adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Friday, December 21, 2012

Dua pekerja kilang maut dalam kemalangan bas kilang

Keadaan sebuah bas kilang yang remuk menyebabkan dua maut di KM 150.3 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Bukit Tambun, Pulau Pinang kira-kira pukul 6.30 pagi tadi. Mangsa Nurul Nadirah Sudin, 18, dan Samsiah Hasan, 22, masing-masing berasal dari Taiping dan Batu Kurau, Perak meninggal dunia di tempat kejadian. - Foto Bernama
NIBONG TEBAL - Dua pekerja kilang maut apabila bas yang dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 150.3 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berhampiran susur keluar Bukit Tambun, di sini pagi ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supt Shafien Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, Nurul Nadirah Sudin, 18, dan Samsiah Hasan, 22, masing-masing berasal dari Taiping dan Batu Kurau, Perak, meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila bas yang membawa 17 pekerja kilang dalam perjalanan dari Tanjung Piandang, Perak ke kawasan perindustrian di Perai, cuba memasuki lorong kiri lebuh raya sebelum hilang kawalan lalu merempuh kereta yang bergerak seiring di lorong kiri.

"Kedua-dua kenderaan itu terbabas dengan bas terbalik ke kawasan semak di kiri lebuh raya," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata, pemandu bas dan sembilan pekerja kilang yang cedera kini dirawat di Hospital Seberang Jaya manakala enam lagi pekerja yang cedera ringan telah dibenarkan pulang.

Katanya, pemandu kereta berusia 21 tahun itu hanya mengalami cedera ringan.

Shafien berkata, jenazah kedua-dua pekerja itu telah dituntut oleh keluarga masing-masing.

Sementara itu, bapa Nurul Nadirah, Sudin Ismail, 45, ketika ditemui berkata, beliau mendapat panggilan daripada abang iparnya kira-kira pukul 6.45 pagi memberitahu kemalangan itu, bagaimanapun beliau tidak diberitahu yang anaknya telah meninggal dunia.

Beliau berkata, beliau amat terkejut dengan berita kematian anaknya itu yang kali terakhir mereka berjumpa ialah minggu lepas.

Ibu saudara Nurul Nadirah, Hamisah Samsudin, 37, berkata bas terhuyung-hayang secara tiba-tiba hingga menyebabkannya memegang kerusi dengan kuat.

"Sedar-sedar bas dah terbalik. Saya merangkak keluar mengikut cermin hadapan bas," kata ibu kepada tiga orang anak itu yang cedera di bahu.

Seorang lagi mangsa, Fazilawati Md Rasdi, 30, dari Batu Kurau berkata ketika kejadian beliau sedang tidur dan hanya menyedari kejadian itu selepas terdengar jeritan rakan sekerjanya sebelum bas itu terbalik.- Bernama

No comments:

Post a Comment

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu