adv

Pengikut Cun N Macho

HBeat

Sunday, January 27, 2013

Lelaki mangsa amukan isteri

Lelaki mangsa amukan isteri
Sanusi (bukan nama sebenar) kini masih terlantar di hospital dan berkemungkinan keupayaannya untuk bekerja selepas ini mungkin terganggu.
KLANG  – “Sambil menahan sakit, saya menggagahkan diri memandu sendirian ke hospital kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian. Tanpa henti berdoa, saya gagahkan tangan memulas stereng kereta sambil air mata menemani sepanjang perjalanan.”

Demikian luahan seorang suami yang juga bapa kepada lapan anak ketika menceritakan saat dia berusaha mendapatkan rawatan di sebuah hospital sebaik badannya melecur terkena simbahan air panas dilakukan isterinya sendiri.

Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Sanusi, 50-an, berkata, kejadian berlaku sekitar jam 9 malam beberapa hari lalu, sejam sebelum dia ke tempat kerja.

“Ketika itu saya berehat di ruang tamu bersama seorang saudara dan anak lelaki. Manakala isteri pula solat Isyak di sebuah bilik. Sedang leka menonton televisyen, tiba-tiba saya disimbah isteri dengan air panas.

"Dalam kesakitan saya cuba mengelak, bagaimanapun isteri terus-terusan menyimbah air panas tanpa simpati. Kemudian, dia berlari keluar dari rumah dan saya mengejarnya kerana terkejut dengan tindakannya itu,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dia berpatah balik kerana terlalu sakit lalu pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Menurutnya, sebaik tiba, dia dipapah kakitangan hospital untuk keluar daripada kenderaan dan hanya sedarkan diri tatkala terbaring dalam keadaan separuh badan berbalut kain putih.

“Anak dan saudara saya turut terkejut. Namun berkat bantuan ALLAH SWT, saya akhirnya sampai di hospital beberapa minit kemudian dan sebaik dimasukkan ke unit kecemasan, saya pengsan,” katanya.

Dalam kejadian itu, Sanusi melecur dari paras dada hingga lutut, lebih menyayat hati apabila kemaluannya turut cedera dan peratusan untuk berfungsi adalah rendah.

Bercerita lanjut mengenai punca kejadian, Sanusi berkata, dia dan isteri kerap bertengkar berikutan masalah peribadi serta rumah tangga.

Namun, dia tidak menyangka isterinya sanggup mengambil tindakan sebegitu hingga nyaris meragut nyawanya.

“Walaupun perbuatannya itu dianggap menderhaka, namun demi anak-anak, saya tidak berhasrat untuk membuat laporan polis. Sebaliknya akan terus berdoa supaya dia kembali ke jalan yang benar.

“Saya masih sayangkan dia, namun sukar menerima perbuatannya itu walaupun kami hidup bersama hampir 40 tahun. Saya yakin ini ujian ALLAH SWT dan berharap ALLAH SWT memudahkan jalan hidup saya sekeluarga selepas ini,” katanya. - SinarHarian

Thursday, January 24, 2013

Lisa Surihani Syukur Misteri Kehilangan RM50,000 Hampir Terlerai


Lisa lega apabila misteri kehilangan wang dari akaunnya berjumlah RM50,000 hampir terlerai.
PETALING JAYA: Pelakon Lisa Surihani, 26, bersyukur apabila pihak pihak polis berjaya menahan individu yang menceroboh akaunnya pada 11 Januari lalu sehingga mengakibatkan kehilangan wang berjumlah RM50,000.
Akhbar Harian Metro melaporkan, Lisa telah dimaklumkan mengenai tahanan tersebut dan diminta menunggu tindakan susulan daripada pihak polis.
"Saya sangat menghargai kerjasama diberikan polis dan bank sehingga tertangkapnya individu itu dan syukur keadilan yang dimahukan hampir tertunai," katanya.
Pada Selasa, rahsia kehilangan wang simpanan pelakon itu terbongkar selepas siasatan polis mendapati ia dilakukan kakitangan bank sebelum menahannya.
Kakitangan bank wanita itu dikatakan membatalkan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik Lisa sebelum membuat salinan baru dan melakukan pengeluaran RM50,000 yang direkodkan pengeluarannya di Kuantan, Pahang sejak awal bulan ini.
Wanita yang sudah berkahwin dan mempunyai cahaya mata itu ditahan jam 10 pagi, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur Asisten Komisioner Izany Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan penahanan wanita terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK).
Katanya, hasil siasatan awal, wanita terbabit memang berkeupayaan untuk melakukan pemalsuan dokumen artis itu kerana sememangnya bekerja dengan bank berkenaan sebelum membuat kad ATM baru untuk mendapatkan wang dengan jalan mudah.
Dalam pada itu, Lisa berkata, insiden terburuk sejak bergelar artis itu turut memberi pengajaran untuknya lebih berhati-hati pada masa depan.
Lisa sebelum ini dilaporkan kehilangan RM50,000 sejurus kehilangan kad pengeluaran wang automatik (ATM), namun hanya disedarinya ibunya, Siti Amira Ahmad, 62, ketika ingin membuat pengeluaran di sebuah bank di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, ibu pelakon berkenaan membuat semakan baki dan mendapati wang simpanan berkurangan.
Hasil rujukan di bank, mereka dimaklumkan kad ATM terbabit tidak boleh digunakan kerana sudah ditukarkan kad baru oleh individu lain tanpa pengetahuan. - mStarOnline

Suami ratapi kematian isteri, dua anak akibat dihempap lori 10 tan

Laung nama isteri, anak-anak
Lokasi kejadian menunjukkan keadaan kereta yang tertimbus di bawah lapisan konkrit.
MUAR – Hanya laungan nama Ngaisah, Balqis dan Azzem berulang kali memecahkan suasana pilu di kediaman Ghazali Salamon, 45, yang meratapi jenazah tiga ahli keluarganya selepas semua mangsa dikeluarkan dari timbunan barangan konkrit bahan binaan.
Laung nama isteri, anak-anak
Kerja-kerja menyelamat dan memindahkan konkrit menggunakan bantuan dua jentera forklift.
Ghazali merupakan suami kepada mangsa kemalangan, Ngaisah Redzuan, 46, bersama dua anaknya, Faatiorrohirullah Al Azzem Ghazali, 12, dan Puteri Balqis Sofea Ghazali, 10; maut selepas terbabit dalam nahas melibatkan sebuah kereta Proton Persona dengan lori sarat membawa muatan konkrit di Batu 14 Jalan Muar-Air Hitam, berhampiran Bukit Naning dekat sini, kira-kira jam 1.30 petang semalam.

Bagaimanapun usaha untuk menemu bual Ghazali iaitu Pengerusi Biro Kesenian dan Kebudayaan Umno Bahagian Bakri, tidak berjaya berikutan keadaannya yang tidak mengizinkan dan terpaksa ditenangkan oleh ahli keluarganya.

Lebih memilukan, kejadian ngeri itu berlaku di hadapan rumah mangsa yang ketika itu dalam perjalanan pulang dari Sekolah Kebangsaan Bukit Naning iaitu tempat Ngaisah mengajar.
Laung nama isteri, anak-anak
Ghazali meratap sambil memeluk salah seorang anaknya yang terkorban dalam nahas ngeri itu.
Kejadian tersebut dipercayai berlaku apabila lori seberat 10 tan yang sarat membawa muatan dari Air Hitam menghala ke Muar cuba memintas kereta Proton Persona dipandu Ngaisah yang ketika itu sedang membelok ke kiri untuk pulang ke rumahnya.

Malangnya, lori terbabit hilang kawalan lalu terbalik menyebabkan keseluruhan muatan barangan konkrit bahan binaan itu bertaburan dan menghempap kereta dipandu guru Matematik itu.

Pegawai Bomba Kanan Dua, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Ismail Mahmod berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 1.30 petang dan bergegas ke tempat kejadian bersama satu jentera dengan tujuh anggota.

Menurutnya, pihaknya terpaksa mengambil masa hampir satu jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan terhempap dalam timbunan barangan konkrit bahan binaan dengan menggunakan bantuan dua jentera forklift.

“Ketika dikeluarkan, mangsa sudah meninggal dunia dan pemandu lori berkenaan dipercayai melarikan diri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

“Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini untuk bedah siasat.

“Saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Pertemuan terakhir Rabu lalu kakak kedua Ngaisah, Noriah Redzuan, 70, begitu terkejut menerima berita yang menimpa adiknya melalui penduduk kampung.

“Kali terakhir saya menemui Ngaisah pada Rabu minggu lalu di sebuah kedai runcit di Parit Sulung, Batu Pahat.

“Dalam pertemuan itu, dia tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik dan sentiasa dengan sikap ramahnya,” katanya.

Sementara itu, rakan mangsa yang dikenali sebagai Shidah, 47, berkata, sebelum kejadian arwah sempat meninggalkan pesanan supaya membantunya memasang langsir baru sekolah pada keesokan hari (hari ini).

“Tahun ini arwah menaja langsir baru untuk sembilan kelas seperti yang dilakukannya setiap tahun.

“Hari ini (semalam) kami tidak sempat berbual panjang kerana sibuk bergotong royong membersihkan sekolah berikutan akan menerima kunjungan lawatan Nazir Jumaat ini,” katanya.

Shidah turut sedih mengenangkan semula pesanan terakhir arwah dan menganggap pemergian sebagai satu kehilangan besar buat dirinya kerana mereka sudah bersahabat baik lebih 20 tahun lalu.

Manakala seorang anak murid mangsa, Nornasha Kamarudin, 12, berkata, dia turut sedih dengan pemergian guru matematiknya itu.

“Ketika mengajar dalam kelas hari ini, Cikgu Ngaisah banyak tersenyum dan mendekati rakan-rakan yang tidak faham dengan apa yang diajarnya,” katanya. - SinarHarian

Saturday, January 19, 2013

Tiga bersenjata pistol samun rumah

Toyota Alphard
Polis membuat sekatan jalan raya bagi mengesan Toyota Alphard dilarikan tiga lelaki bersenjata dalam kejadian samun di Kuala Krai, semalam.
KUALA KRAI - Tiga lelaki bersenjatakan pistol, cangkuk besi dan pisau pemotong daging bertindak nekad melarikan sebuah Toyota Alphard dan pelbagai barangan bernilai kira-kira RM200,000 dalam kejadian samun di Taman Perisai Wira, dekat sini, semalam.

Pada kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, tiga lelaki terbabit memecah masuk kediaman seorang pemilik stesen minyak di taman perumahan itu sebelum kehadiran mereka disedari penghuninya.

Ketika kejadian, mangsa, Muhammad Abdullah, 38, bersama isteri dan dua anak mereka sedang tidur sebelum tersedar apabila terdengar bunyi bising.

Apabila tersedar, mangsa melihat seorang lelaki meluru ke arah beliau, isteri dan dua anaknya sambil mengacukan pistol sebelum seorang lagi penjenayah bersenjatakan cangkuk besi datang ke arah mereka dan mengambil Galaxy Tab.

Seorang penjenayah kemudian meminta mangsa menyerahkan telefon bimbit, wang tunai RM2,500 dan seutas gelang emas manakala dua lagi menggeledah semua bilik di rumah mangsa.

Selepas melakukan samun, tiga lelaki dipercayai warga tempatan terbabit melarikan diri menggunakan kereta Toyota Alphard berwarna putih milik mangsa dengan nombor pendaftaran DBB 5775.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Abdul Rahman Ja’apar mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata berkumpulan.

“Polis minta bantuan orang ramai sekiranya ada terserempak atau melihat kereta jenis tersebut supaya memaklumkan kepada balai polis berdekatan,” katanya. - SinarHarian

Thursday, January 17, 2013

Tertidur di landasan, maut digilis kereta api

Tertidur di landasan, maut digilis kereta api
Harun (kanan) menunjukkan kesan darah, sisa daging dan cebisan otak mangsa dekat landasan kereta api Kampung Padang Tok La, semalam.
PASIR MAS - Seorang wanita dipercayai mengalami masalah mental maut selepas dilanggar kereta api, dekat Kampung Padang Tok La kira-kira jam 4.26 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, berdasarkan kenyataan saksi iaitu pemandu kereta api berkenaan, mangsa, Che Esah Mohamed, 53, tidur di atas landasan.

Menurutnya, meskipun siren dibunyikan beberapa kali, mangsa tidak berganjak daripada tempat kejadian.

"Berdasarkan kedudukannya yang berlunjur di atas batu manakala kepalanya di atas landasan, kita percaya mangsa tertidur di situ.

"Berdasarkan hasil bedah siasat, kepala mangsa pecah manakala tangan kanannya patah dan maut di tempat kejadian," katanya, semalam.

Beliau berkata, mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada unsur jenayah.

Sementara itu, penduduk, Ku Yahya Ku Tengah, 61, berkata, dia menyedari bunyi bising di luar rumahnya, namun tidak mengesyaki sebarang kejadian tidak diingini.

"Saya dapati ramai anggota polis sedang memeriksa landasan kereta api, maka saya beranggapan mereka cuba mencari bahan bukti ketika menangkap penjenayah.

"Saya hanya mengetahui kejadian sebenar selepas subuh, apabila penduduk mengerumuni tempat kejadian," katanya, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Pengkalan Pasir, Harun Daud berkata, Che Esah banyak menghabiskan masa di bandar dan semua penduduk mengenalinya.

"Sikapnya juga disenangi masyarakat kerana tidak mengganggu penduduk mahupun peniaga," katanya.

Ini merupakan kejadian kedua membabitkan kemalangan kereta api, di Pasir Mas, dalam masa sebulan.

Sebelum ini, seorang pekerja sambilan Telekom Malaysia maut selepas terpelanting akibat dilanggar kereta api dari arah Pasir Mas ke Tanah Merah Pada 15 Disember lalu.

Mangsa dikatakan cuba melintas landasan sambil memegang telefon bimbit, namun tidak mendengar laungan jiran dan penduduk yang berada berdekatan.Mangsa maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan. - SinarHarian

Kereta rempuh stesen minyak


Kereta rempuh stesen minyak
Orang ramai melihat keadaan kereta yang merempuh premis serbaneka di sebuah stesen minyak di Kampung Pintu Geng, semalam.
KOTA BHARU - Pekerja sebuah stesen minyak di Kampung Pintu Geng di sini, berdepan dengan detik kecemasan apabila kedai serbaneka di premis tersebut  dirempuh oleh sebuah kereta kira-kira jam 10.45 pagi semalam.

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu oleh seorang wanita yang berusia 46 tahun hilang kawalan lalu merempuh premis tersebut selepas mengisi minyak.

Rempuhan tersebut mengakibatkan pintu hadapan premis serbaneka itu pecah dan turut merosakkan sebahagian barangan yang ada di dalamnya.

Bagaimanapun, difahamkan pemandu kereta tersebut hanya mengalami kecederaan ringan dan mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.

Pekerja stesen minyak, Norhanim Nadia Khalid, 24, berkata, semasa kejadian itu dia sedang bertugas bersama rakannya, Nik Nur Haslinda Nik Hashim, 18, di kaunter bayaran.

“Kejadian itu berlaku dengan cukup pantas tanpa kami sedari dan pada awalnya saya menyangka pam meletup.

“Sehinggalah saya ternampak sebuah kereta sudah berada di dalam premis ini,” katanya kepada pemberita.

Menurutnya, ekoran kejadian tersebut dia dan rakannya itu terpaksa merangkak keluar untuk menyelamatkan diri.

Dia berkata, ketika kejadian tersebut berlaku tiada pelanggan yang berada di dalam premis serbaneka tersebut. - SinarHarian


Monday, January 14, 2013

RM50,000 Lesap Dalam Akaun Bank Lisa Surihani


Lisa Surihani
KUALA LUMPUR: Wang RM50,000 milik pelakon Lisa Surihani, 26 dan ibunya telah dicuri selepas kad mesin juruwang automatik (ATM) mereka ditukar.
Menurut laporan Harian Metro, ibu Lisa, Siti Amira Ahmad, 62, mula menyedari kehilangan wang itu ketika dia ingin mengeluarkan sejumlah wang pada Jumaat lalu kira-kira pukul 10.30 pagi di mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah bank di Seksyen 9 Bandar Baru Bangi.
Sumber polis berkata, ketika membuat semakan baki simpanan Siti Amira mendapati wang dalam akaun mereka berkurangan dan mengesyaki berlaku penipuan kerana sebelum ini dia tidak membuat sebarang pengeluaran wang.
Menurutnya, apabila dirujuk kepada pihak bank dia diberitahu kad ATM miliknya sudah tidak boleh digunakan kerana sudah ditukarkan dengan kad baru oleh individu lain tanpa pengetahuannya.
“Berikutan itu Siti Amira bersama Lisa Surihani tampil membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru Bangi pada hari yang sama,” katanya.
Sumber itu berkata, selepas semakan dilakukan, rekod pengeluaran wang menunjukkan wang dalam akaun dua beranak itu dikeluarkan di beberapa tempat dan terbaru di Kuantan, Pahang, Selasa lalu.
Sementara itu, Lisa Surihani ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
“Buat masa ini saya tidak mahu menceritakan kejadian sebenar yang terjadi tambahan ia kini dalam siasatan polis dan hanya akan memberi penjelasan selepas siasatan selesai.
“Apa yang boleh saya katakan laporan yang dibuat itu berkaitan dengan kehilangan wang,” katanya.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - mStarOnline

Padah lawan arus jalan: Dua lori bertembung, seorang maut, tiga cedera


kemalangan
Seorang anggota paramedik sedang membantu mangsa yang cedera parah disamping seorang lagi mangsa yang meninggal dunia.
BAGAN SERAI - Tindakan seorang pemandu lori barangan lusuh yang cuba melawan arus memandu menyeberangi jalan membawa padah apabila lori yang dipandu bertembung dengan sebuah lori membawa muatan kiub ais di Batu 10, Jalan Taiping di sini petang kelmarin.

Saksi kejadian yang hanya dikenali sebagai Rahim berkata, kemalangan berlaku pada jam 4 petang menyebabkan lori muatan kiub ais itu terbabas sebelum merempuh sebatang tiang seterusnya masuk ke dalam longkang.

Menurutnya, keadaan lori barangan lusuh lebih mengerikan kerana terbalik dan menyebabkan muatan yang dibawa bertaburan di atas jalan.

“Dalam kejadian itu, pemandu lori kiub ais tidak sedarkan diri akibat tersepit di bahagian tempat duduk pemandu, manakala pemandu lori barangan lusuh bersama dua kelindannya tercampak beberapa meter dari kawasan kemalangan.

"Seorang daripada kelindan lori barangan lusuh maut di tempat kejadian kerana pendarahan teruk pada kepalanya. Dua mangsa lagi cedera parah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Seorang lagi saksi yang enggan dikenali memaklumkan, lori barangan lusuh dikatakan cuba menyeberang jalan, namun tindakan nekad pemandu lori bertukar tragedi apabila dirempuh lori kiub ais dari arah Taiping menuju Parit Buntar.



Setengah jam selamat mangsa

Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat Bagan Serai memaklumkan, bomba menerima maklumat awam berhubung kejadian pada jam 3.50 petang dan telah bergegas ke lokasi kejadian.

Seramai sembilan anggota bomba diketuai Penolong Bomba Kanan 2, Mohd Rodzi Che Pa mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan pemandu lori kiub ais yang tersepit dalam kenderaan.

"Sebaik sahaja dikeluarkan, ketiga-tiga mangsa yang cedera parah termasuk pemandu lori kiub ais dikejarkan Hospital Taiping untuk rawatan.

"Seorang lagi mangsa, A Denesh, 16 maut di lokasi kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi, mengesahkan kejadian.

kemalangan
Keadaan lori barangan lusuh yang terbalik setelah berlanggar dengan sebuah lori ais



Tayar musnahkan rumah

Kemalangan berkenaan turut menyebabkan sebuah keluarga kerugian hampir RM10,000 apabila sepasang tayar lori yang melayang merosakkan sebahagian besar dinding serta bumbung rumah.

Muhammad Syukri Hafiz Ibrahim, 28 menceritakan, kejadian itu menyebabkan bahagian atas ruang rumah dan tempat letak kereta rosak teruk.

“Pada mulanya saya terdengar bunyi dahan pokok patah dan tidak menyangka sesuatu yang buruk berlaku.

“Saya terkejut mendengar bahagian atas rumah seperti dihentam sesuatu dan saya berlari keluar untuk memastikan apa yang berlaku,” katanya sewaktu ditemui media di rumahnya di sini semalam.

Syukri berkata, sewaktu berlari keluar rumah, dia sekali lagi dikejutkan dengan bunyi yang kuat dan mendapati bumbung tempat parkir kereta runtuh.

“Saya terkejut mendapati sepasang tayar lori turut berada bersama runtuhan bumbung. Bahagian atas rumah musnah teruk akibat hentaman tayar itu,” katanya.

Syukri berkata, ketika dia bersama ibu bapanya meninjau keadaan rumah, pemandu lori yang tidak sedar tayar belakangnya di bahagian kiri tercabut, tiba di rumahnya dan berjanji untuk membayar ganti rugi.

Menurutnya, pemandu lori itu memaklumkan hanya mengetahui tayar belakang lorinya tercabut setelah dikejar dan ditahan seorang penunggang motosikal sejauh tiga KM dari lokasi kejadian.

"Pemandu lori itu juga terkejut melihat kerosakan teruk pada rumah kami, memandangkan jarak rumah dengan lokasi kejadian kira-kira 20 meter. Kami telah melaporkan kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno bahagian Bagan Serai, Sharudin Ahmad ketika melawat lokasi kejadian menyuarakan simpati kepada keluarga pemilik rumah terbabit di atas kerosakan dialami akibat kejadian itu.

“Saya harap sumbangan diberikan pihak kami dapat meringankan beban kerugian mangsa sekeluarga. Kami akan bantu mangsa menguruskan soal ganti rugi dan bersedia menyediakan khidmat guaman sekiranya tiada penyelesaian terbaik dicapai kedua-dua pihak,” katanya. - SinarHarian


Disamun ketika sidai pakaian

Kavitha
Kavitha menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.
PORT DICKSON - Seorang suri rumah kerugian hampir RM9,000 akibat disamun seorang lelaki yang bersenjatakan sebilah pisau di Bandar Spring Hill Rabu lalu.

Mangsa, R Kavitha, 35, berkata, kejadian itu berlaku jam 12.20 tengah hari, ketika dia sedang menyidai pakaian di belakang rumahnya bersama anak perempuan yang berusia enam tahun.

“Tiba-tiba saya didatangi seorang lelaki berusia sekitar 20-an dan menunjukkan sekeping gambar berukuran pasport dan bertanya adakah saya mengenal individu yang berada di dalam gambar itu.

“Saya yang ragu-ragu dengan kemunculan lelaki itu yang datang secara senyap terus memaklumkan tidak mengenali individu di dalam gambar dan kemudiannya bergegas masuk ke rumah,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya semalam.

Kavitha berkata, semasa dia hendak masuk ke rumah lelaki itu terus memanjat pagar dan melulu ke arahnya.

“Lelaki itu kemudiannya menarik tangan dari luar pintu geriji sambil mengacukan pisau ke pergelangan tangan yang mana ketika itu saya sudah berada di dalam rumah tetapi belum sempat mengunci pintu.

“Sebaik lelaki itu masuk, dia terus menolak saya sebelum menarik rantai emas dan rantai perkahwinan yang saya pakai serta sebuah telefon bimbit.

“Sebelum itu, lelaki itu sempat mengacukan pisau di leher anak perempuan saya ketika saya mahu menjerit meminta tolong. Kejadian berlaku begitu pantas,” katanya.

Kavitha berkata,  ketika kejadian dia hanya tinggal berdua dengan anak perempuannya yang baru pulang dari tabika sementara suami keluar bekerja manakala anak-anak yang lain masih di sekolah.

“Bagaimanapun, saya bernasib baik kerana lelaki itu tidak mencederakan kami berdua.

“Sejak kejadian itu, saya agak trauma dan akan memerhatikan sekeliling terlebih dahulu sebelum keluar rumah sama ada untuk menyidai pakaian ataupun membuang sampah,” katanya.

Kavitha kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Lukut. - SinarHarian

'Scan' penyakit guna telefon bimbit, warga emas rugi RM3,500

'Scan' penyakit guna telefon bimbit, warga emas rugi RM3,500
Che Rus melakonkan semula bagaimana dia diarahkan berbaring sebelum diperiksa oleh wanita yang menyamar sebagai wakil JKM.
ALOR GAJAH - Seorang warga emas rugi kira-kira RM3,500 selepas tiga barangan kemas miliknya dilarikan seorang wanita yang menyamar sebagai wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Kampung Lendu Hilir, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa, Che Rus Uda, 74, didatangi seorang wanita lingkungan usia 20-an yang memperkenalkan diri sebagai wakil JKM.

Menurutnya, ketika kejadian, dia yang tinggal sendirian sejak lebih 50 tahun lalu sedang menonton televisyen sebelum terdengar suara memberi salam berulang kali.

“Perbualan antara saya dengan wanita itu hanya dalam jarak jauh sebelum dia memaksa saya membuka pintu yang dikunci cucu yang keluar beberapa minit sebelum kejadian.

“Kemudian wanita yang memakai kemeja dan bertudung putih itu turun dari sebuah kereta menyatakan hendak melakukan pemeriksaan kesihatan sebelum mendesak saya membuka pintu rumah,” katanya.

Che Rus berkata, selepas wanita itu masuk ke dalam rumahnya, dia diarahkan membuka semua barang kemas yang dipakainya dan berbaring untuk melakukan pemeriksaan.

“Walaupun dalam keadaan terpinga-pinga, saya buka juga gelang tangan, rantai leher dan anting-anting dan meletakkannya di atas lipatan baju di ruang tamu.

“Melihat keadaan saya yang tidak selesa berbaring di atas lantai, wanita itu mengarahkan saya masuk ke dalam bilik sebelum dia 'scan' seluruh badan dengan menggunakan telefon bimbitnya sahaja. Kemudian dia keluar untuk menghubungi seseorang,” katanya.

Dia berkata, selesai ‘pemeriksaan’, wanita itu menghalangnya daripada bangun dengan alasan dia akan pitam jika berjalan.

“Sepanjang dalam bilik saya berasa tidak sedap hati memikirkan barangan kemas yang ditinggalkan di ruang tamu dan terus keluar dari bilik sebaik terdengar pintu besi di beranda rumah seolah-olah ditolak seseorang.

“Selepas itu, saya terkejut apabila melihat kesemua barang kemas sudah hilang malah kelibat wanita itu juga tiada,” katanya.

Katanya, sebelum kejadian, wanita berkenaan ada datang ke rumahnya, namun beredar selepas menyedari cucunya, Hussin Abu Hasan, 31, turut berada di rumah dan datang semula 30 minit kemudian.

“Saya difahamkan oleh jiran berdekatan, kereta dinaiki wanita itu sudah berlegar-legar di hadapan rumah saya kira-kira 30 minit sebelum kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan menasihatkan golongan warga emas khususnya supaya lebih berhati-hati.

“Warga emas atau individu yang tinggal sendirian di rumah dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan pujukan individu tidak dikenali dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya. - SinarHarian

Wanita maut digilis, rakan lelaki parah tercampak dalam gaung

Maut berkecai
Anggota polis membalut mayat mangsa maut digilis dalam kemalangan ngeri di Kilometer 415.7 Lebuh Raya Utara Selatan semalam.
BUKIT TAGAR - Seorang wanita maut dalam keadaan mengerikan pagi semalam apabila badannya berkecai digilis beberapa kenderaan setelah tercampak daripada kereta dinaikinya.

Rakan lelakinya pula parah akibat tercampak ke dalam gaung dan hanya ditemui selepas mangsa dilihat merangkak ketika cuba mendapatkan pertolongan.Kejadian ini berlaku kira-kira jam 7 pagi di Kilometer 415.7 Lebuh Raya Utara Selatan arah Utara selepas Plaza Tol Bukit Tagar dekat sini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, siasatan mendapati kereta Perodua Myvi dinaiki mangsa terbabas ke lorong kanan dan melanggar pengadang jalan.

“Kereta ini dipandu lelaki yang identitinya masih belum dikenalpasti dan terbabas ke kanan sebelum melanggar pengadang jalan lalu berpusing di lorong tengah.

“Mangsa (wanita) tercampak keluar dan dipercayai dilanggar oleh kenderaan lain. Mayat mangsa berkecai dan dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB),” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai M Karti berusia 26 tahun dan beralamat di Taman Perumahan Permai Suri, Bidong, Kedah.

Katanya, pemandu kereta terbabit pula sedang menerima rawatan di Hospital Slim River dan masih dalam keadaan trauma serta tidak boleh bercakap.

“Masa kejadian cuaca dilaporkan baik. Sehingga kini belum ada laporan polis dibuat pemandu kenderaan lain yang terlibat dengan insiden itu.

“Siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam pada itu, difahamkan kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju Kulim, Kedah untuk menghadiri majlis perkahwinan saudara terdekat. - SinarHarian

Friday, January 11, 2013

Remaja bawah umur gagal larikan kereta

Kereta sungai
Kereta yang cuba dilarikan remaja terbabit terjunam ke dalam sungai.

KANGAR - Cubaan seorang remaja bawah umur melarikan sebuah kereta yang digunakan oleh seorang peniaga ayam di sini, semalam, gagal setelah kereta terbabit terbabas lalu terhumban ke dalam Sungai Simpang Empat yang berhampiran sebuah pasar raya di sini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6 pagi selepas peniaga, Baharudin Yusof, 53, meletakkan kenderaannya di pasar raya berkenaan untuk mengeluarkan barang peniagaan.

Menurutnya, selepas keluar dari pasar raya terbabit tiba-tiba dia dan isterinya, Norina Nayan, 51, terkejut apabila mendapati kereta miliknya itu hilang dan tiada di tempat parkir kenderaan.

Anak mangsa, yang tiba di lokasi kejadian, Mohd Hanif Baharudin, 22, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan untuk membantu bapanya di pasar raya Simpang Empat, namun dikejutkan dengan panggilan menyatakan kereta milik bapanya itu hilang secara tiba-tiba.

Mohd Hanif berkata, seorang saksi yang melihat kejadian itu memaklumkan, kereta itu dipandu seorang remaja bawah umur yang dikenalinya dan didapati sudah berada di dalam sungai sejauh 100 meter dari pasar raya itu.

“Saya terus bergegas dari Kampung Tambun Tulang ke tempat kejadian dan melihat peralatan perniagaan yang ingin digunakan ayah pada hari itu, semuanya rosak termasuk barang-barang yang baru dibeli seperti penimbang, tong gas, dapur gas dan peralatan lain.

“Kami sudah siapkan kelengkapan perniagaan sejak awal pagi lagi, saya kecewa dengan kejadian ini kerana ia menjejaskan pendapatan kami sekeluarga dan perlu mengambil masa untuk memulihkan keadaan kereta dan barangan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin, berkata, beliau mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Menurutnya, mangsa dan isterinya meletakkan kenderaan jenis Nissan Sunny berdekatan tempat kejadian sebelum ingin memulakan perniagaan.

“Polis masih menyiasat kejadian ini dan setakat ini pihaknya menahan seorang remaja berusia 14 tahun untuk siasatan lanjut,” katanya. - SinarHarian

Tuesday, January 8, 2013

Pahitnya Madu.....



Sejak akak bekerja di rumah Allah ni, macam-macam ragam orang yang akak jumpa. Kebanyakannya akak jadikan panduan untuk muhasabah diri sendiri.

Semalam, akak jadi pendengar luahan hati seorang isteri yang juga seorang kawan kepada akak. Perasaan seorang wanita yang menjadi isteri kedua.   Dia minta pandangan atau pendapat, apa yang harus dia lakukan sekiranya suami tidak bersikap adil terutama dalam memberi nafkah zahir.

Selama ini akak ingat dia bahagia, rupanya tidak. Terlalu lama memendam rasa.....akhirnya terluah jua suara hatinya. Kisahnya begini, lebih kurang ajalah ya...Sepanjang tempoh perkahwinan mereka, si suami belum pernah memberi nafkah zahir kepadanya. Sebaliknya dia yang menanggung semua perbelanjaan harian dari makan-minum, bil mahupun sewa rumah, semuanya dia yang uruskan. Malah perbelanjaan untuk anak-anak tiri pun dia yang tanggung......kesiannya......Pada mulanya dia lakukan dengan penuh keikhlasan tetapi lama-kelamaan dia rasa penat, mungkin dia baru terfikir apa kesudahannya.....

Sebenarnya pilihan ada ditangan kita. Islam tu mudah kenapa nak sulitkannya. Memang Islam melarang perceraian, tapi kalau keserasian, keikhlasan, kasih sayang tiada lagi dalam diri kita, buat apa kita teruskan perkahwinan tersebut kerana yang tinggal hanyalah perasaan KESIAN.

Masadepan kita....kita pun tak tahu....hari ini kita sihat dan boleh bekerja, ditakdirkan satu hari nanti kita terlantar sakit, agak-agak nak ke suami yang kita tanggung ni nak jaga kita. Kalau bagi akak, lebih baik angkat kaki dan tinggalkannya....lagipun kawan akak dengannya bukan ada zuriat pun.

Lebih baik wang ringgit yang ada tu, dia habiskan untuk ibunya dan juga anak-anak dari suami pertama dulu di kampung. Lagipun pergorbanan dia selama ini tidak dihargai malah menerima caci maki dari madunya. Asyik kena serang dan dibomohkan aja oleh madunya....tak berbaloi.

Letih lah macam ni....memang patut pun baru sekarang dia rasa PENAT.

Doa akak moga dia dapat petunjuk dari Allah SWT.  Dan pesannya pada akak, "Kalau akak lama tak nampak saya nanti, maknanya saya tidak ada di bandar ini lagi....."

Klik klu suka

Related Posts with Thumbnails

Iklan Semanis Madu