungi saya, dia sempat meluahkan rasa terkilan mengenai kehilangan keretanya yang baru dimiliki sejak setahun lalu dan sudah diubah suai dengan kos kira-kira RM40,000,” katanya.
Menurutnya, tambah memilukan apabila anak keenam daripada lapan adikberadik itu sempat memeluk erat bapanya sambil mengucapkan selamat hari bapa sebelum keluar dari rumah mereka di Felda Papan Timur, Kota Tinggi, kelmarin.
“Sebelum ini dia tidak pernah berkelakuan seperti itu, ayah merupakan insan paling sedih menerima berita kematian adik.
“Kami juga terkilan kerana adik pernah meluahkan hasrat untuk bertunang dengan wanita pilihannya pada tahun ini, namun hasratnya tidak kesampaian,” katanya.
Jenazah Nor Firdaus selamat dikafan dan dituntut di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini kira-kira jam 2.30 petang semalam, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Papan Timur.


Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian yang berlaku namun memberitahu, pihaknya masih belum menerima laporan polis  berhubung kejadian curi kenderaan berkenaan. - SinarHarian


Izara Aishah Enggan Berlakon Aksi Ranjang


Izara Aishah tidak mahu membawa watak jahat atau aksi ranjang. - Foto SAM THAM.
PETALING JAYA: Pelakon Izara Aishah enggan menerima sebarang watak melibatkan aksi ranjang terutamanya bersama lelaki sekiranya ditawarkan oleh pihak produksi.
Izara, 20, berkata, dia mempunyai hak untuk memilih peranan yang ditawarkan kepadanya dan akan terus berpegang kepada prinsipnya itu.
"Benar saya sebagai seorang pelakon baru perlu terokai pelbagai watak dalam menjadikan saya seorang pelakon berkaliber tetapi bukan dengan membawa watak sebagai wanita jahat atau aksi ranjang.
"Walaupun saya masih baru, itu tidak bererti saya tidak mempunyai hak untuk menentukan apakah watak yang perlu saya bawa," ujarnya kepada mStar Online.
Tambah Izara, faktor usianya yang masih muda juga jadi penyebab dia enggan menerima watak-watak sedemikian.
Dalam pada itu, Izara menafikan dia semakin besar kepala apabila sudah mula memilih watak yang diberikan kepadanya selepas popular menerusi drama bersiri Vanila Coklat.
Izara menjelaskan keputusannya itu tiada kena mengena dengan populariti sebaliknya lebih kepada prinsip sebagai seorang individu.
"Saya masih baru dalam industri dan rasanya masih banyak peranan lain yang boleh saya terokai.
Izara menafikan sudah besar kepala tetapi keputusannya itu adalah prinsip dirinya.
"Watak wanita jahat dan aksi ranjang mungkin tidak sesuai buat masa ini dan tiada kena mengena dengan populariti yang sedang saya kecapi," ujarnya.
Bagaimanapun kata Izara, prinsipnya itu mungkin berubah suatu hari nanti jika dia sudah bersedia untuk menerima watak sedemikian.
Sementara itu, mengulas mengenai wajahnya sering menghiasi drama-drama sebagai peranan utama, Izara berkata, dia bersyukur dengan kepercayaan pihak produksi dan menganggap ia sebagai rezeki dan hasil usaha kerasnya untuk bergelar pelakon.
Izara memberitahu, dia memang memegang azam untuk cepat dikenali dalam industri hiburan tempatan dan tidak menyangka ia secepat ini.
"Alhamdulillahlah apa yang saya rencanakan berhasil dan mendapat kepercayaan banyak pihak.
"Bagaimanapun tidak bererti saya sentiasa membawa watak utama, saya tidak mahu menerima peranan sampingan," katanya. - mStarOnline

Suami Tidak Campur Adegan Panas Zarina Jamalullail

Zarina dalam imej terbaru, bersama Pekin pada tayangan perdana filem Aku, Kau dan Dia baru-baru ini.
PETALING JAYA: Pelakon baru Zarina Jamalullail, 23, menafikan dakwaan suaminya telah membayar sejumlah wang dengan jumlah yang besar bagi memotong beberapa adegan romantik yang dilakonkannya bersama Pekin Ibrahim dalam filem Aku, Kau dan Dia.
Bagaimanapun, Zarina yang merupakan finalis Dewi Remaja 2010/11 mengakui hanya meminta pihak produksi iaitu Tayangan Unggul untuk memotong sedikit adegan romantik berlebihan, bagi menjaga imejnya yang baru bertudung sejak bergelar isteri pada Disember tahun lalu.
"Diakui memang saya ada minta pihak penerbit untuk memotong sedikit adegan yang saya rasa tidak manis ditonton umum, kerana saya sudah bersuami dan bertudung. Ia telah mendapat persetujuan semua termasuklah pengarahnya, Pierre Andre.
"Tetapi tidaklah sampai suami perlu membayar ratusan ribu ringgit kepada penerbit semata-mata untuk pemotongan adegan tersebut, ia tak masuk akal. Saya kesal dengan hal ini kerana suami tidak ada kaitan langsung.
"Harap-harap kenyataan ini jelas dan difahami semua pihak. Saya tak mahu kerana gosip sebegini, kerjaya suami pula yang terganggu, katanya yang dihubungi mStar Online di sini, Selasa.
Antara babak Zarina dan Pekin dalam filem Aku, Kau dan Dia.
Tambah Zarina, ia tidak sepatutnya dijadikan isu kerana dia hanya ingin menjaga imejnya apatah lagi selepas berhijrah.
Minggu lalu, beberapa akhbar dan portal hiburan melaporkan terdapat khabar angin yang mengatakan suami Zarina yang dikatakan seorang VVIP sanggup membayar ratusan ribu ringgit kepada pihak produksi agar memotong beberapa adegan romantik membabitkan pelakon wanita itu dengan Pekin.
Pemotongan babak tersebut dikatakan telah menjejaskan perjalanan cerita filem itu yang turut dibarisi pelakon Remy Ishak, Nash, Harun Salim Bachik dan Marissa Yasmin.
"Kalaulah saya tahu akan berkahwin dan berhijrah dalam tempoh masa terdekat, sudah semestinya saya tidak akan mengambil tawaran berkenaan.
"Tetapi pada ketika itu, saya menganggap filem ini sebagai platform untuk meneruskan kerjaya di bidang seni selepas menyertai Dewi Remaja," ujarnya yang kini sedang mengandung enam bulan.
Sementara itu, Zarina telah membuat keputusan untuk tidak berkecimpung dalam dunia lakonan bagi memberi fokus sepenuhnya terhadap keluarga.
"Buat masa ini saya tak mahu berlakon lagi dan ingin mencuba sebagai pengacara agar lebih mudah dalam hal pengurusan masa.
"Bagaimanapun saya tak nak cakap besar, mana tahu, jika ada tawaran yang bersesuaian pada masa akan datang, saya akan pertimbangkan," tuturnya. - mStarOnline

Tuesday, June 19, 2012

Jurutol ditembak alami cacat kekal


Jurutol ditembak alami cacat kekal
Laporan Sinar Harian 16 Jun lalu.

KUALA LUMPUR - Salah seorang mangsa kejadian samun di Plaza Tol Seremban, Mohd Hafizz Zamri, 26, mengalami cacat kekal apabila kaki kanannya terpaksa dipotong Jumaat lalu.
Lebih malang, dia terpaksa menangguhkan perkahwinannya yang dijangkakan pada penghujung tahun ini.
Akibat itu, Hafizz kelihatan lebih murung dan tidak banyak bercakap. Bagaimanapun bapanya, Zamri Sutin, 53, berkata, anaknya itu semakin stabil selepas pembedahan yang dilakukan pakar perubatan Hospital Kuala Lumpur.
“Pada mulanya dia menolak untuk menjalankan pembedahan memotong kaki namun selepas dipujuk tunang dan ahli keluarga, dia bersetuju,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.57 malam Jumaat lalu, Hafizz bersama sorang lagi rakan sekerjanya, Nurijah Rosli, 24, yang mengandung dua bulan, parah selepas ditembak dengan dipercayai pump gun dari jarak dekat.
Mengulas kejadian itu, dia sendiri berasa terkejut mendengar berita itu, namun menerimanya dengan reda. Zamri berkata, Hafizz juga terpaksa menangguhkan perkahwinan yang dijadualkan akhir tahun ini bersama tunangnya, Nurfaizan Abdul Kasim, 27.
Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh berkata, pihaknya sudi membantu bagi pihak Hafizz dalam usaha menyegerakan bantuan daripada Pertubuhan  Keselamatan Sosial (Perkeso). - SinarHarian

Monday, June 18, 2012

Malang kedua tiada ampun


CEKUP...pasangan kekasih  ditahan  selepas didapati menggunakan motosikal curi.
CEKUP...pasangan kekasih ditahan selepas didapati menggunakan motosikal curi.

KUALA LUMPUR: Sepasang kekasih bernasib malang apabila mereka bukan sahaja disamun lima lelaki berhampiran Puchong Prima, Puchong sehingga cedera di kepala, malah pasangan berkenaan turut dicekup polis 30 minit kemudian atas kesalahan menggunakan motosikal curi, kelmarin.


Difahamkan, pasangan itu yang masing-masing berusia 20 tahun dan 17 tahun itu dalam perjalanan menempah baju raya di kawasan Puchong, bagaimanapun dalam perjalanan itu, mereka bertembung dengan sekumpulan lima lelaki yang bertindak menyamun barangan berharga milik mereka.


Sumber polis berkata, disebabkan kehabisan wang, pasangan itu pulang ke rumah mereka di Wangsa Maju untuk mengambil duit.


Ketika dalam perjalanan balik, mereka yang ternampak sekatan jalan raya yang dijalankan Unit Kuatkuasa Khas Trafik Kuala Lumpur (U3K) di Jalan Raja Laut, cuba meloloskan diri dengan menunggang motosikal melawan arus.


Bagaimanapun, anggota U3K yang menyedari mereka cuba melarikan diri, mengekori mereka hingga ke Jalan Merpati dan menahan motosikal berkenaan.


Ketuanya, Asisten Superintendan Azmi Wahid berkata, selepas melakukan pemeriksaan, mereka mendapati motosikal Yamaha 125Z yang dinaiki pasangan berkenaan dilaporkan dicuri pada hujung Mei lalu di kawasan Wangsa Maju.


“Selepas disoal siasat, suspek mengaku motosikal berkenaan bukan miliknya, namun berdalih dengan mengatakan motor itu dicuri rakannya dan dia hanya meminjam sejak beberapa bulan lalu.


“Motosikal yang dicuri itu disita sebelum pasangan itu dibawa ke Balai Polis Trafik Jalan Bandar untuk diambil keterangan,” katanya, di sini, semalam.


Menurut beliau, Beliau berkata, selepas melakukan pemeriksaan badan ke atas suspek lelaki itu mendapati dia cedera di bahagian kepala selepas dibelasah kumpulan penyamun di Puchong sebelum mereka tiba di lokasi sekatan jalan raya itu.


Menurut Azmi, suspek lelaki itu turut berada di bawah pengaruh alkohol ketika ditahan serta tidak memiliki lesen memandu.


“Pasangan kekasihnya dihantar ke lokap Jinjang untuk tahanan sementara. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379a Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri,” katanya. - myMetro


Rita Rudaini Terkejut Suami Tidak Muncul Di Mahkamah


Rita Rudaini. Foto KIMBERLY YEO
SHAH ALAM: Pelakon Rita Rudaini Mokhtar terkejut apabila Aidil Zafuan Abd. Radzak tidak hadir ke mahkamah rendah syariah di sini, Isnin bagi sebutan kes nusyuz (perintah kembali taat) yang dikemukakan suaminya itu.
Rita yang baru pulang daripada mengerjakan umrah di Tanah Suci, Mekah pada 3 Jun lalu berkata, dia mendapat kekuatan untuk naik turun mahkamah apabila kes sering tertangguh kerana yakin Allah memberi kekuatan kepadanya dan keluarga.
"Saya sanggup melalui tempoh masa yang lama turun naik mahkamah demi anak-anak. Dan tak rasa susah pun, semua ini kerana Allah yang sentiasa memberi semangat buat saya dan keluarga," katanya.
Tambah pelakon itu, dia juga hairan kenapa Aidil tidak muncul di mahkamah pada hari Isnin tanpa sebarang alasan.
Terdahulu Mahkamah dimaklumkan oleh Peguam Syarie plaintif (Aidil), Ahmad Nazib Johari, memohon untuk menangguhkan kes pada pukul 12 tengah hari Isnin.
Bagaimanapun Peguam Syarie defendan, Datuk Mohd. Zaidi Md. Zain, tidak menerima sebarang surat memaklumkan penangguhan tersebut dan seterusnya akan mengemukakan bantahan terhadap permohonan nusyuz yang dituntut Aidil.
Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad bagaimanapun menetapkan 9 Julai depan bagi memberi peluang kepada Rita mengemukakan bantahan berkenaan.
Sementara itu, Rita berkata dirinya lebih tenang selepas mengerjakan umrah bersama 30 orang ahli keluarganya yang lain, termasuklah anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin, 4.
"Ini pertama kali saya membawa anak sama-sama mengerjakan umrah dan Alhamdulillah fikiran saya sangat tenang dan tidak memikirkan langsung tentang masalah ini (kes cerai).
"Malah, ketika hadir untuk sebutan kes hari ini, saya sangat tenang, tidak seperti sebelum ini. Saya berdoa supaya diri ini lebih kuat untuk mengharungi segala dugaan hidup agar dapat bahagia di samping anak-anak," ujarnya.
Pada 16 Mei lalu, Aidil yang juga pemain bola sepak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menarik balik permohonan untuk bercerai dengan isterinya atas alasan mahu berdamai selain memikirkan kebaikan kedua-dua anak mereka.
Aidil juga dalam mahu Rita dan anak-anak berpindah dari kediaman mereka ketika ini di Damansara ke rumah yang baru tajaan ATM yang didiami Aidil di USJ 1, Subang Jaya, dekat sini.
Rita dan Aidil bernikah di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 dan perkahwinan itu tidak mendapat restu keluarga.
Sepanjang perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna yang kini berusia kira-kira setahun. - mStarOnline

Sunday, June 17, 2012

Dua kali rumah disambar petir

Dua kali rumah disambar petir
Hazlina memegang dekoder astro yang rosak dan sebahagian koponennya terpelanting dalam kejadian petir kuat di kediamannya, semalam.

KUNDUR HULU – Seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan berhadapan detik-detik mencemaskan apabila kediaman mereka di Jalan Empang Batu, di sini, di panah petir dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, semalam.

Ketika kejadian, mangsa, Nur Hazlina Hashim, 29, sedang menyapu rumah seperti biasa sambil menonton sepintas lalu siaran televisyen.

Manakala, anak buahnya, Nur Syameliana Darlisyah Mohd Sharizan, 7, berada di dalam bilik.

Menurut Hazlina, sebaik sahaja dia duduk di atas tikar di hadapan televisyen dan ingin mencapai telefon bimbit yang diletakkan di meja bersebelahan kabinet televisyen,
dia ternampak segumpal api di bahagian hadapan televisyen.

“Mula-mula saya ingat TV akan meletup serta mengenai saya, namun saya sempat berganjak ke belakang dan melihat dengan jelas api setelah mendengar bunyi dentuman petir yang sangat kuat sehingga menyebabkan bahagian depan dekoder Astro terpelanting di hadapan saya.

“Saya tergamam seketika dan anak buah saya bergegas keluar dari bilik serta memeluk saya dengan kuat sambil menangis kerana terkejut.

Mujurlah, bunyi hon kereta bapa saya yang kebetulan pulang dari kenduri menyedarkan saya dari kejadian mencemaskan ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya, di sini, semalam.

Sementara itu, bapa mangsa, Hashim Hasan, 61, berkata, kejadian berkenaan merupakan kali kedua berlaku semenjak 22 tahun dia dan keluarga menetap di perkampungan berkenaan.

Menurutnya, pada kali pertama kejadian iaitu sekitar tahun 1998, hanya televisyen sahaja yang rosak susulan petir kuat.

Bagaimanapun, pada kejadian terbaru ini, dua dekoder astro rosak dan tiang rumahnya juga retak serta pecah dipanah petir yang mana kerugiannya dianggarkan mencecah RM1,000.

“Pada masa kejadian, saya dan isteri dalam perjalanan pulang ke rumah dan kami ada terdengar satu bunyi petir kuat.

Namun, saya tidak menyangka rumah saya dipanah petir dan mujurlah tiada apa yang buruk berlaku.

“Jika diikutkan pada masa kejadian, hujan tidak terlalu lebat dan petir serta guruh juga tidak terlalu ketara. Kebiasaannya, semasa petir atau guruh kuat, kami sekeluarga akan menutup televisyen,” katanya. - sinarharian

Friday, June 15, 2012

Remy Ishak Masuk Wad Kerana Jangkitan Paru-Paru


Remy Ishak. Foto ONG SOON HIN
PETALING JAYA:Gara-gara kurang rehat serta tidak cukup tidur, pelakon Remy Ishak, 30, menerima nasib malang apabila paru-parunya dijangkiti virus atau pneumonia sehingga terpaksa di tahan di Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang dekat sini.
Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak berkata, hal tersebut membuatkan dia terpaksa ditahan di hospital berkenaan sejak Isnin lalu dan perlu mendapatkan pemantauan daripada pihak doktor setiap masa.
"Saya perlu membuat pemeriksaan secara terperinci dan berehat secukupnya sebelum dibenarkan pulang.
"Mujur saya buat pemeriksaan doktor apabila berasa tidak sedap badan. Penyakit ini menyedarkan saya, sesibuk mana sekalipun, saya perlu meluangkan sedikit masa untuk berehat.
"Doktor kata, ini semua berpunca daripada tidak cukup tidur, kurang rehat dan terlalu bekerja keras sehingga membuatkan antibodi saya menjadi lemah," katanya yang dihubungi mStar Online di sini, Khamis.
Pneumonia merupakan penyakit yang disebabkan jangkitan virus, kuman atau bakteria ke bahagian paru-paru dan seseorang akan mengalami simptom-simptom seperti batuk serta selesema sebelum ia merebak ke dalam sistem pernafasan dan seterusnya menyerang paru-paru.
Bagaimanapun tambah Remy, penyakit itu perlu dirawat secepat mungkin bagi mengelakkan menjadi lebih serius yang mungkin boleh meragut nyawa jika dibiarkan.
"Ini satu pengajaran buat saya dan ingin menasihatkan kepada semua supaya jagalah kesihatan sebaik mungkin. Terlalu kuat bekerja membuatkan kita lebih mudah untuk dapat penyakit.
"Saya tidak kesal dengan apa yang telah berlaku pada diri ini kerana ia sebenarnya memberi peringatan kepada saya supaya menjaga diri dengan baik," ujarnya.
Beritahu Remy lagi, dia juga sedikit ralat apabila gagal hadir ke pelancaran filem Aku, Kau dan Dia yang diadakan pada Rabu lalu serta beberapa promosi filem Jiwa Taikosepanjang tempoh ditahan dalam wad.
Sementara itu, ditanya mengenai status Twitter Remy yang merajuk apabila tidak diberi perhatian oleh kekasihnya, Tiz Zaqyah,ketika dia terlantar sakit, pelakon itu enggan memberi komen tentang hal berkenaan.
"Tak ada apa yang perlu dinyatakan tentang hal itu, saya tak mahu komen," ujarnya. - mStarOnline

Perompak Ikat, Ugut Bunuh Andy (Estranged)


Andy(kiri) bersama ahli kumpulan Estranged.
PETALING JAYA: Pemain dram kumpulan Estranged iaitu Andy, 28, berhadapan dengan maut apabila diikat oleh empat orang perompak yang memecah masuk rumah didiaminya bersama keluarga di Kota Damansara dekat sini pada Ahad lalu.
Andy atau nama sebenarnya Azwin Andy Malik berkata, perompak-perompak yang menutup wajah dengan topeng itu telah mengugut untuk membunuh jika dia atau ahli keluarga lain cuba untuk melawan.
"Mereka muncul dengan membawa wayar, batang besi dan kayu. Malang sekali abang saya (Azlan Rudy) dipukul teruk sehingga meninggalkan kesan lebam pada badannya ketika cuba melawan.
"Saya beritahu mereka untuk ambil apa sahaja barang yang diinginkan dan jangan mencederakan kami sekeluarga," katanya.
Kejadian rompakan tersebut berlaku pada Ahad lalu, pukul 3.45 pagi sewaktu Andy baru sahaja pulang ke rumah. Menyedari pintu utama rumahnya tidak ditutup, dia terus ke tingkat atas.
"Pada mulanya, saya sangka nenek saya datang ke rumah dan berborak bersama ahli keluarga yang lain apabila mendengar bunyi orang sedang bercakap.
"Ketika mahu naik ke tangga, terdapat dua lelaki memakai baju hitam turun dan masa itu saya tidak dapat berbuat apa-apa.
"Habis semua barang-barang berharga diambil. Mereka juga bertanya sama ada kami menyimpan peti besi atau tidak? Mujurlah perompak tersebut memenuhi permintaan saya supaya memulangkan kad pengenalan dan kad kredit," ujarnya.
Antara barang-barang yang dirompak ialah sebuah komputer riba, iPad, sejumlah wang tunai, barangan kemas serta beberapa barang lain.
Sejurus selepas kejadian tersebut, mereka sekeluarga membuat laporan polis.
Estranged popular dengan lagu Aurora. - mStarOnline

Enggan Beri Penjelasan, Anzalna Lantik Peguam Bela Diri


Anzalna.
PETALING JAYA: Pelakon Nur Anzalna Md. Nasir atau Anzalna enggan membuat sebarang penjelasan seperti yang diminta oleh aktres Neelofa berhubung dakwaan kenyataan berbaur fitnah yang dilemparkannya terhadap pelakon itu.
Menurut laporan akhbar Kosmo pada Jumaat, Anzalna, 24, sebaliknya telah melantik peguam iaitu Fakhrul Azman yang pernah mewakili pelakon Fazura bagi mengendalikan kes tersebut.
"Saya menyerahkan segala urusan ini kepada peguamnya kerana dia (Neelofa) mengambil perkara ini dengan serius sehingga melantik peguam dan saya juga akan melakukan perkara serupa," ujarnya.
Dalam pada itu, Anzalna memberitahu dia masih belum menerima sebarang surat atau notis tuntutan daripada Neelofa yang mahukan dia membuat penjelasan kepada pelakon itu.
Anzalna juga enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan berbaur fitnah yang dikeluarkannya terhadap Neelofa dan berharap peguamnya dapat mengendalikan kes tersebut.
Neelofa dalam satu sidang media pada Rabu telah memberikan tempoh seminggu kepada Anzalna untuk memberikan penjelasan dan segala bukti berhubung kenyataan yang didakwa sebagai fitnah yang dilemparkan terhadapnya menerusi laporan sebuah akhbar pada Ahad lalu.
Pelakon filem Azura itu juga telah melantik dua orang peguam untuk mengendalikan kes tersebut. - mStarOnline

Thursday, June 14, 2012

Neelofa Lebih Tegas Gara-Gara Anzalna


Neelofa
PETALING JAYA: Pelakon Neelofa, 23, menyifatkan tuduhan yang dinyatakan Anzalna Nasir dalam akhbar Berita Minggu Ahad lalu telah menjadikannya lebih tegas dan matang untuk bertindak terhadap individu yang menganiaya.
Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor berkata, sebelum ini dia sering memberi kenyataan balas dalam mana-mana tuduhan yang diterima, namun dia sedar bahawa membalas kenyataan boleh memakan diri.
"Sejak saya bergelar artis, macam-macam tuduhan yang perlu ditelan. Dan kerana ingin menegakkan kebenaran, saya sanggup menjelaskan satu persatu setiap isu yang timbul.
"Bagaimanapun, kenyataan Anzalna yang disiarkan baru-baru ini menyedarkan saya untuk bersifat lebih tegas, matang dan bijak.
"Saya tidak perlu menjadi orang yang kurang bijak dengan memberi kenyataan balas banyak kali apabila menerima tuduhan yang palsu, sebaliknya menggunakan cara yang lebih formal untuk menyelesaikan masalah," tegasnya.
Neelofa ditemui pada sidang akhbar khas yang diadakan di Hotel One World, di sini, petang Rabu.
Tambah pelakon filem Azura 2012 itu, dia juga mengakui sebelum ini dirinya terlalu lembut hati kerana enggan membesarkan sesebuah isu.
Anzalna
Pada sidang akhbar khas itu, Neelofa melalui peguamnya telah mengeluarkan notis dengan menuntut Anzalna mengemukakan bukti dan penjelasan terhadap kenyataan berbaur fitnah yang dibuatnya bertajuk "Anzalna Bidas Neelofa" menerusi akhbar Berita Minggu pada 10 Jun 2012.
Anzalna diberi tempoh selama tujuh hari untuk memberikan surat tuntutan balas daripada pihaknya sebelum tindak seterusnya diambil.
Neelofa telah melantik dua peguam iaitu Ahmad Hidayat Md Nor dan Mohd Irwan Mohd Mubarak daripada firma guaman Ahmad Hidayat Md Nor & Co untuk mengemukakan notis berkenaan yang telah dihantar pada Rabu.
Sementara itu, ditanya adakah Neelofa akan bekerjasama dengan Anzalna pada masa akan datang, dia tidak mempunyai masalah tentang hal itu.
"Sebagai seorang profesional, saya akan bekerjasama dengan sesiapa pun termasuklah dengan dia (Anzalna).
"Lagipun, notis tuntutan berkenaan adalah bagi membersihkan nama saya sebagai seorang selebriti dan duta kepada beberapa produk," katanya.
Sementara itu Anzalna seperti dilaporkan akhbar Utusan Malaysia pada Khamis berkata, dia tidak takut dengan sebarang tindakan yang bakal diambil terhadapnya dan bersedia untuk bersemuka dengan pelakon dan pengacara program Nona itu.
Sambil menggagap ia sebagai perkara kecil, Anzalna juga bersedia berbincang dengan Neelofa berhubung hal berkenaan selain mengesahkan mempunyai bukti mengenai fitnah yang pernah dibuat pengacara tersebut. - mStarOnline

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu