adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Thursday, July 26, 2012

Sumbanga


Sumbanga n terakhir Rajesh  Khann a
Rajesh Khanna

MESKIPUN sudah lebih seminggu bintang legenda Rajesh Khanna meninggal dunia, namun masih ramai lagi yang memperkatakan mengenai kehilangannya.

Baru-baru ini, timbul berita yang mengatakan kediaman mewah milik bintang tersebut bakal dijadikan muzium.

Menurut sumber, pelakon yang meninggal dunia pada usia 69 tahun itu pernah menyatakan hasrat untuk menjadikan banglo Aashirwad miliknya kepada muzium selepas kematiannya.

“Khanna mahu banglo miliknya dijadikan muzium selepas dia meninggal. Dua anak perempuannya, Twinkle dan Rinke sudah pun berkahwin dan mereka masing-masing mempunyai harta sendiri, jadi dia berfikir sudah tentu anaknya tidak memerlukan lagi hartanah tersebut.

“Bagaimanapun, keputusan terakhir bakal diputuskan oleh Twinkle dan Rinke,” katanya sambil memberitahu muzium tersebut bakal diberi nama Muzium Rajesh Khanna.

Barang berharga legenda itu seperti pakaian, trofi dan kereta bakal dipamerkan di muzium tersebut.

Rajesh Khanna meninggal dunia pada 18 Julai lalu akibat jangkitan kuman pada hati. - SinarHarian

Pelajar sekolah tikam bekas kekasih kerana cinta


KUALA LUMPUR - Cinta tiga segi remaja berusia 15 tahun berakhir dengan tragedi apabila seorang pelajar perempuan ditikam tiga kali menggunakan pisau dapur manakala bekas kekasihnya ditahan polis semalam.
   
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata dalam kejadian pukul 4 petang, Jumaat lepas, pelajar perempuan itu ditikam sebanyak tiga kali di bahagian perut dan pinggang oleh bekas kekasihnya itu.
   
Katanya kejadian yang berlaku di Pangsapuri Taman Datuk Senu di sini itu turut disaksikan oleh kekasih baharu mangsa yang dipercayai menemani mangsa berjumpa bekas kekasihnya itu.
   
"Sebelum kejadian, dipercayai pelajar tersebut telah bertengkar dengan bekas kekasihnya yang tidak dapat menerima dirinya ditinggalkan pelajar perempuan itu kerana mempunyai kekasih baharu," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
   
Zakaria berkata selepas menikam mangsa, suspek panik dan tertinggal pisau di tempat kejadian semasa melarikan diri sebelum kekasih baharu pelajar perempuan itu menjerit meminta bantuan.

Beliau berkata ketiga-tiga pelajar adalah dari sekolah menengah yang sama di Sentul.
   
Beliau berkata mangsa yang mengalami cedera parah kini stabil dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah.
   
Zakaria berkata suspek yang menyerah diri semalam kini ditahan reman tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan. - Bernama

Tuesday, July 24, 2012

Selesa Solo, Kavita Sidhu Takut Nak Kahwin


Kavita Sidhu
PETALING JAYA: Pelakon Kavita Sidhu mengakui terlalu banyak kes penceraian yang berlaku pada masyarakat sekarang membuatkan dia takut untuk mendirikan rumah tangga.
Kavita, 41, berkata, sukar mencari pasangan yang sesuai juga antara sebab dia belum berkahwin, namun bergelar isteri juga bukanlah satu perkara yang diimpikannya ketika ini.
"Bukan senang untuk mencari lelaki yang sesuai sebagai pasangan hidup.
Saya lihat, banyak masalah rumah tangga yang timbul sehingga sesebuah pasangan itu membuat keputusan untuk bercerai.
"Dan antara masalah utama yang melanda pada pasangan itu adalah tidak berlaku jujur antara satu sama lain. Ia sedikit sebanyak membuatkan saya takut untuk melalui alam berumah tangga," katanya.
Bagaimanapun, tambah pelakon itu, buat masa ini dia lebih selesa hidup solo dan sekiranya sudah sampai jodoh, dia juga tidak keberatan untuk bergelar seorang isteri.
Kavita juga menganggap, kebanyakan wanita yang bekerjaya dan mempunyai kewangan yang stabil tidak akan memikirkan tentang perkahwinan.
"Apabila usia seseorang wanita semakin meningkat dan serasi dengan kehidupannya, kebanyakan mereka tidak akan berfikir untuk berkahwin.
"Begitu juga dengan saya yang selesa dengan kerjaya. Bagaimanapun, saya seorang yang konservatif. Andaikata saya berkahwin satu hari nanti, saya akan korbankan kerjaya dan fokus untuk membina keluarga," tuturnya.
Kavita bakal muncul dengan filem arahan Datin paduka Shuhaimi Baba iaitu Tanda Putera.
Filem yang diterbitkan Pesona Pictures Sdn Bhd dan Finas dengan kerjasama Multimedia Development Corporation (MDeC) itu turut dibarisi pelakon Rusdi Ramli, Zizan Nin, Faezah Elai, Linda Hashim, Norman Hakim dan Riezman Khuzaimi. - mStarOnline

Bebas Dari Penjara, Ariel (Peterpan) Bersyukur


Ariel menganggap pembebasannya pada bulan Ramadan ada hikmah yang besar. Foto-EPA
BANDUNG: Vokalis kumpulan muzik pop Peterpan, Ariel menganggap pembebasan bersyarat dari Penjara Kebon Waru, Bandung pada bulan Ramadan membawa hikmah yang besar kepada dirinya.
Sambil mengucapkan syukur dengan pembebasan itu, Ariel, 31, berkata satu perkara yang begitu dirasainya selepas menjadi orang bebas pada bulan mulia ini ialah beliau tidak terkejut dengan suasana di luar penjara.
Bercakap pada sidang akhbar di sebuah hotel di sini pada majlis kesyukuran pembebasannya, dan acara berbuka puasa bersama peminat serta anak yatim, Ariel bagaimanapun enggan menjelaskan dengan lebih lanjut hikmah yang dirasai kerana bimbang tersilap cakap atau disalah tafsir orang ramai.
"Apa yang dapat saya simpulkan mengenai pembebasan ini ialah sesuatu yang tidak disukai, belum tentu tidak bagus buat kamu. Dalam kesulitan ini, saya menemui banyak hal yang positif dalam hidup," katanya.
Ariel atau nama sebenarnya, Nazriel Irham telah dihukum penjara tiga setengah tahun oleh mahkamah pada pada Januari tahun lepas kerana mengedar dua video lucah yang dipercayai membabitkan dirinya sendiri dan dua artis wanita iaitu Cut Tari dan kekasihnya ketika itu, Luna Maya.
Sehingga kini, Ariel dan Luna Maya tidak mengaku mereka adalah orang dalam video lucah itu namun Cut Tari membuat pengakuan bahawa beliau dan Ariel adalah orang dalam video itu, dan memohon maaf secara terbuka atas perlakuannya itu.
Pembebasan bersyarat hari ini diberikan pihak berkuasa selepas Ariel menjalani dua pertiga daripada tempoh hukuman yang dikira sejak beliau ditahan reman pada 2010.
Sementara itu, Ariel berkata beliau akan segera menyiapkan buku memoir pengalamannya selama lebih dua tahun menjadi banduan dan kemungkinan akan melancarkan buku berkenaan pada pertengahan bulan Ramadan ini.
Sekumpulan peminat menyerbu ke arah kereta yang dinaiki Ariel bagi menunjukkan tanda sokongan terhadapnya.
"Banyak orang ingin tahu apa yang saya lakukan selama dua tahun lebih dalam tahanan. Begitu juga dengan apa yang dilakukan oleh anggota Peterpan yang lain di luar sepanjang tahun 2010 sehingga tahun 2012 ini. Justeru, buku catatan ini akan merakamkan keseluruhannya," katanya.
Ketika ditanya wartawan sama ada beliau menganggap diri menjadi superstar sejak berada di penjara kerana sokongan luar biasa oleh para peminatnya, Ariel berkata beliau tidak menganggap sedemikian dan tidak menyangka mendapat perhatian yang begitu besar daripada peminat dan media.
"Saya pernah membahaskan hal ini dengan teman-teman Peterpan. Seperti saya, mereka juga tidak sangka dengan apa yang berlaku. Apa yang boleh saya katakan ialah, selama dalam tahanan saya benar-benar menemui siapa itu teman sejati," katanya.
Kepada satu soalan lain, penyanyi itu berkata beliau tidak pernah terfikir untuk melakukan ritual "membuang sial" selepas keluar penjara sebagaimana yang dilakukan beberapa pihak.
"Saya ada cara lain untuk dilakukan andai menyebut soal buang sial seperti yang kamu (wartawan) sebutkan. Tidak ada istilah buang sial itu," katanya.
Selepas kembali daripada tempoh berehat, Ariel berkata beliau akan kembali aktif berkarya dalam kumpulan Peterpan.- BERNAMA

Soo Wincci Azam Puasa Penuh


Soo Wincci berazam ingin cuba berpuasa penuh pada tahun ini.
PETALING JAYA:Penyanyi dan bekas peserta MasterChef Selebriti Malaysia, Soo Wincci berazam untuk berpuasa penuh tahun ini bagi mendekatkan diri dengan peminat daripada komuniti Melayu beragama Islam sepanjang bulan Ramadan ini.
Soo Wincci berkata, ini adalah kali pertama dia ingin berpuasa dan memberitahu teruja dengan kedatangan Ramadan kerana ingin menyemarakkan lagi semangat bulan mulia itu bersama-sama para peminatnya.
"Menerusi program MasterChef peminat saya semakin ramai daripada kalangan kaum Melayu dan saya rasa dengan belajar berpuasa saya dapat mendekatkan diri dengan mereka.
"Selain itu, ia juga dapat mencabar diri saya membuat sesuatu perkara baru yang pertama kali ingin berpuasa," ujarnya kepada mStar Online.
Tambah Soo Wincci, walaupun sedar dengan cabaran yang bakal ditempuh sepanjang berpuasa, dia yakin dapat mengharunginya dengan dorongan dan kata-kata semangat daripada rakan-rakan dan peminat.
"Berpuasa itu pasti menjadi suatu perkara yang amat mencabar buat diri saya tetapi kerana ingin menghidupkan semangat perpaduan dikalangan peminat saya teruskan niat ini.
Populariti penyanyi itu meningkat secara mendadak selepas menyertai program masakan berkenaan dan Soo Wincci turut tampil dengan single pertamanya berjudul Terus Teranglah bersama Jow Flizzow.
Dalam pada itu, Soo Wincci berkata, dia turut mendapatkan beberapa tips daripada rakan berbangsa Melayu dan yakin dapat melakukannya.
Katanya, rakan-rakan turut menasihatinya supaya jangan memaksa diri dan berpuasa mengikut kemampuan sebagai permulaan.
"Rakan-rakan banyak jadi pendorong dan semangat inilah yang ingin saya tonjolkan kepada semua peminat dan berharap dapat berpuasa selama 30 hari," katanya.
Sementara itu, Soo Wincci berkata, akaun Twitter miliknya telah meningkat sebanyak 2,000 pengikut dalam masa seminggu dan rata-rata daripada mereka adalah kaum Melayu.
Katanya, dia sangat gembira dengan perkembangan terbaru itu kerana ia adalah bukti dirinya semakin diterima dikalangan peminat bukan Cina.
"Saya harap dengan populariti yang dikecapi kini dapat memberikan manfaat kepada saya untuk melakukan sesuatu yang akan disukai oleh semua kaum di Malaysia," katanya. - mStarOnline

Johan As'ari Mengaku Luahan Cinta Dalam Twitter Untuk Nabila


Johan dan Nabila saling sayang menyayangi. Foto -Rotikaya
PETALING JAYA: Pelakon Johan As'ari menjelaskan luahan hati yang dibuat dalam Twitter miliknya pada 20 Julai lalu adalah sememangnya ditujukan kepada aktres Nabila Huda.
Johan atau nama sebenarnya Johan Arrif As'ari, 26, berkata, luahan yang mempunyai unsur-unsur cinta dan sayang itu adalah menggambarkan hubungan akrabnya dengan wanita berkenaan buat masa ini.
"Apa yang diluahkan dalam Twitter adalah gambaran perasaan saya terhadap Nabila. Kami saling menyayangi dan menghargai antara satu sama lain.
"Bagaimanapun, status hubungan ini hanyalah teman baik dan enggan menjadikannya secara formal sebagai sepasang kekasih.
"Ya, kami semakin akrab dan intim serta mengharapkan doa yang baik buat hubungan ini. Apabila sampai di tahap seterusnya, saya tidak akan segan untuk memberitahu kepada umum," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, petang Selasa.
Antara luarahan perasan Johan terhadap nabila di Twitter.
Tambah Johan, dia meletakkan ungkapan cinta itu sebagai satu perasaan yang besar untuk dilalui bagi sesebuah pasangan dan lebih suka sekiranya perasaan cinta antaranya dan Nabila mula terbit apabila kedua-dua mereka berkahwin.
"Berdasarkan pengalaman yang lepas, kami tidak mahu lagi melabel perhubungan ini sebagai pasangan bercinta kerana belum tentu kekasih yang dicintai itu adalah jodoh kita kelak.
"Pada saya, cinta itu satu perasaan yang maha agung di mana ia akan muncul selepas akad nikah.
"Apa-apa pun, siapa yang menjadi suami Nabila, dia adalah orang yang paling beruntung," tuturnya yang meletakkan sasaran untuk berkahwin sebelum usia 28 tahun.
Dalam pada itu, walaupun ramai yang mempersoalkan keberaniannya meletakkan entri tersebut, Johan tidak pernah menyesal dengan tindakannya itu kerana ia adalah salah satu tanda penghargaan kepada Nabila yang sentiasa menjadi tulang belakangnya.
Sementara itu, Johan akan muncul dengan drama Shahadah Cinta menerusi saluran TV Al-Hijrah dan Oh Haram Tu (TV3) pada September depan. - mStarOnline

Tuesday, July 10, 2012

Mangsa buli: Gegendang telinga anak pecah


Mangsa buli: Gegendang telinga anak pecah
Mohamad Hazim menunjukkan gambar imbasan telinga yang rosak (kiri)

ALOR SETAR - Seorang ibu kesal dan bimbang dengan masa depan anaknya yang didakwa menjadi mangsa buli di sebuah asrama sekolah elit pusat bandar ini hingga menyebabkan gegendang telinga kanannya pecah.

Suri rumah, Nor Hapizah Puteh, 39, berkata, dia menyedari Mohamad Hazim Mohamad Zaid, 13, menjadi mangsa buli apabila membawa anak kedua daripada tiga beradik itu mendapatkan rawatan telinga setelah remaja itu mengadu sakit.

Menurutnya, pada awalnya, Mohamad Hazim enggan bercerita yang dia menjadi mangsa buli kepada sekumpulan pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah di pusat bandar ini kerana bimbangkan keselamatannya.

“Saya dan suami mengetahui kes ini apabila membawa dia (Mohamad Hazim) mendapatkan rawatan pada kedua-dua telinga di klinik Tanah Merah, Pendang.

“Sebelum ini dia ada mengadu sakit badan pada saya, namun dia tidak menceritakan hal sebenar dan hanya memberitahu letih kerana bermain ragbi,” katanya.

Nor Hapizah turut terkilan apabila anak yang dilahirkan sempurna itu kini terpaksa menanggung kesakitan akibat perbuatan orang lain.

Dia yang hairan melihat sikap anaknya yang sering enggan pulang ke asrama masih belum memikirkan sama ada mahu menukar ke sekolah lain atau tidak.

Mohamad Hazim berkata, dia bersama beberapa pelajar lain yang tinggal di asrama menjadi mangsa buli kepada sekumpulan pelajar itu sejak awal tahun ini.

Menurutnya, terbaru, pada Khamis lalu dia bersama kirakira 80 pelajar lain dikejutkan kumpulan pelajar itu kira-kira jam 2.15 pagi untuk berbaris. “Selepas berbaris mereka mengarahkan kami ketuk ketampi 250 kali dan mereka mengarahkan agar sesiapa yang ada melakukan kesalahan sepanjang minggu itu tampil ke hadapan.

“Saya yang rasakan ada melakukan kesalahan iaitu tidak menegangkan cadar bergerak ke hadapan, lalu kami dijentik di dahi dua kali,” katanya.

Kemudian, seorang daripada kumpulan pelajar itu menampar sebelah kanan kepalanya hingga dia rasa pening. Mohamad Hazim berkata, dia juga pernah diarah melakukan beberapa perkara lain, termasuk membasuh pakaian kumpulan pelajar terbabit.

Satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asistan Komisioner Adzaman Mohd Jan mengesahkan menerima laporan tersebut.

Pengarah Pelajaran Negeri Kedah, Mansor Lat berkata, laporan berhubung kes itu masih belum diterima dan akan menyiasat setelah menerima laporan itu nanti.  - SinarHarian

Bapa suspek: 'Kehidupan anak saya normal sahaja'


Amuk di JPM
PUTRAJAYA - Suspek wanita yang ditembak selepas mengamuk di luar perkarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri bersama seorang lelaki semalam, menitipkan dua anak kecilnya di rumah ibu bapanya di Damansara dekat sini, dua hari lepas.    
Bapa suspek seorang penjual nasi lemak berumur 55 tahun, berkata, suspek meminta mereka menjaga anak-anaknya berusia dua tahun dan setahun dan mereka menyangka dia mempunyai urusan kerja di luar kawasan.
Katanya, setahunya suspek, anak kedua dari empat beradik, bekerja sebagai penolong pengurus sebuah syarikat swasta tetapi rupa-rupanya sudah berhenti kerja tanpa pengetahuan mereka.
"Saya tidak menyangka kejadian itu berlaku. Kehidupan anak saya normal sahaja. Mungkin kerana dia suka melayan internet. Sekolah tinggi tetapi jadi macam itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Putrajaya di sini hari ini.
"Saya kesal dengan apa yang dia buat," katanya sambil menambah beliau mendapat tahu tentang kejadian itu apabila diminta datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya setelah mendail nombor telefon bimbit anaknya itu.
Dalam kejadian 2.30 petang semalam, suspek, berusia lewat dua puluhan, berkelulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, ditembak di paha kanan dan masih dirawat di Hospital Putrajaya, manakala lelaki bersamanya Khalil Afandi, 47, yang terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital sama.
Polis terpaksa melepaskan tembakan apabila usaha memujuk lelaki dan wanita itu gagal, sebaliknya mereka yang bersenjatakan pedang samurai, cuba menyerang polis dan merosakkan beberapa kenderaan di kawasan itu.
Wanita terbabit ditahan reman mulai hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 307, 427 dan 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Hakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Ibu suspek berusia 55 tahun ketika ditemui di perkarangan hospital itu berkata: "Makcik terkejut. Makcik tak tahu nak cakap apa. Makcik sedih sangat".
Beliau berkata suspek tinggal di Klang.Tinjauan di wad pengasingan Hospital Putrajaya mendapati suspek yang berskaf hitam sedang berbaring di katil dan dikawal dua anggota polis wanita.
Sementara itu suami suspek yang juga pemandu lori mendakwa isterinya terpengaruh dengan laman blog lelaki itu dan beberapa hari sebelum kejadian isterinya berperangai pelik dan dilihat taksub dengan Imam Mahadi. - Bernama

Sasha (Elite) Sah Cerai Talak Satu


Sasha tenang selepas selesai kes penceraiannya dengan bekas suami, Salyo. - Foto MOHD AL QAYUM AZIZI
KUALA LUMPUR: Ikatan perkahwinan selama lima tahun antara bekas anggota kumpulan Elite, Sasha Saidin dan Salyo Priyanto terlerai selepas mereka sah bercerai pada Selasa.
Salyo, 37, seorang warga Indonesia melafazkan cerai dengan talak satu terhadap Sasha, 36, di Mahkamah Rendah Syariah Gombak di sini, selepas kedua-keduanya bersetuju untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka secara baik.
Lafaz dibuat dihadapan Hakim Shaiful Azli Jamaluddin pada pukul 2.55 petang dan mahkamah yang menyabitkan lafaz cerai itu sebagai sah memerintahkan Sasha untuk menjalani tempoh edah selama tiga bulan bermula hari ini.
Sasha dan Saylo dilihat menitiskan air mata sejurus lafaz cerai dibuat.
Pasangan terbabit mengambil keputusan tersebut atas alasan tiada lagi wujud kasih sayang dan persefahaman selain berhadapan dengan konflik rumah tangga yang berpanjangan.
Salyo dan Sasha yang ditemani ibunya menunggu diruang mahkamah sebelum prosiding perceraian mereka bermula. Foto MOHD AL QAYUM AZIZI
Sebelum itu, ketika ditanya Sahiful Azli mengenai alasan plaintif (Sasha) ingin memohon cerai daripada suaminya, Sasha enggan mendedahkan sebab di dalam kamar sebaliknya meminta kebenaran mahkamah untuk memberikan nota sebab-sebab penceraian kepada hakim.
Pihak plaintif dan defendan (Salyo) juga memberitahu mahkamah mereka telah berusaha menyelamatkan keadaan rumah tangga mereka dan mengambil keputusan untuk bercerai kerana ia paling sesuai buat mereka.
"Berat hati saya untuk melafazkan cerai tetapi mungkin ini adalah yang terbaik buat kami berdua dan semoga kami berdua mendapat pengajaran dan hidayah daripada keputusan ini," kata Salyo.
Dalam pada itu, mahkamah turut memerintahkan Salyo untuk membayar edah sebanyak RM300 selama tiga bulan kepada Sasha dan pihak defendan bersetuju untuk memberikan nafkah anak sebanyak RM500 sebulan.
Sasha dan Salyo yang merupakan warganegara Indonesia telah berkahwin pada tahun 2007 dan dikurniakan seorang anak iaitu Adam Aryasenna Notosoemarsono, berusia tiga tahun.
Sebelum perkahwinan itu, Sasha pernah bernikah dengan Jason Skinner atau nama Islamnya, Johan Abdullah Skinner, pada 21 Jun 2003 di Masjid Central Regent Park, London, namun mereka berpisah empat tahun kemudian. - mStarOnline

Monday, July 9, 2012

Sumbangan Azah Aziz akan sentiasa dikenang


Profesor Diraja Ungku Aziz bersama Azah Aziz. – Foto ihsan
Profesor Diraja Ungku Aziz bersama Azah Aziz. – Foto ihsan

KUALA LUMPUR - Sumbangan besar Sharifah Azah Mohamed Alsagoff atau Azah Aziz dalam memelihara budaya bangsa akan dikenang dan dihargai, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menyifatkan pemergian tokoh budaya itu hari ini sebagai satu kehilangan besar kepada negara dan sukar dicari ganti, Muhyiddin berkata Azah yang juga dikenali sebagai Mak Ungku begitu tekun dan komited dalam usahanya memelihara dan memperjuang budaya Melayu agar tidak ditelan zaman.

"Kerajaan sentiasa menghargai sumbangan Allahyarham malah nama Azah Aziz itu sendiri amat sinonim dengan budaya Melayu yang harus dipelihara dan dipulihara bagi mengelak kepupusannya," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama di sini.

Azah, 83, meninggal dunia kerana sakit tua dan angin ahmar kira-kira pukul 10 pagi ini. Muhyiddin dalam masa yang sama turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham di atas pemergian tokoh itu.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dalam laman sosial Facebook dan Twitter miliknya berkata jasa tokoh budaya itu tidak akan dilupakan dalam memperjuang budaya, bahasa dan juga seni tenunan di negara ini.

Bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin pula menyifatkan pemergian isteri Profesor DiRaja Ungku Abdul Aziz dan ibu Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz itu sebagai suatu kehilangan tokoh kebudayaan agung yang sukar dicari ganti.

"Beliau memiliki kesempurnaan yang bukan sahaja digambarkan dari segi pakaian tetapi dari segi minat dan usaha untuk membudayakan masyarakat serta kebudayaan bangsa.

"Beliau pandai berpantun dan pantun yang dihasilkan sukar ditandingi oleh orang lain, sebagai contoh pantun hasil nukilannya telah menjadi hiasan kulit majalah Mastika sejak sekian lama," katanya.

Zainuddin berkata Allahyarham yang juga bekas penulis turut mempunyai minat mengumpul songket lama serta meminati budaya seni warisan dan seni sastera tanah air.

"Allahyarham merupakan individu yang bertanggungjawab mendorong dan memberi panduan kepada saya untuk menulis buku bertajuk 'Tun Razak: Jejak Bertapak Seorang Patriot. 

"Selain itu, beliaulah yang bertanggungjawab memberikan nama 'Pancaindera' iaitu akhbar sisipan Mingguan Malaysia ketika saya bertugas sebagai Pengarang di Utusan Melayu," katanya.

Zainuddin berkata Allahyarham wajar dicontohi generasi muda hari ini kerana mempunyai status dan kelas tersendiri sebagai isteri seorang Professor DiRaja serta minat yang ditunjukkan terhadap kerjayanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Chamil Wariya berkata Allahyarham merupakan seorang guru dalam bidang penulisan rencana kerana banyak mengajar serta membimbing beliau dalam menghasilkan penulisan rencana.

"Allahyarham amat komited serta berfikiran terbuka semasa menjadi penyunting di meja Rencana semasa berkhidmat di Utusan Melayu sekitar tahun 1973.

"Allahyarham banyak memberi peluang kepada wartawan untuk menghasilkan penulisan rencana yang melampaui berita (dengan membuat analisis sesuatu berita) supaya dapat menghasilkan rencana yang berkualiti serta memberi impak kepada pembaca," katanya.  

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) Dr Salleh Rahaman ketika dihubungi berkata Allahyarham merupakan seorang wanita yang gigih dalam memperjuang martabat kaum wanita serta mengangkat seni dan budaya Melayu.

Seorang bekas editor akhbar Berita Harian Zubaidah Abdul Rahman menyifatkan Allahyarham sebagai seorang mentor yang sangat merendah diri. Beliau yang mengenali Allahyarham sejak di bangku sekolah iaitu sekitar tahun 1960-an sering bertanyakan pendapat Allahyarham mengenai hasil penulisannya.

"Beliau merupakan mentor saya dalam penulisan...setiap hasil penulisan yang saya buat, saya akan tunjuk kepada beliau untuk dipilih dan dimuatkan di dalam akhbar Berita Minggu," katanya.

Sebagai Pengasas dan Ketua Satu yang pertama Persatuan Wartawan Wanita Malaysia dari 1971 hingga 1978, Azah Aziz merupakan insiprasi kepada wartawan muda wanita.

"Ahli Pertama berasa sedih di atas kehilangan Mak Ungku kerana beliau sentiasa mengambil berat tentang peranan wartawan wanita dan mengikuti perkembangan dalam Pertama," kata Ketua Satu Pertama pada masa ini, Muharyani Othman.

Muharyani berkata kali terakhir anggota Pertama bertemu beliau adalah semasa perjumpaan tahunan persatuan tersebut di Putrajaya Lake Cruise pada pertengahan tahun 2010.

"Walaupun beliau agak uzur, Mak Ungku gagah dan teruja untuk bersama-sama kami di majlis tahunan kami itu. Kami tidak menyangka itulah kali terakhir bertemu dengan individu yang amat kami kagumi dan hormati," katanya. - Bernama

Dua mengamuk di JPM, seorang mati


Sepasang suami isteri mengamuk di JPM
Pemandangan di kawasan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri. – Foto ihsan Cari Malay Forum

PUTRAJAYA - Seorang lelaki mati ditembak selepas mengamuk dengan membawa pedang dan merosakkan kenderaan polis dan orang awam di Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, petang tadi.
Turut ditembak rakannya seorang wanita.
Dua mengamuk di JPM, seorang mati
Dua suspek yang mengamuk mengalami kecederaan selepas ditembak polis. – Foto Ihsan News Media Network
Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, ketika sebahagian kakitangan JPM pulang daripada waktu makan tengah hari, pasangan terbabit cuba menceroboh bangunan dengan membawa pedang samurai.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh ketika dihubungi mengesahkan seorang daripada suspek yang ditembak ketika membuat kecoh di Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri petang tadi dan meninggal dunia.
Satu kenyataan akhbar berhubung maklumat lanjut kes akan dimaklumkan sebentar lagi oleh Pusat Media Kuala Lumpur, katanya.
Lelaki bertubuh sasa dan tidak berbaju itu bersama pasangannya yang berhijab hitam kelihatan masuk di pondok pengawal keselamatan pada pukul 2.30 petang.
Difahamkan, pengawal keselamatan cuba menghalang mereka,namun kedua-duanya bertindak ganas dan memecahkan sebuah Perodua Kancil dan dua Proton Waja di tempat letak kereta tidak jauh dari bangunan terbabit.
Cubaan polis untuk memujuk pasangan terbabit daripada bertindak lebih ganas tidak diendahkan, sehingga memaksa pihak berkuasa melepaskan tembakan dan mengenai mereka.
Suspek lelaki cedera dibahagian tangan kanan manakala pasangannya dibahagian peha kiri.
Kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut. - SinarHarian

Sunday, July 8, 2012

Suspek Pasangan Pelajar Sorok Bayi Dalam Beg Ditahan


KUALA TERENGGANU: Polis menahan seorang remaja lelaki untuk membantu siasatan kes pelajar perempuan berumur 16 tahun yang menyembunyikan anak yang baru dilahirkannya di dalam beg galas, Selasa lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan berkata suspek berumur 19 tahun itu ditahan di rumahnya di Kampung Cherang Guling, Marang kira-kira pukul 4 pagi ini.
Katanya tangkapan dibuat berdasarkan maklumat yang diberi pelajar perempuan Tingkatan Empat sebuah sekolah menengah di sini.
"Kita terus menahan suspek sebaik maklumat diperoleh. Suspek kini direman sehingga 13 Julai ini untuk membantu siasatan berhubung kes kematian bayi itu," katanya kepada pemberita, di sini, Sabtu.
Manoharan berkata siasatan awal mendapati remaja lelaki itu dan pelajar perempuan berkenaan bukan pasangan kekasih namun kedua-duanya dipercayai mengadakan hubungan seks sebanyak dua kali tahun lepas.
Katanya siasatan turut dilakukan sama ada remaja lelaki itu pernah terlibat dalam kes jenayah lain.
Bernama sebelum ini melaporkan tindakan seorang pelajar perempuan yang mengadu sakit perut, mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, akhirnya mengaku baru melahirkan anak dan menyembunyikan bayi itu di dalam sebuah beg galas.
Beg galas yang mengandungi bayi perempuan yang dilahirkan pada pukul 1 pagi Selasa itu kemudian diberi kepada rakan perempuannya tanpa memberitahu isi kandungannya.
Mayat bayi perempuan yang cukup sifat itu kemudiannya ditemui di dalam beg galas itu apabila doktor yang merawat pelajar terbabit menghubungi rakan pelajar itu dan memintanya membawakan beg berkenaan pukul 6 petang hari yang sama. -BERNAMA

Saturday, July 7, 2012

3 suspek ditahan kes samun personaliti TV Singapura


Rita Zahara
Rita Zahara

JOHOR BAHRU - Polis percaya dapat menyelesaikan kes samun dan peras ugut seorang personaliti televisyen Singapura,  Rita Zahara Mohd Nazdeer, Ahad lepas dengan tertangkap tiga lelaki, pada Rabu lalu.

Polis turut merampas dua pucuk pistol, sepucuk senapang pam berserta tiga peluru hidup dan dua kereta curi termasuk kereta Nissan Sunny milik Rita Zahara daripada suspek berkenaan.

Selain itu, polis turut menemui satu lencana Polis Diraja Malaysia, 14 telefon bimbit pelbagai jenama, kad bank dan barangan peribadi mangsa rompakan.

Ketua Polis Johor, DCP Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff hari ini berkata, polis menahan ketiga-tiga suspek berumur antara 33 dan 45 tahun dalam serbuan di tiga rumah berasingan di Felda Ulu Tebrau pada kira-kira pukul 5 pagi.

Dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor itu, Rita Zahara dan keluarganya serta wartawan dari Singapura turut hadir.

Mokhtar berkata dua daripada suspek itu merupakan orang yang sangat dikehendaki polis kerana terbabit dalam kes mencuri kereta di sekitar Johor Baharu dan Kota Tinggi.

Beliau berkata kesemua suspek berada di bawah pengaruh dadah ketika ditahan dan mereka masih memburu dua lagi suspek yang disyaki turut terbabit dalam kes itu.

Katanya polis akan mengeluarkan gambar lakaran suspek berkenaan dalam masa terdekat.
Selain kereta Nissan Sunny, mereka turut menemui sebuah komputer riba, sebuah telefon bimbit dan kad-kad bank milik personalti TV tersebut.

Mokhtar berkata kesemua suspek berkenaan, yang ditahan reman sehingga 10 Julai, mempunyai rekod jenayah lampau berhubung kes samum, curi kereta, pecah rumah dan dadah.

Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1960 kerana memiliki pistol dan Seksyen 8(a) akta sama bagi kes memiliki peluru, katanya.

Menjawab kepada satu soalan, Mokhtar berkata polis masih belum dapat memastikan pembabitan mana-mana sindiket dalam kes yang kononnya menyasarkan pengunjung Singapura.

Beliau berkata penjenayah tidak mensasarkan mangsa mengikut kerakyataan tertentu tetapi akan bertindak apabila mempunyai peluang berbuat demikian.

Mokhtar menambah bahawa dakwaan yang menyatakan kononya penjenayah menyasarkan pelawat Singapura adalah tidak berasas.

"Polis akan meneruskan usaha bagi memastikan negeri Johor selamat untuk dikunjungi oleh semua," katanya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan  Riata Zahara, 37, memberhentikan keretanya seketika di sebuah stesen minyak untuk mengisi minyak dan membeli buah-buahan di Jalan Susur Larkin pada pukul 12.45 pagi, Ahad lepas.
Dia meninggalkan adik perempuannya yang berusia 19 tahun, dua anaknya yang berusia 11 dan enam tahun serta pembantu rumah mereka di dalam kereta Nissan Sunny miliknya itu sebelum kenderaan berkenaan dilarikan.
Rita Zahara kemudian menghubungi adiknya, namun panggilan itu dijawab oleh seorang lelaki yang kemudiannya meminta wang tebusan dan mengugut akan membunuh anggota keluarganya jika melaporkan kes itu kepada  polis.

Rita Zahara dikatakan turut mengadakan rundingan selama empat jam dengan dua penculik berkenaan sebelum kesemua anggota keluarganya itu dibebas dan ditinggalkan di sebuah kawasan perumahan di Ulu Tiram, di sini.

Menurut laporan media lagi, Rita Zahara mengalami kerugian kira-kira RM200,000 dalam kejadian tersebut. - Bernama


Friday, July 6, 2012

Pengsan lihat suami hidup


Jasmin pengsan sebaik sahaja melihat kelibat suaminya bersama bot selamat mendarat selepas dikatakan
Jasmin pengsan sebaik sahaja melihat kelibat suaminya bersama bot selamat mendarat selepas dikatakan hanyut di tengah laut.

KUANTAN - Kerisauan seorang wanita hamil tiga bulan yang setia menanti suaminya yang dikatakan hanyut di tengah laut berakhir walaupun pengsan ‘menyambut’ kepulangan lelaki itu semalam.

Sebelum itu, Jasmin Ali, 29, yang menanti di tepi pantai bersama empat anaknya kelihatan begitu sugul seolah-olah harapan sudah tiada untuk melihat suaminya Wahyu Hidayat Hashim, 34, pulang dengan selamat.


Namun, siapa sangka doanya dimakbulkan apabila melihat kelibat suami bersama bot yang dinaikinya dalam keadaan selamat menghampiri pantai menyebabkan dia tidak dapat mengawal emosi sebelum pengsan.

Menurutnya, dia buntu apabila dimaklumkan suaminya ‘hilang’ selepas turun ke laut dengan menaiki bot fiber kira-kira 6.30 petang kelmarin atas permintaan rakannya.

"Selepas itu tiada berita walaupun saya cuba menghubunginya," katanya ketika ditemui di tepi pantai Balok, semalam.

Turut berada di tempat kejadian, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Chengal Lempong, Sheikh Zahari Sheikh Sulaiman, Ketua Balai Beserah, Chief Inspektor Wan Rohamidun Wan Ishak.

Sementara itu, Wahyu Hidayat yang menaiki bot bersendirian menceritakan detik cemas yang berlaku terhadapnya berkata, dia terpaksa bertarung nyawa selama 15 jam di tengah laut.

"Bot ketika itu kehabisan minyak ketika dalam perjalanan balik ke darat," katanya.

Katanya, kira-kira jam 8 malam kelmarin, dia bertolak pulang dari kapal tetapi malangnya bot itu kehabisan minyak menyebabkan dia terpaksa  melabuhkan sauh dan pada masa sama telefon bimbitnya kehabisan bateri.

“Sepanjang malam saya menunggu dan berdoa di atas bot malangnya tidak ada sesiapa yang melalui kawasan itu sehingga mendapat bantuan bekalan minyak dari sebuah bot nelayan,” katanya yang pertama kali melalui situasi itu.

Menurutnya, sebelum selamat berlabuh di Pantai Balok, botnya juga dibawa ombak dan tiba di kawasan Sungai Ular tetapi tidak boleh ke pantai.

Wahyu Hidayat mengakui bimbang akan berlaku kejadian yang tidak diingini di tengah laut.

“Saya hanya mampu menunggu walaupun bimbang sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini di tengah laut,” katanya ketika ditemui. - SinarHarian

Hukum Puasa Selepas Nisfu Sya'ban


Masih ramai kalangan orang awam yang keliru dengan hukum berpuasa selepas hari Nishfu Sya'baan (15 Sya'baan).
Ramai yang tidak tahu bahawa menurut qawl yang mu'tamad dalam Mazhab Syafi'i hukum berpuasa selepas Nishfu Sya'baan adalah HARAM DAN TIDAK SAH dengan beberapa pengecualian yang akan datang penjelasannya. Kekeliruan mungkin disebabkan mazhab-mazhab lain mempunyai pendapat yang berbeza dengan Mazhab Syafi'i berdasarkan kepada ijtihad mereka. Ulama Syafi'i mengistinbathkan pengharaman berpuasa tersebut berdasarkan beberapa dalil termasuklah hadits-hadits Junjungan Nabi SAW. Antaranya apa yang diriwayatkan dalam "Sunan at-Tirmidzi", juzuk 2, halaman 183, bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda sebagai berikut:-
"Telah diberitakan kepada kami oleh Qutaibah, telah diberitakan kepada kami oleh 'Abdul 'Aziiz bin Muhammad, daripada al-'Alaa' bin 'Abdur Rahman, daripada ayahnya, daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. yang telah berkata: Telah bersabda Junjungan Rasulullah SAW:
"Apabila tinggal baki separuh dari bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa"
 [ HR At-Tirmidzi ]
Dan telah berkata Abu 'Isa (yakni Imam at-Tirmidzi): "Hadits Abu Hurairah ini adalah hadits hasan shohih dan tiada kami ketahui akan dia melainkan dengan wajah (riwayat) ini atas lafaz ini."
Selain daripada hadits di atas, Imam Abu Daud turut meriwayatkan dalam sunannya sebagai berikut:-
Daripada Sayyidina Abu Hurairah r.a. bahawasanya Junjungan Rasulullah SAW bersabda:

"Apabila masuk separuh bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa."
 [ HR Abu Daud ]
Imam ash-Shan'ani dalam "Subulus Salam" juzuk 2, halaman 345 menyatakan bahawa hadits ini adalah hasan shohih di sisi para muhadditsin selain Imam Ahmad. Imam Ahmad mendhoifkannya kerana bagi Imam Ahmad perawi yang bernama al-'Alaa' bin 'Abdur Rahman adalah perawi yang dhoif. Menurut kajian Imam ash-Shan'aani, pendapat Imam Ahmad tersebut adalah tidak tepat kerana al-'Alaa' bin 'Abdur Rahman adalah seorang perawi yang hadits-hadits yang diriwayatkannya diambil oleh Imam Muslim dan selanjutnya Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani dalam "at-Taqrib" menghukumkan al-'Alaa' bin 'Abdur Rahman ini sebagai seorang perawi yang shaduuq (benar atau kepercayaan).
Sungguhpun dihukumkan haram, tetapi pengharaman berpuasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan ini tidaklah mutlak seperti pengharaman berpuasa pada 5 hari yang diharamkan secara mutlak berpuasa, iaitu 2 hari raya dan 3 hari tasyriq. Pengharaman berpuasa pada hari-hari nishfu kedua Sya'baan dan hari Syak tidaklah mutlak kerana ianya mempunyai pengecualian. Maka hukum HARAM DAN TIDAK SAH puasa yang dilakukan selepas nishfu Sya'baan (iaitu selepas tanggal 15 Sya'baan) mempunyai PENGECUALIAN seperti berikut:-
1. Puasa sunnat tersebut disambungkan atau dihubungkan dengan hari-hari yang berada di nishfu pertama.
(separuh pertama) bulan Sya'baan walaupun dengan hanya satu hari sahaja (yakni dihubungkan dengan berpuasa pada hari 15 Sya'baan) dengan syarat ianya hendaklah berterusan sehingga Ramadhan, jika terputus walaupun dengan uzur maka tidaklah boleh disambung lagi puasa tersebut. Contohnya, jika seseorang berpuasa sunnat pada 15 Sya'baan, maka bolehlah dia berpuasa pada 16 Sya'baan dan hari-hari berikutnya. Tetapi katakanlah setelah berpuasa pada 15, 16, 17 dan 18 Sya'baan, dia tidak berpuasa pada 19 Sya'baan, dengan atau tanpa uzur, maka tidaklah boleh lagi dia berpuasa sunnat pada 20 Sya'baan dan hari-hari yang berikutnya sehinggalah Ramadhan.

2. Puasa sunnat tersebut telah menjadi amalan biasa seseorang.

(yakni yang telah dijadikan wirid kebiasaannya). Contohnya, seseorang yang telah membiasakan puasa pada setiap Isnin, maka tidaklah jadi halangan untuk dia meneruskan kebiasaannya itu.

3. Puasa qadha' samada qadha puasa fardhu atau qadha puasa sunnat yang berwaktu.

4. Puasa kaffarah atau puasa nazar dengan syarat ianya tidak dilakukan dengan sengaja dan dengan tahu yang hari yang dinazarkan itu adalah hari-hari nishfu kedua bulan Sya'baan.

Misalnya, seseorang bernazar hendak berpuasa pada hari Khamis minggu hadapan tanpa menyedari bahawa Khamis hadapannya sudah masuk dalam nishfu kedua Sya'baan, maka bolehlah dia berpuasa pada Khamis tersebut. Maka jika sekiranya dia tahu yang Khamis tersebut adalah dalam nishfu kedua bulan Sya'baan, maka tidaklah boleh dia berpuasa dan tidaklah sah nazarnya itu.



Inilah perincian hukum bagi puasa yang dilaksanakan setelah nishfu Sya'baan menurut Mazhab Syafi'i yang menjadi pegangan kita, sebagaimana yang tersebut dalam kitab-kitab fiqhnya. Antaranya dalam "Anwarul Masaalik syarah 'Umdatis Saalik wa 'Uddatin Naasik" karya Syaikh Muhammad az-Zuhri al-Ghumrawi rahimahUllah yang menyatakan pada halaman 125 seperti berikut:-
(Dan haram berpuasa [sunnat] pada hari-hari selepas nishfu Sya'baan, jika sekiranya puasa tersebut tidak berbetulan dengan adat kebiasaan seseorang) sebagaimana yang telah disebut terdahulu ketika perbincangan tentang hari Syak, (dan [puasa tersebut] tidak berhubung / bersambung dengan hari yang sebelumnya) iaitu tidak bersambung puasa pada nishfu yang kedua [bulan Sya'baan] dengan berpuasa pada separuh yang pertama bulan tersebut. Maka jika sekiranya puasa tersebut berbetulan dengan adat kebiasaan baginya atau dihubungkan [dengan hari-hari separuh pertama Sya'baan], sahlah puasa tersebut dan hilanglah keharamannya.
Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahUllah menulis dalam "al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah", jilid 2 halaman 82, sebagai berikut:-
Dan daripadanya [yakni daripada hadits-hadits berkaitan dengan] puasa dalam bulan Sya'baan, ialah hadits Sayyidatina 'Aisyah r.'anha yang menyatakan: "Tidak aku melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan penuh, melainkan bulan Ramadhan dan tiada aku melihat baginda berpuasa lebih banyak daripada bulan Sya'baan", hadits diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, dan keduanya meriwayatkan juga hadits lain dengan kata-kata: "Tiada baginda berpuasa dalam suatu bulan yang lebih banyak daripada bulan Sya'baan, bahawasanya baginda berpuasa pada keseluruhan bulan Sya'baan", dan bagi Imam Muslim terdapat satu lagi riwayat dengan kata-kata:- "Adalah baginda berpuasa pada bulan Sya'baan keseluruhannya kecuali sedikit."... Kemudian hadits-hadits tersebut tidaklah menafikan hadits yang mengharamkan puasa pada hari-hari selepas nishfu bulan Sya'baan, kerana berlakunya pengharaman tersebut ialah kepada sesiapa yang hanya berpuasa selepas nishfu tersebut dan tidak menghubungkan puasanya [dengan berpuasa pada hari Nishfu Sya'baan (yakni hari 15 Sya'baan)]. Manakala berlakunya keharusan (baca: boleh / jaiz) berpuasa, bahkan sunnat berpuasa, ialah kepada sesiapa yang berpuasa sebelum nishfu lagi dan meninggalkan berpuasa selepasnya [yakni dia berpuasa sunnat pada nishfu pertama bulan Sya'baan dan berhenti setelah nishfunya tersebut]; ATAU dia meneruskan puasanya dengan menghubungkan puasanya itu dengan berpuasa pada hari Nishfu Sya'baan [yakni hari 15 Sya'baan]; ATAU dia tidak menghubungkan puasanya, akan tetapi puasanya pada hari-hari nishfu kedua bulan Sya'baan tersebut ialah puasa kerana qadha' atau puasa nazar atau puasa yang menjadi wiridnya (kebiasaannya). Dan hadits yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Imam Abu Daud, Imam at-Tirmidzi, Imam an-Nasai dan Imam Ibnu Majah, iaitu: "Apabila berbaki separuh daripada bulan Sya'baan, maka janganlah kamu berpuasa sehingga menjelang Ramadhan", adalah jelas pada yang demikan (yakni pada menyatakan haramnya berpuasa pada hari-hari selepas Nishfu Sya'baan).
Murid Imam Ibnu Hajar rahimahUllah, iaitu Syaikh Zainuddin bin 'Abdul 'Aziz al-Malibari, rahimahUllah, menulis dalam karya beliau "Fathul Mu'in"pada halaman 60:-
(Tatimmah) Haram puasa pada hari-hari tasyriq ..., dan demikian pula haram puasa selepas Nishfu Sya'baan, selagi mana ianya tidak berhubung / bersambung dengan hari sebelumnya [yakni hari sebelum 16 Sya'baan iaitu hari 15 Sya'baan] atau jika puasa tersebut tidak muwafaqah dengan adatnya (yakni tidak berbetulan dengan kebiasaannya atau wiridnya); atau jika puasa tersebut bukan puasa nazar atau puasa qadha' walaupun hanya qadha' puasa sunnat.
Penjelasan 'Allaamah Sayyid Muhammad 'Abdullah al-Jurdani dalam "Fathul 'Allam" juzuk 4, halaman 152- 153, pula adalah seperti berikut:-
Dan haram puasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan, melainkan jika ianya disambung / dihubungkan dengan hari yang sebelumnya [yakni hari sebelum 16 Sya'baan iaitu hari 15 Sya'baan], walaupun hanya satu hari [yakni walaupun dengan hanya berpuasa pada 15 Sya'baan sahaja] dan hendaklah berkekalan puasa tersebut sehingga ke akhirnya. Maka jika tidak berkekalan, bahkan jika berbuka (yakni tidak berpuasa) dengan uzur sekalipun, tertegahlah atasnya untuk berpuasa lagi dengan tanpa sebab.
Inilah khulasah hukum berpuasa pada nishfu kedua bulan Sya'baan. Harap kita sebagai pengamal Mazhab Syafi'i dapat beri perhatian sewajarnya. Allahlah yang Maha Mengetahui.
Sumber : http://jomfaham.blogspot.com
Sumber Asal : http://bahrusshofa.blogspot.com

Biodata Penulis

Ustaz Abu Muhammad merupakan pendakwah bebas. Beliau berkongsi karya dihttp://bahrusshofa.blogspot.com.

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu