adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Sunday, September 23, 2012

Cubaan tiga lelaki rompak mesin ATM dekat PSIS gagal

Cubaan tiga lelaki rompak mesin ATM dekat PSIS gagal
Pondok pengawal PSIS

SABAK BERNAM – Tiga penjenayah didapati cuba merompak mesin wang automatik (ATM) di luar pintu masuk Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) awal pagi tadi, namun usaha itu tidak berhasil selepas mereka gagal menebuk ATM tersebut menggunakan alat pengimpal yang dibawa.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, ketika kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, semua penjenayah bertopeng terbabit dipercayai menyerbu masuk ke dalam pondok pengawal keselamatan PSIS yang terletak kira-kira 10 meter daripada mesin ATM berkenaan.

Menurutnya, mereka kemudiannya mengikat tangan dan kaki pengawal keselamatan yang ada di situ sebelum memulakan kerja-kerja memecahkan mesin ATM yang terletak dalam bilik kecil tersebut.

“Bagaimanapun selepas beberapa jam mencuba, usaha penjenayah terbabit tidak berjaya dan mereka melarikan diri membawa alat pengimpal yang digunakan," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pengawal keselamatan yang diikat ditemui oleh rakan setugasnya sebaik pulang daripada meronda di kawasan PSIS kira-kria jam 6 pagi.

Noor Mushar berkata, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Sungai Tawar sebelum sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan lanjut.

Katanya, siasatan awal mengesyaki bahawa kegiatan rompakan itu dilakukan oleh kumpulan penjenayah yang tidak profesional kerana cat yang disembur pada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian tidak menyeluruh.

“Malah mereka turut tersalah menyembur cat pada alat penggera yang disangka CCTV dan ini jelas menunjukkan mereka bukan penjenayah profesional,” katanya.

Menurutnya, mesin ATM berkenaan disediakan oleh pihak PSIS untuk kemudahan pelajar di institusi berkenaan memandangkan jarak untuk ke pekan agak jauh serta menyukarkan pelajar.

Beliau berkata, lokasi ATM yang jauh dari pekan menjadi faktor mesin itu menjadi sasaran penjenayah terbabit.

“Kita akan meneruskan usaha menjejaki kesemua suspek supaya mereka dapat dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya.

Noor Mushar berkata, pihaknya akan menjalankan pemantauan lanjut dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan menyamun.

Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut boleh menghubungi  Ibu Pejabat Polis Sungai Besar di talian             03-32242222       atau berhubung terus dengan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Asp Masri Md Hassan di talian            019-2050142      

“Kita mengharapkan agar orang awam yang mempunyai maklumat dapat tampil untuk membantu siasatan kes ini,” katanya.

Sementara itu, pengawal keselamatan yang diikat kumpulan penjenayah terbabit, Abdul Halim, 44, berkata, ketika kejadian, dia bertugas seorang diri dalam pondok berkenaan sebelum tiga penjenayah terbabit datang.

"Saya cuba meronta untuk melepaskan diri namun gagal selepas diikat menggunakan pita pelekat oleh tiga suspek berkenaan yang memakai baju berwarna hitam serta muka bertopeng.

“Jika sesuatu menimpa saya ketika itu, saya tidak dapat bayangkan macam mana isteri dan anak-anak saya hendak meneruskan kehidupan,” katanya.

Menurutnya, dia berasa amat bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan ketika rompakan itu. - SinarHarian

1 comment:

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu