adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Monday, November 12, 2012

Ada Sebab Wilma Muhammad Rahsiakan Perkahwinan Baru


Wilma tidak menghebohkan perkahwinannya demi menghormati privasi suami baru dan ahli keluarga. Foto IZZRAFIQ ALIAS
KUALA LUMPUR: Pelakon Wilma Muhammad yang berkahwin buat kali kedua pada Jun lalu berkata dia mempunyai sebab untuk merahsiakan perkara itu daripada khalayak umum.
Wilma yang kematian suami Mahir Effendi pada awal 2011 berkata, keputusan untuk tidak menghebohkan perkahwinan itu dilakukan demi menghormati privasi suami baru dan ahli keluarganya.
"Bukan saya berniat untuk merahsiakan perkahwinan buat kali kedua yang berlangsung pada 16 Jun lalu.
"Keputusan itu dilakukan demi menghormati prinsip dan privasi suami baru dan keluarga. Majlis (perkahwinan) pun diadakan secara kecil-kecilan sahaja," katanya.
Wilma berkata demikian ketika ditemui mStar Online pada majlis pelancaran Koleksi Ratu by Ezuwan Ismail di Hotel Royale Chulan di sini, malam Sabtu lalu.
Wilma bersama pereka Ezuwan Ismail.
Bekas suami aktres filem Ghazal Untuk Rabiah itu meninggal dunia di kediaman mereka di Kampung Tunku, Petaling Jaya dekat sini pada 27 Januari 2011 akibat serangan jantung.
Hasil perkahwinan itu, pasangan tersebut dikurniakan lima anak iaitu Raida Thaqifa, 10, Athira Inara, 8, Mahira Aqila, 6, Muhammad Yusuf, 4, dan Umar Al Faruq, 3.
Bercerita mengenai perkahwinan itu, Wilma berkata, dia mengenali ahli perniagaan yang dikenali sebagai 'M', 47, itu pada tahun lalu.
"Saya mengenali dia menerusi kawan ketika bekerja sebagai setiausaha di syarikat perlombongan emas pada tahun lalu.
"Kebetulan pula bekas ibu mertua juga pernah mengenali suami baru ini kira-kira empat atau lima tahun lalu atas urusan perniagaan.
"Dia seorang lelaki yang terbuka dan lebih selesa untuk tidak menonjolkan identiti dirinya," akuinya.
Katanya, keputusan untuk berkahwin semula timbul apabila dia memikirkan masa depan anak-anaknya yang bakal membesar tanpa bapa.
"Sebenarnya, saya tidak mahu (berkahwin) tetapi selepas memikirkan keadaan masa depan lima anak saya yang akan membesar tanpa seorang ayah, saya terbuka hati untuk berkahwin semula.
"Lagi pun, bekas ibu mertua juga selalu pesan agar saya tidak menutup pintu hati jika ada lelaki yang mahu mengahwini saya," luahnya yang tidak menolak jika dikurniakan zuriat dengan suami baru itu. - mStarOnline

Bertunang, Anne Ngasri Harap Tidak Ada Yang Buruk Sangka


Anne Ngasri. Foto Beautifulnara
KUALA LUMPUR: Pelakon Anne Ngasri berharap pertunangannya dengan seorang ahli politik yang berstatus duda anak satu itu tidak akan menimbulkan fitnah kononnya dia seorang wanita yang cepat berubah hati selepas putus cinta dengan penyanyi Aliff Aziz.
Anne atau nama sebenarnya Ngasriah Ngasri, 28, berkata, kehadiran lelaki berusia 40 tahun itu dianggap sebagai satu anugerah daripada Tuhan apabila dia memulakan langkah bertemu keluarga Anne untuk meminangnya.
"Sebenarnya dia merupakan kawan saya dan Darling (kakak Anne) sejak setahun lalu tetapi ia tidak lebih daripada sahabat sahaja.
"Entah kenapa, selepas putus (dengan Aliff), kami lebih rapat sejak sebulan yang lalu dan apabila dia melamar, saya terima dia lebih-lebih lagi melihat kesungguhan dan keikhlasannya. Mungkin kami saling menepati antara satu sama lain.
"Saya pun tidak pernah menolak jodoh dan menganggap Aliff mungkin bukan jodoh saya. Diharap, tiada yang memberi persepsi negatif dengan perhubungan baru ini walaupun kehadirannya dalam hidup saya datang terlalu cepat," katanya.
Anne ditemui pada petang Ahad selepas majlis pertunangannya yang telahpun berlangsung di sebelah pagi di kediaman keluarganya, Jalan Ipoh dekat sini.
Majlis pertunangannya itu dihadiri seramai 200 orang tetamu yang terdiri daripada kedua-dua belah pihak keluarga dan pasangan itu bakal bernikah pada Disember ini.
Bagaimanapun identiti lelaki itu kelahiran negeri Johor itu dirahsiakan buat sementara waktu sehinggalah pada hari perkahwinannya nanti.
Tambah ibu kepada Abdul Warits, 4, Abdul Wafri, 3 dan Nazharah Afrozah, 2, itu, dia juga ingin meminta maaf kepada semua pihak merahsiakan identiti bakal suaminya itu kerana tidak mahu dianggap menunjuk-nunjuk.
"Selama ini orang sering menghentam saya macam-macam dan kali ini saya mahu lebih berhati-hati dan biarlah identiti tunang saya diketahui pada hari perkahwinan nanti.
"Perjalanan hidup ini adalah takdir buat diri sendiri dan diharap saya mendapat doa yang baik-baik daripada semua," ujarnya.
Anne sebelum ini pernah berkahwin dengan Abdul Wafi Hassan pada 26 Mei 2006 sebelum bercerai pada tahun 2010 dan mereka dikurniakan tiga cahayamata.
Dalam perkembangan lain, Anne berkata, dia kini sedang sibuk di lokasi penggambaran program bual bicara berkonsepkan remaja berjudul SIS untuk siaran TV9 selain beberapa projek drama dan filem. - mStarOnline

Wednesday, November 7, 2012

Kelewatan Jadi Penyelamat Nyawa Iqram Dinzly


Iqram Dinzley
PETALING JAYA: Pelakon Iqram Dinzley bernasib baik apabila terselamat daripada terlibat dalam kemalangan yang membabitkan van krew program Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM) pada Selasa.
Iqram berkata, dia sepatutnya menaiki van terbabit untuk ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, di sini sebelum berlepas ke Pulau Langkawi bagi menjalani penggambaran episod akhir program tersebut, namun terpaksa menaiki van lain kerana tiba lewat di tempat menunggu di Sri Pentas TV3, Bandar Utama di sini.
"Rasa tak sangka pula kelewatan saya tidak mengikut 'call time' seperti yang ditetapkan ada hikmah di sebaliknya.
"Saya tiba di Sri Pentas beberapa minit saja selepas van pertama beredar dan menaiki van yang kedua bersama krew lain. Ketika dalam perjalanan, kami terkejut apabila melihat van yang pertama terlibat dalam kemalangan sehingga terbalik.
"Pemandu kami terus berhenti di tepi jalan dan membantu krew yang masih berada dalam van pertama untuk membawa keluar," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.
Akhbar pada Selasa melaporkan seramai tujuh kakitangan TV3 cedera apabila van dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan akibat dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Persiaran Bandar Utama, dekat sini.
Mangsa yang juga merupakan krew JJCM dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dari Sri Pentas masing-masing mengalami cedera parah, patah kaki, pinggang dan hidung.
Mereka kini sedang dirawat di Pusat Perubatan KPJ Damansara dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Tambah Iqram, walaupun dia tidak terlibat dengan kemalangan tersebut, dia tetap berasa trauma mengenangkan kejadian yang berlaku di mana dia juga mungkin cedera parah seperti krew-krew yang terbabit jika berada dalam van pertama.
"Jujur saya katakan, perasaan trauma turut wujud dalam diri saya walaupun saya tidak terbabit dengan kemalangan itu.
"Saya bersyukur kerana Allah melindungi saya daripada malapetaka itu. Tetapi nak buat macam mana, benda dah terjadi. Jika difikirkan secara logiknya, memang agak pelik bagai manakah kemalangan itu boleh berlaku sehingga menyebabkan van terbalik dan kebanyakan krew cedera parah," ujarnya. - mStarOnline

Tuesday, November 6, 2012

Dituduh sebabkan kematian

Dituduh sebabkan kematian
Dua remaja lelaki yang dihadap ke Mahkamah Juvana, semalam.
ALOR GAJAH - Dua remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Juvana di sini semalam atas pertuduhan menyebabkan kematian pelajar tingkatan dua selepas satu insiden gaduh di Tingkat Satu, Perhentian Bas & Teksi, Pulau Sebang kira-kira jam 2.30 petang pada 24 Oktober 2012.

Kedua-dua tertuduh berusia 14 tahun itu didakwa menyebabkan kematian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Sebang, K Saravannan, 14.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun mereka mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret, Mohd Firdaus Saleh di dalam prosiding yang dijalankan secara tertutup.

Mohd Firdaus kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 setiap seorang dan mengarahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shazwani Ishak meminta mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM10,000 setiap seorang berserta syarat tambahan.

Bagaimanapun, Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu wang jaminan dikurangkan kerana tertuduh dari keluarga kurang berkemampuan.

“Ibu tertuduh pertama yang bekerja di kilang berpendapatan kurang RM1,500 sebulan dan mempunyai anak lain yang masih bersekolah. Sementara bapa tertuduh kedua adalah pekerja buruh dan perlu menyara lima anak,” katanya.

Beliau turut menetapkan 28 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendengar laporan perubatan mangsa.

Pada 25 Oktober lalu, akhbar ini melaporkan seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di sini maut selepas dipercayai terbabit dalam satu pergaduhan di Perhentian Bas Pulau Sebang, dekat sini.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa, R Saravannan, 14, dipukul bertubi-tubi dan dipijak pelajar lain sebelum ditinggalkan terbaring tidak sedarkan diri di tingkat atas perhentian bas berkenaan.

Mangsa dipercayai dipukul dalam keadaan dikerumuni pelajar lain yang bersorak setiap kali mangsa rebah dan pelajar berkenaan terus melarikan diri selepas melihat mangsa tidak sedarkan diri. - SinarHarian

Ana Dahlia Dapat Sokongan Chef Wan, Kesal Kahwin Terburu-Buru


Ana enggan mengulas mengenai laporan kononnya dia dan Riz hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kajang untuk mengambil borang permohonan cerai baru-baru ini.
PETALING JAYA: Pelakon Ana Dahlia tidak berasa bimbang dengan konflik rumah tangganya dengan Chef Riz kerana masalah itu mendapat sokongan daripada keluarga mertuanya iaitu Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan.
Mengambil pendekatan untuk mendiamkan diri daripada memberi sebarang kenyataan, Ana atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar, 29, menjelaskan suaminya lebih mengetahui apa sebenarnya berlaku dalam rumah tangga mereka.
"Saya bersyukur kerana dalam keadaan sekarang saya mendapat sokongan penuh daripada keluarga saya dan mertua terutama Papa (Chef Wan) yang sentiasa berada di belakang saya.
"Malah hubungan saya dengan Papa masih rapat dan sentiasa mendapatkan nasihat daripadanya.
"Dalam hal ini, Riz lebih mengetahui apa sebenarnya yang berlaku dalam rumah tangga kami," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui semasa majlis pelancaran drama slot Akasia berjudul Cinta Itu Milikku di sini pada petang Isnin.
Gosip terbaru mengenai perkahwinan Ana dengan anak lelaki chef tersohor, Chef Wan itu kembali diperkatakan apabila Ana didakwa kerap keluar bersama bekas teman lelakinya.
Bagaimanapun pelakon itu menafikan tuduhan tersebut termasuklah kononnya dia berlaku curang.
Ana sah bergelar isteri kepada Chef Riz atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Redzuawan, 31, pada 11 Disember 2011.
Dalam pada itu, Ana enggan mengulas mengenai laporan kononnya dia dan Riz hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kajang untuk mengambil borang permohonan cerai.
Menurut Ana, dia percaya cerita sebenar di sebalik gosip rumah tangga mereka akan dapat dihidu sendiri oleh pihak media suatu hari nanti.
"Saya tidak mahu mengulas mengenai perkara itu dan rasanya pihak media sendiri akan tahu sama ada perkara itu benar atau pun tidak," jelasnya.
Bagaimanapun kata Ana, dia mengakui kesal apabila mengambil keputusan terburu-buru berkahwin dengan Riz selepas tiga bulan berkenalan tanpa berfikir panjang.
"Saya akui tempoh perkenalan kami singkat dan terlalu terburu-buru mengambil keputusan untuk berkahwin tetapi apa yang membuatkan saya bersetuju adalah kerana keluarganya cukup baik dengan saya," jelasnya.
Ana sah bergelar isteri kepada Chef Riz atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Redzuawan, 31, pada 11 Disember 2011.
Sementara itu, Ana berkata, dia sudah bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan terhadap rumah tangganya yang dibina tidak sampai setahun itu.
Dia juga yakin telah melakukan yang terbaik sebagai isteri namun masih menyimpan hasrat agar ia akan berakhir dengan baik.
"Saya mohon jangan menilai diri saya hanya dengan penyebaran cerita yang tidak benar kerana itu tidak akan membantu menyelesaikan masalah.
"Bagaimanapun saya sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan namun saya berharap ia akan dapat diselesaikan dengan baik.
Berikut adalah beberapa soalan yang diutarakan oleh pihak media kepada Ana mengenai kemelut rumah tangga yang sedang dihadapinya:
1. Sejauh mana kebenaran kononnya rumah tangga Ana dan Riz dikatakan sedang bermasalah?
Saya mengakui rumah tangga kami mempunyai masalah tetapi rasanya saya tidak perlu memberikan butiran mengenainya kerana ingin menjaga aib diri saya dan suami.
2. Sejauh mana kebenaran Ana dikatakan curang?
Saya tidak pernah mendekati mana-mana lelaki atau pun curang terhadap suami saya. Riz lebih mengetahui apa yang berlaku dalam rumah tangga kami.
3. Benarkah Ana dan Riz ada ke mahkamah untuk mengambil borang permohonan cerai?
Saya tiada komen mengenai perkara itu dan rasanya pihak media akan mengetahui sendiri sama ada cerita itu benar atau pun tidak.
4. Apa kata bapa mertua Ana iaitu Chef Wan mengenai pergolakan rumah tangga anda berdua?
Papa (Chef Wan) adalah seorang yang cukup bijak dan pemikirannya sangat tajam walaupun dia kadang-kadang agak lantang bersuara.Mengenai masalah kami berdua, saya boleh katakan Papa berada di belakang saya dalam menghadapi kemelut ini dan saya sangat bersyukur keluarga berada di sisi saya.
5. Apakah status Ana dengan Riz buat masa ini? Masih suami isteri?
Saya tiada komen mengenai perkara itu. Ia adalah peribadi.
6. Ana sudah bersedia sekiranya masalah ini akan terbongkar kelak?
Ya saya sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan namun saya berharap ia akan dapat diselesaikan dengan baik.
- mStarOnline

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu