adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Thursday, August 30, 2012

Norish Tidak Dicemuh Kerana Kontroversi Anak Keempat


Norish Karman. - Foto oleh AHMAD MOHSIN DADAMEAH
PETALING JAYA: Pelakon Norish Karman berkata pendedahan mengenai status bayi lelakinya yang dikatakan anak luar nikah di sebuah akhbar harian pada minggu lalu tidak mengundang cemuhan masyarakat.
Norish atau nama sebenarnya Nor’Asikin Karman, 38, berkata, dia mendapat sokongan peminat sejak pendedahan secara terbuka mengenai anak keempat tersebut iaitu Muhammad Haq Lutfie Alexander (Haq) yang berusia 11 bulan.
“Tiada cemuhan atau penghinaan daripada peminat dan masyarakat yang saya terima sejak pendedahan (mengenai bayi lelaki) di akhbar baru-baru ini.
“Sebaliknya, peminat memahami kesulitan yang saya hadapi dan menyatakan sokongan, kasih sayang dan perangsang di laman Facebook kepada saya dan keluarga,” katanya yang melahirkan anak itu pada 24 September tahun lalu.
Aktres dari Singapura itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya program Wanita Hari Ini di perkarangan Sri Pentas TV3, Bandar Utama di sini, petang Rabu.
Norish berkata, dia juga tidak kesal atau terkilan apabila gambar-gambar dan tuduhan berkenaan tersebar di Internet sejak beberapa bulan lalu.
“Tiada apa yang perlu saya kesalkan apabila cerita itu timbul dan diperkatakan secara meluas. Saya terimanya dengan reda kerana ini adalah ketentuan Allah.
“Orang yang tidak tahu apa-apa lebih baik jangan buka mulut dan menyebarkan cerita yang mereka tidak tahu kesahihannya,” katanya.
Ditanya mengenai tindakannya berdiam diri seperti mahu melarikan diri sebelum ini, Norish berkata, dia tidak berniat untuk mengelak tetapi menunggu waktu terbaik untuk membuka mulut.
“Pada asalnya saya mahu berkongsi mengenai kemunculan Haq dalam keluarga kami pada sambutan hari lahirnya yang pertama pada September depan. Apabila cerita itu timbul awal dan tersebar saya terpaksa hadapinya dengan tenang, bijak dan matang.
“Jujurnya, saya malas hendak layan dan merunsingkan fikiran. Saya terima kontroversi ini sebagai takdir yang membuatkan saya lebih popular biarpun secara negatif,” katanya.
Mengenai zuriat itu, Norish berkata dia bersyukur kerana dikurniakan anak yang tidak banyak ragam serta dilimpahi kasih sayang keluarga di sebalik cerita-cerita negatif yang timbul.
Terbaru, pelakon filem Sayang Salmah ini sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah dalam bidang Psikologi dan Sains Sosial di sebuah institusi yang dirahsiakan, selain tumpuan pada kerjaya lakonan, nyanyian dan penceramah motivasi.
Norish turut memiliki tiga anak hasil pernikahan pertamanya iaitu Muhd. Haqiem Armany, 13, Muhd Hardy Amieran, 9 dan Nur Hanyz Amanda, 8. - mStarOnline

10 Penuntut nyaris maut bas rempuh kedai makan

DUNGUN- Sepuluh penuntut Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin nyaris maut setelah sebuah bas ekspres merempuh rumah kedai dan kedai menjual barangan basah di kilometer 84.5 Jalan Kuantan-Kuala Terengganu, Jalan Batu 7 berhadapan politeknik itu di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 11.15 pagi, kesemua pelajar diploma jurusan Kejuruteraan Elektrik tahun pertama itu baru hendak menikmati makanan di kedai berkenaan.

Menceritakan detik-detik cemas itu, pelajar Azizul Hakimi Ibrahim, 18, berkata ketika kejadian, kesemua mereka berada di bahagian luar kedai dan mendengar bunyi bising serta teriakan daripada anak peniaga berkenaan.

"Ketika berpaling, kami lihat sebuah bas meluncur laju ke arah kedai tempat duduk kami dan masing-masing cepat melompat lari menyelamatkan diri daripada dirempuh bas berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Seorang lagi pelajar, Mohd Mujiburrahman Hanafi, 18, berkata dia sempat melihat bas ekspres yang terbabas laju itu menyeret sebuah kereta Honda Civic yang dinaiki dua orang.

"Saya sangkakan bas itu hendak berhenti di kedai berkenaan namun kenderaan itu tetap meluncur laju sebelum melanggar sebuah kereta dan terus merempuh kedai menjual makanan basah dan kedai makan ini.

"Ketika itu, saya yang panik terus menjerit dan suruh rakan lain selamatkan diri," katanya.

Akibat rempuhan itu, kesemua pelajar terbabit dihantar ke Hospital Dungun kerana mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki, tangan, kepala dan muka kerana dihempap kayu bangunan itu.

Sementara itu, pemilik kedai, Wan Maznah Wan Abdullah, 51, berkata ketika kejadian, dia sedang memasak di dapur apabila tiba-tiba terdengar anak perempuannya menjerit.

Dia lantas keluar dan tergamam melihat sebuah bas dari arah Kemaman menghala ke Kuala Terengganu itu melanggar kedainya.

"Ketika kejadian, kira-kira 30 pelanggan saya sedang makan sebelum dikejutkan rempuhan kuat dari bas berkenaan.

"Saya bersyukur kejadian ini tidak melibatkan kecederaan yang parah kepada pelanggan serta anggota keluarga saya," katanya.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian dan berkata kejadian berpunca daripada masalah brek bas yang dipandu Zahri Muda, 39.

"Pemandu bas itu cedera ringan manakala pemandu dan penumpang kereta Honda Civic tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya. -Bernama

Wanita dipenjara 15 tahun memandu secara berbahaya


JAKARTA - Mahkamah daerah Jakarta Pusat pada Rabu menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara terhadap seorang wanita kerana memandu dalam keadaan berbahaya sehingga menyebabkan sembilan orang terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya di sini awal tahun ini.

Afriyani Susanti, 29, yang pada hari kejadian memandu kereta di bawah pengaruh dadah dan alkohol, didakwa dengan tuduhan membunuh, namun mahkamah dalam keputusannya mendapati tidak ada bukti yang boleh mensabitkannya dengan kesalahan membunuh dengan niat, media tempatan melaporkan.

Sejurus selepas Ketua Majlis Hakim Antonius Widyanto membacakan hukuman itu, seorang anggota keluarga korban kemalangan itu telah menjerit kepada hakim membantah hukuman itu yang disifatkannya terlalu ringan.

Bantahan lelaki itu mendapat sokongan beberapa anggota keluarga yang turut kehilangan orang tersayang dalam kemalangan itu, sehingga suasana dalam mahkamah menjadi riuh dan kecoh seketika.

Dalam nahas pada pagi 22 Jan lalu, kereta yang dipandu laju oleh Afriyani merempuh 13 pejalan kaki di sebuah perhentian bas di Jalan Ridwan Rais, berhampiran Tugu Tani, Jakarta Pusat, memyebabkan sembilan daripada mereka terbunuh.

Pada sebelah malam sebelum kejadian itu, Afriyani menghabiskan masa di sebuah kelab malam di sebuah hotel di sini bersama beberapa orang rakannya.

Salah seorang peguam bela Afriyani berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu, manakala pihak pendakwa raya menyatakan akan mengkaji terlebih dahulu sama ada akan mengemukakan rayuan atau tidak. - Bernama

Tuesday, August 28, 2012

Pelawak Imuda Kerugian RM7,000 Rumah Dipecah Masuk


Imuda.
KUALA LUMPUR: Pelawak terkenal tanah air, Ab Rahim Muda atau lebih dikenali sebagai Imuda kerugian RM7,000 apabila kediamannya di Taman Datuk Ahmad Razali, di sini dipecah masuk baru-baru ini.
Namun Imuda, 52, hanya menyedari kejadian itu kira-kira pukul 3 petang semalam selepas beliau bersama keluarganya baru pulang setelah bercuti raya selama 10 hari di Pulau Pinang.
"Bila sampai di rumah, saya lihat kesemua bilik saya berselerak dan mendapati komputer riba milik isteri, tiga buah telefon bimbit, wang tunai RM300 serta koleksi jam tangan saya hilang," katanya kepada pemberita di kediamannya, Selasa.
Berikutan itu, beliau membuat laporan di Balai Polis Ampang Jaya.
Imuda berkata, suspek kemungkinan terdiri daripada tiga atau empat individu dan masuk melalui tingkap dan jeriji hadapan yang diumpil menggunakan pemutar skru.
"Mereka (suspek) sempat makan kuih raya dan minum air sirap yang berada di dapur," katanya.
Imuda yang mula dikenali dalam sitkom komedi 'Pi Mai Pi Mai Tang Tu' itu berkata kes pecah rumah dan ragut telah banyak kali berlaku di kawasan kediamannya dan isterinya, Zabarina Haja Mushadi, 30, pernah cuba diragut namun diselamatkan jiran yang melihat kejadian itu.
"Bulan lepas rumah jiran hadapan saya juga pernah dimasuki perompak," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superitendan Nazri Nawawi ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
"Kita sedang mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah yang jika disabitkan kesalahan, hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda," katanya. - BERNAMA

Pemimpin Kanan Parti Pembangkang Dan Anak Ditahan Kes Sumbang Mahram


JERANTUT: Seorang pemimpin kanan sebuah parti pembangkang dan anak lelakinya ditahan bagi membantu polis berhubung satu kes sumbang mahram.
Pemimpin utama sebuah parti baru itu bersama anak lelakinya yang berumur 14 tahun ditahan reman pada 22 Ogos lepas bagi membantu siasatan apabila anak perempuannya yang berumur 15 tahun melahirkan seorang bayi lelaki.
Mereka dibebaskan pada Isnin.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut DSP Zakaria Kasim, mangsa, 15, melahirkan seorang bayi lelaki tiga hari lepas di sebuah pusat bersalin di Cheras, Kuala Lumpur.
"Kedua-dua suspek, bapa dan anak itu bagaimanapun dibebaskan semalam atas jaminan pihak polis," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.
Beliau berkata, polis juga mengambil sampel DNA kedua-dua suspek dan keputusannya dijangka diketahui dalam tempoh seminggu.
Suspek yang juga saudara terdekat kepada seorang pemimpin kanan sebuah parti pembangkang tanah air, pernah bertanding pada pilihan raya umum ke-12.
Bagaimanapun, suspek yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri di Pahang pada pilihan raya umum lepas itu kalah kepada calon Barisan Nasional. - BERNAMA

Murid tahun empat diburu kerana curi motosikal

Murid tahun empat diburu kerana curi motosikal
Polis (kanan) bersama Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) berada di lokasi motosikal ditemui.

KULIM - Polis sedang memburu murid tahun empat dipercayai terlibat dalam kes kecurian motosikal seorang remaja lelaki berusia 18 tahun di rumahnya di Taman Tungku Putra kira-kira jam 12.30 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, suspek dipercayai masuk ke dalam pagar rumah remaja lelaki itu untuk mengambil motosikal.

“Dia yang menyedari kejadian itu bagaimanapun gagal menahan suspek kerana sukar membuka pintu gerigi rumahnya.

“Setelah berjaya membuka pintu, dia cuba mengejar suspek bagaimanapun gagal berbuat demikian,” katanya.

Menurutnya, remaja lelaki terbabit kemudiannya berjumpa anggota trafik yang sedang menjalankan tugas rondaan dan meminta bantuan.

“Kira-kira jam 12.45 petang, kakitangan pos laju menemui motosikal curi itu disorok belakang pokok dalam taman permainan berhampiran sekolah agama.

“Daripada pemeriksaan nombor pendaftaran dibuat, polis mendapati motosikal itu dilaporkan hilang tengah malam, semalam.

“Suspek mungkin menunggang motosikal itu untuk pergi ke sekolah tetapi meletakkannya di taman permainan untuk mengelak daripada  diketahui orang lain,” katanya.

Ghuzlan berkata, sehingga kini kes curi motosikal merupakan antara jenayah yang kerap berlaku di Kulim.

“Sebelum ini, polis menahan seorang pelajar berusia 16 tahun dari Kuala Ketil kerana mencuri motosikal di surau.

“Bagaimanapun polis berjaya menahan suspek di Taman Cengal ketika cuba melarikan motosikal itu ke Gurun untuk dijual,” katanya. - SinarHarian

Monday, August 27, 2012

Tandas awam: 'Port' berkumpul, minum arak

Tandas awam: 'Port' berkumpul, minum arak
Tandas perempuan yang dipenuhi dengan pelbagai sampah.


TAMPIN – Rata-rata pengunjung dan peniaga di Pasar Besar Tampin kecewa apabila kewujudan tandas awam yang seharusnya memudahkan orang awam dijadikan sebagai 'port' minum arak oleh individu tidak bertanggungjawab.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, tandas awam yang sebelum ini sudah dinaik taraf itu kini tidak dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh orang awam apabila tandas perempuannya bersepah dengan botol arak dan puntung rokok.

Seorang peniaga yang dikenali Amir berkata, rata-rata pengunjung berasa tidak selesa untuk menggunakan kemudahan berkenaan lebih-lebih lagi pada sebelah petang. “Malah, tandas perempuan sering digunakan sebagai tempat berkumpul beberapa lelaki untuk meminum arak terutamanya sekitar jam 5 petang dan ke atas sehingga menimbulkan rasa kurang selesa orang awam.

“Manakala, tandas lelaki pula sangat kotor dan tersumbat. Lebih teruk lagi terdapat botol arak yang dibuang ke dalam tandas berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Seorang pengunjung, Hanis, 20-an berkata, dia yang pertama kali masuk ke lokasi berkenaan berasa sangat terperanjat susulan terdapat banyak botol arak dan puting rokok.

“Malah, saya rasa gerun juga untuk masuk ke tandas perempuan ini berseorangan. Oleh itu, saya harap pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah ini," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Tampin (MDT), Razali Bakar berkata, beliau berasa sangat kecewa dengan sikap individu tidak bertanggungjawab itu.

Menurutnya, tandas berkenaan sudah dibaik pulih dan dinaik taraf dengan kos RM20,000 sebelum digunakan semula sejak pertengahan tahun lalu. Malah, kerosakan tandas berkenaan juga dalam pengetahuan MDT dan kini sudah mengeluarkan tender bagi baik pulih tandas.

“Kita harap agar orang ramai dapat bekerjasama dalam menjaga kemudahan yang disediakan dan sikap mereka yang tidak bertanggungjawab hanya akan menyebabkan kerugian kepada semua pihak.

“Malah sikap pengotor dan tidak bertimbang rasa orang awam yang menggunakan tandas awam juga menyebabkan sasaran kita untuk mengekalkan kebersihan tandas di peringkat yang lebih tinggi lagi tersasar," katanya.

Tandas Awam di Gemas mendapat Anugerah Gangsa bagi Kategori Pihak Berkuasa Tempatan Pertandingan Anugerah Tandas Bersih peringkat Kebangsaan tahun lepas. - SinarHarian

Melaka terus jadi tumpuan pengunjung

Melaka terus jadi tumpuan pengunjung
Pengunjung berpusu-pusu menghabiskan cuti AidilFitri dengan membeli-belah di Banda Hilir.
BANDA HILIR - Jumlah pelawat ke bandar ini sempena cuti sambutan Aidilfitri tahun ini meningkat begitu ketara sekali, terutama tempat tumpuan yang penuh sesak.

Cuti Hari Raya ditambah pula dengan cuti awal untuk murid-murid sekolah menjadikan Melaka satu destinasi pilihan untuk mereka bercuti.

Peningkatan pengunjung luar begitu ketara apabila jumlah kenderaan di jalan raya turut meningkat, sekali gus menyumbang kepada kesesakan di beberapa jalan utama.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Jonker Walk, Datuk Gan Tian Loo berkata, jumlah pengunjung ke Melaka sepanjang tempoh ini hampir mencecah sejuta orang.

Menurutnya, Jonker Walk merupakan antara kawasan tumpuan ramai apabila pada dua hari pertama sambutan Aidilfitri, puluhan ribu pengunjung telah mengunjungi kawasan popular itu.

“Jumlah pengunjung ramai akan membawa manfaat kepada ekonomi Melaka kerana pada tahun lepas sahaja, setiap pelancong yang melawat Melaka dianggar membelanjakan purata RM500.

Kebanjiran pelancong ini jelas membuktikan bahawa langkah agresif Kerajaan Negeri mempromosikan Melaka sebagai sebuah destinasi pelancongan tidak sia-sia,” katanya di sini, semalam.

Menurut Tian Loo yang juga Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pelajaran, Belia dan Sukan, pelan tindakan perlu dilakukan Kerajaan Negeri untuk tempoh lima tahun akan datang bagi menggalakkan sektor pelancongan.

Menurutnya, pelan tindakan sebelum ini iaitu untuk menggalakkan lebih ramai pelancong ke Melaka telah membuahkan hasil.  - SinarHarian

Tangki air runtuh

Keadaan tangki air yang runtuh di tangga rumah sewa Jamaluddin.
Keadaan tangki air yang runtuh di tangga rumah sewa Jamaluddin.

KAJANG – Penyewa rumah di Jalan Pahlawan, Seksyen 3, Bandar Mahkota Cheras terkejut apabila kediaman yang disewa sejak empat tahun lalu banjir apabila tangki air di bahagian bumbung rumah jatuh dan membanjiri keseluruhan ruang aras bawah rumahnya.

Mangsa, Jamaluddin berkata, dia menerima panggilan tiga hari sebelum menyambut Aidilfitri daripada jiran mengatakan terdengar bunyi kuat dari dalam rumahnya seperti bunyi letupan sebelum melihat air mengalir tanpa henti dari pintu rumahnya.

Menurutnya, ketika kejadian dia berada di kampung kerana cuti bagi menyambut Aidilfitri namun bergegas pulang ke rumah sewanya setelah mendapat panggilan.

“Ketika tiba di rumah, saya melihat tangki air tersebut jatuh di tangga yang menghubungkan aras bawah dan aras atas kediaman dua tingkat ini manakala siling bahagian bumbung berlubang.

“Air tangki tersebut membanjiri keseluruhan bahagian bawah rumah dan merosakkan perabot rumah serta beberapa barangan elektrik turut basah,” katanya yang menganggarkan kerugian RM5,000 jika semua barang elektriknya rosak.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat ketika melawat kediaman tersebut berkata, pihaknya menasihatkan agar pemilik kediaman dan penyewa membuat laporan polis dan membuat surat rasmi bagi menuntut pemaju membaik pulih kerosakan.

“Pemilik kediaman yang lain juga dinasihatkan agar memeriksa struktur kedudukan tangki air kediaman masing-masing kerana bimbang tidak kukuh dan boleh mengundang kejadian seperti ini,” katanya.

Dalam pada itu, pemilik rumah, Neo Sing Hu berkata, dia telah enam tahun membeli rumah teres dua tingkat di kawasan tersebut malah pemaju memberikan jaminan enam bulan sekiranya berlaku kerosakan.

“Kayu yang digunakan untuk menyokong tangki air patah berkemungkinan disebabkan kayu yang berkualiti rendah.

“Saya akan buat laporan polis dan seperti disarankan Dr Che Rosli bagi menghantar surat rasmi kepada pemaju,” katanya. - SinarHarian

Nora Danish bahagia di samping Rayqal

Nora Danish bahagia di samping Rayqal



Tahun ini merupakan tahun keempat pelakon kecil molek ini menyambut lebaran sebagai ibu tunggal. Tidak pernah rasa tersisih, Nora Danish berkata, Syawalnya tetap bermakna dengan satu-satunya anak lelakinya, Putra Rayqal, 4, di sisi.

Malah kemeriahan Aidilfitri masih terasa meskipun sudah seminggu meraikannya. Menurut Nora, dia kini semakin gembira dengan kehidupannya. Tiada yang lebih bahagia buatnya apabila dapat melihat Rayqal membesar di depan mata.

"Dalam usianya yang semakin meningkat, ada sahaja keletah dan tingkah lakunya yang mencuit hati saya. Sekarang dia dah pandai bergaya dan baju raya pun dia nak pilih sendiri.

"Kalau dulu dia pakai sahaja apa yang saya berikan, tetapi sekarang dia dah pandai minta macam-macam," kata Nora sambil tersenyum.

Jelas Nora, Rayqal juga pandai mengkritik pakaiannya. "Kalau baju yang saya pakai tidak cantik di matanya, pasti dia akan memberi teguran," katanya yang suka berpakaian sedondon dengan Rayqal.


Batal hasrat ke Yangon

Jika sebelum ini Nora pernah memberitahu akan beraya di Yangon, Myanmar, namun hasrat itu terpaksa dilupakan. Menurut bintang drama bersiri Puteri ini, dia agak kecewa kerana tidak dapat pulang ke kampung ibunya itu.

"Sebenarnya, sebahagian kawasan di sana sedang bergolak, jadi saya dan keluarga terpaksa menukar perancangan itu. Harapan saya dapatlah bertemu sanak-saudara di sana, bagaimanapun, demi keselamatan semua, kami sepakat untuk batalkan hasrat itu dan memilih untuk beraya di Bali, Indonesia," jelasnya.

Ujar Nora, memandangkan dia datang daripada keluarga yang kecil, sambutan hari rayanya juga dalam suasana yang sederhana.

"Keluarga tak ramai, jadi sambutan juga tidaklah meriah seperti mereka yang mempunyai keluarga besar. Jadi perbelanjaan juga tidaklah sebanyak mana. Memang kami tidak pernah berlebih-lebih, cukuplah sekadar yang perlu sahaja," katanya.


Terkenang arwah bapa

Setiap kali Syawal menjelma, Nora berkata, dia pastinya terkenang arwah bapa tercinta. "Arwah meninggal sejak saya berusia 12 tahun lagi.

"Memang saya rindu sangat kepada arwah, lagi pun arwah pergi ketika saya masih kecil. Jadi kenangan meraikan hari raya bersama arwah memang tidak dapat dilupakan. Pun begitu saya sentiasa mendoakan agar roh arwah sentiasa dicucuri rahmat," katanya. - SinarHarian

Amyza Aznan keguguran

Amyza Aznan



PELAKON yang terkenal menerusi drama bersiri 3T: Tan, Tin, Tun, Amyza Aznan,36, berkongsi berita mengenai keguguran kandungan yang baru berusia tiga minggu.

Perkara itu disahkan sendiri pelakon itu menerusi laman Twitternyapetang ini, antara lain menulis, “takde rezeki.  Perancangan ALLAH lebih baik.  Aku redha.  Keguguran anak ketiga.”

Bagaimanapun dia tidak menyebut bila mengalami keguguran.

Pelakon manis itu sudah mempunyai dua cahaya mata, Andre Mikhail dan Adrian Adam, hasil perkongsian hidup dengan Khairil Izhar Mohd Nazir.

Amyza dan Khairil Izhar berkahwin pada 2004. - SinarHarian

Wajah Anak Sulung Farah AF


farah
MH Online kongsikan wajah comel anak sulung kepada bekas pelajar Akademi Fantasia, Farah yang telah selamat dilahirkan pada 15 Ogos lalu. 
Menurut kenyataannya menerusi laman Twitter, Farah berkata, “Alhamdulillah.  Selamat datang ke dunia, puteriku. Farah OK dan baby juga sihat.”
 
Farah, 27, yang terkenal dengan ‘trademark’ Breep Breep mendirikan rumah tangga dengan usahawan Johan Johari, 27, di Putrajaya pada 15 Julai tahun lalu. - MediaHiburan

Friday, August 24, 2012

Scha & Awal Kongsi Debaran Sambut Aidilfitri Kali Pertama


Scha dan Awal berdebar menyambut Hari Raya bersama buat pertama kali sebagai suami isteri. - Foto oleh KEVIN TAN
PETALING JAYA: Pasangan selebriti Awal Ashaari dan Scha Al Yahya berkongsi debaran pada sambutan Aidilfitri tahun ini kerana pertama kali meraikannya sebagai pasangan suami isteri.
Awal, 31, yang selama ini menyambut Syawal di Kampung Baru, Kuala Lumpur berasa seronok apabila dapat pulang ke kampung halaman keluarga Scha di Kedah.
“Bayangkanlah, selama saya membesar, setiap kali tiba Hari Raya ia akan disambut di Kuala Lumpur kerana keluarga saya memang menetap di sini.
“Tahun ini adalah pertama kali saya beraya di kampung Scha di Kedah selama dua hari dan berpeluang merasai suasana desa yang sama sekali berbeza dengan kota,” katanya.
Berbeza dengan isterinya Scha, aktres berusia 29 tahun ini berasa takut dan gementar untuk menyambut Hari Raya bersama keluarga besar Awal.
“Saya berasa takut dan berdebar-debar sebenarnya menyambut Aidilfitri dengan keluarga mertua.
“Maklumlah, keluarga Awal memang besar bilangannya dan saya belum berpeluang bertemu dengan mereka semua ketika majlis perkahwinan lalu. Yang pastinya, suasana memang meriah,” katanya.
Pasangan yang bercuti selama seminggu ini kembali sibuk dengan komitmen seni masing-masing pada minggu kedua Aidilfitri. - mStarOnline

Wednesday, August 22, 2012

Siti Nordiana Bawa Anak Ziarah Pusara Bekas Suami


Siti Nordiana akan membawa anak lelakinya menziarahi pusara arwah bekas suaminya.
PETALING JAYA: Penyanyi Siti Nordiana merancang untuk membawa anak lelaki tunggalnya, Muhammad Rayyan Nakhaie yang berusia 4 tahun melawat pusara bekas suaminya pada Hari Raya kelima nanti.
Siti Nordiana berkata, dia mahu membawa Rayyan melawat kubur Allahyarham Mohd Faizal Yusup kerana tidak mahu memutuskan silaturahim antara anak dan bapa walaupun Faizal sudah tiada.
"Walaupun bekas suami telah meninggal dunia tetapi saya tidak mahu memutuskan hubungan mereka dan biar Rayyan tahu apa yang terjadi dan berharap apabila dia sudah besar dia akan sentiasa mendoakan kesejahteraan bapanya," katanya kepada mStar Online.
Tambah Siti Nordiana, kesempatan itu juga dia akan melawat keluarga bekas mertuanya di Kuala Selangor dan memberi peluang Rayyan berhari raya dengan mereka.
"Biarpun saya sudah tiada apa-apa lagi hubungan dengan mereka tetapi saya sentiasa menganggap keluarga bekas suami sebagai darah daging sendiri dan Rayyan adalah milik mereka juga.
"Saya mahu Rayyan kenal keluarga arwah bapanya dan berharap silaturahim di antara kami tidak akan terputus," katanya.
Dalam pada itu, Siti Nordiana memberitahu anaknya itu sentiasa bertanyakan tentang Faizal terutama jika drama lakonan arwah ditayangkan di televisyen.
Katanya, Rayyan akan segera memberi respons dengan memanggil Faizal walaupun sudah lama kehilangan bapa.
Sementara itu, Siti Nordiana memberitahu persiapan Hari Raya tahun ini lebih tertumpu kepada anaknya selain menyediakan keperluan untuk ahli keluarganya di Nilai, Negeri Sembilan.
Siti Nordiana berkata, Syawal hanya disambut secara sederhana kerana apa yang paling penting kehadiran ahli keluarga dan sanak saudara dapat memeriahkan suasana.
"Apabila kita merasai kehilangan sesuatu dalam hidup, keluarga akan menjadi perkara paling penting terutama pada Syawal," katanya. - mStarOnline

Tuesday, August 21, 2012

Dirempuh, diragut penyamun

Wanita dilanggar dan diragut
Wanita dilanggar dan diragut


Dirempuh, diragit penyamun
Siku mangsa cedera selepas tercampak di atas jalanraya
ALOR GAJAH - “Kenapa ni? Kenapa ni? Itulah ayat yang pada mulanya disangka mangsa mahu membantunya selepas dirempuh kereta, sebaliknya hanya alasan si penyamun untuk bertindak kejam dengan meragutnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang sehari sebelum Aidilfitri itu, mangsa, Siti Zabedah Saad, 41, yang menunggang motosikal jenis Modenas dirempuh sebuah kereta Perodua MyVi bewarna hijau dari arah belakang.

Menurutnya, ketika itu dia dalam perjalanan pulang dan tidak sedar diekori kereta terbabit.

"Saya baru selesai membeli juadah untuk berbuka puasa dan melalui jalan kampung untuk pulang ke rumah.

"Tiba-tiba sewaktu mahu masuk ke simpang jalan menuju ke rumah di sebuah taman di Rembia, saya dirempuh dari belakang menyebabkan saya hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan, sebelum terseret hampir 50 meter," katanya, semalam.

Zabedah berkata, dua lelaki terbabit segera keluar dari kereta dan mendekatinya.

"Kedua-duanya berkulit gelap. Mereka yang kelihatan panik berpura-pura  bertanyakan keadaan saya.

"Sambil bertanya, mereka ragut rantai leher saya tetapi tidak sedar buah rantai tersebut tercampak jauh," katanya yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di Cheng.

Menyedari dua lelaki terbabit bukan mahu membantunya, dia cuba bangun melawan penyamun terbabit.

"Ketika itu mereka masih lagi mencari-cari barangan untuk dicuri tetapi gagal. Walau sakit, saya kuatkan semangat mengejar mereka yang segera memecut kereta, tetapi malangnya motosikal saya rosak selepas dirempuh,"katanya.

Zabedah berkata, dia bernasib baik kerana dompet yang dibawa berisi empat bentuk cincin, seutas rantai tangan dan wang RM200 terselindung di sebalik motosikal yang terjatuh.

"Kebetulan ketika itu, sebuah kereta peronda polis melalui jalan berkenaan dan membantu membawa saya ke Hospital Alor Gajah mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan," katanya yang cedera di kaki dan tangan sebelah kiri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Permai, Rembia sebelum dilanggar dan diragut dua lelaki menaiki kereta.

“Mangsa tercampak dan terseret selepas dilanggar dua lelaki terbabit yang kemudiannya berpura-pura bertanya keadaannya sebelum meragut rantai leher yang dipakai, dianggarkan bernilai RM2,500.

“Mangsa cedera dan membuat laporan polis di Balai Polis Rembia sebelum kes dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk tindakan selanjutnya,” katanya. - SinarHarian

Hairul Azreen Belum Bersedia Sunting Faralyna


Hairul Azreen
PETALING JAYA: Aktor Hairul Azreen belum bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan dengan aktres Faralyna Idris kerana sedang berusaha mengukuhkan kedudukan sebagai pelakon baru.
Hairul atau nama penuhnya Hairul Azreen Idris, 24, berkata, biarpun dia sudah menjalin hubungan dengan kekasihnya selama empat tahun ia tidak menjadi isu di kalangan keluarga masing-masing.
“Mereka faham bahawa kami masih muda untuk memikirkan soal kahwin. Kedudukan saya dan Faralyna sebagai pelakon pun masih belum kukuh dan banyak lagi yang perlu kami capai dalam kerjaya.
“Yang penting, kami serasi dan selesa dalam hubungan yang kami jalani pada masa ini, di mana kami saling menyokong antara satu sama lain,” katanya.
Pelakon yang kini muncul dengan drama bersiri Sirrun di TV9 ini berkata, dia sanggup memperbaiki kekurangan diri termasuk memantapkan aspek fizikal demi mengukuhkan profil lakonan.
Faralyna Idris
“Saya sudah bosan dengan karakter remaja dan budak kolej yang berulang-kali ditawarkan kerana dikatakan memiliki wajah ‘jambu’.
“Sejak dua bulan lalu, saya ambil inisiatif membina otot badan bagi mendapatkan tubuh yang lebih sasa dan tegap untuk menawarkan sesuatu yang berbeza mengenai diri saya kepada produser dan pengarah,” katanya.
Jelas Hairul, tindakan membina otot badan itu turut dipengaruhi hasrat untuk melakonkan watak lasak dan aksi kerana dia mempunyai latar belakang seni mempertahankan diri Taekwando.
“Rugi jika ilmu Taekwando yang saya miliki tidak dapat dimanfaatkan dalam lakonan kerana selama ini asyik menggalas watak-watak ringan sahaja.
“Kebetulan pula, ada beberapa tawaran filem untuk watak aksi dan lasak kebelakangan ini, maka tindakan membina otot badan itu adalah keputusan yang tepat,” katanya yang menyambut Hari Raya di Perak dan Negeri Sembilan.
Hairul bakal memulakan penggambaran filem aksi berjudul Syaheed arahan Sabree Fadzil selepas cuti Hari Raya ini. - mStarOnline

Saturday, August 11, 2012

Hairie Othman Mengakui Dipinggirkan Kerana Sertai PAS


Hairie Othman
PETALING JAYA: Pelakon Hairie Othman merasakan benar-benar dianaktirikan oleh syarikat produksi di negara ini yang enggan memberinya peluang berlakon selepas dia menyertai PAS pada 26 Jun lalu.
Hairie atau nama sebenarnya Khairie Othman, 41, berkata dia bagaimanapun tidak ralat dengan diskriminasi tersebut kerana mahu memberi tumpuan yang lebih sebagai penceramah untuk parti tersebut.
"Sudah 20 tahun lebih saya berada dalam industri lakonan dan belum pernah lagi tidak ada tawaran berlakon dalam diri saya. Tetapi selepas saya masuk PAS, memang jelas saya didiskriminasikan.
"Bukankah kita hidup sebagai negara demokrasi? Jika benar, mengapa orang seperti saya disisihkan?" soalnya yang dihubungi mStar Online di sini petang Khamis.
Selepas drama Waris yang kini sedang ditayangkan setiap Khamis, di TV3 (pukul 10 malam), Hairie telah menjalani penggambaran terakhirnya iaitu Opah sebanyak 13 episod untuk siaran RTM.
Tambah Hairie, dia kini lebih senang dengan bidang baru iaitu menjadi penceramah walaupun bayarannya tidak tetap iaitu bergantung kepada sumbangan yang diberi oleh mereka yang hadir mendengar ceramahnya.
Malah dia bersyukur kerana masih lagi mampu menanggung kos sara hidup menerusi ceramah yang dibuat walaupun tidak lagi aktif dalam bidang lakonan yang diminatinya.
"Sebenarnya, jadi penceramah atau pelakon, suasana kehidupannya lebih kurang sama sahaja kerana industri lakonan kita tidaklah sebesar mana. Malah semakin lanjut usia, maka semakin rendahlah bayaran yang diterima, jadi tiada perbezaan.
"Cuma saya sayangkan bidang ini dan sudah 20 tahun saya berlakon. Tak mungkin saya akan meninggalkan industri seni begitu sahaja.
"Mungkin apabila industri hiburan tempatan sudah mula mengikut garis panduan Islam, saya akan memberikan keutamaan dalam hal-hal belakang tabir," ujarnya.
Dalam pada itu, Hairie turut menepis andaian kononnya menerima wang RM50,000 setiap kali memberi ceramah iaitu jumlah yang lebih tinggi berbanding ketika dia ditawarkan watak dalam sesebuah karya lakonan.
Katanya, entri berhubung perkara itu dalam Twitter miliknya adalah sekadar sindiran yang ditujukan kepada pihak-pihak tertentu yang gemar mengkritik dirinya. "Jangan salah anggap, tak mungkinlah saya dapat bayaran sebesar itu. Kalau benarlah maka saya akan jadi kaya di hujung tahun ini.
"Ia hanyalah kata-kata perli kepada golongan yang mengkritik saya menyertai PAS," tegasnya.
Sementara itu, bintang filem Leftenen Adnan ini turut menjalani perniagaan sebagai jurulatih selam skuba bawah syarikatnya iaituHO Scuba Adventures. - mStarOnline

Talha Harith Muntah Darah Dipercayai Terkena Sihir Peminat


Talha Harith
PETALING JAYA: Pelakon baru Talha Harith atau Talha menjadi mangsa terbaru perbuatan ilmu hitam apabila dia mengalami muntah darah dipercayai perbuatan seorang wanita yang jatuh cinta kepadanya.
Talha, 22, berkata, dia tidak pernah menyedari bahawa dirinya terkena sihir seorang peminat sehingga dimaklumkan selepas selesai menjalani proses berubat secara tradisional pada malam Khamis lalu.
“Kebetulan rakan saya merupakan anak murid kepada seorang pengamal perubatan alternatif. Dia telah melihat kelainan kepada diri saya.
“Daripada situlah saya pergi berubat cara perubatan Islam selama tiga hari dan alhamdulillah segalanya sudah pulih. Saya harap perkara ini tidak berulang,” katanya ketika dihubungimStar Online di sini, Jumaat.
Selain Talha, beberapa selebriti lain sebelum ini pernah mendakwa terkena sihir dan ilmu hitam seperti Awie, Razali Hussein dan Fezrul Khan.
Ditanya mengenai pengalaman Talha berkata, dia tidak mengalami sebarang perkara pelik sehingga ditegur oleh rakannya itu.
“Saya tidak pernah sedar yang saya sudah terkena perbuatan ilmu hitam kerana tidak ada sebarang perkara pelik atau kesakitan yang berlaku selama ini.
“Cuma, ketika proses berubat orang keliling memberitahu, saya berada dalam keadaan tidak sedar dan mengalami muntah darah tetapi tidak serius,” katanya.
Pelakon yang sudah dua tahun berkecimpung dalam bidang seni ini berkata, dia dimaklumkan perbuatan itu dilakukan oleh peminat wanita yang dipercayai memendam perasaan kepadanya selama ini.
“Saya benar-benar berharap, ‘benda’ yang dihantar kepada saya itu sudah keluar sepenuhnya. Apabila difikirkan semula, saya berasa pelik dengan apa yang berlaku.
“Namun, saya cuba renung kesilapan sendiri yang mungkin pernah melukakan hati orang secara sedar atau tidak. Sekiranya ada yang pernah terasa hati, saya memohon maaf,” katanya.
Terbaru, pelakon drama Miss Octopus ini sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri berjudul Darjat untuk TV9.
Siri sebanyak 20 episod itu diarahkan Jet Li dan turut membariskan Ika Nabella dan Syazwan Zulkifli. - mStarOnline

Friday, August 10, 2012

Sharifah Sofia Dihalau Dari Disko Kerana Muncul Berhijab


Shahrifah Sofia. Foto AHMAD MOHSIN DADAMEAH
KUALA LUMPUR: Pelakon Sharifah Sofia melalui pengalaman telah dihalau keluar oleh pekerja sebuah disko di sini kerana kehadirannya ke pusat hiburan berkenaan dalam keadaan berhijab.
Sofia atau nama sebenarnya Sharifah Sofia Syed Hussein, 27, yang bertudung sejak 1 Julai lalu berkata, peristiwa itu berlaku ketika dia mahu menghabiskan masa di pusat hiburan untuk berjumpa rakan-rakannya.
“Saya fikir apa salahnya wanita bertudung seperti saya untuk masuk pusat hiburan? Semasa di dalam pusat itu, kebanyakan wanita menunjukkan reaksi pelik terhadap saya sehinggalah pekerja di situ meminta saya keluar sedangkan mereka kenal dengan saya.
“Masa itu saya tahu kenapa orang memandang, sebab saya pakai tudung. Tetapi saya bukannya mengambil minuman keras ataupun buat perkara yang tidak senonoh pun?” katanya kepada mStar Online pada majlis berbuka puasa bersama artis-artis veteran di Saloma Bistro di sini, Rabu.
Jelasnya, selepas kejadian itu, dia merujuk semula dengan membaca buku-buku panduan agama Islam, barulah dia memahami kewajaran untuk menjauhkan diri daripada tempat-tempat tersebut jika mahu berhijrah menjadi lebih baik.
Bagaimanapun tambah Sofia, penghijrahan yang dilakukannya ini dianggap sebagai melengkapi tuntutan syarak yang wajib dilakukan seseorang wanita Muslimah.
Kata Sofia, dia mula mendalami Islam sejak mengandung anak sulungnya iaitu Sharifah Ariana Syed Ismail yang kini berusia setahun setengah melalui pembacaan buku dan juga mendapatkan panduan di Internet.
"Sebelum bertudung, bukan bermakna saya ini 'kosong' tentang pengetahuan Islam. Cuma kali ini saya lebih mendalaminya dan mahu diri ini sempurna dengan tidak meninggalkan amalan wajib.
"Tindakan ini ditambahkan lagi ketika suami menunaikan ibadah Haji pada tahun lalu dan tibalah masanya untuk saya melakukan tanggungjawab sebagai isteri bagi menjaga nama baiknya.
"Alhamdulillah, kini saya sudah berhijrah. Mungkin inilah masanya untuk saya memelihara keseluruhan pakej diri," ujarnya.
Sementara itu, mengenai perkembangan kerjayanya, anak kelahiran Liverpool, England ini berkata, dia berhasrat untuk menjadi ibu sepenuh masa tetapi tidak bermakna mahu meninggalkan terus dunia seni. - mStarOnline

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu