adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Friday, September 28, 2012

Rusdi Ramli Gembira Kelahiran Bayi Lelaki


Rusdi Ramli
PETALING JAYA: Pelakon Rusdi Ramli menyambut kelahiran cahaya mata lelaki kedua hasil perkahwinan dengan komposer Sharon Anne Paul Abdullah pada pagi Selasa lalu dengan hati gembira.
Rusdi, 42, berkata, walaupun dia pernah berharap dikurniakan anak perempuan sebelum ini kerana sudah mempunyai dua anak lelaki iaitu Efiezal Ridza, 22, (hasil perkahwinan pertama) dan Reo Ridza, 3, kelahiran anak lelaki ketiga itu tetap membawakan kegembiraan buatnya.
“Pada awalnya memang saya berharap dikurniakan anak perempuan kerana saya sudah ada dua anak lelaki. Namun, selepas melihat keputusan proses imbasan, saya dan Sharon mengetahui bahawa kami akan dapat anak lelaki lagi
“Saya gembira dan bersyukur dengan kelahiran ini walaupun belum ada rezeki untuk kami menimang anak perempuan,” katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, petang Jumaat.
Rusdi dan Sharon, 36, bernikah pada 16 November 2008 selepas aktor itu menduda selama 15 tahun.
Anak kedua pasangan itu dilahirkan pada pagi Selasa lalu secara normal di Pusat Perubatan Pantai, Bangsar dekat sini.
Aktor filem Tanda Putera itu berkata, pengalaman menguruskan kelahiran anak pertama sebelum ini menjadikan mereka lebih tenang menyambut kelahiran kedua tersebut.
Rusdi dan Sharon pada majlis perkahwinan mereka pada 16 November 2008.
“Pengalaman menguruskan kelahiran Reo, kira-kira tiga tahun lalu, menjadikan proses kelahiran anak kedua pada kali ini berjalan dengan lancar dan tenang.
“Semuanya berada dalam keadaan baik dan teratur. Malah bayi juga sihat dan sudah pulang ke rumah.
“Alhamdulillah semuanya lancar sebab Sharon juga sudah berpengalaman berbanding sebelum ini,” katanya.
Bercerita mengenai kelahiran itu, Rusdi berkata, dia bercadang untuk mengekalkan huruf R pada pangkal nama bayi itu seperti dua anaknya yang lain.
“Saya bercadang untuk berikan namanya Ryan Redza. Daripada awal lagi saya sudah rancang untuk kekalkan huruf R pada pangkal nama anak-anak seperti dua abangnya.
“Nama itu belum didaftarkan lagi kerana masih banyak perkara yang perlu diuruskan.
“Saya agak letih dan kurang tidur sejak anak dilahirkan, maklumlah sudah tiga tahun saya tidak ada anak kecil,” katanya.
Terbaru, Rusdi baru sahaja terlibat dalam penggambaran telefilem berjudul Aku Bukan Mashitah di samping Aida Aris dan Erin Malek untuk tayangan RTM. - mStarOnline

Tuesday, September 25, 2012

Diana Amir Rahsia Pertunangan Ikut Syariat Islam


Diana Amir
PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Diana Amir berkata keputusan merahsiakan majlis pertunangannya baru-baru ini adalah mengikut syariat Islam yang tidak mengesyorkan ia dihebohkan melainkan jika berkahwin.
Diana atau nama sebenarnya Nurdiyana Amir Hashim, 26, berkata, dia berharap semua pihak menghormati keputusan itu dan tidak membuat sebarang spekulasi terhadap dia dan tunangnya Mohd Habib Bullah A. Rahman iaitu seorang petugas di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Kedah.
“Dalam Islam sendiri tidak menggalakkan kita menghebohkan majlis bertunang atau fasa bercinta kerana ia adalah perjanjian awal antara pasangan kekasih.
“Lainlah kalau majlis perkahwinan, memang ia perlu dihebahkan untuk mengelakkan fitnah.
“Sebenarnya tiada jaminan lagi saya pasti akan berkahwin dengan dia (Habib). Atas sebab itu, saya hanya adakan majlis secara tertutup untuk keluarga kedua-dua belah pihak sahaja,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Isnin.
Difahamkan, Habib yang berusia 20-an itu bertugas di Jabatan Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Merbok dan sedang mengikuti pengajian di peringkat Sarjana.
Mereka yang berkenalan menerusi seorang teman Diana kurang setahun yang lalu melangsungkan pertunangan di kediaman aktres itu di sini, pada baru-baru ini.
Lelaki bernama Habib yang didakwa tunang kepada Diana.
Pelakon filem Salam Cinta itu berkata, dia enggan mencanangkan mengenai hubungannya dengan Habib demi menghormati keselesaan tunangnya itu yang tidak biasa dengan selok-belok dunia hiburan.
“Saya kasihan kepada dia kerana latar belakang dan profesion dalam bidang pendidikan adalah bertentangan dengan dunia hiburan yang penuh kontroversi ini.
“Demi menghormati keselesaan dia dan keluarga, saya tidak mahu kecoh-kecoh mengenai majlis itu atau hubungan kami.
“Cukuplah mana yang sudah tahu, saya tidak menafikannya tapi tidak perlu saya hendak bercerita panjang lebar mengenai perkara ini,” luahnya.
Diana berkata, dia dan Habib masih belum membuat sebarang ketetapan mengenai perkahwinan kerana mereka mahu mengukuhkan kewangan dan kerjaya masing-masing terlebih dahulu.
“Pada peringkat ini, kami mahu lebih mengenali antara satu sama lain. Belum ada perancangan untuk berkahwin dalam masa terdekat, biarlah kami kukuhkan kewangan dahulu,” jelasnya.
Mengenai kerjaya, Diana berkata, jadualnya kini terisi dengan komitmen sebagai penceramah motivasi untuk para pelajar di merata sekolah dan mengacarakan majlis-majlis korporat.
“Tumpuan sekarang adalah pada komitmen sebagai penceramah motivasi dan pengacara.
“Insya-Allah pada awal Oktober depan, saya akan terlibat dalam penggambaran sebuah telefilem untuk Astro Oasis,” kongsinya. - mStarOnline

Pengantin baru maut ditetak

Pengantin baru maut ditetak
Lokasi mangsa diserang sekumpulan lelaki.
JOHOR BAHRU – Kegembiraan sepasang pengantin baru tidak berpanjangan apabila pengantin lelaki maut ditetak sekumpulan individu dalam kejadian serangan di sebuah kelab di sini, awal pagi semalam.

Sebelum itu, pasangan berkenaan meraikan majlis perkahwinan mereka di Taman Daya, beberapa jam sebelum mangsa, diserang di kelab berkenaan.

Seorang pekerja kelab berkenaan yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku begitu pantas dan sekumpulan individu dengan memakai penutup muka menyerang mangsa di hadapan isteri dan rakan-rakannya.

“Isteri dan rakan mangsa kemudiannya bergegas membawa lelaki berkenaan ke hospital,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian, namun beliau enggan mengulas lanjut kerana siasatan kes tersebut sedang giat dijalankan oleh pihak polis. - SinarHarian

Lelaki berseluar dalam dibelasah

Lelaki berseluar dalam dibelasah
Lelaki terbabit cedera dikepala dan dibawa polis ke PPUM untuk rawatan lanjut.

PETALING JAYA – Gara-gara membuat kacau, seorang lelaki dibelasah selepas enggan beredar dari kawasan perumahan   di Damansara Jaya, malam kelmarin.

Lelaki yang hanya memakai seluar dalam itu pada mulanya mahu meminta makanan dari salah sebuah rumah namun dia tidak mahu beredar dan menyebabkan suasana menjadi kecoh.

Kejadian jam 10 malam yang berlaku di Jalan SS 22/39 itu bermula apabila lelaki berusia dalam lingkungan 30an terbabit  berdegil dan terus meminta makanan dari satu rumah ke satu rumah yang lain meskipun ditegah dari berbuat demikian.

Sumber polis berkata, penduduk yang berang kemudiannya bertindak membelasahnya sebelum polis tiba.

“Pemeriksaan mendapati lelaki itu tiada sebarang dokumen pengenalan diri dan apabila ditanya, jawapannya berubah-ubah serta memberitahu berasal dari Indonesia,” katanya.

Lelaki itu yang cedera di bahagian kepala dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)  untuk rawatan lanjut. - SinarHarian

Nahas 10 kenderaan, 2 maut

Nahas 10 kenderaan, 2 maut
Keadaan kenderaan yang terbabit nahas di lokasi kemalangan, semalam.

AYER KEROH - Seorang pemandu lori maut selepas hampir empat jam tersepit di tempat duduk hadapan apabila lori dipandunya yang merempuh empat motosikal, tiga kereta dan dua lori di persimpangan Seri Negeri-Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa, R R Chandran, 47, maut di tempat kejadian bersama seorang lagi penunggang motosikal, R Mukeudan @ Mukundan, 62.
Nahas yang berlaku berhampiran Pasar Raya Mydin itu membabitkan 10 kenderaan itu turut mengakibatkan tiga cedera, termasuk seorang lelaki parah.

Difahamkan, lori terbabit melanggar kereta Perodua Kancil dari arah Plaza Tol Ayer Keroh menuju pusat bandar raya sebelum merempuh lapan kenderaan lain yang berhenti di lampu isyarat merah di laluan bandar raya menghala Plaza Tol Ayer Keroh.

Lori hadapi masalah brek

Kelindan lori yang terselamat dalam kejadian itu, N Balan, 30, berkata, sebelum lori yang dipandu Chandran melanggar kenderaan lain, dia menyedari lori yang dinaiki mempunyai masalah brek apabila lori tersebut meluncur laju ketika menuruni bukit menghala lampu isyarat.

“Saya yang terkejut kemudian terus menundukkan kepala dan beberapa saat selepas itu saya berasa hentakan kuat di bahagian hadapan.

“Apabila saya mendongak kepala, lori yang saya naiki kemalangan dan melihat Chandran sudah tidak bergerak. Ketika itulah saya segera menendang cermin hadapan lori untuk keluar,” katanya yang cedera kaki kanan.

Seorang lagi mangsa, S Yogananthini, 20, berkata, ketika kejadian dia bersama lima ahli keluarganya dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Kesang Damai, Jasin, berhenti di lampu merah persimpangan tersebut selepas keluar dari Pasar Raya Mydin.

“Kami yang menaiki kereta Iswara mahu balik ke rumah melalui Jalan Bemban berada di laluan kanan, sedang menunggu lampu merah di belakang kereta Honda City. Tiba-tiba sebuah lori yang datang dari arah Seri Negeri melanggar bahagian tengah antara kereta saya dan Honda City yang dipandu seorang wanita.

“Lori itu kemudian melanggar sebuah motosikal, namun penunggangnya sempat melompat meninggalkan motosikalnya sebelum merempuh dua lori dan beberapa motosikal yang lain,” katanya yang tidak mengalami kecederaan.

Seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Zul, 38, berkata, dia yang sedang memakir motosikal di bangunan Kota Cemerlang di sini, terdengar bunyi dentuman sebelum berlari ke tempat kejadian.

“Ketika sampai, saya lihat seorang lelaki sudah ditimbus tanah, seorang penunggang motosikal cedera parah, seorang wanita di dalam kereta Honda City, sebuah keluarga menaiki kereta Iswara dan seorang lelaki dalam keadaan 'nyawa-nyawa ikan' berada  antara dua lori dan Honda City,” katanya.

Empat jam keluarkan mangsa

Anggota Bomba dan Penyelamat berusaha mengeluarkan pemandu lori yang maut akibat tersepit selepas terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat berhampiran Seri Negeri dan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), semalam. - Foto Bernama
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Lokman Hakim berkata, pihaknya mengambil masa hampir empat jam bagi mengeluarkan mangsa iaitu pemandu lori dedak yang maut akibat tersepit di bahagian pemandu.

Katanya, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira jam 3.30 petang, sebelum mengerahkan seramai 24 anggota dari Balai Bomba Ayer Keroh dan Balai Bomba Bukit Katil ke lokasi terbabit.

“Bomba mengalami kesukaran iaitu kira-kira tiga jam setengah untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit antara lori. Mangsa hanya dapat dikeluarkan jam 6.40 petang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, siasatan awal mendapati Chandran yang memandu lori dari arah bulatan Seri Negeri dipercayai terbabas sebelum melanggar sembilan kenderaan lain.
Menurutnya, siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan. - SinarHarian

Monday, September 24, 2012

Isu Kahwin: Anak Datuk K Temui Rozita Che Wan


Rozita tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana lelaki berstatus suami orang.
PETALING JAYA: Salah seorang anak Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K telah bertemu pelakon Rozita Che Wan secara peribadi untuk mengetahui adakah benar wanita itu mahu mengahwini bapanya.
Rozita, 38, berkata, dia terkejut apabila seorang lelaki datang menemuinya di sebuah majlis baru-baru ini bertanyakan kebenaran gosip berkenaan.
"Saya tidak mengenali Datuk K secara peribadi dan begitu juga anak beliau. Dia tiba-tiba menyapa saya di sebuah majlis tertutup dan bertanya mengenai perkara berkenaan," katanya kepada portal redcarpet.net.my.
Rozita sebelum ini pernah dikaitkan dengan Datuk K dan mereka kononnya dikatakan telah berkahwin secara senyap.
Dalam pada itu, Rozita memohon semua media dan penulis blog di negara ini menghentikan spekulasi melibatkan dirinya dengan Datuk K kerana tidak mahu melukai hati penyanyi Siti Nurhaliza.
Siti bersama suaminya, Datuk K pada majlis rumah terbuka di kediaman mereka di Kuala Lumpur.
"Saya tidak mahu menyakiti hati Siti dengan cerita-cerita yang tidak benar sebegini tambahan pula saya memang tidak berminat dengan lelaki yang sudah berkahwin," ujarnya.
Sementara itu, Rozita menjelaskan dia kini selesa hidup sendirian dan akan lebih berhati-hati mencari cinta selepas rumah tangganya hancur sebelum ini.
Rozita berkata, dia sentiasa mengambil pengajaran daripada kegagalan perkahwinannya yang lalu dan mengakui cerewet apabila melibatkan lelaki.
Malah jika ditakdirkan bertemu jodoh dengan duda, dia akan memastikan lelaki tersebut tidak mempunyai anak kerana tidak mahu bergaduh dengan anak-anak tirinya.
"Saya cuma akan berkawan dengan lelaki bujang atau pun duda yang tidak mempunyai anak kerana saya tidak mahu anak-anaknya menghadapi masalah dengan saya.
"Saya tertarik kepada lelaki yang baik, tidak ego dan dapat menjaga rumah tangga dengan sempurna walaupun dia tidak sekaya mana," katanya.
Tambah Rozita, paling penting lelaki yang ingin mendampinginya mestilah boleh menerima dua anak lelakinya yang telah meningkat usia remaja.
"Anak-anak tidak meletakkan kriteria calon suami saya kerana paling penting lelaki itu dapat mengembirakan saya dan menyayangi mereka seperti anak sendiri," ujarnya. - mStarOnline

Tidak Jatuh Talak Dalam 'Untuk Tiga Hari' - Vanidah Imran


Vanidah dan Rashidi bergandingan dalam filem Untuk Tiga Hari arahan Afdlin Shauki.
PETALING JAYA: Pelakon Vanidah Imran menjelaskan tidak berlaku penceraian diantara dia dan suami, Rashidi Ishak berikutan dialog yang diungkapkan menerusi filem Untuk Tiga Hari.
Vanidah yang dihubungi mStar Online di sini Isnin berkata, dia dan suaminya telah meneliti skrip filem arahan Afdlin Shauki itu sebelum menerima tawaran membintangi karya berkenaan.
"Saya tidak faham bahagian mana dalam filem itu yang mengatakan Rashidi ada melafazkan cerai terhadap saya?
"Sebagai pelakon kami sangat berhati-hati dengan perkara sebegini dan tidak akan menerima sebarang watak yang menggambarkan sifat negatif suami isteri," katanya.
Vanidah mengulas nasihat Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria seperti dilaporkan sebuah akhbar pada Isnin yang menggesa dia dan Rashidi memaklumkan kepada Jabatan Agama Islam berikutan lafaz cerai yang diungkapkan dalam filem tersebut.
Dalam pada itu, Vanidah menegaskan dia tidak akan ke pejabat agama seperti mana dinasihatkan oleh Harussani kerana yakin tidak berlaku penceraian seperti yang didakwa.
Vanidah memberitahu, sebagai seorang Islam dia sedar mengenai soal agama serta hukum dan tidak akan cepat melatah dengan isu yang digembar-gemburkan.
"Saya tidak nampak sebarang sebab mengapa saya dan Rashidi perlu ke pejabat agama untuk merujuk status kami sebagai suami isteri kerana lafaz cerai tidak pernah berlaku," tegasnya.
Bagaimanapun Vanidah berkata, dia menerima nasihat daripada Harussani sebagai seorang ahli agama namun menganggap ulasan itu hanya dibuat berdasarkan kepada pandangan pihak ketiga tanpa menonton filem berkenaan.
"Saya berpendapat beliau tidak menonton filem itu tetapi hanya mendengar ulasan daripada pihak lain.
"Jika benar telahan saya itu, adalah tidak wajar pihak ketiga mahu mengheret seorang mufti memberi ulasan tanpa beliau melihat sendiri adegan yang saya dan suami lakonkan," katanya.
Vanidah berkata, sepanjang 12 tahun perkahwinan, mereka sentiasa memastikan keharmonian rumah tangga dan menjaga aib masing-masing.
"Bergelar pasangan selebriti menyebabkan ramai mata yang sentiasa memandang kami tetapi Alhamdulilah setakat ini kami bebas dari sebarang cerita-cerita yang tidak elok," katanya. - mStarOnline

Pemandu rentung langgar lori dan arak seludup

Sebuah kereta dan lori terbakar selepas terlibat dalam kemalangan di kilometer 194.9 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran susur keluar tol Ayer Keroh, hari ini. Pemandu kereta berkenaan maut dalam kemalangan tersebut. - Foto Bernama
ALOR GAJAH - Seorang lelaki rentung selepas kereta yang dipandunya melanggar sebuah lori dipercayai membawa muatan minuman keras dan rokok seludup dalam kemalangan di Kilometer 194.9 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata mangsa yang belum diketahui identitinya maut di tempat kejadian setelah badannya terbakar kira-kira 80 peratus.
   
Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, kereta jenis Myvi yang dipandu mangsa sedang menghala ke Kuala Lumpur sebelum melanggar bahagian belakang lori yang menuju arah sama.
   
"Pelanggaran tersebut menyebabkan kereta mangsa melekat pada belakang lori dan terseret sejauh 100 meter dan terbakar," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
   
Katanya pemandu lori terbabit kemudian melarikan diri sementara mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Balai Ayer Keroh Hadzar Hasan berkata pihaknya menerima panggilan pada 6.16 pagi dan tiba 29 minit kemudian dengan empat jentera dari balai Ayer Keroh, Bukit Katil dan Jasin melibatkan 18 anggota. 
   
Beliau berkata api yang marak di kenderaan tersebut dapat dikawal sepenuhnya pada 7.35 pagi. 
   
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka Datuk Mohd Nasir Said ketika dihubungi mengesahkan lori tersebut membawa rokok dan arak seludup yang dianggarkan bernilai RM350,000 dengan cukai melebihi RM2 juta. - Bernama

Ketua Pemuda Umno Kepong dipercayai diserang warga asing

Dua penyamun serang Ketua Pemuda Umno Kepong
Ketua Poils Daerah Ampang Jaya, ACP Amiruddin Jamaluddin (tiga, kanan) melihat kereta Ketua Pemuda Umno Kepong, Datuk Norizan Ali yang ditikam pada pukul 3.30 pagi tadi.

AMPANG - Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, siasatan awal mendapati ada pergelutan antara Ketua Pemuda Umno Kepong, Datuk Norizan Ali dengan dua penjenayah terbabit yang dipercayai warga asing.

Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan polis mendapati barangan berharga mangsa iaitu telefon bimbit dan cincin masih berada di lokasi kejadian dan senjata yang digunakan penjenayah tidak ditemui di lokasi kejadian.

"Keadaan mangsa stabil dan doktor menasihatkan mangsa berehat. Kami akan mengambil keterangan daripada mangsa selepas keadaannya sembuh dan kami juga masih menunggu laporan perubatan," katanya kepada pemberita ketika melawat mangsa di Hospital Ampang di sini hari ini.

Tun Hisan berkata, jiran mangsa memberitahu terdapat kenderaan yang mencurigakan berkeliaran di kawasan perumahan berkenaan dan dua kenderaan milik mangsa pernah dipecahkan sebelum ini.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan mendatangkan cedera ketika samun, katanya.

Norizan parah ditikam dalam satu kejadian berhampiran rumahnya di Jalan Dagang 2/4 Taman Dagang, Ampang di sini kira-kira 3.30 pagi tadi.

Ketika kejadian, Norizan, 41, dikatakan baru sahaja keluar dari kereta yang diparkir kira-kira 20 meter dari rumahnya sejurus pulang daripada menonton perlawanan bola sepak di sebuah kedai makan berhampiran.

Isteri Norizan, Roslinda Kamarudin, 38, berkata tikaman tersebut menyebabkan suaminya mengalami kecederaan parah di perut dan jari tangan.

Menurut Roslinda, kejadian itu disedarinya setelah terdengar pintu pagar rumah mereka diketuk bertalu-talu diiringi jeritan meminta tolong.

Jiran mereka, Abd Wahab Karim, 54, berkata semasa kejadian, beliau ada terdengar bunyi enjin motosikal sebelum terdengar jeritan meminta tolong daripada isteri mangsa.

"Bila keluar dari rumah, saya melihat mangsa yang tinggal bersebelahan terbaring dalam keadaan separuh sedar dengan tubuh dibasahi darah dan kecederaan diperutnya saya lihat agak parah," katanya yang turut hadir memberikan sokongan kepada isteri mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Amiruddin Jamaluddin berkata, polis menerima laporan kejadian pada 4 pagi dan tiba di lokasi kejadian tiga minit selepas itu.

Beliau yang ditemui selepas melawat Norizan di hospital, berkata siasatan awal polis mendapati tiada barangan milik mangsa yang hilang dan siasatan lanjut mengenai motif kejadian hanya boleh diputuskan selepas mendapat keterangan daripada mangsa.

"Mangsa kini sedang menjalani pembedahan. Kita terpaksa tunggu sehingga beliau sedar untuk merekodkan keterangan bagi membantu siasatan," katanya. - SinarHarian

Sunday, September 23, 2012

Cubaan tiga lelaki rompak mesin ATM dekat PSIS gagal

Cubaan tiga lelaki rompak mesin ATM dekat PSIS gagal
Pondok pengawal PSIS

SABAK BERNAM – Tiga penjenayah didapati cuba merompak mesin wang automatik (ATM) di luar pintu masuk Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) awal pagi tadi, namun usaha itu tidak berhasil selepas mereka gagal menebuk ATM tersebut menggunakan alat pengimpal yang dibawa.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, ketika kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, semua penjenayah bertopeng terbabit dipercayai menyerbu masuk ke dalam pondok pengawal keselamatan PSIS yang terletak kira-kira 10 meter daripada mesin ATM berkenaan.

Menurutnya, mereka kemudiannya mengikat tangan dan kaki pengawal keselamatan yang ada di situ sebelum memulakan kerja-kerja memecahkan mesin ATM yang terletak dalam bilik kecil tersebut.

“Bagaimanapun selepas beberapa jam mencuba, usaha penjenayah terbabit tidak berjaya dan mereka melarikan diri membawa alat pengimpal yang digunakan," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pengawal keselamatan yang diikat ditemui oleh rakan setugasnya sebaik pulang daripada meronda di kawasan PSIS kira-kria jam 6 pagi.

Noor Mushar berkata, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Sungai Tawar sebelum sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan lanjut.

Katanya, siasatan awal mengesyaki bahawa kegiatan rompakan itu dilakukan oleh kumpulan penjenayah yang tidak profesional kerana cat yang disembur pada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian tidak menyeluruh.

“Malah mereka turut tersalah menyembur cat pada alat penggera yang disangka CCTV dan ini jelas menunjukkan mereka bukan penjenayah profesional,” katanya.

Menurutnya, mesin ATM berkenaan disediakan oleh pihak PSIS untuk kemudahan pelajar di institusi berkenaan memandangkan jarak untuk ke pekan agak jauh serta menyukarkan pelajar.

Beliau berkata, lokasi ATM yang jauh dari pekan menjadi faktor mesin itu menjadi sasaran penjenayah terbabit.

“Kita akan meneruskan usaha menjejaki kesemua suspek supaya mereka dapat dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya.

Noor Mushar berkata, pihaknya akan menjalankan pemantauan lanjut dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan menyamun.

Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut boleh menghubungi  Ibu Pejabat Polis Sungai Besar di talian             03-32242222       atau berhubung terus dengan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Asp Masri Md Hassan di talian            019-2050142      

“Kita mengharapkan agar orang awam yang mempunyai maklumat dapat tampil untuk membantu siasatan kes ini,” katanya.

Sementara itu, pengawal keselamatan yang diikat kumpulan penjenayah terbabit, Abdul Halim, 44, berkata, ketika kejadian, dia bertugas seorang diri dalam pondok berkenaan sebelum tiga penjenayah terbabit datang.

"Saya cuba meronta untuk melepaskan diri namun gagal selepas diikat menggunakan pita pelekat oleh tiga suspek berkenaan yang memakai baju berwarna hitam serta muka bertopeng.

“Jika sesuatu menimpa saya ketika itu, saya tidak dapat bayangkan macam mana isteri dan anak-anak saya hendak meneruskan kehidupan,” katanya.

Menurutnya, dia berasa amat bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan ketika rompakan itu. - SinarHarian

Mangsa rogol lari berbogel minta bantuan

Che Suza Che Hitam
Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt. Che Suza Che Hitam

KEMAMAN – Terkejut dengan perbuatan teman lelaki yang tergamak menodainya, seorang pelajar tingkatan dua yang berjaya melepaskan diri daripada kekasihnya itu, sanggup berlari dalam keadaan berbogel sambil menjerit meminta pertolongan.

Bukan itu sahaja, panik mendengar teman wanitanya menjerit, lelaki berusia 19 tahun dan juga berkeadaan bogel itu turut melarikan diri dalam kejadian yang berlaku di sebuah rumah kosong dekat sebuah kampung di Kemasik, kira-kira jam 8.30 malam kelmarin.

Namun dengan kecekapan polis, suspek, seorang penganggur berjaya ditangkap dua jam kemudian di kawasan kampung sama.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, ketika mangsa menjerit sambil berlari, pada masa sama teman lelakinya itu turut berlari sebelum menghilangkan diri.

“Sejurus mendengar jeritan mangsa, orang kampung datang ke kawasan rumah kosong itu untuk membantu.

"Dengan bantuan orang awam, mangsa kemudiannya membuat laporan polis. Susulan itu polis yang segera bertindak memburu suspek berjaya menahannya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Rumah kosong tempat suspek merogol mangsa adalah sebuah rumah yang telah siap dibina tetapi masih belum dimasuki penghuni.

Kata Che Suza, suspek direman bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan ibu bapa agar mengawasi pergerakan anak dan tidak membenarkan anak gadis keluar malam termasuk dengan kekasih kerana banyak kes ditakrif rogol apabila anak gadis dinodai teman lelaki sendiri.

“Ibu bapa perlu mengawasi pergaulan dan pergerakan anak terutama anak gadis. Pengawasan daripada keluarga penting bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berlaku,” katanya. - SinarHarian

Friday, September 21, 2012

Lori tanah tersangkut di jejantas

Lori tanah tersangkut di jejantas
Keadaan lori yang tersangkut dijejantas laluan pejalan kaki, semalam.
MELAKA - Akibat tidak menurunkan bahagian muatan belakang, sebuah lori tanah  tersangkut di jejantas laluan pejalan kaki yang menghubungkan bangunan Hattem Square dan Mahkota Prade di Melaka Raya, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, pemandu lori terbabit berusia 20-an, tidak menyedari bahagian muatan belakang terangkat selepas menurunkan muatan tanah ketika melintasi jejantas berketinggian 6.5 meter.

Sumber polis berkata, beberapa pemandu kereta dan penunggang motosikal membunyikan hon selepas menyedari bahagian muatan belakang lori berkenaan tidak diturunkan.

“Bagaimanapun mungkin disebabkan suasana bising di sekitar Jalan Merdeka menyebabkan pemandu lori tidak mendengar hon tersebut.

"Pemandu lori terbabit hanya menyedari belakang badan lori yang dipandunya tidak diturunkan selepas terdengar bunyi dentuman kuat," katanya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehuddin Abd Rahman yang mengesahkan kejadian berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - SinarHarian

'Wang gaji habis bayar tol'

'Wang gaji habis bayar tol'
Jumlah plaza tol dan kadar bayarannya membebankan penduduk Puchong.

PUCHONG – Sebut sahaja tol, ia pasti membebani fikiran rakyat di Puchong.

Keluh mereka, hampir setiap laluan perlu melalui lebuh raya dan setiap kali itu jugalah RM1.60 hingga RM2.20 wang gaji mereka perlu dihabiskan membayar tol.

Jika mahu mengelak bayaran tol, pengguna terpaksa pula menggunakan laluan sempit atau tidak berturap sempurna namun, masa dan petrol pula yang terpaksa dibazirkan.

“Keluarlah ke mana sahaja dari Puchong, pergi kerja... pergi rumah saudara... pergi beli-belah... pergi hospital pun perlu lalu tol, memang rasa beban sangat apatah lagi hendak pergi kampung sebelah-menyebelah pun kena bayar tol juga,” kata Mohd Firdaus Shah Abdul, 30.

Menurutnya, dia perlu memperuntukkan kira-kira RM200 sebulan untuk melalui lebuh raya bertol itu sebelum dapat menuju ke destinasi dituju.

“Bayangkan hendak ke kampung sebelah-menyebelah misalnya dari Batu 13 ke Kampung Seri Puchong pun kena bayar tol RM1.60, memang kadang-kala rasa tidak berpuas hati dan sangat beban.

“Banyak barang yang kita takut berlaku kenaikan harga di negara ini tetapi di Puchong, penduduk pasti paling takut kalau harga tol naik ketika kadar sedia ada pun sudah cukup membebankan,” katanya yang berharap tol-tol di Puchong dapat dimansuhkan segera.

Penduduk dari Saujana Puchong, Tengku Shahrizal Affendi Tengku Mustapa, 27, berkata, dia terpaksa menggunakan laluan bertol kerana tiada pilihan.

“Kalau tidak ada duit, memang perlu lalu jalan alternatif tetapi perlu lalui empat kawasan dari Saujana Puchong melalui Puchong Perdana, Puchong Permai, Puchong Permata dan Kampung Bersatu untuk ke tempat kerja di Subang Jaya.

“Perjalanan tidaklah jauh mana jika guna tol tetapi yang menyesakkan adalah kadarnya mahal,” katanya.

Tengku Shahrizal berkata, rakyat mahu kadar tol dapat dikurangkan supaya wang berkenaan dapat diperuntukkan membeli keperluan lain lebih penting.

“Kalau boleh kurang tol dari RM1.60 kepada RM1 pun tidak mengapa tetapi kalau kadarnya diturunkan kepada RM0.50 lebih bagus,” katanya.

Seorang lagi penduduk Puchong yang menjalankan perniagaan warung, Maisarah Hamzah, 42, berkata, kewujudan tol memang membebankan peniaga kecil-kecilan sepertinya.

Katanya, dia terpaksa membayar tol empat kali setiap hari untuk ke pasar borong di Seri Kembangan dan menjalankan perniagaan berdekatan USJ.

“Pendapatan perniagaan tidaklah seberapa, tetapi yang menyebabkan pulangan tidak seberapa kerana perlu membayar tol dan sebagainya.

“Kita minta kerajaan prihatin dengan masalah penduduk di Puchong kerana kami memang sudah meluat dengan tol di sana dan di sini” katanya.



INFO KADAR TOL

Tol Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak)

Puchong Barat     = RM1.60 (Puchong –USJ)

Puchong Selatan     = RM1.60 (Puchong-Seri Kembangan)

Petaling Jaya Selatan     = RM1.60 (Puchong-Bandar Sunway)

Lebuhraya Shah Alam (Kesas)     = RM2.20 (Puchong-Shah Alam)
- SinarHarian

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu