adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Saturday, July 7, 2012

3 suspek ditahan kes samun personaliti TV Singapura


Rita Zahara
Rita Zahara

JOHOR BAHRU - Polis percaya dapat menyelesaikan kes samun dan peras ugut seorang personaliti televisyen Singapura,  Rita Zahara Mohd Nazdeer, Ahad lepas dengan tertangkap tiga lelaki, pada Rabu lalu.

Polis turut merampas dua pucuk pistol, sepucuk senapang pam berserta tiga peluru hidup dan dua kereta curi termasuk kereta Nissan Sunny milik Rita Zahara daripada suspek berkenaan.

Selain itu, polis turut menemui satu lencana Polis Diraja Malaysia, 14 telefon bimbit pelbagai jenama, kad bank dan barangan peribadi mangsa rompakan.

Ketua Polis Johor, DCP Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff hari ini berkata, polis menahan ketiga-tiga suspek berumur antara 33 dan 45 tahun dalam serbuan di tiga rumah berasingan di Felda Ulu Tebrau pada kira-kira pukul 5 pagi.

Dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor itu, Rita Zahara dan keluarganya serta wartawan dari Singapura turut hadir.

Mokhtar berkata dua daripada suspek itu merupakan orang yang sangat dikehendaki polis kerana terbabit dalam kes mencuri kereta di sekitar Johor Baharu dan Kota Tinggi.

Beliau berkata kesemua suspek berada di bawah pengaruh dadah ketika ditahan dan mereka masih memburu dua lagi suspek yang disyaki turut terbabit dalam kes itu.

Katanya polis akan mengeluarkan gambar lakaran suspek berkenaan dalam masa terdekat.
Selain kereta Nissan Sunny, mereka turut menemui sebuah komputer riba, sebuah telefon bimbit dan kad-kad bank milik personalti TV tersebut.

Mokhtar berkata kesemua suspek berkenaan, yang ditahan reman sehingga 10 Julai, mempunyai rekod jenayah lampau berhubung kes samum, curi kereta, pecah rumah dan dadah.

Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1960 kerana memiliki pistol dan Seksyen 8(a) akta sama bagi kes memiliki peluru, katanya.

Menjawab kepada satu soalan, Mokhtar berkata polis masih belum dapat memastikan pembabitan mana-mana sindiket dalam kes yang kononnya menyasarkan pengunjung Singapura.

Beliau berkata penjenayah tidak mensasarkan mangsa mengikut kerakyataan tertentu tetapi akan bertindak apabila mempunyai peluang berbuat demikian.

Mokhtar menambah bahawa dakwaan yang menyatakan kononya penjenayah menyasarkan pelawat Singapura adalah tidak berasas.

"Polis akan meneruskan usaha bagi memastikan negeri Johor selamat untuk dikunjungi oleh semua," katanya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan  Riata Zahara, 37, memberhentikan keretanya seketika di sebuah stesen minyak untuk mengisi minyak dan membeli buah-buahan di Jalan Susur Larkin pada pukul 12.45 pagi, Ahad lepas.
Dia meninggalkan adik perempuannya yang berusia 19 tahun, dua anaknya yang berusia 11 dan enam tahun serta pembantu rumah mereka di dalam kereta Nissan Sunny miliknya itu sebelum kenderaan berkenaan dilarikan.
Rita Zahara kemudian menghubungi adiknya, namun panggilan itu dijawab oleh seorang lelaki yang kemudiannya meminta wang tebusan dan mengugut akan membunuh anggota keluarganya jika melaporkan kes itu kepada  polis.

Rita Zahara dikatakan turut mengadakan rundingan selama empat jam dengan dua penculik berkenaan sebelum kesemua anggota keluarganya itu dibebas dan ditinggalkan di sebuah kawasan perumahan di Ulu Tiram, di sini.

Menurut laporan media lagi, Rita Zahara mengalami kerugian kira-kira RM200,000 dalam kejadian tersebut. - Bernama


No comments:

Post a Comment

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu