adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Monday, August 27, 2012

Tandas awam: 'Port' berkumpul, minum arak

Tandas awam: 'Port' berkumpul, minum arak
Tandas perempuan yang dipenuhi dengan pelbagai sampah.


TAMPIN – Rata-rata pengunjung dan peniaga di Pasar Besar Tampin kecewa apabila kewujudan tandas awam yang seharusnya memudahkan orang awam dijadikan sebagai 'port' minum arak oleh individu tidak bertanggungjawab.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, tandas awam yang sebelum ini sudah dinaik taraf itu kini tidak dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh orang awam apabila tandas perempuannya bersepah dengan botol arak dan puntung rokok.

Seorang peniaga yang dikenali Amir berkata, rata-rata pengunjung berasa tidak selesa untuk menggunakan kemudahan berkenaan lebih-lebih lagi pada sebelah petang. “Malah, tandas perempuan sering digunakan sebagai tempat berkumpul beberapa lelaki untuk meminum arak terutamanya sekitar jam 5 petang dan ke atas sehingga menimbulkan rasa kurang selesa orang awam.

“Manakala, tandas lelaki pula sangat kotor dan tersumbat. Lebih teruk lagi terdapat botol arak yang dibuang ke dalam tandas berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Seorang pengunjung, Hanis, 20-an berkata, dia yang pertama kali masuk ke lokasi berkenaan berasa sangat terperanjat susulan terdapat banyak botol arak dan puting rokok.

“Malah, saya rasa gerun juga untuk masuk ke tandas perempuan ini berseorangan. Oleh itu, saya harap pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah ini," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Tampin (MDT), Razali Bakar berkata, beliau berasa sangat kecewa dengan sikap individu tidak bertanggungjawab itu.

Menurutnya, tandas berkenaan sudah dibaik pulih dan dinaik taraf dengan kos RM20,000 sebelum digunakan semula sejak pertengahan tahun lalu. Malah, kerosakan tandas berkenaan juga dalam pengetahuan MDT dan kini sudah mengeluarkan tender bagi baik pulih tandas.

“Kita harap agar orang ramai dapat bekerjasama dalam menjaga kemudahan yang disediakan dan sikap mereka yang tidak bertanggungjawab hanya akan menyebabkan kerugian kepada semua pihak.

“Malah sikap pengotor dan tidak bertimbang rasa orang awam yang menggunakan tandas awam juga menyebabkan sasaran kita untuk mengekalkan kebersihan tandas di peringkat yang lebih tinggi lagi tersasar," katanya.

Tandas Awam di Gemas mendapat Anugerah Gangsa bagi Kategori Pihak Berkuasa Tempatan Pertandingan Anugerah Tandas Bersih peringkat Kebangsaan tahun lepas. - SinarHarian

1 comment:

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu