adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Monday, July 9, 2012

Sumbangan Azah Aziz akan sentiasa dikenang


Profesor Diraja Ungku Aziz bersama Azah Aziz. – Foto ihsan
Profesor Diraja Ungku Aziz bersama Azah Aziz. – Foto ihsan

KUALA LUMPUR - Sumbangan besar Sharifah Azah Mohamed Alsagoff atau Azah Aziz dalam memelihara budaya bangsa akan dikenang dan dihargai, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menyifatkan pemergian tokoh budaya itu hari ini sebagai satu kehilangan besar kepada negara dan sukar dicari ganti, Muhyiddin berkata Azah yang juga dikenali sebagai Mak Ungku begitu tekun dan komited dalam usahanya memelihara dan memperjuang budaya Melayu agar tidak ditelan zaman.

"Kerajaan sentiasa menghargai sumbangan Allahyarham malah nama Azah Aziz itu sendiri amat sinonim dengan budaya Melayu yang harus dipelihara dan dipulihara bagi mengelak kepupusannya," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama di sini.

Azah, 83, meninggal dunia kerana sakit tua dan angin ahmar kira-kira pukul 10 pagi ini. Muhyiddin dalam masa yang sama turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham di atas pemergian tokoh itu.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dalam laman sosial Facebook dan Twitter miliknya berkata jasa tokoh budaya itu tidak akan dilupakan dalam memperjuang budaya, bahasa dan juga seni tenunan di negara ini.

Bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin pula menyifatkan pemergian isteri Profesor DiRaja Ungku Abdul Aziz dan ibu Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz itu sebagai suatu kehilangan tokoh kebudayaan agung yang sukar dicari ganti.

"Beliau memiliki kesempurnaan yang bukan sahaja digambarkan dari segi pakaian tetapi dari segi minat dan usaha untuk membudayakan masyarakat serta kebudayaan bangsa.

"Beliau pandai berpantun dan pantun yang dihasilkan sukar ditandingi oleh orang lain, sebagai contoh pantun hasil nukilannya telah menjadi hiasan kulit majalah Mastika sejak sekian lama," katanya.

Zainuddin berkata Allahyarham yang juga bekas penulis turut mempunyai minat mengumpul songket lama serta meminati budaya seni warisan dan seni sastera tanah air.

"Allahyarham merupakan individu yang bertanggungjawab mendorong dan memberi panduan kepada saya untuk menulis buku bertajuk 'Tun Razak: Jejak Bertapak Seorang Patriot. 

"Selain itu, beliaulah yang bertanggungjawab memberikan nama 'Pancaindera' iaitu akhbar sisipan Mingguan Malaysia ketika saya bertugas sebagai Pengarang di Utusan Melayu," katanya.

Zainuddin berkata Allahyarham wajar dicontohi generasi muda hari ini kerana mempunyai status dan kelas tersendiri sebagai isteri seorang Professor DiRaja serta minat yang ditunjukkan terhadap kerjayanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Chamil Wariya berkata Allahyarham merupakan seorang guru dalam bidang penulisan rencana kerana banyak mengajar serta membimbing beliau dalam menghasilkan penulisan rencana.

"Allahyarham amat komited serta berfikiran terbuka semasa menjadi penyunting di meja Rencana semasa berkhidmat di Utusan Melayu sekitar tahun 1973.

"Allahyarham banyak memberi peluang kepada wartawan untuk menghasilkan penulisan rencana yang melampaui berita (dengan membuat analisis sesuatu berita) supaya dapat menghasilkan rencana yang berkualiti serta memberi impak kepada pembaca," katanya.  

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) Dr Salleh Rahaman ketika dihubungi berkata Allahyarham merupakan seorang wanita yang gigih dalam memperjuang martabat kaum wanita serta mengangkat seni dan budaya Melayu.

Seorang bekas editor akhbar Berita Harian Zubaidah Abdul Rahman menyifatkan Allahyarham sebagai seorang mentor yang sangat merendah diri. Beliau yang mengenali Allahyarham sejak di bangku sekolah iaitu sekitar tahun 1960-an sering bertanyakan pendapat Allahyarham mengenai hasil penulisannya.

"Beliau merupakan mentor saya dalam penulisan...setiap hasil penulisan yang saya buat, saya akan tunjuk kepada beliau untuk dipilih dan dimuatkan di dalam akhbar Berita Minggu," katanya.

Sebagai Pengasas dan Ketua Satu yang pertama Persatuan Wartawan Wanita Malaysia dari 1971 hingga 1978, Azah Aziz merupakan insiprasi kepada wartawan muda wanita.

"Ahli Pertama berasa sedih di atas kehilangan Mak Ungku kerana beliau sentiasa mengambil berat tentang peranan wartawan wanita dan mengikuti perkembangan dalam Pertama," kata Ketua Satu Pertama pada masa ini, Muharyani Othman.

Muharyani berkata kali terakhir anggota Pertama bertemu beliau adalah semasa perjumpaan tahunan persatuan tersebut di Putrajaya Lake Cruise pada pertengahan tahun 2010.

"Walaupun beliau agak uzur, Mak Ungku gagah dan teruja untuk bersama-sama kami di majlis tahunan kami itu. Kami tidak menyangka itulah kali terakhir bertemu dengan individu yang amat kami kagumi dan hormati," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu