adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Sunday, October 28, 2012

Sultan Kelantan mencemar duli sempurna korban

Sultan Kelantan tidak ketinggalan mencemar duli bersama-sama rakyat menyempurnakan majlis korban.
Sultan Kelantan tidak ketinggalan mencemar duli bersama-sama rakyat menyempurnakan majlis korban.

KOTA BHARU - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan menyempurnakan majlis korban di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, di sini, hari ini.


Baginda yang mengenakan baju T-shirt berwarna merah tiba di majlis tersebut kira-kira jam 12.15 tengah hari dengan diiringi pasukan keselamatan.

Turut menyertai baginda ialah Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra, kerabat diraja Kelantan dan pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Acara tahunan kali ini menyaksikan sebanyak 49 ekor lembu dikorbankan sempena dengan sambutan Aidiladha.

Daripada jumlah tersebut, dua ekor disumbangkan oleh Sultan Kelantan dan seekor lagi oleh Tengku Mahkota.

Setiausaha Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Che Hamat Che Muda berkata, daging korban tersebut akan diagih-agihkan kepada fakir miskin melalui  masjid-masjid di  Kota Bharu dan Masjid Muhammadi.

"Dianggarkan 4,000 bungkus daging akan diagihkan bermula tengah hari ini," katanya kepada pemberita.

Pada majlis tersebut Sultan Kelantan turut mencemar duli menyempurnakan sendiri majlis tersebut termasuk menyembelih sendiri dua lembu korban disumbangkan baginda.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. - SinarHarian

Mangsa pukul masih terlantar

BEDAH... Htong masih terlantar  di HTAA, Kuantan.
BEDAH... Htong masih terlantar di HTAA, Kuantan.

KUANTAN: Walaupun penyerangnya sudah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, Selasa lalu, atas pertuduhan mendatangkan kecederaan parah, mangsa yang ‘digusti’ gara-gara lambat menghantar air suam masih terlantar dan menggunakan alat bantuan pernafasan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Pelayan sebuah kopitiam di Jalan Tun Ismail 2, di sini, Htong Haw, 29, yang juga warga Myanmar, menjalani tiga pembedahan sejak dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) akibat cedera parah di abdomen iaitu pendarahan dalam perut, pecah limpa, pecah usus kecil dan luka pada hati.

Majikannya, Stanly Soon Suan Ning, 43, berkata, Haw dipindahkan ke wad biasa kelmarin selepas seminggu bertarung nyawa dan koma di ICU akibat kejadian itu.

“Keadaan dia masih lemah dan memerlukan alat bantuan pernafasan. Buat masa ini dia belum boleh bercakap,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Soon berkata, Haw boleh menggerakkan anggota badan, namun kecederaan dialami membuatkan dia hanya terlantar dan tidak mampu bercakap.

“Abang dia yang bekerja di Kuala Lumpur menjenguknya di sini dan sedih dengan kejadian itu. Saya turut bersimpati dengan apa yang berlaku,” katanya.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam, 18 Oktober lalu, mangsa yang enam tahun bekerja di kopitiam itu ditumbuk bertubi-tubi dan kepalanya dihentak ke pasu pokok hiasan dipercayai hanya kerana terlewat menghantar air suam dipesan tertuduh.

Malah, tertuduh menghenyak tubuh mangsa ke tangga, menariknya ke seberang jalan lalu bertindak seperti ahli gusti dengan mengepit kepala mangsa di celah kangkangnya sebelum menghempas mangsa ke atas jalan di tempat letak kereta berdekatan.

Mangsa yang cedera parah kemudian dikejarkan ke HTAA untuk rawatan lanjut. - myMetro

Wednesday, October 17, 2012

Tiada Harapan Hidup, Kuswadinata Semakin Kritikal

Pelakon Kuswadinata dikunjungi rakan artis (dari kiri) Freddie, Azizul Khamis dan Deen Maidin.


KUALA LUMPUR: Pelakon veteran Kuswadinata, 74, berada dalam keadaan tenat di Hospital Ampang di sini akibat menghidap penyakit pendarahan usus kecil dan kanser kelenjar sejak beberapa tahun lalu.
Menurut anak bongsunya Rizal, 23, keadaan bapanya semakin kritikal apabila doktor mengesahkan pendarahan pada ususnya merebak dan jantung pelakon itu akan berhenti pada bila-bila masa sahaja.
"Sejak dimasukkan ke wad (Hospital Ampang) pada 7 Oktober lalu, ayah diminta berpuasa sehinggalah ke hari ini (Selasa) untuk mengurangkan pendarahan dalam badan.
"Tetapi doktor sudah menjelaskan pada kami sekeluarga bahawa ayah tiada harapan untuk hidup, walaupun daripada segi luarannya dia nampak sihat.
"Kami tak mampu nak buat apa-apa melainkan menjaga dia sebaik mungkin serta menunaikan segala kehendaknya. Saya sekeluarga reda dengan ketentuan Tuhan," katanya.
Rizal ditemui di Hospital Ampang ketika kunjungan pihak media bersama Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) yang mahu melawat ayahnya itu.
Kuswadinata kelihatan segak semasa sihat.
Karyawan diwakili Presidennya, Datuk Freddie Fernandez.
Selain pendarahan usus, Kuswadinata atau nama sebenarnya Kuswadi Bujang turut mengalami penyakit prostat dan masalah buah pinggang yang teruk sehingga sukar untuk beliau buang air kecil secara normal.
Isterinya, Kamariah Mohd Said, 57, berkata pada September lalu, Kuswadinata dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat penyakit yang sama.
"Penyakit suami saya mungkin berpunca daripada kanser usus yang dihidapinya pada 2008 dan dia pernah menjalani pembedahan di HKL.
"Kemudian ia melarat pada buah pinggangnya dan doktor juga mendapati dia mengalami kanser darah yang menjadi punca kepada semua penyakit.
“Sekarang ini, sebelah kiri buah pinggangnya sudah tidak boleh berfungsi manakala di bahagian kanan pula semakin membengkak," ujarnya.
Sementara itu Freddie Fernandez telah menghulurkan sumbangan berupa wang tunai kepada keluarga pelakon itu bagi mengurangkan beban mereka selain berharap agar mereka tabah menerima sebarang dugaan.
Selain Rizal, pelakon itu mempunyai tiga orang anak iaitu Jasmine, 27, Hafsham, 26 dan Irwan, 25. - mStarOnline

'Kau silap orang kalau nak ragut'

'Kau silap orang kalau nak ragut'
Mangsa nekad mengejar peragut walaupun beg yang dilarikan  hany berisi RM2.

MELAKA - “Kau silap orang lah kalau nak ragut,” kata seorang remaja perempuan yang berang selepas  berjaya menangkap seorang lelaki yang meragut begnya di Telok Emas, di sini, malam kelmarin.

Peragut yang salah sasaran bukan sahaja tidak dapat menikmati RM2 hasil aktiviti jenayahnya, malah lebih malang dia turut ‘diganyang’ mangsa berusia 19 tahun.

Mangsa nekad mengejar lelaki terbabit selepas mengejarnya sejauh kira-kira dua kilometer dengan menunggang motosikalnya.

Sinar Harian difahamkan, penduduk kampung berhampiran turut membantu mangsa menghalang suspek berumur 21 tahun itu melarikan diri sebelum menghubungi pihak polis.

Sementara itu, mangsa ketika ditemui berkata, dia yang mengesyaki sesuatu terus menghafal nombor pendaftaran motosikal  suspek sebaik sahaja suspek menutup lampu hadapan motosikalnya ketika di persimpangan lampu isyarat Kandang/Alai.

“Saya meneruskan perjalanan dan tidak sedar bila dia menghampiri kerana laluan di situ gelap. Tiba-tiba dia ragut beg saya hingga menyebabkan telefon bimbit saya dalam jaket yang pakai turut terjatuh.

“Tanpa berfikir panjang, apatah lagi keselamatan diri, saya terus kejar lelaki terbabit yang melarikan beg saya memasuki simpang ke Taman Seri Emas,” katanya.

Menurut anak sulung daripada tiga beradik ini, suspek jatuh terpelanting dari motosikal selepas cuba menendang motosikalnya.

“Dia cuba tendang motosikal saya tetapi saya dapat elak, malah saya sempat baling air minuman yang saya bawa balik dari tempat kerja. Selepas itu dia jatuh di sebelah longkang.

“Mula-mula saya ingat dia sudah mati sebab dia langsung tak bergerak tetapi seorang pakcik memeriksanya berkata dia masih hidup. Saya tidak dapat kawal diri lalu memukulnya.

“Ketika itu juga saya berkata ‘Kau silap orang lah kalau nak ragut. Kau buat macam ni seolah-olah kau hina perempuan. Kalau perempuan lain mungkin boleh jerit macam tu sahaja tapi dengan aku, aku kejar sampai lubang cacing,” katanya.

Menurutnya, dia yang masih trauma bagaimanapun menguatkan semangat untuk ke tempat kerja keesokan hari apabila disuruh ibunya dan menasihatkan supaya wanita lain berhati-hati serta tidak cuai sepertinya.

“Jangan letak beg dalam raga motosikal kerana memudahkan peragut mencapainya," katanya.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abdul Rahman berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah malam.Menurutnya, mangsa yang bekerja di sebuah restoran makanan segera di Melaka Raya menunggang motosikal sendirian, dalam perjalanan balik ke rumahnya di Serkam, Jasin.

Katanya, sebelum kejadian, mangsa menyedari suspek memadamkan lampu motosikal jenis Yamaha ditunggangnya ketika mereka berada di persimpangan lampu isyarat Alai/Kandang sebelum meneruskan perjalanan.

“Namun apabila sampai di laluan berbukit di hadapan sebuah sekolah agama, suspek meragut beg mangsa yang diletakkan dalam raga motosikal mangsa jenis Honda EX5.

“Mangsa yang berang mengejar suspek hingga ke Telok Emas sebelum suspek terjatuh sendiri ketika cuba menendang motosikal mangsa apabila tiba di laluan mati di Jalan Seri Emas Utama,” katanya di sini, semalam.

Salehhudin berkata, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kandang, sementara suspek yang cedera seluruh anggota badan dihantar ke Hospital Melaka.

“Selain motosikal suspek, beg mangsa mengandungi RM2 dijadikan barang kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan, “ katanya. - SinarHarian

Thursday, October 11, 2012

Jimmy Shanley & Isteri Cerai, Tebus Talak RM1


Saat indah antara Jimmy Shanley dan Nursuhaila kini menjadi kenangan.
PETALING JAYA: Setelah sekian lama mengharungi konflik dalam rumah tangga, akhirnya pengacara Jimmy Shanley Norjahan Salleh dan isterinya Nursuhaila Eliani Suhaimy bercerai talak satu secara khuluk atau tebus talak dengan bayaran RM1.
Lafaz cerai (khuluk) itu dilakukan di hadapan Hakim Syarie, Abd Halim Abu Samah di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Rabu selepas pasangan berkenaan bersetuju untuk menamatkan rumah tangga masing-masing.
Abd Halim yang mendengar lafaz itu kemudian membenarkan jatuh talak satu dan mengarahkan Nursuhaila bersuci tiga kali edah.
Tebus talak itu dibuat mengikut Seksyen 49 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 yang difailkan Nursuhaila.
Tebus talak adalah perceraian yang dipohon oleh isteri dengan memberi wang atau apa-apa harta kepada suami.
Dalam prosiding itu, Nursuhaila, 26, yang merupakan plaintif bersetuju untuk menggugurkan tuntutan nafkah edah, mutaah serta hutang sementara Jimmy, 33, pula bersetuju untuk tidak membuat sebarang tuntutan berkaitan hutang di antara mereka.
Peguam Syarie Sa’adiah Din yang mewakili Nursuhaila memaklumkan pihak plaintif ada menerima permohonan Jimmy untuk bersetuju menebus talak dengan nilai RM1 pada Jumaat lalu.
Berikutan itu pihaknya membuat keputusan agar kes permohonan cerai secara baik yang difailkan di mahkamah syariah di sini ditarik balik termasuklah permohonan nusyuz (kembali taat) yang masih berlangsung di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam dekat sini.
Sa’adiah berkata, permohonan Jimmy berhubung tuntutan hadanah iaitu hak jagaan anak Zahrah Shanley yang berusia setahun akan tetap diteruskan.
Jimmy diberi hak untuk melawat anaknya yang berada dalam jagaan ibu Nursuhaila iaitu pengasas produk kecantikan Natasya, Datin Muniroh Kassim di Sungai Buloh dekat sini.
Pengacara Trek Selebriti terbitan Astro itu diwakili Peguam Syarie, Mohd Noor Aizan Md Idrus.
Ketika di luar mahkamah Jimmy berkata dia telah mengkhianati janji terhadap ibu mertuanya untuk tidak menceraikan Nursuhaila.
“Saya telah mungkir janji kepada ibu mertua saya untuk tidak menceraikan Nursuhaila. Tapi apa nak buat minat, hobi pun tak sama,” katanya.
Nursuhaila bagaimanapun mengucapkan rasa syukur kerana kes berkenaan akhirnya dapat diselesaikan.
Jimmy dan Nursuhaila diijabkabulkan pada 1 Oktober 2010 dengan hantaran sebanyak RM31,186 yang diambil bersempena tarikh lahir Nursuhaila yang jatuh pada 31 Januari 1986.
Majlis resepsi untuk meraikan pasangan tersebut diadakan sehari selepas itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Kemelut rumah tangga mereka mula diperkatakan pada 11 November 2011.
Jimmy memfailkan permohonan kembali taat dan nusyuz terhadap isterinya selepas mereka tinggal berasingan sejak 21 Oktober 2010. - mStarOnline

Monday, October 8, 2012

Pecut selepas gilis mangsa

Mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat.
Mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat.

ALOR GAJAH – Seorang pemandu treler bertindak memadam lampu dan memecut laju kenderaannya sebaik saja menggilis seorang penunggang motosikal di Jalan Garing, Machap Baru, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, penunggang motosikal warga Nepal, Tek Bahadur Tamang, 23, melambung selepas motosikal jenis Suzuki RG yang dinaiki bersama rakannya, Santha digesel treler terbabit, sebelum dia digilis tayar belakang kiri kenderaan berat itu.

Saksi kejadian, Mohd Fauzi Mohamad Nor, 33, berkata, ketika kejadian, dia memandu kereta bersama isteri dan tiga anaknya yang berada di belakang treler berkenaan pada jarak kira-kira 20 meter.

“Saya melihat treler itu cuba memotong motosikal dinaiki mangsa di sebelah kiri. Tiba-tiba berlaku pergeseran sehingga api keluar dari motosikal berkenaan.

“Saya lihat mangsa melambung sebelum terjatuh ke atas jalan raya, kemudian digilis pula dengan tayar belakang treler itu. Manakala rakan mangsa tercampak ke tebing jalan dan keduanya tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian, kelmarin.

Menurutnya, pemandu treler itu tidak berhenti, malah terus memecut laju meninggalkan mangsa di atas jalan.

“Saya membunyikan hon ke arah treler berkenaan, namun pemandunya terus memecut laju, malah bertindak memadamkan lampu serta memotong beberapa kenderaan lain,” katanya.

Menurutnya, dia terus mengekori treler berkenaan untuk mengesan nombor pendaftarannya.

“Dengan memasang lampu tinggi, saya dapat lihat jelas nombor pendaftaran treler itu sebelum bertindak berpatah balik ke tempat kejadian dan melihat keadaan mangsa bersama beberapa pengguna jalan raya yang membantu,” katanya.

Katanya, ketika itu, mangsa masih bernyawa dan orang ramai membawanya ke Hospital Melaka, sebelum membuat laporan di Balai Polis Cawangan Trafik Daerah Alor Gajah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya cedera parah dan kini dirawat di Hospital Melaka. - SinarHarian

Taman 'port' memadu asmara

Azahar Kasim
Pasangan yang duduk berdua-duaan di Taman Rekreasi Tampin.

TAMPIN – Memalukan. Itulah luahan orang awam berikutan lokasi riadah pada waktu petang dicemari dengan segelintir pasangan muda memadu kasih di situ.
Tindakan pasangan berkenaan bukan saja melangkaui batasan agama, malah menunjukkan contoh kurang sopan kepada golongan kanak-kanak, lebih-lebih lagi kawasan itu menjadi tumpuan keluarga.
Itulah situasi yang berlaku di Taman Rekreasi Tampin, di sini, seolah-olah tiada pemantauan pihak berkenaan.
Penduduk tempatan, Azahar Kasim, 40-an berkata, dia sering menghabiskan waktu petangnya di taman berkenaan untuk berjoging.
Azahar mengakui sering ternampak pasangan kekasih muda atau mungkin masih di bangku sekolah berkelakuan tidak sopan di sebalik pokok besar di taman berkenaan.
“Mula-mula memang saya terperanjat dan malu kerana budaya ini tidak sepatutnya berlaku di negara ini.
“Namun, apabila ia semakin berleluasa, rasa malu saya bertukar menjadi marah dan berharap agar pihak berkenaan segera buat pemantauan," katanya kepada Sinar Harian.
Tinjauan Sinar Harian juga mendapati, lokasi terbabit dicemari 'drama' segelintir pasangan seawal 2 petang di lokasi terlindung daripada orang ramai.
Seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Rahmat, 50-an berkata, dia kesal kerana taman rekreasi itu disalahgunakan golongan muda.
“Jika pasangan terbabit beri alasan mahu berehat di sini, kelakuan mereka tetap salah kerana duduk dengan pasangan bukan muhrim dalam keadaan mencurigakan," katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Tampin (MDT), Razali Bakar berkata, taman rekreasi itu adalah kemudahan yang terdapat berhampiran pusat bandar bagi membolehkan masyarakat beriadah dalam usaha membudayakan cara hidup sihat.
“Bagaimanapun, sekiranya perkara ini berlaku iaitu kelakuan tidak senonoh pasangan di lokasi tersembunyi di taman ini, diharap pihak berkenaan dapat memantau aktiviti tidak bermoral ini," katanya. - SinarHarian

Sunday, October 7, 2012

Azan Addin Tidak Malu Pakai Selendang, Kopiah


Azan memberitahu dia gemar mengenakan selendang sebagai aksesori dan kopiah yang juga sunnah Rasulullah S.A.W.
KUALA LUMPUR: Anggota kumpulan Al Mawlid iaitu Azan Addin Abdul Wahab yang pernah menganggotai kumpulan Ruffedge mengakui masih gemar berfesyen walaupun telah berhijrah ke arah lebih baik.
Azan bagaimanapun berkata, fesyen yang digayakan kini lebih kepada keislaman dan mengikut sunnah Rasulullah S.A.W. Dia juga selesa dengan imej itu.
"Sebelum ini saya tidak pernah tahu bahawa selendang yang diletakkan di atas bahu adalah kegemaran Rasulullah dan sekarang ia menjadi aksesori yang sering saya gayakan bersama kopiah putih sama ada dengan jubah mahupun pakaian biasa," ujarnya kepadamStar Online.
Tambah Azan, dia tidak perlu malu dengan fesyennya kini kerana ia masih nampak bergaya dan sopan selain memberi banyak manfaat kepadanya.
"Sebelum ini dah puas dengan pelbagai fesyen 'hip hop' untuk benar-benar menzahirkan siapa diri kita dan muzik yang dibawa. Jadi sekarang tiada salah untuk saya berimej mengikut kehendak agama saya.
"Malah perkara yang saya perasan adalah apabila bersiar-siar dengan keluarga dan ada peminat wanita yang ingin bergambar dengan saya mereka membatasi diri kerana kopiah dan selendang yang saya gunakan.
"Ia sekali gus menunjukkan rasa hormat kita pada orang lain dan pada masa sama mereka menghormati dengan apa yang kita pakai," katanya.
Dalam pada itu, Azan memberitahu dia sangat tenang dengan kehidupannya kini dan masih dalam proses mempelajari ilmu agama dengan lebih mendalam.
Kumpulan Al Mawlid muncul sudah pun muncul dengan album pertama baru-baru ini.
Malah dia dan rakan-rakannya cukup terharu apabila dapat belajar ilmu agama dengan ustaz yang berpengalaman dan mampu membimbing mereka dengan baik.
"Mencari ilmu untuk kebaikan itu satu perkara dan beradab dengan ilmu yang diterima juga adalah perkara berbeza. Itu adalah perkara yang sedang saya pelajari ketika ini.
"Alhamdulillahlah dengan sokongan keluarga dan rakan-rakan kehidupan kini semakin tenang," katanya.
Tambah Azan, dia sangat bersyukur telah diberi peluang dan kesempatan oleh Allah S.W.T. untuk memperbaiki diri ke jalan yang lebih baik.
"Suatu ketika saya seorang manusia yang degil dan tidak pernah belajar untuk berserah tentang apa yang pernah berlaku kepada diri saya.
"Namun Alhamdulillahlah saya tersedar dan diberi peluang untuk memperbaiki diri," katanya.
Sementara itu, Azan memberitahu album pertama kumpulan mereka berjudul Al Mawlid diharap yang berkonsepkan marhaban dapat diterima oleh para peminatnya.
Ia dihasilkan bertujuan menyemai rasa cinta masyarakat kepada Rasulullah S.A.W.
"Lagu-lagu dalam album ini berkisar mengenai kecintaan kami dan umat Islam terhadap Rasulullah yang keperibadian baginda sangat dikagumi," ujarnya.
Selain Azan, Al Mawlid dianggotai oleh Amer (Ruffedge), Zaf (V.E.), Pot Amer (Innuendo), Lah Ahmad (V.E), Adib (Fabulous Cats) dan Ustaz Khyrel (Marjan).
Album berkenaan memuatkan lapan buah lagu iaitu Intro: Bacaan Al Quran dan Selawat, Mahalul Qiyam, Cahaya Seluruh Alam, Tholama, Menuju Ke Madinah, Doa Dari Mama (Interlude), Ingin Bersama Mu dan Cahaya Seluruh Alam (Minus One). - mStarOnline

Bayi 12 hari selamat di pangkuan ibu


bayi terselamat
Kelisa yang remuk dilanggar lori kontena, di Cabang Empat Kampung Banggol Chicha, jam 8 pagi semalam. Gambar kecil: Bayi yang terselamat.
PASIR MAS – Seorang bayi berusia 12 hari, terselamat di dalam pangkuan ibunya, selepas mereka terlibat dalam kemalangan di Cabang Empat Kampung Banggol Chicha, jam 8.30 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, bayi yang dipangku ibunya, Siti Aidah Mat Zain, 35, hanya cedera selepas kereta Kelisa yang dinaiki dilanggar lori kontena.

Pasukan Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, mengusung Siti Aidah, selepas tersepit di dalam kereta,
Pasukan Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, mengusung Siti Aidah, selepas tersepit di dalam kereta, akibat kemalangan.
Menurutnya, lori yang dari arah Bayu Lalang ke Kampung Gaung, tidak sempat memberhentikan kenderaan di cabang empat, seterusnya melanggar Kelisa.

“Pemandu Kelisa, Nur Bahiyah Mohamad, 21, tidak mengalami sebarang kecederaan, namun penumpang lain, Abdul Rauf Mohamad, 20; Abdul Ghafar Mohamad, 20; Mohd Amirullah Abbas, 9, dan Aimi Amira Mohd Ali, 9, cedera ringan dan mendapatkan rawatan di Hospital Pasir Mas.

“Bayi berkenaan mengalami kecederaan di bahagian kepala, manakala ibu, Siti Aidah cedera di badan, mendapatkan rawatan di hospital yang sama,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, saksi yang melihat kejadian diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah, untuk membantu siasatan dan kes ini disiasat di bawah Rule 3 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Nur Bahiyah berkata, mereka dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Pasir Mas, untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut, selepas bayi mengalami masalah kesihatan.

“Saya tidak sempat mengelak, selepas menyedari lori itu tidak memberhentikan kenderaan di Cabang Empat.

“Disebabkan lori memandu dengan laju, kereta kami diseret hampir 10 meter dari tempat kejadian,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kanan Bomba II (PBK), Azuhan Ibrahim berkata, mereka menerima panggilan kecemasan pada jam 8.37 pagi, dan bergegas ke tempat kejadian dengan kekuatan tujuh anggota.

“Tiba di tempat kejadian, kita dapati terdapat seorang penumpang tersepit, manakala yang lain berjaya dikeluarkan oleh orang awam.

“Kita berjaya mengeluarkan mangsa di bahagian tempat duduk penumpang, kurang lima minit kemudian,” katanya. - SinarHarian


36 pelatih PLKN Kem Cenderawasih Cador gaduh

ACP-K-Manoharan
Asisten Komisioner K. Manoharan
KUALA TERENGGANU - Gara-gara dituduh memecah masuk lokar rakan, dua kumpulan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) seramai 36 orang bergaduh sehingga mendatangkan kecederaan, petang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang di Kem PLKN Cenderawasih Cador, Pengkalan Berangan, Marang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kejadian tersebut berpunca apabila satu kumpulan pelatih menuduh ahli kumpulan lain mencuri barang, sehingga menyebabkan rasa tidak puas hati di kalangan kedua-dua kumpulan berkenaan.

“Kumpulan berkenaan seramai 27 orang kemudiannya bertindak menyerang kumpulan satu lagi yang terdiri daripada sembilan orang dan ada daripadanya bersenjatakan kayu, hingga menyebabkan kecederaan.

“Kesembilan mereka cedera dan lebam di badan. Ekoran kejadian itu, satu laporan polis dibuat, sebelum polis bertindak menahan 27 orang pelatih itu untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Jelas Manoharan, kesemua yang ditahan direman selama empat hari bermula semalam dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata. - SinarHarian

Thursday, October 4, 2012

Adibah Amin Tokoh Terjemahan Negara 2012

Khalidah Adibah Amin
Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan Anugerah Tokoh Terjemahan Negara 2012 kepada Khalidah Adibah Amin. -Foto Bernama

PUTRAJAYA - Bekas wartawan Khalidah Adibah Amin atau lebih dikenali sebagai Adibah Amin hari ini diumumkan penerima Anugerah Tokoh Terjemahan Negara 2012.
Adibah, 76, anak kelahiran Johor itu dipilih berdasarkan sumbangannya membangunkan psikologi pemikiran bangsa menerusi medium terjemahan.
"Saya amat terharu dan berterima kasih...semoga anugerah seperti itu dapat diteruskan untuk mengiktiraf usaha para penterjemah," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Beliau menerima wang tunai RM10,000 dan sijil penghargaan yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Adibah, bekas guru, pernah menterjemah buku hasil nurkilan dua Sasterawan Negara iaitu Shahnon Ahmad menerusi 'Ranjau Sepanjang Jalan' pada 1972 dan Keris Mas menerusi buku 'Rimba Harapan' pada tahun 2000.
Menyifatkan usaha menterjemah buku Ranjau Sepanjang Jalan sebagai paling sukar dilakukan, beliau lantas mendedikasikan anugerah tersebut kepada penulis buku berkenaan.
"Golongan muda perlu berani terbabit dalam bidang terjemahan untuk memastikan lebih banyak karya terjemahan berkualiti dapat dihasilkan," katanya yang kelihatan uzur, namun tetap menyimpan hasrat menghasilkan lebih banyak karya terjemahan.
Selain aktif dalam bidang penterjemahan, Adibah seorang pencinta Bahasa Melayu pernah menghasilkan novel dan buku bacaan umum antaranya buku 'Seroja Masih Di Kolam' pada tahun 1968 diikuti dengan 'Tempat Jatuh Lagi Dikenang' (1985), 'As I Was Passing 1' (2006) dan 'As I Was Passing 2' (2007). - Bernama

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu